All posts by Zulkifli Mhd

Kenapa ‘fanboi’ YSuku tak suka dengan Yamaha Y16ZR?

Rata-rata motosikal keluaran Yamaha sememangnya berjaya menarik perhatian peminat dua roda di Malaysia antaranya RX-Z, 125ZR kemudian Y15ZR. 

Bagaimanapun, lain pula ceritanya sebaik Yamaha memperkenalkan Y16ZR yang diangkat sebagai ‘pengganti’ kepada Y15ZR yang pada satu ketika pernah menjadi ‘fenomena’ di Malaysia. 

Banyak FAN YSUKU Marah Dengan YAMAHA Y16ZR. Kenapa? - Pandu Engear

Atas kertas, Y16ZR merupakan versi ditambah baik dari Y15ZR. Pertamanya, Y16ZR diberikan enjin yang lebih besar dengan 155cc berbanding 149.7cc sebelum ini sekaligus menyumbang kepada 17.7hp dan 14.4Nm. 

Namun begitu, kapasiti enjin yang lebih besar itu turut menyebabkan pemilik perlu membayar cukai jalan (roadtax) sebanyak RM30. 

Selain itu, Yamaha Y16ZR ini turut dilengkapi dengan teknologi VVA (variable-valve actuation) yang pada dasarnya menawarkan penjimatan dan aliran kuasa yang lebih efisien. 

Yamaha Y16ZR juga dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan berbanding 5-kelajuan yang ada pada Y15ZR. Kami berasakan naik taraf ini antara yang paling signifikan kerana ramai pengguna Y15ZR yang mengadu tidak berpuas hati dengan ciri tersebut. Sistem klac slipper juga membantu meringkan beban ketika menukar gear. 

Dalam pada itu, disebabkan penggunaan enjin yang lebih besar, Y16ZR juga menawarkan daya pecutan yang lebih baik. Namun begitu, ada yang medakwa Y16ZR lebih ‘makan minyak’. Dakwaan itu kami akui ada benarnya selepas menguji motosikal itu selama beberapa hari apatah lagi tangki disediakan hanya 5.4L. 

Apa yang pasti, Y16ZR menawarkan sesuatu yang ekstra berbanding Y15ZR. Mereka yang menghargai motosikal ini adalah mereka yang perlukan sesuatu yang lebih berkuasa tanpa perlu mengubahsuai motosikal seperti yang menjadi kegilaan geng Y15ZR. 

Tidak hairanlah rata-rata yang meminati Y16ZR adalah mereka yang berada dalam kumpulan usia pertengahan berbanding Y15ZR yang masih lagi jadi kegilaan anak muda. 

MForce lancar WMoto ES250i SE 2024 – RM14,508

WMoto ES250i Special Edition diperkenalkan untuk pasaran Malaysia dengan harga jualan rasmi RM14,508. 

Menurut MForce dalam satu kenyataan, skuter maxi 250cc itu ditawarkan dengan warna putih dan hitam bagi tahun 2024 sementara perincian lain masih dikekalkan sama seperti sebelum ini. 

Antaranya, ES250i SE kekal dikuasakan enjin satu silinder 244.3cc (Euro4) yang mampu menghasilkan 20.9hp pada 8,500rpmm dan 21Nm pada 6,500rpmm dan dipadankan bersama transmisi automatik CVT.

Antara kelengkapan lain ditawarkan termasuk: 

  • Alarm Key Findings
  • ABS
  • tangki 12L
  • fork depan KYB
  • penyerap hentak berkembar KYB
  • lampu LED penuh dengan DRL
  • panel meter digital dan analog
  • ruang simpanan 19L

Keputusan Lesen B2 ke B secara automatik akan diumum dalam masa terdekat

Kerajaan bakal mengumumkan keputusan mengenai cadangan menaik taraf lesen motosikal B2 kepada B secara automatik tidak lama lagi.

Perkara itu disahkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Foke ketika menjawab pertanyaan media ketika sesi tinjaun pembinaan LRT3 di Stesen Pasar Jawa. 

“Nanti saya akan umumkan, sudah ada keputusan (B2 kepada B penuh). Tetapi saya akan umumkan hari kemudian bukan hari ini,”jelasnya. 

Menurut Anthony Loke, pihak kementerian sudah pun mempunyai keputusan mengenai cadangan yang pernah dikemukakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. 

Zahid Hamidi sebelum ini pernah menyatakan bahawa tiada masalah berhubung cadangan itu kerana penunggang motosikal yang mempunyai lesen Kelas B2 memang memiliki pengalaman menunggang kenderaan berkenaan.

(sumber: Utusan Malaysia)

Honda GL1800 Gold Wing Tour tiba dengan warna baharu – RM212,888

Boon Siew Honda (BSH) mengumumkan pilihan warna baharu bagi motosikal grand tourer ikonik, Honda GL1800 Gold WIng Tour. 

Bagi tahun 2024, GL1800 Gold Wing Tour kini hadir dengan warna Heavy Gray Metallic dan akan mula tiba di pusat pameran rasmi Honda bermula Ogos 2024 dengan harga jualan RM212,888.

Atas kertas, Gold Wing Tour merupakan varian perdana (flagship) dan hadir dengan tiga ruang simpanan dan penyandar untuk pembonceng. 

Gold Wing Tour ini menawarkan 125hp pada 5,500rpm da 170Nm pada 4,500rpm yang terhasil dari enjin 6-silinder 1,833cc SOHC 24-valve. Model ini juga dipadankan dengan transmisi DCT (dual-clutch transmission) generasi ketujuh yang menjanjikan pengalaman menunggang yang lebih efisien ekoran ketiadaan klac tangan. 

Antara perincian lain ditawarkan termasuk:

  • storan 61L
  • panel meter TFT 7-inci denan Apple CarPlay dan Android Auto
  • Throttle-By-Wire dengna 4 mod; Tour, Sport, Econ dan Rain
  • pencahayaan LED
  • Integrated Starter Generator

Setiap pembelian Honda GL1800 Gold Wing Tour ini didatangkan dengan waranti kilang dua tahun atau 20,000km (mana yang sampai dulu). 

Honda Rebel 500 tiba dengan dua warna baharu di Malaysia – RM33,899

Boon Siew Honda (BSH) memperkenalkan dua pilihan warna baharu bagi motosikal gaya cruiser CMX500 Rebel. 

BSH dalam satu kenyataan memaklumkan CMX500 Rebel kini hadir dengan warna Mat Laurel Green Metallic dan Seal Silver Metallic. 

Atas kertas, Rebel dikuasakan enjin 471cc ‘parallel-twin’ dengan PGM-Fi yang menawarkan 45.6hp pada 8,500rpm dan 43Nm pada 6,500rpm.

Antara ciri utama ditawarkan motosikal ini adalah tangki bahan api berkapasiti 11.2L yang menawarkan penjimatan minyak efisien sesuai untuk kegunaan harian mahupun tunggangan di hujung minggu. 

Meskipun bergaya retro, CMX500 Rebel dilengkapi dengan ciri  terkini antaranya ABS dwi-saluran, pencahayaan LED penuh depan dan belakang serta panel meter LCD yang memaparkan maklumat seperti petunjuk gear dan penggunaan bahan api. 

Menurut BSH, Honda CMX500 Rebel ini ditawarkan pada harga RM33,899 dengan setiap pembelian disertakan dengan waranti dua tahun atau 20,000km (mana yang sampai dulu). 

Honda Vario 160 terima dua warna baharu – RM10,498

Boon Siew Honda (BSH) memperkenalka dua pilihan warna baharu bagi Honda Vario 160. 

BSH dalam satu kenyataan mengumumkan bahawa Vario 160 kini hadir dengan warna Green dan Mat Blue dengan masing-masing dijual pada harga RM10,498. 

Dua pilihan warna baharu ini menggantikan warna Premium Grey sebelum ini. 

Bagaimanapun, Vario 160 2024 ini kekal dikuasakan enjin satu silinder 157cc cc eSP+ yang berupaya menjana 15hp pada 8,500rpm dan 13.8Nmm pada 7,000rpm. 

Perincian lain dikekalkan termasuk ABS satu saluran, Honda Smart Key System (keyless), pencahayaan LED penuh dan port pengecas USB. 

Sementara itu, setiap pembelian Honda Vario 160 didatangkan dengan waranti dua tahun atau 20,000km (mana yang sampai dahulu). 

Vespa Primavera dengan tema ‘Batik’ diumumkan 

Selepas 56 tahun, Primavera kekal sebagai model paling popular pernah dihasilkan Vespa untuk pasaran global bermula sebagai skuter bersesaran 50cc 2-strok sehingga berkembang kepada enjin 125cc dan 150cc SOCH 4-strok hari ini. 

Walaupun berenjin kecil namun Primavera adalah juara apabila menyelusuri kawasan bandar yang sesak terutamanya versi 150cc yang turut menjadi pilihan peminat Vespa di Malaysia. 

Kombinasi enjin 150cc yang menawarkan 12.7hp dan 12.8Nm yang dipadankan bersama transmisi CVT serta rim 12-inci menjanjikan pengalamman menunggang yang bukan sahaja selesa malah responsif. 

Terbaru, Vespa Primavera tampil lebih segar bagi tahun 2024 dengan mengambil inspirasi dari batik Indonesia yang mendapat pengiktirafan UNESCO. 

Hasilnya, Vespa Primavera edisi istimewa ini menampilkan grafik batik di bahagian panel sisi belakang, tempat letak kaki dan juga panel depan. Selain itu, skuter ini turut datang dengan tempat duduk berwarna ‘cappucino brown’  dengan jahitan berwarna hijau. 

Difahamkan, Vespa Primavera Batik ini akan ditawarkan untuk pasaran global dalam jumlah terhad. 

CFMoto Papio Akira Edition mendarat di Filipina 

CFMoto telah melancarkan Papio SS edisi istimewa di Filipina yang menampilkan watak anime dan manga popular, Akira. 

Menurut CFMoto, Papio SS Akira Editio itu lahir dari kerjasama antara CFMoto dan jenama barang kemas 13 Lucky Monkey. 

Diinspirasikan dari filem anime Akira yang diterbitkan pada 1988, Papio SS tersebut menampilkan elemen dan grafik yang terdapat pada motosikal Akira yang ditunggang protagonis, Kaneda. 

Untuk itu, Papio SS ini juga datang dengan warna merah dan menampilkan pelekat yang terdapat pada Akira sekaligus mmemberikan suasana 80an. 

Pengarah Kreatif 13 Lucky Monkey, Dante Dizon mendedahkan dia merupakan peminat besar anime Akira. 

Bagaimanapun, disebalik inspirasi Akira itu aspek lain kekal sama termasuk enjin satu silinder 126cc dengan sistem penyejuk udara yang menawarkan 9.4hp pada 8,250rpm dan 9.2Nm pada 6,500rpm. Enjin tersebut dipadankan bersama transmisi 6-kelajuan. 

Untuk rekod, CFMoto Papio turut ditawarkan di Malaysia dan dijual pada harga RM8,888. 

Panigale Kingdom Mega Gathering  catat rekod dunia dengan 310 Ducati Panigale 

Penganjuran ‘Panigale Kingdom Mega Gathering’ 2024 bukan sahaja berjaya menempah nama dalam Malaysia Books of Record malah turut mencatat rekod dunia. 

Ini kerana perhimpunan terbesar motosikal Ducati Panigale itu Sabtu lalu berjaya mengumpulkan 310 motosikal Panigale bertempat di Ducati Kuala Lumpur. 

Perhimpunan lebih 300 motosikal Panigale itu juga yang paling banyak pernah dicatatkan bukan sahaja di Malaysia malah di serata dunia. 

“Panigale Kingdom Mega Gathering bukan setakat acara memecah rekod tetapi turut mencerminkan semangat Malaysia Boleh!,” jelas Ketua Pegawai Operasi Ducati Malaysia, Dennis Michael. 

Acara tersebut turut menyaksikan kesemua pemilik Ducati Panigale berkonvoi beramai-ramai sambil diiringi beberapa motosikal berkuasa tinggi dari Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

Kurang permintaan, BMW Motorrad tak cadang tambah model elektrik

BMW merupakan antara pengeluar trenkuasa elektrik bagi kenderaan empat dan dua roda. 

BMW i8 antara kereta elektrik berprestasi tinggi terawal yang menembusi pasaran dunia sejak diperkenalkan sekitar 10 tahun lalu. 

Bagaimanapun, ketika kereta elektrik BMW berjaya mendapat tempat dikalangan pengguna serata dunia lain pula kisahnya bagi model dua roda. 

Ketika ini BMW menawarkan CE 02 dan CE 04 untuk pasaran global termasuk di Malaysia. Namun, kedua-duanya motosikal elektrik berkonsepkan skuter dan lebih memfokuskan ke arah penggunaan yang praktikal. 

Persoalannya, adakah BMW berminat untuk menghasilkan motosikal elektrik berprestasi tinggi seperti ditawarkan untuk segmen empat roda? Menurut Ketua Pegawai Eksekutif BMW Motorrad, Markus Flasch, jawapannya tidak. 

“Kami mendengar permintaan pelanggan kami dan meninjau pesaingan dalam pasaran motosikal elektrik.

“Selepas mengambil kira dua faktor ini kami mencapai keputusan bahawa tiada keperluan untuk kami menghasilkan motosikal elektrik berkuasa tinggi dalam tempoh dua hingga tiga tahun ini,” jelasnya. 

Ini bermakna, BMW CE 02 dan CE 04 akan kekal sebagai motosikal elektrik yang ditawarkan BMW Motorrad untuk pasaran global. 

Honda Dash 125 terima warna baharu – RM6,599

Boon Siew Honda (BSH) telah mengemas kini kapcai popular Dash 125 bagi pasaran tempatan dengan pilihan warna baharu bagi tahun 2024. 

Menurut BSH, Dash 125 kinihadir dengan tiga warna baharu; Red, Blue dan Silver dengan model 2024 ini boleh didapati di semua rangkaian pengedar Impian X bermula 28 Jun 2024. 

Selain grafik baharu, Honda Dash 125 ini masih lagi dikuasakan enjin satu silinder 124cc SOHC dengan sistem penyejuk udara yang berupaya menjana 9.8hp pada 8,000rpm dan 9.54Nm pada 6,500rpm. 

Antara ciri lain ditawarkan termasuk:

  • tangki 4L
  • berat 105kg
  • fork teleskopik depan
  • penyerap hentak berkembar belakang
  • rim 17-inci
  • cakera brek depan dan belakang

Bagi pasaran tempatan, Honda Dash 125 yang dikemas kini ini dijual pada harga RM6,599 dan disertakan dengan waranti dua tahun atau 20,000km.

Boon Siew Honda lancar CB350RS di Malaysia – RM20,500

Boon Siew Honda dengan rasminya melancarkan Honda CB350RS untuk pasaran tempatan dengan harga jualan rasmi RM20,500. 

Hadir dengan dua warna pilihan, Mat Massive Gray Metallic dan Athletic Blue Metallic, Honda CB350RS ini pastinya akan menarik minat penggemar motosikal retro di Malaysia. 

Walaupun gaya klasik namun CB350RS ini dipacu enjin moden serba baharu yang menawarkan 21.8hp dan 30Nm. Tork pula hadir seawal 3,000rpm sekaligus membenarkan penunggang menikmati kadar pecutan yang efisien. 

Antara kelengkapan moden ditawarkan termasuk Honda Selectable Torque Control (HSTC) yang boleh dipadamkan dan ABS dwi-saluran. 

Sementara itu, CB350RS turut dilengkapi sistem PGM-Fi (Programmed Fuel Injection), yang menawarkan penjimatan yang lebih baik. 

Gaji tinggal RM50, lelaki ini menyesal beli BMW S 1000 RR

Seorang pengguna media sosial meluahkan rasa kesal selepas melakukan pembelian motosikal idaman jenis BMW S 1000 RR. 

Perkongsian di media sosial itu mencuri perhatian apabila lelaki berkenaan mendedahkan bagaimana dia telah membeli motosikal jenis ‘superbike’ dengan harga RM129k pada tahun 2023 namun kemudian meluah rasa kesal. 

“Betul orang kata superbike untuk hobi orang kaya, bukan keperluan. 

“Aku gaji baru RM6k beli BMW S 1000 RR 2023 dan sekarang baru tengah bulan, lepas perbaharui cukai jalan dan servis, duit makan cuma tinggal RM50,” katanya. 

Perkongsiannya mendapat pelbagai reaksi di media sosial dengan rata-rata mengkritik tindakan membeli jentera BMW yang paling baharu walaupun terdapat pilihan lain yang menawarkan harga lebih rendah. 

Untuk rekod, BMW S 1000 RR 2023 merupakan motosikal segmen 1000cc yang dikuasakan enjin 4-silinder 999cc DOHC dengan teknologi BMW ShiftCam yang berupaya menjana 205hp pada 13,000rpm dan 113Nm pada 11,000rpm. 

Tempahan Voge FR150 kini melebihi 5,000 unit 

Pemain baharu dalam segmen supermoped di Malaysia, Voge Formica Rossa 150 (FR150) bakal tiba di pengedar tempatan seluruh negara hujung bulan ini. 

Menariknya, menurut laporan rakan media PanduLaju, MForce telah pun menerima lebih 5,000 tempahan setakat ini dengan kumpulan pertama sebanyak 1,300 akan tiba di pengedar Julai ini. 

Sambutan yang diterima itu ternyata satu perkembangan menarik apatah lagi pasaran tempatan yang ketika ini didominai motosikal ‘supermoped’ dari Honda dan Yamaha. 

Untuk rekod Voge FR150 dipacu enjin satu silinder 149.6cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair yang berupaya menjana 15.4hp dan 13.5Nm. Kami dimaklumkan enjin tersebut dibina menyerupai enjin Honda RS150 namun telah ditambah baik agar penyakit yang sering berlaku pada kapcai Honda itu tidak berlaku. 

Seperti Honda RS150/RS-X, FR150 juga dipadankan dengan transmisi manual 6-kelajuan namun dipertingkat dengan sistem klac slipper.

Antara ciri lain ditawarkan termasuk panel meter digital, lampu LED dengan DRL (daytime running light), smartkey (keyless), port USB ,fork teleskopik dengan jarak pergerakan 83mm, berat 123kg, tangki bahan api 5.8L dan ABS dwi-saluran. 

(sumber: PanduLaju)

Triumph perkenal Bonneville T120 Elvis Presley Edition – hanya 925 unit dihasilkan

Sebagai penghargaan kepada bintang Rock and Roll, Elvis Presley, Triumph Motorcycles telah melancarkan Triumph Bonneville T120 edisi terhad. 

Hanya terhad kepada 925 unit untuk pasaran dunia, Triumph Bonneville T120 Elivs Presley Edition itu mengambil inspirasi daripada persembahan ikonik Elvis ketika ‘Comeback Special’ 1968. 

Konsep persembahan itu jelas terpakai pada imej yang diguna pakai Triumph bagi T120 Elvis Presley Edition ini. 

Tulisan ELVIS dalam warna keemasan serta  tanda tangan Elvis boleh didapati di bahagian atas tangki manakala fender depan pula menempatkan logo ‘Taking Care of Business in a Flash’ (TCB). 

Dalam pada itu, pemilihan warna merah sebagai warna utama diilhamkan dari motosikal Bonneville yang dikustom oleh J Daar sempena kutipan derma oleh Elvis Presley Charitable Foundation pada tahun 2023. 

Untuk rekod, Triumph Bonneville T120 Elvis Presley Edition ini dikuasakan enjin parallel-twin 1200cc 8-valve SOHC dengan ‘270-degree crank’ yang berupaya menajana 78.9hp pada 6,550rpm dan 105Nm pada 3,500rpm. 

Namun, kami berasakan peminat Elvis tidak akan menghiraukan soal spesifikasi Bonneville T120 ini sebaliknya lebih memfokuskan elemen yang ditawarkan model edisi terhad tersebut. 

Kerjasama Harley-Davidson dan Kymco bakal terlaksana menerusi LiveWire

Selepas mempamerkan model konsep SuperNEX pada 2018 dan RevoNEX pada 2019 di EICMA, Kymco  kemudiannya mempunyai perancangan untuk memperkenalkan model sebenar.

Selepas beberapa tahun, akhirnya Kymco bakal merealisasikan projek motosikal elektrik itu namun menerusi beberapa perubahan drastik kepada reka bentuk asal. 

Pada awalnya, Kymco mahu memperkenalkan motosikal elektrik itu secara sendirinya termasuk membangunkan sistem transmisi khas yang menggabungkan platform elektrik dengan transmisi manual konvensional. Pada masa sama, Kymco juga bercadang menubuhkan kilang sendiri di Itali bagi menghasilkan kedua-dua model ini.

Bagaimanapun, pelan asal itu telah diketepikan pada tahun 2022 apabila Kymco mendedahkan konsep generasi kedua yang membawa nama RevoNEX dan SuperNEX namun dengan reka bentuk berbeza. Senario itu berlaku selepas Kymco memeterai kerjasama dengan LiveWire (jenama elektrik milik Harley-Davidson) bagi membangunkan model LiveWire S3. 

Perkembangan itu secara tak langsung mendedahkan bahawa RevoNEX dan SuperNEX akan dibangunkan mengguna pakai platform LiveWire. 

Pertalian antara RevoNEX dan SuperNEX bersama LiveWire lebih jelas apabila Kymco memfailkan paten yang jelas memaparkan reka bentuk RevoNEX namun dengan casis dan trenkuasa LiveWire. 

Setakat ini belum ada maklumat terperinci sejauh mana perbezaan antara S3 dengan S2 dari segi prestasi dan jarak gerak (range) ditawarkan. Namun, mengambil kira LiveWire pernah memaklumkan bahawa S3 merupakan motosikal elektrik yang lebih ringan, kami menjangkakan penggunaan bateri dan motor elektrik yang lebih kecil berbanding S2. 

Harley-Davidson Hydra Glide Revival kini di Malaysia – RM176,900

Harley-Davidson Hydra Glide Revival akhirnya mendarat di Malaysia beberapa bulan selepas pelancaran global awal tahun ini. 

Merupakan sebahagian dari barisan model Icon Motorcycle Collection edisi terhad, Hydra Glide Revival ini hadir dengan cat premium dan grafik premium. 

Atas kertas, Icon Motorcycle Collection merupakan model edisi terhad dan untuk itu, hanya 1,750 unit Hydra Glide Revival dibangunkan untuk pasaran dunia. Daripada jumlah tersebut, hanya 5 unit mendarat di Malaysia dengan harga jualan RM176,900. 

Sementara itu, Hydra Glide Revival ini hadir dengan beberapa ciri bergaya termasuk:

  • cat Custom Redline Red dengan panel Birch White di bahagian sisi tangki.
  • lencana tangki Harley-Davidson V yang diinspirasikan dari model 1955-56.
  • grafik Icon Motorcycle Collection pada fender belakang bagi menandakan model edisi terhad.
  • tempat duduk tunggal dengan jahitan putih dan merah serta ‘chrome rail’ agar tampak klasik.
  • bag kiri dan kanan kalis air boleh kunci.

Sementara itu, Harley-Davidson Hydra Glide Revival ini dikuasakan enjin V-Twin Milwaukee-Eight 114 dengan pembersih udara Screamin Eagle High FLow yang menyumbang kepada 95hp dan 156Nm. 

Kerangka Softail yang diguna pakai pula dipadankan bersama penyerap hentak tunggal belakang boleh laras yang menawarkan pengalaman menunggang yang selesa. 

Ciri lain ditawarkan termasuk:

  • cruise control elektronik
  • lampu LED depan
  • ABS dwi-saluran

Kawasaki Z900RS dapat warna baharu di Indonesia

Kawasaki Indonesia telah melancarkan Z900RS dan Z900RS Cafe 2025 yang telah dikemas kini dengan pilihan warna baharu. 

Bagi tahun 2025, kedua-dua varian ini hadir dengan sentuhan warna era 70an dengan Z900RS Cafe datang dengan warna Ebony sementara varian standard dipadankan dengan warna Ino Red. 

Menurut Kawasaki, warna Z900RS ini diinspirasikan dari Kawasaki Z1 900 1975 sementara Z900RS Cafe pula mengambil warna dari KZ900 1976. 

Difahamkan, Indonesia merupakan pasaran dunia pertama yang memperkenalkan pilihan warna baharu ini.

Bagaimanapun, kedua-dua varian ini masih lagi mengekalkan spesifikasi sama termasuk bahagian enjin yang masih lagi bernadikan enjin empat silinder 948cc dengan sistem penyejukan udara yang mampu menjana 111hp dan 98.6Nm. 

Yamaha diarah henti pengedaran YZF-R1 gara-gara kemuka data palsu

Yamaha diarahkan untuk henti edar Yamaha YZF-R1 oleh kerajaan Jepun gara-gara pengeluar motosikal itu didapati memalsukan data ujian bunyi bagi mencapai standard emisi ditetapkan. 

Arahan itu dikeluarkan selepas lawatan yang dijalan oleh Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan, dan Pelancongan (MLIT) di ibu pejabat Yamaha Motor Co di Iwata, Jepun, minggu lalu. 

MLIT mendapati Yamaha telah melakukan ujian pensijilan kenderaan yang tidak mematuhi standard selain memalsukan permohonan yang diperlukan untuk mematuhi peraturan keselamatan dan alam sekitar Jepun. 

Menurut laporan media antarabangsa, Yamaha mengakui telah menjalankan ujian bunyi YZF-R1 yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan dan telah menyerahkan data palsu bagi model YZF-R3 dan TMAX. 

Sementara itu, MLIT akan turut menjalankan pemeriksaan terhadap Honda Motor Co dan Suzuki Motor Corp bagi memastikan tiada kepincangan yang berlaku. 

Untuk rekod, kerajaan Jepun mula melaksanakan audit besar-besaran terhadap sektor automotif susulan insiden skandal ujian melibatkan Toyota pada 2022.

Bagaimanapun, kes Toyota lebih berat kerana memalsukan data ujian kemalangan sementara Yamaha hanya gagal mematuhi standard emisi bunyi pada R1. 

HLYM tawar tiga warna baharu untuk Yamaha EZ115 – RM5,698

Yamaha EZ115 yang merupakan pengganti kepada model Lagenda 115Z telah dikemas kini bagi tahun 2025 dengan pilihan warna baharu.

Menurut Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) dalam satu kenyataan, EZ115 kini hadir dengan warna Blue, Grey dan Purple. Warna baharu ini juga sudah boleh didapati di pengedar rasmi HLYM seluruh negara bermula hari ini (6 Jun). 

Namun, kemas kini terbaru ini hanya melibat warna dan grafik sahaja sementara kelengkapan dan spesifikasi keseluruhan masih lagi sama. 

Atas kertas, Yamaha EZ115 dipacu enjin satu silinder 114cc SOHC dengan sistem penyejukan udara  yang berupaya menjana 8.6hp pada 7,000rpm dan 9.5Nm pada 5,500rpm. 

Bagi pasaran tempatan, Yamaha EZ115 ini ditawarkan dengan harga RM5,698.