Tag Archives: X70 2025

Kos servis Proton X70 2025 cecah RM5,000 untuk 100,000 km/5 tahun

Proton X70 versi facelift 2025 telah dilancarkan ke pasaran tempatan pada Ogos lalu, membawakan penambahbaikan pada aspek reka bentuk, kelengkapan dan juga mekanikal.

Bercakap tentang mekanikal, enjin 1.8-liter empat silinder TGDi dan pacuan semua roda (AWD) tidak lagi ditawarkan, bermakna kesemua varian SUV segmen C itu hanya boleh didapati dengan enjin 1.5-liter tiga silinder TGDi dan pacuan roda depan (2WD).

Dalam artikel ini, kami akan kupaskan kos servis X70 2025 sehingga perbatuan 100,000 km atau lima tahun pemilikan:

1,000 km

Untuk 1,000 km pertama, pelanggan perlu menukar tiga benda sahaja iaitu minyak enjin sintetik penuh 5 liter (RM189), penapis minyak enjin (RM50.25) dan drain plug gasket (RM5.26), manakala kos buruh adalah percuma sebanyak enam kali. Ini menjadikan kos keseluruhan sebanyak RM244.51.

10,000 km

Setelah mencecah 10,000 km, anda perlu menukar minyak enjin (RM189), penapis minyak enjin (RM50.25), drain plug gasket (RM5.26), penapis udara enjin (RM71.64) dan pencuci cermin depan (RM2). Kos keseluruhan adalah RM318.15.

20,000 km

Selain minyak enjin (RM189), penapis minyak enjin (RM50.25), drain plug gasket (RM5.26), dan pembersih cermin depan (RM2), pelanggan perlu menukar penapis bahan api (RM28.18) dan penapis kabin N95 (RM79). Selain itu, kos buruh (RM90) juga akan dikenakan. Ditambah dengan cukai servis 8% (RM7.20), kos keseluruhan untuk servis 20,000 km adalah RM450.89.

30,000 km

Kos servis untuk perbatuan 30,000 km sama sahaja dengan 10,000 km iaitu RM318.15. Barang-barang yang perlu ditukar adalah minyak enjin, penapis minyak enjin, drain plug gasket, penapis udara enjin dan pencuci cermin depan.

40,000 km

Kos keseluruhan untuk 40,000 km agak tinggi iaitu RM696.21 kerana terdapat banyak barang yang perlu ditukar. Antaranya adalah minyak enjin (RM189), penapis minyak enjin (RM50.25), drain plug gasket (RM5.26), palam pencucuh (RM117.45), bendalir brek (RM50.11), penapis bahan api (RM28.18), penapis kabin N95 (RM79) dan pencuci cermin depan (RM2). Oleh kerana jumlah barang yang ditukar lebih banyak, kos buruh juga sedikit tinggi iaitu RM162, tidak termasuk cukai servis 8% (RM12.96).

50,000 km

Seperti perbatuan 10,000 km dan 30,000 km, kos keseluruhan kali ini adalah RM318.15. Barang-barang yang perlu ditukar juga sama iaitu minyak enjin, penapis minyak enjin, drain plug gasket, penapis udara enjin dan pencuci cermin depan. Tiada kos buruh dikenakan.

60,000 km

Untuk servis 60,000 km, pemilik perlu menukar minyak enjin (RM189), penapis minyak enjin (RM50.25), drain plug gasket (RM5.26), coolant enjin (RM135.45), penapis bahan api (RM28.18), penapis kabin N95 (RM79), dan pencuci cermin depan (RM2). Kos keseluruhan adalah RM651.14, termasuk kos buruh (RM150) dan cukai servis 8% (RM12).

70,000 km

Kos keseluruhan untuk 70,000 km adalah RM318.15, iaitu sama dengan kos servis perbatuan 10,000 km, 30,000 km dan 50,000 km.

80,000 km

Kini tiba masanya untuk anda melakukan servis major tetapi tidak seperti 40,000 km dan 60,000 km, kos keseluruhan kali ini mencecah empat angka kerana di samping barang-barang seperti minyak enjin, palam pencucuh, bendalir brek dan sebagainya, anda juga perlu menukar minyak gear (RM346.92). Ditambah dengan kos buruh (RM204) dan cukai servis 8% (RM16.32), kos keseluruhan untuk servis 80,000 km adalah RM1,088.49.

90,000 km

Sama seperti servis 10,000 km, 30,000 km, 50,000 km dan 70,000 km, kos servis kali ini adalah RM318.15. Perlu diingat yang ini adalah kali terakhir anda akan menikmati kos buruh percuma.

100,000 km

Untuk servis 100,000 km, kosnya tidak terlalu tinggi iaitu RM450.89 sahaja. Barang-barang yang perlu ditukar adalah minyak enjin, penapis minyak enjin, drain plug gasket, penapis bahan api, penapis kabin N95, dan pencuci cermin depan. Kos servis adalah RM90, manakala cukai servis 8% adalah RM7.20.

Konklusi

Kos keseluruhan servis berkala X70 2025 adalah RM5,172.88 untuk perbatuan 100,000 km/lima tahun pemilikan. Ini bermakna secara purata, pemilik perlu mengeluarkan belanja sebanyak RM1,034.57 setahun atau RM86.21 sebulan untuk servis.

Pengiraan ini penting kerana selain bayaran ansuran, pelanggan juga perlu mengambil kira kos servis serta kos-kos lain seperti petrol, insurans dan tol sebelum membuat keputusan.

Apple CarPlay kini boleh dimuat turun ke dalam Proton X70 2025

Proton mengumumkan bahawa Apple CarPlay kini tersedia untuk pemilik Proton X70 2025 yang dilancarkan pada Ogos lalu. Ini menjadikan X70 model pertama Proton untuk menerima ciri sambungan yang popular itu.

Menurut jenama automotif nasional itu, Apple CarPlay untuk X70 2025 boleh didapati menerusi kemas kini Over-the-Air (OTA) mulai 16 Oktober 2024.

Bermula daripada tarikh ini, pemilik kereta akan menerima notifikasi OTA secara berperingkat dan mereka hanya perlu mengikuti langkah-langkah berikut untuk memuat turunnya ke dalam kenderaan mereka:

Langkah 1: Muat turun dan pasang

  • Pakej kemas kini perisian akan dimuat turun sebaik sahaja ia tersedia untuk kenderaan pelanggan. Pengguna perlu memastikan enjin berjalan sehingga muat turun selesai.
  • Setelah selesai, pengguna boleh memulakan pemasangan pada bila-bila masa mengikut keselesaan mereka. Setelah pemasangan dimulakan, pengguna perlu memastikan enjin berjalan sehingga kemas kini perisian selesai.

Langkah 2: Sahkan versi perisian

  • Kemas kini perisian yang berjaya boleh disahkan di Tetapan Kenderaan di bawah [Maklumat Sistem] > [Tentang IHU]. Versi sistem terkini adalah SW3RBA10925H1141.
  • Versi ini mengandungi Apple CarPlay, prestasi sistem yang dipertingkat, serta pelbagai pembetulan pepijat untuk pengalaman pengguna yang lebih baik.

Langkah 3: Boleh mula guna

  • Dengan kemas kini perisian terkini dipasang, pengguna boleh menikmati kemudahan Apple CarPlay dengan memasangkan iPhone mereka, sama ada melalui sambungan USB ataupun tanpa wayar (Bluetooth).
  • Setelah iPhone berjaya dipasangkan ke sistem, pengguna boleh melancarkan antaramuka Apple CarPlay dengan menekan ikon.

3 benda yang ‘kureng’ tentang Proton X70 2025

Penulis secara peribadi menyukai Proton X70 2025 yang dilancarkan ke pasaran pada Ogos lalu. Ia bukan sekadar facelift kerana perubahan yang ditampilkan lebih bersifat menyeluruh, melibatkan aspek estetik luaran dan dalaman.

Pertama sekali, ia tampil dengan wajah yang lebih tampan berbanding sebelum ini. Yang kedua, sesi pandu uji media di Kota Kinabalu baru-baru ini membuktikan yang ia sebuah SUV yang cukup selesa.

Sistem suspensi terasa sedikit lebih keras dari versi CBU asal namun ketika melalui jalan berlubang-lubang dalam perjalanan menuju ke Kundasang, hentakan yang terhasil tidaklah terlalu kuat.

Selain itu, bukan sahaja deruman enjin tiga silinder pada kelajuan rendah tidak sejelas sebelum ini, malah bunyi lori dan trak pikap yang banyak di jalan raya di sekitar KK juga dihalang daripada meresap masuk ke kabin dengan baik.

Walau bagaimanapun, masih ada beberapa perkara yang penulis tidak gemar tentang kereta ini:

Rekaan bahagian belakang yang sama

Seperti yang penulis katakan, X70 2025 mempunyai wajah yang lebih tampan berbanding sebelum ini. Rekaan bahagian hadapan itu sebenarnya diambil daripada Geely Boyue facelift yang dikeluarkan dua tahun lalu tetapi bagi penulis, ia masih nampak segar di pandangan mata.

Cuma, bahagian belakang SUV ini seolah-olah tidak disentuh. Ya, Proton telah menambah reflector melintang (sebelum ini menegak) dan liang udara palsu pada bampar bagi membuatkan ia nampak lebih lebar namun tailgate dan lampu dibiarkan begitu sahaja, mungkin atas sebab kekangan daripada Geely.

Jadi jika anda lihat X70 baharu ini di jalan raya, anda mungkin menyangka yang ia adalah versi lama.

Tuil gear baharu yang agak pelik

Selain upholsteri kulit Nappa berwarna Stone Grey dan sistem pencahayaan ambien, benda baru lain yang terdapat di dalam kabin X70 2025 adalah tuil gear.

Rekaannya masih dikekalkan namun pada model facelift ini, butang P telah dialihkan. Ini bukan satu masalah, malah bagi penulis ia lebih mudah untuk digunakan.

Namun apa yang agak pelik di sini adalah paten menukar gear dalam mod manual. Kebiasaannya, anda perlu menolak tuil gear ke bawah untuk menaikkan gear dan ke atas untuk menurunkan gear.

Tetapi dengan X70 facelift, simbol ‘-‘ dan ‘+’ berada pada bahagian kiri dan kanan, bermakna anda perlu menolak tuil gear ke kiri untuk menurunkan gear dan ke kanan untuk menaikkan gear dalam mod manual.

Pintu tailgate kini boleh dibuka secara automatik tetapi…

Untuk memudahkan lagi pengguna, Proton telah menambah ciri Auto Open pada pintu tailgate. Ini bermakna anda tidak perlu lagi menekan apa-apa butang atau pun menghayun kaki di bawah bampar untuk membuka tailgate.

Apa yang anda perlu lakukan adalah berdiri dekat dengan tailgate (pastikan kunci berada di dalam poket) dan ia akan terbuka dengan sendirinya. Ciri ini memang sangat berguna terutamanya jika tangan anda penuh dengan barang.

Tetapi bagi penulis, ia masih boleh ditambah baik kerana tailgate mengambil masa yang agak lama untuk dibuka iaitu lebih lima saat.

@engear.tv 3 Benda Aku TAK SUKA Dengan Proton X70 2025 #fyp #carsoftiktok #proton #protonx70 #protoncars #protonmalaysia #suv #engeartv #malaysia ♬ original sound – Engear TV

Proton X70 2025 jelas lebih baik berbanding sebelum ini – Pandu Uji Ringkas

Ia bukanlah model bread and butter seperti Saga tetapi X70 akan selamanya dikenang sebagai model yang memainkan peranan terbesar dalam transformasi Proton.

Seperti yang anda tahu, X70 merupakan model pertama yang ‘dilahirkan’ menerusi kerjasama antara Proton dan Geely yang terjalin pada 2017.

Selain itu, ia juga bertanggungjawab membawa Proton meneroka segmen pasaran SUV yang sangat mencabar. Jadi penulis boleh katakan yang X70 sememangnya mempunyai tempat dalam lipatan sejarah pengeluar kenderaan nasional itu.

Dalam sedar tak sedar, sudah enam tahun X70 berada dalam pasaran Malaysia dan dalam tempoh itu, SUV segmen C itu pernah dikemas kini sekali iaitu pada 2022, di mana ia mendapat enjin tiga silinder X50 dan beberapa ciri baharu lain.

Kini, setelah hampir dua tahun berlalu, X70 sekali lagi diberikan penambahbaikan namun kali ini, perubahan yang ditampilkan lebih bersifat menyeluruh kerana turut melibatkan aspek estetik luaran dan dalaman.

Secara ringkasnya, X70 versi facelift ini tampil dengan ‘wajah’ yang diambil daripada Geely Boyue facelift yang dikeluarkan dua tahun lalu. Rupanya sudah dua tahun berlalu tetapi bagi penulis, ia masih nampak segar di mata.

Dengan lampu LED yang lebih tajam dan langsing, ditemani dengan gril lebih lebar yang dihiasi krom pin ala Mercedes-Benz, X70 kini kelihatan jauh lebih tampan berbanding sebelum ini.

Pendek kata, anda tidak akan mempunyai sebarang masalah mengenal pasti model facelift ini di jalan raya. Namun ia mungkin sedikit sukar jika anda melihatnya dari belakang kerana selain bamparnya yang diubah sedikit, bahagian belakang X70 baharu tidak banyak berubah.

Ruang dalaman turut diberikan penampilan lebih segar. Perkara pertama yang anda akan perasan adalah upholsteri kulit Nappa berwarna kelabu Stone Grey pada tempat duduk, panel pintu dan perehat tangan.

Ia tidak semewah warna coklat sebelum ini namun sekurang-kurangnya penggunaan warna lebih cerah membuatkan ruang kabin terasa seolah-olah lebih luas.

Selain itu, terdapat juga pencahayaan ambien dengan 72 pilihan warna yang boleh berubah mengikut rentak muzik yang dimainkan. Cuma sayangnya, X70 kini tidak lagi menggunakan sistem audio Kenwood sembilan pembesar suara.

Perubahan paling besar bagi penulis adalah ketibaan sistem Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, menjadikan X70 kereta Proton pertama yang mempunyai sistem berkenaan.

Walau bagaimanapun, ciri ini masih belum tersedia atas sebab-sebab tertentu. Proton berkata ia akan dimasukkan ke dalam skrin sentuh 12.3 inci menerusi kemas kini atas udara (OTA) kelak.

Sebenarnya banyak penambahbaikan lain yang diterapkan ke dalam model facelift ini. Menurut Proton, SUV ini mempunyai 360 bahagian baharu, manakala proses R&D pula mengambil masa 290,000 jam.

Penulis rasanya inilah sebabnya kenapa syarikat itu mengadakan sesi pandu uji media di Kota Kinabalu. Kepelbagaian bentuk muka bumi dan keadaan jalan raya yang kononnya tidak sebaik di Semenanjung menjadikan KK ‘lapangan’ terbaik untuk menguji prestasi keseluruhan X70.

Pertama sekali, penulis boleh mengatakan dengan yakin yang X70 adalah sebuah SUV yang selesa. Sistem suspensi terasa sedikit lebih keras dari versi CBU asal namun ketika melalui jalan berlubang-lubang dalam perjalanan menuju ke Kundasang, hentakan yang terhasil tidaklah terlalu kuat.

Pengendaliannya juga dirasakan lebih responsif berbanding sebelum ini tetapi agak mengecewakan kerana stereng masih agak ringan bagi penulis. Menukar mod EPS dari Comfort kepada Sport juga tidak memberikan sebarang perubahan ketara dari segi rasa.

Namun penulis agak berpuas hati dengan aspek NVH. Bukan sahaja deruman enjin tiga silinder pada kelajuan rendah tidak sejelas sebelum ini, malah bunyi lori dan trak pikap yang banyak di jalan raya di sekitar KK juga dihalang dengan baik.

Mereka yang mengharapkan kuasa lebih tinggi akan kecewa kerana enjin TGDI 1.5-liter tiga silinder itu masih menghasilkan kuasa yang sama iaitu 177 PS pada 5,500 rpm dan 255 Nm dari 1,500 hingga 4,000 rpm.

Namun ini tidak bermakna enjin itu tidak disentuh langsung. Menurut Proton, ia telah menambahbaik beberapa aspek seperti kecekapan pembakaran, pengurusan termal dan pengurangan geseran.

Hasilnya, enjin itu mampu memberikan bacaan penggunaan bahan api 4% lebih rendah berbanding sebelum ini iaitu 7.3 liter/100 km. 4% adalah angka yang sangat kecil tetapi lebih baik daripada tak ada langsung kan?

Dari segi kuasa, X70 membuktikan yang ia tidak ada masalah memecut dan memotong kenderaan lain walaupun sedang mendaki bukit dengan empat orang penumpagn dewasa.

Masih tiada paddle shifter, jadi untuk menukar gear secara manual, anda perlu menggunakan tuil cuma anda perlu membiasakan diri menggerakkan tuil ke kiri dan ke kanan dan bukannya ke atas dan ke bawah seperti kebanyakan kereta lain.

Bagi penulis, X70 jauh dari sempurna namun rekaan lebih menonjol, serta pelbagai ciri baharu yang dibawakan menerusi kemas kini terbaru ini menjadikannya satu penawaran yang lebih baik dalam segmen yang sengit.

Spesifikasi Proton X70 2025

Harga: RM98,800-RM126,800
Enjin: TGDI 1.5-liter, tiga silinder
Kotak gear: Automatik tujuh kelajuan
Kuasa: 177 PS @ 5,500 rpm
Tork: 255 Nm @ 1,500-4,000 rpm

Proton X70 2025 – apa yang anda perlu tahu

Sedar tak sedar, model pertama hasil kerjasama antara Proton dan Geely iaitu X70 sudah berada dalam pasaran sejak lewat Disember 2018.

Dalam tempoh itu, ia telah menerima beberapa kemaskini namun untuk model tahun 2025, SUV itu mendapat penambahbaikan yang lebih menyeluruh.

Ini adalah beberapa perkara yang anda perlu tahu mengenai Proton X70 2025:

  • Ia boleh didapati dalam empat varian iaitu Standard, Executive, Premium dan Premium X.
  • Model facelift ini mempunyai 360 bahagian baharu, dan proses R&D mengambil masa 290,000 jam. Ujian jalan raya telah dijalankan melibatkan jarak sejauh 4.2 juta km.

  • X70 2025 mendapat wajah lebih segar yang diambil dari Geely Boyue facelift 2022. Selain lampu LED baharu, ia tampil dengan gril lebih besar dengan perincian ala berlian, serta bonet, bampar dan dapra yang direka semula. Untuk belakang, terdapat bampar baharu dengan pemantul melintang.
  • Rim aloi juga diberi rekaan terkini, dengan saiz 18 inci untuk Executive dan 19 inci.

  • Ada lima warna untuk dipilih iaitu Snow White, Armous Silver, Jet Grey, Ruby Red dan warna baharu Marine Blue.
  • Papan pemuka direka semula, kini menampilkan trim berwarna hitam piano dan pencahayaan ambien dengan 72 pilihan warna yang berubah mengikut muzik.

  • Terletak pada bahagian tengah papan pemuka adalah skrin infohibur 12.3 inci baharu. Buat pertama kalinya untuk Proton, Apple CarPlay dan Android Auto disertakan.
  • Selain itu, X70 2025 mendapat stereng baharu, paparan baharu pada panel meter LCD dan upholsteri kulit Nappa dalam warna Stone Grey.

  • Dari segi kelengkapan, X70 kini tampil dengan Walk Away Auto Lock, manakala tailgate kuasanya kini mempunyai fungsi Nearby Auto Open untuk operasi bebas tangan.
  • ADAS tersedia pada varian Premium dan Premium X. Ia merangkumi beberapa ciri baharu iaitu Adaptive Cruise Control dengan Stop & Go, Intelligent Cruise Control, Lane Departure Warning, Lane Departure Prevention, Lane Centering Control, Traffic Sign Information dan Rear Collision Warning.

  • Semua varian dikuasakan oleh enjin 1.5-liter TGDI tiga silinder yang menghasilkan 5,500 rpm dan 255 Nm dari 1,500-4,000 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi DCT tujuh kelajuan.
  • Dengan penambahbaikan yang melibatkan aspek kecekapan pembakaran, pengurusan termal dan pengurangan geseran, enjin ini mencatat penggunaan bahan api 7.3 liter/100 km, iaitu 4% lebih baik berbanding X70 2022.
@engear.tv Tonton dulu sebelum Booking Proton X70 2024! #proton #x70 #protonx70 #protonmalaysia #facelift #booking #engeartv #malaysia #fyp #carsoftiktok ♬ original sound – Engear TV

Proton X70 2025 dibuka untuk tempahan, sekarang dengan Apple CarPlay/Android Auto

PROTON hari ini mengumumkan bahawa Proton X70 2025 kini sudah boleh ditempah.

Mereka yang berminat boleh membuat tempahan dengan bayaran deposit RM500 di mana-mana bilik pameran 3S dan 4S Proton.

Versi facelift ini menampilkan bahagian luar yang diperbaharui dengan ketara serta prestasi yang lebih baik, sekali gus menjadikannya lebih menarik.

Hampir enam tahun selepas ADAS diperkenalkan untuk SUV segmen C premium, X70 2025 kini dilengkapi dengan sistem ADAS tahap 2 yang dipertingkatkan untuk keselamatan dan kemudahan yang lebih baik.

Bukan itu sahaja, ia juga didatangkan dengan Android Auto dan Apple CarPlay yang boleh diakses menerusi skrin infohibur berukuran 12.3 inci.

Aplikasi PROTON Link juga menerima fungsi tambahan untuk menghidupkan enjin dan menyejukkan kenderaan dari jarak jauh.

Selain itu, bahagian dalaman dikemas kini dengan tempat duduk kulit Nappa berwarna kelabu batu dan lampu suasana berirama yang pelbagai warna.

Proton berkata maklumat tambahan akan didedahkan semasa pelancaran rasmi tidak lama lagi.

Sama seperti X50 2024, Proton akan menawarkan harga dan pakej istimewa untuk pelanggan awal X70 2025 sebagai tanda penghargaan atas kepercayaan dan sokongan terhadap syarikat itu.