HONDA Malaysia hari ini memperkenalkan dua pilihan warna baharu untuk model CR-V iaitu Ignite Red Metallic dan Meteoroid Gray Metallic. Dengan kehadiran warna-warna baharu ini, warna Passion Red Pearl dan Modern Steel Metallic tidak akan ditawarkan lagi.
Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura, warna Ignite Red Metallic dan Meteoroid Gray Metallic diterima baik di pasaran sejak ia diperkenalkan pada model City, City Hatchback, Civic BR-V dan HR-V. Accord juga ditawarkan dalam warna kelabu gelap itu.
“Kedua-dua warna merupakan pilihan popular dengan Ignite Red Metalic menyumbang purata 18% kepada jualan setiap lima model tersebut, manakala Meteoroid Gray Metallic menyumbang purata 24% kepada jualan kepada setiap enam model berkenaan,” katanya.
“Kami yakin bahawa kedua-dua warna baharu ini akan menyerlahkan lagi penampilan CR-V untuk pelanggan yang mencari SUV dengan luaran yang lebih berani dan ruang dalaman yang moden,” tambah beliau.
Sejak pelancarannya pada 2017, CR-V generasi kelima merekodkan prestasi jualan yang memberangsangkan dengan lebih 63,000 unit berjaya dijual. Model facelift yang dilancarkan pada November 2020 menyumbang lebih 27,000 unit kepada jualan keseluruhan setakat ini.
Bukan itu sahaja, CR-V turut menyumbang 12% kepada jualan keseluruhan Honda Malaysia bagi tempoh Januari hingga Julai 2022.
CR-V dikuasakan ole enjin 1.5-liter VTEC Turbocharged yang mampu menjana kuasa maksimum sebanyak 193 PS dan 243 Nm bagi memberikan pemanduan yang mengujakan. Sebagai tambahan kepada ciri keselamatan standard, ia juga dilengkapi dengan teknologi Honda SENSING untuk ketenangan minda pelanggan.
Model ini boleh didapati dalam empat varian iaitu 2.0L 2WD, 1.5L TC-P 2WD, 1.5L TC-P 4WD dan Black Edition.
ROYAL Enfield telah memperkenalkan satu lagi model roadster dalam barisan mereka iaitu Hunter 350. Ia boleh didapati dalam dua versi iaitu Retro dan Metro. Retro hadir sebagai ‘Factory Series’, manakala Metro pula mempunyai dua varian di bawahnya iaitu ‘Dapper Series’ dan ‘Rebel Series’.
Dari segi penampilan, Hunter 350 hadir dengan penggayaan neo-retro dengan suntikan elemen baharu sambil mengekalkan DNA jenama Royal Enfield. Kedua-dua versi ditawarkan dengan pilihan warna dan livery yang berbeza, menjadi kombinasi keseluruhan sebanyak 23.
Lampu depan untuk kedua-dua versi adalah jenis halogen, manakala lampu belakang pula adalah jenis halogen untuk versi Retro dan LED untuk Metro. Lampu isyarat LED ditawarkan sebagai opsyen.
Seperti Classic 350 dan Meteor 350, model terbaharu ini dikuasakan oleh enjin J-Series 349 cc silinder tunggal. Ia menghasilkan 20.2 bhp pada 6,100 rpm dan 27 Nm pada 4,000 rpm. Dengan transmisi lima kelajuan, Hunter 350 dikatakan mampu mencapai redline 7,000 rpm dan memecut sehingga 114 km/j.
Sumber foto: bikedekho.com
Hunter 350 Retro dilengkapi dengan brek cakera depan dengan ABS dan brek gelendong belakang, manakala versi Metro pula mendapat brek cakera depan dan belakang, serta ABS dwi-saluran. Untuk roda pula, versi Retro didatangkan dengan rim jenis spoked manakala Retro dengan rim aloi berwarna hitam.
Berat keseluruhan roadster ini adalah sekitar 181 kg, menjadikan ia 14 kg lebih ringan berbanding Classic 350. Ini juga bermakna ia adalah yang paling ringan dan kecil berbanding mana-mana model dalam barisan Royal Enfield.
Jika dibandingkan dengan Classic 350 dan Meteor 350 yang berharga antara RM23,500 hingga RM24,300 di Malaysia, Hunter 350 mempunyai harga yang lebih mampu milik. Ia dijual pada harga bermula dari 149,900 rupee (RM8,418) untuk Hunter 350 Factory Series hingga 168,900 rupee (RM9,486) untuk versi Metro Rebel.
PROTON telah mengumumkan prestasi jualannya bagi bulan Julai 2022, di mana ia berjaya menjual sebanyak 11,477 unit kenderaan dalam pasaran domestik dan eksport. Jualan keseluruhan Proton untuk tahun ini kini berada pada 71,601 unit, naik sebanyak 19.7% berbanding tempoh yang sama pada 2021.
Dengan pencapaian ini, Proton mengekalkan kedudukan kedua dalam jadual jualan automotif nasional dengan anggaran pegangan pasaran sebanyak 22.7% bagi bulan Julai manakala pegangan pasaran tahun sehingga kini (YTD) meningkat kepada 18.7%.
Jumlah Keseluruhan Volum Industri (TIV) bagi bulan Julai dianggarkan sebanyak 50,500 unit setelah jumlah pendaftaran berundur ke median berikutan penamatan tempoh insentif SST pada 30 Jun.
Berikutan jualan terbaiknya pada bulan Jun, X50 terus memecahkan rekod dengan 4,763 unit didaftarkan pada bulan Julai, sekaligus menjadikannya kenderaan terlaris di Malaysia bagi bulan tersebut.
Prestasi jualan satu lagi model SUV keluaran Proton iaitu X70 juga kukuh 1,704 unit direkodkan pada bulan lalu. Ini membolehkan syarikat itu kekal di tangga teratas untuk SUV segmen C dan melonjakkan jumlah keseluruhan SUV melepasi 31,500 unit untuk tujuh bulan pertama bagi tahun 2022.
Sementara itu, Saga terus mengekalkan kedudukannya di bahagian atas kelas sedan segmen A dengan jualan sebanyak 4,521 unit pada bulan lepas. Angka ini menunjukkan bahawa model 2022 berjaya mencapai pendaftaran sebanyak 9,811 dalam masa 80 hari sejak pelancarannya pada 12 Mei lalu.
Exora juga mengekalkan kedudukannya di tangga teratas kelas MPV segmen C dengan 476 unit didaftarkan. Malangnya, Proton hanya dapat menyerahkan lima unit Persona dan lapan unit Iriz kerana jualan untuk kedua-dua model itu dihentikan buat sementara waktu bagi menunggu kelulusan harga daripada pihak berkuasa.
MENTERI Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan bahawa jemaah menteri akan menggunakan kenderaan elektrik (EV) bermula tahun depan.
Bercakap kepada media pada majlis perasmian pejabat Khidmat Malaysia di Batu Caves semalam (9 Ogos 2022), Tuan Ibrahim berkata, “Mulai tahun depan, semua perolehan kerajaan akan bergerak kepada kereta elektrik.”
Bagaimanapun, menurut Tuan Ibrahim kos untuk peralihan ke arah EV ini masih belum diperincikan kerana ia masih di peringkat awal.
Sumber foto: Facebook/Kementerian Alam Sekitar dan Air
“Secara butirannya belum diputuskan lagi. Oleh kerana tidak banyak lagi kereta elektrik, maka kosnya agak tinggi tetapi apabila pengguna lebih ramai, kos akan jadi lebih murah,” katanya.
Tambah Tuan Ibrahim lagi, isu yang perlu ditangani adalah stesen pengecas, jadi fasiliti perlu dibina terlebih dahulu sebelum peralihan ini dapat dilaksanakan.
Selain itu, beliau turut menyebut hasrat pihaknya untuk menjadikan pulau-pulau peranginan seperti Pulau Langkawi sebagai lokasi projek rintis penggunaan motosikal elektrik.
Honda U-Be
“Kita akan beri 100 buah motosikal elektrik kepada penduduk untuk ditukarkan dengan motosikal lama mereka,” kata beliau.
Tuan Ibrahim berkata kementeriannya juga menyasarkan untuk menjadikan Putrajaya sebagai bandar bebas karbon dengan memperbanyakkan penggunaan EV.
BMW Group Malaysia baru-baru ini menyerahkan 90 kerusi keselamatan kanak-kanak bersubsidi sepenuhnya kepada keluarga dalam komuniti B40 menerusi Program Subsidi NEXTStep.
Dilancarkan pada Mei lalu sebagai sebahagian daripada inisiatif BMW Safety 360°, program itu bermatlamat untuk memberi tumpuan terhadap kepentingan keselamatan jalan raya bagi kanak-kanak dengan menjadikan kerusi keselamatan kanak-kanak lebih mudah untuk diakses bagi isi rumah berpendapatan rendah.
Program subsidi ini dibuka kepada pasangan yang bakal menimang cahaya mata serta keluarga yang memiliki anak dengan berat 36 kg ke bawah, dan dengan pendapatan isi rumah bulanan bawah RM3,500.
Menurut BMW Group Malaysia, lebih 900 pendaftaran telah diterima sepanjang tempoh permohonan tersebut dibuka. Ini membuktikan betapa pentingnya keperluan akses ke atas kerusi keselamatan kanak-kanak dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah.
Dalam majlis penyerahan itu, penerima diberikan tunjuk ajar mengenai cara pemasangan dan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak menerusi demonstrasi yang dijalankan oleh sekumpulan Pengajar Keselamatan Penumpang Kanak-Kanak (COSI) daripada Safe ‘n Sound.
Sejumlah 12 kerusi keselamatan kanak-kanak telah diserahkan semasa acara tersebut, dan bilangan yang berbaki telah diserahkan kepada ibu bapa yang menetap di dalam dan di luar kawasan Lembah Klang.
Kerusi keselamatan kanak-kanak bersubsidi penuh yang dibekalkan meliputi model-model seperti snskidz Ace (Infant Carrier) snskidz sport (Convertible Seat), snskidz Whizz (ISOFIX Seat), snskidz Proto (Combination Booster) dan mifold (Booster Seat), yang masing-masing lazimnya disediakan pada harga runcit bernilai RM 199, RM279, RM 499, RM 399, dan RM199.
BMW Group Malaysia memulakan program subsidi yang pertama melalui inisiatif BMW Safety 360° pada 2019. Ia mendapat sambutan yang menggalakkan dengan lebih 25,000 pendaftaran. Sehingga kini, lebih 400 keluarga telah menerima kerusi keselamatan kanak-kanak bersubsidi, termasuk penerima Program Subsidi NEXTStep.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pindaan tersebut adalah Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333], Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 [Akta 334] dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715] yang akan dibentangkan pada sesi akan datang.
Pembentangan ini akan turut membabitkan had umur penunggang p-hailing diturunkan daripada umur 21 kepada 18 tahun.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong. – Foto ihsan Malay Mail
“Secara dasarnya kabinet telah bersetuju dengan kesemua draf pindaan RUU tersebut,” kata Ka Siong.
Menurutnya, GDL amat penting kerana ia membolehkan kementerian mengawal selia ekonomi gig dengan baik.
“Kita bukan mahu membebankan penunggang p-hailing, kursus pengambilan lesen GDL ini akan mendedahkan mereka mengenai undang-undang dan peraturan ditetapkan sekaligus menjamin keselamatan penunggang,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan sesi dialog dengan wakil penunggang p-hailing di kementeriannya semalam.
Beliau berkata, had umur diturunkan adalah bagi membolehkan ekonomi gig bersaing dengan lebih kompetitif.
“Kerajaan melihat penghantar makanan ini merupakan punca rezeki yang penting. Selagi ada Lesen Memandu Kompeten (CDL), mereka boleh mohon GDL. Semua agensi kementerian telah diarahkan untuk mengadakan libat urus dengan pemegang taruh.
“Kita minta wakil daripada p-hailing, pengendali p-hailing (PHO) dan lain turut serta dalam libat urus ini kerana di dalam ekonomi gig ini semua pihak perlu merapatkan saf,” tambahnya.
Menyentuh mengenai sesi dialog bersama p-hailing, Ka Siong berkata, PHO perlu meningkatkan komunikasi dengan penunggang bagi mengelakkan berlakunya pertikaian.
“Saya lihat mereka tidak faham cara pengiraan PHO. Contohnya Jun, ada (pembayaran) yang tidak dikira dan kesilapan teknikal ini menjurus kepada apa yang telah berlaku (mogok),” katanya.
UMW Toyota Motor (UMWT) meneruskan kemaraan mereka dengan mendaftarkan sebanyak 6,624 unit kenderaan Toyota dan 13 unit kenderaan Lexus pada bulan Julai 2022.
Dengan catatan ini, jualan keseluruhan UMWT bagi Julai 2022 adalah 6,637 unit manakala jumlah jualan tahunan setakat ini adalah 52,548 unit, naik 48% berbanding 35,561 unit yang direkodkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Toyota Hilux mengekalkan gelarannya sebagai trak pikap paling laris di Malaysia sejak 2005 dengan jualan sebanyak 1,788 unit pada bulan lalu.
Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K berkata pihaknya sedang bertungkus-lumus untuk mempergiatkan pengeluaran bagi memastikan penghantaran lebih cepat kepada pemilik kereta baharu yang telah sabar menunggu.
“Kami berterima kasih kepada semua pelanggan kami atas kesabaran dan pemahaman mereka,” tambah beliau.
Promosi Yaris dan Vios
Untuk bulan Ogos, UMWT menawarkan faedah bernilai RM4,000 di samping rebat tunai kepada peminat Yaris dan Vios. Syarikat itu menjangkakan jualan akan terus meningkat apabila rakyat Malaysia memanfaatkan tawaran dan penjimatan untuk menaik taraf kepada kenderaan moden dengan prestasi hebat, ciri keselamatan canggih dan keselesaan.
Sasaran neutraliti karbon
Sejajar dengan komitmen Toyota Global untuk mencapai neutraliti karbon menjelang 2050 dan menyokong Toyota Environmental Challenge 2050, UMWT baru-baru ini telah mengadakan dua program iaitu penanaman pokok di Kuala Selangor Nature Park dan ‘Hike and Clean’ di Bukit Broga, Semenyih.
Program penanaman pokok itu menyaksikan seramai 80 peserta menanam sebanyak 1,500 anak pokok bakau yang bakal tumbuh untuk bertindak sebagai sink karbon yang dapat mengasingkan dua hingga empat kali lebih banyak karbon berbanding hutan hujan matang.
Sementara itu, aktiviti ‘Hike and Clean’ pula merupakan sebahagian daripada Toyota Environmental Challenge 2050 yang bertujuan untuk mewujudkan masyarakat masa depan yang hidup secara harmoni dengan alam semula jadi.
BMW Motorrad Malaysia baru-baru ini telah menghoskan lebih daripada 150 penunggang jentera kembara serta para peminat BMW Motorrad di acara BMW Motorrad GS Challenge.
Acara yang julung kali diadakan di Malaysia itu meraikan jiwa sebenar GS dengan pengalaman yang mengujakan di atas landasan luar jalan yang mencabar.
Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkongsi, “BMW Motorrad GS Challenge ini mengimbau pertandingan popular kami, International GS Trophy yang mengambil tempat di lokasi-lokasi ekstrem di seluruh dunia.
Kami ingin membawakan sekali lagi keterujaan pengembaraan tersebut di Malaysia buat para penunggang GS di sini, susulan acara kelayakan serantau yang kami telah anjurkan pada tahun 2017 untuk memilih wakil-wakil kami bagi pertandingan tersebut.”
Cabaran ini telah menyaksikan para peserta menjalani ujian menunggang dan menavigasi di samping cabaran individu di atas landasan luar jalan berhalangan. Beberapa finalis terbaik telah terpilih untuk bersaing pada Hari ke-2 bagi merebut peluang eksklusif untuk menyertai “Follow the Trails” (FTT) Tour di Albania.
Acara yang merupakan sebahagian daripada acara International BMW GS Trophy itu akan berlangsung pada bulan Oktober ini. FTT memberi peluang kepada pemenang tersebut untuk menyusuri laluan seperti yang diguna oleh pesaing pertandingan International BMW GS Trophy 2022.
Setelah cabaran ini berlangsung selama dua hari, empat finalis telah muncul sebagai pemenang BMW Motorrad GS Challenge dan akan menuju ke Albania untuk menyertai FTT Tour yang eksklusif! Pemenang-pemenang tersebut ialah Muhairi bin Muhammad, Rosmadi bin Saad, Niranjan a/l Visuvalingam dan Elis Suriani binti Johari.
Pengeluar motosikal dari Sepanyol iaitu GasGas telah menembusi pasaran Malaysia di bawah Eurotech Wheel Distribution Sdn Bhd selaku pengedar rasmi.
EC 350F
Untuk permulaan, syarikat itu melancarkan empat model enduro iaitu EC 250, EC 300, EC250F dan EC350F, serta dua model motocross iaitu MC 250 dan MC250F.
EC 250 dan EC 300 merupakan model dua lejang yang dikuasakan oleh enjin silinder tunggal berkapasiti berbeza iaitu 249 cc dan 293.2 cc. Selain itu, kedua-dua model ini juga mempunyai berat yang sama iaitu 105.8 kg.
Selain itu, kedua-duanya didatangkan dengan kelengkapan yang sama yang merangkumi fork terbalik WP XPLOR pada bahagian depan, monoshock belakang WP XACT, sistem klac hidraulik Braktec, serta bar hendal, grip dan pendikit Neken.
EC 250F
EC 250F dan EC 350F hadir dengan kelengkapan yang sama, cuma kedua-duanya mempunyai enjin empat lejang, masing-masing berkapasiti 249.9 cc dan 349.7 cc dengan satu silinder. Kesemua model enduro ini mendapat transmisi enam kelajuan.
Sementara itu, model motocross iaitu MC 250 hadir dengan enjin dua lejang silinder tunggal bersesaran 249 cc, manakala MC 250F dengan enjin empat lejang 249.9 cc. Transmisi untuk kedua-dua model ini adalah unit lima kelajuan yang dibantu oleh klac hidraulik Brembo.
MC 250
Casis pula terdiri daripada kerangka jenis ‘double cradle’ yang digandingkan dengan fork terbalik WP XACT dan monoshock WP XACT. Sistem brek sama iaitu cakera bersaiz 260 mm di hadapan dan 220 mm di belakang.
Apa yang tidak sama adalah berat kering iaitu 95.5 kg untuk MC 250 dan 99 kg untuk MC 250F. Kapasiti tangki bahan api juga berlainan iaitu 7.5 liter untuk MC 250, 0.5 liter lebih besar berbanding tangki yang terdapat pada versi F.
Berikutan tersebarnya gambar Perodua Ativa Hybrid sedang menjalani ujian jalan raya, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad telah mengesahkan bahawa syarikat itu akan menawarkan model itu secara langganan kepada pelanggan terpilih.
Sumber foto: Danson Yoong/Facebook
Bercakap dalam sidang media khas di Kota Bharu baru-baru ini, Dato’ Sri Zainal berkata Ativa Hybrid dibawa masuk untuk kajian dan penilaian pasaran dari sudut pandangan pelanggan. Sebanyak 300 unit Ativa Hybrid akan diimport dari Jepun untuk tujuan tersebut.
Tambah beliau lagi, syarikat itu akan memberi keutamaan kepada pelanggan yang sudah membuat tempahan Ativa tapi masih belum mendapat kereta mereka. Pelanggan yang terpilih perlu menandatangani perjanjian bahawa pemanduan mereka akan dipantau oleh Perodua menerusi penggunaan sistem telematiks GPS.
Sumber foto: Danson Yoong/Facebook
Selain itu, mereka juga perlu membayar pendahuluan berjumlah RM2,150 dan yuran bulanan sebanyak RM500 selama 60 bulan. Kos-kos seperti cukai jalan, insurans dan servis pula akan ditanggung sepenuhnya oleh Perodua.
Dato’ Sri Zainal berkata menerusi program ini, Perodua akan mengkaji tahap penerimaan orang ramai terhadap program langganan kenderaan.
Sumber foto: Twitter
Apa pendapat anda? Adakah program langganan seperti ini masa depan dalam pemilikan kenderaan?
ISUZU Malaysia kini mempamerkan trak pikap mereka yang telah memenangi pelbagai anugerah, iaitu D-Max sebagai kenderaan rasmi KL Fashion Week (KLFW) 2022.
Tema KLFW 2022 tahun ini, “The Bigger, The Better” dilihat bersesuaian dengan imej dan intipati yang dibawakan oleh Isuzu D-Max generasi ketiga ini.
“Dengan rekaan canggih, kelengkapan penuh serta kemampuan untuk melakukan apa jua di mana saja, Isuzu D-Max mencabar norma kebiasaan dan membolehkan anda untuk mengukir memori tersendiri dengannya,” ujar Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo.
“Bersama KLFW, kami ingin membawakan rekaan imaginatif yang mengilhami ini selangkah lagi ke hadapan dan untuk dikongsi bersama khalayak.”
Unit yang dipamerkan merupakan varian Isuzu D-Max X-Terrain sebagai penaja Kenderaan Gaya Hidup Terulung untuk acara berkenaan.
D-Max dilengkapi pelbagai ciri praktikal seperti kamera 360-darjah, pengecas telefon tanpa wayar, sambungan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar serta ciri Advanced Driving Assist System (ADAS).
Isuzu D-Max X-Terrain akan ditampilkan dalam acara KLFW tahun ini yang akan bermula pada 15 hingga 21 Ogos 2022 di Pavilion Kuala Lumpur.
Tiga unit Isuzu D-Max X-Terrain akan dipamerkan di pusat ibu kota dengan warna berbeza. Valencia Orange membawakan tema kembara, Onyx Black untuk tema premium, manakala Silky Pearl White mencerminkan kompleksiti dan kepintaran.
Anda boleh lihat kesemua Isuzu D-Max ini dengan lebih dekat di laluan pejalan kaki utama di tiga lokasi berbeza iaitu di ruang legar air pancut Pavilion, satu di laluan penghubung ke Quivio dan satu lagi di seberang jalan di hadapan Fahrenheit.
DENGAN negara memasuki fasa endemik dan banyak sekatan dilonggarkan, ramai yang mula kembali dengan aktiviti sebelum ini. Tidak kurang juga yang telah berkecimpung dalam hobi baharu.
Bagi penggemar kereta yang mahukan kenderaan yang selesa dipandu ke tempat kerja seharian tetapi juga sesuai untuk aktiviti lasak hujung minggu, anda pasti mahu mengetahui lebih lanjut mengenai Ford Ranger generasi baharu 2022.
Berikut kami kongsikan tujuh cara Ford Ranger generasi baharu menjadi kenderaan sesuai untuk kehidupan harian anda.
1. Teman gaya hidup Ranger paling dipercayai
Bahagian belakang Ford Ranger generasi baharu. Imej oleh: Ford
Ford Ranger sentiasa mendahului bukan saja dalam segmen pikap tetapi juga sebagai kenderaan gaya hidup.
Namun apa yang benar-benar membezakannya dengan kenderaan lain adalah semangat, minat dan nilai yang dikongsi oleh mereka yang bercita-cita untuk memilikinya.
Sebagai teman setia untuk kerja, keluarga dan riadah, Ranger memberikan platform untuk anda menyertai komuniti Ford Ranger Getaways untuk berkumpul dan menikmati pengalaman serta gaya hidup bersama.
2. Skrin infotainmen besar dengan paparan kamera 360-darjah
Bergantung kepada varian, Ford Ranger generasi baharu dilengkapi skrin infotainmen bersaiz sehingga 12-inci. Imej oleh: Ford
Ford Ranger generasi baharu dilengkapi skrin infotainmen besar bersaiz sehingga 12-inci, terbesar dalam kelasnya.
Unit infotainmen ini menampilkan sistem komunikasi dan hiburan SYNC4 yang terkini yang mempunyai pelbagai fungsi seperti maklumat cuaca dan navigasi.
Sebagai tambahan, varian WildTrak mendapat kamera 360-darjah, berguna untuk memandu di jalan bandar dan ruang parkir sempit, serta mengemudi di permukaan off-road yang mencabar.
3. Kluster instrumen digital
Kluster instrumen digital sepenuhnya. Imej oleh: Ford
Ford Ranger generasi baharu didatangkan dengan kluster instrument digital sepenuhnya dan boleh dilaras untuk memaparkan pelbagai maklumat mengikut keperluan.
Terdapat juga ciri dimana anda boleh memilih grafik dengan pilihan avatar realistik mengikut mood anda pada satu-satu masa.
4. Ciri keselamatan terkini
Ford Ranger generasi baharu dilengkapi ciri keselamatan seperti Lane Change Warning Aid. Imej oleh: Ford
Keselamatan adalah hal paling utama sama ada anda bekerja atau bersama keluarga. Dan untuk itu, Ford Ranger generasi baharu tampil dengan barisan ciri keselamatan terkini.
Tambahan lagi, Ranger generasi baharu hadir dengan Advanced Driving Assists System (ADAS) yang merangkumi sistem seperti Evasive Steer Assist, Lane Change Warning and Aid, Adaptive Cruise Control dengan Stop-and-Go, dan High Beam Assist.
5. Rekaan dalaman seperti SUV premium
Rekaan kabin yang luas, selesa, dan premium. Imej oleh: Ford
Hanya kerana anda memiliki pikap, tidak bermakna anda perlu berkompromi untuk keselesaan. Ford Ranger generasi baharu direka dengan permukaan lembut untuk kabin dalaman, serta luas dan selesa seperti SUV premium.
6. Rekaan luaran baharu lebih menonjol
Rekaan kabin yang luas, selesa, dan premium. Imej oleh: Ford
Sekilas pandang, Ford Ranger generasi baharu ini kelihatan cukup menonjol dan gagah, sesuai dengan motto jenama ini – Built Ford Tough.
Ciri utama pada rupa luaran Ranger baharu termasuklah lampu LED matriks berbentuk C (varian terpilih), fender tayar yang menonjol, dan palang gril melintang yang memberikan impresi gagah.
7. Kuasa dan prestasi
Enjin EcoBlue dengan output 210PS dan 500Nm bukan sahaja berkuasa, tetapi juga cekap penggunaan bahan api. Imej oleh: Ford
Ford Ranger generasi baharu dikuasakan oleh enjin 2.0-liter turbodiesel yang menjana 210PS dan 500Nm tork, cukup untuk anda yang menggunakan trak pikap ini untuk perniagaan atau kenderaan komersial.
Enjin EcoBlue ini bukan sahaja memberikan kuasa dan prestasi, tetapi juga penjimatan bahan api.
Untuk maklumat lanjut berkenaan Ranger generasi baru dan jadual acara pelancaran, SDAC dan Ford, anda boleh ikuti Facebook, Instagram, Twitter dan Youtube Ford Malaysia atau terus ke sini.
GERAKAN solidariti ‘rider’ penghantar makanan hari ini akan melakukan boikot selama 24 jam susulan pengurangan kadar upah mereka oleh syarikat penyedia perkhidmatan.
Boikot berkenaan dimaklumkan menerusi satu posting yang dimuat naik di akaun twitter #PartTimeKL semalam sebagai tanda solidariti kepada penghantar makanan.
Posting berkenaan menjelaskan penghantar makanan tidak akan beroperasi selama sehari esok (Jumaat).
“Solidariti untuk rakan-rakan rider frontliner @GrabMY & @foodpanda_my yang akan mogok satu hari esok. Yang mana tak dapat avoid, expect order delay/cancelled,” katanya.
Difahamkan tindakan itu diambil berikutan harga makanan yang dihantar naik tetapi kadar upah penghantaran dikurangkan oleh syarikat penyedia perkhidmatan.
“Dah la makanan anda semakin mahal, fare kami pula makin sedikit,” katanya.
Sementara itu, salah seorang penghantar makanan separuh masa di kawasan Lembah Klang yang namanya enggan dikenali berkata, gerakan tersebut akan menyebabkan banyak permintaan pelanggan terkesan dan berkemungkinan terpaksa dibatalkan.
Gambar oleh: Malay Mail
Bagaimanapun, katanya, situasi tersebut juga secara tidak langsung memberi kelebihan kepada penghantar makanan lain yang bekerja pada Jumaat kerana mereka dapat menjana lebih banyak pendapatan.
“Memang saya tahu mengenai boikot itu, dan kebanyakannya disertai oleh ‘rider’ penghantar makanan sepenuh masa esok.
“Tetapi untung pada yang bekerja pada esok sebab apabila ‘rider’ tak banyak, permintaan tinggi, jadi ‘rider’ dapat lebih banyak kerja berbanding hari-hari biasa,” tambahnya.
PHS Automotive Malaysia (PHSAM) dan pengedarnya Goh Brothers Motor Sdn Bhd mengumumkan pembukaan semula Audi Centre Setia Alam.
Fasiliti empat tingkat bertaraf 4S itu menempatkan kemudahan jualan, servis, alat ganti, serta cat dan badan untuk jenama Jerman itu.
Audi Centre Setia Alam mempunyai keluasan 60,000 kaki persegi, dan menampilkan rekaan senibina Audi Terminal yang kontemporari dan suasana nyaman. Tambahan lagi, segala kemasan, perabot dan pencahayaan juga menepati tema ini.
Fasiliti 4S ini juga menempatkan 12 unit kereta pameran, ditemani staf-staf yang akan membantu anda mendapat maklumat diperlukan. Sementara itu di ruangan lain, terdapat 17 ruang servis dengan kemampuan menyelenggara sehingga 34 kereta sehari.
Erik Winter, pengarah urusan PHSAM berkata, “Kepuasan pelanggan sentiasa penting, dan ini menjadikan pemberian pengalaman pelanggan sebagai keutamaan kami.”
“Untuk ini, penting supaya kami bekerjasama dengan rakan kongsi kami untuk memastikan penambahbaikan berterusan untuk baahgian jualan dan selepas jualan bagi pelanggan Audi,” tambahnya.
Audi Centre Setia Alam terletak di lokasi strategik dan akan memberikan akses kepada pelanggan sekitar termasuk Shah Alam dan Klang.
Untuk kemudahan pelanggan juga, Audi Centre ini dilengkapi dengan ruang menunggu selesa, WiFi, dan ruang penyerahan khas untuk pengalaman unik kepada pelanggan.
Untuk promosi sempena pembukaan semula ini, Audi Centre Setia Alam juga menawarkan diagnostik 20-poin percuma bernilai RM300 untuk pelanggan terpilih, sah sehingga 31 Ogos 2022.
Semua kereta-kereta Audi yang dibeli disokong dengan jaminan 5-tahun tanpa had perbatuan, servis percuma 3-tahun, dan bantuan tepi jalan 5-tahun.
Audi Centre Setia Alam terletak di 22A, Persiaran Setia Dagang, Setia Alam, Selangor. Ia dibuka dari Isnin hingga Ahad (8:30 pagi hingga 5:30 petang), manakala untuk servis selepas jualan dibuka dari Isnin hingga Sabtu (8:30 pagi hingga 5:30 petang).
MITSUBISHI Motors Malaysia (MMM) hari ini memperkenalkan edisi khas untuk Triton iaitu Phantom Plus Edition. Ia hadir dengan pelbagai aksesori yang menaikkan lagi serinya, menampakkan Triton ini lebih rugged dan lasak.
Mitsubishi Triton Phantom Plus Edition boleh didapati dengan warna eksklusif Jet Black Mica dan terhad kepada 1,000 unit sahaja.
Di bahagian luaran, aksesori khas untuk Phantom Plus ini adalah bampar depan dan belakang khas berwarna hitam-merah, kemasan sisi pintu, dan rim aloi hitam 18-inci dengan tayar All-Terrain Yokohama Geolandar.
Terdapat juga Tailgate Assist, dekal badan Phantom Plus, spoiler khas di ruang kargo, dan paling menarik, lampu bumbung LED.
Di bahagian dalam, trak pikap ini mendapat tempat duduk balutan kulit dengan jahitan bertulis “Phantom Plus”, perakam video (dashcam), pemijak sisi dengan tulisan “TRITON”, karpet rekaan khas, dan sistem infotainmen berskrin 9-inci dengan sambungan Android Auto dan Apple Carplay.
Tiada perubahan pada enjin dan kotak gear, jadi Triton Phantom Plus Edition ini dipacu oleh unit 2.4-liter MIVEC dengan output 181hp dan 430Nm tork.
Kuasa disalurkan ke semua roda melalui kotak gear automatik 6-kelajuan, dan sistem pacuan semua-roda 4WD dengan sistem Easy Select.
Untuk keselamatan, tiada sistem ADAS seperti pada Triton Athlete, tetapi edisi khas ini masih dilengkapi dengan ciri seperti ABS, EBD, Brake Assist, Active Stability Control, Traction Control, Rest Reminder, Hill-Start Assist, dan Trailer Stability Assist.
Mitsubishi Triton Phantom Plus Edition dijual pada harga RM139,700, dan hadir dengan jaminan 5-tahun atau 200,00km (yang mana dahulu).
PERODUA memaklumkan bahawa Alza serba baharu telah menerima tambahan 9,000 tempahan pada bulan Julai, menjadikan tempahan keseluruhan sebanyak 39,000 sejak ia dibuka pada Jun lalu.
Setakat ini, kira-kira 4,000 unit MPV tujuh tempat duduk itu telah diserahkan kepada pelanggan. Tempoh menunggu pula dianggarkan antara lapan hingga 10 bulan berdasarkan kapasiti pengeluaran iaitu 3,000 unit sebulan.
Perkara ini disahkan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad dalam satu sidang media khas di Kota Bharu hari ini (4 Ogos 2022).
Menurut Dato’ Sri Zainal, daripada jumlah tempahan tersebut, kira-kira 70% pelanggan memilih untuk mendapatkan kit badan GearUp yang menawarkan kelengkapan tambahan dan penampilan lebih sporti.
Dalam pada itu, Perodua berkata permintaan untuk model-model keluarannya kekal kukuh dengan tempahan mencecah 24,265 unit pada bulan lalu.
Selain itu, jualan Januari hingga Julai juga amat memberangsangkan dengan peningkatan sebanyak 48.7% kepada 145,689 unit berbanding 97,945 unit yang dijual pada jangkamasa sama pada tahun lepas.
Dato’ Sri Zainal berkata terdapat dua faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan jualan ini.
“Faktor pertama disebabkan oleh permintaan yang tinggi bagi kenderaan kami kerana pembeli ingin mendapat harga pelepasan cukai jualan yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan.”
“Faktor kedua merupakan kesan penutupan hampir kesemua sektor pada bulan Jun hingga pertengahan Ogos 2021 bertujuan untuk membendung wabak Covid-19 pada masa itu,” kata beliau.
Tambah Dato’ Sri Zainal lagi, bilangan tempahan kenderaan baharu, walaupun tidak setinggi prestasi Januari hingga Jun tahun ini, adalah lebih baik daripada apa yang dijangkakan. Ini membuktikan bahawa industri automotif masih ada potensi yang cerah.
VOLKSWAGEN Passenger Cars Malaysia (VPCM) memperkenalkan varian ketiga untuk Tiguan Allspace facelift, iaitu 1.4 TSI Life. Varian ini akan menyertai dua lagi versi iaitu 1.4 TSI Elegance dan 2.0 TSI R-Line 4Motion yang diperkenalkan sebelum ini.
Secara visual, Volkswagen Tiguan Allspace 1.4 TSI Life berkongsi rekaan facelift termasuklah lampu LED baharu, kemasan ‘Allspace’, perumah cermin sisi berwarna perak, dan rim aloi 18-inci Frankfurt.
Tiada perubahan besar pada bahagian kabin dimana varian 1.4 TSI Life ini juga mendapat konfigurias tujuh tempat duduk dan ruang but sehingga 1,775 liter.
Ciri lain merangkumi sistem infotainmen Discover Pro bersaiz 9.2-inci dengan ketersambungan aplikasi tanpa wayar, sistem navigasi, kawalan suara, pendingin hawa Climatronic tiga-zon dan stereng sport multi-fungsi dibalut kulit.
Tiguan 1.4 TSI Life dikuasakan oleh enjin 1.4-liter turbo yang menjana 150PS dan 250Nm tork. Output dihantar ke roda depan melalui kotak gear DSG 6-kelajuan. Gabungan ini penggunaan bahan api serendah 7.7L/100km.
Aspek keselamatan tidak dikompromi, dimana Tiguan ini juga mendapat kelengkapan menyeluruh. Ini termasuklah enam beg udara, Electronic Stability Control (ESC), Anti-lock Braking System (ABS), Brake Assist (BA), Intelligent Crash Response System (ICRS), Lane Assist dan sistem-sistem Driver Alert.
Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter berkata: “Dengan Life, kami menawarkan sebuah SUV berprestasi tinggi yang akan memberikan nilai terbaik kepada pelanggan. Ia juga boleh menjadi pilihan ideal untuk keluarga muda yang ingin membeli kenderaan mereka.”
Tiguan Allspace 1.4 TSI Life ditawarkan pada harga RM172,990 dan hadir dengan jaminan 5-tahun tanpa had perbatuan, bantuan tepi jalan 5-tahun, dan penyelenggaraan percuma 3-tahun. Lima warna boleh dipilih iaitu Atlantic Blue, Platinum Grey, Pyrite Silver, Deep Black, dan Oryx White.
Tempahan serta pandu uji kini boleh dibuat di semua pengedar sah Volkswagen di seluruh negara. Untuk maklumat lanjut, layari www.volkswagen.com.my.
BARU beberapa minggu selepas Perodua Alza 2022 dilancarkan, sudah terdapat sebuah MPV baharu itu dilaporkan terlibat dalam kemalangan.
Tular sejak semalam beberapa keeping foto menunjukkan Alza 2022 berwarna Elegant Black itu remuk setelah berlanggar secara berdepan dengan sebuah SUV Hyundai.
Dalam kejadian yang dilaporkan berlaku di Kampung Sungai Dua, Gemencheh, Negeri Sembilan itu, Alza itu dikatakan milik seorang guru dan baru dimiliki sejak dua hari lepas. Bau kedai pun belum hilang!
Menurut komen-komen di media sosial juga, kejadian berpunca dipercayai selepas sebuah Proton Saga keluar dari simpang secara melili, menyebabkannya melanggar SUV Hyundai dan Perodua Kancil.
Hyundai itu pula kemudiannya terbabas dan bertembung dengan Alza.
Dikatakan juga guru yang memandu Perodua Alza itu mengalami kecederaan di bahagian lutut.
Setakat ini tiada maklumat terperinci atau kenyataan dari pihak berkuasa berhubung insiden ini.
Apa pun, semoga semua mereka yang terlibat bersabar dan redha serta dipermudahkan urusan.
Di samping tiga model baharu KTM, Eurotech Wheel Distribution Sdn Bhd turut membawa masuk jentera adventure touring keluaran Husqvarna iaitu Norden 901. Model ini dijual pada harga RM98,800, kira-kira RM2,000 lebih mahal berbanding KTM 890 Adventure.
Menguasakan Norden 901 adalah enjin 889 cc DOHC dua silinder sebaris yang menghasilkan 105 hp dan 100 Nm. Fungsi Easy Shift membolehkan penunggang menaikkan dan menurunkan gear tanpa perlu menggunakan klac, manakala Power Assist Slipper Clutch (PASC) memastikan tayar belakang tidak tergelincir.
Enjin berkenaan ditempatkan di dalam kerangkan trellis yang ringan yang digandingkan dengan sistem suspensi WP Apex boleh laras. Rim bersaiz 21 inci di depan dan 18 inci di belakang memberikan jentera ini tunggangan yang lebih meyakinkan terutamanya ketika menempuh permukaan muka bumi yang mencabar.
Selain itu, jarak lega tanah adalah 252 mm, manakala tempat duduk berada pada ketinggian 854 mm dari tanah. Motosikal ini mempunyai tangka bahan api berkapasiti 19 liter dan berat keseluruhan 204 kg.
Bagi membantu penunggang berdepan dengan situasi ekstrem, Norden 901 dilengkapi dengan mod tunggangan Street, Rain, Offroad dan Explorer, Cornering Motorcycle Traction Control (MTC) dan juga Cornering ABS dengan mod Street dan Offroad.
Ciri Cruise Control disertakan sebagai kelengkapan standard, manakala sistem pemantau tekanan tayar (TPMS), pemanas grip dan tempat duduk serta sistem navigasi ditawarkan sebagai opsyen.
Eurotech Wheel Distribution Sdn Bhd menghangatkan pasaran motosikal tempatan dengan pelancaran tiga model KTM baharu untuk tahun 2022 iaitu 890 Duke R, 890 Adventure dan RC 200. Ketiga-tiga model ini boleh didapati menerusi wakil pengedar jenama itu bermula September depan.
KTM 890 Duke R (RM75,800)
Diberi jolokan ‘The Super Scalpel’, 890 Duke R dikuasakan oleh enjin dua silinder sebaris bersesaran 889 cc yang telah ditala bagi menjana 121 hp dan 99 Nm tork. Ia dipadankan dengan transmisi enam kelajuan yang dilengkapi dengan klac PASC ‘antihopping’,
Untuk sistem suspensi, jentera ini menggunakan fork dan penyerap hentak monoshock jenis WP Apex pada bahagian depan dan belakang. Sistem brek pula merangkumi angkup Brembo Stylema monobloc yang menggigit cakera berukuran 320 mm.
Kawalan elektronik dibekalkan menerusi empat mod tunggangan (Sport, Street, Rain dan Track), ABS dwi-saluran, Cornering ABS serta Traction Control. Slip Regulation pula ditawarkan sebagai opsyen.
KTM 890 Adventure (RM96,800)
Motosikal pengembaraan ini berkongsi ‘nadi’ yang sama dengan 890 Duke R namun jumlah kuasanya dikurangkan sebanyak 18 hp kepada 103 hp. Bagaimanapun, tork menyaksikan peningkatan kecil iaitu dari 99 Nm kepada 100 Nm.
Selain enjin, model ini juga dilengkapi dengan sistem suspensi WP Apex yang sama namun fork dan monoshock tersebut mempunyai jarak pergerakan (travel) yang lebih panjang iaitu 200 mm. Tiada angkup brek Brembo Stylema di sini tetapi ABS dwi-saluran dikekalkan.
Penambahan turut diberikan pada sistem elektronik di mana 890 Adventure mendapat ciri mod tunggangan Off-Road dan Off-Road ABS. Terdapat juga mod Rally namun ia hanya boleh dipesan sebagai ciri tambahan.
KTM RC 200 (RM15,888)
Untuk model 2022, jentera supersport berkapasiti kecil ini diberikan beberapa penambahbaikan yang melibatkan aspek reka bentuk, aerodinamik dan mekanikal.
Dibantu oleh kotak udara yang 40% lebih besar, enjin 200 cc silinder tunggal yang digunakan oleh RC 200 kini mampu menghasilkan 25 hp dan 19.5 Nm. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi enam kelajuan.
Disebalik fairing yang direka mengikut acuan jentera lumba RC16, model ini mempunyai kerangka baharu yang lebih ringan berbanding sebelum ini dengan perbezaan sebanyak 1.5 kg. Bukan itu sahaja, rimnya juga 3.4 kg lebih ringan.