Dilelong hampir RM1.7 juta pada 2011, di mana Lamborghini Athon sekarang?

TIDAK dinafikan ramai dalam kalangan kita mempunyai minat mengumpul atau menyimpan koleksi kenderaan klasik.

Bagaimanapun, minat ini sudah pasti menelan belanja besar memandangkan kenderaan klasik mempunyai nilai sangat tinggi sehingga adakala mencecah jutaan ringgit.

Jadi, kali ini jom kita kembali ke tahun 1980 untuk melihat serba sedikit mengenai sebuah kereta konsep dikenali sebagai Lamborghini Athon!

Kenali Lamborghini Athon

Model Lamborghini Athon mula diperkenalkan pada tahun 1980 ketika berlangsung acara motor show di Turin, Itali.

Ia dikatakan antara kereta konsep paling power ketika itu yang mana didatangkan dengan enjin V8 3.0-liter.

Kapasiti enjin ini menghasilkan lebih 260hp yang disertakan dengan kotak gear manual 5-kelajuan.

Pada masa sama Athon juga turut dilengkapi suspensi gantungan bebas (independent front and rear suspension) di bahagian depan dan belakang.

Kebiasaannya, kereta konsep dicipta hanya untuk dipamerkan kepada umum dan jarang sekali ia dapat berfungsi.

Bagaimanapun, Lamborghini tampil menghasilkan sebuah kereta konsep yang boleh berfungsi dengan baik malah, mempunyai kuasa pecutan menggagumkan!

Sementara itu, mengimbau sejarah pembikinan Athon, ia juga dikatakan dihasilkan bagi membantu meningkatkan jualan syarikat Lamborghini yang berdepan masalah kewangan.

Laman web Motor1.com menyifatkan Athon sebagai antara model konsep paling unik pernah dihasilkan Lamborghini kerana mempunyai rekaan futuristic.

Model Athon memiliki suntikan gaya klasik-futuristik. - Foto ihsan Wikipedia
Model Athon memiliki suntikan gaya klasik-futuristik. – Foto ihsan Wikipedia

Asal usul nama Athon

Reka bentuk Athon dihasilkan daripada garapan idea oleh Marc Deschamps.

Deschamps merupakan pereka design kenderaan cukup terkenal selain pernah menghasilkan beberapa rekaan seperti Mazda MX-81 Aria dan Citroen Camargue 1972.

Nama Athon pula diambil bersempena gelaran tuhan matahari kepercayaan masyarakat kuno Mesir iaitu “Aton”.

Kokpit Athon yang kelihatan sangat canggih bagi kereta konsep ketika itu. – Foto ihsan Wikipedia

Kehebatan Athon

Athon menjadi salah sebuah model paling hebat sekitar 1980-an.

Ia bukan sahaja mempunyai enjin menghasilkan kelajuan memukau sehingga 273.6 km/j tetapi turut dilengkapi ruang dalaman eksklusif.

Kekemasan ruang dalaman Athon menjadikan model itu bernilai cukup tinggi dan ini terbukti apabila ia berjaya dilelong pada harga AS$392,700 atau bersamaan RM1.66 juta pada 2011.

Setakat ini, tidak dapat dipastikan di mana satu-satunya model ini berada dan siapakah pemiliknya.

Jika anda ada maklumat lanjut mengenai Lamborghini Athon ini, jangan malu untuk tinggalkan komen di mana-mana platform media sosial EnGear.

Setakat ini tiada maklumat lanjut mengenai nasib Athon selepas dilelong pada 2011. – Foto ihsan Wikipedia

Tiada lagi ‘Aventador’, Lamborghini keluar edisi terakhir LP780-4 Ultimae

NGAUMAN enjin aspirasi natural (NA) V12 yang ‘garang’ menjadikan Lamborghini Aventador digemari ramai.

Namun, setelah lebih 10 tahun berada di pasaran sayangnya legasi supercar itu bakal berakhir bagi memberi ruang kepada model generasi baharu dengan tren kuasa hibrid dan elektrik.

Bagaimanapun, sebelum pengeluaran Aventador dihentikan buat selama-lamanya, Lamborghini telah melancarkan edisi terakhir dikenali sebagai Aventador LP780-4 Ultimae.

Lamborghini memaklumkan hanya mengeluarkan 600 unit dengan pecahan 350 bagi varian Coupe dan 250 bagi jenis Roadster.

Aventador Paling Berkuasa

Pengeluar supercar dari Itali itu berkata, Ultimae adalah model Aventador paling berkuasa pernah dihasilkan.

Ini kerana ia didatangkan dengan enjin 6.5 liter yang mampu ‘menghamburkan’ kuasa maksimum 780 PS (peningkatan 40 PS dan 10 PS jika dibandingkan dengan Aventador S dan Aventador SVJ.

Namun, tork bagi Ultimae adalah masih sama seperti SVJ iaitu 720 Nm pada 6,750 rpm.

Tidak dinafikan model kenderaan dihasilkan Lamborghini mampu ‘memukau’ mata setiap memerhati. – Foto ihsan Lamborghini

Selain itu, enjin Ultimae masih dipadankan dengan transmisi automatik tujuh kelajuan dan sistem pacuan semua roda (AWD).

Terdapat pengurangan berat keseluruhan sebanyak 25 kilogram yang mana menyaksikan pecutan 0 hingga 100 km/j hanya dalam masa 2.8 saat! Kelajuan maksimum pula mampu mencecah 355 km/j!

Apa lagi menarik yang ada pada Ultimae?

Sistem brek karbon seramik terdapat pada Ultimae membolehkan ia berhenti dari kelajuan 100 km/j dalam jarak hanya 30 meter.

Selain kuasa, perhatian turut diberikan terhadap aspek pengendalian. Sama seperti versi S, Ultimae didatangkan standard dengan sistem kawalan stereng empat roda.

Sistem ini telah dikalibrasikan bagi menyalurkan lebih banyak tork ke roda belakang.

Setakat ini, masih belum diketahui harga bagi seunit Ultimae. – Foto ihsan Lamborghini

Sementara itu, sistem Lamborghini Dynamic Steering (LDS) pula memastikan pemandu dapat menikmati tindak balas stereng lebih tepat dan pantas ketika mengambil selekoh.

Sistem ini diuruskan oleh Lamborghini Dinamica Veicolo Attiva (LDVA) yang mendapat data daripada sensor diletakkan pada bahagian badan kenderaan.

Rekaan paling ‘mantul’

Menurut Lamborghini, rekaan luaran Ultimae menggabungkan elemen terdapat pada versi S dan SVJ.

‘Splitter’ dan bukaan besar pada bampar hadapan meningkatkan kecekapan aerodinamik serta membantu menyejukkan radiator.

Spoiler aktif di belakang mempunyai tiga posisi berbeza yang diaktifkan mengikut kelajuan.

Ruang Kabin Ultimae

Ruang dalaman dihiasi dengan campuran material kulit dan Alcantara dalam konfigurasi dua tona.

Ia juga menerima sentuhan perincian warna merah pada tempat duduk, panel pintu dan papan pemuka bagi versi Coupe.

Terdapat juga motif ‘Y’ dan cetakan ‘Ultimae’ pada tempat duduk, serta plak nombor siri pada tiang A sebelah pemandu.

Ultimae didatangkan dengan rim berukuran 20 inci di hadapan dan belakang.

Terdapat 18 pilihan warna standard dan 300 lagi rona unik yang boleh dipilih menerusi katalog Ad Personam.

SSUV pertama dunia: Lamborghini Urus jamin kepuasan maksima

SEBUT nama Lamborghini sudah pasti ramai yang mengenali jenama kereta sport asal Itali itu.

Terkenal sebagai pengeluar kereta berkuasa tinggi, Lamborghini sering menjadi ‘igauan’ kebanyakan anak muda seluruh dunia yang gemar kepada gaya mewah, ranggi dan kelajuan.

Namun, ramai di kalangan kita tidak mengetahui bahawa Lamborghini juga adalah pengeluar model utiliti super sport (SSUV) pertama di dunia!

Hebat bukan?

Jadi mari kita lihat kehebatan mengenai SSUV, Lamborgini Urus.

Lamborghini Urus dilengkapi monitor canggih bertujuan memberi pengendalian menyeluruh kepada pemandu dan penumpang.

Lamborghini Urus: Gabungan antara kuasa dan ketahanan

 Tahun 2018 menyaksikan arena automotif dunia dikejutkan dengan ‘kehadiran’ Lamborghini Urus yang memiliki gabungan sport dan ulititi serba guna.

Dilengkapi enjin dwi-turbo v8 4.0 liter, Lamborghini Urus tidak dapat disangkal mempunyai kuasa ‘ngauman’ mengujakan kepada sesiapa yang memandunya.

Berdasarkan spesifikasi enjin yang terdapat pada model itu, ia dikatakan mampu mencapai kelajuan 0-100km/j hanya dalam masa 3.6 saat.

Sementara itu, untuk mencapai kelajuan 0-200km/j pula ia hanya mengambil masa 12.8 saat!

Kuasa yang terdapat pada Lamborghini Urus bukan hanya terletak pada bahagian enjinnya semata-mata.

Terdapat juga beberapa faktor lain yang memberi kesan tambahan termasuk berat keseluruhan model itu.

Lamborghini Urus memiliki sistem keselamatan yang boleh dilaras mengikut kehendak peribadi pengguna.

Lamborghini Urus hanya mempunyai berat kurang daripada 2,200 kilogram, jauh lebih ringan berbanding kenderaan utiliti sukan (SUV) jenama lain.

Bagaimana pula dengan sistem brek bagi kenderaan yang mampu ‘berlari’ sehingga lebih 300km/j ini?

Sudah pasti Lamborghini amat menitikberatkan faktor keselamatan bagi setiap model keluarannya terutama membabitkan sistem brek.

Untuk itu, Lamborghini menghasilkan set carbon ceramic brakes bagi model Lamborghini Urus untuk mendapatkan kesempurnaan cengkaman brek.

Mempunyai 440mm (17.32 inci) rotor di bahagian depan dan 370mm (14.57 inci) pada bahagian belakang, ia secara tidak langsung menjadikannya sebagai carbon brakes terbesar pernah dihasilkan.

Setakat ini, Lamborghini Urus dijual sekitar RM1,000,000 untuk pasaran Malaysia.

Bagaimanapun, harga itu tidak termasuk cukai atas jalan dan kos penghantaran.