Enam perkara wajib penunggang motosikal perlu tahu, atasi risiko kemalangan

PENUNGGANG motosikal tidak dinafikan sentiasa terdedah kepada bahaya.
Berdasarkan statistik kemalangan jalan raya, penunggang motosikal paling berisiko di negara ini.
Terdapat lebih 7,525 kemalangan jalan raya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu dan daripada jumlah itu, 2,576 kematian adalah penunggang motosikal!
Senario ini sudah pasti membimbangkan seluruh rakyat Malaysia dan sudah pasti setiap pihak perlu memainkan peranan masing-masing.
Salah satu kaedah terbaik adalah dengan sentiasa mengambil langkah keselamatan sewajarnya.
Tips tunggang motosikal dengan selamat
Artikel kali ini EnGear ingin kongsi bersama anda beberapa tips keselamatan sewaktu menunggang motosikal.
Jom check it out!!!
Pakai jaket sesuai
Pemakaian jaket yang sesuai sebenarnya sangat penting. Ia bukan sahaja melindungi tubuh badan daripada sinaran matahari atau hujan.
Apa yang penting bagaimana jaket mampu mengurangkan risiko luka jika anda terjatuh daripada motosikal.
Jaket yang dipakai perlu sesuai dengan saiz badan dan sebaiknya ia mempunyai padding di bahagian lengan serta siku.

Pakai sarung tangan
Jangan malu untuk pakai sarung tangan walaupun anda hanya menunggang “kapchai”.
Pemakaian sarung tangan yang sesuai boleh menghalang tangan anda khususnya pada bahagian tapak daripada mengalami luka parah.

Jangan pakai selipar
Seboleh-bolehnya jangan pakai selipar ketika menunggang motosikal.
Gunakan kasut yang sesuai (tertutup) bagi mengelak risiko kecederaan.
Mungkin ramai yang anggap pemakaian kasut adalah suatu yang leceh dan remeh sehinggalah kuku kaki tertanggal baru nak tepuk dahi.

Jangan masuk simpang terburu-buru
Sering berlaku penunggang motosikal bersikap terburu-buru terutama ketika memasuki simpang.
Terdapat banyak kes yang mana penunggang motosikal cuai dan terburu-buru memasuki simpang sehingga akhirnya berdepan kemalangan.

Elak rapat dengan kenderaan besar
Ada dalam kalangan penunggang motosikal terlebih berani sehingga tidak kisah untuk rapat dengan kenderaan besar seperti bas dan lori.
Anda perlu sedar diri yang mana kenderaan lain adalah lebih jauh besar.
Kemungkinan untuk pemandu tidak nampak kedudukan motosikal anda amat tinggi.
Maka, untuk elak jadi sebahagian daripada statistik kemalangan sila jangan rapat dengan kenderaan besar.

Gunakan “said mirul” (side mirror)
Kadang-kala tak faham dengan sikap segelintir individu dengan sengaja tidak menggunakan side mirror di motosikal mereka.
Mungkin mahu motosikal kelihatan ‘garang’ tetapi tanpa disedari ia sangat berbahaya.
Gagal menggunakan side mirror juga boleh menyebabkan penunggang motosikal dikenakan saman oleh pihak berkuasa.

Itu antara beberapa tips menunggang motosikal dengan selamat.
Tidak dinafikan memang penunggang motosikal amat berisiko tetapi menjadi tanggungjawab kita juga untuk mengambil inisiatif keselamatan sendiri.
Apa pun EnGear doakan kita semua terhindar daripada kemalangan jalan raya.
Amin!!!
Wartawan yang masih menabung demi sebuah Aventador