All posts by Amirul Mukminin

Ducati Panigale V4, V4 S model 2022 kini di Malaysia – harga dari RM146k

Hanya sebulan selepas membawa masuk enam model Ducati baharu ke pasaran Malaysia, Next Bike Sdn Bhd kini melancarkan pula model flagship jenama itu iaitu Ducati Panigale V4 dan V4 S.

Untuk tahun 2022, kedua-dua jentera berkenaan diberikan penambahbaikan menyeluruh yang merangkumi lima aspek utama iaitu aerodinamik, ergonomik, enjin, casis dan elektronik. Ini bagi menjadikan ia lebih pantas di litar dan juga lebih intuitif.

Ducati Panigale V4

Enjin Desmosedici Stradale bersesaran 1,103 cc kekal menjadi ‘nadi’ Panigale V4 dan V4 S namun dengan peningkatan seperti diameter silencer yang lebih besar dan mapping baharu, ia kini menghasilkan 215.5hp pada 13,000rpm, 1.5hp lebih tinggi berbanding sebelum ini. Tork pula adalah 123.6Nm pada 9,500 rpm.

Ducati turut mempertingkatkan kotak gear dengan nisbah gear satu, dua dan enam yang lebih panjang, menjadikan ia lebih sesuai untuk digunakan di litar lumba. Bukan itu sahaja, kelajuan maksimum turut bertambah sebanyak 5km/j.

Ohlins TTX36 pada Panigale V4 S

Panigale V4 S dilengkapi dengan fork elektronik Ohlins NPX 25/30, penyerap hentak Ohlins TTX36 dan peredam stereng Ohlins, manakala V4 mendapat Showa Big Piston Fork (BPF) boleh laras, serta monoshock dan peredam stereng keluaran Sachs.

Untuk elektronik, Panigale V4 dan V4 S didatangkan dengan Power Mode yang merangkumi empat konfigurasi enjin iaitu Full, High, Medium dan Low. Mod Full dan Low adalah baharu, manakala mod High dan Medium yang dibawa dari model terdahulu diberikan strategi yang telah dikemas kini.

Panel instrumen kini mempunyai paparan Track Evo, di mana tachometer diletakkan pada kedudukan paling atas dan posisi gear ditunjukkan di tengah-tengah skrin. Sistem elektronik dipaparkan pada bahagian kanan skrin, manakala jam randik, lap dan kelajuan pada bahagian kiri.

Penampilan agresif kedua-dua superbike ini diperhebatkan lagi dengan kehadiran sayap double-profile yang dikatakan boleh menjana downforce sebanyak 37kg pada kelajuan 300km/j. Selain itu, bahagian bawah fairing turut direka semula bagi membantu menyejukkan enjin dan Quickshifter.

Turut mendapat perhatian jurutera Ducati adalah aspek ergonomik. Tempat duduk yang lebih rata membolehkan penunggang bergerak dengan lebih mudah, manakala material balutan baharu mengurangkan kecenderungan penunggang untuk bergerak ke hadapan apabila membrek.

Sementara itu, tangki minyak mempunyai bentuk baharu bagi membolehkan penunggang menunggang pada kelajuan tinggi lebih lama.

Harga Panigale V4 dan V4 S masing-masing bermula dari RM145,900 dan RM188,900. Seperti model-model lain, kedua-dua jentera ini boleh dimiliki menerusi skim pembiayaan Ducati Corse Credit Financing yang menawarkan kadar faedah serendah 4.88% dan opsyen bayaran muka sebanyak 10%.

 

Isuzu D-Max – 4,237 unit terjual dari Januari hingga Jun 2022

Isuzu Malaysia mencatat rekod jualan baharu dengan sebanyak 4,237 unit Isuzu D-Max didaftarkan sejak Januari hingga Jun tahun ini, menunjukkan peningkatan sebanyak 143% berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Bukan itu sahaja, angka jualan bagi tempoh separuh pertama 2022 itu juga sudah setanding dengan pencapaian keseluruhan tahun 2021 iaitu 4,601 unit. Ini telah melonjakkan Isuzu Malaysia ke kedudukan ketiga dalam segmen trak pikap.

Shunsuke Okazoe – Foto ihsan: Isuzu Malaysia

“Sejak pengenalan Isuzu D-Max serba baru, kami melihat pertambahan minat dalam penggunaan trak pikap, terutamanya daripada pembeli kali pertama dan mereka yang menaik taraf kenderaan yang sangat terpesona dengan cara bagaimana D-Max mengadunkan keseimbangan antara trak pikap yang gagah dengan keselesaan dan kecanggihan kereta sedan keluarga,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe.

Menurut Isuzu Malaysia, varian 1.9-liter terbukti menjadi pilihan utama dalam kalangan pembeli di Malaysia, dengan sumbangan hampir 80% daripada jumlah keseluruhan jualan D-Max. Antara faktor yang membuatkan varian ini begitu popular adalah penggunaan bahan api yang cekap dan kadar cukai jalan yang terendah dalam kelasnya.

Sementara itu, varian flagship X-Terrain juga semakin mendapat sambutan, menyumbang 10% daripada jumlah keseluruhan jualan trak pikap itu. Ini merupakan pencapaian membanggakan bagi Isuzu memandangkan syarikat tidak pernah mempunyai penawaran yang kukuh dalam segmen kenderaan gaya hidup sebelum ini.

Isuzu D-Max X-Terrain

“X-Terrain menerima sambutan hangat dalam kalangan pengguna urban. Ramai yang menjadikan model terbabit sebagai kenderaan aktiviti gaya hidup mereka, dengan adanya keseimbangan yang sangat baik antara ruang, kebolehan, keselesaan dan keselamatan,” kata Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo.

Barisan Isuzu D-Max terdiri daripada lapan varian, dengan hampir semua daripadanya hadir dengan 4X4 dan hanya satu varian 4X2 automatik disediakan sebagai pilihan kos rendah kepada pengembara jarak jauh mahpun pengguna urban.

GoCar Pro kini dilancarkan di Johor – kadar bermula dari RM129 sehari

GoCar Malaysia baru-baru ini mengumumkan pelancaran GoCar Pro, sebuah perkhidmatan yang menggabungkan ciri perkongsian dan langganan kenderaan, di Johor.

Buat masa ini, perkhidmatan tersedia di Johor Bahru dan terbuka untuk semua ahli GoCar berdaftar yang memerlukan kereta untuk bergerak di dalam bandar atau ingin bercuti sama ada di Johor atau negeri lain.

Dengan GoCar Pro, pengguna juga dijanjikan bahawa semua kereta yang ditempah adalah bersih dan berada dalam kondisi terbaik. Pasukan GoCar akan membersihkan kereta selepas setiap penggunaan, sama seperti kenderaan dalam rangkaian GoCar Subs.

Model-model yang ditawarkan termasuklah Proton Persona, Nissan Almera dan Perodua Axia, dengan kadar bermula dari RM129 hingga RM169 sehari. Unit adalah terhad dan ia ditawarkan secara ‘siapa cepat, dia dapat’.

Cara untuk menempah GoCar Pro adalah seperti mana-mana GoCar. Namun, terma penggunaan perkhidmatan baharu ini adalah sedikit berbeza seperti berikut:

– Perkhidmatan GoCar Pro kini hanya boleh untuk perjalanan ulang-alik sahaja.

– Tempahan minimum selama tiga hari diperlukan. Tetapi sama seperti GoCar Share, pelanggan boleh menempah sebuah kenderaan maksimum selama 30 hari. Namun, tempahan perlu dibuat sehari lebih awal bagi memberikan masa untuk pemulangan.

– Sama seperti langganan, pelanggan GoCar Pro akan diberikan kunci fizikal yang diambil semasa waktu operasi di hub GoCar di Johor Jaya. Pengguna masih perlu membuka dan mengunci kenderaan menggunakan aplikasi GoCar.

– Deposit sekuriti sebanyak RM500 diperlukan dan ia akan dikembalikan semula dalam tempoh tujuh hingga 14 hari selepas kereta dipulangkan dalam keadaan yang baik.

Selain pilihan pembayaran biasa menggunakan kad debit/kredit, GoPocket Points, perbankan dalam talian dan e dompet, pengguna juga boleh menggunakan GrabPay untuk membahagikan bayaran sebanyak empat kali ansuran dengan sifar faedah. Pilihan pembayaran ini hanya boleh dibuat menerusi GrabPay.

Semua kenderaan Peugeot kini dengan waranti, servis percuma selama 5 tahun

Bermaz Auto Alliance Sdn Bhd (BAASB) mengumumkan bahawa semua kenderaan yang diedarkan pihaknya kini didatangkan dengan waranti dan pakej penyelenggaraan percuma selama lima tahun.

Menurut BAASB, perlindungan ini berkuat kuasa serta-merta dan membabitkan Peugeot 2008, 3008 dan 5008 serta kenderaan-kenderaan lain yang diedarkan oleh BAASB sejak dilantik oleh Stellantis.

Pakej penyelenggaraan percuma ini memberikan pemilik servis penyelenggaraan berjadual dari pengeluar yang merangkumi kos buruh, alat ganti dan pelincir.

 

Selain pakej penyelenggaraan percuma selama lima tahun, model-model Peugeot di Malaysia akan menerima selang servis lanjutan 15,000km atau 12 bulan (yang mana tiba dahulu). Peugeot memperkenalkan selang servis baharu ini setelah melakukan ujian tempoh panjang di negara ini.

Selang servis yang lebih panjang adalah satu usaha berterusan bagi mengurangkan penggunaan pelincir dan alat ganti untuk menangani kesan negatif terhadap perubahan iklim. Selain itu, ia juga boleh mengurangkan kos pemilikan dan kunjungan ke pusat servis.

Apa yang penting, terma dan syarat pengeluar tidak berubah.

Pemilik boleh layari customer.peugeot.com.my untuk membuat tempahan janji temu atau memeriksa maklumat penting lain seperti perincian kenderaan dan waranti atau mencari pusat servis dan bilik pameran yang terdekat.

Untuk maklumat lanjut, pemilik juga boleh menghubungi khidmat sokongan pelanggan Peugeot menerusi emel di customersupport@baasb.com.my atau talian 03-7627 8818.

Akhir sekali, pemilik disarankan untuk mengemas kini maklumat mereka di https://baasb.com.my/Peugeot/index.html bagi membolehkan BAASB memeriksa maklumat waranti dan memaklumkan pelanggan mengenai panggilan semula.

10 wagon Jerman yang setanding supercar

KERETA ‘station wagon’ atau ‘wagon’ boleh dianggap sebagai pisau tentera Swiss dunia automotif dek kerana keserbabolehannya. Walaupun ramai orang mengaku bahawa mereka meminati wagon namun hakikatnya jualan kereta jenis ini semakin lama semakin merudum akibat dominasi SUV dan crossover.

Kesannya, sudah tidak banyak pengeluar kenderaan yang menawarkan wagon dalam portfolio produk mereka. Kebanyakan jenama yang masih setia dengan wagon adalah dari Jerman dan secara tipikalnya, mereka cukup gemar menghasilkan model berprestasi tinggi. Jangan main-main kerana walaupun mempunyai bentuk badan yang praktikal, ada diantaranya yang boleh bersaing dengan supercar!

BMW M5 Touring E61

Dikuasakan oleh enjin naturally aspirated 5.0-liter V10, BMW M5 Touring (E61) mempunyai 507PS dan 520Nm yang membolehkannya memecut dari 0 hingga 100km/j dalam kurang lima saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 305km/j.

Volkswagen Passat W8 Variant

Walaupun jualannya tidak memberangsangkan, tahap kejuruteraan pada enjinnya membuatkan Passat W8 Variant begitu menarik. Ia menggabungkan dua buah enjin VR4 yang menghasilkan 274PS dan 370Nm. Bagaimanapun, enjin itu juga terkenal dengan masalah-masalah tertentu.

Brabus Mercedes-AMG C63 S Wagon

Untuk C63 S Wagon, syarikat talaan terkenal itu menaik taraf enjinnya dengan menggunakan pengecas turbo dengan unit pemampat yang lebih besar bagi meningkatkan kuasa dari 510PS/700Nm kepada 653PS/820Nm. Masa pecutan berjaya dikurangkan dari 4.1 saat kepada 3.8 saat, manakala kelajuan maksimum kini mencecah 320km/j.

Mercedes-AMG E63 S Estate

Jentera ini mempunyai enjin 4.0-liter twin-turbo V8 yang mampu menghasilkan 611PS dan 850Nm. Dengan transmisi klac berkembar sembilan kelajuan, ia memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 3.3 saat. Apa yang menarik, ia juga didatangkan standard dengan pacuan 4MATIC+ yang mempunyai mod Drift.

Volkswagen Golf R Estate

Juga dikenali sebagai Variant, Golf R Estate (Mk7) dikuasakan oleh enjin turbo 2.0-liter empat silinder yang menjana 306hp dan 400Nm.

Alpina B5 Biturbo

Alpina menggunakan 5 Series Touring G31 dan memberikannya pelbagai naik taraf prestasi bagi menghasilkan B5 Biturbo. Untuk B5, enjin 4.4-liter biturbo V8 itu dipertingkatkan dengan intercooler lebih besar dan sistem intake baharu. Hasilnya adalah 608hp dan masa pecutan 0-100km/j dalam kurang empat saat.

Mercedes-AMG CLS63 Shooting Brake

Walaupun pengeluarannya sudah dihentikan, model ini mempunyai kelompok peminatnya yang tersendiri. Angka 63 menunjukkan yang ia mempunyai enjin 5.5-liter biturbo V8 dengan 585hp dan 800Nm.

Porsche Panamera Turbo S E-Hybrid Sport Turismo

Panamera Turbo S E-Hybrid Sport Turismo membuktikan yang Porsche boleh menawarkan sebuah kenderaan yang praktikal namun dengan prestasi tipikal jenama itu. Dengan enjin twin-turbo V8 berkuasa 680hp dan 850Nm, ia boleh mencapai kelajuan 100km/j dalam hanya 3.4 saat. Kelajuan maksimum pula melebihi 310km/j.

Audi RS6 Avant

Gabungan berbisa enjin 4.0-liter V8 TFSI yang menghasilkan 600hp dan 800Nm, serta sistem pacuan quattro membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 3.6 saat dan mencapai kelajuan maksimum 280 km/j walaupun mempunyai berat melebihi dua tan.

Porsche Taycan Cross Turismo/Sport Turismo

Kedua-dua model ini mempunyai bentuk badan wagon cuma Cross Turismo diberikan penampilan yang lebih lasak untuk pemanduan off-road. Dalam versi yang paling berkuasa iaitu Turbo S, ia dilengkapi dengan sepasang motor elektrik yang menjana kuasa keseluruhan sebanyak 625PS dan 1,050Nm. Menariknya, terdapat mod overboost yang akan melonjakkan kuasa kepada 761PS bagi membantu ia melakukan pecutan 0-100km/j dalan 2.9 saat.

KL Menjerit: Edisi banjir kilat – Engear Tibai

SALURAN Youtube Engear TV kini mempunyai satu segmen baharu yang dikenali sebagai ‘Tibai’. Dalam segmen ini, Mat Tibai sebagai hos akan menibai apa sahaja isu atau topik hangat yang berkaitan dengan industri automotif Malaysia.

Episod pertama segmen Tibai yang dimuat naik pada 2 Jun 2022 membincangkan tentang isu banjir kilat yang dilihat semakin menjadi-jadi terutamanya Lembah Klang sejak akhir-akhir ini.

Dalam video berdurasi 6 minit 39 saat itu, Mat Tibai berkata isu banjir kilat melibatkan tiga aspek iaitu kerajaan, pengguna dan pihak insurans.

Sumber gambar: BERNAMA

Bercakap mengenai kerajaan, Mat Tibai mempersoalkan apakah tindakan yang diambil oleh pihak kerajaan atau pihak berkuasa bagi memastikan banjir kilat tidak berulang lagi pada masa depan.

Beliau juga menyifatkan tindakan kerajaan untuk mengkaji hot spot atau punca banjir sebagai ‘kelakar’ kerana masalah banjir bukanlah perkara baharu di Malaysia. Tambah beliau lagi, kajian sepatutnya dilakukan secara berterusan, manakala sistem saliran juga perlu dipantau.

Untuk pengguna pula, kempen kesedaran awam perlu sering dijalankan bagi memastikan sistem saliran tidak tersumbat dan orang awam sentiasa bersedia.

Mat Tibai turut menegur pengguna yang dilihat sering mengabaikan perlindungan bencana khas (special perils) ketika membeli insurans kenderaan. Ini menyebabkan ramai pemilik kenderaan mengalami kerugian besar ketika kejadian banjir.

Turut ditibai dalam episod ini adalah pihak insurans yang didakwa sengaja melambat-lambatkan proses tuntutan ketika banjir pada tahun lalu, sekaligus menambahkan lagi kegusaran mangsa.

Tonton video penuh ‘KL Menjerit: Edisi Banjir Kilat – Engear Tibai’ di bawah:

UMW Toyota jual hampir 9,000 kenderaan pada Jun 2022

UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan bahawa untuk bulan Jun 2022, ia berjaya mencatat jualan sebanyak 8,939 unit, dengan 8,870 unit disumbangkan oleh Toyota dan 69 unit oleh Lexus. Angka itu menunjukkan peningkatan berbanding jualan keseluruhan pada Mei iaitu 7,579 unit.

Dengan angka jualan Jun ini, jualan tahunan UMWT kini berada pada 45,911 unit bagi kedua-kedua jenama, 35% lebih tinggi berbanding 34,111 unit yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lalu.

Menurut UMWT, penamatan tempoh pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dijangka akan memberikan impak negatif jangka pendek pada jualan, namun kesannya akan dikurangkan dengan tanda-tanda awal pemulihan semula bekalan semi konduktor dan cip mikro pada separuh kedua tahun ini.

Ini membolehkan syarikat meningkatkan produksi dan dengan pelancaran model-model baharu yang lebih canggih, pelanggan mempunyai lebih banyak pilihan.

“Masuk ke separuh kedua 2022, UMW Toyota Motor kini memfokuskan kepada ‘Extra Mile’ untuk memberikan pemilik Toyota pengalaman pemilikan dan selepas jualan terbaik. Memandang ke depan, perubahan tingkah laku pengguna mungkin akan meletakkan nilai pada teknologi automotif termaju dan ciri keselamatan komprehensif yang disokong oleh pelbagai perkhidmatan selepas jualan,” kata Ravindran K, Presiden UMW Toyota Motor.

Seperti yang diumumkan pada Jun lalu, UMWT akan melancarkan Toyota Veloz serba baharu. Ditawarkan dalam satu varian sahaja, pengganti Avanza itu hadir dengan enjin 1.5-liter dan transmisi D-CVT serta platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) dengan suspensi baharu.

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan sistem keselamatan Toyota Safety Sense (TSS), skrin sentuh berukuran sembilan inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, dan tidak dilupakan pengecas wayarles Qi.

 

Ferrari 296 GTS dilancarkan di Malaysia – harga dari RM1.45 juta

Tidak sampai tiga bulan selepas diperkenalkan di peringkat global, Ferrari 296 GTS kini tiba di Malaysia menerusi Naza Italia selaku pengedar rasmi jenama itu.

Dijual pada harga bermula RM1,448,000 (sebelum duti, opsyen kustom, cukai dan insurans), 296 GTS secara asanya adalah versi convertible kepada 296 GTB yang dilancarkan di sini pada Mac lalu.

Ini bermakna reka bentuk keseluruhannya sama sahaja dengan versi GTB, cuma ia mempunyai bumbung jenis ‘retractable hardtop’ yang boleh dinaikkan atau diturunkan dalam masa 14 saat ketika kereta bergerak pada kelajuan sehingga 45km/j.

Apabila bumbung tersebut diturunkan, ruang kabin dan dek belakang dipisahkan oleh kaca penghadang yang boleh dilaras ketinggiannya. Ini bagi memastikan penumpang sentiasa berada dalam keadaan selesa walaupun kereta dipandu laju.

Menurut Ferrari, penggunaan bumbung hardtop itu memberikan 296 GTS berat tambahan sebanyak 70kg berbanding 296 GTB. Ini perkara biasa kerana kereta convertible mempunyai mekanisma untuk bumbung dan penambahan komponen pada casis bagi mengekalkan ketegarannya.

296 GTS mempunyai 830PS dan 740Nm yang dibekalkan oleh gandingan enjin turbo 2.9-liter V6 dan motor elektrik plug-in yang diletakkan di antara enjin dan kotak gear. Dengan transmisi klac berkembar lapan kelajuan dan E-Diff, jentera ini hanya memerlukan 2.9 saat untuk melakukan pecutan 0-100km/j dan 7.6 saat untuk pecutan 0-200km/j.

Sementara itu, kelajuan maksimum pula dikatakan melebihi 330km/j. Apa yang menarik, ia juga boleh dipandu dengan hanya kuasa elektrik sejauh 25km.

Selain butang Manettino, 296 GTS juga didatangkan dengan butang eManettino yang membolehkan pemandu memilih empat mod pemanduan elektrik yang disediakan iaitu:

eDrive – mod elektrik sepenuhnya
Hybrid – mod default apabila enjin dihidupkan
Performance – enjin sentiasa dihidupkan bagi membantu mencapai kecekapan bateri untuk kuasa sepenuhnya
Qualify – menyediakan prestasi maksimum namun kadar pengecasan bateri lebih rendah

Pelanggan yang dahagakan prestasi lebih hebat boleh mendapatkan pakej Assetto Fiorano yang merangkumi kelengkapan tambahan seperti penyerap hentak boleh laras Multimatic, tayar Michelin Pilot Sport Cup2R, kit aredinamik dan komponen-komponen gentian karbon yang boleh mengurangkan berat sebanyak 8kg.

Ini sebab kenapa Haqiem Stopa dijemput beri ceramah di sekolah

Sejak kebelakangan ini, media sosial kecoh dengan cerita seorang ‘mat rempit’ yang dijemput untuk menyampaikan ceramah motivasi di sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur.

Individu yang diperkatakan itu adalah Haqiem Stopa, seorang influencer yang mempunyai lebih 875,000 pengikut di TikTok. Namanya mula menjadi sebutan selepas diangkat sebagai ikon permotoran anak muda oleh Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pada Mei lalu.

@haqiemstopa_starlive_oe

Trima Kasih SMK Sungai Besi 🤙🏻 #haqiemstopa #fyp #fypシ #matrempit

♬ original sound – Haqiem_stopa – Haqiemstopa

Dalam satu video pendek yang dimuat naik pada Selasa, 5 Julai lalu, Haqiem Stopa dilihat sedang berjalan dengan bertongkat sambil diiringi beberapa orang individu. Beliau menuju ke sebuah dewan, di mana beliau menyampaikan ucapan di hadapan murid-murid sekolah berkenaan.

Video pendek berdurasi 20 saat itu diiringi kapsyen “Terima kasih SMK Sungai Besi” dan tanda pagar #matrempit.

Hantaran tersebut mendapat pelbagai reaksi dan komen dari netizen yang rata-rata mempersoalkan keputusan pihak sekolah untuk menjemput Haqiem Stopa sebagai penceramah.

Sumber gambar: Instagram @haqiem_stopa

Malah tidak kurang juga yang khuatir bahawa perwatakan ‘mat rempit’ yang dibawa oleh Haqiem Stopa akan memberikan pengaruh buruk kepada pelajar-pelajar sekolah.

Bagi meredakan keadaan, pihak penganjur majlis tersebut telah tampil memberikan penjelasan berhubung isu tersebut. Dalam satu hantaran di Facebook, Rizan Hassan berkata Haqiem Stopa dijemput bagi menjayakan program Cerita Orang Gagal (COG) yang berkisarkan tentang ‘peluang kedua’ dalam kehidupan.

Untuk tahun ini, mesej yang ingin disampaikan oleh COG adalah ‘Buli Itu Jenayah’. Kehadiran Haqiem Stopa ke majlis tersebut dilihat bertepatan memandangkan beliau sering menjadi mangsa buli dan kecaman di media sosial.

Sumber gambar: Facebook Meja Kerja Rizan Hassan

“Nama beliau mula dikenali selepas mencetuskan provokasi di media social dan juga terperangkap dengan persepsi politik terhadap beliau. Menerima kecaman, penghinaan, kutukan, ancaman yang hebat yang juga dikira sebagai buli di alam maya,” kata Rizan Hassan menerusi hantarannya.

Tambah Rizan lagi, tiada sebarang bayaran dikenakan kepada pihak sekolah. Penceramah juga tidak dibayar, malah kos perjalanan dan penginapan ditanggung sendiri. Bukan itu sahaja, pihak sekolah juga tidak memberikan sebarang sumbangan kepada pihaknya kecuali sijil penghargaan dan jamuan.

 

 

Nissan Serena S-Hybrid facelift dilancarkan – 2 varian, harga bermula bawah RM150k

Edaran Tan Chong Motor (ETCM) hari ini melancarkan Nissan Serena S-Hybrid versi facelift yang hadir dengan pelbagai penambahbaikan. MPV mewah tujuh tempat duduk itu untuk telah dibuka untuk tempahan pada Jun lalu.

Seperti sebelum ini, Serena S-Hybrid akan ditawarkan dalam dua varian iaitu Highway Star dan Premium Highway Star. Harga jualan (termasuk SST, tanpa insurans) bermula dari RM149,888 untuk varian Highway Star dan RM162,888 untuk Premium Highway Star.

Menurut ETCM, pelanggan ‘early bird’ yang membuat tempahan awal mendapat pakej perkhidmatan penyelenggaraan percuma sebanyak lima kali secara selang seli (termasuk alat ganti dan buruh) dan waranti selama lima tahun tanpa had perbatuan.

Penampilan Serena S-Hybrid telah diberikan suntikan segar menerusi gril V-motion berkrom yang lebih besar dan berani, lampu LED projektor baharu, rim aloi 15 inci (16 inci untuk Premium) dan grafik berbentuk ‘S’ pada lampu belakang.

Turut tersedia adalah pintu gelongsor berkuasa pada bahagian kiri dan kanan kenderaan. Pintu ini boleh dibuka tanpa menggunakan tangan, bermakna penumpang hanya perlu menghayunkan kaki di bahagian bawah pintu, dengan syarat kunci berada di dalam poket. MPV ini juga mempunyai pintu tailgate berkembar yang boleh dibuka dengan dua cara berbeza.

Masuk ke dalam, Serena S-Hybrid menyediakan tujuh tempat duduk yang boleh disusun dalam 13 konfigurasi berbeza. Kerusi kapten disediakan pada barisan kedua, manakala teknologi Zero Gravity terdapat pada tempat duduk barisan pertama dan kedua. Untuk varian Premium Highway Star, tempat duduk dibalut kulit nappa dalam warna coklat atau hitam.

Antara kelengkapan yang disediakan termasuk stereng ‘flat bottom’, paparan bantuan pemandu berukuran tujuh inci, butang penghidup enjin i-Key, sistem pendingin hawa dwi zon dan butang Cruise Control. Sistem infohibur pula terdiri daripada skrin sentuh sembilan inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, enam pembesar suara dan juga skrin 11.6 inci yang dipasang pada bumbung.

Sistem keselamatan diberi penambahbaikan dalam bentuk Nissan Intelligent Mobility yang merangkumi ciri-ciri seperti Intelligent Predictive Forward Collision Warning & Braking, Lane Departure Alert, Rear Cross Traffic Alert dan Blind Spot Warning. Turut disertakan adalah Around View Monitor dengan ciri Moving Object Detection, enam beg udara, Hill Start Assist dan Intelligent Driver Alertness.

Tiada sebarang perubahan mekanikal pada model facelift ini, bermakna Serena S-Hybrid masih kekal dengan enjin petrol 2.0-liter CVTC yang menghasilkan 150PS dan 200Nm, serta transmisi jenis X-Tronic CVT. Ia dipadankan dengan motor elektrik ECO dengan 2.6PS/48Nm yang ditugaskan untuk membantu mengurangkan beban enjin ketika mula bergerak.

Menurut Nissan, gandingan enjin dan motor elektrik berkenaan mampu memberikan tahap kecekapan bahan api serendah 14.2 km/l mengikut kitaran NEDC, dan jarak pemanduan sehingga 852km dengan satu tangki penuh.

 

Proton akan lancar 3 model baharu dengan enjin 1.5 TGDI bermula 2023

TAK sampai sebulan selepas melancarkan X70 versi 2022, Proton hari ini mengesahkan bahawa ia akan melancarkan tiga lagi model baharu pada 2023 dan 2024. Seperti X70 dan X50, ketiga-tiga model berkenaan akan menggunakan enjin 1.5 TGDI yang dipasang di fasiliti Enjin dan Powertrain Proton Tanjung Malim.

Perkara ini disahkan sendiri oleh Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton ketika berucap pada majlis lawatan media ke kilang pemasangan Proton di Tanjung Malim.

Geely Haoyue

Setakat ini, identiti model-model berkenaan masih belum diketahui namun apa yang pasti, salah satu daripadanya adalah model SUV berasaskan Geely Haoyue yang berkemungkinan besar akan menggunakan nama X90. Model ini sudah beberapa kali dikesan menjalani ujian di negara ini, menandakan pelancarannya semakin hampir.

Haoyue dilancarkan pada Julai 2020 sebagai sebuah SUV segmen-D yang menawarkan konfigurasi lima atau tujuh tempat duduk. Ia dibangunkan sebagai pesaing kepada model-model seperti Mazda CX-8, Toyota Fortuner dan Hyundai Santa Fe.

Ruang dalaman Proton X90 mungkin tidak jauh berbeza

Di pasaran China, Haoyue ditawarkan dengan enjin turbo 1.8-liter empat silinder dengan 181PS dan 300Nm, manakala di Filipina, di mana ia dikenali sebagai Okavango, model ini dikuasakan oleh enjin turbo 1.5-liter tiga silinder dengan teknologi mild-hybrid yang menjana 190PS dan 300Nm.

Antara ciri menarik yang terdapat pada model ini adalah sistem GKUI Geely Smart Ecosystem yang terkini, kokpit digital yang terdiri daripada dua paparan berukuran 12.3 inci dan sistem pemanduan autonomi Tahap 2.

Adakah Proton X90 akan tampil dengan ciri-ciri berkenaan? Sama-sama kita nantikan.

Enjin 1.5 TGDI Proton kini dipasang di Tanjung Malim, produksi cecah 180,000 unit setahun

Proton hari ini melancarkan barisan pemasangan enjin 1.5 TGDI (Turbo Gasoline Direct Injection) baharu dan berteknologi tinggi di Tanjung Malim dalam satu lawatan eksklusif untuk media.

Dalam majlis lawatan tersebut, pihak media dibawa meninjau barisan pemasangan enjin berkenaan yang telah beroperasi sejak April lalu. Ini menandakan kali pertama enjin tersebut dipasang di luar China.

Menurut Proton, barisan pemasangan itu meliputi kawasan seluas 18,000 meter persegi dan mempunyai kapasiti maksimum semasa sebanyak 180,000 unit apabila beroperasi dalam tiga syif. Ia merupakan sebahagian daripada RM1.8 bilion yang diperuntukkan oleh Proton untuk menaik taraf kemudahannya di Tanjung Malim.

Ia mempunyai 88 stesen yang terdiri daripada 17 stesen automatik, 15 separa automatik dan 56 stesen manual. Barisan pemasangan enjin 1.5 TGDI dibina menggunakan etos IR 4.0 yang menampilkan tahap automasi yang tinggi untuk meningkatkan produktiviti.

Selain itu, ia juga mempunyai stesen anti-statik bagi membolehkan pelepasan elektrik statik untuk melindungi komponen elektronik berteknologi tinggi. Sistem talian pemasangan bergerak pada sistem penghantara pula bukan sahaja lebih lancar tetapi juga lebih bersih, lebih tahan lama dan lebih murah untuk dikendalikan daripada yang menggunakan rantai.

Semua pekerja di barisan pemasangan telah menjalani latihan yang luas dengan Geely serta pembekal mesin yang digunakan seperti ABB, COMAU, FEV China, FEV India, WiBeda dan Hangxin.

Barisan pemasangan itu juga menggunakan teknologi Internet of Things (IOT) dalam bentuk alat pengumpulan data intensif dan analisis, serta 207 kawalan Error Mistake Proofing (EMP) dan 34 kamera pintar resolusi tinggi untuk mengelakkan kecacatan proses dan pemasangan serta mengurangkan masa henti.

Enjin 1.5 TGDI

Enjin tiga silinder ini dan variannya setakat ini telah digunakan oleh beberapa jenama di bawah Geely dalam lebih 750,000 kenderaan yang dijual di seluruh dunia.

Dengan penyelesaian seperti pengecilan saiz enjin, sistem termal dan pelinciran yang dioptimumkan, pengecas turbo inersia rendah, dan GDI yang dihomogenkan, enjin berkenaan telah memenuhi syarat Euro 6.

Menurut Proton, bekalan alat ganti untuk enjin ini  diperoleh daripada pembekal Malaysia dan serantau. Syarikat itu mendedahkan kini terdapat 72 alat ganti yang dibekalkan oleh 19 vendor Malaysia dan 4 vendor ASEAN.

Untuk barisan pemasangan baharu ini, Proton berkata seramai 202 pekerja diambil untuk bekerja secara langsung, dengan usia purata hanya 24 tahun.

“Apabila perjanjian dibuat untuk bekerjasama dengan Geely pada tahun 2017, salah satu komitmen kami adalah untuk melabur dalam industri automotif Malaysia dari segi kewangan dan melalui pengenalan komponen baharu berteknologi tinggi,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

“Barisan pemasangan baharu ini memenuhi syarat ini di samping memberi laluan kepada Proton untuk menarik dan membangunkan bakat muda yang akan membantu memacu industri automotif dan syarikat di masa hadapan,” tambah beliau.

1.6 juta penjawat awam kini boleh perbaharui insurans kereta secara ansuran

BEKERJA sebagai penjawat awam ada banyak faedahnya, antaranya adalah gaji yang stabil, bonus musim perayaan dan juga pencen yang terjamin.

Kini, penjawat awam bakal mendapat satu lagi manfaat iaitu mereka boleh memperbaharui insurans kenderaan dan cukai jalan secara ansuran menerusi program Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia myezycover.com.

Program yang diilhamkan oleh Kementerian Sumber Manusia, di bawah kerjasama strategik antara PERKESO, ANGKASA dan A Tech Insure Sdn Bhd ini telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Ismail Sabri, program itu berlandaskan konsep patuh syariah Qardhul Hasan (pinjaman tidak melibatkan faedah atau unsur riba) dan bakal memanfaatkan kira-kira 1.6 juta penjawat awam termasuk yang bertaraf kontrak.

Menerusi myezycover.com, penjawat awam boleh memperbaharui insurans kenderaan dan cukai jalan tanpa sebarang bayaran pendahuluan dan faedah. Pembayaran balik boleh dilakukan menerusi Skim Potongan Gaji ANGKASA (SPGA) sehingga 10 bulan.

Penjawat awam tetap dan bertaraf kontrak layak memohon skim pembiayaan insurans ini dengan syarat nisbah hutang tidak melebihi 60% daripada jumlah pendapatan bulanan.

“Melalui myezycover.com, penjawat awam boleh memperbaharui insurans kenderaan di hujung jari dengan mudah, jimat dan pantas. Nota perlindungan insurans diperoleh dalam masa hanya lima minit,” kata Ismail Sabri.

“Inisiatif ini tidak berorentasikan komersial semata-mata. Apa yang paling penting, ia dapat membantu merealisasi konsep Keluarga Malaysia berasaskan indeks kebahagiaan yang menjadi tanda aras komitmen dan kesungguhan kerajaan,” tambah beliau lagi.

Ford Pro Electric SuperVan boleh capai 100km/j bawah dua saat

FORD SuperVan merupakan siri model one-off yang menggabungkan badan Ford Transit dengan casis dan enjin kereta sport. Ia dibangunkan oleh Ford UK untuk tujuan promosi dan belum pernah lagi memasuki fasa produksi.

Diperkenalkan pada 1971, SuperVan yang pertama menggunakan casis dan enjin V8 Ford GT40, manakala SuperVan yang kedua pula muncul pada 1984 dengan casis kereta lumba C100 dan enjin Cosworth DFL.

Ford SuperVan 1971

10 tahun kemudian, syarikat itu memperkenalkan SuperVan yang ketiga yang menggunakan enjin Cosworth HB baharu. Model ini paling lama membuat kemunculan awam, iaitu sehingga 2001.

Sekarang, sudah 28 tahun berlalu dan Ford telah menghidupkan kembali van berprestasi tinggi itu dengan versi keempat yang dikenali sebagai Ford Pro Electric SuperVan. Ia membuat kemunculan awam di Goodwood Festival of Speed di UK baru-baru ini.

Ya, seperti yang tertera pada namanya, versi terbaharu ini digerakkan sepenuhnya oleh kuasa elektrik. Ia dibangunkan secara rahsia oleh Ford Performance dengan kerjasama pakar perlumbaan dari Austria, STARD. Rekaan luarannya pula dihasilkan oleh pasukan Ford Design di Cologne, Jerman.

Apa yang mengagumkan tentang Pro Electric SuperVan adalah ia mempunyai bukan satu atau dua tetapi empat buah motor elektrik yang bergabung untuk menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 2,000PS!

Dengan sistem pacuan semua roda, van elektrik ini dikatakan boleh melakukan pecutan 0-100km/j dalam kurang dua saat. Kelajuan maksimum tidak didedahkan namun tidak mengejutkan jika ia mampu mencapai kelajuan melebihi 200km/j – cukup mengagumkan untuk sebuah EV.

Bekalan tenaga untuk motor-motor elektrik tersebut datang daripada sebuah bateri berkapasiti 50kWh yang dilengkapi dengan teknologi sejukan cecair. Pek bateri itu diletakkan di tengah-tengah casis bagi tujuan mendapatkan pengagihan berat yang optimum dan merendahkan pusat graviti.

Dari segi pengecasan, Ford mendakwa bateri tersebut boleh dicas sepenuhnya dalam masa 45 minit dengan menggunakan pengecas pantas.

Pro Electric SuperVan sebenarnya dibangunkan berasaskan model E-Transit Custom yang diperkenalkan pada Mei lalu namun seperti yang boleh dilihat, penampilan luarannya jauh berbeza dengan model asal.

Ini kerana ia memakai kit badan aerodinamik yang merangkumi splitter depan, skirt sisi, diffuser serta spoiler besar pada bahagian belakang. Di sebalik kit badan yang agresif ini, Ford berkata ia dilengkapi dengan sistem suspensi double-wishbone, subframe dan brek “gred sukan permotoran”.

Ruang dalaman pula menampilkan sangkar keselamatan dan kerusi bucket yang diiktiraf FIA, serta tidak dilupakan sistem infohibur SYNC 4 dengan skrin sentuh besar. Menerusi skrin tersebut, pemandu boleh memilih mod pemanduan Road, Track, Drag, Drift dan Rally.

Turut disertakan adalah mod Tyre Cleaning yang membolehkan van ini melakukan burnout bagi membersihkan dan memanaskan tayar sebelum mula beraksi. Hebat, bukan?

PDRM rampas Nissan Skyline R32 ‘Helang Lebuhraya Polis’

MUNGKIN pemilik Nissan Skyline R32 yang tampak seperti Helang Lebuhraya Polis ini tidak tahu atau buat-buat tidak tahu tetapi mengubahsuai kenderaan menyerupai kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah satu kesalahan di sisi undang-undang.

Akibatnya, beliau dilaporkan telah ditahan pihak polis manakala jentera miliknya turut dirampas pada Sabtu, 2 Julai 2022.

Menurut Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof, pihaknya mendapat maklumat berkaitan kereta awam yang menyerupai kereta polis menerusi satu video berdurasi 13 saat yang dimuat naik ke TikTok.

Tambah beliau lagi, Skyline R32 itu difahamkan menyertai pameran automotif Art of Speed Malaysia yang berlangsung selama dua hari (2 hingga 3 Julai) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di Serdang.

ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof – Foto ihsan: BERNAMA

Kunci kereta dan slip penyertaan pameran berkenaan turut dirampas.

Wan Kamarul Azran berkata kes itu kini sedang disiasat di bawah Seksyen 89 Akta Polis 1967 kerana memiliki barangan yang dibekalkan kepada pihak PDRM untuk melaksanakan tugas.

Pemilik kereta berumur 45 tahun itu yang juga merupakan peniaga aksesori kereta bagaimanapun telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya selesai diambil.

Tiada siapa yang nak halang anda ubah suai kereta, tapi janganlah sampai melanggar undang-undang. Kan dah susah.