Tag Archives: Zeekr X

Zeekr Space PJ kini dibuka, model baharu 7X bakal dilancarkan tahun ini

Hujung minggu lalu, Sentinel Automotive Sdn Bhd secara rasmi membuka pusat pameran Zeekr Space yang pertama terletak di Petaling Jaya.

Dengan keluasan sekitar 660 meter persegi, Zeekr Space menjemput pelanggannya untuk meneroka visi mobiliti yang lebih bersih dan pintar.

Selain menempatkan ruang pameran model terbaharu, pelanggan juga dijemput untuk memandu uji sendiri barisan model Zeekr sedia ada seperti Zeekr X dan juga minivan Zeekr 009.

Menurut Alex Bao selaku Pengarah Urusan Zeekr Asia Tenggara, “Zeekr komited untuk menawarkan produk premium berteknologi tinggi dengan kualiti yang diperhalusi, direka untuk meningkatkan pengalaman pemanduan kepada pelanggan di seluruh dunia.

“Fokus kami kekal untuk menawarkan kenderaan dengan prestasi yang tiada tandingan, rekaan sofistikated serta teknologi termaju.

Sejak pelancaran rasmi yang dibuat pada Disember tahun lepas, pihak Zeekr Malaysia telah mengedarkan kira-kira 200 unit model Zeekr X dan Zeekr 009.

Dalam ucapan perasmian, Alex Bao turut mendedahkan pihaknya akan melancarkan sebuah lagi model baharu, iaitu SUV Zeekr 7X menjelang suku ketiga tahun ini.

Zeekr 7X merupakan SUV elektrik saiz pertengahan dengan saiz yang hampir sama dengan EQE SUV dan menawarkan jarak gerak hampir 780 km untuk sekali cas penuh.

Pembeli boleh mendapatkan versi motor elektrik tunggal pacuan belakang (RWD) berkuasa 421 PS dan 440 Nm, atau versi pacuan semua roda (AWD) dengan dua motor elektrik berkuasa 646 PS dan 710 Nm.

Buat masa ini, pihak Zeekr Malaysia belum menentukan versi mana yang bakal ditawarkan untuk pasaran tempatan.

Zeekr Space Petaling Jaya terletak di alamat 58, Jalan Profesor Diraja Ungku Aziz, PJS 12, 46200 Petaling Jaya, Selangor.

Tempahan Zeekr X kini dibuka, dua varian, 0-100 kmsj 4.8s, harga anggaran bawah RM180k

Zeekr Malaysia hari ini secara rasmi membuka tempahan bagi model SUV elektrik urban Zeekr X untuk pasaran tempatan.

Zeekr X ditawarkan dalam dua varian utama, iaitu Premium dan Flagship AWD.

Versi Premium dikuasakan oleh motor elektrik pacuan roda belakang berkuasa 268 hp, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.6 saat.


Sementara versi Flagship AWD pula didatangkan dengan dua motor elektrik berkuasa 422 hp, di mana pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 3.8 saat.

Pek bateri 66 kWh pula didatangkan secara standard, membenarkan jarak gerak sejauh 440 km, selain menyokong pengecasan pantas DC 150 kW (10-80 peratus dalam 30 minit).

Terdapat lima warna iaitu Crystal White, Mist Grey, Grid Grey, Palace Beige dan Pine Green sementara ruang kabin pula disediakan dengan warna Charcoal Black dan Stone Grey.


Zeekr X turut didatangkan dengan kelengkapan ADAS yang merangkumi kawalan jelajah adaptif (ACC), penukaran lorong automatik (ALC), kawalan pengekalan tengah lorong (LCC), bantuan kekal lorong (LKA), sokongan mitigasi pelanggaran hadapan (CMSF) dan belakang (CMSR), bantuan pengelakan lintasan trafik depan (FCTA) dan belakang (RCTA), dan banyak lagi.

Selain itu, Zeekr X juga turut didatangkan dengan tujuh beg udara, sistem kamera 360 darjah, serta peranti perakam video pemanduan (DVR).

Harga anggaran Zeekr X bawah RM180,000, di mana pembeli perlu membayar yuran tempahan RM2,000.

Zeekr sah masuk pasaran Malaysia melalui Sentinel Automotive selaku rakan niaga

ZEEKR, jenama kenderaan elektrik (EV) mewah di bawah Kumpulan Geely, dilaporkan telah menandatangani perjanjian kerjasama dengan Sentinel Automotive Sdn. Bhd. untuk pengedaran EV jenama itu di Malaysia.

Menurut CarNewsChina (CNC), perjanjian tersebut dimeterai pada 8 Jun lalu. Zeekr turut menandatangani perjanjian yang sama dengan sebuah syarikat dari Indonesia iaitu PT Premium Auto Prima.

Portal automotif dari China itu turut melaporkan yang jenama itu akan membuka cawangan pertamanya di Kuala Lumpur, diikuti dengan cawangan-cawangan lain di Selangor dan Pulau Pinang yang dijangka mula dibina tahun ini.

Model pertama yang akan dibawa masuk ke Malaysia dan Indonesia adalah X dan 009. Sebelum ini, CNC melaporkan unit X pemanduan sebelah kanan telah mula dikeluarkan dari kilang di China dan akan dieksport ke pasaran luar bermula suku ketiga tahun ini.

X merupakan SUV kompak elektrik yang dibina menggunakan platform Sustainable Experience Architecture (SEA), seperti mana-mana model keluaran Zeekr yang lain.

Berdasarkan data teknikal yang diperoleh dari laman web Zeekr, ia mempunyai ukuran panjang 4,432 mm, lebar 1,836 mm, tinggi 1,566 mm dan jarak roda 2,750 mm.

Ia boleh didapati dalam versi RWD dan AWD. Versi RWD mempunyai motor elektrik tunggal pada gandar belakang yang menjana 272 hp dan 343 Nm, membolehkannya memecut dari 0 hingga 10o km/j dalam 5.6 saat.

Sementara itu, versi AWD dengan konfigurasi motor elektrik berkembar pula mempunyai 428 hp dan 543 Nm. Ia boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 3.8 saat dan mencapai kelajuan maksimum 180 km/j, sama dengan RWD.

Kedua-dua versi dilengkapi dengan bateri berkapasiti 69 kWj, yang memberikan jarak gerak kitaran WLTP sejauh 440 km pada RWD dan 400 km pada AWD.

Sementara itu, 009 merupakan MPV mewah dengan ukuran panjang 5,209 mm, lebar 2,024 mm, tinggi 1,848 mm dan jarak roda 3,205 mm.

Ia dipacu oleh dua motor elektrik yang menjana kuasa keseluruhan sebanyak 544 PS, membantu 009 melakukan pecutan 0-100 km/j dalam hanya 4.5 saat.

Untuk bateri pula, 009 dikatakan kenderaan pertama di dunia yang dilengkapi dengan bateri CATL berkapasiti 140 kWj. Bateri itu menawarkan jarak pandu sehingga 822 km berdasarkan kitaran CLTC.