DILANCARKAN buat pertama kali di Malaysia pada 2021, Honda RS-X kini tampil dengan dua pilihan warna baharu untuk model tahun 2023 iaitu Lemon Ice Yellow dan Candy Caribbean Blue Sea.
Bukan itu sahaja, moped itu juga boleh didapati dalam versi Trico yang menampilkan kombinasi warna ikonik merah, biru dan putih, serta rim berwarna emas yang lebih menonjol.
Selain pilihan warna baharu, ciri-ciri lain RS-X masih kekal sama. Ia dikuasakan oleh enjin sejukan cecair DOHC empat lejang bersesaran 149 cc yang menghasilkan 15.8 hp pada 9,000 rpm dan 13.6 Nm pada 7,000 rpm. Enjin berkenaan digandingkan dengan transmisi enam kelajuan.
RS-X menggunakan kerangka tiub berkembar yang dipadankan dengan fork teleskopik dan lengan ayun, serta rim 17 inci dengan tayar tanpa tiub bersaiz 90/80 di depan dan 120/70 di belakang. Sistem brek pula terdiri daripada cakera hidraulik pada bahagian depan dan belakang, berserta ABS.
Selain itu, RS-X juga dilengkapi dengan lampu LED, panel meter digital dan tangki bahan api 4.5 liter. Menurut Boon Siew Honda, berat keseluruhan model ini adalah 122 kg.
Harga jualan untuk warna Lemon Ice Yellow dan Candy Caribbean Blue Sea bermula dari RM9,698, manakala edisi Trico pula berharga RM9,748. Ia boleh didapati di semua pengedar sah Honda menjelang 4 Januari 2023.
BMW Malaysia secara rasminya mengumumkan kehadiran BMW iX xDrive50 Sport baharu ke pasaran tempatan, setahun selepas pelancaran iX xDrive40 dan iX xDrive40 Sport. Harga jualan model ini bermula dari RM546,800.
Untuk bahagian luaran, varian baharu itu menampilkan set roda aerodinamik BMW Individual 1021 multiwarna bersaiz 22 inci dengan gilapan 3D, di samping angkup brek bersaiz 17 inci berwarna biru.
Pilihan warna luaran yang ditawarkan adalah Mineral White, Alpine White Metallic, Black Sapphire Metallic, Sophisto Grey Metallic dengan Brilliant Effect, Phytonic Blue Metallic, dan Blue Ridge Mountain Metallic.
Dua warna baharu iaitu Individual Storm Bay Metallic dan Aventurine Red Metallic boleh didapati dengan bayaran tambahan sebanyak RM6,200.
Untuk ruang dalaman, pelanggan boleh memilih antara Interior Design Atelier dalam warna Mocha atau Hitam, atau Interior Design Suite dalam warna Amido atau Castanea dengan bayaran tambahan sebanyak RM17,300.
Antara kelengkapan yang tersedia termasuklah BMW Live Cockpit Professional dengan paparan instrumen melengkung bersaiz 12.3 inci dan skrin tengah 14.9 inci.
Selain itu, terdapat juga ciri keselesaan seperti kerusi multifungsi bagi pemandu, ruang pengecasan tanpa wayar dan sistem pendingin hawa empat zon.
Turut disertakan adalah sistem audio Harman Kardon dan BMW Iconic Sounds Electric yang menzahirkan suasana bunyi serba imersif dan bertaraf premium.
Dari segi prestasi, iX xDrive50 Sport yang dikuasakan oleh motor elektrik berkembar dengan output mencecah 523 hp (385 kW) dan 765 Nm mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 4.6 saat, dan mencapai kelajuan maksimum 200 km/j.
Penggunaan pek bateri besar berkapasiti 111.5 kWj membolehkan SUV elektrik premium ini mencapai jarak operasi sejauh 630 km (mengikut kitaran WLTP) dengan satu cas penuh.
Bercakap tentang pengecasan, model ini hanya memerlukan 35 minit untuk pengecasan dari 0 hingga 80% menerusi pengecas pantas DC. Untuk Wallbox AC 11 kW pula, ia memerlukan 10 jam 45 minit untuk pengecasan dari 0 hingga 100%.
Pemilik iX xDrive50 Sport dapat menikmati akses pengecasan di lebih 610 buah fasiliti pengecasan di seluruh negara yang dikuasakan oleh para pembekal solusi pengecasan EV tempatan yang bekerjasama dengan BMW Group Malaysia.
EP Manufacturing Bhd (EPMB) mengumumkan mereka telah memperoleh hak eksklusif untuk memasang dan mengedar kereta elektrik yang dibangunkan oleh Lingbao untuk pasaran Malaysia dan Indonesia.
Dalam satu kenyataan, pengeluar alat ganti automotif itu berkata perjanjian selama lima tahun itu juga memberikan pilihan kepada mereka sama ada untuk menggunakan jenamanya sendiri untuk kenderaan elektrik (EV) itu.
Pada 27 Disember lalu, EPMB melalui anak syarikatnya EP 4Wheeler Sdn Bhd menandatangani perjanjian pengedar eksklusif dengan Hubei Dongfeng Power Auto Trade Co Ltd dan Xiamen Tsingyan Hylong Motor Technology Co Ltd untuk memasang kereta Lingbox pemanduan kanan.
EPMB diberi hak untuk mengedarkan kereta di bawah nama jenama sendiri atau jenama Lingbox Auto atau Qingyan Hailong. Perjanjian itu berkuat kuasa dari 1 Januari 2023 dan tamat tempoh pada 31 Disember 2027 dan akan diperbaharui selama lima tahun lagi, tertakluk terma dan syarat.
Lingbox merupakan salah satu model di bawah jenama Lingbao, yang dimiliki oleh Jiangsu Jemmell New Energy Vehicle Co Ltd yang berpangkalan di China. Ia tersenarai dalam 10 teratas EV bersaiz mini terlaris di China dan menurut EPMB, ia dijangka menjadi salah satu EV paling mampu milik di Malaysia dengan harga bawah RM100,000.
Jika anda masih ingat, pada Jun lalu EPMB memperoleh hak eksklusif untuk menjual dan mengedar skuter elektrik Blueshark di Malaysia.
HONG Leong Yamaha Motor (HLYM) baru-baru ini mengumumkan pilihan warna baharu untuk Yamaha Ego Avantiz model tahun 2023.
Dilancarkan buat pertama kali pada 2016, skuter itu kini boleh didapati dalam tiga warna baharu iaitu kelabu, cyan dan merah.
Selain kemas kini warna, Ego Avantiz tampil dengan spesifikasi yang sama seperti sebelum ini. Ia masih dikuasakan oleh enjin 125 cc silinder tunggal bertaraf Euro 4 yang menjana 9.4 hp pada 8,000 rpm dan 9.6 Nm pada 5,500 rpm.
Untuk sistem suspensi, Ego Avantiz menggunakan s fork teleskopik dan penyerap hentak tunggal (monoshock), manakala sistem brek pula terdiri daripada cakera tunggal hidraulik di depan dan brek gelendong di belakang.
Rim yang digunakan adalah bersaiz 14 inci depan dan belakang, dipadankan dengan tayar berukuran 70/90 di depan dan 90/80 di belakang.
Dari segi dimensi, Ego Avantiz mempunyai ukuran panjang 1,870 mm, lebar 685 mm dan tinggi 1,070 mm. Ketinggian tempat duduk adalah 773 mm, manakala berat keseluruhan adalah 97 kg.
Ciri-ciri lain yang turut disertakan termasuklah lampu LED, penunjuk ECO pada panel instrumen, sistem kunci parkir dan ruang penyimpanan barang sebesar 14 liter di bawah tempat duduk.
Menurut HLYM, harga jualan Ego Avantiz 2023 bermula dari RM5,998 tidak termasuk insurans dan pendaftaran. Ia boleh didapati menerusi rangkaian pengedar Yamaha di seluruh negara bermula 22 Disember 2022.
TAHUN 2022 menyaksikan industri automotif di negara kita semakin meningkat rancak dan hampir kembali ke normal selepas pandemik beberapa tahun kebelakangan ini. Walaupun ekonomi di beberapa sektor belum pulih sepenuhnya, tetapi hidup masih diteruskan, dan industri automotif terus bergerak ke depan.
Kali ini kita akan lihatkan pelancaran-pelancaran kereta sepanjang 2022, dari kenderaan mampu milik hingga kenderaan ultra-mewah dan edisi terhad.
Dan walaupun semakin banyak kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) diperkenalkan, pengeluar juga tidak melupakan jentera prestasi tinggi naturally-aspirated seolah-olah bahan api fosil tidak akan habis.
Kami akan senaraikan kereta yang dilancar mengikut kronologi bulan. Jom!
CHERY Group berjaya menjual 100,531 unit pada November, menjadikannya bulan keenam berturut-turut di mana jualannya melebihi 100,000 unit.
Dalam 11 bulan pertama 2022, Chery telah menjual 1,127,289 unit (+32.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu), pencapaian tertinggi dalam sejarahnya.
Bersama dengan peningkatan jumlah eksport sebanyak 70.9 peratus, Chery telah mencatat rekod baharu bagi eksport kenderaan penumpang jenama China.
Di samping pelbagai cabaran yang berlangsung sepanjang 2022, Chery, yang merupakan pengeksport kenderaan penumpang nombor satu di China selama 19 tahun berturut-turut, telah memecahkan rekod sendiri bagi eksport bulanan kenderaan penumpang jenama China secara berturut-turut, dengan empat bulan di mana jumlah eksport melebihi 50,000 unit.
Pencapaian ini disumbang oleh model Tiggo 8 Pro, sering digunakan sebagai kenderaan penerimaan tetamu negara di Brazil, telah mencatatkan jualan sebanyak 171,000 unit setakat tahun ini, manakala jualan Tiggo 7 Pro mencapai 146,000 unit, menempatkannya di kedudukan pertama dalam segmennya di Qatar serta di negara dan wilayah Timur Tengah yang lain.
Chery kini mempunyai lebih 11.13 juta pengguna di seluruh dunia, termasuk 2.35 juta pengguna di luar China.
Dengan kerjasama lebih banyak pengedar luar negara serta rakan niaga dalam industri automotif global, syarikat tersebut akan terus mempercepatkan strategi globalisasinya dan membina imej jenamanya di rantau dunia.
KERAJAAN akan menggunakan pangkalan data bersepadu dan komprehensif membabitkan data daripada Bank Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Perangkaan Malaysia, Khazanah Nasional selain Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam mekanisma pemberian subsidi bersasar termasuk petrol RON95.
Gambar oleh: Malay Mail
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata beliau ingin memperbetulkan salah faham yang mengatakan kerajaan akan hanya menggunakan pangkalan data JPJ dan merujuk kepada kuasa kuda (cc) kenderaan sahaja untuk pemberian subsidi bersasar petrol RON95.
Katanya, data JPJ itu hanyalah satu daripada elemen yang akan digunakan dalam pemberian subsidi bersasar petrol RON95.
“Saya sudah nyatakan dengan jelas tempoh hari, data JPJ itu adalah satu daripada elemen yang akan digunakan dalam pemberian subsidi bersasar membabitkan petrol RON95.
“Kita juga ada data Bank Negara, LHDN, Jabatan Perangkaan Malaysia, Khazanah Nasional selain kajian dibuat universiti tempatan yang akan dirujuk.
“Jadi kita harus melihat kepada semua data berkenaan dan bukan hanya data JPJ sahaja diperlukan,” tambahnya.
Menurutnya, memang antara data yang akan dirujuk adalah data JPJ, namun perlu ada pusat data yang lebih bersepadu dan komprehensif untuk kerajaan menjayakan pemberian subsidi bersasar dengan berkesan.
“Jadi, tidak tepat kerajaan hanya akan rujuk pangkalan data JPJ dan berdasarkan cc kenderaan sahaja untuk kita beri subsidi bersasar petrol RON95,” katanya.
Sabtu lalu, Salahuddin dilaporkan memaklumkan pangkalan data JPJ akan digunakan sebagai satu daripada elemen dalam pemberian subsidi bersasar membabitkan petrol RON95.
Beliau dilaporkan berkata, itu antara yang dipersetujui dalam mesyuarat kementeriannya bersama dengan Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Ekonomi, minggu lalu.
Diharapkan kerajaan dan kementerian berkaitan akan dapat mencari solusi terbaik dan paling tepat agar hanya golongan yang layak sahaja mendapat subsidi petrol bersasar ini.
PROTON baru-baru ini menyerahkan 50 unit Proton Iriz kepada Metro Driving Academy. Kereta tersebut telah diubah suai oleh ACE, anak syarikat Proton Global Services yang mengkhusus dalam binaan dan pengubahsuaian, dan dibina mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan.
“Proton berbangga untuk terus memainkan peranan dalam membantu mendidik dan melatih pemandu baharu Malaysia. Proton Iriz adalah pilihan yang sangat baik untuk pemandu baharu kerana gabungan kebolehgerakan, dimensi kompak dan keselamatannya,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton.
Kata Roslan lagi, pihaknya menghargai kepercayaan yang ditunjukkan oleh Metro Driving Academy dan berharap ini akan menggalakkan lebih banyak sekolah memandu untuk mempertimbangkan Proton.
Kereta-kereta tersebut diserahkan dalam satu majlis penyerahan kepada Pengarah Urusan Metro Driving Academy, Mat Aris Bakar. Kereta ini akan digunakan oleh pelajar di kampus Subang dan Puchong.
Iriz telah dianugerahkan penarafan ASEAN NCAP 5 Bintang dan dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan seperti struktur badan yang menggunakan keluli Hot Press Formed (HPF), Electronic Stability Control (ESC), Traction Control System (TCS) dan Hill Hold Assist (HHA).
Selain itu, ia juga didatangkan dengan kamera undur dan sensor parkir yang sangat berguna untuk pelajar Metro Driving Academy.
“Sekolah memandu adalah titik pertemuaan yang bagus untuk Proton mendekatkan diri dengan generasi muda. Dengan kerjasama Metro Driving Academy, kami boleh mempamerkan ciri-ciri yang ditawarkan oleh produk kami dan memanfaatkan jiwa pembeli kereta kali pertama yang berpotensi,” kata Roslan Abdullah.
Sejak diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 1968, permainan yang berasal dari Amerika Syarikat itu terus menempa namanya sebagai yang terbaik dalam industri die-cast hinggalah ke hari ini. Sudah tentu, muncul beberapa pesaing yang ingin menjatuhkan Hot Wheels dari takhtanya namun populariti jenama itu terlalu besar untuk digugat.
Oleh itu, tidak hairanlah jika ada kereta Hot Wheels yang nilainya meningkat berkali ganda berbanding harga asal sewaktu ia mula dikeluarkan. Malah, percaya atau tidak, ada yang harganya menjadi lebih mahal daripada sebuah kereta sebenar! Berikut adalah antara kereta Hot Wheels yang paling berharga:
1970 Red Baron (White Interior) – $3,000 (RM12,580)
Pertama kali model ini dikeluarkan adalah pada 1970, kemudian pada 1973 hingga 1974, dan akhir sekali pada 1990 sebagai sebahagian daripada barisan vintej. Ia didatangkan dalam pelbagai variasi warna namun Red Baron dengan dalaman putih adalah lebih ‘rare’ kerana hanya 10 unit pernah dihasilkan.
1995 Collector Number 271 Funny Car – $3,500 (RM14,680)
Model ini adalah yang paling ‘baharu’ dalam senarai ini kerana ia dikeluarkan sekitar 90an. Dikatakan hanya 12 unit dihasilkan dan setiap satu mempunyai cetakan nombor pengumpul “271”. Setakat ini, hanya tujuh buah berjaya ditemui.
1971 Red Olds 442 (Black Interior) – $4,000 (RM16,780)
Berasaskan Oldsmobile Cutlass 442 keluaran 1970, model Hot Wheels ini hanya dikilangkan di AS dan ditawarkan dalam beberapa pilihan warna. Warna ungu dikatakan antara yang paling sukar ditemui namun warna merah dengan dalaman hitam paling dicari-cari kerana daripada 144 buah yang dihasilkan, hanya 25 yang masih ada sehingga ke hari ini.
1970 Ed Shaver Custom AMX – $4,000 (RM16,780)
Ada beberapa variasi AMX yang dihasilkan namun versi Ed Shaver dikatakan paling bernilai. Merupakan seorang bekas tentera AS yang berkhidmat di UK, Ed ditaja oleh Mattel untuk aktiviti perlumbaan drag beliau. Model ini hanya dihasilkan untuk pasaran UK dan menurut laporan, sebahagian daripadanya diberikan di litar-litar di mana Ed berlumba dan sebahagian lagi semasa promosi sarapan bijirin.
1970 Red Ferrari 312P White Interior – $5,000 (RM20,970)
Ferrari 312P merupakan salah satu model Redline, iaitu model yang dihasilkan dari 1968 hingga 1977 yang boleh dikenalpasti menerusi jalur pada roda. Ia dikeluarkan di AS dan Hong Kong, masing-masing dengan pilihan warna tersendiri. Warna Spectraflame Red seperti ini biasanya didatangkan dalaman hitam namun terdapat kurang 20 buah yang mempunyai dalaman putih.
1971 Purple Bye Focal – $6,000 (RM25,170)
Satu lagi model Redline, Bye Focal menggunakan casis yang berasaskan dari Dodge Challenger twin-engine dan mempunyai hud lutsinar. Ia hanya dihasilkan di Hong Kong dan boleh didapati dalam beberapa variasi warna, namun warna ungu dan juga merah menjadi buruan pengumpul kerana bilangannya yang terhad.
1969 Brown ’31 Woody – $8,000 (RM33,560)
Diinspirasikan oleh Ford Model A Wagon, Woody boleh didapati dalam beberapa variasi dengan tekstur bumbung, warna dalaman dan juga casis yang berbeza. Unit berwarna coklat ini mempunyai nilai yang tinggi kerana hanya kira-kira 12 unit pernah dihasilkan dan sejumlah daripadanya dikatakan model prototaip.
1971 Purple Olds 442 – $12,000 – RM50,330
Di kalangan pengumpul Hot Wheels, ia dikatakan model Olds dan juga Redline yang paling sukar ditemui. Ia dihasilkan secara eksklusif di Hong Kong untuk pasaran negara itu sahaja.
1969 Brown Custom Charger – $13,000 (RM54,530)
Model Charger bukan sahaja popular di kalangan peminat kereta muscle, malah turut menjadi buruan pengumpul Hot Wheels. Banyak variasi Charger yang pernah dihasilkan namun model keluaran tahun 1969 yang berwarna coklat dikatakan paling harga kerana ia dipercayai model prototaip.
1974 Blue Roger Dodger – $8,000 (RM33,560)
Sekali pandang, ia mungkin tampak seperti model Hot Wheels biasa namun Roger Dodger berwarna biru dikatakan istimewa kerana pengeluarannya terhad kepada tujuh unit sahaja. Dikatakan seorang pengumpul dari UK bernama Bob Parker pernah memiliki tujuh buah model seperti ini namun beliau menjual kesemuanya kepada seorang pengumpul di AS kerana menyangka terdapat banyak lagi yang seumpamanya.
1968 “Cheetah” Base Python – $10,000 (RM41,950)
Cheetah Base Python berwarna merah dihasilkan dalam bilangan yang terhad dan mempunyai cetakan “Cheetah” dan “Hong Kong patent pending”. Bagaimanapun, nama Cheetah pada masa itu telah digunakan oleh jurutera GM, Bill Thomas pada kereta lumbanya, sekaligus memaksa Hot Wheels untuk menggunakan nama Python. Namun, ada beberapa unit Cheetah yang berjaya terlepas ke pasaran.
1968 Hot Pink Beatnik Bandit – $15,000 (RM62,920)
Antara model yang menjadi kegemaran ramai pengumpul Hot Wheels, Beatnik Bandit tampil unik dengan bumbung berbentuk kubah, enjin yang terkeluar dan stereng berbentuk joy stick. Ia asalnya dihasilkan untuk menarik minat kanak-kanak perempuan namun sambutan yang diterima tidak begitu menggalakkan.
1968 Over Chrome Camaro – $25,000 (RM104,860)
Camaro dengan kemasan ‘over chrome antifreeze’ ini jatuh di bawah kategori istimewa bagi model-model Hot Wheels yang dikumpul. Selain kemasan itu, jumlahnya yang amat kecil iaitu 20 unit membuatkan ia menjadi buruan pengumpul sehinggakan harganya meningkat secara mendadak.
Apa yang anda lihat ini ialah model Hot Wheels yang paling rare. Hanya satu prototaip yang dihasilkan dan ia dimiliki oleh pengumpul Hot Wheels terkenal, Bruce Pascal yang membelinya pada harga $72,000 (RM302,000). Namun, ada yang mengatakan nilai sebenarnya mencecah $150,000 (RM629,180). Ada versi produksi yang dijual pada harga sekitar $800 (RM3,360) namun sudah tentu ia tidak sama dengan versi prototaip ini.
40th Anniversary Diamond Encrusted Otto – $140,000+ (RM587,230)
Tidak syak lagi, ini ialah model Hot Wheels yang termahal di dunia. Ia disalut emas putih 18K, 1,388 butir berlian biru, 319 butir berlian putih dan lapan butir delima. Kos untuk menghasilkannya mencecah $140,000 namun kos untuk memiliki sesuatu yang unik dan mewah seperti ini sudah tentu berlipat kali ganda lebih mahal.
MRT Laluan Putrajaya Fasa Dua akan beroperasi sepenuhnya bermula Mac, menurut Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp).
Dalam satu kenyataan, MRT Corp berkata pembinaan laluan dari stesen Kampung Batu ke Putrajaya Sentral telah disiapkan.
“Jajaran sepanjang 38.7km bagi Laluan Putrajaya Fasa Dua yang terdiri daripada 15 stesen bertingkat dan sembilan stesen bawah tanah dijangka beroperasi sepenuhnya pada Mac 2023.”
Fasa Satu Laluan Putrajaya sepanjang 17.5km yang meliputi 11 stesen bertingkat dari Kwasa Damansara ke Kampung Batu telah dibuka kepada orang ramai mulai 16 Jun 2022.
Apabila Fasa Dua siap sepenuhnya nanti, penumpang akan boleh bertukar ke laluan lain sedia ada di 10 stesen pertukaran berbeza.
Stesen-stesen pertukaran tersebut adalah Kwasa Damansara (dengan Laluan MRT Kajang), Sungai Buloh (dengan KTM), Sri Damansara Timur (dengan KTM), Kampung Batu (dengan KTM), Titiwangsa (dengan Laluan LRT Ampang & Sri Petaling, KL Monorel), Ampang Park (dengan Laluan LRT Kelana Jaya), Tun Razak Exchange (dengan Laluan MRT Kajang), Chan Sow Lin (dengan Laluan LRT Ampang & Sri Petaling), Sungai Besi (dengan Laluan LRT Sri Petaling) dan Putrajaya Sentral (dengan Laluan ERL dan Transit KLIA).
Menurut kenyataan itu lagi, laluan Putrajaya akan dikendalikan menggunakan 49 set tren. Setiap set tren terdiri daripada empat buah gerabak dan boleh membawa seramai 1,200 penumpang.
“Operasi tren adalah secara automatik sepenuhnya dan tidak memerlukan pemandu. Terdapat juga kemudahan parkir di 15 buah stesen dengan jumlah tempat letak kereta sebanyak 5,870 petak di sepanjang jajaran.”
Namun demikian, masih ada beberapa siri ujian lagi yang masih perlu dijalankan untuk memenuhi prosedur kawalan kualiti dan keselamatan.
Tarikh permulaan perkhidmatan Fasa Dua akan diumumkan sebaik sahaja proses kelulusan dimuktamadkan dengan pihak berkuasa yang berkaitan.
VOLKSWAGEN Passenger Cars Malaysia (VPCM) mengumumkan harga baharu untuk Tiguan Allspace Life, yang kini berharga RM159,990. Harga ini kira-kira RM13k lebih rendah, dimana SUV itu dijual pada RM173,590 semasa pelancarannya awal tahun ini.
Harga baharu RM160k ini berkuat kuasa serta-merta dan penyerahan akan bermula pada Januari 2023 depan.
Volkswagen Tiguan Allspace Life merupakan SUV varian asas jenama itu, tetapi ia tetap padat dengan pelbagai ciri sebagai sebuah kenderaan keluarga moden.
Ciri dan tarikan utama Tiguan Allspace pastinya konfigurasi tujuh tempat duduk yang menawarkan ruang sehingga 1,775 liter, terbaik dalam kelasnya menurut Volkswagen.
Tiada perubahan dari segi teknikal. Tiguan Allspace Life dikuasakan oleh enjin 1.4TSI turbo dengan padanan kotak gear dwi-klac DSG 6-kelajuan. Enjin 4-silinder itu menjana 150hp dan 250Nm tork tetapi memberikan kecekapan sehingga 7.7 liter/100km/
Tiguan Allspace Life hadir dengan jaminan 5-tahun tanpa had perbatuan, penyelenggaraan percuma 3-tahun, dan bantuan tepi jalan 5-tahun.
Semalam, LPT2 telah dibuka untuk laluan arah selatan iaitu dari Kuala Terengganu ke Kuantan, tetapi laluan arah utara masih ditutup dari Dungun ke Ajil. Hari ini, laluan berkenaan tidak lagi ditutup, bermakna LPT2 kedua-dua arah kini dibuka.
Gambar keadaan cerun runtuh di LPT2 yang tular di media sosial.
Walaubagaimanapun, kerja-kerja masih berjalan dan anda akan perlu memperlahankan kenderaan di kawasan terjejas untuk arah utara. Air banjir telah memasuki beberapa kawasan berdekatan R&R Bukit Besi, jadi laluan kecemasan masih ditutup.
Di kawasan berlakunya tanah runtuh (KM393.4), beberapa lorong telah ditutup, tetapi laluan kontra telah diaktifkan. Jadi, sentiasa peka dengan papan tanda dan arahan petugas lebuhraya.
Dilaporkan juga ada lorong kecemasan ditutup sekitar KM415. Laluan arah selatan semuanya dibuka tetapi anda akan perlu memperlahankan kenderaan kerana terdapat lorong kontra.
Apa pun, selamat memandu, rancang perjalanan anda, dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling.
BERSEMPENA dengan sambutan Hari Krismas dan Tahun Baharu tidak lama lagi, Goodyear Malaysia telah melancarkan kempen ‘A Gifting New Year’ yang menawarkan hadiah eksklusif buat pelanggan Goodyear.
Menurut syarikat itu, mana-mana pelanggan yang membeli empat tayar Goodyear berukuran 16 inci dan ke atas akan membawa pulang hadiah berupa Vacuum Coffee Mug Goodyear yang diperbuat daripada keluli.
Salah satu tayar yang pelanggan boleh beli untuk layak menyertai kempen ini adalah Goodyear Assurance ComfortTred yang dilancarkan baru-baru ini.
Boleh didapati dalam 12 saiz dari 16 hingga 19 inci, tayar Assurance ComfortTred menawarkan pengalaman pemanduan premium dengan pengurangan bunyi bising menerusi teknologi ANX.
Teknologi tersebut menampilkan lapisan tambahan yang dibina menggunakan kompaun termaju Goodyear. Ia bertindak untuk mengurangkan bunyi golekan dan juga getaran.
Bukan itu sahaja, pelanggan yang membeli mana-mana tayar Goodyear juga akan menikmati waranti Worry Free Assurance (WFA) yang menawarkan perlindungan kerosakan selama setahun, pemeriksaan keselamatan tayar percuma sebanyak dua kali dan waranti selama lima tahun untuk kecacatan pengilangan.
“Sebagai penyokong kuat dalam keselamatan jalan raya, kami ingin menggalakkan pemilik kereta untuk kekal selamat dan memberi ganjaran kepada mereka semasa mereka membuat persiapan untuk perjalanan pada musim perayaan akan datang,” kata Alex Ng, Pengarah Urusan Goodyear Malaysia.
SEGMEN motosikal kembara bagi pasaran Malaysia kini semakin hangat dengan kehadiran satu lagi pesaing yang menarik iaitu Ducati DesertX. Antara pesaing jentera dari Itali ini termasuklah BMW F 850 GS Adventure, Triumph Tiger 900 Rally Pro dan KTM 890 Adventure R.
Menurut Ducati, reka bentuk DesertX yang dihasilkan oleh Ducati Centro Stile melambangkan interpretasi kontemporari motosikal-motosikal enduro era 80-an. Bagaimanapun, segala komponen dan teknologi yang ada padanya adalah yang terkini.
Sebagai contoh, DesertX mempunyai kerangka trellis keluli yang dipadankan dengan sistem suspensi boleh laras keluaran Kayaba yang terdiri daripada fork terbalik 46 mm di depan dan penyerap hentak tunggal di belakang.
Fork tersebut menawarkan jarak pergerakan (travel) sebanyak 230 mm manakala penyerap hentak belakang pula 220 mm. Bukan itu sahaja, jarak lega tanah sebanyak 250 mm menjadikan jentera ini sesuai untuk tunggangan off-road yang ekstrem.
DesertX didatangkan dengan rim 21 inci di depan dan 18 inci di belakang, serta tayar jenis Pirelli Scorpion Rally STR bersaiz 90/90-21 dan 150/70 R18.
Untuk sistem brek depan, Ducati melengkapkan model ini dengan angkup radial monobloc Brembo M50 dengan empat omboh 30 mm dan dua cakera berukuran 320 mm. Sementara itu di belakang terdapat angkup omboh berkembar Brembo yang ditugaskan untuk mengapit cakera tunggal 265 mm.
Kuasa dibekalkan oleh enjin silinder V berkembar Testastretta 11° Desmodromic bersesaran 937 cc yang menghasilkan 110 hp pada 9,250 rpm dan 92 Nm pada 6,500 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi enam kelajuan dari Multistrada V2.
Bagaimanapun, transmisi tersebut mempunyai nisbah gear 1 hingga 5 yang lebih pendek bagi memberikan kuasa pecutan untuk tunggangan off-road. Nisbah gear 6 pula lebih panjang untuk tunggangan di lebuh raya sambil mengekalkan rpm pada tahap rendah untuk menjaga penggunaan bahan api.
DesertX mempunyai enam mod tunggangan (Sport, Touring, Urban, Wet, Enduro dan Rally) dan empat mod kuasa (Full, High, Medium dan Low).
Turut disertakan adalah ciri-ciri seperti Engine Brake Control (EBC), Ducati Traction Control (DTC), Ducati Wheelie Control (DWC), Ducati Quick Shift (DQS) Up & Down dan juga ABS Cornering.
Ducati DesertX dijual pada harga asas RM112,900. Sempena pelancaran ini, Ducati Malaysia menawarkan pakej eksklusif yang merangkumi diskaun 40% ke atas pakej aksesori DesertX dan 35% ke atas pakej pakaian DesertX.
Jalan Batang Kali – Gohtong Jaya, tempat berlakunya tragedi tanah runtuh yang meranapkan tiga tapak perkhemahan Father’s Organic Farm pada awal pagi Jumaat lalu ditutup selama setahun bagi kerja-kerja pemulihan cerun.
Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), Datuk Wira Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, meskipun kejadian tanah runtuh itu tidak menjejaskan jalan terbabit, namun ia perlu ditutup bagi mengelak sebarang risiko.
Bagaimanapun beliau berkata, JKR ada membuat jalan alternatif untuk laluan pengguna di kawasan terjejas.
“Jalan tu sebenarnya ok, tapi kita tak berani, oleh sebab itu, kita masih tutup hinggalah pembaikan cerun dibuat,” katanya.
“Biasanya pembaikan cerun setahun baru siap, tapi buat masa ni kita ada jalan alternatif… jalan alternatif akan dibuat oleh JKR.”
Mengulas mengenai kejadian tanah runtuh, Wan Ahmad Uzir berkata, ia berlaku disebabkan terdapatnya aliran air bawah tanah yang wujud secara semula jadi.
Katanya, berdasarkan siasatan oleh JKR, tiada sebarang aliran pengairan haram daripada pemilik tapak perkhemahan berkenaan.
Gambar oleh: Malay Mail
Kelmarin, JKR berkata, siasatannya mendapati, dua runtuhan cerun berlaku dalam sela masa 20 hingga 30 minit di lokasi kejadian tanah runtuh telah meranapkan tiga tapak perkhemahan Father’s Organic Farm pada awal pagi Jumaat lalu.
Dapatan awal itu diperoleh Pasukan Forensik dari Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR yang melaksanakan pemeriksaan awal di lokasi kejadian.
Pemeriksaan visual pada lokasi jalan dan cerun di seksyen berkenaan mendapati longkang jalan sedia ada dalam keadaan bersih dan kering serta tidak tersumbat, yang mana menunjukkan tiada masalah pada sistem perparitan jalan.
Tambah jabatan itu, berdasarkan hasil penemuan itu, adalah dijangka ketepuan tanah dan tekanan air liang tanah yang tinggi akibat pengumpulan air bawah tanah pada bahagian bawah cerun di kawasan perkhemahan telah melemahkan kaki cerun jalan B66 dan seterusnya menyebabkan kegagalan retrogresif kepada cerun jalan.
STELLANTIS telah mengumumkan kerjasama dengan syarikat pembekal kuasa tempatan, Leader Energy Group untuk mengembangkan penjanaan tenaga solar di kilang pengeluarannya di Gurun, Kedah.
Menurut syarikat itu, usahasama ini merangkumi pemasangan, operasi, penyelenggaraan dan pembiayaan sistem fotovoltaik (PV) bagi meningkatkan kecekapan tenaga di kilang itu.
Pemasangan sistem PV di kilang berkenaan dilakukan oleh anak syarikat Leader Energy iaitu Leader Solar Sdn. Bhd. (LSSB) dalam masa empat bulan. Ia siap sepenuhnya pada 31 Oktober 2022.
Sistem tersebut itu berupaya menjana output maksimum sebanyak 2,189.81 kWp elektrik. Dalam tempoh 21 tahun akan datang, ia dijangka akan menjana 54.81 GWh tenaga atau kira-kira 34% daripada keperluan penggunaan tenaga tahunan kilang tersebut.
Selain itu, penggunaan tenaga solar juga akan mengimbangi kira-kira 1963.4 tan karbon dioksida setiap tahun. Jumlah ini bersamaan dengan 50,340 batang pokok yang ditanam dalam setahun.
Mengguna pakai tenaga solar merupakah satu lagi langkah ke hadapan dalam usaha Stellantis untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih (carbon net zero emissions) menjelang 2038 sebagai sebahagian daripada strategi Dare Forward 2030.
Usahasama ini juga adalah sebahagian daripada usaha berterusan Stellantis untuk menambah baik kecekapan tenaga operasinya di seluruh dunia. Sebelum ini, syarikat itu telah meningkatkan projek solarnya di Michigan, Amerika Syarikat serta memasang sistem PV di kilang Mangualde, Portugal.
BMW Group hari ini merasmikan satu lagi bilik pameran 4S baharu di Bukit Tinggi, Klang. Ia dijangka menampung keperluan para pelanggan dan pemilik BMW, BMW i, BMW M, dan MINI bagi kawasan sekitar seperti Shah Alam, Kota Kemuning, dan Setia Alam.
Pembukaan Wheelcorp Premium Bukit Tinggi itu bersempena dengan kerjasama Wheelcorp dan BMW Group yang menginjak usia 10 tahun.
Bilik pameran dan pusat servis 4S ini bakal membawakan pengalaman lebih premium untuk para pemilik dengan fasiliti seperti ruang NEXTGen Luxury, ruang rehat dengan kerusi urut Ogawa, dan kafe Starbucks di Isetta Bar.
Servis lain di pusat 4S ini termasuklah ruang jualan, servis, alat ganti, dan sistem yang juga menyokong pembaikan badan dan cat. Pusat servis berkeluasan 170,000 kaki persegi ini juga memuatkan 20 ruang servis dan 80 temu janji setiap hari.
Servis lain yang boleh dibuat di sini termasuklah pembaharuan insurans serta perkhidmatan tukar beli, di samping Resepsi di Kereta (RATC).
Pusat pengedaran ini mempunyai kapasiti untuk mempamerkan sembilan unit kenderaan BMW, termasuk kenderaan daripada portfolio BMW M dan BMW i, di samping empat unit kenderaan MINI dan 25 unit kenderaan BMW Premium Selection serta MINI Used Car Next.
Fasiliti Pengecasan Pantas DC bagi kenderaan elektrik (EV) turut disediakan di Wheelcorp Premium Setia Alam berserta akses untuk orang awam melalui aplikasi ChargEV.
Setakat ini, BMW Group Malaysia membekalkan pemilik EV BMW dan MINI akses ke atas lebih 610 buah fasiliti pengecasan di seluruh negara, dikuasakan oleh rakan-rakan industrinya seperti JomCharge yang mengoperasikan sekitar 65 stesen pengecasan, Gentari dengan sekitar 117 stesen pengecasan, dan ChargEV dengan lebih 330 stesen pengecasan – termasuk 26 fasiliti pengecasan yang dikuasakan oleh ChargEV bersama Yinson GreenTech di 17 outlet Starbucks dalam kawasan Lembah Klang, Pulau Pinang, Melaka, dan Johor.
Lebih daripada 80 buah fasiliti BMW i Charging juga disediakan di kebanyakan pusat pengedaran BMW dan MINI yang bertauliah di seluruh negara, dengan rancangan strategik untuk mengembangkan lagi infrastruktur ini pada tahun 2023.
Pusat 4S Wheelcorp Premium Bukit Tinggi beroperasi dari jam 8:30 pagi hingga 7:00 malam pada hari Isnin hingga Sabtu, dan dari jam 10:00 pagi hingga 6:00 petang pada hari Ahad.
Ia terletak di Lot 142646, Jalan Remia 5/KS 07, Ambang Botanik, 41200 Klang Bandar Diraja, Selangor. Untuk maklumat lanjut mengenai pusat pengedaran terbaharu ini, sila layari https://bmw-wheelcorppremium.com.my/.
GEELY telah memperkenalkan satu lagi kenderaan elektrik (EV) rekaannya iaitu Panda Mini EV. Ia akan dipasarkan di China tidak lama lagi bagi bersaing dengan model-model lain yang popular dalam segmennya seperti Wuling Mini EV.
Menurut laporan, Panda Mini asalnya dibangunkan untuk sub-jenama di bawah Geely iaitu Geometry namun perubahan saat akhir oleh pihak pengurusan menyaksikan ia dipasarkan di bawah Geely. Ini boleh dilihat menerusi logo ‘Geome’ pada penutup pengecas pada gril depan.
Dari segi saiz, EV cilik dua pintu ini mempunyai ukuran panjang 3,065 mm, lebar 1,522 mm, tinggi 1,600 mm dan tapak roda 2,015 mm. Walaupun mempunyai tapak roda antara yang terpendek di pasaran, ia masih mampu memuatkan sehingga empat penumpang.
Gambar ruang dalaman tidak dibekalkan namun menurut laporan, model ini didatangkan dengan bumbung suria panoramik. Ia juga mempunyai papan pemuka mengikut warna badan, skrin sentuh sistem infohibur, kluster instrumen digital serta ruang storan.
‘Nadi’ Panda Mini didatangkan dalam bentuk motor elektrik pada gandar depan yang mampu menjana kuasa sehingga 41 PS (30 kW). Kuasa untuk motor elektrik tersebut dibekalkan oleh bateri litium fosfat logam (LFP) yang dibangunkan oleh Guoxuan High-Tech yang menawarkan jarak sehingga 150 km.
Panda Mini dilaporkan akan memasuki pasaran China pada 2023, dengan harga anggaran bermula dari 40,000 yuan hingga 50,000 yuan (RM25,326 hingga RM31,658).
LEBUHRAYA Pantai Timur 2 (LPT 2) Sdn. Bhd. mengumumkan penutupan laluan di Kilometer (KM) 393.4 menghala ke Ajil, daerah Hulu Terengganu susulan kejadian cerun runtuh pada pukul 11.10 malam tadi.
Dalam satu kenyataan di akaun Facebook rasmi, syarikat itu berkata kejadian itu berlaku di dalam laluan kontra yang telah dibuka lebih awal akibat kejadian banjir lumpur pada sebelah pagi.
“Berhubung dengan kejadian awal banjir lumpur yang telah dilaporkan berlaku pada jam 11.30 pagi, 18 Disember 2022, laluan Kontra telah diaktifkan di KM392.4 – KM394.6 bagi kerja-kerja pembaikan.
Namun begitu, pada jam 11.10 malam, 18 Disember 2022 satu lagi kejadian cerun runtuh telah berlaku di KM393.4 arah Utara menghala ke Ajil dan kejadian tersebut telah berlaku di dalam laluan kontra yang telah diaktifkan sebelumnya,” katanya.
Sebagai langkah keselamatan serta bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan tapak, LPT2 telah mengaktifkan “mandatory exit” di Plaza Tol Dungun dan Plaza Tol Ajil.
Ini bermakna, semua kenderaan dari arah Kuantan akan dilencongkan keluar ke Plaza Tol Dungun, manakala kenderaan dari arah Kuala Terengganu akan dilencongkan keluar ke Plaza Tol Ajil.
Sementara itu, dalam kemaskini semasa yang dihantar hari ini, LPT2 berkata perjalanan dari Kuala Terengganu menghala ke Kuantan/Kuala Lumpur menggunakan LPT2 masih boleh dilalui oleh semua kenderaan seperti biasa.
Pemandu yang keluar dari Plaza Tol Dungun pula dinasihatkan untuk menggunakan Jalan Pantai (FT03) untuk menuju ke Kuala Terengganu.
PERODUA telah menghantar bantuan kepada kakitangan wakil pengedarnya di Sri Lanka iaitu Unimo Enterprises Limited berikutan krisis kewangan yang menyaksikan pembekuan import sejak 2020.
Larangan import ini telah menghentikan penjualan kenderaan Perodua di Sri Lanka, yang sebelum ini merupakan pasaran eksport CBU terbesar pengeluar kereta kompak itu. Pada penghujung 2019, model terlaris Perodua di Sri Lanka ialah Bezza 1.0L.
“Krisis kewangan di Sri Lanka juga telah membawa kepada kesukaran hidup dan kami bersyukur kerana kami dapat menghulurkan bantuan kepada rakan kongsi kami di sana,” Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad berkata.
Perodua telah menghadiahkan baucar kepada 171 pekerja Unimo sebagai bantuan dalam tempoh yang sukar ini. Unimo merupakan wakil pengedar Perodua di negara kepulauan itu sejak tahun 1995.
“Kami memilih baucar membeli-belah kerana ini adalah cara paling effektif untuk membantu kakitangan Unimo mendapatkan keperluan harian dan kami berharap keadaan di sana akan bertambah baik,” kata Dato’ Sri Zainal.