Tag Archives: xc60

Volvo XC60 Recharge T8 kemuncak teknologi hibrid – Pandu uji

VOLVO pada 2021 pernah berkata kereta mereka akan menjadi elektrik sepenuhnya (EV) menjelang 2030. “No buts, no ifs”, orang putih kata. Tak ada tapi-tapi lagi. Dah nekad menghala ke arah itu.

Pada 2024 ini pun, sudah dapat dilihat inisiatif mereka untuk mencapai hala tuju itu. Semakin banyak model-model EV ditawarkan, dan ada model baharu yang terus EV tanpa sebarang model petrol.

Sebagai contoh model seperti XC90 dan XC40 ditawarkan dengan varian petrol dan hibrid, tetapi C40 hanya hadir dalam pilihan elektrik sepenuhnya. Begitu juga EX90 yang akan datang beberapa tahun lagi, langsung tiada penawaran enjin ICE (pembakaran dalaman).

Apa pun, untuk kali ini, kita ingin melihat Volvo XC60 Recharge T8 2024. XC60 merupakan SUV saiz pertengahan – di atas XC40 dan di bawah XC90 – dan Recharge T8 ialah penanda bahawa ianya versi plug-in hybrid (PHEV).

Dengan Volvo semakin ke arah elektrifikasi sepenuhnya dan kita melihat XC60 Recharge T8 2024, mungkinkah ini antara variasi terakhir hibrid mereka? Dan penulis dapat rasakan inilah kemuncak teknologi hibrid Volvo.

Nampak sama je, apa yang berbeza?

Ya, Volvo XC60 baharu ini nampak hampir serupa dengan versi sebelumnya kerana 2023 pun masih baharu. Jujur kata, terlalu sedikit perubahan kosmetik pada XC60 Recharge T8 ini, seolah-olah perbandingan iPhone 15 dengan iPhone 14 sahaja.

Ini pendekatan minimalis yang tidak menunjuk-nunjuk, sesuai sifat Volvo (dan pemilik mereka, mungkin). Tetapi perubahan sebegini pasti kurang disukai oleh kebanyakan pembeli biasa yang mahu mengumumkan kepada dunia bahawa mereka beli kereta terbaru.

Paling penting untuk 2024 adalah dari segi teknikal dimana sistem janaan kuasa XC60 ini ditambah baik. Bateri hibridnya kini lebih besar iaitu 19kWh dan mampu membekalkan pemanduan mod elektrik sehingga 81km.

Sistem pengecas bersepadunya menyokong sehingga 6.4kW, bermakna pengecasan penuh bateri dengan kabel luaran kini memerlukan tiga jam sahaja berbanding sebelumnya (lima jam).

Output keseluruhan dikekalkan pada 462hp dan 709Nm iaitu memasuki liga kereta sports, terima kasih kepada gabungan enjin petrol dan motor elektrik. Enjin itu sendiri menghasilkan 317hp dan 400Nm, manakala motor elektrik membekalkan tambahan 145hp dan 309Nm.

Secara keseluruhan, penulis sentiasa suka dengan rekaan dan pakej Volvo XC60 ini kerana ia di tengah-tengah. Tidak begitu kecil seperti XC40 dan tidak terlalu besar seperti XC90. Rupa juga cukup kemas, segak, dan menampakkan premium dan kelas.

Cuma unit pandu uji ini dengan warna Crystal White dan kabin kelabu sedikit membosankan. Jika anda beli sebarang model Volvo, ambillah warna selain putih, hitam, dan kelabu. XC60 2024 turut ditawarkan dengan Denim Blue dan Vapour Grey (baharu), mungkin warna-warna ini lebih menarik.

Seronok dipandu?

Anda pernah terfikir kenapa kereta seperti Rolls-Royce, Bentley, Range Rover Sport, atau Mercedes S-Class seronok dipandu walaupun berat? Kerana mendapat enjin berkuasa.

Walaupun tidak dipandu laju, enjin berkuasa pada badan berat menawarkan pengalaman pemanduan unik, begitu selesa untuk perjalanan jauh.

Beginilah juga pengalaman pemanduan Volvo XC60 Recharge T8, kuasa melebihi 400hp dan 700Nm bukanlah untuk ia menjadi lincah di selekoh, tetapi lebih kepada rasa premium, selesa dan empuk. Kuasa yang tinggi juga memberikan keyakinan sebagai contoh susur lebuh raya atau memotong.

Tetapi ini bukanlah bermakna XC60 PHEV ini tidak laju. Ia tetap mampu memecut ke 100km/j dalam masa 4.8 saat. Ya, lebih pantas dari kebanykana hot hatch. Jangan dilupa bahawa XC60 ini seberat 2,660kg ya…

Satu ‘masalah’ yang penulis hadapi sepanjang beberapa hari memandu Volvo XC60 baharu ini ialah kesukaran menghabiskan tangki minyaknya. Semasa mula mengambil kereta, bacaan komputer menjangkakan penulis akan dapat memandu 610km dengan tangki penuh dan bateri dicas penuh.

Tetapi selepas memandu 660km hujung minggu sekitar Kuala Lumpur dan hingga ke Sekinchan, penulis masih mempunyai baki 150km dalam tangki semasa memulangkan kereta ini kepada pihak Volvo Car Malaysia! Ini bermakna penulis mungkin dapat memandu sekurang-kurangnya 810km.

Penggunaan bahan api direkodkan pada 8.5 liter/100km, atau 11.8km per liter. Not bad untuk kereta berkuasa 400hp seberat 2.6 tan.

Membuatkan penulis merasa dunia ini tidak adil kerana orang yang mampu membeli kereta lebih RM350,000 mendapat penjimatan bahan api yang sama dengan pemandu Myvi, tetapi Volvo ini empat kali lebih berkuasa. Inilah teknologi namanya…

Maklumat-maklumat ini juga bermakna sistem hibrid pada Volvo XC60 Recharge T8 ini berkesan dalam memberikan imbangan antara kuasa, prestasi, dan penjimatan. Sistem hibrid ini mencukupkan kuasa di keadaan enjin memerlukan, dan tenaga kinetik kereta disalurkan semula ke dalam bateri untuk digunakan kemudian.

Dari aspek lain, impresi penulis terhadap Volvo XC60 masih sama iaitu ia kenderaan yang mudah dan selesa dipandu, baik untuk jarak dekat menguruskan aktiviti harian atau untuk perjalanan hujung minggu dengan keluarga.

Walaupun berat dan tidak lincah di selekoh, Volvo XC60 cukup stabil dan meyakinkan. Anda hanya perlu berikan input yang lembut dan lancar, pasti XC60 ini melalui jalan-jalan berliku dengan bersahaja tetapi pantas.

Oh ya, sistem audio Bowers & Wilkins High Fidelity harus diberikan pujian kerana menyumbang kepada muzik yang lunak sepanjang perjalanan anda. Antara yang terbaik dalam industri.

Berbaloi?

Volvo XC60 Recharge T8 2024 ini ditawarkan pada harga RM357,888 dan hadir dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan.

Adakah ianya pembelian berbaloi? Jika anda mahu sebuah SUV premium dengan kelas tersendiri, padat teknologi keselamatan terkini, selesa, menjimatkan, dan anda belum bersedia beralih kepada elektrifikasi sepenuhnya, ini antara model paling sesuai.

Tetapi jika anda mencari pengalaman pemanduan sporti dan lincah, mungkin boleh beralih ke model lain.

Apa pun, bagi penulis, XC60 Recharge T8 ini ialah kemuncak kepada teknologi hibrid Volvo sebelum enjin ICE tidak lagi ditawarkan di bilik pameran mereka. Dan kemuncak ini boleh dikatakan sebagai sesuatu yang berjaya dan bermakna.

Spesifikasi Volvo XC60 Recharge T8 2024

Harga: RM357,888
Enjin: 2.0-liter turbo petrol
Kotak gear: Automatik 8-kelajuan
Kuasa: 317hp @ 6,000rpm
Tork: 400Nm @ 3,000 hingga 4,500rpm
Motor elektrik: 145hp/309Nm
Output keseluruhan: 462hp/709Nm

Volvo XC60 Recharge T8 Ultimate: Pengalaman PHEV lebih mudah dan bermakna – Pandu uji

CUBA anda perhatikan kotoran dan percikan tanah yang naik di skirt sisi serta bampar Volvo XC60 ini, nampak seperti SUV yang betul-betul dimanfaatkan kemampuannya, bukan? Barulah Sports Utility Vehicle, cewah.

Penulis rasa rugi bagi pemilik SUV jika tidak pernah langsung mereka pandu kenderaan mereka melalui jalan off-road sekali-sekala, walaupun model premium seperti XC60 ini.

Sama macam Land Rover Defender 90 yang kami pandu sebelum ini, kami juga uji memasuki off-road, berlagak seperti taukeh ladang sawit.

Apa pun, Volvo XC60 yang anda lihat ini ialah varian Recharge T8 Ultimate versi terkini. Untuk yang belum tahu, Recharge bermaksud model itu plug-in hybrid (PHEV), T8 merujuk kepada tahap kuasa yang mampu dihasilkan, dan Ultimate bermaksud trim atau kemasannya.

Volvo XC60 Recharge T8 merupakan antara beberapa SUV premium PHEV dalam pasaran, sudah beberapa tahun ditawarkan, tetapi kemas kini yang terkini menjadikan ia model lebih menarik dan mudah dipandu.

Antara komen mengenai model PHEV sebelum ini ialah jarak dibekalkan bateri terlalu kecil, tidak berbaloi pemanduan mod elektrik terlalu singkat.

Jadi dengan teknologi bateri dan motor elektrik yang semakin matang, Volvo XC60 Recharge T8 kini boleh dipandu sehingga 81km tanpa menggunakan setitis petrol langsung.

Elektrifikasi dipertingkat, lebih mudah

Jarak 81km tadi disumbangkan oleh bateri 18.8kWh kini yang menggantikan bateri 11.6kWh sebelumnya, dengan jarak pemanduan 45km. Walaupun anda takkan dapat 81km dalam pemanduan harian sebenar, tapi pengikut pengalaman penulis, 65 hingga 70km adalah realistik, boleh dicapai.

Ini menjadikan pemanduan XC60 sebagai sebuah PHEV lebih menarik. Jika kena caranya, anda boleh pandu ulang-alik ke tempat kerja berminggu-minggu tanpa mengisi minyak!

Bagaimana? Katakan jarak tempat kerja dari rumah anda kira-kira 30km. Anda keluar rumah pagi dengan bateri dicas penuh, bekalan jarak 70km. Anda sampai ke pejabat berbaki 35km atau separuh bateri, anda cas di parkir pejabat beberapa jam, dan anda pulang ke rumah dengan bateri penuh.

Sampai di rumah, anda cas lagi untuk pagi esok semula. Isnin hingga Jumaat langsung tidak perlu isi petrol. Kemudian hujung minggu mungkin memandu menggunakan enjin dan petrol seperti biasa untuk bercuti ke Pulau Pinang semalaman, itu pun 70km pertama guna mod elektrik. Amacam?

Ini yang penulis katakan fungsi PHEV pada XC60 Recharge T8 kini lebih signifikan dan lebih bermakna.

Masa diperlukan untuk mengecas SUV ini ialah sekitar tiga jam dengan AC 3.6kW, sementara menggunakan soket rumah 220 volt adalah lebih perlahan, antara empat hingga lapan jam. Tetapi kita tidak mengejar masa jika mengecas di rumah waktu malam, bukan?

Dengan bateri lebih besar, motor elektrik XC60 ini juga kini lebih berkuasa, menghasilkan 158hp. Digandingkan pula dengan enjin petrol 2.0-liter turbo yang juga lebih berkuasa (317hp dan 400Nm), Volvo XC60 Recharge T8 Ultimate ini mempunyai output keseluruhan 462hp dan 709Nm tork!

Ya, sudah hampir menyamai supercar.

Enjin petrol tadi menyalurkan kuasanya ke roda depan melalui kotak gear 8-kelajuan, manakala motor elektrik menghantar kuasa ke roda belakang. Ini menjadikan XC60 ini sebuah SUV pacuan semua-roda sebenar.

Dengan kuasa maksima apabila bateri dicas penuh, Volvo XC60 Recharge T8 seberat 2.1 tan ini mampu mencapai 100km/j dalam masa 4.8 saat sahaja.

Kabin minimalis yang selesa, padat teknologi

Kabin XC60 seperti biasa seperti model-model lain dalam barisan Volvo hari ini, ringkas dan minimalis. Ia kemas, tidak menyemakkan mata, tetapi pada masa yang sama penuh fungsi praktikal.

Sekilas pandang, XC60 Recharge T8 ini tidak nampak berbeza kabinnya dengan versi-versi tahun sebelumnya. Tetapi perubahan terbesar ialah sistem infotainmen dengan pakej Google binaan dalam, lengkap dengan Google Maps yang boleh digunakan tanpa sambungan telefon pintar.

Lebih penting lagi, Google Maps di sini mempunyai menu tambahan untuk mencari lokasi pengecas awam. Sama seperti penulis katakan di atas tadi, ini menjadikan pengalaman PHEV bersama Volvo XC60 ini lebih menarik, praktikal, dan mudah digunakan.

@engear.tv Cara midah cari charging station dengan Volvo XC60! #volvo #volvoxc60 #xc60 #suv #hybrid #charging #engeartv #malaysia #fyp #carsoftiktok #tiktokmalaysia ♬ original sound – Engear TV

Dan sebenarnya fungsi Google Maps dalam unit infotainmen ini juga terdapat pada model-model Recharge lain sama ada PHEV atau EV (elektrik sepenuhnya).

Kabin Volvo XC60 kekal sebagai suatu tempat yang selesa untuk diduduki dalam tempoh lama, sebagai contoh bila terperangkap dalam kesesakan trafik atau semasa memandu untuk perjalanan jauh. Ada yang berkata, “Beli kereta mahal-mahal pun sangku dalam ‘jem’, kena bawa 110km/j juga.”

Ya, tetapi apa salahnya kita berada dalam kenderaan yang jauh lebih selesa. Sekurang-kurangnya bila sampai destinasi, tidak perlu suruh orang rumah urut bahu kita. Dengan XC60 ini, penulis langsung tidak rasa penat walaupun memandu lebih tiga jam dalam sehari dan pergi ke banyak tempat.

Keselesaan ini bukan sekadar tempat duduk yang suportif dan empuk, tetapi juga dari segi rekaan kabin dan rasa semua tombol dan suis. Semuanya mudah dan sedap digunakan, sebagai contoh tuil lampu isyarat dan bilah corong pendingin hawa, rasa ‘berat’ cukup seimbang antara premium dan fungsi.

Sebenarnya perkara-perkara kecil sebegini yang membuatkan kita sedar kemana wang kita pergi bila membeli kereta premium. Bukan semuanya dapat dilihat atas kertas risalah atau gambar Google.

Panel instrumen digital juga telah dikemas kini dengan grafik baharu, sementara fungsi lain dalam sistem infotainmen dikekalkan. Semua mod pemanduan, kawalan pendingin hawa, serta fungsi-fungsi lain untuk kereta ‘disimpan’ dalam skrin potret menegak.

Ia mudah untuk dipelajari, cuma sama seperti komen penulis dalam laporan pandu uji sebelum-sebelum ini, pelarasan fungsi asas melalui skrin sesentuh bukanlah sesuatu yang paling ideal. Diharapkan Volvo akan mengubah aspek ini untuk kenderaan generasi baharu nanti.

SUV premium saiz paling ideal

Ini bukan kata-kata berat sebelah, tetapi Volvo XC60 merupakan antara model idaman penulis untuk kategori kereta keluarga, malah SUV kegemaran penulis dari jenama Sweden ini. Sebab utama ialah XC60 mempunyai saiz yang sederhana, tidak terlalu besar.

Penulis tidak perlukan saiz penuh seperti XC90, manakala XC40 pula cukup untuk dua dewasa sahaja di belakang. XC60 boleh memuatkan tiga dewasa dengan selesa.

Saiz sederhana ini juga seimbang dari segi kawalan semasa pemanduan. Walaupun mempunyai kuasa maksima setanding kereta sports, kita tidak boleh melawan hukum fizik dimana Volvo XC60 ini mempunyai berat hampir dua kali ganda kereta sports.

Jadi kuasanya bukan untuk pecutan dan kelincahan, tetapi lebih kepada kesedapan pemanduan. Sedap macam mana tu? Sedap dimana anda ada keyakinan untuk memotong, dapat meluncur di lebuh raya dengan selesa, dan pada masa yang sama, tetap cekap dan menjimatkan bahan api.

XC60 ini terasa lembut dan berat dalam mod seperti Hybrid, Pure, dan AWD. Tetapi jika anda masuk ke mod Power, talaan respon pedal minyak dan pertukaran gear ‘mengubah’ SUV ini menjadi lincah. Sentuh sedikit sahaja pedal, anda sudah melonjak ke depan menyaingi Volkswagen Golf GTI di sebelah.

Mod Off-road lebih kepada ‘melembutkan’ respon enjin agar kuasa disalurkan dengan sesuai untuk permukaan tidak rata dan dengan cengkaman rendah, seperti dalam lumpur. Jika respon terlalu mengejut, tayar akan ‘menggali’ ke dalam dan bukannya memacu kenderaan ke depan.

Penulis sempat uji mod Off-road (ringan-ringan) semasa memasuki ladang sawit dan mendaki menuju Jelatok Retreat Farm di Lenggeng, Negeri Sembilan.

Rupa segak dan ‘evergreen’

Akhir sekali, penulis suka rupa dan penampilan XC60 Recharge T8 ini yang segak tetapi evergreen. Walaupun hanya perubahan kecil diberikan setiap tahun, ia tetap nampak ‘segar’ kerana rupa asalnya yang sudah sedia kemas.

Semua garisan adalah sekadar perlu sahaja, tidak melebih-lebih dan keterlaluan. Trim Ultimate kali ini lebih sporti sebenarnya berbanding Inscription Plus sebelum ini. Tetapi perubahan adalah minima, mungkin jika diletakkan bersebelahan model lama dan baharu, baru nampak bezanya.

Cuma penulis suka bampar depan Ultimate ini yang lebih agresif dan sporti, dengan panel hitam serta ruang bukaan udara lebih besar.

Sebagai kesimpulan, Volvo XC60 Recharge T8 bukan sekadar menjadikan kenderaan PHEV lebih masuk akal untuk dipilih bagi mereka yang belum sedia untuk beralih ke EV sepenuhnya, tetapi pengalaman PHEV itu sendiri telah ditambah baik.

Adakah PHEV berkesan untuk XC60 ini? Penulis berjaya mendapat bacaan 7.5 liter sahaja untuk 100km secara purata, atau bersamaan 13.33km/liter. Ini penggunaan minyak tahap Myvi, tetapi harus diingat XC60 ini mempunyai lebih 460hp dan berat melebihi dua tan. Sila hadam…

Spesifikasi Volvo XC60 Recharge T8 Ultimate

Harga: RM355,888
Enjin: 2.0-liter turbo petrol
Kotak gear: Automatik 8-kelajuan
Kuasa: 317hp @ 6,000rpm
Tork: 400Nm @ 3,000 hingga 4,500rpm
Motor elektrik: 145hp/309Nm
Output keseluruhan: 462hp/709Nm

Volvo XC90, XC60, S90, S60 dan V60 dikemaskini di Malaysia

VOLVO Car Malaysia mengumumkan bahawa ia akan mengemaskini rangkaian kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV) iaitu XC90, XC90, XC60, S90, S60 dan V60 untuk tahun 2024. Pengemaskinian tersebut akan disertakan dalam model yang dikeluarkan mulai September.

Semua model PHEV Volvo akan dilengkapi dengan pengecas bersepadu (on-board charger atau OBC) yang boleh menampung sehingga 6.4 kW dengan pengecasan dua atau tiga fasa, atau 3.6 kW untuk fasa tunggal. Dengan naik taraf ini, masa pengecasan dapat dipendekkan dari lima jam sebelum ini kepada hanya tiga jam.

Untuk bahagian luaran, model-model berkenaan akan didatangkan dengan bumbung kaca panoramik secara standard. S90 Recharge mendapat rim lapan jejari baharu, manakala S60 Recharge dan V60 Recharge mendapat rim enam jejari baharu.

Selain itu, Volvo Car Malaysia juga akan menawarkan pilihan warna baharu yang dikenali sebagai Vapour Grey sebagai tambahan kepada warna sedia ada iaitu Onyx Black, Crystal White, Denim Blue dan Platinum Grey.

Penambahbaikan lain termasuk perkhidmatan digital percuma selama lima tahun yang merangkumi akses kepada Google Assistant, Google Maps, Google Play Store dan fungsi kawalan jauh bagi aplikasi Volvo Cars. Turut disertakan adalah tambahan aplikasi YouTube kepada sistem infohibur Google.

Model-model terdahulu yang layak menggunakan sistem infohibur Google juga akan dapat menggunakan YouTube melalui pengemaskinian perisian secara Over-The-Air (OTA), yang kini turut membolehkan pengecasan berjadual menerusi aplikasi Volvo Cars.

Dari segi keselamatan, kesemua model 2024 dilengkapi dengan Cross Traffic Alert, Blind Spot Information System, Lane Keeping Aid, dan Collision Avoidance & Mitigation dengan Steering Support and Braking.

Volvo XC60 2021 terima kemaskini gaya dan teknologi, dua varian, dari RM292k

VOLVO Car Malaysia (VCM) hari ini memperkenalkan XC60 facelift untuk pasaran ini, dengan dua varian dan harga seperti berikut:

XC60 B5 Momentum: RM292,266.50
XC60 Recharge T8 Inscription Plus: RM325,449.40

Untuk facelift, SUV saiz sederhana dari Volvo ini menerima perubahan kecil dari segi rupa luaran serta naiktaraf di bahagian teknologi infotainmen.

Di luar, ia mendapat bampar yang direka semula lebih bersegi dan gril jaring petak berbanding sirip menegak pada model sebelum ini.

 

Ciri lain adalah lampu LED sepenuhnya dengan fungsi auto-levelling dan Active High Beam, serta rim aloi 19-inci rekaan berbeza untuk B5 Momentum dan Recharge T8.

Perubahan di bahagian dalam pula adalah pada unit infotainmen baharu yang sebelum ini diberikan pada XC40 EV.

Ia kini menampilkan Android Automotive OS yang menyokong integrasi aplikasi Google seperti Maps dan Assistant. Ia boleh diaktifkan dengan sapaan “Hey Google” sama seperti peranti pintar.

Kelengkapan standard termasuklah kluster instrumen digital 12.3-inci, skrin infotainmen 9-inci, sistem audio Harman Kardon 600W, pendingin hawa dwi-zon dan soket USB.

Dari segi janaan kuasa, kedua-dua varian B5 Momentum dan Recharge T8 hadir dengan enjin 2.0-liter 4-silinder turbo dan kotak gear automatik 8-kelajuan.

B5 Momentum mempunyai output 249hp dan 350Nm tork, manakala Recharge T8 mempunyai kuasa setinggi 407hp dan 640Nm hasil dari bantuan motor elektrik (87hp/240Nm).

Motor elektrik ini mendapat kuasa dari bateri lithium-ion 11.6-kWh dan mampu memberikan jarak pemanduan EV sejauh 54km.

Volvo XC60 facelift ini juga dilengkapi ciri keselamatan termaju Intellisafe yang merangkumi sistem seperti Front & Rear Collision Warning, Driver Alert Control, Lane Keeping Aid, Blind Spot Information System dengan Steer Assist, Cross Traffic Alert, dan Run-off Road Protection.

Spesifikasi dan maklumat lengkap Volvo XC60 facelift boleh didapati di sini.

Volvo XC60 facelift dengan rupa lebih segar dan pakej R-Design, akan dilancar 25 Nov ini

VOLVO Car Malaysia bakal melancarkan XC60 facelift pada 25 November ini dan anda boleh menontonnya secara langsung di laman Facebook mereka.

XC60 2022 akan mendapat perubahan kecil pada bahagian rekabentuk luaran, dimana ia merangkumi bampar yang direka semula.

Pakej R-Design akan memberikan rupa lebih sporti dan bersegi untuk SUV ini dengan gril jaring petak berbanding sirip menegak pada model biasa. XC60 R-Design akan muncul kali pertama di Malaysia, ia tidak pernah ditawarkan sebelum ini.

Perubahan di bahagian dalam pula adalah pada unit infotainmen baharu yang sebelum ini diberikan pada XC40 EV.

Pada masa ini, Volvo XC60 ditawarkan dengan dua varian iaitu T5 Momentum dan Recharge T8 Inscription Plus. Kedua-dua ini hadir dengan enjin 2.0-liter 4-silinder turbo dan kotak gear automatik 8-kelajuan.

T5 Momentum mempunyai output 254hp dan 350Nm tork, manakala Recharge T8 mempunyai kuasa setinggi 407hp dan 640Nm hasil dari bantuan motor elektrik (87hp/240Nm).

Motor elektrik ini mendapat kuasa dari bateri lithium-ion 11.6-kWh dan mampu memberikan jarak pemanduan EV sejauh 54km.