Rata-rata motosikal keluaran Yamaha sememangnya berjaya menarik perhatian peminat dua roda di Malaysia antaranya RX-Z, 125ZR kemudian Y15ZR.
Bagaimanapun, lain pula ceritanya sebaik Yamaha memperkenalkan Y16ZR yang diangkat sebagai ‘pengganti’ kepada Y15ZR yang pada satu ketika pernah menjadi ‘fenomena’ di Malaysia.
Atas kertas, Y16ZR merupakan versi ditambah baik dari Y15ZR. Pertamanya, Y16ZR diberikan enjin yang lebih besar dengan 155cc berbanding 149.7cc sebelum ini sekaligus menyumbang kepada 17.7hp dan 14.4Nm.
Namun begitu, kapasiti enjin yang lebih besar itu turut menyebabkan pemilik perlu membayar cukai jalan (roadtax) sebanyak RM30.
Selain itu, Yamaha Y16ZR ini turut dilengkapi dengan teknologi VVA (variable-valve actuation) yang pada dasarnya menawarkan penjimatan dan aliran kuasa yang lebih efisien.
Yamaha Y16ZR juga dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan berbanding 5-kelajuan yang ada pada Y15ZR. Kami berasakan naik taraf ini antara yang paling signifikan kerana ramai pengguna Y15ZR yang mengadu tidak berpuas hati dengan ciri tersebut. Sistem klac slipper juga membantu meringkan beban ketika menukar gear.
Dalam pada itu, disebabkan penggunaan enjin yang lebih besar, Y16ZR juga menawarkan daya pecutan yang lebih baik. Namun begitu, ada yang medakwa Y16ZR lebih ‘makan minyak’. Dakwaan itu kami akui ada benarnya selepas menguji motosikal itu selama beberapa hari apatah lagi tangki disediakan hanya 5.4L.
Apa yang pasti, Y16ZR menawarkan sesuatu yang ekstra berbanding Y15ZR. Mereka yang menghargai motosikal ini adalah mereka yang perlukan sesuatu yang lebih berkuasa tanpa perlu mengubahsuai motosikal seperti yang menjadi kegilaan geng Y15ZR.
Tidak hairanlah rata-rata yang meminati Y16ZR adalah mereka yang berada dalam kumpulan usia pertengahan berbanding Y15ZR yang masih lagi jadi kegilaan anak muda.
Tidak dinafikan, kes kecurian motosikal kerap berlaku setiap tahun dengan beberapa model sering menjadi sasaran terutamanya melibatkan kapcai.
Antara model popular di mata pencuri adalah Yamaha 135LC, 125Z dan Y15ZR serta beberapa model lain termasuk Honda Wave yang sering dicuri kemudian dijual di negara jiran ekoran terdapat permintaan tinggi.
Untuk itu, kami senaraikan lima benda yang anda boleh beli untuk kurangkan risiko motosikal anda dilarikan.
Handle lock
Seperti namanya, pengunci handle berfungsi dengan mengunci ‘lever’ brake bagi memastikan motosikal tidak mudah dialihkan ketika berada dalam keadaan pegun.
Jenama aksesori motosikal terkenal di Malaysia, GIVI turut memperkenalkan pengunci handle TL12 yang berkualiti dengan harga mampu milik.
GPS Tracker
GPS Tracker merupakan antara komponen yang wajib dipertimbang ketika membeli motosikal.
Motosikal yang dipasang dengan GPS Tracker dapat dikesan dengan mudah menggunakan telefon pintar sekiranaya dicuri.
Selain itu, ada juga GPS tracker yang dilengkapi sistem immobilzer yang membolehkan pemilik mematikan motosikal dari jarak jauh sekiranya didapati telah dicuri.
Special nut lock
Selain motosikal, antara komponen yang sering dilarikan adalah kaliper brek terutamanya yang berjenama seperti Brembo, Nissin dan Tokico.
Dengan adanya special nut lock, usaha untuk mencuri kaliper adalah lebih sukar dan memakan masa yang lama.
Disk brake lock
Satu lagi aspek yang perlu diberi perhatian adalah pengunci cakera brek yang boleh membantu dalam menggagalkan percubaan curi motosikal.
Alat ini wajib ada bagi semua jenis motosikal dari kapcai sehinggalah ke jentera berkuasa tinggi.
Penutup motosikal
Pemilik motosikal jarang memberi perhatian pada penutup motosikal meskipun ianya membantu dalam menyukarkan pencuri mengenal pasti model motosikal berkenaan.
Terdapat banyak kes dimana pencuri mensasarkan motosikal di dalam rumah selama beberapa hari lebih awal kerana dapat mengenal pasti model dan jenis sebelum melakukan kecurian.
Demikian lima benda yang kami rasa mampu membawa manfaat kepada pemilik motosikal ‘panas’ yang ada di Malaysia. Walaupun sedikit pelaburan perlu dilakukan namun kami berasakan ianya lebih berbaloi berbanding dari perlu menggantikan motosikal yang telah dicuri.
Jika boleh bertukar-tukar coverset, cermin sisi dan master pump jenis botol hampir setiap bulan apa salahnya kali ini membeli sesuatu yang boleh mengelakkan daripada jentera kesayangan dicuri supaya tidak menyesal di kemudian hari.
HONG Leong Yamaha Motor (HLYM) hari ini mengumumkan empat pilihan warna baharu untuk Yamaha Y15ZR dan harga yang telah dikemas kini.
Mulai bulan ini, Y15ZR boleh didapati dalam warna menyerlah iaitu kuning, perak, hijau matte dan jingga. Harga jualan bermula dari RM8,998 tidak termasuk insurans dan pendaftaran, RM500 lebih tinggi berbanding harga sebelum ini.
Menurut HLYM, pilihan warna baharu ini boleh didapati di wakil pengedar bertauliah Yamaha di seluruh negara bermula 7 Disember. Setiap pembelian didatangkan dengan kunci cakera brek bernilai RM100.
Tiada apa-apa perubahan dari segi mekanikal, bermakna Y15ZR masih dipacu oleh enjin silinder tunggal SOHC bersesaran 150 cc yang menghasilkan 15.4 PS pada 8,500 rpm dan 14.4 Nm pada 6,500 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi lima kelajuan.
Y15ZR menggunakan rim berukuran 17 inci dan untuk sistem brek pula, ia dilengkapi dengan cakera depan dan belakang. Sistem suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik dan lengan ayun belakang.
Selain itu, ia juga didatangkan dengan lampu utama LED, meter LCD digital, pemula enjin elektrik, butang passing light dan juga butang killswitch.
HONG Leong Yamaha mengumumkan satu edisi khas untuk Y16ZR iaitu World GP 60th Anniversary. Hanya 5,000 unit akan dihasilkan dan ia akan hadir dengan beberapa aksesori seperti berikut:
Sijil penghargaan
Tumbler premium World GP 60th Anniversary
Pin edisi khas
Keychan premium
Kesemua aksesori ini juga akan diisi dalam kotak premium khas.
Yamaha Y16ZR World GP 60th Anniversary ini tampil dengan livery ikonik merah putih untuk gaya sporti. Skema warna ini dipadankan pula dengan rim berwarna emas yang didatangkan dengan emblem 60th Anniversary.
Yamaha Y16ZR ini dikuasakan oleh enjin 155cc 4-silinder 4-lejang SOHC dengan Variable Valve Actuation (VVA). Ia menjana 17.7hp pada 9,500rpm dan 14.4Nm tork pada 8,000rpm. Output disalurkan melalui transmisi 6-kelajuan.
Sama seperti model-model terkini, Y16ZR juga mendapat sistem klac Assist and Slipper untuk tunggangan dan penukaran gear lebih lancar terutamanya semasa downshifting.
Turut diperkenalkan ialah koleksi pakaian World GP 60th Anniversary yang juga boleh didapati di Genblu Online Shop untuk anda memadankan gaya dengan motosikal ini.
Yamaha Y16ZR World GP 60th Anniversary dijual pada harga cadangan RM11,688 tidak termasuk pendaftaran dan insurans. Anda boleh mula melihat motosikal ini di semua pengedar sah Yamaha seluruh negara.
Seperti biasa, anda juga akan mendapat kunci brek cakera untuk setiap pembelian Yamaha Y16ZR ini.
SATU lagi kapcai telah menerpa pasaran Malaysia, iaitu Wmoto F15 dan ia ditawarkan pada harga agak kompetitif, RM5,999 (tanpa insurans, pendaftaran dan cukai jalan). F15 ini akan bersaing dengan motosikal kelas 150cc seperti Honda RS-X150 dan Yamaha Y15ZR.
Wmoto F15 dikuasakan oleh enjin 149.2cc 4-lejang yang berupaya menghasilkan 10.5hp pada 7,000rpm dan 11Nm tork pada 8,000rpm. Ia menggunakan kotak gear 5-kelajuan dan mempunyai berat sekitar 118kg.
F15 mempunyai ketinggian pelana 770mm dan dilengkapi lampu LED untuk depan dan belakang berserta DRL. Tangki bahan apinya adalah berkapasiti 5.5 liter.
Wmoto F15 menggunakan fork teleskopik di depan dan penyerap hentak monoshock di belakang. Untuk brek pula, ia mendapat cakera 290mm di depan dan 190mm di belakang.
Ciri lain adalah meter gabungan analog dan digital, serta paparan paras bateri. Wmoto F15 ini hadir dengan jaminan dua tahun atau 20,000km (yang mana terdahulu).
Wmoto F15 kini boleh didapati di kesemua pengedar sah Wmoto seluruh negara dengan tiga pilihan warna iaitu kuning, biru dan turquoise.
BOON Siew Honda hari ini melancarkan sebuah motosikal yang dinanti ramai, iaitu Honda RS-X baharu! Ia bakal memberi saingan terus kepada Yamaha Y15ZR.
Ya, ini juga merupakan kembar kepada Honda Winner X di Vietnam, namun ia tetap menerima beberapa ciri unik khas untuk pasaran Malaysia.
Antaranya adalah bahagian ‘kepala’, ekzos, dan ia dilengkapi ABS (sistem brek anti-kunci) satu-saluran seperti varian tertinggi Winner X Sport ABS.
Honda RS-X boleh didapati dalam tiga pilihan warna iaitu Trico Edition (merah), Candy Caribbean Blue Sea dan Lemon Ice Yellow, dengan harga RM8,688. Ia turut hadir dengan jaminan dua tahun atau 20,000km.
Dari segi rupa, Honda RS-X menerima cowl badan penuh dengan rekaan aerodinamik, muka depan agresif dengan lampu dwi-LED dan ekor yang tirus. Ekzosnya juga direka seperti motosikal lebih besar, dan menurut Boon Siew Honda, memberikan bunyi menarik.
RS-X dikuasakan oleh enjin 150cc DOHC sejukan cecair yang menghasilkan 15.8hp pada 9,000rpm dan 13.6Nm tork pada 7,000rpm. Enjin Euro 4 ini digandingkan dengan transmisi 6-kelajuan.
Kapcai ini juga hadir dengan beberapa ciri praktikal seperti suis pembuka tempat duduk, rantai bertutup, dan panel meter digital dengan penunjuk gear.
Honda RS-X 2021 ini akan berada di semua pengedar sah tidak lama lagi dan untuk sebarang maklumat lanjut, layari www.boonsiewhonda.com.my.