Pelakon sambilan ditahan pandu melulu sehingga kekasih tercampak

POLIS telah menahan seorang selebriti susulan tular rakaman video Perodua Myvi dipandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Hulu Kelang pada 27 Disember lalu.
Video berdurasi 43 saat itu menunjukkan Myvi yang dipandu suspek itu menukar lorong secara melulu berkali-kali sebelum merempuh bahagian sisi kiri sebuah Toyota Innova.
Pelanggaran itu menyebabkan penumpang hadapan Myvi yang dipercayai kekasih pelakon sambilan itu tercampak keluar daripada kenderaan dan mengalami kecederaan ringan. Mangsa dilaporkan berusia 25 tahun.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku berpunca daripada kecuaian pemandu Perodua Myvi yang memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan.
“Siasatan juga mendapati berlaku pertengkaran di antara suspek dan mangsa ketika kejadian,” katanya.
Tambah beliau lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Suspek yang juga seorang peniaga telah ditahan untuk siasatan lanjut.