Category Archives: MALAYSIA

Lapangan Terbang Subang akan dinaik taraf jadi hab serantau, pelengkap KLIA

LAPANGAN Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) bakal mendapat wajah baharu dan menjadi hab aeroangkasa dan penerbangan serantau menerusi pelan penjenamaan semula Lapangan Terbang Subang (SARP).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata pelan penjenamaan semula yang dirangka oleh Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) itu telah mendapat kelulusan kerajaan.

Menurutnya lagi, SARP dijangka meningkatkan kapasiti semasa LTSAAS kepada lapan juta penumpang setahun, sekali gus menjadi pelengkap Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Pembangunan LTSAAS ini akan memberi fokus pada pembangunan ekosistem aeroangkasa, penerbangan am dan penerbangan perniagaan (GA/BA) dan lapangan terbang bandar atau sekunder.

“Ekosistem yang akan dibangunkan di LTSAAS membabitkan tujuh komponen iaitu pusat industri aeroangkasa, pusat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), pusat penyelidikan dan pembangunan, operasi GA, operasi BA, mobiliti udara bandar (UAM) dan operasi penerbangan komersial serantau,” katanya.

Cadangan ini turut membabitkan pengenalan semula penerbangan berjadual serantau menggunakan pesawat jet atau pesawat satu lorong sehingga A320/B737 atau yang seumpamanya dan kargo menggunakan pesawat jet di LTSAAS.

“Sasaran pasaran adalah kumpulan penumpang perniagaan atau kelas premium dengan memanfaatkan penuh kedudukan LTSAAS yang cukup strategik di tengah-tengah ibu kota,” tambah Loke.

Pada April 2021, MAHB pernah mengumumkan pelan pembangunan semula Lapangan Terbang Subang menjadi hab perniagaan penerbangan dan aeroangkasa Asia Pasifik dalam tempoh lima tahun, dengan anggaran peruntukan sekitar RM1.3 bilion.

Pelan itu sepatutnya bermula awal tahun lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada 2026 atau 2027.

Ditanya sama ada SARP yang diluluskan secara dasar oleh Kerajaan Perpaduan itu berkaitan dengan pelan pembangunan semula LTSAAS bernilai RM1.3 bilion itu, Loke berkata, MAHB akan memutuskan perkara itu dalam perangkaan pelan perniagaannya.

Menurut Loke, MAHB diberi tempoh sehingga April depan untuk merangka pelan pelaksanaan SARP itu, yang perlu dibentangkan semula kepada Kabinet untuk kelulusan.

“MAHB akan mengambil kira pandangan semua pihak dalam sesi libat urus dalam merangka pelan pembangunan ini, dan anggaran kos pembangunan semula LTSAAS akan diumumkan selepas pelan terperinci ini siap dibentangkan,” katanya.

Malaysia hantar 75 anggota SMART untuk misi bantuan gempa bumi Turkiye

Malaysia menghantar 75 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) untuk membantu usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di selatan Turkiye.

Gambar oleh: Twitter NADMA Malaysia

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata pasukan itu dihantar selepas mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya ingin memaklumkan bahawa Malaysia akan menghantar pasukan SMART bagi membantu usaha SAR mangsa gempa bumi di selatan Turkiye.

 

“Proses penghantaran pasukan SMART dibuat selepas mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri, dan menerima pengesahan keperluan bantuan daripada Kerajaan Turkiye,” katanya melalui kenyataan media.

Menurut Armizan, pasukan berkenaan akan berlepas ke Turkiye dengan menaiki penerbangan Turkish Alirlines dan mereka akan turut membawa bersama peralatan akan digunakan dalam operasi SAR itu.

Katanya, pasukan SMART menerima pengiktirafan Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG) pada 2016, membolehkan ia dihantar untuk menyertai misi bencana di luar negara.

Media antarabangsa melaporkan gempa bumi dengan kekuatan magnitud 7.9 menggegarkan selatan Turkiye hari ini, dengan angka kematian terkini melebihi 500 orang termasuk di kawasan berjiran di Syria.

Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye memaklumkan, gempa bumi berlaku jam 4.17 pagi (waktu tempatan) dan berpusat di daerah Pazarcik.

Gegaran menyebabkan puluhan bangunan musnah itu turut dirasai di wilayah lain termasuk Diyarbakir dan Gaziantep serta negara jiran termasuk Lubnan dan Syria.

Toyota dakwa ada data buktikan EV tidak elok untuk alam sekitar

KETIKA pengeluar automotif sedang berlumba-lumba mengeluarkan kenderaan elektrik (EV) masing-masing, Toyota mendakwa ia mempunyai data yang membuktikan bahawa EV boleh memberi kesan buruk terhadap alam sekitar.

Buat pengetahuan anda, Toyota menceburi pasaran EV agak lewat jika dibandingkan dengan pesaing-pesaing terdekatnya walaupun ia begitu rancak menghasilkan teknologi hibrid.

Ini menyebabkan Toyota dikritik hebat namun syarikat itu berpendirian bahawa komitmen sepenuhnya terhadap EV borpentsi mendatangkan impak negatif kepada alam sekitar.

Menurut ketua saintis Toyota, Gill Prat, adalah lebih masuk akal jika syarikat-syarikat kenderaan menawarkan kereta dengan sumber tenaga yang berbeza termasuk hibrid dan hidrogen.

“Tetapi bukankah EV tidak mengeluarkan sebarang emisi, kenapa pula kita nak menghasilkan lebih banyak kereta hibrid?”

Menurut Pratt, ini bergantung kepada ketersediaan litium, mineral yang digunakan dalam pengeluaran pek bateri. Beliau meramalkan industri kereta akan dilanda kekurangan litium serta mineral lain yang digunakan dalam pengeluaran bateri tidak lama lagi.

Bukan itu sahaja, lonjakan permintaan EV juga akan menyebabkan kekurangan fasiliti pengecasan, ramal Pratt.

Beliau berkata jika tiada litium yang mencukupi untuk menjana puluhan juta EV, adalah lebih baik jika bahan itu digunakan untuk menghasilkan kereta hibrid. Ini kerana jutaan kereta hibrid mempunyai impak lebih hebat ke atas output karbon dioksida (CO2) daripada menggunakan kuantiti litium yang sama untuk menghasilkan EV.

Dalam satu model hipotesis, Pratt bermula dengan 100 kenderaan pembakaran dalaman (ICE) dengan emisi CO2 sebanyak 250 g/km. Jika terdapat cukup litium untuk menghasilkan batteri 100 kWh, anda boleh menghasilkan sebuah Tesla ‘long range’ tetapi baki 99 kenderaan tadi masih akan mempunyai ICE, memberikan angka CO2 sebanyak 248.5 g/km.

Bagaimanapun, jika kapasiti bateri 100 kWh tersebut dibahagikan antara 90 kenderaan hibrid, dengan baki 10 kenderaan ICE, purata emisi akan jatuh kepada 205 g/km.

Ini tidak bermakna Toyota tidak berminat dengan EV. Pada Oktober 2021, syarikat itu memperkenalkan bZ4X yang dibangunkan secara bersama dengan Subaru, disusuli dengan konsep bZ Compact SUV yang bersaiz lebih kecil untuk pasaran China.

Namun begitu, Toyota tetap dengan pendiriannya bahawa pesaing-pesaingnya sedang melakukan kesilapan dengan memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap EV.

Jualan Proton naik 162 peratus pada Januari 2023

PROTON membuka tirai 2023 dengan langkah kanan selepas mencatat jualan sebanyak 11,681 unit bagi pasaran domestik dan eksport pada bulan Januari 2023. Ia merupakan permulaan terbaiknya sejak 2013.

Bukan itu sahaja, angka tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 162.3 peratus berbanding bulan Januari 2022 di mana prestasi jualan syarikat itu merudum akibat banjir yang turut menjejaskan rantaian bekalan.

Anggaran pegangan pasaran untuk Proton bagi Januari 2023 adalah 22.9 peratus, satu peningkatan lebih daripada 12 peratus dari tahun ke tahun dan pertambahan lebih 3 peratus daripada pegangan pasaran sebanyak 19.6 peratus untuk keseluruhan 2022.

Sementara itu, jumlah keseluruhan volum industri (TIV) untuk bulan Januari dianggarkan dianggarkan meningkat sebanyak 22.8 peratus kepada 51,000 unit.

Dengan bekalan cip kini lebih stabil, jumlah jualan Persona menyaksikan peningkatan semula dengan catatan sebanyak 2,039 unit, sekaligus membolehkan model itu kembali menduduki tempat pertama untuk jualan sedan segmen B.

X50 mengekalkan gelarannya sebagai SUV paling popular negara dengan jualan sebanyak 2,992 unit, manakala X70 pula memperolehi 993 unit jualan pada bulan lalu untuk menduduki tempat kedua dalam segmennya.

Berikut adalah angka jualan Januari 2023 bagi setiap model Proton:

“Memandang ke hadapan untuk baki 2023, walaupun sentimen pasaran menganggarkan TIV akan surut daripada rekod baru jumlah jualan pada tahun lepas, Proton optimistik akan berjaya mencapai penumbuhan untuk tahun ke lima berturut-turut,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton.

“Dengan fasiliti baru yang akan beroperasi di kilang Tanjung Malim, penambahan kepada rangkaian jualan, pelaburan infrastruktur mengecas EV dan penambahan model konvensional dan EV kepada barisan model Proton, kami yakin akan mampu mencapai keputusan yang positif pada akhir tahun,” tambahnya lagi.

Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad meninggal dunia di Jeddah

PRESIDEN Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad dilaporkan telah menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 71 tahun di Jeddah semalam.

Allahyarhamah bukanlah nama yang asing dalam industri automotif tempatan. Beliau telah menyandang jawatan sebagai Presiden MAA sejak tahun 2000 lagi, selain memegang jawatan sebagai Perunding Kanan Hyundai-Sime Darby Motors.

Sementara itu DRB-Hicom dalam satu kenyataan media menzahirkan rasa sedih atas kembalinya Datuk Aishah ke Rahmatullah.

“Beliau adalah seorang yang gigih dalam industri automotif dan telah memberikan sumbangan besar kepada industri permotoran Malaysia sepanjang kerjayanya,” tulis kenyataan itu.

Dato’ Sri Syed Faisal Albar, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, berkata Datuk Aishah amat sukar diganti dan legasinya akan mencerminkan impak segala usaha yang dilaksanakan di dalam industri yang beliau sangat cintai.

“Kepimpinan, visi, dan dedikasi beliau dalam menguruskan MAA telah memberi impak yang berkekalan kepada industri, dan beliau akan dikenang sebagai pemimpin yang tidak mengenal erti penat lelah demi perkembangan dan pembangunan sektor automotif di Malaysia. Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar kepada industri dan seluruh masyarakat”, kata Syed Faisal.

 

Volvo Car Malaysia akan eksport EV ke Vietnam dan Filipina mulai tahun ini

VOLVO Car Malaysia (VCM) mengumumkan bahawa ia akan memulakan eksport kenderaan elektrik (EV) yang di pasang di Shah Alam ke Vietnam dan Filipina tahun ini. Syarikat itu telah pun menghantar EV ke Indonesia bermula tahun lalu.

Perjalanan elektrifikasi VCM bermula dengan pelancaran EV pertamanya di Malaysia iaitu Volvo XC40 Recharge Pure Electric pada mac 2022. Model itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan, dengan pesanan melebihi 400 unit dalam tempoh sebulan selepas ia dilancarkan.

Pada Disember 2022, VCM memperkenalkan pula EV pemasangan tempatannya yang kedua iaitu C40 Recharge Pure Electric. Lebih 100 unit telah dipesan secara dalam talian dalam tempoh 10 hari selepas tarikh pelancarannya.

Dengan pelancaran dua model ini, syarikat itu berada di landasan yang betul untuk mencapai sasarannya di mana 75 peratus daripada jumlah jualan keseluruhannya datang daripada barisan Recharge Pure Electric menjelang 2025, dan untuk menjadi syarikat EV penuh menjelang 2030.

Selain melancarkan model-model EV menarik yang dipasang secara tempatan, VCM turut memperkenalkan platform jualan dalam talian sebagai sebahagian daripada inisiatifnya untuk menjadikan Malaysia sebagai hab EV.

VCM merupakan pengeluar aputomotif pertama di negara ini yang menawarkan barisan penuh PHEV pemasangan tempatan dan juga yang pertama yang mempunyai kilang pemasangan tempatan yang menghasilkan kenderaan EV.

Pengarah Urusan VCM, Charles Frump berkata, “Cita-cita Volvo Car Malaysia ke arah elektrik sepenuhnya di Malaysia kini semakin menjadi realiti. Kilang pemasangan kami memainkan peranan penting dalam cita-cita elektrifikasi kami kerana kami akan membawa kenderaan elektrik ke dua lagi negara ASEAN – Vietnam dan Filipina.”

“Pengeksportan kenderaan elektrik kami yang dipasang secara tempatan adalah salah satu daripada usaha kami untuk mendorong Malaysia menjadi hab bagi kenderaan elektrik di rantau ASEAN,” katanya.

Laluan LRT Masjid Jamek-Bandaraya ditutup 2 minggu bagi kerja pembaikan

LALUAN yang menghubungkan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) stesen Masjid Jamek dan stesen Bandaraya yang mengalami gangguan sejak Jumaat lalu akan ditutup selama dua minggu lagi untuk kerja-kerja pembaikan struktur jejambat yang mengalami keretakan.

Perkara ini dimaklumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang menambah bahawa kerja-kerja pembaikan itu akan dilaksanakan pihak Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam kadar segera.

Bercakap kepada media, Anthony menjelaskan bahawa kedua-dua stesen berkenaan tidak ditutup cuma laluan menghubungkan kedua-duanya sahaja yang ditutup.

Menurut beliau lagi, dalam tempoh itu, orang ramai boleh menggunakan ‘shuttle bus’ yang disediakan bagi menghubungkan kedua-dua stesen itu.

Gambar-gambar kerosakan pada struktur jejambat yang dikongsikan oleh Rapid KL minggu lalu.

“Proses pembaikan ini melibatkan dua fasa iaitu fasa pendek dalam tempoh dua minggu untuk dipastikan ada pembaikan dan struktur selamat digunakan, manakala fasa panjang adalah bagi memastikan struktur itu kukuh,” jelasnya.

Laluan kedua-dua stesen itu akan dibuka semula apabila pihak berkenaan memastikan perkhidmatan itu selamat kepada orang ramai.

“Kita tiada pilihan kerana ini membabitkan isu keselamatan. Jadi, saya memohon maaf kepada pihak penumpang,” katanya.

Sebelum ini, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) menerusi kenyataan, memberitahu terdapat kerosakan struktur jejambat berhampiran stesen tersebut akibat daripada kerja pembinaan bersebelahan kawasan itu.

Perodua Axia 2023 dah tiada manual? Ada, nanti dulu…

PERODUA hari ini telah mengumumkan pembukaan tempahan Axia 2023 yang dijangka akan dilancarkan pada Februari.

Seperti yang tular tempoh hari, Axia D74A ini akan ditawarkan dengan empat varian dan hanya satu pilihan kotak gear, iaitu automatik D-CVT. Tiada lagi pilihan manual. Maklumat rasmi yang disiarkan oleh Perodua hari ini juga mengesahkan perkara ini.

Kebetulan pula ada beberapa pembaca di kalangan anda semua yang bertanya di ruangan komen posting Facebook kami, “Jika tiada lagi Axia manual, mungkin sekolah memandu terpaksa pilih model lain.”

Jadi, kami menggunakan kesempatan majlis sidang media bersama Perodua untuk bertanya terus perihal ini kepada Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

Menurutnya, Perodua Axia manual akan terus dihasilkan, tetapi ia hanya akan dilancarkan lewat sedikit, selepas pelancaran rasmi Axia dengan varian-varian D-CVT.

Dato’ Sri Zainal berkata bahawa Axia 2023 dengan kotak gear manual akan memasuki pasaran selepas Hari Raya tahun ini.

“Kami akan terus hasilkan kereta manual khasnya untuk sekolah-sekolah memandu. Ini kami akan umumkan kemudian, malah kami rasa sekolah-sekolah memandu akan suka sebab keretanya sama (Axia), spesifikasi bagus,” kata Zainal.

Pengenalan Perodua Axia manual ini adalah salah satu dari enam atau tujuh model yang akan diperkenalkan tahun ini.

Axia 2023 dengan kotak gear manual akan mempunyai spesifikasi lebih baik dari Axia sedia ada. Dan selain untuk kegunaan sekolah memandu, Axia manual ini juga akan ditawarkan kepada orang awam.

Walaubagaimanapun, Dato’ Sri Zainal tidak mendedahkan sebarang angka harga Axia manual ini. Kami jangkakan antara RM33,000 hingga RM36,000.

Jika anda mahu mengetahui maklumat rasmi Perodua Axia 2023, boleh baca di sini.

Proton Commerce catat prestasi cemerlang pada 2022, beri 22,467 pinjaman kepada pembeli

2022 merupakan tahun yang berjaya bagi Proton serta anak syarikatnya dengan jualan keseluruhan sebanyak 141,432 unit untuk pasaran domestik dan eksport. Prestasi ini membolehkan syarikat itu mengekalkan tempat kedua dalam carta jualan automotif nasional.

Kejayaan ini seiring dengan pencapaian cabang pinjaman kewangan Proton iaitu Proton Commerce Sdn. Bhd. yang memanfaatkan pertumbuhan jualan dengan mencatatkan rekod baharu bagi pengeluaran pinjaman.

Ditubuhkan pada 27 Oktober 2003, Proton Commerce merupakan usaha sama antara Proton Edar dan CIMB yang bertujuan menyediakan pinjaman kewangan kepada pembeli Proton.

Untuk tahun 2022, syarikat itu mengeluarkan sebanyak 22,467 pinjaman, kira-kira 54 peratus lebih tinggi berbanding jumlah pinjaman yang dikeluarkan pada 2021 dan juga yang terbaik dalam sejarahnya.

Angka ini dicapai selepas lapan daripada 12 bulan mencatat lebih daripada 2,000 pinjaman dengan bulan September mencapai angka tertinggi sepanjang masa iaitu sebanyak 2,872.

Pada masa yang sama, perkembangan jumlah pengeluaran dicerminkan dengan peningkatan dalam kadar kelulusan pinjaman di mana bulan Mei dan Jun mencapai kadar kelulusan tertinggi sepanjang masa sebanyak 59 peratus.

Satu lagi pencapaian Proton Commerce pada tahun lalu adalah menjadi pembiaya utama bagi model Proton yang terlaris iaitu Saga. Bermula dari suku keempat 2021, syarikat itu telah menjadi peneraju untuk Saga selama lima suku berturut-turut dan pada November, 32 peratus daripada jumlah Saga dibayai olehnya.

Mooi Fi Phang, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Commerce berkata walaupun menghadapi permulaan yang sukar tahun lalu, pihaknya sempat memulihkan keadaan dan menebus semula peluang yang terlepas untuk muncul dengan rekod pengeluaran baharu.

“Untuk tahun 2023, kami menyasarkan untuk meningkatkan volum dan kadar kelulusan yang lebih tinggi lagi dengan mengambil kesempatan terhadap populariti berterusan model Proton serta pengenalan model baharu. Semoga ini akan mendorong kami untuk pembiaya Proton yang utama,” katanya.

Mooi Fi Phang, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Commerce

Untuk tahun ini juga, Proton Commerce telah mengumumkan manfaat baharu iaitu lanjutan kesahihan Letter of Undertaking (LOU) daripada 90 hari kepada 180 hari. Ini akan memudahkan pembeli model Proton yang terpaksa menunggu lama untuk varian pilihan mereka.

“Proton Commerce juga akan mengekalkan kadar faedah yang ditawarkan pada masa kelulusan dan kerana kami menawarkan pembiayaan kadar tetap, pelanggan kami tidak perlu bimbang tentang peningkatan bayaran bulanan,” tambah Mooi Fi Phang.

Perodua Axia 2023 lebih mahal? Ini sebabnya

AWAL pagi tadi, Perodua telah mengumumkan bahawa tempahan Perodua Axia 2023 telah pun dibuka. Hatchback segmen-A dengan nama kod D74A itu akan ditawarkan dalam empat varian dengan harga antara RM38,600 untuk varian G, hingga RM49,500 untuk AV.

Jadi apabila kami membuat posting di Facebook, rata-rata komen anda berkata Perodua Axia baharu ini semakin mahal, tidak lagi begitu mampu milik. Ada yang kata Axia sudah jadi mampu tengok sahaja.

Axia generasi semasa mempunyai enam varian, berharga dari RM24,090 untuk 1.0 E, tetapi ini untuk spesifikasi sekolah memandu. Varian G berharga RM33,490, manakala varian tertinggi AV berharga RM43,190.

Sebenarnya, kenapa Axia 2023 semakin mahal? Enjin masih sama 1.0-liter 1KR-VE 3-silinder. Adakah Perodua sengaja menaikkan harga, atau ada sebab lain?

Menurut Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad, kenaikan harga itu adalah disebabkan saiz kereta yang lebih besar dan kelengkapan ciri lebih maju berbanding model sebelumnya.

“Saiz Axia baharu adalah lebih besar dari kereta sekarang. Ciri-cirinya juga berbeza. Sebelum ini, Axia tidak mempunyai ASA (Advanced Safety Assist),” kata Dato’ Sri Zainal.

“Axia baharu ini akan dilengkapi sehingga enam beg udara, termasuk beg udara sisi. Keselamatan sangat penting. Kami mahu pastikan sepanjang kami mengorak langkah, kami masukkan semua ciri keselamatan dalam kereta kami,” tambahnya.

Menurut Dato’ Sri Zainal lagi, pertambahan harga bukanlah disebabkan inflasi atau kos bahan mentah, tetapi kerana ciri tambahan yang diberikan.

Perodua Axia 2023 juga merupakan kereta yang lebih canggih dan sofistikated. Ia dibina pada pelantar DNGA (Daihatsu New Global Architecture), mempunyai kotak gear D-CVT baharu (tiada lagi manual dan automatic 4-kelajuan), mendapat lampu LED, dan paparan instrumen digital 7-inci.

Harus diketahui, penggunaan kotak gear D-CVT baharu memberikan lebih penjimatan iaitu sehingga 27.4km/L untuk varian yang hadir dengan Eco Idle. Selain itu, terdapat juga paparan infotainmen 9-inci, selain saiz lebih besar dan kelengkapan ASA seperti disebut tadi.

Jadi, inilah sebab mengapa Axia 2023 lebih mahal dari model sebelumnya. Apa pendapat anda mengenai spesifikasi Axia kali ini?

Perodua sasar pengeluaran 330,000 unit, peruntukkan RM10 bilion untuk alat ganti

PERODUA cuba untuk memaksimumkan jumlah pengeluarannya kepada 330,000 unit dan jualan kepada 314,000 unit tahun ini, disokong oleh tempahan tertunggak yang dibawa daripada tahun lepas serta permintaan berterusan untuk kenderaannya setakat tahun ini.

“Tahun ini (2023) memberi peluang keemasan kepada kami kerana para pengguna masih mempunyai keyakinan terhadap pasaran automotif,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

“Malah, lebih separuh daripada jumlah sasaran kami adalah daripada tempahan yang kami kumpul tahun lepas tetapi masih belum dihantar.

“Memandangkan kapasiti normal bagi pengeluaran terpasang tahunan kami untuk kilang Perodua Manufacturing dan Perodua Global Manufacturing berada pada 320,000 unit dalam dua kitaran syif, kami masih boleh meningkatkan pengeluaran kami dengan menambahbaik produktiviti dan memulakan kerja lebih masa.”

Beliau berkata kesan pertumbuhan pengeluaran sedemikian kepada industri automotif Malaysia akan menjadi lebih ketara kerana Perodua telah memperuntukkan RM10.0 bilion untuk membeli alat ganti daripada para pembekal tempatan bagi memenuhi sasarannya bagi tahun ini.

“Secara ringkas, peningkatan dalam pengeluaran akan memberi rangsangan yang amat diperlukan buat industri tempatan kita untuk meningkatkan skala ekonomi mereka serta bersaing dengan lebih baik dengan rakan mereka yang lain di luar negara,” kata Dato’ Sri Zainal.

Sasaran 330,000 pengeluaran dan 314,000 jualan masing-masing adalah lebih tinggi iaitu 14.2 peratus dan 11.3 peratus berbanding prestasi pengeluaran dan jualan Perodua pada 2022 yang masing-masing mencatatkan sebanyak 289,054 dan 282,019.

Secara keseluruhannya, Perodua telah menghasilkan sejumlah 4.68 juta kenderaan sejak ia mula dikeluarkan pada 1994.

“Kami percaya jumlah volume industri boleh melebihi 650,000 unit seperti yang diumumkan oleh Persatuan Automotif Malaysia,” kata Dato’ Sri Zainal.

Beliau berkata berdasarkan tempoh menunggu bagi kebanyakan jenama, serta permintaan yang masih kukuh untuk kenderaan Perodua, TIV berpotensi mencecah 700,000 tahun ini.

Perodua Axia 2023 sudah boleh mula ditempah, harga anggaran bermula RM38k

PERODUA hari ini menyiarkan satu video teaser yang memperlihatkan model pertama mereka yang akan dilancarkan tahun ini iaitu Perodua Axia 2023. Apa yang menarik, ia kini sudah dibuka untuk tempahan, sekaligus menandakan pelancaran rasminya bakal tiba tidak lama lagi.

Video berdurasi 10 saat itu mendedahkan lampu hadapan Axia yang tampil dalam reka bentuk terkini yang lebih tajam. Bukan itu sahaja, ia juga dihiasi dengan lampu nyalaan siang LED yang bersambung dengan jalur krom pada gril.


Berdasarkan brosur yang kami terima, Axia baharu (diberi kod nama D74A) akan ditawarkan dalam empat varian iaitu G, X, SE dan AV. Kesemuanya dikuasakan oleh enjin 1.0-liter NA yang dipadankan dengan transmisi jenis D-CVT. Pilihan transmisi manual tidak kelihatan.

Kuasa dan tork tidak dinyatakan, namun menurut Perodua, gabungan itu memberikan kadar penggunaan bahan api 25.3 km/l bagi varian G dan X. Bagi varian SE dan AV, bacaan meningkat sehingga 27.4 km/l dengan adanya sistem Eco Idle. Kedua-dua varian ini juga dilengkapi dengan Power Mode.

Dari segi kelengkapan, varian G dan X mempunyai lampu jenis halogen, manakala dua varian lagi dilengkapi dengan lampu LED automatik dan lampu nyalaan siang LED. Cermin sisi pada semua varian adalah elektrik, namun pada SE dan AV, ia boleh dilipat secara automatik dan mempunyai lampu membelok LED.

Di dalam, varian SE dan AV didatangkan dengan kerusi separa bucket dan upholsteri separa-kulit dua tona, manakala yang selebihnya mendapat kerusi standard dan upholsteri fabrik.

Sebagai varian tertinggi, Axia AV didatangkan standard dengan paparan multi-info TFT berukuran 7.0 inci dan paparan audio 9.0 inci seperti yang terdapat pada Alza dan Ativa.

Untuk sistem keselamatan, Axia AV mendapat enam beg udara (pemandu, penumpang, sisi dan tirai) dan Perodua Smart Drive Assist. Ciri-ciri lain seperti ABS dengan EBD dan BA, Vehicle Stability Control, Hill-Start Assist dan Traction Control pula disertakan secara standard pada semua varian.

Axia 2023 boleh didapati dalam lima warna iaitu Ivory White, Glittering Silver, Lava Red, Granite Grey dan warna baharu Coral Blue.

Menurut paultan.org, harga dijangka bermula dari RM38,600 untuk varian G, RM40,000 untuk X, RM44,000 untuk SE dan RM49,500 untuk AV.

Individu buat kerja gila bina bangsal parkir kereta di tengah jalan

KETIADAAN ruang tempat letak kereta yang mencukupi di kawasan perumahan bukanlah suatu masalah baharu. Mungkin kerana inilah seorang penduduk di taman perumahan Seri Mahkota, Kuantan bertindak untuk membina sebuah bangsal di tengah jalan.

Bagaimanapun, perbuatan itu mengundang padah apabila bangsal haram itu berjaya dikesan oleh anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Kuatan (MBK) ketika menjalankan pemeriksaan di kawasan itu.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi, MBK menganggap perbuatan itu sebagai tindakan luar biasa.

“Lagi kes luar biasa. Bangsal diletakkan di tengah jalan bagi tujuan parkir. Kejadian berlaku di Seri Mahkota. Notis arahan pengalihan telah dikeluarkan. Atas kegagalan mematuhi notis, tindakan penguatkuasaan akan diambil,” tulis MBK.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Norkamawati Kamal berkata notis arahan pengalihan telah dikeluarkan selama tujuh hari ke atas pemilik kenderaan terbabit.

“Jika pihak pemilik kenderaan atau pihak berkaitan gagal mematuhi notis tersebut, tindakan sitaan bakal diambil.

“Kadar sitaan kita kenakan sebanyak RM100 sehari sehingga pemilik atau pihak berkaitan menebus kenderaan ini,” katanya.

Daihatsu Gran Max kekal pilihan rakyat Malaysia dalam segmen kenderaan komersial ringan

DAIHATSU Malaysia telah mengumumkan prestasi jualan bagi tahun 2022 dengan sejumlah 1,190 unit pikap dan van panel Gran Max (dalam versi manual dan automatik) berjaya diserahkan.

Menurut syarikat itu, pencapaian ini menjadikan Gran Max model pikap dan van panel pilihan nombor satu di Malaysia bagi segmen kenderaan komersial ringan bawah 2.0L.

Van panel Gran Max mengekalkan kedudukannya sebagai varian paling laris dan penyumbang terbesar kepada jualan keseluruhan Daihatsu Malaysia dengan catatan 54 peratus.

Walaupun industri automotif berdepan cabaran di peringkat global yang diakibatkan oleh gangguan rantaian bekalan dan kelembapan ekonomi, Daihatsu Malaysia masih mencatat prestasi jualan yang memberangsangkan terima kasih kepada pengenalan Gran Max Minor Change (MC) pada Jun tahun lalu.

Kedua-dua model pikap dan van panel Gran Max dikemas kini dengan beberapa ciri baharu seperti tingkap kuasa, sistem pemain multimedia, kamura undur dan port pengecas USB 12V-24V.

Arman Mahadi, Pengarah Urusan Daihatsu (Malaysia) Sdn. Bhd. berkata pihaknya menyasarkan untuk memberikan pengalaman pemanduan menyeluruh dengan menyediakan keselesaan, kebolehpercayaan, keselamatan serta kemudahan dan praktikaliti.

“Kami sentiasa berterima kasih kepada semua pelanggan korporat dan individu kami atas sokongan berterusan mereka terhadap jenama Daihatsu dan penghargaan ikhlas kami juga ditujukan kepada semua pengedar Daihatsu, rakan niaga yang berjaya mengharungi tahun yang mencabar bersama-sama,” tambah beliau.

Bagi tahun 2023, Daihatsu Malaysia akan memulakan pelan transformasi perniagaan dan pengembangan rangkaian peniaga di Utara, Selatan dan Timur Malaysia.

Polis minta orang ramai jangan sebar info sekatan jalan raya di Waze

TINDAKAN segelintir pengguna jalan raya yang berkongsi maklumat sekatan jalan raya atau kehadiran polis di aplikasi Waze menjejaskan tindakan penguatkuasaan pihak berkuasa terhadap pemandu ingkar.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, tindakan berkongsi maklumat itu menyebabkan polis tidak dapat mengambil tindakan ke atas pemandu yang ingkar, terutamanya mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan kesalahan trafik lain.

“Orang ramai berpendapat dengan memaparkan keberadaan pihak polis, pemandu akan lebih cenderung untuk memandu dalam keadaan berhati-hati dan sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Hakikatnya, ia menghalang penguatkuasaan terhadap pemandu yang ingkar, terutamanya mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan kesalahan trafik lain,” katanya.

Katanya lagi, sebilangan masyarakat memberi reaksi negatif terhadap nasihat polis Kuala Lumpur, yang meminta orang ramai tidak berkongsi maklumat sekatan jalan raya atau kehadiran polis, di aplikasi Waze.

Azmi berkata, pengguna jalan raya harus sedar bahaya yang akan dihadapi disebabkan oleh kecuaian pemandu, termasuk yang memandu dalam keadaan mabuk, melanggar lampu isyarat dan memandu melawan arus.

“Bagi individu yang tidak pernah terkesan dengan musibah diakibatkan oleh kecuaian dan kelalaian pesalah trafik ini, mereka tidak akan dapat merasakan keperitan dan kesengsaraan yang ditanggung oleh keluarga mangsa.

“Oleh itu, besarlah harapan saya supaya orang ramai terutamanya pengguna jalan raya memberi kerjasama kepada pihak polis daripada cuba membantu mereka yang melakukan kesalahan jalan raya ini,” katanya.

Takut JPJ punya pasal, lelaki tinggalkan tunang di Jambatan Pulau Pinang

“LAUTAN api sanggup diredah konon, baru jumpa abang JPJ dah lari lintang-pukang.”

Itulah kejadian yang mencuit hati yang berlaku Rabu lalu apabila seorang lelaki meninggalkan tunangnya ketika melarikan diri daripada sekatan jalan raya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang.

Dalam kejadian jam 9.45 malam itu, wanita berkenaan yang berusia 20-an itu mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan dan kaki.

Bagaimanapun, belum sempat pihak JPJ memberikan rawatan awal kepadanya, wanita itu bertindak melarikan diri.

Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md Isa berkata, pasangan yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 diarahkan berhenti untuk pihaknya melakukan pemeriksaan menerusi Op Motosikal Khas di lorong motosikal Jambatan Pulau Pinang sempena Tahun Baharu Cina.

Sumber gambar: Facebook JPJ Pulau Pinang

Tambahnya, ketika pihak penguat kuasa mengarahkan penunggang membuat lencongan untuk pemeriksaan lanjut, lelaki tersebut bertindak melarikan diri dengan membuat pusingan U secara mengejut, sekaligus mengakibatkan tunangnya terjatuh dari motosikal.

“Lelaki itu tidak peduli dengan wanita berkenaan dan terus memecut laju motosikal menghala ke bahagian Pulau,” katanya.

Ketika ditanya, wanita itu mengakui lelaki itu adalah tunangnya dan mereka dalam perjalanan dari Seberang Perai menuju ke pusat bandar.

Beliau berkata, lelaki berkenaan mungkin tiada lesen memandu atau cukai jalan tamat tempoh hingga menyebabkan dia nekad melarikan diri.

Pertama dalam dunia, Perodua Axia akan jadi model pertama dilancar sebelum Agya dan Ayla

MINGGU lepas, kami laporkan mengenai spesifikasi Perodua Axia yang bocor, mendedahkan empat varian untuk model kompak itu akan diperkenalkan. Kesemuanya akan menggunakan kotak gear automatik (D-CVT), bermakna tiada lagi model manual untuk Axia 2023.

Dalam perkembangan terbaharu, Axia dilaporkan bakal menjadi model pertama dari trio Axia-Ayla-Agya untuk dilancarkan. Menurut rakan media kami di Paultan.org yang memetik Autonetmagz, Ayla akan diperkenalkan sebelum Indonesia International Motor Show (IIMS) pada pertengahan Februari.

Sumber lain pula memberitahu Autonetmagz bahawa Agya akan tiba pada Mac. Tetapi Axia akan menjadi model pertama dilancar, iaitu sebelum IIMS 2023.

Model kompak ini dibina pada pelantar Daihatsu New Global Architecture (DNGA), iaitu platform sama yang menjadi ‘tulang’ kepada Perodua Ativa (kembar kepada Rocky dan Raize).

Berbalik kepada spesifikasi, menurut maklumat yang bocor itu, Perodua Axia D74A akan hadir dengan varian G, X, SE dan AV, dan kesemuanya dipacu oleh enjin 1.0-liter. Tiada enjin turbo seperti yang diura-urakan sebelum ini.

Sumber gambar: Youtube Theophilus Chin

Proton Global Services lantik Industrial Labs sebagai pembekal sistem PV

Proton Global Services Sdn. Bhd. (PGS), anak syarikat milik Proton Edar, telah melantik Industrial Laboratories Sdn. Bhd. (Industrial Labs) sebagai pembekal sistem solar fotovoltaik (PV) yang kedua untuk mengembangkan penggunaan tenaga solar dalam rangkaian pengedar dan vendornya.

Pelantikan itu adalah sebahagian daripada inisiatif kelestarian tenaga pembuat kereta nasional yang berusaha untuk menurunkan pelepasan karbonnya untuk meningkatkan skor ESG.

Semasa majlis menandatangani perjanjian yang diadakan baru-baru ini, kedua-dua pihak menerangkan tentang usaha kerjasama untuk mengembangkan penggunaan tenaga solar di Malaysia. Selain menceburi pelbagai aktiviti perniagaan, PGS juga melaksanakan pengoptimuman tenaga dan solusi tenaga lestari untuk Proton.

Industrial Labs ialah pembekal utama dan pembekal perkhidmatan solusi tenaga yang boleh diperbaharui di Malaysia dengan pengalaman di seluruh Asia Tenggara.

“Tenaga baharu adalah salah satu aktiviti perniagaan teras untuk PGS. Selain daripada mempromosi dan melaksanakan penggunaan tenaga solar kepada pengedar dan vendor kami, kami juga telah menyelia pemasangan sistem solar di kilang Proton di Tanjung Malim yang mampu menghasilkan 12MWp dan menjana potensi penjimatan bil tenaga sehingga RM3.5 juta setahun untuk Proton selama 25 tahun.

“Dengan penambahan Industrial Labs sebagai pembekal sistem PV, kami sedang berusaha untuk mempercepatkan penggunaan tenaga solar dalam rangkaian pengedar dan vendor Proton pada tahun 2023 untuk mengurangkan lagi pelepasan karbon syarikat,” kata Lee Yeet Chuan, Ketua Pegawai Eksekutif PGS.

Sementara itu, Shamsul Azhar Bin Zainuddin, Pengasas Bersama dan Pengarah Industrial Labs berkata, “Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP27) di Mesir tahun lalu menggariskan langkah-langkah yang perlu diambil untuk memastikan peningkatan suhu global diminimumkan berbanding tahap pra-industri.

Penyahkarbonan pengeluaran tenaga adalah salah satu inisiatif yang dipromosikan, dan itulah sebabnya kami gembira dapat bekerjasama dengan PGS kerana mempromosikan tenaga bersih seperti solar adalah satu langkah menuju ke arah yang betul,” katanya.

Di peringkat nasional, Malaysia telah komited untuk menjadi negara neutral karbon menjelang 2050 dan oleh itu, pengeluar seperti Proton akan memainkan peranan penting untuk membantu mengurangkan tahap pelepasan karbon negara.

“Dengan parameter ESG yang semakin popular setiap tahun, semua entiti korporat mesti berusaha untuk meningkatkan markah mereka dalam bidang ini. Di samping itu, Proton sebagai jenama automotif nasional mempunyai tanggungjawab untuk memainkan peranan aktif dalam membantu Malaysia mencapai matlamat neutral karbonnya menjelang tahun 2050. Itulah sebabnya kami akan terus mempromosikan lebih banyak inisiatif hijau dalam syarikat dan ekosistem kami pada masa akan datang yang terdekat,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

Range Rover generasi baharu bakal tiba Februari ini – 4.4 V8, 530hp, suspensi udara

Jaguar Land Rover Malaysia (JLRM) dijangka akan membawa masuk Range Rover generasi kelima serba baharu untuk pasaran negara ini. Range Rover L460 itu dikatakan bakal tiba pada pertengahan Februari nanti.

Menurut Pengarah Urusan JLRM, Syed Ahmad Muzri Syed Faiz, “Range Rover L460 ialah SUV prestasi mewah terbaik dalam kelasnya yang akan mengubah segmen itu.”

“Dengan kombinasi sempurna inovasi dan kemewahan, ini akan menjadi Range Rover paling diimpikan dan kami teruja untuk membawanya ke pasaran Malaysia tidak lama lagi.”

SUV itu akan dikuasakan oleh enjin 4.4-liter V8 turbo petrol yang menjana 530hp dan 750Nm tork yang digandingkan dengan kotak gear automatik 8-kelajuan. Dengan pacuan semua-roda, SUV ini mampu memecut ke 100km/j dalam hanya 4.6 saat. Kelajuan maksima ialah 250km/j.

Range Rover L460 akan didatangkan dengan ciri premium seperti rim aloi 22-inci, sistem All-Wheel Steering, balutan kulit mewah, kamera keliling 3D, paparan instrumen 13.7-inci, dan skrin infotainmen terapung 13.1-inci.

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan sistem audio Meridian antara 400 hingga 1,600 watt, pendingin hawa tiga-zon, suspensi udara, differential aktif dengan kawalan elektronik, head-up display, dan tempat duduk berongga.

Nantikan maklumat lanjut sebaik sahaja ia dilancarkan tidak lama lagi.

Proton Wira kereta kegemaran pencuri 11 tahun berturut-turut

SIAPA sangka, kereta yang dilancarkan kira-kira 30 tahun lalu masih lagi dianggap sebagai ‘barang panas’.

Kereta yang dimaksudkan adalah Proton Wira, yang mana menurut Majlis Pengurangan Kecurian Kenderaan Malaysia (VTREC), mengekalkan statusnya sebagai kenderaan paling kerap dicuri untuk 11 tahun berturut-turut.

Menurut penyelarasn VTREC, Mas Tina Abdul Hamid, senarai yang dikeluarkan itu adalah berdasarkan tuntutan yang diterima oleh syarikat insurans.

Katanya lagi, sebanyak 131 unit Wira telah dicuri pada 2021, diikuti dengan Iswara dengan 75 kes. Sementara itu, Myvi pula berada pada tangga keenam.

Bagi kereta buatan jenama asing, Toyota Hilux muncul sebagai kenderaan yang paling banyak dicuri dengan 65 kes pada 2021. Ini meletakkannya di tangga keempat senarai itu, di belakang Perodua Kancil.

“Terdapat kereta Mercedes-Benz curi yang dijual pada harga serendah RM10,000, atau Hilux pada harga RM12,000, dan Wira pada hanya RM3,000,” kata Mas Tina.

Menurut beliau lagi, acap kali pencuri kereta adalah pembekal alat ganti Wira. Pencuri selalunya menyasarkan model kereta yang lebih tua dan lebih popular, dan beliau percaya Myvi akan menjadi sasaran seterusnya.

Untuk motosikal pula, data yang dibekalkan kepada The Star menunjukkan sebuah Yamaha 135LC dicuri setiap hari, sekaligus menjadikannya model motosikal paling kerap dicuri pada 2021.

Di tangga kedua adalah Yamaha Y15ZR dengan 165 kes, diikuti dengan Honda C100 di tempat ketiga dengan 151 kes.

“Kebiasaannya, pencuri akan menyasarkan model terkini, leraikannya dan jual alat ganti. Mereka juga menjual Yamaha 125Z pada harga RM1,500, Yamaha 135LC pada harga RM500, serta Honda EX5 dan Honda Wave pada harga RM300,” kata Mas Tina.

Untuk transaksi, pelanggan yang bersetuju dengan tawaran akan mendepositkan wang ke akaun milik sindiket sebelum kenderaan atau komponen curi tersebut dihantar kepada mereka menggunakan khidmat pos berdaftar.

Tambah Mas Tina lagi, sukar bagi pihak berkuasa untuk membanteras sindiket tersebut kerana mereka mempunyai kumpulan yang berbeza untuk mencuri dan membawanya ke Thailand. Di sana, ia akan dijual oleh pihak lain.