Seperti yang diumumkan pada Februari lalu, Sentinel Automotive Sdn Bhd, selaku pengedar dan pengimport rasmi kenderaan Zeekr di Malaysia, akan melancarkan Zeekr 7X menjelang suku ketiga tahun ini.
Sebelum SUV elektrik tersebut memasuki pasaran secara rasmi, ia akan membuat penampilan umum terlebih dahulu di Malaysia Autoshow 2025 yang bakal membuka tirainya pada 9 Mei ini di MAEPS, Serdang.
Untuk makluman, 7X dibina menggunakan platform SEA (Sustainable Experience Architecture), dan disasarkan sebagai pesaing kepada Tesla Model Y serta BYD Sealion 7.
Dari segi dimensi, Zeekr 7X berukuran panjang 4,825 mm, lebar 1,930 mm, tinggi 1,666 mm, dengan jarak antara roda 2,925 mm. Sebagai perbandingan:
- Tesla Model Y: Panjang 4,790 mm, lebar 2,129 mm, tinggi 1,624 mm, jarak roda 2,891 mm
- BYD Sealion 7: Panjang 4,830 mm, lebar 1,925 mm, tinggi 1,620 mm, jarak roda 2,930 mm
Varian dan spesifikasi untuk pasaran Malaysia masih belum diumumkan namun di China, 7X boleh didapati dalam versi motor elektrik tunggal pacuan belakang (RWD) berkuasa 421 PS dan 440 Nm.
Satu lagi versi lebih berkuasa dilengkapi sistem pacuan semua roda (AWD) dengan dua motor elektrik yang digabungkan untuk menjana 646 PS dan 710 Nm, membolehkan pecutan dari 0 ke 100 km/j dicapai dalam hanya 3.8 saat.
Bagi sumber kuasa, versi RWD ditawarkan dengan dua pilihan bateri. Yang pertama ialah bateri LFP ‘Golden’ berkapasiti 75 kWj yang mampu memberikan jarak gerak sehingga 605 km. Pilihan kedua ialah bateri NMC ‘Kirin’ 100 kWj dengan jarak maksimum sehingga 780 km.
Versi AWD pula dilengkapi dengan bateri NMC yang sama tetapi menawarkan jarak gerak sedikit lebih pendek iaitu sekitar 705 km. Perlu diingat, semua jarak ini adalah berdasarkan kitaran CLTC yang diketahui agak optimistik berbanding piawaian lain.
Dengan sistem voltan tinggi 800V, 7X menyokong kadar pengecasan maksimum 5.5C yang mampu mengecas bateri daripada 10% hingga 80% dalam masa 10.5 minit sahaja.
Ciri-ciri menarik lain yang terdapat pada model ini termasuk skrin sentuh 16 inci dengan resolusi 3.5K yang menyokong kemas kini perisian secara over-the-air (OTA), sistem audio premium berkuasa 2,160 watt dengan 21 pembesar suara, serta sistem bantuan pemandu Zeekr Intelligent Driving 2.0 yang merangkumi penderia LiDAR dan 12 radar ultrasonik.