Tag Archives: youtuber

Budak lima tahun maut dirempuh Lamborghini Urus dipandu Youtuber

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut, manakala adik dan ibunya cedera selepas kereta yang dinaiki mereka dirempuh oleh sebuah Lamborghini Urus dalam kejadian di Rom, Itali.

Menurut laporan media tempatan, Urus berwarna biru itu dipandu oleh pempengaruh media sosial, Matteo Di Pietro. Turut berada di dalam SUV berprestasi tinggi itu adalah empat lagi rakannya.

Tiga daripada mereka merupakan Youtuber daripada saluran “TheBorderline” yang mempunyai lebih 600,000 pengikut di platform media sosial itu.

Ketika kejadian, Di Pietro dan rakan-rakannya itu dipercayai sedang membuat rakaman cabaran memandu Urus tersebut secara berterusan selama 50 jam.

Beberapa jam sebelum kejadian, salah seorang daripada mereka iaitu Vito Loiacono dilaporkan telah memuat naik satu video yang menunjukkan dia sedang mengejek seorang wanita kerana memandu kereta murah.

Loiacono bagaimanapun telah menafikan dia sedang memandu ketika kemalangan itu berlaku. Polis juga telah mengesahkan Di Pietro sebagai pemandu, dengan faktor kelajuan sebagai punca kemalangan.

Saksi memberitahu media bahawa pemandu dan penumpang di dalam Urus itu menyindir pemandu lain, serta memandu secara melulu sambil membuat rakaman. Seketika kemudian, SUV itu merempuh kereta jenis smart forfour yang dipandu mangsa.

Mangsa dikenali sebagai Manuel Proietti, 5, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala adik dan ibunya, masing-masing berusia 4 dan 35 tahun, dikejarkan ke hospital. Keadaan mereka tidak diketahui.

Di Pietro, 20, disiasat kerana membunuh, manakala empat lagi rakannya disiasat bersubahat menyebabkan kematian.

Youtuber terkorban dalam cubaan capai 300km/j dengan superbike

YOUTUBER dan pempengaruh media sosial popular India, Agastya Chauhan telah terkorban susulan kemalangan ngeri semasa menunggang dari Agra ke Delhi. Laporan media tempatan mengatakan dia sedang menunggang pada kelajuan sekitar 300km/j semasa kemalangan.

Sewaktu menunggang, dia terlanggar pembahagi jalan, menyebabkannya hilang kawalan dan kemalangan, lapor The Economic Times. Perlanggaran itu begitu kuat dan memusnahkan motosikalnya serta menghancurkan topi keledarnya.

Chauhan mengalami kecederaan yang menyebabkannya terkorban. Pihak berkuasa mengisytiharkan dia meninggal di tempat kejadian.

Menurut satu lagi laporan media, The Tribune, pada masa kemalangan, Chauhan sedang merakam tunggangannya dan dikatakan telah berjanji mahu mencapai 300km/j.

“Saya akan tunggang hingga 300km/j dan lihat jika ia mampu pergi lebih lagi,” lapor berita itu memetik kata-katanya dalam video. Polis berkata Chauhan sebahagian dari kumpulan lima penunggang motosikal semasa kemalangan itu.

Chauhan merupakan insan di sebalik saluran Youtube PRO RIDER 1000, dimana dia sering mempamerkan motosikal berprestasi tinggi.

Dikenali dengan minatnya terhadap tunggangan berkelajuan tinggi, video terkini Chauhan yang dimuat naik tiga hari sebelum kemalangan, menunjukkan dia mencapai kelajuan 279km/j. Saluran Youtubenya pada masa ini mempunyai 1.29 juta subscriber, dan telah memuat naik 189 video.

Youtuber berumur 25 tahun itu tinggal di Dehradun, utara India. Walaupun sering menunggang motosikal lain, dia sering dilihat berkongsi video menunggang Kawasaki Ninja ZX-10R.