Kos servis Honda City cecah RM4,295 untuk 100,000 km/5 tahun pemilikan

Rasanya tidak perlu diperkatakan lagi yang Honda City adalah antara sedan segmen B yang paling popular dalam pasaran bagi pengeluar bukan tempatan.

Versi facelift yang dilancarkan pada Ogos 2023 menyaksikan penambahan varian RS petrol yang diposisikan di antara e:HEV RS dan V. Secara keseluruhannya, terdapat lima varian untuk dipilih, dengan harga jualan bermula dari RM84,900 hingga RM111,900.

Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan City, berikut adalah kos penyelenggaraan bagi varian-varian petrol sehingga 100,000 km:

10,000 km, 50,000 km & 70,000 km

Berita baik untuk peminat model ini, servis pertama yang perlu dilakukan adalah ketika odometer mencecah 10,000 km atau enam bulan pertama pemilikan. Apa yang dilakukan ketika ini adalah penukaran minyak enjin dan drain plug washer (RM139.56) dan pemeriksaan brek depan dan belakang (RM10.17). Dengan kos buruh (RM112.50) dan cukai perkhidmatan (RM9.00), pelanggan perlu membayar RM271.23.

20,000 km

Untuk perbatuan 20,000 km, di samping minyak enjin dan drain plug washer (RM139.56) dan pemeriksaan brek (RM10.17), Honda Malaysia juga akan menukar penapis minyak (RM34.68). Ditambah dengan kos buruh (RM135) dan cukai perkhidmatan (RM10.80), kos keseluruhan kali in mencecah RM330.21.

30,000 km & 90,000 km

Ketika ini, Honda Malaysia akan menambah elemen pembersih udara (RM93.60) dan penapis debu (RM234.06) ke dalam senarai item yang perlu ditukar, di samping minyak enjin dan drain plug washer dan pemeriksaan brek. Tiada kos buruh dan cukai perkhidmatan dikenakan, menjadikan jumlah yang perlu dibayar adalah RM477.39.

40,000 km & 80,000 km

Selain minyak enjin dan drain plug washer, penapis minyak dan pemeriksaan brek, pelanggan juga perlu menukar bendalir transmisi (RM189.38) .Kos buruh dan cukai perkhidmatan untuk servis ini masing-masing mencecah RM150 dan RM12, menjadikan jumlah keseluruhan RM535.79.

60,000 km

Untuk perbatuan 60,000 km atau tiga tahun pemilikan, terdapat lima item yang perlu digantikan iaitu minyak enjin dan drain plug washer, penapis minyak, elemen pembersih udara, penapis debu dan bendalir brek (RM41.21). Kos buruh dan cukai perkhidmatan percuma, bermakna pemilik hanya perlu membayar kos alat ganti iaitu RM553.28.

100,000 km

Ketika odometer mencecah angka keramat 100,000 km, pemilik hanya perlu menggantikan tiga benda sahaja iaitu minyak enjin dan drain plug washer, penapis minyak dan palam pencucuh iridium (RM387.67). Tiada kos buruh dan cukai perkhidmatan dikenakan, menjadikan kos keseluruhan RM572.08.

Konklusi

Kos keseluruhan servis berkala Honda City petrol adalah RM4,295.62 untuk perbatuan 100,000 km/lima tahun pemilikan. Ini bermakna secara purata, pemilik perlu mengeluarkan belanja sebanyak RM859.12 setahun atau RM71.59 sebulan untuk servis.

Pengiraan ini penting kerana selain bayaran ansuran, pelanggan juga perlu mengambil kira kos servis serta kos-kos lain seperti petrol, insurans dan tol sebelum membuat keputusan.