Gara-gara memasak di stesen minyak, 15 individu ditahan polis

Polis telah menahan 15 individu, terdiri daripada 10 lelaki dan lima wanita berhubung kejadian memasak di sebuah stesen minyak di Genting Highlands yang tular baru-baru ini.

Menurut laporan Kosmo, pihak polis turut mengesahkan tiada anak timbalan menteri yang ditahan berhubung kejadian tersebut.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, “mereka yang ditahan berusia 23 hingga 28 tahun. Daripada jumlah tersebut, seramai empat daripada mereka akan dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan.

“Baki tangkapan itu akan dibebaskan dan akan menjadi saksi,” katanya di sini hari ini.

Baru-baru ini, tular satu rakaman video sekumpulan individu memasak di sebuah stesen minyak di Genting Highlands bermula pada 13 Mei lalu.

Klip video berdurasi kira-kira 50 saat itu memaparkan sekumpulan pemilik kenderaan melakukan aktiviti memasak di stesen minyak berkenaan.