Polis kesan individu lawan arus di LTU Raub Bypass

Baru-baru ini, tular satu video yang memaparkan segelintir pengguna jalan raya yang tidak bertanggungjawab memandu secara lawan arus di Lingkaran Tengah Utama (LTU) Raub Bypass.
Menurut laporan Sinar Harian, pihak polis kini sedang mengesan beberapa individu yang didapati membuat pusingan U secara haram bagi mengelak kesesakan lalu lintas di jalan tersebut.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, buat masa ini, pihaknya tidak dapat memastikan nombor pendaftaran kenderaan pemilik kenderaan yang merakam video berkenaan.
“Walau bagaimanapun, selepas pemerhatian dari video tersebut, terdapat beberapa buah kenderaan yang dapat dikesan selepas melakukan pemeriksaan melalui aplikasi Mysikap JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) bagi membantu siasatan.
“Manakala semua kenderaan lain yang terlibat dalam video tersebut termasuk pemilik video sedang dikesan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Jelasnya lagi, tindakan pemandu-pemandu tersebut melakukan pusingan U secara haram adalah tidak mematuhi peraturan jalan raya, di mana perbuatan tersebut telah menyebabkan kegusaran dan boleh mengakibatkan kemalangan kepada pengguna jalan raya lain.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.