Tag Archives: x-trail

Nissan X-Trail 2025 terima edisi Rock Creek – tayar all-terrain, HDC, Off-Road View

DENGAN lebih 141,160 unit terjual dalam enam bulan pertama pada 2024, Rogue (X-Trail) menjadi model paling laris Nissan di Amerika Syarikat (AS). SUV ini mendapat edisi Rock Creek sebagai facelift, disasarkan untuk mereka yang mengamalkan gaya hidup aktif.

Diambil dari Pathfinder yang lebih besar, edisi Rock Creek pada Rogue menampilkan penambah baikan kecil untuk anda menakluki jalan off-road seperti rim hitam 17-inci, tayar all-terrain Falken Wild Peak, dan Hill Descent Control untuk pengendalian lebih mudah di permukaan curam.

Terdapat juga Off-Road View yang memberikan paparan supaya anda lebih mudah mengelak halangan semasa mengemudi laluan mencabar. Mod ini boleh diaktifkan sehingga kelajuan 19km/j.

Penambahan lain termasuklah gril dan cermin sisi hitam berkilat, kemasan warna Lava Red, dan rak bumbung tubular. Pilihan warna badan terdiri dari Everest White, Super Black, Boulder Gray, dan warna menarik Baja Storm seperti dalam gambar ini.

Di bahagian dalam, Rogue Rock Creek hadir dengan kemasan kulit kalis air dan beberapa kemasan Lava Red, selain panel piano black di papan pemuka. Tempat duduk dengan fungsi pemanas didatangkan standard, begitu juga soket 12-volt di ruang kargo.

Enjin tidak berubah, iaitu 1.5-liter turbo petrol berkuasa 201hp dan 305Nm tork seperti model standard. Enjin 3-silinder ini menghantar kuasa ke roda depan melalui kotak gear CVT.

Nissan Rogue Rock Creek ini dijual pada harga bermula USD36,810 (RM161,027), tetapi dengan tambahan USD800 (RM3,499), anda boleh mendapatkan Premium Package yang merangkumi stereng dengan pemanas, pad pengecasan tanpa-wayar, pintu but berkuasa lampu kabin LED, dan fungsi memori untuk tempat duduk pemandu dan cermin sisi.

Terdapat juga Technology Package yang berharga USD3,200 (RM13,998) yang memberikan Front Wide View iaitu kamera dengan paparan 176-darjah serta hud lutsinar (seperti Range Rover).

Nissan X-Trail Mountain Rescue Concept ambulans penyelamat salji dengan ‘tayar’ berantai

NISSAN telah mengubah X-Trail dari SUV biasa menjadi sebuah kenderaan kecemasan untuk menyelamat lengkap dengan tayar berantai, pengusung, dan peralatan menyelamat.

Nissan X-Trail Mountain Rescue Concept itu dipertontonkan di resort ski Cervinia, Itali. Ia direka bagi mengingatkan orang ramai supaya melakukan aktiviti ski dengan berhemah dan beretika.

Selain empat ‘tayar’ berantai di setiap penjuru, bagi membolehkan X-Trail ini menjalankan misi menyelamat di gunung salji, Nissan telah memberikan rak bumbung khas. Ia lengkap dengan lampu khas, siren kecemasan, pengusung, malah mempunyai ski dan penyodok salji.

X-Trail ini juga dipasang dengan fender lebih besar dan kembang, poin-poin tunda, kabel winch, lampu limpah, dan jarak kelegaan tanah 23cm lebih tinggi.

Naik taraf diteruskan ke bahagian dalam dimana jentera ini mendapat GPS Garmin dan alat komunikasi Motorola.

Perubahan lebih besar adalah di belakang, dimana tempat duduk telah ‘dibuang’ untuk memuatkan pengusung. Selain itu, ia mendapat tempat duduk rawatan menghadap ke belakang.

Akhir sekali, terdapat kabinet simpanan yang memuatkan bekalan kecemasan seperti kayu pengukur ketebalan salji dan selimut termal. Terdapat juga ruang yang boleh memuatkan drone DJI!

Walaupun konsep ini menggariskan etika ski secara bertanggungjawab, ia juga memaparkan sistem pacuan semua-roda e-4ORCE pada X-Trail itu.

Menurut Nissan, ia mampu bertindak balas terhadap perubahan cengkaman pada kadar 1/10,000 saat, bersamaan 1,000 lebih pantas dari sistem biasa. e-4ORCE ini juga mampu mengagihkan kuasa bergantung kepada tahap cengkaman.

Warna baharu untuk Nissan X-Trail dan Serena sempena Tahun Baharu Cina

EDARAN Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) mengalu-alukan kedatangan Tahun Baharu Cina 2022 dengan promosi untuk Nissan X-Trail 2.0L Mid dan Serena 2.0L S-Hybrid Premium Highway Star.

Mengikut kalendar, tahun ini merupakan tahun Harimau Air dan untuk itu, ETCM menawarkan kadar faedah rendah 1.88 peratus untuk model-model terpilih. Mereka yang membeli dan mendaftar kereta baharu juga berpeluang memenangi baucar Lazada bernilai sehingga RM50,000.

Nissan X-Trail dilengkapi dengan sistem keselamatan termaju Nissan Intelligent Mobility (NIM) yang merangkumi ciri seperti Forward Collision Warning, Cruise Control, Lane Departure Warning, Blind Spot Warning dan Rear Cross Traffic Alert.

Kini, ia hadir dengan warna baharu Monarch Orange untuk varian X-Trail 2.0L Mid.

Nissan Serena pula menampilkan warna dwi-tona Radiant Red baharu dengan bumbung hitam. MPV ini menawarkan penggunaan bahan api terbaik dalam kelasnya iaitu 14.2km/liter.

Ia hadir dengan pelbagai ciri praktikal seperti dua pintu gelungsur berkuasa Hands-free, Dual Back Door, 7 soket USB, Intelligent Around View Monitor (I-AVM), Intelligent Moving Object Detection (I-MOD), dan sambungan telefon pintar dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

Menurut Nissan, kedua-dua warna baharu untuk X-Trail dan Serena adalah stok model tahun 2022.

Sebagai tambahan, pelanggan yang memandu uji Almera Turbo baharu dalam tempoh kempen berpeluang memenangi baucar Watsons bernilai RM500.

Untuk maklumat lajut, layari www.nissan.com.my atau hubungi 1-800-88-3838.

Recall bagi Nissan X-Trail 2.0L Hybrid untuk isu kabel elektrik

EDARAN Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) bersama Tan Chong Ekspres Auto Servis Sdn Bhn (TCEAS) mengumumkan kempen recall (panggil semula) bagi model Nissan X-Trail 2.0L Hybrid. Recall ini bertujuan penukaran Engine Room Harness – Hybrid Power Line.

Unit yang terlibat adalah yang dikilangkan dari Jun 2018 hingga Mei 2021 dan pelanggan berkenaan akan dimaklumkan melalui surat, SMS atau Whatsapp. Mereka akan disarankan untuk ke wakil servis terdekat untuk temujanji.

Kenderaan yang dikeluarkan bermula Jun 2021 tidak terlibat dengan kempen ini. Semua kos dan caj melibatkan komponen dan upah di bawah kempen ini akan ditanggung sepenuhnya oleh TCEAS.

Beberapa cawangan pusat servis TCEAS juga akan melanjutkan oeprasi mereka dan dibuka 365 hari setahun bagi memudahkan pelanggan membuat temujanji hari minggu atau semasa cuti umum.

Untuk maklumat lanjut, hubungi hotline di 1-800-88-3838.