Category Archives: VIRAL

Wanita cemas anak tidur dalam kereta, orang awam selamatkan keadaan

GOLONGAN ibu bapa atau penjaga dinasihati tidak meninggalkan anak kecil bersendirian dalam kenderaan tanpa pengawasan orang dewasa.

Ini kerana terdapat pelbagai kes berlaku melibatkan kanak-kanak terperangkap dalam kenderaan berseorangan.

Baru-baru ini di media sosial, tular kejadian seorang kanak-kanak perempuan tertidur dalam kenderaan yang terkunci.

Menerusi sebuah video dimuatkan akaun MyWatch di Twitter, seorang wanita dipercayai ibunya kelihatan cemas selepas gagal membuka pintu kenderaan.

Orang awam yang sedar dengan situasi itu cuba membantu mengejutkan kanak-kanak terbabit dengan menggoncang kenderaan berkenaan.

Nasib menyebelahi mereka apabila kanak-kanak terbabit terjaga daripada tidur selepas beberapa ketika.

Insiden kanak-kanak terperangkap dalam kenderaan bukan suatu yang asing di negara ini.

Terdapat beberapa kes berlaku sebelum ini dan lebih malang ada yang meragut nyawa.

Jadi, kepada anda yang ada anak kecil jangan sesekali biarkan mereka bersendirian dalam kenderaan kerana benar kata orang, “malang tidak berbau.”

Hilux rempuh Myvi, seorang wanita meninggal dunia

TINDAKAN sebuah kenderaan yang didakwa tidak mematuhi lampu isyarat mengundang padah apabila ia terlibat dalam satu kemalangan.

Walaupun berlaku pada 24 April lalu, video kemalangan itu bagaimanapun tular di media sosial hari ini.

Insiden dikatakan berlaku di persimpangan lampu isyarat Jalan Temenggong Ahmad dekat Muar, Johor.

Kemalangan meragut nyawa seorang wanita berusia 41 tahun yang mengalami kecederaan serius.

Sementara itu, anak kepada wanita terbabit dilaporkan cedera parah dan sedang mendapatkan rawatan di hospital.

Menerusi video tular di media sosial, kelihatan sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda (4×4) Toyota Hilux dipandu laju sebelum melanggar sebuah kereta Perodua Myvi.

Pada masa sama, insiden turut melibatkan beberapa kenderaan lain yang berada di lokasi kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Senarai rakyat Malaysia pemurah, sedia khidmat kenderaan percuma

SIKAP saling membantu sesama insan tidak dinafikan merupakan amalan murni dan amat dituntut dalam kehidupan bermasyarakat.

Amat bertuah, Malaysia tidak ketandusan memiliki insan mulia yang sanggup berkorban demi membantu individu dalam kesusahan.

Baru-baru ini misalnya, tular di media sosial usaha seorang individu di Sabah menyediakan perkhidmatan kereta percuma untuk membawa pesakit mendapatkan rawatan di hospital.

Perkhidmatan percuma itu bukan sahaja mendapat pujian masyarakat, malah turut memberi inspirasi kepada ramai insan lain.

Sebagai penghormatan, artikel kali ini EnGear senaraikan beberapa usaha orang ramai yang memberi perkhidmatan kenderaan percuma kepada insan memerlukan.

Perkhidmatan van jenazah percuma disediakan oleh Noorkhiriah dan suami.

Perkhidmatan van jenazah percuma

Pelakon Noorkhiriah dan suami menyediakan perkhidmatan van jenazah percuma kepada umat Islam yang memerlukan.

Mengakui ia sebagai sebahagian ‘bekalan’ akhirat, Noorkhiriah dan suami berharap usaha itu dapat membantu mereka dalam kesusahan.

Mewakafkan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Hyundai tahun lalu, pelakon itu tekad untuk terus berbakti kepada masyarakat.

Uncle Kentang terkenal dengan sifatnya suka mebantu insan kesusahan.

Perkhidmatan ambulans percuma

Siapa tidak kenal aktivis masyarakat Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang?

Tahun lalu, Uncle Kentang dan pasukannya berjaya mengumpul dana RM150,000 bagi membeli sebuah van yang dijadikan sebagai ambulans.

Ambulans berkenaan digunakan bagi menghantar pesakit ke hospital secara percuma di sekitar Lembah Klang.

Perkhidmatan kereta ke hospital

Pada 2017, seorang pemuda bernama Wan Muhiddin Asyrafi Wan Baharunddin tampil menawarkan perkhidmatan kereta percuma bagi golongan rentan untuk ke hospital.

Perkhidmatan kereta percuma itu beroperasi merangkumi kawasan Kota Bharu, Kubang Kerian dan Pasir Mas.

Paling menakjubkan, ia adalah kerja amal pertama di Kelantan yang menawarkan perkhidmatan penghantaran ulang alik ke hospital secara percuma!

Kesimpulannya, ada ramai rakyat Malaysia yang berbaik hati untuk melakukan kerja amal.

Namun, ia tidak bererti kita harus berpeluk tubuh dan membiarkan golongan memerlukan terus dihimpit kesusahan.

Maka, mulai saat ini ayuh kita sama-sama tampil melakukan kerja amal demi kesejahteraan bersama!

Selamat beramal!!!

MP Kepong lapor DBKL, Kancil ‘legend’ tunggu masa kena tunda

Tindakan seorang lelaki yang masih memandu keretanya di jalan raya walau kenderaan itu sudah remuk teruk mendapat perhatian Ahli Parlimen Kepong.

Lim Lip Eng berkata, satu aduan telah dibuat kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengambil tindakan terhadap kenderaan itu.

Menerusi hantaran di Twitter semalam, Lip Eng berkata DBKL telah mengenalpasti lokasi kereta jenis Perodua Kancil itu sebelum mengambil tindakan sita.

“Pihak pejabat saya sudah melaporkan kepada DBKL berkenaan kereta Kancil ‘legend’ ini.

“Mereka sudah tahu lokasinya. Sekarang tunggu masa untuk tunda.

“Tak boleh ‘Mat’, bahaya sangat kalau dibiarkan kat jalan. Tayar yang elok pun tinggal satu je adoi,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai sebuah kereta Kancil yang masih berada di jalan raya dalam keadaan remuk.

Orang ramai turut mempersoalkan bagaimana kenderaan itu masih boleh dipandu tanpa diambil tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa.

Jelas mereka, agak mustahil kenderaan itu tidak pernah bertembung dengan pihak berkuasa.

Ia kerana terdapat bilangan sekatan jalan raya yang banyak seluruh negara ketika ini bagi mengawal kenderaan susulan Covid-19.

Ditahan polis kerana ikut ambulans terlalu rapat, warga maya puas hati

TINDAKAN seorang pemandu yang sengaja mengikuti sebuah ambulans bagi memotong barisan mengundang padah selepas ditahan pihak polis.

Menerusi sebuah video tular di media sosial, kelihatan kenderaan itu mengikuti rapat sebuah ambulans di satu lokasi tidak diketahui.

Berang dengan tindakan terbabit, pemandu ambulans kemudian bertindak memaklumkan kepada kenderaan peronda polis yang kebetulan berada di situ menggunakan alat pembesar suara.

Sebaik mendengar aduan pemandu ambulans, kelihatan polis berkenaan mendekati kenderaan terbabit sebelum dipercayai menahannya untuk diambil tindakan undang-undang.

Rata-rata pengguna media sosial berang dengan sikap tidak bertanggungjawab pemandu yang mengambil kesempatan memotong barisan dengan mengikuti rapat ambulans berkenaan.

Jelas mereka tindakan itu bukan sahaja tidak menghormati pengguna jalan raya lain malah, menganggu aliran trafik.

Pada masa sama, pengguna media sosial turut berpuas hati dengan tindakan pantas polis walau hanya menerima aduan melalui pembesar suara.

‘Mat rempit’ kena saman, Wazi sindir lebih baik sedekah

KEMULIAAN bulan Ramadan hanya sia-sia bagi sekumpulan pemuda apabila mereka sibuk melakukan aktiviti lumba haram di sebelah malam.

Berjaya dihidu pihak polis hasil aduan orang ramai, sepuluh ‘mat rempit’ ditahan polis dalam satu operasi diadakan sekitar Jalan Kuala Terengganu – Kuantan dekat Kampung Geliga.

Aktiviti lumba haram itu bukan sahaja membahayakan nyawa pengguna jalan raya malah, turut menganggu jemaah menunaikan solat Tarawih.

Memetik laporan media, polis mengeluarkan lebih 52 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya dalam operasi terbabit.

Selain itu, sembilan buah motosikal turut disita dipercayai digunakan untuk kegiatan lumba haram.

Pemerhatian EnGear di media sosial mendapati rata-rata orang ramai mengecam aktiviti tidak bermoral itu selain berharap penguatkuasaan lebih tegas dikenakan kepada pesalah.

Turut tidak ketinggalan memberi komen termasuk legenda pelumba motosikal Wazi Abdul Hamid.

Jelas Wazi, lumba haram tidak membawa faedah apatah lagi terpaksa menanggung saman yang tinggi.

Secara sinis, Wazi berkata jumlah wang saman dikenakan lebih afdal digunakan untuk tujuan kebaikan termasuk bersedekah kepada yang memerlukan.

“Katakan tidak pada lumba haram. Tambahan pula bulan Ramadan ini. Kalau kena tahan atau saman pasti rugi pasal kena selesaikan saman beribu ringgit.

“Banyak duit itu lebih baik kita laburkan untuk mencantikkan motosikal. Baki kita sedekah buat surau di kampung,” katanya di Facebook sambil memuat naik tangkap layar mengenai berita lumba haram tersebut.

Wazi merupakan individu yang sentiasa bergiat aktif dalam kempen keselamatan jalan raya.

Berpengalaman dalam perlumbaan profesional, Wazi sering mengingatkan golongan remaja tidak terlibat dalam perlumbaan haram.

Dr Mahathir puji Ativa, bangga dengan Perodua

BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memuji syarikat Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) yang memberi saingan hebat dalam pasaran automotif.

Dr Mahathir berkata, produk dihasilkan Perodua bukan sahaja berkualiti malah memilki harga munasabah.

Jelasnya, ia sekaligus menjadikan kenderaan keluaran syarikat itu sebagai antara pilihan utama pengguna.

“Saya bangga Perodua kini menggunakan tenaga pakar anak tempatan yang kian bertambah dari masa ke masa dalam pengeluaran produknya.

“Sekarang anak tempatan turut terlibat dalam pembikinan reka bentuk dan enjin. Saya fikir harga Perodua juga munasabah selain berkualiti.

“Bagaimanapun, tidak dinafikan banyak lagi yang perlu dilakukan,” katanya.

Terdahulu, sebuah video ringkas menunjukkan Dr Mahathir diperkenalkan dengan model terkini kenderaan utiliti sukan (SUV) Ativa.

Video dimuat naik akaun Dr Mahathir bin Mohamad di Facebook.

Perodua melancarkan model Ativa pada Mac lalu.

Model SUV terkini Perodua itu dilapor menggunakan lebih 95 peratus komponen tempatan.

Pengguna berminat boleh mendapatkan Ativa pada harga bermula RM61,500 hingga RM72,000 tanpa insurans.

Wanita alami detik cemas SUV bertembung lori

PANTANG maut sebelum ajal.

Demikian dapat disimpulkan nasib seorang wanita yang hampir kemalangan selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandu bertembung dengan sebuah lori.

Menerusi video dimuat naik akaun Twitter MyWatch, SUV wanita itu dilihat bertembung dengan sebuah lori yang sedang memotong kenderaan lain.

Tindakan pantas wanita terbabit mengelak daripada bertembung dengan lori itu bagaimanapun berjaya menyelamatkan nyawanya.

Agak kurang bernasib baik, SUV wanita itu tetap mengalami kerosakan kemek pada bahagian sisi belakang kerana bergesel dengan lori terbabit.

Setakat ini, tidak dapat dipastikan lokas insiden berlaku.

Rata-rata warga maya mengkritik cara pemanduan berbahaya pemandu lori selain berharap identiti pelaku dapat dikesan pihak berkuasa.

Cermin kereta retak terkena sisa sampah, mana akal fikiran waras?

SIKAP individu tidak bertanggungjawab membuang sampah dari tingkat atas sebuah flat di Lembah Klang mengundang kecaman ramai.

Tular di media sosial, tindakan itu bukan sahaja menjijikan malah merosakkan kereta diletakkan di kawasan parkir flat berkenaan.

Kecewa dengan insiden itu, seorang lelaki dipercayai pemilik kereta tersebut memuat naik foto di media sosial.

Menerusi foto terbabit, kelihatan cermin hadapan kereta individu bernama Zarizal Asmi retak seribu selain terdapat sisa sampah yang meloyakan.

“Dugaan sungguh nak menyambut bulan Ramadan ini ‘rezeki’ jatuh dari langgit lokasi blok sembilan terima kasih pada yang memberi,” katanya.

Kejadian membuang sampah atau objek dari bangunan flat bukan suatu yang asing di Malaysia.

Malah, sebelum ini terdapat kes maut akibat terkena objek dilontar dari kediaman flat.

Warga emas lintas jalan, sikap pemandu lori tarik perhatian warga maya

SIKAP mulia ditunjukkan seorang pemandu lori dengan memberhentikan kenderaan bagi membantu lelaki warga emas melintas jalan di garisan zebra mendapat pujian ramai.

Menerusi video tular di media sosial, kejadian menyentuh hati itu dilaporkan berlaku di negara jiran, Singapura.

Rata-rata warga maya menyifatkan tindakan pemandu lori memberhentikan kenderaan di tengah kesibukan jalan raya bagi membantu warga emas tersebut sebagai satu tindakan mulia.

Selain itu, ada juga yang memuji sikap pengguna jalan raya lain yang turut sama memberhentikan kenderaan bagi memudahkan warga emas terbabit melintas jalan.

Setakat ini, tidak dapat dipastikan identiti pemandu lori berhati mulia itu.

Bagaimanapun, kami di EnGear ingin meluahkan rasa kagum dengan sikap ditunjukkan pemandu lori dan pengguna jalan raya lain selain berharap ia menjadi inspirasi kepada semua pihak.

Pengajaran daripada kisah ini, tidak salah kalau kita melakukan kebaikan dan bertolak ansur di jalan raya.

Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

Semoga kita terus aman dan berhemah di jalan raya!

Kenderaan dijilat api ketika diisi minyak, pemandu cemas padam kebakaran

KES kenderaan terbakar ketika sedang diisi minyak acap kali berlaku di negara ini.

Terbaharu, tular di media sosial sebuah kenderaan terbakar ketika sedang diisi bahan bakar itu di sebuah stesen minyak.

Insiden dipercayai berlaku di Sandakan, Sabah.

Menerusi video dimuatnaik pengendali akaun media sosial MyWatch di Twitter, kelihatan seorang lelaki sedang mengisi minyak sebelum secara tiba-tiba kenderaannya dijilat api.

Cemas dengan situasi itu, lelaki terbabit dilihat segera mendapatkan alat pemadam api sebelum dibantu seorang penunggang motosikal serta beberapa petugas stesen minyak berkenaan.

Sebelum ini, terdapat beberapa kes kebakaran membabitkan kenderaan ketika sedang diisi minyak.

Antaranya termasuk sebuah insiden kenderaan pacuan empat roda (4×4) yang terbakar ketika sedang diisi minyak di Bintulu, Sarawak pada tahun 2017.

Selain itu, seorang lelaki juga dilaporkan melecur anggota badan selepas disambar api ketika mengisi minyak di Seri Kembangan, Selangor pada Ogos tahun lalu.

Menerusi laporan berita tempatan, insiden bukan sahaja menyebabkan mangsa mengalami kecederaan malah, turut menyebabkan kenderaan miliknya musnah akibat dijilat api.

Ngeri! Foto kenderaan penduduk musnah kena peluru tular

BAYANGKAN jika anda bangun pagi dan menyedari kenderaan yang diparkir luar kediaman musnah akibat dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.

Pastinya ia menjadi satu mimpi ngeri bukan?

Bagaimanapun, insiden itu memang benar terjadi dalam satu kejadian di Yangon, Myanmar baru-baru ini.

Menerusi ciapan dimuatnaik seorang pengguna media sosial, insiden didakwa didalangi kumpulan dipercayai anggota tentera yang berpihak kepada kerajaan.

Walaupun tidak dapat disahkan dakwaan itu namun, insiden tersebut menimbulkan kemarahan penduduk yang kecewa dengan perbuatan pihak tidak bertanggungjawab.

Antara kemusnahan yang berlaku termasuk cermin kenderaan dipecahkan, tayar dipancitkan, pintu dikemekkan dan pelbagai lagi kerosakkan.

Apa yang paling menggerunkan, penduduk juga menemui serpihan kelonsong peluru hidup dipercayai digunakan untuk menembak kenderaan yang diparkir di tepi jalan raya.

Myanmar berdepan situasi tidak menentu sejak Februari lalu apabila kebanyakan pemimpin politik ditahan pihak tentera.

Sejak berlaku insiden terbabit, pelbagai kerosakan terjadi sehingga mengakibatkan kerugian kepada harta benda penduduk.