Tag Archives: Zeekr Malaysia

Zeekr Space PJ kini dibuka, model baharu 7X bakal dilancarkan tahun ini

Hujung minggu lalu, Sentinel Automotive Sdn Bhd secara rasmi membuka pusat pameran Zeekr Space yang pertama terletak di Petaling Jaya.

Dengan keluasan sekitar 660 meter persegi, Zeekr Space menjemput pelanggannya untuk meneroka visi mobiliti yang lebih bersih dan pintar.

Selain menempatkan ruang pameran model terbaharu, pelanggan juga dijemput untuk memandu uji sendiri barisan model Zeekr sedia ada seperti Zeekr X dan juga minivan Zeekr 009.

Menurut Alex Bao selaku Pengarah Urusan Zeekr Asia Tenggara, “Zeekr komited untuk menawarkan produk premium berteknologi tinggi dengan kualiti yang diperhalusi, direka untuk meningkatkan pengalaman pemanduan kepada pelanggan di seluruh dunia.

“Fokus kami kekal untuk menawarkan kenderaan dengan prestasi yang tiada tandingan, rekaan sofistikated serta teknologi termaju.

Sejak pelancaran rasmi yang dibuat pada Disember tahun lepas, pihak Zeekr Malaysia telah mengedarkan kira-kira 200 unit model Zeekr X dan Zeekr 009.

Dalam ucapan perasmian, Alex Bao turut mendedahkan pihaknya akan melancarkan sebuah lagi model baharu, iaitu SUV Zeekr 7X menjelang suku ketiga tahun ini.

Zeekr 7X merupakan SUV elektrik saiz pertengahan dengan saiz yang hampir sama dengan EQE SUV dan menawarkan jarak gerak hampir 780 km untuk sekali cas penuh.

Pembeli boleh mendapatkan versi motor elektrik tunggal pacuan belakang (RWD) berkuasa 421 PS dan 440 Nm, atau versi pacuan semua roda (AWD) dengan dua motor elektrik berkuasa 646 PS dan 710 Nm.

Buat masa ini, pihak Zeekr Malaysia belum menentukan versi mana yang bakal ditawarkan untuk pasaran tempatan.

Zeekr Space Petaling Jaya terletak di alamat 58, Jalan Profesor Diraja Ungku Aziz, PJS 12, 46200 Petaling Jaya, Selangor.

MPV elektrik mewah Zeekr 009 masuk pasaran Malaysia – dari RM350k

Di samping X, Zeekr Malaysia turut melancarkan MPV mewah yang akan bersaing dalam pasaran EV tempatan iaitu Zeekr 009.

Ia bakal berentap dengan model-model popular seperti Toyota Alphard/Vellfire, Maxus Mifa 9, serta model-model yang akan datang seperti GWM Wey 80 dan Denza D9, 009.

009 boleh didapati dalam dua varian iaitu Luxury dengan konfigurasi tujuh tempat duduk, dan Ultra Luxury dengan enam tempat duduk.

Tidak kira varian apa yang dipilih, 009 dipacu oleh motor elektrik berkembar yang menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 603 hp dan 693 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.5 saat.

Pek bateri 116 kWh pula menawarkan jarak gerak sejauh 582 km (kitaran WLTP), selain menyokong pengecasan pantas DC 150 kW yang membolehkan pengecasan 10%-80% dalam 30 minit.

Aspek pemanduan Zeekr 009 dibantu dengan sistem gantungan jenis double-wishbone multilink, suspensi udara elektromagnetik dan fungsi pengimbangan automatik, diikuti unit pencahayaan LED matriks dengan fungsi suluhan pemanduan adaptif (ADB) dan pencahayaan zon pintar.

Di dalam, anda akan menemui meter kluster 10.25 inci, skrin infohibur sebesar 15.05 inci, paparan head up realiti terimbuh (AR) sebesar 35.95 inci, skrin bumbung OLED 17 inci, sistem audio Yamaha, pengecasan peranti pintar tanpa wayar 50W, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, dan sehingga 9 port USB-C tersedia.

Tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan diberikan larasan 12 tahap berserta fungsi urut, pengudaraaan dan memori.

Penumpang baris kedua pula menikmati tempat duduk Sofaro First Class Aeronautics dengan fungsi Ultra Long Electric Slide Rail sepanjang 1.1 meter, tempat rehat kaki yang boleh dilaras, fungsi pengudaraan, urut dan memori.

Untuk keselamatan, terdapat sistem ADAS yang merangkumi ciri kawalan pengekalan tengah lorong (LCC), kawalan jelajah adaptif (ACC), sokongan mitigasi pelanggaran hadapan (CMSF) dan belakang (CMSR), sistem pengelakan lorong, pengesanan titik buta (BSD), amaran bukaan pintu dan juga sistem pemantauan prestasi pemandu (DPM).

009 Luxury dijual pada harga RM349,800, manakala versi Ultra Luxury pula berharga RM359,800. Seperti X, model ini didatangkan dengan waranti kenderaan selama lima tahun/150,000 km dan waranti bateri selama lapan tahun/160,000 km.

Turut disertakan adalah data internet 6GB percuma selama dua tahun untuk akses aplikasi Zeekr, sistem navigasi dan kemas kini perisian secara Over-the-Air (OTA).

500 pembeli pertama 009 akan mendapat pakej eksklusif yang merangkumi pengecas kediaman, pengecas mudah alih dan filem solar.

Kembar smart #1 & Volvo EX30, Zeekr X dilancarkan secara rasmi – dari RM156k

Zeekr Malaysia secara menandakan kemasukannya ke pasaran EV tempatan menerusi pelancaran dua model baharu iaitu Zeekr X dan 009. Kedua-dua model ini dibuka untuk tempahan pada awal Oktober lalu.

X ditawarkan dalam dua varian iaitu Premium yang berharga RM155,800 dan Flagship AWD yang berharga RM172,800.

Harga berkenaan berserta waranti kenderaan selama lima tahun/150,000 km dan waranti bateri untuk lapan tahun/160,000 km. Pemilik juga akan menerima data internet 6GB percuma selama dua tahun.

Menurut Zeekr Malaysia, 500 pemilik pertama akan mendapat pakej eksklusif yang merangkumi pengecas kediaman, pengecas mudah alih, filem solar dan pelindung matahari.

Seperti smart #1/#3 dan Volvo EX30, X dibina menggunakan platform Sustainable Experience Architecture (SEA) yang dihasilkan oleh Geely.

Ia mempunyai ukuran panjang 4,432 mm, lebar 1,836 mm dan tinggi, 1,566 mm, menjadikannya lebih panjang berbanding #1 dan EX30 namun ukuran lebar dan tingginya tidak jauh berbeza dengan EV daripada smart dan Volvo itu.

Dari segi mekanikal, varian Premium dikuasakan oleh motor elektrik pacuan roda belakang berkuasa 268 hp, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.6 saat.

Varian Flagship AWD mempunyai dua motor elektrik yang menjana 422 hp, membolehkan ia melakukan pecutan yang sama dalam masa 3.8 saat.

Kedua-dua varian didatangkan dengan pek bateri 66 kWj yang menawarkan jarak pandu sejauh 440 km berdasarkan kitaran WLTP. Ia menyokong pengecasan pantas DC 150 kW yang boleh memulihkan tenaga dari 10%-80% dalam 30 minit.

Sistem keselamatan pula terdiri daripada ciri ADAS yang merangkumi kawalan jelajah adaptif (ACC), penukaran lorong automatik (ALC), kawalan pengekalan tengah lorong (LCC), bantuan kekal lorong (LKA), sokongan mitigasi pelanggaran hadapan (CMSF) dan belakang (CMSR), bantuan pengelakan lintasan trafik depan (FCTA) dan belakang (RCTA).

Turut disertakan adalah tujuh beg udara, sistem kamera 360 darjah serta perakam video pemanduan (DVR).

Untuk pasaran Malaysia, X ditawarkan dalam warna Crystal White, Mist Grey, Grid Grey, Palace Beige dan Pine Green. Ruang kabin pula boleh didapati dalam warna Charcoal Black atau Stone Grey.

Tempahan Zeekr X kini dibuka, dua varian, 0-100 kmsj 4.8s, harga anggaran bawah RM180k

Zeekr Malaysia hari ini secara rasmi membuka tempahan bagi model SUV elektrik urban Zeekr X untuk pasaran tempatan.

Zeekr X ditawarkan dalam dua varian utama, iaitu Premium dan Flagship AWD.

Versi Premium dikuasakan oleh motor elektrik pacuan roda belakang berkuasa 268 hp, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.6 saat.


Sementara versi Flagship AWD pula didatangkan dengan dua motor elektrik berkuasa 422 hp, di mana pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 3.8 saat.

Pek bateri 66 kWh pula didatangkan secara standard, membenarkan jarak gerak sejauh 440 km, selain menyokong pengecasan pantas DC 150 kW (10-80 peratus dalam 30 minit).

Terdapat lima warna iaitu Crystal White, Mist Grey, Grid Grey, Palace Beige dan Pine Green sementara ruang kabin pula disediakan dengan warna Charcoal Black dan Stone Grey.


Zeekr X turut didatangkan dengan kelengkapan ADAS yang merangkumi kawalan jelajah adaptif (ACC), penukaran lorong automatik (ALC), kawalan pengekalan tengah lorong (LCC), bantuan kekal lorong (LKA), sokongan mitigasi pelanggaran hadapan (CMSF) dan belakang (CMSR), bantuan pengelakan lintasan trafik depan (FCTA) dan belakang (RCTA), dan banyak lagi.

Selain itu, Zeekr X juga turut didatangkan dengan tujuh beg udara, sistem kamera 360 darjah, serta peranti perakam video pemanduan (DVR).

Harga anggaran Zeekr X bawah RM180,000, di mana pembeli perlu membayar yuran tempahan RM2,000.