Tayar kereta pecah tiba-tiba, apa nak buat?

Memandu di atas jalan raya Malaysia yang tercinta ini merupakan satu bentuk perjudian yang sangat berisiko.
Nasib baik, anda mungkin akan sampai ke destinasi dengan selamat. Nasib kurang baik, anda mungkin sangkut di pertengahan jalan/lebuh raya disebabkan oleh tayar pancit atau pecah.
Masalah tersebut boleh terjadi akibat beberapa faktor seperti contoh tercucuk bendasing yang tajam, dinding sisi yang mungkin terkoyak akibat impak pelanggaran jalan kawah bulan atau mungkin sekali masalah kebocoran pada struktur injap itu sendiri.
Sekiranya masalah ini terjadi, anda mungkin sekali akan berdepan dengan situasi seperti respons stereng yang semakin berat, kesukaran untuk mula bergerak, serta bunyi tayar yang semakin bising.
Kereta anda juga mungkin cenderung untuk melencong ke kiri atau ke kanan, atau hilang kawalan walaupun sedang melalui jalan yang lurus.
Sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini (seperti tayar pecah), usah panik dan cuba ikuti lima langkah yang perlu anda buat:
1. Kawal daya brek
Menekan brek secara mengejut mungkin akan membuatkan kenderaan anda hilang kawalan dan mampu membahayakan bukan sahaja nyawa diri sendiri, malah nyawa pengguna lain atas jalan.
Jadi perkara pertama yang perlu anda buat ialah dengan menekan dan mengepam pedal brek dengan perlahan sehingga kenderaan berada pada kelajuan yang boleh dikawal.
Untuk pemilik kereta non-ABS, masa inilah anda merealisasikan ABS – Aku Brek Sendiri!
2. Kawal arah stereng dengan lembut
Dalam situasi kecemasan, anda mungkin dapat rasa kereta cenderung untuk ditarik ke kiri atau ke kanan bergantung kepada kedudukan tayar mana yang pecah.
Sama halnya dengan brek, roda stereng juga perlu dikawal dengan baik dan lembut berlawanan dengan arah kecenderungan kereta, dan paling penting pastikan kereta berada dalam laluan yang sepatutnya.
Memulas roda stereng dengan agresif akan membuatkan kereta anda berpusing dan hilang kawalan.
3. Gunakan gear rendah
Salah satu cara yang boleh dibuat untuk memperlahankan pergerakan kereta adalah dengan menggunakan teknik brek enjin (engine braking).
Pemilik kereta bertransmisi manual pasti sudah arif dengan teknik ini – tukar sahaja kepada posisi gear yang lebih rendah.
4. Nyalakan lampu kecemasan
Pastikan lampu kecemasan dihidupkan semasa dalam proses mengawal dan memberhentikan kereta bagi memberikan amaran kepada pengguna jalan raya yang lain.
Kereta-kereta moden masa kini sudah pun mempunyai ciri nyalaan lampu kecemasan automatik saat berlakunya situasi yang mencemaskan.
Jika anda tergolong dalam kategori pemilik kereta yang olskool, usah risau dan panik kerana lampu kecemasan kereta anda juga boleh diaktifkan secara manual. Anda hanya perlu tahu di mana letaknya butang lampu kecemasan itu pada kereta anda.
Yang anda perlu risau ialah golongan pemandu yang sengaja menyalakan lampu kecemasan sewaktu memandu dalam hujan.
5. Segi tiga amaran – mana nak letak?
Semasa berhenti di lorong kecemasan, pastikan anda meletakkan segi tiga amaran pada jarak 45 meter dari belakang kereta yang rosak.
Kebanyakan kereta baharu kini sudah pun dilengkapi dengan kit kecemasan ini, jadi ia bukanlah satu alasan untuk anda mengabaikan aspek keselamatan sewaktu menunggu bantuan tiba.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.