Tag Archives: yamaha rx-z

Remaja rugi RM2,000 jadi mangsa penipuan iklan RX-Z murah di TikTok

Seorang remaja terpaksa menanggung kerugian RM2,000 selepas menjadi mangsa penipuan pembelian motosikal jenis Yamaha RX-Z melalui aplikasi TikTok.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, remaja berusia 18 tahun itu mula melihat iklan jualan motosikal tersebut jam 3 petang pada Ahad.

Menurutnya, iklan oleh akaun ‘motosikal trusted malay’ di aplikasi itu menawarkan motosikal berkenaan pada harga RM4,000.

“Mangsa yang bekerja sebagai buruh tertarik dengan iklan tersebut dan telah menghubungi suspek melalui aplikasi mudah alih WhatsApp dan menyatakan persetujuan untuk membeli motosikal itu.

“Mangsa kemudian telah membuat pemindahan wang sebanyak RM2,000 sebagai bayaran deposit ke akaun yang diarahkan pada jam 4 petang hari yang sama,” katanya di sini pada Selasa.

Menurut Azli, mangsa menyedari ditipu apabila berasa curiga selepas suspek meminta dia membuat bayaran penuh bagi pembelian motosikal tersebut.

“Mangsa seterusnya membuat semakan ke atas akaun kedai tersebut dan mendapati ia adalah ‘scammer’.

“Lelaki tersebut tampil membuat laporan polis pada hari yang sama untuk tindakan lanjut dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Kastam rampas tiga unit Yamaha RX-Z seludup di Kelantan

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan telah merampas tiga motosikal jenis Yamaha RX-Z terpakai yang telah diseludup dari negara jiran. 

JKDM Kelantan turut merampas enam kenderaan klon bersama dua motosikal berkuasa tinggi jenis Honda CB400 dan Yamaha TDC. 

Menurut Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abudl Salam Wan Long, jumlah rampasan (termasuk cukai) dianggarkan berjumlah hampir RM600,000. 

“Antara kenderaan yang dirampas ialah Nissan Teana, BMW Z4 2.5I, Nissan Serena, Honda Jaz Fit, Toyota Vellfire, Honda Odyssey.

“Turut dirampas adalah motosikal Honda CB400, Yamaha TDC selain daripada RX-Z,” ujarnya. 

Wan Jamal turut mendedahkan modus operandi yang diguna pakai adalah membawa masuk kenderaan berkenaan secara persendirian atau menerusi sindiket yang bertapak di sempadan. 

“Bagi tiga RX-Z terpakai pula, ia diseludup melalui pangkalan haram di Sungai Golok menggunakan sampan dan dijual kepada pembeli tempatan dengan harga sekitar RM7,000 hingga RM8,000 seunit,” tambahnya. 

Sanggup belanja hampir setengah juta demi Yamaha RXZ

Seorang peminat Yamaha RX-Z di Malaysia baru-baru ini mendedahkan bagaimana di sanggup membelanjakan hampir setengah juta demi motosikal tersebut. 

Wan Noor Azmirullah Wan Noor Abidin mendedahkan sanggup mengeluarkan belanja besar demi memenuhi impiannya untuk memiliki kesemua edisi RX-Z yang ada bermula dari keluaran pertama hingga yang terakhir. 

Disebabkan itu, Wan Noor, juga seorang mekanik telah menjadikan garajnya di Kampung Gong Badak, Terengganu sebagai lokasi tumpuan yang bertindakan seakan muzium mini bagi peminat motosikal RX-Z tersebut. 

“Saya mempunyai lebih 25 unit Yamaha RX-Z termasuk edisi Boss, Catalyzer dan Millennium,” jelas Wan Noor. 

Memetik laporan The Star, dia memberitahu bahawa minat mengumpul itu berlaku pada 2013 selepas menyedari terdapat permintaan bagi motosikal berkenaan selepas dihentikan pengeluarkan pada 2010. 

“Motosikal ini akan menjalani modifikasi bagi meningkatkan kelajuan dan kos belanja ubah suai boleh mencecah RM40,000 sekaligus menjadikan pasaran motosikal ini lebih tinggi berbanding motosikal baharu,” tambah Wan Noor.