Tag Archives: X90

Proton X90 didedah secara rasmi – 4 varian, 6 atau 7 tempat duduk

SETELAH pelbagai laporan dan spekulasi, Proton akhirnya mendedahkan SUV ketiga dan kenderaan tenaga baharu (NEV) pertama mereka dalam satu acara prebiu eksklusif di studio rekaannya di Shah Alam.

Ya, seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini, model itu akan dikenali secara rasmi sebagai Proton X90. Ia akan ditawarkan dalam empat varian iaitu Standard, Executive, Premium dan Flagship, dengan pilihan enam atau tujuh tempat duduk. Walau bagaimanapun, harganya masih belum diumumkan.

Apa yang kami tahu setakat ini, X90 sah akan menampilkan trenkuasa mild hybrid yang terdiri daripada enjin 1.5-liter TGDi yang sama seperti pada X50 dan X70, serta sistem Sinergi Motor Elektrik (EMS) 48V.

Sistem itu merangkumi enam komponen utama iaitu motor Belt-Starter Generator (BSG) 48V, penukar DCDC, bateri litium-ion, sistem pengurusan bateri, sistem brek pemulihan dan sistem kawalan modul hibrid.

Secara sendirinya, enjin itu mempunyai 177 PS dan 255 Nm namun apabila digabungkan dengan 13 PS dan 45 Nm yang dibekalkan oleh EMS, ia mampu menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 190 PS dan 300 Nm. Output disalurkan ke roda hadapan oleh transmisi klac berkembar tujuh kelajuan.

Reka bentuk luaran X90 tidak jauh berbeza dengan model asal iaitu Geely Haoyue cuma ia menampilkan elemen-elemen Proton yang tersendiri seperti pin krom pada bahagian gril dan tulisan ‘PROTON’ pada tailgate. Perkara yang sama juga boleh dikatakan untuk ruang dalaman model ini.

Dari segi kelengkapan, SUV ini didatangkan dengan lampu LED dengan lampu nyalaan siang, lampu isyarat berjujukan dan rim 19 inci. Di dalam, anda akan menemui balutan kulit Nappa serta skrin sentuh infohibur berukuran 12.3 inci dan kluster insutrmen digital 10 inci.

Selain itu, terdapat juga tujuh pengecas USB, satu pengecas wayarles, pendingin hawa dua zon dengan corong untuk setiap barisan tempat duduk, ciri pelarasan dan ventilasi tempat duduk, serta penapis udara N95 G-Clean.

Bagi sistem bantuan pemandu (ADAS) pula, X90 akan didatangkan dengan 14 ciri termasuk tiga ciri baharu iaitu Rear Collision Warning, Rear Cross Traffic Alert dan Traffic Sign Information. Auto Park Assist, kamera 360 darjah dengan paparan 3D dan Tyre Pressure Monitoring System turut disertakan.

Proton X90 dipertonton buat julung kali, produksi kini bermula di Tg Malim

BUKANLAH suatu rahsia bahawa Proton akan mengembangkan rangkaian modelnya tahun ini dengan model SUV yang ketiga selepas X70 dan X50.

Model berkenaan, yang dijangka dinamakan sebagai Proton X90, telah pun dipertontonkan kepada pihak media sejurus selepas majlis pelancaran rangkaian stamping baharu di kilang Proton di Tanjung Malim.

Spesifikasi rasmi masih belum didedahkan namun menurut Proton, X90 bakal menjadi model pertamanya yang menawarkan teknologi hibrid.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, SUV tiga tempat itu berkemungkinan menggunakan gabungan enjin 1.5-liter turbo dan teknologi BSG (belt starter generator) yang dibangunkan oleh Geely.

BSG berfungsi memberi bantuan kuasa sementara semasa pecutan untuk merendahkan penggunaan bahan api, selain mengembalikan kuasa semasa coasting (meluncur).

Gabungan tersebut dikatakan mampu menghasilkan output berjumlah 190 PS dan 300 Nm. Untuk transmisi, ia dijangka menggunakan kotak gear dwi-klac 7 kelajuan seperti yang terdapat pada X50 dan X70 MC2.

Dari segi reka bentuk, gambar rasmi tunggal yang disiarkan menunjukkan bahawa model itu mempunyai reka bentuk gril yang berbeza daripada X50 dan X70. Sekilas pandang, ia tidak ubah seperti gril Mercedes-Benz dengan pin berlian yang mengelilingi logo jenama.

Selain itu, unit yang dipertontonkan itu juga dilihat menggayakan warna biru gelap baharu (berkemungkinan warna Deep Marine Blue).

Timbalan Ketua Eksekutif Pegawai, Proton, Roslan Abdullah berkata pihaknya akan mengadakan pratonton media dan sesi suai kenal pelanggan sebelum melancarkan SUV baharu itu ke pasaran.

“Ini merupakan langkah penting dalam perjalanan NEV (Kenderaan Tenaga Baharu) kami yang akan secara beransur memberi penekanan pada teknologi hibrid sebelum kami melancarkan Proton EV yang pertama,” tambah beliau.

Proton X90 bakal dapat enjin mild-hybrid 190hp/300Nm, 4 varian, lancar sebelum Raya?

ANDA pasti telah banyak melihat gambar-gambar intipan Proton X90 di media sosial, dan nampaknya SUV segmen-D itu bakal dilancarkan tidak lama lagi. Menurut beberapa sumber yang dilaporkan oleh Wapcar, Proton X90 mungkin memasuki pasaran dalam suku pertama ini.

Gambar oleh: Sam Ho

X90 juga dikatakan bakal menjadi model hibrid pertama Proton. Tetapi ia bukanlah hibrid sepenuhnya seperti Toyota Corolla Cross dan Honda HR-V, sebaliknya X90 akan menampilkan sistem mild hybrid (MHEV) 48 volt.

Gambar oleh: Adi Irfan

Unit yang akan digunakan ialah BSG (belt starter generator) Geely, dipadankan pada enjij 1.5-liter turbo. Secara umumnya, BSG akan memberi bantuan kuasa sementara semasa pecutan untuk merendahkan penggunaan bahan api, selain mengembalikan kuasa semasa coasting (meluncur).

Menurut Funtasticko, output gabungan BSG dan enjin adalah sekitar 190hp dan 300Nm tork. Kuasa ini dijangkan disalurkan ke roda depan melalui kotak gear automatik dwi-klac 7-kelajuan, iaitu transmisi sama pada X50 dan X70 MC2.

Gambar oleh: Adi Irfan

Funtasticko juga menambah bahawa Proton X90 akan ditawarkan dengan empat varian (Standard, Executive, Premium, dan Flagship), dengan enam warna badan termasuk satu warna baharu Deep Marine Blue.

Tiada harga anggaran didedahkan, tetapi apa pendapat anda mengenai Proton X90 setakat ini? Kami jangkakan ia dijual pada harga anggaran sekitar RM120k hingga RM145k.

Sasar 150,000 jualan kenderaan, Proton sedia tawar ‘senjata’ baharu

PROTON menyasarkan pengeluaran lebih 150,000 unit kenderaan tahun ini.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Proton menerusi akaun media sosial Facebook miliknya sebelum ini.

Berdasarkan kenyataan Li Chunrong itu, Proton tampak yakin untuk terus menguasai pasaran automotif negara ini.

Ia juga mengundang “cakap-cakap” keyakinan Proton itu didorang oleh pengenalan model baharu dikenali sebagai X90.

Menerusi pemerhatian di media sosial, model utiliti sukan (SUV) itu sering kelihatan di beberapa kawasan untuk diuji di jalan raya.

Kelibat model kenderaan dipercayai Proton X90 di Subang Jaya. – Foto bleh Engear

Selain itu, Proton juga turut dilihat menguji model sedan terlarisnya iaitu Saga yang juga akan dilancarkan tahun ini.

Model diberi nama Saga 2022 dikatakan mempunyai beberapa ciri menarik termasuk sistem tanpa kunci konvensional atau keyless.

Sasar pasaran antarabangsa

Sedar akan persaingan sengit dunia automotif, Proton semakin serius dengan pasaran eksport.

Saban tahun, statistik jualan Proton mula menunjukkan pertumbuhan di pasaran antarabangsa.

Hasil keputusan itu, Proton telah sekali lagi mengumumkan akan kembali ke pasaran negara jiran iaitu Thailand dan Indonesia.

Ironinya, perancangan Proton itu sudah pasti telah dirangka sejak sekian lama.

Saga facelift mendapat permintaan luar biasa daripada para pelanggannya. – Foto ihsan Proton

Ini kerana Chunrong pernah mendedahkan bahawa Proton akan memastikan menguasai pasaran di carta pertama sebelum mencuba nasib di Thailand dan Indonesia.

Walau apa jua perancangan Proton, penulis yakin syarikat itu berada pada landasan tepat untuk membina pertumbuhan dan hasil jualan yang memuaskan.

Kerjasama Proton dan Smart sebelum ini juga membuktikan syarikat itu sedia menerima perubahan demi perubahan agar kekal utuh di pasaran automotif.

Selamat maju jaya Proton!