All posts by Hanif Su'ib

Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.

HWE Electro Puzzle – van kargo elektrik dari Jepun, jarak gerak 201 km

Sebuah syarikat Jepun, HW Electro memperlihatkan sebuah model van komersial Puzzle yang bakal masuk pasaran Amerika Utara kelak.

Membawakan muka yang agak comel, HWE Electro Puzzle ini mempunyai ukuran sepanjang 3,395 mm, lebar 1,475 mm, tinggi 1,920 mm dengan jarak antara roda 2,480 mm.


Dengan ukuran kurang dari empat meter, van elektrik Puzzle ini sebenarnya mampu bersaing secara terus dengan model-model kei car komersial dari Jepun.

Ditambah pula dengan bentuk badan yang hampir petak sepenuhnya, ia secara tidak langsung menyumbang kepada ruang kargo yang lebih luas.


Secara standard, Puzzle membawakan konfigurasi dua tempat duduk dengan rekaan panel pemuka dan pintu seakan papan kenyataan yang boleh diubahsuai mengikut keperluan.

Skrin tengah pula menempatkan teknologi ketersambungan dan aplikasi MyHWE yang menggunakan kepintaran buatan (AI) untuk optimasi penghantaran, pengurusan kargo dan sokongan bencana alam.

Menurut HWE, Puzzle ini mampu menampung beban seberat 350 kg, dan dilengkapi pek bateri lithium ion phosphate yang mampu membenarkan jarak gerak sejauh 201 km untuk sekali cas penuh.

Callum Skye, buggy elektrik 2+2, pecutan 0-100 km/j bawah 4 saat!

Syarikat Callum yang diasaskan oleh Ian Callum (bekas pereka Jaguar) kini tampil dengan sebuah model buggy berkuasa elektrik, Callum Skye.

Buggy sepanjang empat meter ini menawarkan konfigurasi tempat duduk 2+2 dengan rekaan kabin tertutup sepenuhnya, diikuti rekaan luaran yang lebih moden tidak seperti buggy bogel yang ada di pasaran.


Skye juga turut menjanjikan keupayaan pemanduan off-road yang lebih baik biarpun dengan rupa parasnya tampak agak moden.

Tiada sebarang butiran spesifikasi teknikal didedahkan, namun Callum Skye dikatakan menggunakan casis space frame yang tahan lasak, serta tetapan suspensi untuk cabaran off-road, dengan berat kering sekitar 1,150 kg.

Output kuasa motor elektrik juga masih dirahsiakan buat masa ini, yang pasti ia mampu memecut 0-96 km/j dalam tempoh bawah empat saat.


Pek bateri berkapasiti 42 kWh pula cukup untuk membenarkan jarak pemanduan sejauh 274 km untuk sekali cas penuh, dan pengecasan penuh dalam masa bawah 10 minit sahaja.

Menurut Ian Callum, “buggy Callum Skye ini telah direka untuk melebihi jangkaan: jisim minimum, keupayaan maksimum, mudah digunakan dan keseronokan mutlak untuk dipandu.

Tiada sebarang info berkenaan harga dan bilakah model tersebut sedia dijual kepada umum.

Tesla Supercharger V4, cas bateri 40 peratus dalam 10 minit!

Di Malaysia, kita sudah pun mempunyai jaringan pengecasan Tesla Supercharger V3.

Di beberapa tempat di negara Amerika Syarikat seperti Nevada, Alabama dan Oregon, pengguna dan pemilik Tesla kini disediakan dengan kemudahan Supercharger V4 yang lebih terkini, dan membawakan rekaan badan yang lebih solid.

Berbeza dengan Supercharger V3, Supercharger V4 kini menyediakan penyesuai CCS-1 (Magic Dock), pembaca kad kredit digital, skrin paparan yang kompak, serta kabel pengecas sepanjang 3 meter.

 

Kemudahan penyesuai Magic Dock ini kelak membolehkan pemilik EV bukan berjenama Tesla boleh mengecas kenderaan elektrik mereka.

Berdasarkan video demonstrasi oleh YouTuber Kim Java, Supercharger V4 ini mampu mengecas bateri Tesla Model 3 dari SoC 20 hingga 60 peratus dalam tempoh masa 10 minit sahaja.

Buat masa ini, Supercharger V4 masih lagi menarik kuasa daripada kabinet V3, namun terdapat potensi untuk pengecasan yang lebih pantas pada masa akan datang.

Ini kerana secara teorinya, Supercharger V4 mempunyai keupayaan pengecasan setinggi 615 kW berdasarkan pelekat spesifikasi yang terdapat pada badan pengecas tersebut.

Tesla Supercharger V3

Xpeng X9 2024, minivan mewah, kuasa sehingga 496 hp

Bertempat di acara Guangzhou Auto Show, Xpeng telah melancarkan model minivan mewah pertama mereka, iaitu Xpeng X9 2024.

Minivan dengan tujuh tempat duduk itu ditawarkan pada harga bermula dari 388,000 yuan (~RM252,579) dan bakal memberikan saingan terus kepada sebuah lagi model minivan berkuasa elektrik di China, iaitu Li Mega.


Dari segi dimensi, Xpeng X9 ini berukuran sepanjang 5,293 mm, lebar 1,988 mm, tinggi 1,785 mm dengan jarak antara roda melebihi tiga meter (3,160 mm).

Untuk permulaan, Xpeng X9 ini boleh didapati dalam konfigurasi motor elektrik tunggal (315 hp), atau motor elektrik berkembar (496 hp).

Selain itu, X9 juga didatangkan dengan dua pilihan kapasiti pek bateri, iaitu pek bateri lithium iron phosphate 84.5 kWh dengan jarak gerak 610 km, atau versi Li-ion ternary 101.5 kWh dengan jarak gerak sejauh 702 km (640 km untuk versi motor elektrik berkembar).


Antara ciri unik yang wujud pada X9 ialah ruang kargo sebesar 2,554 liter, sistem suspensi udara, serta sistem stereng gandar belakang yang membolehkan minivan ini mencapai diameter putaran sekecil 10.8 meter – terkecil di dalam kelasnya.

Papan pemuka X9 tampil dengan rekaan yang minimalis, di mana terdapat skrin kluster digital yang kecil, diikuti dengan skrin infohibur jenis terapung di bahagian tengah, serta kehadiran slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar.

Penumpang baris kedua pula boleh menikmati tempat duduk graviti sifar, serta paparan media menerusi skrin sebesar 21.4 inci, diikuti dengan peti sejuk yang mampu ditetapkan suhu antara 0-50 darjah Celcius.

EV: Toyota banyak belajar dari BYD

Tidak seperti kebanyakan pengeluar utama, Toyota masih lagi disifatkan agak ketinggalan di dalam medan permainan kenderaan elektrik (EV).

Cuma pada tahun ini, Toyota dilihat bangkit dengan beberapa pengumuman besar seperti pengenalan teknik produksi giga casting, bateri dengan jarak gerak yang lebih jauh, serta 10 buah EV yang bakal muncul pada tahun 2026.

Kesemua ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa kerjasama erat antara Toyota dan pengeluar EV dari China – BYD.

Dalam satu temubual oleh Toyota Times, presiden kilang BEV Toyota Takero Kato menjelaskan beliau terkejut dengan apa yang berlaku dalam industri automotif China sewaktu melakukan trip perniagaan ke sana.


“Untuk pertama kali, saya melihat sendiri tahap persaingan di China. Di sana, mereka tidak sekadar belajar dan menggunakan teknologi, malah turut pantas mengubah teknik pengeluaran.

“Setelah melihat peralatan pengeluaran yang saya tidak pernah lihat di Jepun serta teknik pembuatan yang canggih, saya berfikir ‘Kita dalam masalah!'”

Panggilan ‘wake-up‘ itu muncul apabila Toyota mula menjalankan kerjasama dengan BYD untuk sedan elektrik bZ3 yang menggunakan platform e-TNGA dan bateri Blade daripada BYD.

Pembangunan sedan elektrik bZ3 juga turut membuka mata Kato terhadap budaya yang diamalkan dalam BYD.


“Untuk model terdahulu, spesifikasi kenderaan akan dimuktamadkan sebelum pembangunan bermula.

“Namun untuk bZ3, kami telah membuat 13 perubahan besar dan banyak perubahan kecil selepas pembangunan dimulakan.

“Perubahan paling besar ialah kami terpaksa merendahkan tinggi sebanyak 25 mm dan mengubah kembali jarak antara roda, jadi struktur keseluruhan bawah badan perlu dibangunkan semula. Di Jepun, keadaan ini boleh menghentikan proses pembangunan sepenuhnya.

“Namun begitu, semua pihak bersetuju dengan perubahan tersebut, disebabkan kami komited untuk menghasilkan sebuah produk yang boleh membuatkan pelanggan gembira.

GAC Aion Hyper HT 2024, pintu ala Model X, jarak gerak 770 km

Tesla Model X mungkin sekali SUV elektrik canggih idaman ramai yang sukar untuk dimiliki kebanyakan orang, disebabkan harga jualan yang agak mahal.

Namun, pengguna di China kini boleh mendapatkan model alternatif pada harga yang jauh lebih murah.

GAC Aion Hyper HT 2024 yang anda lihat ini merupakan pendatang baharu di dalam segmen EV, dihasilkan oleh GAC Aion.


Di China, terdapat enam varian ditawarkan, masing-masing dengan nama yang sangat panjang.

Varian asas dimulakan dengan model RWD Technology Version, di mana ia mempunyai motor elektrik tunggal pacuan belakang berkuasa 241 hp dan 355 Nm, dan prestasi pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.8 saat.

Pek bateri 72.7 kWh membolehkan SUV ini bergerak sejauh 600 km.

Sebuah lagi varian RWD menyokong fungsi penukaran bateri, di mana ia hanya dilengkapi dengan pek bateri yang lebih kecil (70 kWh), dengan jarak gerak maksimum 550 km.


Tiga varian pertengahan (RWD High-Voltage Version, RWD High-Voltage NDA Version, dan RWD Gull-Wing Doors High-Voltage NDA Version) mendapat kelengkapan yang lebih berkuasa – pek bateri 80 kWh dengan jarak gerak 670 km, dan motor elektrik 340 hp dan 440 Nm.

Varian tertinggi RWD Gull-Wing Doors High-Voltage Max Version pula mengekalkan motor elektrik 340 hp dan pecutan 0-100 km/j dalam 5.8 saat.

Cuma ia dibekalkan dengan pek bateri 93 kWh yang mampu membenarkan jarak gerak sejauh 770 km untuk sekali cas penuh.

Harga jualan Hyper HT ini bermula dari 213,900 yuan (RM138,253) untuk versi asas, sehinggalah 329,900 yuan (RM213,229) untuk varian tertinggi.

Renault Twingo Prototype – EV mampu milik, mula dijual 2026

RENAULT baru-baru ini memperlihatkan sebuah model serba baharu Twingo Prototype yang dijangka akan mula dijual pada tahun 2026.

Twingo baharu ini akan menjadi sebuah kereta elektrik mampu milik, dengan rekaan dan rupa paras yang diinspirasikan daripada model asal Twingo era 90-an.


Selain berkongsi bentuk yang hampir serupa, muka hadapan Twingo EV ini merupakan pendekatan yang lebih moden terhadap muka asal Twingo yang sememangnya sangat comel itu.

Malah, struktur tiga liang ventilasi yang wujud pada hud enjin model ori turut disertakan pada model baharu ini, dengan rekaan yang lebih garang.

Buat masa ini, spesifikasi penuh Renault Twingo EV masih lagi dirahsiakan, namun Renault menjanjikan angka kecekapan sekitar 10 km/kWh, jauh lebih cekap berbanding Ioniq 6 (6.8 km/kWh).

Menurut Renault, Twingo EV ini akan dijual tahun 2026 dengan tanda harga bermula bawah €20,000 (~RM102k), menjadikannya salah satu pesaing kepada EV jenama China yang semakin meningkat banyak masa kini.