Tag Archives: YAMAHA

Yamaha dedah prototaip sistem hibrid siri selari untuk skuter saiz pertengahan

Tidak cukup dengan sistem hibrid ringkas yang telah digunakan pada model-model produksi sedia ada, Yamaha kini memperlihatkan prototaip Series Parallel Hybrid Electric Vehicle (SPHEV) yang direka untuk skuter kelas pertengahan.

Sistem hibrid siri selari ini menggandingkan enjin dengan dua motor elektrik yang dipadankan pada skuter XMAX yang telah diubahsuai.

Salah satu daripada motor elektrik tersebut digunakan untuk menggerakkan roda, manakala sebuah lagi motor elektrik dihubungkan terus dengan enjin untuk menjana kuasa elektrik.

Sama seperti mana-mana unit rangkaian kuasa hibrid, sistem SPHEV ini menawarkan mod pemanduan elektrik tanpa menggunakan khidmat enjin, mod pemanduan hibrid bersiri untuk tunggangan yang lebih cekap, atau operasi enjin pada kelajuan yang lebih tinggi.

Menariknya, sistem SPHEV ini juga menawarkan mod tujahan (boost).

Mod dual boost akan menggunakan kuasa daripada enjin dan motor pacuan, manakala mod triple boost pula akan menggunakan kuasa daripada motor penjana

Selain daripada skuter, Yamaha juga sedang meneroka potensi unit rangkaian kuasa ini untuk dipadankan pada model lain seperti streetbike dan juga sportsbike.

Polis Terengganu rampas 11 Yamaha RX-Z diseludup dari Thailand

Kegiatan penyeludupan motosikal jenis Yamaha RX-Z berjaya ditumpaskan oleh Polis Terengganu susulan penahanan seorang lelaki di Kampung Padang Luas, Jertih, di Besut pada Sabtu.

Menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin, kegiatan penyeludupan itu terbongkar hasil pemeriksaan ke atas sebuah rumah yang dijadikan bengkel kenderaan di kampung berkenaan.

“Hasil pemeriksaan ke atas bengkel yang turut disaksikan oleh suspek menemukan 11 buah motosikal jenis Yamaha RX-Z, empat casis dan enam komponen enjin motosikal jenis tidak pasti.

“Kita percaya kesemua barangan tersebut dibawa masuk dari Thailand tanpa dokumen sah,” katanya.

Beliau berkata, suspek berusia 41 tahun berasal dari Jertih yang mengaku sebagai pemilik rumah itu telah ditahan pada hari sama.

“Suspek didapati mempunyai tiga rekod jenayah di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan, Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil dan Seksyen 61 (1) LLPK (Langkah-Langkah Pencegahan Khas).

“Hasil siasatan mendapati suspek mengaku terlibat dalam kes yang disiasat manakala ujian saringan air kencing dijalankan ke atasnya adalah negatif,” ujarnya.

Toyota muat naik video bunyi enjin Lexus LFA, durasi 3 jam!

Pada saat dan ketika artikel ini ditulis, dunia telah dihidangkan dengan barisan supercar dan hypercar yang menawarkan prestasi yang tidak terjangkau dek akal.

Namun, penulis berpendapat tiada satu pun daripada model tersebut yang dapat mengalahkan enjin V10 Lexus LFA dari segi bunyi.

Ya, walaupun model tersebut telah pun lama dihentikan produksi sejak 2012, kualiti runut bunyi enjin dan ekzos yang terhasil seakan jentera F1 itu masih lagi sukar untuk ditandingi.

Jika anda merasakan bunyi hingar putih (white noise) tidak cukup membantu anda tidur dengan nyenyak, mungkin sekali boleh cuba satu cara yang sangat sesuai digunakan oleh golongan petrolhead – dengar bunyi enjin Lexus LFA!

Toyota menerusi laman YouTube Toyota Times secara senyap memuat naik video berdurasi tiga jam tanpa sebarang gangguan bunyi asing, hanya bunyi bising tulen Lexus LFA semata-mata.

Untuk makluman golongan pembaca, Lexus LFA dikuasakan oleh enjin 1LR-GUE bentangan V10 5.2 liter yang mampu menjana kuasa setinggi 552 hp dan 480 Nm yang dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan automatik.

Lexus LFA Nürburgring Edition pula dilancarkan dengan enjin yang telah ditala supaya menghamburkan kuasa setinggi 563 hp, penukaran gear 0.05 saat lebih pantas, serta pakej aerodinamik yang lebih sesuai digunakan di dalam litar.

Dalam masa yang sama, Lexus turut meminta bantuan Yamaha untuk menala kembali enjin, ekzos, dan sistem kemasukan dan hasilnya – alunan runut bunyi yang sukar untuk ditiru oleh mana-mana pengeluar.

Sebagai seorang yang meminati ‘muzik’ genre unik ini, kami berharap pihak Toyota mampu menawarkan variasi bunyi enjin hebat yang pernah dihasilkan suatu ketika dahulu untuk didengari, seperti enjin enam silinder 2JZ-GTE, satu-satunya enjin V12 1GZ-FE yang digunakan oleh Toyota Century generasi kedua, dan tidak ketinggalan enjin lagenda 4A-GE.

Bonus: Runut bunyi Lexus LFA mengaum di dalam litar ujian

Yamaha Y16ZR 6MRO dilancarkan – 3,000 unit sahaja, RM13,668

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) mencatat sejarah dengan pengeluaran motosikal yang ke-6 juta unit baru-baru ini.

Bagi meraikan pencapaian itu, HLYM telah melancarkan model edisi terhad Yamaha Y16ZR 6th Million Roll Out (6MRO) ke pasaran tempatan.

Jika dibandingkan dengan versi standard, Y16ZR 6MRO tampil lebih menonjol dengan livery dwi warna serta grafik dengan efek khas “chameleon” yang boleh bertukar warna.

Selain itu, model ini juga boleh dibezakan menerusi logo ‘glow in the dark’ pada bahagian sisi dan lencana khas yang tertera nombor siri pengeluaran.

Tiada sebarang perubahan dari segi mekanikal. Y16ZR 6MRO mengekalkan enjin 155 cc SOHC VVA silinder tunggal yang mampu menghasilkan 17.7 hp dan 14.4 Nm.

Menurut HLYM, pengeluaran model ini akan dihadkan kepada 3,000 unit sahaja. Harga jualan bermula dari RM13,668 (harga atas jalan tidak termasuk insurans).

Setiap pembelian didatangkan dengan pakej eksklusif yang terdiri daripada kotak paparan, seutas jam tangan Casio G-Shock, plat sijil pemilikan logam dan model die-cast.

Tidak cukup dengan itu, pembeli juga akan menerima sebuah topi keledar Tekhne dalam warna yang sedondon dengan motosikal.

9 benda anda kena tahu tentang Yamaha MT-09 2024

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) baru-baru ini secara rasminya melancarkan Yamaha MT-09 tahun 2024 yang tampil dengan rekaan lebih agresif dan pelbagai ciri yang dinaik taraf.

Dalam artikel ini, kami senaraikan sembilan perkara yang anda perlu tahu tentang motosikal ini:

Enjin

Tiada sebarang perubahan dalam aspek ini. Ia masih dikuasakan enjin 890 cc, DOHC tiga silinder yang menghasilkan 119 PS pada 10,000 rpm dan 93 Nm pada 7,000 rpm. Enjin ini digandingkan dengan transmisi enam kelajuan

Casis

Subframe MT-09 telah direka semula untuk memberi lebih banyak ruang untuk alatan berkaitan elektronik. Ini secara tidak langsung menghasilkan ekor yang lebih pendek.

Selain itu, suspensi mempunyai kadar spring yang lebih tinggi serta karakteristik redaman yang dikemas kini bagi mendapatkan prestasi lebih baik di atas pelbagai permukaan jalan.

Tangki lebih langsing

Tangki bahan api MT-09 kini direka semula menjadikan ia lebih langsing, selain memberikan posisi menunggang yang lebih agresif. Pelana, dengan ketinggian 825 mm, juga dikatakan lebih selesa.

Bar hendal dan tempat letak kaki boleh laras

MT-09 menampilkan bar hendal dan tempat letak kaki boleh laras (dua posisi) bagi mengurangkan rasa letih penunggang serta meningkatkan kawalan ke atas motosikal.

Gril akustik

Enjin Yamaha Crossplane 3 yang digunakan oleh MT-09 menghasilkan ‘ngauman’ yang garang dan bertenaga. Bunyi ini disalurkan tepat ke telinga penunggang menerusi gril akustik pada kotak udara, sekali gus membangkitkan semangat penunggang ketika beraksi di litar.

Yamaha Ride Control (YRC)

Ciri YRC membolehkan penunggang memilih karakteristik dan tahap campur tangan sistem bantuan elektronik. Terdapat tiga mod yang disediakan iaitu Sport, Street dan Rain, tidak termasuk dua lagi mod kustom.

Sistem brek Brembo

MT-09 dilengkapi dengan master cylinder Brembo yang dikatakan dapat memberikan kuasa membrek yang linear kepada angkup empat piston yang mencengkam cakera berkembar berukuran 298 mm pada bahagian depan.

Di belakang, terdapat cakera tunggal berukuran 245 mm.

Paparan TFT 5 inci dengan Y-Connect dan Garmin StreetCross

Paparan ini menawarkan empat mod berbeza dan boleh disambungkan ke telefon menerusi aplikasi Y-Connect. Untuk sistem navigasi dan info trafik masa sebenar, pembeli mendapatkan aplikasi Garmin StreetCross secara percuma.

Selain itu, terdapat suis intuitif baharu yang membolehkan penunggang mengawal fungsi-fungsi seperti navigasi, keterhubungan telefon dan Cruise Control.

Harga dan warna

Yamaha MT-09 2024 dijual pada harga RM57,998. Ia boleh didapati menerusi wakil pengedar Yamaha Big Bike dalam dua warna iaitu Midnight Cyan dan Tech Black.

 

Kenapa ‘fanboi’ YSuku tak suka dengan Yamaha Y16ZR?

Rata-rata motosikal keluaran Yamaha sememangnya berjaya menarik perhatian peminat dua roda di Malaysia antaranya RX-Z, 125ZR kemudian Y15ZR. 

Bagaimanapun, lain pula ceritanya sebaik Yamaha memperkenalkan Y16ZR yang diangkat sebagai ‘pengganti’ kepada Y15ZR yang pada satu ketika pernah menjadi ‘fenomena’ di Malaysia. 

Atas kertas, Y16ZR merupakan versi ditambah baik dari Y15ZR. Pertamanya, Y16ZR diberikan enjin yang lebih besar dengan 155cc berbanding 149.7cc sebelum ini sekaligus menyumbang kepada 17.7hp dan 14.4Nm. 

Namun begitu, kapasiti enjin yang lebih besar itu turut menyebabkan pemilik perlu membayar cukai jalan (roadtax) sebanyak RM30. 

Selain itu, Yamaha Y16ZR ini turut dilengkapi dengan teknologi VVA (variable-valve actuation) yang pada dasarnya menawarkan penjimatan dan aliran kuasa yang lebih efisien. 

Yamaha Y16ZR juga dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan berbanding 5-kelajuan yang ada pada Y15ZR. Kami berasakan naik taraf ini antara yang paling signifikan kerana ramai pengguna Y15ZR yang mengadu tidak berpuas hati dengan ciri tersebut. Sistem klac slipper juga membantu meringkan beban ketika menukar gear. 

Dalam pada itu, disebabkan penggunaan enjin yang lebih besar, Y16ZR juga menawarkan daya pecutan yang lebih baik. Namun begitu, ada yang medakwa Y16ZR lebih ‘makan minyak’. Dakwaan itu kami akui ada benarnya selepas menguji motosikal itu selama beberapa hari apatah lagi tangki disediakan hanya 5.4L. 

Apa yang pasti, Y16ZR menawarkan sesuatu yang ekstra berbanding Y15ZR. Mereka yang menghargai motosikal ini adalah mereka yang perlukan sesuatu yang lebih berkuasa tanpa perlu mengubahsuai motosikal seperti yang menjadi kegilaan geng Y15ZR. 

Tidak hairanlah rata-rata yang meminati Y16ZR adalah mereka yang berada dalam kumpulan usia pertengahan berbanding Y15ZR yang masih lagi jadi kegilaan anak muda. 

Yamaha diarah henti pengedaran YZF-R1 gara-gara kemuka data palsu

Yamaha diarahkan untuk henti edar Yamaha YZF-R1 oleh kerajaan Jepun gara-gara pengeluar motosikal itu didapati memalsukan data ujian bunyi bagi mencapai standard emisi ditetapkan. 

Arahan itu dikeluarkan selepas lawatan yang dijalan oleh Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan, dan Pelancongan (MLIT) di ibu pejabat Yamaha Motor Co di Iwata, Jepun, minggu lalu. 

MLIT mendapati Yamaha telah melakukan ujian pensijilan kenderaan yang tidak mematuhi standard selain memalsukan permohonan yang diperlukan untuk mematuhi peraturan keselamatan dan alam sekitar Jepun. 

Menurut laporan media antarabangsa, Yamaha mengakui telah menjalankan ujian bunyi YZF-R1 yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan dan telah menyerahkan data palsu bagi model YZF-R3 dan TMAX. 

Sementara itu, MLIT akan turut menjalankan pemeriksaan terhadap Honda Motor Co dan Suzuki Motor Corp bagi memastikan tiada kepincangan yang berlaku. 

Untuk rekod, kerajaan Jepun mula melaksanakan audit besar-besaran terhadap sektor automotif susulan insiden skandal ujian melibatkan Toyota pada 2022.

Bagaimanapun, kes Toyota lebih berat kerana memalsukan data ujian kemalangan sementara Yamaha hanya gagal mematuhi standard emisi bunyi pada R1. 

HLYM tawar tiga warna baharu untuk Yamaha EZ115 – RM5,698

Yamaha EZ115 yang merupakan pengganti kepada model Lagenda 115Z telah dikemas kini bagi tahun 2025 dengan pilihan warna baharu.

Menurut Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) dalam satu kenyataan, EZ115 kini hadir dengan warna Blue, Grey dan Purple. Warna baharu ini juga sudah boleh didapati di pengedar rasmi HLYM seluruh negara bermula hari ini (6 Jun). 

Namun, kemas kini terbaru ini hanya melibat warna dan grafik sahaja sementara kelengkapan dan spesifikasi keseluruhan masih lagi sama. 

Atas kertas, Yamaha EZ115 dipacu enjin satu silinder 114cc SOHC dengan sistem penyejukan udara  yang berupaya menjana 8.6hp pada 7,000rpm dan 9.5Nm pada 5,500rpm. 

Bagi pasaran tempatan, Yamaha EZ115 ini ditawarkan dengan harga RM5,698.

Yamah Ego Avantiz dapat tiga warna baharu, harga kekal RM5,998

HONG Leong Yamaha Motor (HLYM) telah memperkenalkan pilihan warna baharu untuk Yamaha Ego Avantiz model tahun 2024.

Dilancarkan di Malaysia buat pertama kali pada 2016, skuter itu kini ditawarkan dalam Sky Blue, Dark Blue dan Purple.

Menurut HLYM, Ego Avantiz dalam warna-warna baharu ini boleh didapati menerusi wakil pengedar bertauliah Yamaha di seluruh negara bermula 28 Mei, pada harga RM5,998 tidak termasuk pendaftaran dan insurans.

Tiada sebarang perubahan mekanikal, bermakna Ego Avantiz masih dikuasakan oleh enjin 125 cc silinder tunggal bertaraf Euro 4 yang menjana 9.4 hp pada 8,000 rpm dan 9.6 Nm pada 5,500 rpm.

Untuk sistem suspensi, ia menggunakan fork teleskopik dan penyerap hentak tunggal (monoshock), manakala sistem brek pula terdiri daripada cakera tunggal hidraulik di depan dan brek gelendong di belakang.

Rim yang digunakan adalah bersaiz 14 inci depan dan belakang, dipadankan dengan tayar berukuran 70/90 di depan dan 90/80 di belakang.

Ketinggian tempat duduk Ego Avantiz adalah 773 mm, manakala tangki bahan apinya berkapasiti 4.2 liter. Berat keseluruhan skuter ini adalah 97 kg.

Ciri-ciri lain yang turut disertakan termasuklah lampu LED, penunjuk ECO pada panel instrumen, sistem kunci parkir dan ruang penyimpanan barang sebesar 14 liter di bawah tempat duduk.

Yamaha MT-25 kini ditawarkan dalam warna lebih ganas, harga naik RM1,000

HONG Leong Yamaha Motor (HLYM) mengumumkan bahawa Yamaha MT-25 telah mendapat dua pilihan warna baharu untuk tahun 2024 iaitu Midnight Black dan Midnight Cyan.

Menurut HLYM, MT-25 kini dijual pada harga RM23,998, iaitu RM1,000 lebih tinggi berbanding harga jualan sebelum ini.

Tiada sebarang perubahan dari segi spesifikasi, bermakna motosikal ini masih dikuasakan oleh enjin DOHC dua silinder selari bersesaran 249 cc yang menghasilkan 35.5 hp pada 12,000 rpm dan 22.6 Nm pada 10,000 rpm.

Ia dilengkapi dengan sistem suspensi yang terdiri daripada fork teleskopik terbalik di depan dan lengan ayun di belakang.

Sistem brek pula merangkumi cakera depan dan belakang, manakala tayar yang digunakan adalah bersaiz 110/70 di depan dan 140/40 di belakang.

Untuk pengetahuan, MT-25 mempunyai dimensi 2,090 mm panjang, 755 mm lebar, dan 1,070 mm tinggi. Tempat duduknya pula setinggi 780 mm, manakala kelegaan tanah adalah 160 mm.

Ia juga mempunyai tangki bahan api berkapasiti 14 liter, dengan berat keseluruhan sekitar 167 kg termasuk cecair.

Yamaha NVX kini dalam 4 warna baharu – dari RM9,998

UNTUK tahun 2024, Yamaha NVX kini boleh didapati dalam warna empat pilihan warna baharu iaitu Blue dan Bronze untuk versi standard, serta Cyan Sky dan Premium Navy untuk versi ABS.

Menurut Hong Leong Yamaha Motor (HLYM), NVX baharu boleh didapati menerusi semua wakil pengedar sah Yamaha di seluruh negara bermula 24 April 2024, dengan harga runcit RM9,998 untuk standard dan RM11,698 untuk ABS.

Tiada sebarang perubahan dari segi spesifikasi. Seperti sebelum ini, NVX dikuasakan oleh enjin sejukan cecair silinder tunggal 155 cc yang menjana 15.4 PS pada 8,000 rpm dan 13.9 Nm pada 6,500 rpm.

Ia dibina menggunakan kerangka backbone yang dipadankan dengan suspensi jenis fork teleskopik pada bahagian depan dan lengan ayun pada bahagian belakang. Untuk brek pula, kedua-dua versi dilengkapi dengan cakera hidraulik tunggal dan gelendong.

Kelengkapan lain yang terdapat pada model ini termasuklah lampu LED pada bahagian depan dan belakang, sistem Stop & Start, panel istrumen LCD, soket pengecas USB dan sistem kunci pintar.

Turut disertakan adalah sistem Y-Connect yang membolehkan penunggang menyambungkan telefon pintar mereka untuk mendapatkan maklumat seperti status bateri, penggunaan bahan api dan sebagainya.

MotoGP: Lin Jarvis tinggalkan Yamaha 

Pengendali pasukan Yamaha di Kejuaraan Dunia MotoGP, Lin Jarvis akan meninggalkan pasukan itu pada penghujung musim ini. 

Memetik laporan Autosport, Jarvis akan bersara pada hujung musim 2024 sekaligus menamatkan karier 25 tahun selaku Pengarah Urusan Yamaha Motor Racing. 

Difahamkan, Jarvis memberitahu Autosport bahawa punca utama dia mahu bersara adalah kepenatan mengembara ke serata dunia bagi Kejuaraan Dunia MotoGP. Musim ini sahaja, Jarvis akan terbang ke 21 destinasi berbeza termasuk ke Litar Antarabangsa Sepang sempena MotoGP Malaysia. 

Walaupun berita ini mengejutkan apatah lagi Yamaha baru sahaja mengikat pelumba tonggak, Fabio Quartararo untuk tempoh dua tahun lagi namun Yamaha dijangka mencari pengganti sesuai untuk meneruskan cabaran pasukan itu di MotoGP. 

Menurut Autosport, Yamaha berkenan melantik Paolo Pavessio yang ketika ini menggalas tugas Pengarah Pemasaran Yamaha Motor Racing. 

MotoGP: Fabio Quartararo kekal dua musim lagi bersama Yamaha

Meskipun mengeluarkan beberapa kenyataan yang jelas tidak berpuas hati dengan prestasi jentera Yamaha YZR-M1 namun Fabio Quartararo masih bersetuju untuk kekal untuk pasukan kilang Yamaha itu untuk tempoh dua musim lagi. 

Ini bermakna, Quartararo yang menjuarai MotoGP pada musim 2021 akan kekal bersama pasukan Monster Energy Yamaha bagi musim 2025 dan 2026.

 

Meskipun dikaitkan dengan berita perpindahan namun lanjutan kontrak dua tahun ini secara langsung menepis segala khabar angin yang berlegar di kem Yamaha sebelum ini. 

Menariknya, pada penghujung 2026, Quartararo akan melengkapkan musim keenam di MotoGP sekaligus muncul pelumba ketiga paling lama beraksi di kejuaraan itu selepas Valentino Rossi (15 musim) dan Jorge Lorenzo (sembilan musim). 

Sementara itu, kesetiaan Quartararo bersama Yamaha memberi bayangan bahawa kilang Iwata mempunyai perancangan besar untuk kembali memberi saingan pada jentera Eropah terutamanya Ducati, KTM dan Aprilia. 

Sanggup belanja hampir setengah juta demi Yamaha RXZ

Seorang peminat Yamaha RX-Z di Malaysia baru-baru ini mendedahkan bagaimana di sanggup membelanjakan hampir setengah juta demi motosikal tersebut. 

Wan Noor Azmirullah Wan Noor Abidin mendedahkan sanggup mengeluarkan belanja besar demi memenuhi impiannya untuk memiliki kesemua edisi RX-Z yang ada bermula dari keluaran pertama hingga yang terakhir. 

Disebabkan itu, Wan Noor, juga seorang mekanik telah menjadikan garajnya di Kampung Gong Badak, Terengganu sebagai lokasi tumpuan yang bertindakan seakan muzium mini bagi peminat motosikal RX-Z tersebut. 

“Saya mempunyai lebih 25 unit Yamaha RX-Z termasuk edisi Boss, Catalyzer dan Millennium,” jelas Wan Noor. 

Memetik laporan The Star, dia memberitahu bahawa minat mengumpul itu berlaku pada 2013 selepas menyedari terdapat permintaan bagi motosikal berkenaan selepas dihentikan pengeluarkan pada 2010. 

“Motosikal ini akan menjalani modifikasi bagi meningkatkan kelajuan dan kos belanja ubah suai boleh mencecah RM40,000 sekaligus menjadikan pasaran motosikal ini lebih tinggi berbanding motosikal baharu,” tambah Wan Noor. 

Yamaha YZF-R25 dengan warna ‘Glacier White’ – RM22,998

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) memperkenalkan pilihan warna baharu bagi model sportbike popular Yamaha YZF-R25. 

Sportbike bersesaran 250cc itu kini hadir dengan warna Glacier White menemani warna Racing Blue sedia ada. Menurut HLYM, warna baharu itu sudah boleh didapati di semua pengedar rasmi dengan harga jualan cadangan RM22,998. 

Seperti biasa, setiap pembelian motosikal Yamaha akan disertakan dengan pengunci cakera Yamaha berniali RM100. 

Untuk rekod, Yamaha YZF-R25 dikuasakan enjin parallel-twin 249cc DOHC yang berupaya menjana 35hp pada 12,000rpm dan 22.6Nm pada 10,000rpm. ABS juga didatangkan secara standard. 

Kenali Tékhné, jenama alat ganti dua dan empat roda baharu Malaysia

Hong Leong Industries Berhad (HLI) dengan rasminya memperkenalkan Tékhné Sdn Bhd (TÉKHNÉ) sebagai entiti baharu dalam arena alat ganti tempatan. 

Menariknya, TÉKHNÉ menawarkan pelbagai produk alat ganti OEM dan REM yang komprehensif untuk kenderaan dua dan empat roda sekaligus menjaminkan tawaran yang meluas untuk pengguna disini. 

Mengenal pasti terdapat peningkatan dalam jualan kenderaan motosikal dan kereta serta permintaan terhadap barangan ‘aftermarket’, TÉKHNÉ melihat senario itu memberi ruang dalam menawarkan produk yang bukan sahaja komprehensif malah berkualiti. 

Tidak cukup dengan itu, TÉKHNÉ juga akan menubuhkan pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) tersendiri agar dapat memenuhi permintaan pasaran semasa secara langsung. 

Untuk mengetahui lebih lanjut produk ditawarkan, kunjungi www.tekhne.com.my. 

Yamaha Tekhne AHM Motor Sports pertaruh 5 jentera untuk Cub Prix 2024

HONG Leong Yamaha Motor (HLYM) baru-baru ini melancarkan pasukan Yamaha Tekhne AHM Motor Sports yang akan bertanding dalam kejuaraan Petronas Cub Prix Malaysia 2024.

Pasukan itu merupakan kerjasama strategik antara HLYM dan Tekhne yang merupakan pengeluar alat ganti automatif. Ia diketuai oleh Kenny Chua selaku pengerusi pasukan dan ketua pegawai eksekutifnya, William Chua.

Majlis pelancaran yang diadakan di Kompleks HLYM di Sungai Buloh itu turut menyaksikan kemunculan barisan pelumba dan jentera baharu pasukan berkenaan.

Bagi saingan tahun ini,  Yamaha Tekhne AHM Motor Sports akan mempertaruhkan lima jentera, tiga untuk Kelas CP150 dan dua lagi untuk Kelas CP125.

Untuk Kelas CP150, cabaran di pentas perlumbaan itu akan digalas oleh Iqbal Amri Malik, Faiz Zekri dan Syukran Aizat, manakala Afizad Supaat dan Iqram Danish akan bersaing dalam Kelas CP125.

Kejuaraan Petronas Cub Prix Malaysia 2024 dijadual membuka tirainya pada 2 dan 3 Mac ini di Litar Jasin Bestari, Melaka.

Yamaha TMax Tech Max kini dalam warna Dark Magma, Tech Black

YAMAHA TMax Tech Max, yang dilancarkan di Malaysia pada Oktober 2022, kini boleh didapati dalam dua warna baharu bagi model tahun 2024 iaitu Dark Magma dan Tech Black.

Selain daripada itu, tiada sebarang perubahan mekanikal dilakukan pada skuter maxi ini. Ia masih dikuasakan oleh enjin 562 cc, silinder berkembar DOHC bertaraf Euro 5 yang menghasilkan 46.9 hp pada 7,500 rpm dan 55.7 Nm tork pada 5,250 rpm.

Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi jenis V-belt automatik.

Ciri-ciri lain yang disertakan termasuk lampu LED depan dan belakang, penghadang angin dan tempat duduk boleh laras, serta penutup tangki minyak pintar.

Skuter ini juga didatangkan dengan skrin TFT berukuran tujuh inci yang mempunyai tiga mod paparan serta boleh disambungkan dengan telefon pintar menerusi aplikasi MyRide-Link untuk memainkan muzik dan menggunakan sistem navigasi.

Selain itu, terdapat juga teknologi Yamaha Chip Controlled Throttle (Y-CCT) berserta Accelerator Position Sensor Grip (APSG) yang memberikan respon pendikit yang lebih lancar.

Harga jualan TMax Tech Max baharu tidak berubah iaitu RM74,998 tidak termasuk insurans dan pendaftaran. Setiap pembelian didatangkan dengan kunci brek cakera bernilai RM100 secara percuma.

HLYM pamer Yamaha Y16ZR edisi MotoGP – bukan untuk dijual

Hong Leong Yamaha Motor membuat kejutan ketika meraikan ketibaan pelumba MotoGP, Fabio Quartararo dan Alex Rins dan Sungai Buloh apabila mendedahkan dua unit Yamaha Y16ZR edisi khas. 

Kedua-dua motosikal berkenaan tampil dengan livery Monster Energy Yamaha dan memaparkan nombor perlumbaan #20 Quartararo dan #42 Rins. 

Kedua-dua pelumba turut menurunkan tandatangan masing-masing sambil disaksikan pengurusan HLYM dan prinsipal pasukan Yamaha MotoGP, Lin Jarvis. 

Bagaimanapun,sayangnya kami dimaklumkan Yamaha belum ada perancangan untuk memperkenalkan Y16ZR edisi MotoGP itu buat masa ini.  

Namun, mengambil kira Yamaha pernah melancarkan Y15ZR dan R15 dengan livery Monster Energy Yamaha itu maka kami jangkakan perkara sama akan turut dilaksanakan kemudian. 

Dalam pada itu, Quartararo dan Rins akan turun  beraksi di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sempena ujian rasmi Sepang Test dari 6 hingga 8 Februari ini. 

Yamaha Y16ZR 2024 dilancar – cakera brek lebih besar, ABS, RM11,398

HONG Leong Yamaha Motor (HLYM) hari ini memperkenalkan versi terkini kapcai popular, Y16ZR 2024. Ia bukan sahaja membawa perubahan kosmetik, tetapi juga beberapa pembaharuan teknikal.

Yamaha Y16ZR kini didatangkan dengan fairing depan dan visor baharu, lampu depan dan DLR baharu, memberikannya rupa lebih agresif dan sporti.

Perubahan besar ialah brek ABS satu saluran baharu dan cakera yang lebih besar. Sistem brek belakang dikekalkan seperti sebelum ini.

Ciri lain tidak berubah, dimana Yamaha Y16ZR dikuasakan enjin 155cc 4-lejang sejukan cecair SOHC dengan teknologi Variable Valve Actuation (VVA).

Enjin ini menjana 17.7hp pada 9,500rpm dan 14.4Nm tork pada 8,000rpm, sementara kuasa disalurkan melalui kotak gear 6-kelajuan dan Assist and Slipper Clutch.

Suspensi depan adalah fork teleskopik, kemudian monoshock di belakang. Y16ZR 2024 juga dilengkapi penghidup elektrik, rim 17-inci, dan tangki bahan api 5.4-liter.

Yamaha Y16ZR 2024 ditawarkan dengan tiga pilihan warna baharu – Violet Knight, Ocean Neon, dan Mag Grey. Ia boleh ‘dipinang’ pada harga RM11,398.