STOK Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) adalah mencukupi sehingga akhir tahun ini.
Jaminan diberikan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selain yakin tidak akan berlaku sebarang masalah berhubung isu pembekalan serta pengedaran LMM dan LKM.
JPJ dalam satu kenyataan memaklumkan stok dimiliki PUSPAKOM Sdn Bhd (PUSPAKOM), Pos Malaysia dan MY E.G. Services Bhd (MYEG) juga mencukupi.
“Sepanjang Ogos lepas, pihak JPJ telah membekalkan sejumlah stok dokumen terkawal yang mencukupi kepada semua rakan strategik JPJ.
“Ini termasuklah sebanyak 450,000 stok LKM Motokar dan 8,400 stok LKM Motosikal serta 6,600 stok LMM diberikan kepada MyEG.
“Pos Malaysia pula menerima 385,000 stok LKM Motokar, 287,999 LKM Motosikal dan 300,000 LMM.
“Manakala PUSPAKOM diberikan 5,500 stok LKM Motokar,” menurut kenyataan itu.
Setakat ini, MyEG masih memiliki 100,827 stok LKM Motokar, 10,843 LKM Motosikal dan 26,648 LMM.
Pos Malaysia mempunyai 365,518 LKM Motokar, 142,871 LKM Motosikal dan 789,274 LMM.
Manakala PUSPAKOM pula memiliki 11,950 LKM Motokar.
Semalam, Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim membuat lawatan mengejut di Pejabat Pos Malaysia, Sri Kembangan bagi melihat pengoperasian urus niaga JPJ.
KEMENTERIAN Kewangan mengarahkan institusi perbankan negara ini segera memberikan pengecualian faedah bayaran bagi penerima moratorium pinjaman bank.
Memetik laporan The Edge, ia melibatkan penerima moratorium dari segmen B50.
Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pengecualian bayaran faedah akan diberikan selama tempoh tiga bulan dalam suku keempat tahun 2021.
Jun lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjadi perdana menteri mengumumkan moratorium pinjaman bank untuk tempoh enam bulan kepada semua warga negara Malaysia.
Ia adalah inisiatif di bawah pakej Pemulih seperti yang diberikan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama, tahun lalu.
Individu hanya perlu memohon dengan bank bagi membolehkan penangguhan bayaran kepada tarikh kemudian tanpa pengecualian daripada kadar faedah.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata langkah diambil kerajaan ini diharap dapat memulihkan keadaan ekonomi yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
“Perubahan terhadap peraturan ini akan dibentang di Dewan Rakyat pada Oktober.
“Ia untuk mengukuhkan sistem kesihatan awam sekaligus mengekang Covid-19. Pada masa sama dapat memperbaiki bantuan tunai secara langsung kepada rakyat,” katanya.
TENGKU Muda Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim baru-baru ini tiba ke Stadium Sultan Ibrahim dengan menaiki Lincoln Navigator.
Tunku Ismail hadir ke stadium itu untuk acara ‘In-Car Viewing Party’ bagi menyambut kejayaan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) bergelar juara Liga Super kali kelapan berturut-turut.
JDT menamatkan musim 2021 dengan menjulang trofi Liga Super selepas menewaskan KL City 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim.
Kemenangan itu merupakan kemenangan ke-18 buat JDT, selain mencatatkan keputusan seri 3 kali dan hanya kalah sekali.
Kelab itu telah memenangi Liga Super sejak 2014 diikuti dengan 2015, 2016, 2017, 2018, 2019 dan 2020.
Lincoln Navigator yang dinaiki Tunku Ismail mempunyai nombor plat bertulis ‘JOHOR’ dengan warna serba hitam dan kemasan krom.
Navigator ialah model paling mewah dan besar dari penawaran jenama Amerika Syarikat (AS) ini, dengan ukuran panjang 5,639mm, tinggi 1,930mm, dan lebar 2,029mm.
Sebagai perbandingan, Lincoln Navigator ini lebih panjang dari Mercedes S-Class (5,246mm) dan lebih tinggi dari Honda CR-V (1,689mm).
Model 2021 dikuasakan oleh enjin 3.5-liter V6 twin-turbo yang mampu menghamburkan sekitar 450hp pada 5,500rpm dan 691Nm tork.
Bergantung kepada varian, Navigator mempunyai versi pacuan semua-roda 4×4 dan pacuan dua-roda 4×2, tetapi semua varian menggunakan kotak gear automatik 10-kelajuan.
Lincoln Navigator dilengkapi gril besar dengan Active Grill Shutter, lampu LED, sistem pendingin hawa tiga-zon, kemasan kayu, Co-Pilot360, Active Noise Control, paparan instrumen digital 12-inci, dan pelbagai lagi ciri mewah.
SUV ini mempunyai harga permulaan USD77,000 (RM319,896) di AS, tetapi jika ditambah pelbagai pilihan kelengkapan, pasti harganya jauh lebih tinggi.
SUBARU boleh dikatakan satu jenama untuk enthusiast. Cara mereka buat kereta berbeza sedikit dari pengeluar lain, dan hasilnya selalu kereta yang mempunyai gaya pemanduan unik, dihargai oleh driving enthusiasts.
Dan ini menjadikan Subaru sebuah jenama yang cool. Jom kita tengok dengan lebih mendalam kenapa Subaru cool dan best, kami senaraikan lima hujah.
1. Enjin Boxer
Semua kereta Subaru tidak kira sedan, sports sedan, sports coupe, roadster, malah SUV, menggunakan enjin dengan konfigurasi Boxer.
Enjin Boxer ialah silinder dalam kedudukan mendatar, dan dua piston kiri dan kanan bergerak berlawanan arah (dari kiri dan kanan bertemu di tengah).
Enjin ini yang leper dan rendah memindahkan kuasa ke transmisi dengan lebih menerus (direct), kurang komponen tambahan, jadi kurang juga drivetrain loss. Lebih cekap.
Binaan yang leper juga mempunyai pusat graviti lebih rendah, pengendalian lebih baik dan stabil. Sebab itu walaupun Forester dan XV merupakan SUV, pengendalian tetap cukup mantap.
Boxer juga mempunyai agihan berat kiri dan kanan yang sekata, juga menyumbang kepada pengendalian yang baik.
2. Symmetrical All-Wheel Drive
Symmetrical AWD atau pacuan semua-roda ini berbeza dari sistem AWD atau 4WD lain. Disebabkan Subaru menggunakan enjin Boxer, flywheel berada di tengah, maka kotak gear juga di tengah. Ini membolehkan driveshaft kiri dan kanan sama panjang, jadi penghantaran kuasa juga lebih sekata dan seimbang.
Symmetrical AWD juga satu sistem pacuan semua-roda sepenuh masa. Sistem ini disokong pula oleh X-Mode yang membantu beri cengkaman lebih baik di permukaan mencabar.
Dalam lineup Subaru sekarang, semua model ada SAWD kecuali BRZ.
3. Legenda rali
Subaru Impreza 555. Sumber: Youtube
Tak sah kalau cerita Subaru tanpa sentuh dunia rali. Lancia mungkin ada jumlah kemenangan paling banyak, tapi akhir 90-an, Subaru Impreza memang menyerlah. Menang kategori pengeluar tiga tahun berturut-turut dari 1995 hingga 1997.
Masa ni Subaru bersaing sengit dengan Mitsubishi, dan menjadikan road car mereka (Impreza dan Evo) juga sering dibandingkan bersama. Traditional rivalries.
Disebabkan kemenangan ini dan juga ulangtahun ke-40 mereka, Subaru menghasilkan Impreza yang dikatakan paling legenda dan desirable, iaitu Impreza 22B STI.
Ia bukan seperti Impreza sebelum itu yang mempunyai 4-pintu, tetapi khas kali ini Impreza dikeluarkan dengan 2-pintu, badan lebar di belakang, memang nampak muscular dan laju.
Enjin 2.2-liter Boxer-nya menghasilkan 280hp, dan 22B ini juga dilengkapi rim BBS 17-inci berwarna emas, brek STi, dan differential tengah dengan kawalan elektronik.
4. Forester STI
Subaru Forester STI. Sumber: Autogesport
Disebabkan penglibatan dan pengetahuan Subaru dalam dunia dan teknologi rali, mereka ada memindahkannya kepada kereta yang boleh kita beli.
Dan kadang-kadang ia dijelmakan kepada kereta wagon atau SUV, sebagai contoh Forester STi.
Apa mereka buat ialah ambil Impreza WRX STi, cabut body, dan letak body Forester. Hasilnya, anda dapat sebuah wagon dengan prestasi Impreza.
Tapi jelas tak nampak rupa baik sangat Forester STI ni dengan rim besar, skup atas hud, dan ekzos besar. Dikuasakan enjin 2.5-liter turbo, kotak gear manual 6-kelajuan, standard menjana 260hp.
5. Rupa dan rekabentuk ikut kepala sendiri
Dengan penggunaan Symmetrical All-Wheel Drive dan enjin Boxer, Subaru ni memang pengeluar yang degil dan ikut kepala sendiri. Macam Mazda.
Jadi boleh tengok rekabentuk pun ikut kepala sendiri. Bersegi, ada ruang-ruang kemasukan udara besar, dan rendah.
XV sebagai contoh, antara crossover paling mantap pengendaliannya, tapi ruang but sangat kecil sebab ada differential untuk SAWD. BRZ dan MX-5 pun dapat direka dengan hud rendah sebab enjin Boxer yang leper.
Anda setuju dengan lima perkara yang buatkan Subaru cool? Jemput tonton video di bawah untuk lebih penerangan dan maklumat lanjut.
NEGERI Sabah masih tertakluk dengan prosedur operasi standard (SOP) Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Ia sekaligus menyaksikan penduduk negeri itu belum lagi dibenarkan melakukan pergerakan rentas daerah.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata, pergerakan rentas daerah hanya dibenarkan untuk tujuan kecemasan dan lain-lain urusan penting.
“Pergerakan rentas daerah masih tidak dibenarkan kecuali dengan tujuan antaranya kecemasan, pekerjaan dengan surat majikan, janji temu vaksin, perkhidmatan perlu, pasangan jarak jauh dan ibu bapa melawat anak bawah 18 tahun,” katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial bahawa pergerakan rentas daerah telah dibenarkan di Sabah.
Semakan mendapati, dakwaan itu adalah notis lama dikeluarkan pada tahun lepas.
Terdahulu, Idris menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan berita tidak sahih atau palsu.
Ini kerana jika didapati bersalah boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dengan denda maksimum RM50,000 serta penjara setahun.
KUMPULAN UMW mencatatkan 9,512 unit jualan automotif pada Ogos lalu.
Jumlah itu melonjak daripada 2,105 unit yang didaftarkan pada Julai susulan pembukaan semula operasi bilik pameran dan kilang pemasangan automotif ketika ini.
UMW Corp Sdn Bhd berkata, UMW Toyota Motor (UMWT) dan syarikat sekutunya Perodua mencatatkan jualan baik pada Ogos walau beroperasi selama setengah bulan.
UMWT mencatatkan jualan kenderaan sebanyak 2,524 unit iaitu bersamaan 74 peratus lebih tinggi berbanding 1,450 unit pada Julai.
Model Toyota Vios, Yaris dan Hilux menjadi kenderaan terlaris secara kumulatif, sekaligus menyumbang kepada 69 peratus daripada jumlah jualan.
Vios antara model mendapat permintaan tinggi di negara ini. – Foto ihsan Toyota
Sementara itu, Perodua mencatatkan jualan kenderaan 6,988 unit pada Ogos 2021.
Ia jauh lebih tinggi berbanding 655 unit yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.
Bagi tempoh lapan bulan pertama 2021, Perodua mencatatkan jualan kenderaan sebanyak 104,933 unit.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Bhd berkata, syarikat itu menjangka momentum penjualan automotif berterusan sehingga hujung tahun.
Perodua Ativa antara produk kualiti bertaraf dunia keluaran syarikat Perodua. – Foto ihsan Perodua
“Kami amat menghargai usaha kerajaan dalam memberikan kelonggaran terhadap sekatan pergerakan PKPP.
“Pada masa ini, kedua-dua Toyota dan Perodua mencatatkan tahap pesanan yang kukuh.
“Pembekal bagi alat ganti dan komponen domestik juga telah beroperasi semula dan pengeluaran kami disokong oleh bekalan CKD yang mencukupi,” kata Datuk Ahmad Fuaad Kenali.
Sebelum ini, kerajaan membenarkan operasi pembuatan automotif bermula 16 Ogos selaras pelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (PKPP).
MEREKA yang melancong ke Pulau Langkawi, Kedah menaiki penerbangan bermula 16 September ini tidak perlu mendapatkan surat kebenaran daripada polis, kata Khairy Jamaluddin, Menteri Kesihatan.
Sumber: Bernama
Dalam ciapan di Twitter, Khairy berkata hanya mereka yang menggunakan pengangkutan darat dari luar negeri tersebut sahaja perlu berbuat demikian.
“Bagi program perintis pelancongan ‘travel bubble’ Langkawi, surat dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tujuan rentas negeri dan sekatan jalan raya diperlukan sekiranya pelancong melalui jalan darat,” katanya.
Pada 9 September, kerajaan mengumumkan kebenaran kepada pengunjung domestic dari seluruh negara untuk mengunjungi Langkawi, kecuali mereka yang berada di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Purau peranginan di utara tanah air yang dipilih sebagai destinasi pertama projek rintis program gelembung pelancongan itu adalah terhad kepada individu yang lengkap dos vaksin Covid-19.
MAZDA telah mengemaskini CX-9 di Malaysia untuk 2021 dengan penawaran Ignite Edition yang menampilkan gaya lebih garang.
Di bahagian luar, CX-9 Ignite Edition mendapat warna hitam berkilat pada cermin sisi, gril depan, dan rim 20-inci. Kelengkapan dikekalkan seperti lampu depan dan belakang LED, DRL LED, dan penggilap cermin automatik.
Sementara itu di kabin, SUV tujuh tempat duduk ini dilengkapi tempat duduk kulit Burgundy baharu dan warna hitam pada beberapa bahagian seperti papan pemuka, dan panel pintu.
Sebagai sebuah kenderaan keluarga, teknologi hiburan tidak diabaikan. Mazda CX-9 2021 kini menerima Apple CarPlay tanpa-wayar, Android Auto, dan pengecas telefon pintar tanpa-wayar.
Ciri keselamatan pula termasuklah pakej i-Activsense yang merangkumi Adaptive LED Headlights, Blind Spot Monitoring dengan Rear Cross-Traffic Alert, Lane Departure Warning dengan Lane-Keep Assist, Driver Attention Alert, Smart City Brake Support dan Smart Brake Support baharu serta Mazda Radar Cruise Control.
Dari segi mekanikal, Mazda CX-9 mengekalkan penggunaan enjin 2.5-liter SkyActiv-G turbo yang menjana 228hp dan 420Nm tork. Anda boleh pilih pacuan dua-roda 2WD atau semua-roda AWD.
Walaubagaimanapun, kotak gear automatik 6-kelajuan adalah standard, selain G-Vectoring Control Plus (GVC Plus).
Mazda CX-9 Ignite Ediiton hadir sebagai unit CBU (diimport sepenuhnya) dari Jepun dengan pilihan warna Soul Red Crystal, Machine Gray, Snowflake White Pearl, Sonic Silver, Deep Crystal Blue dan Jet Black.
Ia boleh menjadi milik anda pada harga RM319,847.40 untuk CX-9 Ignite Edition 2.5 2WD, manakala RM336,215.40 untuk 2.5 AWD.
Model ini dilindungi oleh jaminan 5-tahun dan penyelenggaraan percuma 5-tahun atau 100,000km (yang mana dahulu).
MODENAS hari ini memperkenalkan varian motosikal Dominar D400 2021 yang telah dinaiktaraf. Model sports tourer ini menerima beberapa peningkatan teknikal, serta dua pilihan warna baharu berbanding versi asal yang dilancarkan pada tahun 2018 lalu.
Dominar D400 terbaharu ini ditawarkan pada harga RM13,997.00 (tanpa insurans dan cukai jalan).
Roslan Roskan, CEO Modenas berkata, motosikal terbaharu ini merupakan sebuah model yang dinantikan ramai, dan beliau yakin ia akan menjadi model yang digemari ramai berdasarkan peningkatan teknikal, gaya baru, serta harganya yang berpatutan.
Antara ciri naiktaraf paling menarik pada model kali ini adalah fork dengan penyerap hadapan terbalik (upside down), menggantikan fork teleskopik konvensional pada model terdahulu.
Enjin 373cc DOHC dengan teknologi DTS-i sejukan cecair menjana 40PS dan 35Nm tork pula menerima sistem ekzos dengan muncung berkembar baharu.
Dominar D400 terbaharu ini juga menampilkan cakera brek bersaiz 320mm di hadapan dan 230mm di belakang, serta dilengkapi brek ABS (Anti-lock Braking System) two-channel.
Ia turut dilengkapi penyerap hentakan tunggal Nitrox di belakang yang membolehkan penunggang membuat penalaan suspensi untuk mendapat kualiti tunggangan menepati kehendak masing-masing.
Ciri lain adalah sistem klac Assist And Slipper yang akan membantu melancarkan pertukaran gear secara mengejut.
Tampil lebih bergaya, varian ini juga menerima kemasan “tankpad” bercorak karbon baharu serta logo Dominar pada tempat duduk belakang.
Ia turut didatangkan dengan dua paparan meter LCD yang memaparkan segala maklumat seperti gear, kelajuan, jarak perjalanan, jam, rpm serta tahap minyak.
Lampu hadapan automatik pula dari jenis “LED mosaic” yang mampu memberikan pencahayaan lebih jelas pada waktu malam serta membolehkan penunggang dilihat dari jarak sejauh 1.5km.
Modenas Dominar 400 kini ditawarkan dengan dua pilihan warna baharu iaitu Savanna Green dan Charcoal Black.
Modenas Dominar 400 motosikal mampu milik untuk semua rakyat Malaysia. – Foto ihsan Modenas
EXPRESS Rail Link Sdn Bhd (ERL) akan mengoperasikan semula perkhidmatan tren KLIA Ekspress dan KLIA Transit bermula 13 September. Ia akan beroperasi secara gabungan dari 6:00 pagi hingga 10:10 malam setiap hari.
ERL berkata dalam satu kenyataan bahawa keputusan itu lanjutan dari pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang membenarkan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor untuk beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Tren akan menjalankan perjalanan dengan jarak satu jam dan jadual akan diubah mengikut keadaan untuk menampung jumlah penumpang yang bertambah, katanya.
ERL juga akan menawarkan semula Weekly TravelCard percuma untuk setiap pembelian Monthly TravelCard dengan MyKad berdaftar. Promosi ini akan berlangsung hingga 30 November untuk menggalakkan orang ramai yang kembali ke pejabat mereka untuk menggunakan pengangkutan awam.
“Monthly TravelCard memberikan penjimatan banyak untuk pengguna harian, sehingga 83 peratus,” kata kenyataan itu.
Perkhidmatan tren ERL sebelum ini dihentikan sementara bermula 4 Jun dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dengan perbincangan Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
JIKA anda berminat memiliki Perodua Ativa, anda kini boleh memilih untuk subscribe atau langgan SUV kompak itu dengan Flux. Dengan promosi Merdeka, mereka menawarkan langganan RM57 untuk bulan pertama.
Untuk masa ini, Flux mempunyai Perodua Ativa 1.0H iaitu varian pertengahan yang berharga RM66,100. Ia dikuasakan oleh enjin 1.0-liter 3-silinder turbo yang menjana 97hp dan 140Nm tork, dipadankan dengan CVT.
Kelengkapan dalaman termasuklah tempat duduk fabrik dan sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 7-inci serta kluster instrumen digital.
Dari segi keselamatan, Ativa didatangkan dengan segala ciri terkini seperti enam beg udara, ABS, Vehicle Stability Control dan Traction Control.
Ia juga dilengkapi pakej sistem keselamatan termaju Advanced Safety Assist yang terdiri dari Pre-Collision Warning And Braking, dan Lane Departure Warning And Prevention.
Seperti biasa, Flux menawarkan kenderaan mereka dengan kontrak sehingga 36 bulan. Anda hanya perlu membayar pendahuluan RM2,303, kemudian langganan setiap bulan berjumlah RM1,425 selama 36 bulan.
Untuk langganan lebih pendek, anda boleh pilih RM1,601 untuk kontrak 24 bulan, atau RM1,901 untuk 12 bulan.
Pelan Flux hadir dengan pakej perbatuan Lite sebanyak 1,250km sebulan, tetapi anda boleh naik-taraf kepada 2,000km sebulan atau tanpa had dengan kos tambahan. Yang penting, semuanya fleksibel mengikut keperluan anda.
Apabila kereta perlu diservis, Flux mempunyai perkhidmatan concierge yang akan mengambil dan menghantar kereta ke pusat servis, jadi anda tidak perlu bersusah payah membuat temujanji dan sebagainya.
Menarik? Jika anda berminat, hanya muat turun aplikasi Flux atau layari https://driveflux.com untuk maklumat lanjut.
HONDA Malaysia melancarkan kempen proaktif “I’m Vaccinated” untuk memastikan keselamatan dan keyakinan pelanggan di pusat pengedar seluruh negara.
Ini sebahagian dari inisiatif syarikat itu dalam memastikan semua pengedarnya mendapat vaksinasi dalam tempoh ditetapkan.
Setakat ini, 80 peratus dari pengedar telah mendapat vaksinasi penuh dan hanya mereka yang lengkap dos dibenarkan bekerja di pusat-pusat pengedar. Honda Malaysia mensasarkan semua pengedar mereka mendapat dos lengkap menjelang Oktober ini.
Pengarah Urusan dan CEO Honda Malaysia, Ms. Madoka Chujo berkata, “Kami bersyukur pengeluaran kenderaan telah kembali beroperasi dan pusat-pusat pengedar Honda boleh menjalankan aktiviti jualan dan servis kepada pelanggan kami.”
“Dengan kempen “I’m Vaccinated”, semua pekerja di pengedar kami yang telah lengkap dos dan melepasi tempoh 14 hari akan diberikan lencana dan topeng muka dengan logo “I Am Fully Vaccinated” pengenalan mudah.”
Tambahan lagi, Honda Malaysia turut memastikan semua premis mereka akan menjalankan proses sanitasi dan disinfeksi secara berkala.
Khas untuk staf kerajaan, Honda Malaysia menawarkan Joy Of Buying dimana mereka dan pasangan boleh memiliki Jazz atau BR-V baharu.
Dari 1 September hingga 31 Oktober juga, pelanggan boleh menikmati diskaun sehingga RM1,000 manakala sempena Hari Malaysia, pelanggan berpeluang mendapat tawaran sehingga RM6,000 di bawah program September Special Benefits.
Untuk maklumat lanjut, hubungi 1-800-88-2020 atau layari www.honda.com.my.
PROTON Satria mula diperkenalkan dengan berasaskan Mitsubishi Mirage dan kemudian pada 2006, generasi kedua hadir dengan nama Satria Neo.
Selepas beberapa versi dan dihentikan pengeluarannya pada 2015, tiada lagi penawaran model hatchback sporti dua-pintu oleh Proton.
Namun, nama Satria masih disebut-sebut hingga kini malah versi-versi prestasi seperti Satria R3, Satria GTi dan Satria Neo R3 masih dicari dan dihargai peminat.
Walaupun Proton belum mengeluarkan sebarang pengganti Satria Neo, mungkin lakaran ini boleh mengubati kerinduan anda pada hatchback legenda ini.
Proton Satria Neo 2021 ini dijelmakan hasil karya pakar manipulasi automotif, Theophilus Chin yang dimuatnaik ke Instagram beliau, @theottle.
Walaupun ia bukan kereta sebenar, tetapi lakaran ini boleh dikatakan versi yang realistik kerana mengambil elemen-elemen terkini dalam rekabentuk Proton.
Model asas lakaran ini ialah Lynk & Co 02 iaitu model hatchback prestasi terbaharu dari kumpulan Geely, kemudian pintu belakang ‘dibuang’ untuk menjadikannya sebuah model tiga-pintu seperti Satria.
Dapat dilihat rupa depan 02 ini diberikan rekaan Geely Emgrand S dan disulami dengan Infinite Weave bersama jalur merah di bawahnya seperti X50.
Dari segi mekanikal, menurut portal Paultan.org, kombinasi yang boleh digunakan oleh Proton adalah platform BMA yang sesuai untuk model segmen-B serta pakej enjin 1.5-liter 3-silinder turbo dan kotak gear dwi-klac 7-kelajuan. Trenkuasa ini juga yang serupa pada Proton X50.
Apa pendapat anda mengenai lakaran Proton Satria Neo 2021 ini? Adakah ia cukup selari dengan resepi asal Satria? Bayangkan pula ada versi R3 dari model ini dengan tambahan kuasa, casis lebih tegar dan pengendalian lebih mantap.
Boleh bersaing dengan Volkswagen Polo GTi dan Renault Clio RS!
LEMBAH Klang akan beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN), berkuat kuasa 10 September, esok (Jumaat).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan peralihan membabitkan kawasan Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya itu dicapai menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19.
Beliau berkata, antara kelonggaran yang diberikan adalah sama seperti negeri yang memasuki fasa dua sebelum ini, seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Justeru, katanya, rentas daerah dibenarkan kepada individu yang lengkap dos vaksin, manakala pasangan suami isteri jarak jauh yang lengkap divaksin juga dibenarkan untuk merentas negeri.
“Ibu bapa yang mendapat perlindungan lengkap dos vaksin dibenarkan merentas negeri untuk berjumpa anak mereka yang berusia bawah 18 tahun,” katanya.
“Dine-in atau makan di kedai dibenarkan di premis untuk pelanggan yang lengkap dos vaksin dan aktiviti pelancongan hanya dibenarkan dalam negeri yang sama membabitkan penginapan di hotel dan ‘homestay’ (inap desa) bagi individu yang lengkap dos vaksin.
“Jawatankuasa turut memutuskan Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya digabungkan sebagai satu kawasan jangkitan yang sama. Maka, pergerakan antara negeri ini adalah dibenarkan dan tiada lagi sekatan jalan raya.
Memperincikan kelonggaran selanjutnya, jawatankuasa turut bersetuju melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti sukan, riadah dan rekreasi untuk negeri yang berada di bawah Fasa Satu PPN.
“Keterangan SOP terkini akan dikemas kini oleh MKN dan kementerian berkaitan. Amalkan kawalan kendiri serta gaya hidup sihat,” katanya.
SEBUAH Lamborghini dipandu seorang lelaki hilang kawalan sebelum merempuh sebuah Proton Perdana hingga sedan itu terbalik.
Dalam kejadian di Jalan Tun Razak, menghala ke Bulatan Pahang pagi ini, Lamborghini dipercaya model Gallardo Superleggera merempuh Proton Perdana berwarna kelabu dipandu seorang wanita berusia 53 tahun sebelum terkena beberapa kenderaan lain di depannya.
Sumber: Facebook
Kesemua pemandu kenderaan yang terlibat hanya mengalami kecederaan ringan dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, “Siasatan awal mendapati kenderaan jenis Lamborghini yang dipandu lelaki berusia lingkungan 42 tahun dari arah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menghala ke Bulatan Pahang.
“Sebaiki sahaja tiba di lokasi, terdapat deretan kenderaan yang berhenti akibat kesesakan lalulintas namun pemandu gagal mengawal kenderaan dan melanggar kenderaan jenis Proton Perdana dipandu wanita terbabit sehingga kenderaannya terbalik.
Sumber: Facebook
Menurutnya lagi, kenderaan itu kemudian melanggar beberapa buah kenderaan lain yang berada di hadapannya.
Tambah Sarifudin, setakat ini, pemilik tiga jenis kenderaan iaitu kereta Mazda berwarna merah, MPV Nissan Serena berwarna hitam dan trak pikap Ford Ranger berwarna biru telah hadir membuat laporan.
“Siasatan lanjut diteruskan jika terdapat lain-lain kenderaan yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata Sarifudin, ujian air kencing dan alkohol pemandu Lamborghini didapati negatif.
“Sehubungan itu, kes diklasifikasikan di bawah Sek 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan di bawah Sekyen 43 ( 1 ) APJ 1987.
Anda boleh tonton video rakaman dashcam kejadian ini di sini.
SETELAH hampir tiga bulan mengharungi keadaan pasaran yang amat sukar disebabkan pencegahan penularan Covid-19, Proton kini mensasarkan untuk mengakhiri tahun 2021 dengan impak yang nyata.
Ini berikutan aktiviti pengeluaran, jualan dan eksport kembali beroperasi yang dijangkakan akan meningkatan hasil jualan bermula bulan September.
Dari bulan Jun hingga Ogos 2021, Proton berjaya memperolehi jumlah jualan sebanyak 5,354 unit yang merangkumi campuran pendaftaran dalam talian dan eksport.
Produksi terhad telah dijalankan di kilang Tanjung Malim selepas pegumuman negeri Perak sebagai negeri Fasa 2 pada 5 Julai, tetapi ini hanya untuk seketika akibat kekurangan bekalan dari pembekal di Selangor.
Sehingga penghujung Ogos, jumlah jualan adalah sebanyak 63,637 unit, iaitu satu peningkatan sebanyak 1.6 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
“Tahun 2021 amat mencabar bagi industri automotif kerana perintah kawalan pergerakan, kekurangan bekalan cip dan beberapa isu lain yang merencatkan perkembangan jualan, namun kita yakin jualan industri akan meningkat secara keseluruhan dalam tempoh empat bulan terakhir tahun ini,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.
Dengan kedua-dua kilang kini beroperasi, Proton juga boleh memulakan kembali aktiviti eksport ke pasaran luar negara.
Sebagai contoh, Pakistan akan menerima tiga penghantaran Proton X70 sebanyak 108 unit pada bulan September termasuk pek CKD untuk model Saga. Operasi CKD sedan segmen-A itu akan bermula di sana pada akhir Oktober.
Salah satu kunci kepada kebolehupayaan syarikat untuk membuka semula kilang adalah atas kejayaan pelan vaksinasi PIKAS.
Data terkini menunjukkan lebih 93 peratus daripada warga kerja Proton telah divaksinasi sepenuhnya manakala lebih 75 peratus pekerja dari pembekal dan wakil jualan juga talah mendapat vaksin penuh.
Oleh itu, keseluruhan ekosistem PROTON hampir dibenarkan untuk beroperasi dengan kapasiti 100 peratus berdasarkan SOP semasa untuk pembukaan kilang dan premis perniagaan.
DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor semalam telah terima mengadap Datuk Muhammad Azizulhasni Awang, pelumba basikal trek profesional dan pemenang pingat perak Olimpik.
Pertemuan itu diadakan di Ibu Pejabat Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim. Menerusi tulisan di laman Facebook HRH Crown Prince of Johor, Tunku Ismail dilihat tiba dengan memandu Ford GT baharu.
Supercar itu diberikan warna livery badan biru, merah dan putih seakan-akan bendera negeri Johor. Ford GT menampilkan rekaan badan cukup aerodinamik dan mengambil inspirasi rekabentuk generasi-generasi sebelumnya.
Tidak seperti generasi sebelumnya yang dikuasakan oleh enjin V8 supercharge, Ford GT baharu ini dipacu unit 3.5-liter V6 twin-turbo yang mampu menjana 660hp dan 756Nm tork.
Dipadankan dengan kotak gear dwi-klac 7-kelajuan, Ford GT mampu memecut dari pegun ke 100km/j dalam 3.2 saat dan mencapai kelajuan maksima 347km/j.
Pertemuan Tunku Ismail dengan Datuk Azizulhasni adalah bagi mengurniakan ganjaran atas pencapaian pelumba basikal itu di Sukan Olimpik 2020 baru-baru ini.
“Tunku Mahkota Johor terima mengadap Dato’ Muhammad Azizulhasni Awang, pelumba basikal trek profesional dan pemenang pingat perak Olimpik pada hari ini, 7 September 2021 di Ibu Pejabat Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim bagi mengurniakan ganjaran atas pencapaian beliau di Sukan Olimpik 2020 baru-baru ini. Allah Peliharakan Sultan,” tulis status terbaru itu.
Sementara itu menerusi hantaran di Facebook, Azizulhasni berterima kasih atas jemputan berkenaan yang memberikannya peluang berkongsi pengalaman dan menyampaikan idea bagi pembangunan sukan berbasikal di Johor.
“Menjunjung kasih DYAM Tunku Mahkota Johor HRH Crown Prince of Johor diatas perkenan mencemar duli menjemput patik bersama Datuk Qobin untuk mengadap Tunku di JDT HeadQuarter,” tulisnya.
“Patik amatlah terharu dan seperti bermimpi disiang hari kerana dapat bersama-sama dengan Tunku dan berkongsi pengalaman serta kejayaan di Olimpik Tokyo baru-baru ini. Patik juga menjunjung kasih di atas kesudian Tunku untuk mendengar idea dan pandangan patik dalam membangunkan arena sukan negara terutamanya sukan berbasikal di Negeri Johor.
“Patik amat berharap agar apa yang dihasratkan dapat dijadikan realiti dan semoga ia dapat di manfaatkan oleh seluruh warga sukan terutamanya mereka yang berada di Johor.”
Azizulhasni turut menjunjung kasih atas hadiah peribadi daripada Tunku Ismail.
“Patik akan ingat sampai bila-bila. Semoga Allah memurahkan rezki dan merahmati Tunku serta seluruh kerajaan Tunku,” tambahnya.
BOON Siew telah melancarkan motosikal sport yang dinanti ramai, iaitu Honda CBR150R baharu. Pelancarannya dibuat secara maya dan disiarkan melalui laman Facebook Honda Motorcycle Malaysia.
Honda CBR150R dibangunkan dengan konsep CBR Total Control, menampilkan rupa motosikal sporti dan agresif dengan prestasi dengan ciri-ciri canggih terkini.
CBR150R hadir dengan dua pilihan warna di Malaysia, iaitu Mat Charcoal Grey Metallic dan Candy Scintillate Red dan ditawarkan pada harga RM12,499.
Motosikal sport ini dikuasakan oleh unit 150cc DOHC dengan sejukan cecair yang mampu menjana 12kW (16hp) pada 9,000rpm dan 13.7Nm tork pada 7,000rpm. Enjin ini digabungkan dengan kotak gear 6-kelajuan.
CBR150R juga dilengkapi dengan ABS (Anti-lock Braking System) dua saluran serta klac Assist & Slipper yang mengelakkan gelinciran tayar belakang semasa tunggangan sporti dan menurunkan gear.
Dari segi rupa, Honda CBR150R mendapat lampu depan LED dan rekabentuk badan yang sporti yang pasti membuatkannya nampak serasi di litar.
Suspensi depan terbalik bersama dengan posisi menunggang ‘racy’ ke depan dan fairing penuh menyerlahkan gaya perlumbaannya.
Selain itu, suspensi ini menjadikan pengendalian lincah dan memberikan kestabilan menunggang terutama ketika menunggang pada kelajuan yang lebih tinggi.
Ciri-ciri lain yang turut dilengkapi adalah seperti brek cakera beralun yang menekankan penampilan sporti, papara instrumen digital dan Emergency Stop Signal (ESS).
CBR150R sesuai untuk mereka yang gemar motosikal dengan rekaan ‘garang’. – Foto ihsan Honda
PETRON Malaysia menyokong beberapa badan kebajikan dalam misi mereka memberikan bantuan perubatan dan makanan kepada komuniti.
Tiga badan kebajikan bukan kerajaan (NGO) iaitu Community Policing Malaysia, MERCY Malaysia dan My Food Directory & Delivery Covid-19 telah menerima tajaan minyak dari Petron Malaysia bernilai RM60,000.
Puan Faridah Ali, Pengurus Besar Petron Malaysia berkata, “Kami berasa gembira dapat menyokong organisasi-organisasi ini yang telah banyak membantu golongan barisan hadapan, komuniti yang memerlukan dan keluarga yang terkesan semasa pandemik ini.
“Kami berharap tajaan minyak ini dapat meringankan sedikit bebanan mereka untuk memenuhi misi-misi di waktu yang sukar ini.”
Aktivis, Uncle Kuan daripada Community Policing Malaysia berkata, “Sepanjang tahun, kami telah berjaya membantu ramai orang melalui inisiatif Ambulans RM1 dan Teksi RM0.10, di mana sesiapa yang memerlukan bantuan boleh membayar servis dengan harga RM1 dan RM0.10 sahaja.
“Kami amat berterima kasih kepada Petron kerana inisiatif ini tidak dapat dijayakan tanpa tajaan minyak oleh syarikat tersebut.”
Menurut Uncle Kuan, melalui tajaan bahan api tersebut ianya membolehkan mereka membantu lebih ramai lagi keluarga B40 yang memerlukan perkhidmatan pengangkutan ke hospital dan pusat pemberian vaksin.
Semenjak PKP tahun lepas, Petron kekal komited dalam memberi sokongan kepada misi-misi kemanusiaan di bawah MERCY Malaysia, yang menyasarkan kepada komuniti dan hospital. MERCY merupakan sebuah NGO yang memberi bantuan dan sokongan perubatan dan kesihatan kepada masyarakat di Malaysia dan juga di luar negara.
Satu organisasi yang bermula dari gerakan kumpulan warga prihatin di Facebook yang memberi perkhidmatan penghantaran makanan kepada komuniti B40 juga turut mendapat tajaan minyak Petron.
My Food Directory & Delivery Covid-19 (MFDDC19) mempunyai lebih dari 90 penghantar sukarelawan yang bertugas di 70 kawasan di Lembah Klang.
“My Food Directory and Delivery C19 memulakan operasi mereka pada April 2021, mengumpulkan 42,000 rakan komuniti untuk membantu satu sama lain dengan menyokong perniagaan tempatan,” kata Sara Low, pentadbir MFDDC19.
“Dengan kehadiran Petron dalam misi kami, kami boleh menyediakan lebih sokongan kepada 90 lebih orang pemandu kami yang bertugas sebagai penghantar makanan kepada komuniti di Lembah Klang,” kata Sara Low, pentadbir MFDDC19.
“Kami ingin membantu kesemua organisasi ini dalam mengurangkan kos mereka, lantas membantu lebih ramai komuniti. Kami akan terus menyokong pemulihan negara dan terus membantu meringankan bebanan mereka yang terjejas dengan pelbagai cara,” tambah Faridah.
Mereka yang berhasrat memperbaharui lesen memandu atau cukai jalan boleh mendapatkan kemudahan itu di semua cawangan Pos Malaysia di seluruh negara bermula hari ini.
Dalam satu kenyataan, Pos Malaysia berkata, bagi mereka yang sudah mendapat temu janji di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) boleh terus ke JPJ di tarikh dan lokasi ditetapkan atau ke mana-mana cawangan pejabat pos.
“Pelanggan juga boleh memperbaharui insurans motor mereka di kaunter pejabat pos atau dalam talian melalui laman sesewang dan aplikasi mudah alih,” katanya.
Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut bolehlah melayari AskPos di www.pos.com.my atau terus ke aplikasi mudah alih Pos Malaysia.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong mengumumkan tempoh moratorium untuk memperbaharui lesen kenderaan bermotor dan lesen memandu dilanjutkan hingga 31 Disember 2021.