Category Archives: MALAYSIA

Mangsa banjir tidak perlu ganti lesen, geran hilang atau rosak – JPJ

Ini sedikit kelegaan buat mangsa terjejas banjir yang mengalami masalah geran kenderaan atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) hilang atau rosak.

Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dokumen-dokumen berkenaan tidak perlu digantikan memandangkan semuanya boleh diakses menerusi aplikasi MyJPJ.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, ini selaras dengan peralihan perkhidmatan JPJ ke arah pendigitalan sepenuhnya pada masa hadapan.

Tambah beliau lagi, dengan membuat pendaftaran di aplikasi terbabit agensi penguat kuasa seperti JPJ juga dapat menentukan kesahihan dokumen terbabit.

Sementara itu, individu yang masih tidak mempunyai MyJPJ hanya perlu mendaftar untuk mengakses dokumen digital seperti lesen, cukai jalan, geran dan Sijil Pemilikan Sementara (VOC).

“Tidak perlu dirisaukan kerana mana-mana yang terkesan (mangsa banjir) tidak perlu membuat penggantian.

“Tanggungjawab untuk menentukan kesahihan lesen atau cukai jalan terletak di bahu agensi penguat kuasa itu sendiri dan kita juga ada pendigitalan,” katanya.

Raptor Rev dibuka untuk pendaftaran, terhad kepada 50 peserta sahaja

Sime Darby Auto ConneXion (Auto Connexion), pengedar tunggal kenderaan Ford di Malaysia, telah mengumumkan 11 dan 12 Januari 2025 sebagai tarikh berlangsungnya acara off-road Raptor Rev.

Syarikat itu telah melancarkan laman mikro eksklusif (www.raptorrev.com.my) untuk acara berkenaan dan mempelawa pemilik Ford Ranger Raptor untuk mendaftar, dengan tempat terhad kepada 50 penyertaan sahaja.

Bakal berlangsung di Bay 13, Litar Sepang dari 7 pagi hingga 7 malam, Raptor Rev menyediakan latihan yang mendalam meliputi teori off-road, suspensi, tayar, lompatan, drifting, hot laps Baja serta laluan berhalangan 4×4 secara amali.

Selepas menamatkan latihan teori dan amali tersebut, peserta akan bersaing dalam Cabaran Autocross yang akan menguji kemahiran mereka. Pemenang akan membawa pulang baucar minyak bernilai RM3,000.

Pemilik Ranger Raptor boleh menempah penyertaan mereka dalam acara Raptor Rev dengan yuran sebanyak RM275 (kadar yuran biasa RM350) bermula sekarang hingga 13 Disember.

Tawaran eksklusif ini meliputi sehelai kemeja-T Raptor dan topi edisi terhad, pakej makanan dan minuman lengkap sepanjang hari, akses kepada bengkel khusus yang merangkumi sesi teori dan praktikal, serta penyertaan dalam Cabaran Autocross.

Acara ini juga terbuka kepada khalayak awam yang bukan pemilik Ranger Raptor untuk ikut serta sebagai pengunjung secara percuma.

100 pendaftaran yang dibuat dalam talian akan menerima baucar makanan dan minuman yang boleh digunakan di trak makanan yang disediakan.

Mereka boleh mengikuti hot laps di dalam litar Baja bersama pemandu berpengalaman, memandu uji Ranger Raptor serta menikmati pelbagai persembahan dan aktiviti menarik.

Bukan itu sahaja, 100 pemilik Ranger Raptor pertama yang menunjukkan kunci trak mereka ketika hari juga akan mendapat kemeja-T edisi terhad Raptor Rev.

Neta V terima penarafan sifar bintang ASEAN NCAP

Program Penilaian Kereta Baharu untuk Asia Tenggara (ASEAN NCAP) mengumumkan bahawa Neta V mendapat penilaian sifar bintang dalam ujian penilaian yang dijalankan di makmal MIROS Provisional CRASE Crash Centre (PC3).

Menurut ASEAN NCAP, Neta V merupakan model EV pertama yang diuji di makmal berkenaan serta model yang pertama mendapat penilaian sifar bintang di bawah protokol ASEAN NCAP 2021-2025.

EV yang dilancarkan di Malaysia pada Oktober tahun lalu itu mencapai markah keseluruhan 28.55 mata iaitu 7.89 mata untuk kategori Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP), 13.51 untuk Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP), 7.14 mata untuk Bantuan Keselamatan (SA) dan 0 mata untuk Keselamatan Penunggang Motosikal (MS).

Neta V, yang turut dipasarkan di Brunei, Indonesia dan Thailand, didatangkan dengan dua beg udara, sistem pengingat tali pinggang keledar untuk pemandu, sistem brek anti-kunci (ABS) dan kawalan kestabilan elektronik ESC secara standard.

Dalam ujian pelanggaran offset depan bagi kategori AOP, Neta V tidak diberikan sebarang mata kerana pemandu tidak dilindungi dengan baik dengan kecederaan pada bahagian kepala, leher, dada dan kaki kanan.

Dalam ujian impak sisi, ia hanya mendapat 6.31 daripada 8.00 mata memandangkan patung ujian mendapat sedikit perlindungan pada bahagian dada. Ia tidak mempunyai Teknologi Perlindungan Kepala (HPT) menyebabkan ia mendapat sifar mata dalam penilaian.

Dalam penilaian dinamik bagi kategori COP, prestasi Neta V dalam ujian offset hadapan dan impak sisi baik namun ia mendapat markah rendah bagi pemasangan Sistem Kekangan Kanak-kanak (CRS). Walaupun mempunyai Isofix dan tambatan atas, lebih separuh daripada CRS yang disyorkan oleh ASEAN NCAP didapati sukar dipasang.

Hatchback elektrik ini juga tidak mempunyai ciri-ciri seperti Autonomous Emergency Braking (AEB), Forward Collision Warning (FCW), Lane Keep Assist (LKA) and Lane Departure Warning (LDW).

Bukan itu sahaja, semua teknologi yang dinilai di bawah kategori MS seperti Blind Spot Technology (BST), Auto High Beam (AHB) dan Pedestrian Protection (PP) juga tidak disertakan pada model ini.

Pusat 3S BYD pertama di Malaysia Timur kini dibuka

Sime Motors, pengedar rasmi kenderaan BYD di Malaysia, baru-baru ini merasmikan pembukaan pusat 3S BYD pertama di Malaysia Timur yang terletak di Malaysia Timur.

Kemudahan yang dikendalikan oleh Regas EV Sabah ini beralamat di Lot 33, Sedco Industrial Estate, Jalan Lintas, 88450 Kota Kinabalu.

Menurut Sime Motors, pembukaannya menggariskan pertumbuhan pesat BYD di Malaysia dan komitmennya terhadap memberikan perkhidmatan luar biasa dalam pasaran EV yang semakin berkembang di Timur Malaysia.

Kemudahan baharu ini mempunyai keluasan mencecah 1,288 meter persegi dan menawarkan menawarkan spektrum penuh perkhidmatan termasuk perundingan jualan, pandu uji kenderaan dan sokongan selepas jualan.

Bukan itu sahaja, BYD Kota Kinabalu ini juga menjadi salah satu pusat EV pertama di Sabah yang dilengkapi dengan dua unit pengecas DC Super Charger dengan empat unit pengecas yang menawarkan kuasa sehingga 180 kW.

Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Peruncitan dan Pengedaran, Asia Tenggara, Sime Motor berkata pihaknya berbangga dapat bekerjsama dengan Regas EV Sabah untuk membuka BYD Kota Kinabau bagi meningkatkan pengalaman di Timur Malaysia.

“Inisiatif ini mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai jenama EV No.1 di Malaysia dan menggariskan komitmen kami untuk menyediakan pengalaman pelanggan yang terbaik di samping berusaha untuk memenuhi keperluan masyarakat di Sabah yang semakin berkembang,” katanya.

Datuk Matthew Tan, Pengarah Urusan Regas EV Sabah menambah, “Pusat 3S ini bukan sekadar satu kemudahan – ia adalah komitmen terhadap perjalanan Sabah ke arah mobiliti elektrik dan penyelesaian karbon rendah, dikuasakan oleh teknologi berkelas dunia BYD.”

Honda Malaysia pamer model e:N1 di KLIMS 2024, bakal dilancarkan 2025?

Bertempat di KLIMS 2024, Honda Malaysia bukan sahaja membawakan model konsep coupe Honda Prelude, akan tetapi terdapat juga sebuah SUV berkuasa elektrik – Honda e:N1.

Walaupun membawakan rupa paras yang sama seperti Honda HR-V, e:N1 menggunakan platform e:N Architecture F yang menawarkan struktur badan yang lebih tegar, titik graviti lebih rendah dan bahagian bawah badan aerodinamik.

Ia dikuasakan oleh motor elektrik pacuan roda depan berkuasa 201 hp dan 310 Nm, dipadankan dengan pek bateri berkapasiti 68.8 kWh.

Untuk sekali cas penuh, e:N1 boleh bergerak sejauh 412 km.

Membezakan e:N1 dengan HR-V yang standard ialah kehadiran slot pengecasan yang menggantikan struktur jeriji hadapan, diikuti dengan perkataan Honda menggunakan fon huruf yang lebih moden di belakang.

Susun atur ruang kabin e:N1 juga tampil lebih berbeza berbanding HR-V, di mana ia didatangkan dengan skrin tengah sebesar 15 inci, skrin kluster digital 10.25 inci, serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

Buat masa ini, Honda Malaysia masih belum mendedahkan secara rasmi perincian spesifikasi bagi e:N1 untuk pasaran tempatan.

Namun begitu, ia bakal menjadi EV pertama yang dibawa masuk secara rasmi oleh Honda Malaysia apabila model tersebut dijadualkan pelancarannya pada tahun hadapan (2025).

Untuk makluman, Honda telah pun memulakan produksi bagi SUV elektrik Honda e:N1 di kilang yang terletak di Rojana Industrial Park, wilayah Prachinburi, Thailand pada penghujung tahun 2023.

Persoalan sebenar, berapakah harga jualan yang bakal diletakkan oleh Honda Malaysia untuk model e:N1 ini? Honda HR-V varian e:HEV yang ada di pasaran Malaysia pada ketika ini dijual pada harga RM140,800.

Honda e:Ny1 (UK)

 

Galeri: Honda Prelude Concept di KLIMS 2024

Bertempat di KLIMS 2024, Honda Prelude Concept serba merah ini akhirnya membuat kemunculan yang pertama di Asia di luar negara Jepun.

Untuk makluman terutama kepada generasi baharu, nama ikonik Prelude ini telah pun wujud dalam lima generasi yang bermula sejak tahun 1978, sebelum produksinya berakhir pada tahun 2001.

Setelah sekian lama menyepi, Honda membuat kejutan dengan memperlihatkan model konsep Prelude di acara pameran Japan Mobility Show 2023.

Honda Prelude Concept ini telah pun disahkan akan muncul dalam versi produksi pada tahun 2025-2026 bagi menggantikan model coupe dari keluarga Civic dan Accord.

Berita penuh berkenaan Honda Prelude anda boleh baca pada pautan di bawah:

Honda Prelude lahir semula sebagai coupe sports hibrid, guna platform Civic

 

Honda Prelude Concept

Kempen terbaharu Peugeot Malaysia tawar sesi pandu uji selama tiga hari!

Peugeot Malaysia mengumumkan kempen terbaharu “Peugeot Weekender Experience” di mana para pelanggan boleh menikmati sesi pandu uji sehingga tiga hari.

Kempen yang pertama seumpamanya ini membenarkan pelanggan memilih tiga model berbeza iaitu crossover sedan Peugeot 408, SUV Peugeot 2008 dan trak pikap Landtrek untuk digunakan sepanjang hujung minggu, atau hari biasa.

Pelanggan juga boleh memanfaatkan fungsi ChatGPT yang terbina dalam website mikro untuk mencipta jadual perjalanan yang disesuaikan dengan personaliti dan minat masing-masing.

Menurut Pengarah Urusan Stellantis Malaysia, Jamie Francis Morais berkata, “Sejak bertahun-tahun, kita menggunakan cara tradisional di mana pelanggan melangkah masuk ke pusat pameran dan menghabiskan masa selama beberapa minit memandu di kawasan sekitar. Penggunaan cara ini tidak mempamerkan keupayaan sebenar kereta dan pengalaman pemilikan sebuah Peugeot.

“Menerusi Peugeot Weekender Experience, kami mahu mengubah bagaimana pelanggan kami merasai kenderaan kami. Kami mahu mereka memiliki kebebesan dan fleksibiliti untuk tempoh beberapa hari untuk menikmati pengalaman sebenar, dan melihat bagaimana sebuah Peugeot mampu melengkapkan keperluan gaya hidup dan mobiliti.

Terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang mempunyai lesen memandu yang sah, Peugeot Weekender Experience boleh disertai dengan berkunjung ke mana-mana pusat pameran sah Peugeot dan mengimbas kod QR yang disediakan.

Alternatifnya, anda boleh berkunjung ke laman web mikro peugeotweekenderexperience.com, isi maklumat peribadi dan pilih pusat pameran yang berdekatan.

 

MPV elektrik mewah Zeekr 009 masuk pasaran Malaysia – dari RM350k

Di samping X, Zeekr Malaysia turut melancarkan MPV mewah yang akan bersaing dalam pasaran EV tempatan iaitu Zeekr 009.

Ia bakal berentap dengan model-model popular seperti Toyota Alphard/Vellfire, Maxus Mifa 9, serta model-model yang akan datang seperti GWM Wey 80 dan Denza D9, 009.

009 boleh didapati dalam dua varian iaitu Luxury dengan konfigurasi tujuh tempat duduk, dan Ultra Luxury dengan enam tempat duduk.

Tidak kira varian apa yang dipilih, 009 dipacu oleh motor elektrik berkembar yang menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 603 hp dan 693 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.5 saat.

Pek bateri 116 kWh pula menawarkan jarak gerak sejauh 582 km (kitaran WLTP), selain menyokong pengecasan pantas DC 150 kW yang membolehkan pengecasan 10%-80% dalam 30 minit.

Aspek pemanduan Zeekr 009 dibantu dengan sistem gantungan jenis double-wishbone multilink, suspensi udara elektromagnetik dan fungsi pengimbangan automatik, diikuti unit pencahayaan LED matriks dengan fungsi suluhan pemanduan adaptif (ADB) dan pencahayaan zon pintar.

Di dalam, anda akan menemui meter kluster 10.25 inci, skrin infohibur sebesar 15.05 inci, paparan head up realiti terimbuh (AR) sebesar 35.95 inci, skrin bumbung OLED 17 inci, sistem audio Yamaha, pengecasan peranti pintar tanpa wayar 50W, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, dan sehingga 9 port USB-C tersedia.

Tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan diberikan larasan 12 tahap berserta fungsi urut, pengudaraaan dan memori.

Penumpang baris kedua pula menikmati tempat duduk Sofaro First Class Aeronautics dengan fungsi Ultra Long Electric Slide Rail sepanjang 1.1 meter, tempat rehat kaki yang boleh dilaras, fungsi pengudaraan, urut dan memori.

Untuk keselamatan, terdapat sistem ADAS yang merangkumi ciri kawalan pengekalan tengah lorong (LCC), kawalan jelajah adaptif (ACC), sokongan mitigasi pelanggaran hadapan (CMSF) dan belakang (CMSR), sistem pengelakan lorong, pengesanan titik buta (BSD), amaran bukaan pintu dan juga sistem pemantauan prestasi pemandu (DPM).

009 Luxury dijual pada harga RM349,800, manakala versi Ultra Luxury pula berharga RM359,800. Seperti X, model ini didatangkan dengan waranti kenderaan selama lima tahun/150,000 km dan waranti bateri selama lapan tahun/160,000 km.

Turut disertakan adalah data internet 6GB percuma selama dua tahun untuk akses aplikasi Zeekr, sistem navigasi dan kemas kini perisian secara Over-the-Air (OTA).

500 pembeli pertama 009 akan mendapat pakej eksklusif yang merangkumi pengecas kediaman, pengecas mudah alih dan filem solar.

Kembar smart #1 & Volvo EX30, Zeekr X dilancarkan secara rasmi – dari RM156k

Zeekr Malaysia secara menandakan kemasukannya ke pasaran EV tempatan menerusi pelancaran dua model baharu iaitu Zeekr X dan 009. Kedua-dua model ini dibuka untuk tempahan pada awal Oktober lalu.

X ditawarkan dalam dua varian iaitu Premium yang berharga RM155,800 dan Flagship AWD yang berharga RM172,800.

Harga berkenaan berserta waranti kenderaan selama lima tahun/150,000 km dan waranti bateri untuk lapan tahun/160,000 km. Pemilik juga akan menerima data internet 6GB percuma selama dua tahun.

Menurut Zeekr Malaysia, 500 pemilik pertama akan mendapat pakej eksklusif yang merangkumi pengecas kediaman, pengecas mudah alih, filem solar dan pelindung matahari.

Seperti smart #1/#3 dan Volvo EX30, X dibina menggunakan platform Sustainable Experience Architecture (SEA) yang dihasilkan oleh Geely.

Ia mempunyai ukuran panjang 4,432 mm, lebar 1,836 mm dan tinggi, 1,566 mm, menjadikannya lebih panjang berbanding #1 dan EX30 namun ukuran lebar dan tingginya tidak jauh berbeza dengan EV daripada smart dan Volvo itu.

Dari segi mekanikal, varian Premium dikuasakan oleh motor elektrik pacuan roda belakang berkuasa 268 hp, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.6 saat.

Varian Flagship AWD mempunyai dua motor elektrik yang menjana 422 hp, membolehkan ia melakukan pecutan yang sama dalam masa 3.8 saat.

Kedua-dua varian didatangkan dengan pek bateri 66 kWj yang menawarkan jarak pandu sejauh 440 km berdasarkan kitaran WLTP. Ia menyokong pengecasan pantas DC 150 kW yang boleh memulihkan tenaga dari 10%-80% dalam 30 minit.

Sistem keselamatan pula terdiri daripada ciri ADAS yang merangkumi kawalan jelajah adaptif (ACC), penukaran lorong automatik (ALC), kawalan pengekalan tengah lorong (LCC), bantuan kekal lorong (LKA), sokongan mitigasi pelanggaran hadapan (CMSF) dan belakang (CMSR), bantuan pengelakan lintasan trafik depan (FCTA) dan belakang (RCTA).

Turut disertakan adalah tujuh beg udara, sistem kamera 360 darjah serta perakam video pemanduan (DVR).

Untuk pasaran Malaysia, X ditawarkan dalam warna Crystal White, Mist Grey, Grid Grey, Palace Beige dan Pine Green. Ruang kabin pula boleh didapati dalam warna Charcoal Black atau Stone Grey.

Jaecoo Malaysia lancar SUV coupe C9 – dua varian, harga dari RM168,800

Jaecoo Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan model SUV coupe off-road premium C9 untuk pasaran tempatan.

Terdapat dua varian yang ditawarkan, di mana versi pacuan roda depan (2WD) dijual pada harga bermula dari RM168,800 manakala varian pacuan semua roda (AWD) berharga RM188,800.

Jaecoo Malaysia turut mengumumkan pakej promosi untuk golongan pembeli terawal merangkumi jaminan enjin dan komponen suspensi selama 10 tahun atau had perjalanan 1,000,000 km, sah sehingga 8 Disember ini.

Dari segi saiz, C9 membawakan ukuran sepanjang 4,775 mm, lebar 1,920 mm, tinggi 1,671 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,800 mm dan jarak kelegaan tanah setinggi 165 mm.

Selain itu, C9 berkeupayaan untuk meredah air sedalam 450 mm.

Ruang kargo adalah sebesar 660 liter, atau sehingga 1,783 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

Kedua-dua varian dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 2.0 liter turbo berkuasa 261 PS/400 Nm, dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan.

Ciri luaran termasuklah pemegang pintu yang tersembunyi, rim aloi 20 inci, lampu DRL LED sigma, struktur jeriji diamond matrix, dan spoiler belakang yang diinspirasikan daripada jet pejuang.

Sementara ruang kabin pula mendapat ciri seperti skrin kluster dan skrin infohibur sebesar 12.3 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem kawalan iklim dua zon, tempat duduk pemandu dengan fungsi memori, ciri pengudaraan dan pemanasan tempat duduk, serta sistem audio dengan lapan pembesar suara.

Untuk varian 2WD, terdapat tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sports, sementara varian AWD pula mendapat tambahan mod Sand, Mud, Snow dan juga Off-Road.

Varian AWD juga turut mendapat sistem audio 14 pembesar suara termasuk dua yang tertanam di dalam unit perehat kepala.

Secara standard, kedua-dua varian dilengkapi dengan sistem ADAS Tahap 2 merangkumi fungsi seperti kawalan jelajah adaptif (ACC), bantuan kesesakan trafik (TJA), brek kecemasan automatik (AEB), amaran pelanggaran hadapan (FCW) dan belakang (RCW), serta tidak ketinggalan sistem pemantauan panorama (AVM) 540 darjah.

Selain itu, terdapat juga sembilan beg udara, ABS, EBD, kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki (HAC), bantuan menurun cerun (HDC), sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), sistem brek berbilang pelanggaran (MCB), dan sistem pemantauan tumpuan pemandu (DMS).

Volvo XC40 B5 Plus (2025) kini dibuka untuk tempahan

Volvo Car Malaysia (VCM) mengumumkan ia mula mengambil tempahan untuk Volvo XC40 B5 Plus yang telah dikemas kini untuk model tahun 2025 (MY25).

Menurut VCM, XC40 B5 Plus adalah salah satu model popularnya, dengan stok MY24 (dikenali sebagai XC40 B5 Ultimate) yang habis terjual dalam tempoh tiga bulan pada tahun ini.

Tiada perubahan bagi harga jualannya. Seperti sebelum ini, XC40 B5 Plus ditawarkan pada harga RM278,888.

Varian ini menggabungkan enjin petrol 2.0-liter turbo yang dipadankan dengan motor elektrik (14 hp/40 Nm) bagi menghasilkan 249 hp dan 350 Nm.  Kuasa disalurkan ke semua empat roda menerusi transmisi automatik Geartronic lapan kelajuan.

Antara kelengkapan yang disertakan secara standard termasuk lampu Piksel yang boleh menyesuaikan kecerahan secara dinamik, rim aloi 19 inci, serta sistem infohibur Android dengan sokongan Google Assistant, Google Maps dan Google Play Store.

Pembeli juga akan menerima perkhidmatan digital percuma selama lima tahun yang memberikan mereka akses melalui aplikasi Volvo Cars serta perkhidmatan dari Google Play Store.

SUV ini boleh didapati dalam warna baharu Cloud Blue, di samping pilihan warna sedia ada seperti Onyx Black, Crystal White, Silver Dawn, dan Sage Green.

Dari segi keselamatan, XC40 B5 Plus dilengkapi dengan ciri-ciri seperti Run-Off Road Protection, Whiplash Protection System, Front and Rear Collision Warning and Mitigation Support, Blind Spot Information System with Steer Assist, Lane Keep Assist, Cross-Traffic Alert dan kamera 360 darjah.

MG Cyberster dilancarkan pada harga RM319,900

SAIC Motor Malaysia telah mengumumkan harga jualan rasmi MG Cyberster pada acara Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2024.

Roadster elektrik itu, yang membuat kemunculan sulungnya di negara ini pada Ogos lalu, dijual pada harga RM319,900 atas jalan tanpa insurans.

Setiap pembelian didatangkan dengan waranti kenderaan selama tujuh tahun/150,000 km, waranti pek bateri voltan tinggi selama lapan tahun/180,000 km dan waranti motor pacuan dan unit kawalan motor selama lapan tahun/160,000 km.

Tidak cukup dengan itu, SAIC Motor Malaysia turut menawarkan pakej khas yang merangkumi pengecasan tanpa had selama setahun dengan JomCharge dan pengecas Wallbox 7 kW.

Cyberster ditawarkan dalam satu varian yang dikuasakan oleh dua motor elektrik dengan kuasa keseluruhan berjumlah 503 PS (375 kW) dan 725 Nm. Ini membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.2 saat.

Dengan bateri berkapasiti 77 kWj, Cyberster dikatakan mampu bergerak sejauh 446 km dengan satu cas penuh berdasarkan kitaran WLTP.

Pengecasan dari 10% hingga 80% mengambil masa 38 minit menerusi pengecas pantas DC 150 kW. Pengecas AC 7 kW pula memerlukan kira-kira 10.5 jam untuk cas dari 10% hingga penuh.

Dari segi reka bentuk, Cyberster tampil dengan siluet rendah dan lebar serta bumbung jenis soft top yang boleh dibuka. Kelengkapan termasuk rim aloi Jetstream 20 inci, angkup brek berwarna merah dan lampu depan LED automatik dengan DRL.

Di dalam, terdapat tempat duduk sport yang dihiasi sisipan Alcantara, stereng berbalut kulit Nappa, skrin sentuh berukuran tujuh inci, panel instrumen 10.25 inci, dua skrin tambahan sebesar tujuh inci dan sistem audio Bose dengan lapan pembesar suara.

Untuk keselamatan, Cyberster didatangkan dengan sistem ADAS MG Pilot yang merangkumi ciri-ciri berikut:

  • Front Collision Warning (FCW)
  • Automatic Emergency Braking (AEB) dengan Pedestrian and Bicycle Detection
  • Adaptive Cruise Control (ACC)
  • Traffic Jam Assistance (TJA)
  • Lane Departure Warning (LDW)
  • Lane Keeping Assistance (LKA)
  • Blind Spot Detection (BSD)
  • Lane Change Assist (LCA)
  • Rear Cross Traffic Alert (RCTA)
  • Intelligent High Beam Assist

Cyberster boleh didapati dalam empat warna iaitu Dynamic Red, Camden Grey, Inca Yellow, dan English White. Dynamic Red dan Camden Grey mempunyai bahagian dalam hitam dan merah, sementara Inca Yellow dan English White dilengkapi dengan bahagian dalam kelabu. Semua pilihan warna dipadankan dengan bumbung hitam.

GAC Aion ES masuk pasaran EV Malaysia, harga bawah RM110,000

WTC Automotif (WTCA), pengedar rasmi jenama GAC Aion di Malaysia, tanpa disangka-sangka telah melancarkan sedan elektrik Aion ES pada acara Pertunjukan Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2024.

Dibina di atas platform elektrik Aion (AEP) 2.0, ES mempunyai ukuran panjang 4,810 mm, lebar 1,880 mm, tinggi 1,545 mm, dengan jarak roda 2,750 mm. Ini menjadikannya sedikit lebih besar berbanding sedan segmen C popular seperti Honda Civic dan Toyota Corolla Altis.

Untuk pasaran Malaysia, ES didatangkan dengan motor elektrik tunggal yang memacu roda depan dengan 136 PS dan 225 Nm.

Motor elektrik berkenaan mendapat bekalan kuasanya daripada bateri LFP 55.2 kWj yang menawarkan jarak pandu sejauh 442 km berdasarkan kitaran NEDC.

Bateri itu mengambil masa 11 jam untuk pengecasan penuh menggunakan pengecas AC 6.6 kW yang tersedia. Dengan pengecas DC berkapasiti 60 kW pula, ia memerlukan 30 minit untuk pengecasan 30-80% atau 1.5 jam untuk pengecasan penuh.

ES mempunyai fungsi Vehicle-to-Load (V2L) dengan kapasiti 3.3 kW, fungsi pemanduan pedal tunggal i-Pedal dan brek janaan semula dengan tiga tahap.

Dari segi kelengkapan, ES didatangkan dengan lampu LED depan dan belakang, rim aloi 17 inci dan tailgate elektrik yang memberikan akses kepada ruang but sebesar 450 liter.

Di dalam, terdapat upholsteri leatherette, tombol gear jenis rotari, pelarasan enam hala untuk kerusi pemandu, kluster instrumen LCD 3.5 inci, skrin sentuh 8.0 inci dengan Apple CarPlay, Keyless Entry, dan pendingin hawa dua zon dengan penapis udara PM2.5.

ADAS tidak disertakan. Sebaliknya, anda mendapat ciri keselamatan asas seperti ABS dengan EBD, ESP, Hill Hold Control, Seat Belt Reminder , TPMS dan dua beg udara.

Aion ES dijual pada harga RM106,800 dan boleh didapati dalam tiga warna iaitu Pure White, Glamour Black dan Holographic Silver.

Ia didatangkan dengan waranti kenderaan selama lapan tahun/160,000 km, dan waranti bateri EV, motor dan kawalan elektrik selama lapan tahun/200,000 km.

Sempena dengan pelancaran ini, pembeli akan menerima pengecas Wallbox bernilai RM3,500 secara percuma.

GWM Tank 500, Wey 80 buat kemunculan di KLIMS 2024

Acara Pertunjukan Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2024 menyaksikan kemunculan dua model baharu daripada Great Wall Motor (GWM) iaitu Tank 500 dan Wey 80.

Menurut GWM Malaysia, SUV dan MPV mewah itu akan dilancarkan ke pasaran Malaysia pada 2025 tetapi tarikh sebenarnya masih belum diberitahu.

Tank 500

Seperti Tank 300 yang memasuki pasaran tempatan pada Julai lalu, Tank 500 merupakan SUV off-road namun model ini bersaiz lebih besar dengan ukuran panjang 5,078 mm, lebar 1,934 mm, tinggi 1,905 mm, dengan jarak roda 2,850 mm.

Di China, Tank 500 ditawarkan dengan beberapa jenis trenkuasa namun unit yang dipamerkan ini adalah varian hibrid yang menampilkan enjin turbo 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 342 PS dan 648 Nm.

Enjin berkenaan dipadankan dengan transmisi automatik sembilan kelajuan yang ditugaskan untuk menggerakkan roda menerusi sistem pacuan empat roda.

Antara kelengkapan yang tersedia termasuk 11 mod pemanduan, fungsi tank turn, Off-Road Cruise Control, panel instrumen digital 12.3 inci, skrin sentuh 14.6 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, serta sistem bantuan pemandu ADAS.

Harga tidak diumumkan namun jika diambil kira harga Tank 300 yang bermula dari RM250,000, model ini berkemungkinan besar dijual pada harga sekitar RM350,000.

Wey 80

Juga dikenali sebagai Gaoshan di China, Wey 80 merupakan MPV tujuh tempat duduk daripada sub-jenama mewah yang bernaung di bawah GWM iaitu Wey.

Model ini menampilkan trenkuasa hibrid plug-in Dedicated Hybrid Technology (DHT). Ia menggabungkan enjin turbo 1.5-liter dan sepasang motor elektrik yang menjana kuasa keseluruhan sebanyak 487 PS (358 kW) dan 762 Nm.

Selain itu, trenkuasa berkenaan juga didatangkan dengan bateri berkapasiti 37.96 kWj yang memberikan jarak pemanduan elektrik sejauh 150 km berdasarkan kitaran CLTC.

Dari segi saiz, Wey 80 mempunyai ukuran panjang 5,045 mm, lebar 1,960 mm dan tinggi 1,900 mm, manakala jarak rodanya adalah 3,085 mm. Ia mampu memuatkan sehingga tujuh penumpang dengan konfigurasi tempat duduk 2-2-3.

Antara ciri utamanya termasuk upholsteri kulit premium, kerusi sifar graviti, kerusi kapten pada barisan kedua, peti sejuk 12.5 liter, bumbung panoramik dan sistem audio Harman Kardon dengan 16 pembesar suara.

 

Kia Sportage generasi kelima dilancarkan secara rasmi – harga dari RM150k

Dinamikjaya Motors Sdn Bhd (DJM), pengedar rasmi jenama Kia di Malaysia, telah melancarkan Kia Sportage generasi kelima ke pasaran tempatan.

SUV segmen C yang dipasang secara tempatan di Kulim, Kedah itu kini dibuka untuk tempahan. Ia boleh didapati dalam empat varian dengan dua pilihan enjin seperti berikut:

  • 2.0G 2WD – RM149,781.78
  • 2.0G 2WD High – RM159,781.78
  • 1.6T 2WD High – RM179,599
  • 1.6T AWD High – RM189,599

Seperti yang boleh dilihat, Sportage yang dilancarkan ini adalah versi pra-facelift dan bukannya versi facelift yang diperkenalkan baru-baru ini.

DJM berkata buat masa ini Sportage facelift hanya dijual di Korea Selatan namun SUV itu dijangka tiba ke pasaran tempatan dalam masa dua tahun lagi.

Varian 2.0G dikuasakan oleh enjin Smartstream 2.0-liter yang menghasilkan 156 hp dan 192 Nm yang dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan.

Sementara itu, varian 1.6T pula menampilkan enjin Gamma II 1.6-liter turbo dengan kuasa sebanyak 177 hp dan 265 Nm. Kuasa disalurkan ke roda oleh kotak gear DCT tujuh kelajuan.

Dari segi kelengkapan, model ini didatangkan dengan kluster instrumen digital 12.3 inci, Apple CarPlay dan Android Auto, serta pencahayaan ambien, sistem pendingin hawa dua zon dan sistem audio Harman Kardon untuk varian-varian lebih tinggi.

Sistem keselamatan pula merangkumi Forward-Collision Avoidance Assist (FCA), Lane Keeping Assist (LKA), Blind-Spot Collision-Avoidance (BCA), Rear Cross-Traffic Collision Avoidance (RCCA) dan pelbagai lagi.

Untuk pasaran Malaysia, Sportage ditawarkan dalam empat warna Astra Blue, Meteor Grey, Jet Black dan Snowflake White Pearl.

Akhir sekali, DJM akan menawarkan waranti selama lima tahun dan pakej servis percuma selama lima tahun.

Mazda CX-80, SUV mewah, konfigurasi tiga baris tempat duduk, nadi PHEV

Selain daripada Mazda CX-60, sebuah lagi model SUV yang dipamerkan pada KLIMS 2024 ialah Mazda CX-80.

Sama seperti Mazda CX-60, Mazda CX-80 merupakan SUV saiz pertengahan dibina atas pelantar Large Group Product, namun dengan konfigurasi tiga baris tempat duduk.

Rekaan luaran CX-80 juga membawakan elemen rekaan yang hampir sama dengan CX-60.

Dimensi CX-80 lebih panjang berbanding CX-60, dengan ukuran 4,995 mm, lebar 1,890 mm, tinggi 1,710 mm dengan jarak antara roda sekitar 3,120 mm.

Ruang kabin CX-80 juga membawakan ciri dan kelengkapan yang sama seperti CX-60, termasuklah skrin kluster digital, skrin tengah 12.3 inci, skrin paparan head-up, serta sistem audio Bose.

Unit yang dipamerkan pada KLIMS ini dilengkapi dengan enjin 2.5 liter e-Skyacytiv G berkuasa 328 PS dan 500 Nm dipadankan dengan transmisi automatik lapan nisbah kelajuan.

Mazda CX-60 muncul di KLIMS 2024, enjin e-Skyactiv G inline-6!

Bertempat di KLIMS 2024, Bermaz Motor turut mengambil kesempatan mempamerkan dua buah model daripada kumpulan Mazda Large Product, iaitu Mazda CX-60 dan Mazda CX-80.

Mazda CX-60 merupakan sebuah SUV saiz pertengahan yang telah pun wujud di pasaran global sejak tahun 2022.

Ia membawakan ukuran sepanjang 4,745 mm, lebar 1,890 mm, tinggi 1,685 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,870 mm, lebih besar berbanding CX-50.

Luaran CX-60 membawakan falsafah rekaan ‘Kodo – Soul of Motion’ dengan rekaan jeriji hadapan bersegi, unit lampu yang lebih kecil, dan lampu nyalaan siang L bersambung ke bahagian jeriji.

Ruang kabin pula menampilkan skrin kluster digital, skrin infohibur 12.3 inci, skrin paparan head-up, butang kawalan khusus untuk pendingin hawa, dan ruang kargo sebesar 570 liter.

Unit yang dipamerkan pada KLIMS ini didatangkan dengan enjin enam silinder sebaris 3.3 liter e-Skyactiv G dengan sistem hibrid, menghasilkan 280 hp dan 450 Nm.

Bermaz lancar pakej sporti MS Limited Edition berharga RM12,000 untuk Mazda CX-5

Bertempat di Kuala Lumpur International Mobility Show 2024 (KLIMS 2024), Bermaz Motor melancarkan pakej penampilan dan prestasi sporti MS (MazdaSports) Limited Edition khas untuk para pemilik SUV Mazda CX-5.

Pakej MS Limited Edition itu terdiri daripada kemasan warna hitam berkilat pada signature wing jeriji hadapan, bampar, cermin sisi, gerbang roda, panel rocker depan dan belakang, serta rim bersaiz 19 nci.

Selain itu, Mazda turut menawarkan spoiler belakang mengikut warna badan, diikuti dengan tip ekzos MS untuk penampilan yang lebih sporti.

Pakej itu turut merangkumi naik taraf terhadap aspek pengendalian, di mana Mazda CX-5 kini didatangkan dengan strut bar hadapan berwarna hitam yang mampu meningkatkan kestabilan struktur kenderaan ini.

Untuk ruang kabin, anda akan disambut dengan tempat duduk yang dihiasi logo MS, kemasan jahitan merah pada ruang kabin, pedal sports, alas lantai berlogokan MS, serta kemasan suede pada roda stereng, tempat duduk dan panel pintu.

Pakej MS Limited Edition untuk Mazda CX-5 ini dijual pada harga RM12,000, lengkap dengan jaminan aksesori tulen Mazda selama satu tahun.

Nissan Kicks e-Power dilancarkan – dua varian, harga dari RM113,800

Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) secara rasminya melancarkan Nissan Kicks e-Power ke pasaran tempatan.

Seperti yang dilaporkan, crossover kompak ini boleh didapati dalam dua varian iaitu VL dan VLT. Harga jualan rasminya telah pun diumumkan, dengan masing-masing bermula dari RM113,800 dan RM121,800.

Varian VLT boleh didapati dengan skema warna dua tona dengan tambahan sebanyak RM4,000, menjadikan harga jualannya RM125,800.

Apa yang menarik, ETCM menawarkan promosi Early Bird di mana 500 pelanggan terawal akan menerima waranti komponen EV selama 10 tahun/160,000 km serta rebat pengenalan bernilai RM5,000.

Dengan rebat berkenaan, harga jualan Kicks e-Power turun kepada RM108,800 untuk VL, RM116,800 untuk VLT dan RM120,800 untuk VLT dua tona.

Kicks e-Power menampilkan trenkuasa e-Power yang menggabungkan enjin petrol 1.2-liter tiga silinder, sebuah motor elektrik dan bateri litium-ion berkapasiti 2.1 kWj. Gabungan ini menghasilkan 129 PS dan 280 Nm.

Tidak seperti trenkuasa hibrid konvensional, enjin dalam trenkuasa e-Power bertindak sebagai penjana yang ditugaskan untuk mengecas bateri. Kuasa kemudiannya akan disalurkan ke motor elektrik bagi menggerakkan roda.

Ia bermakna Kicks e-Power dipacu sepenuhnya oleh motor elektrik seperti sebuah kenderaan elektrik sebenar tetapi ia tidak perlu dicas.

Kadar penggunaan bahan api adalah 21.7 km/l berdasarkan kitaran NEDC. Dengan tangki bahan api sebesar 41 liter, ia dikatakan mampu mencapai jarak sejauh 900 km.

Dari segi kelengkapan, Kicks e-Power didatangkan standard dengan lampu LED automatik, lampu kabus LED, cermin sisi boleh lipat automatik, pengelap cermin sensitif kelajuan dan kit pembaikan tayar (tiada tayar ganti).

Di dalam, terdapat tempat duduk Zero Gravity dengan balutan fabrik, pelarasan manual enam hala untuk kerusi pemandu dan empat hala untuk kerusi penumpang depan, skrin sentuh lapan inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, paparan meter TFT tujuh inci dan tiga port USB.

Ciri keselamatan pula terdiri daripada Vehicle Dynamic Control, Traction Control System, Hill Start Assist, Intelligent Driver Alertness, Cruise Control, Intelligent Forward Collision Warning dan Forward Emergency Braking.

Mereka yang memilih varian VLT mendapat ciri-ciri tambahan berupa upholsteri kulit dua tona, kamera 360 darjah, Intelligent Rear View Mirror, Intelligent Cruise Control, Blind Spot Warning dan Rear Cross Traffic Alert.

Kicks e-Power boleh didapati dalam warna Black Star, Sunrise Orange, Brilliant White Pearl, Brilliant Silver dan Red Pearl.

Varian VLT juga boleh dipesan dengan bumbung hitam Super Black untuk warna Sunrise Orange, White Pearl dan Red Pearl. Satu lagi warna dua tona yang ditawarkan untuk varian ini adalah Dark Metal Grey.

Mitsubishi Malaysia tawar promosi istimewa sepanjang KLIMS 2024

Mitsubishi Motors Malaysia menyediakan promosi istimewa sepanjang tempoh penganjuran acara pameran Kuala Lumpur International Mobility Show 2024 (KLIMS 2024) dari 5-11 Disember 2024.

Rakyat Malaysia boleh berkunjung ke reruai Mitsubishi Motors Malaysia yang terletak di Level 2, di mana MMM akan mempamerkan tema “Drive Your Ambition” yang menggambarkan komitmen jenama itu terhadap inovasi, cabaran dan nilai berpusatkan pelanggan.

Selain itu, pelanggan yang menempah dan mendaftarkan Mitsubishi Triton atau Xpander serba baharu di reruai MMM atau mana-mana pusat pameran MMM akan menerima pakej berupa subsidi bahan api dan pakej penyelenggaraan percuma selama dua tahun.

Menurut CEO MMM, Ikeda Shinya berkata, “kami mahu menawarkan bahan api kepada para pelanggan kami untuk pergi lebih jauh, memastikan mereka dapat sampai ke destinasi tanpa perlu risau semasa musim perayaan akhir tahun.

“Tambahan pula, kami mahu menyediakan pakej penyelenggaraan percuma, memberikan ketenangan minda kepada para pelanggan dan membolehkan mereka menikmati pengalaman pemilikan bebas masalah.

Selain daripada pameran model terbaharu, MMM juga akan mempamerkan pelbagai aksesori tulen untuk model Triton dan Xpander yang dapat memenuhi keperluan gaya hidup para pelanggan Mitsubishi Motors.

MMM juga mengumumkan pelancaran program pajakan kenderaan MAX Leasing menerusi kerjasama dengan ALD MHC Mobility Services Malaysia.

Program ini menyediakan alternatif yang lebih terurus kepada pembelian kenderaan secara langsung dengan kadar faedah yang lebih stabil dan jaringan servis yang menyeluruh bagi menyokong pertumbuhan pajakan kenderaan.