Toyota muat naik video bunyi enjin Lexus LFA, durasi 3 jam!

Pada saat dan ketika artikel ini ditulis, dunia telah dihidangkan dengan barisan supercar dan hypercar yang menawarkan prestasi yang tidak terjangkau dek akal.

Namun, penulis berpendapat tiada satu pun daripada model tersebut yang dapat mengalahkan enjin V10 Lexus LFA dari segi bunyi.

Ya, walaupun model tersebut telah pun lama dihentikan produksi sejak 2012, kualiti runut bunyi enjin dan ekzos yang terhasil seakan jentera F1 itu masih lagi sukar untuk ditandingi.

Jika anda merasakan bunyi hingar putih (white noise) tidak cukup membantu anda tidur dengan nyenyak, mungkin sekali boleh cuba satu cara yang sangat sesuai digunakan oleh golongan petrolhead – dengar bunyi enjin Lexus LFA!

Toyota menerusi laman YouTube Toyota Times secara senyap memuat naik video berdurasi tiga jam tanpa sebarang gangguan bunyi asing, hanya bunyi bising tulen Lexus LFA semata-mata.

Untuk makluman golongan pembaca, Lexus LFA dikuasakan oleh enjin 1LR-GUE bentangan V10 5.2 liter yang mampu menjana kuasa setinggi 552 hp dan 480 Nm yang dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan automatik.

Lexus LFA Nürburgring Edition pula dilancarkan dengan enjin yang telah ditala supaya menghamburkan kuasa setinggi 563 hp, penukaran gear 0.05 saat lebih pantas, serta pakej aerodinamik yang lebih sesuai digunakan di dalam litar.

Dalam masa yang sama, Lexus turut meminta bantuan Yamaha untuk menala kembali enjin, ekzos, dan sistem kemasukan dan hasilnya – alunan runut bunyi yang sukar untuk ditiru oleh mana-mana pengeluar.

Sebagai seorang yang meminati ‘muzik’ genre unik ini, kami berharap pihak Toyota mampu menawarkan variasi bunyi enjin hebat yang pernah dihasilkan suatu ketika dahulu untuk didengari, seperti enjin enam silinder 2JZ-GTE, satu-satunya enjin V12 1GZ-FE yang digunakan oleh Toyota Century generasi kedua, dan tidak ketinggalan enjin lagenda 4A-GE.

Bonus: Runut bunyi Lexus LFA mengaum di dalam litar ujian

Lexus ES 2025 facelift muncul di Guangzhou Auto Show 2024

Dengan lebih satu juta unit terjual, Lexus ES masih lagi mempunyai peminat yang tersendiri di pasaran China.

Generasi ketujuh sedan mewah buatan Jepun itu kini telah dikemas kini untuk kali kedua selepas model facelift pertama dilancarkan pada tahun 2021.

Diperlihatkan secara rasmi di Guangzhou Auto Show 2024, Lexus ES membawakan perubahan bersifat kosmetik terutama pada bahagian muka depan dan belakang.

Unit lampu matriks LED telah disemak semula rekaannya, kini menampilkan grafik boomerang berkembar, sementara struktur jeriji spindle hadapan pula menampilkan rekaan yang diinspirasikan daripada model Lexus RX.

Beralih ke belakang, unit lampu LED turut dikemaskini dengan grafik huruf L berkembar diikuti dengan bar lampu melintang penuh yang menepati trend semasa.

Masuk ke dalam ruang kabin, Lexus ES kini mengguna pakai skrin infohibur sebesar 14 inci menggantikan skrin asal sebesar 12.3 inci, dan lengkap dengan dua tombol kawalan tetapan iklim dan media.

Tombol penukaran gear juga turut direka semula, diikuti dengan pilihan trim dan upholsteri baharu.

Lexus ES masih lagi mengekalkan penawaran enjin yang sama seperti model pra-facelift, di mana varian ES 200 hadir dengan enjin 2.0 liter aspirasi semula jadi menghasilkan 170 hp.

Sementara varian ES 300h pula dijana dengan enjin 2.5 liter hibrid menghasilkan kuasa keseluruhan 215 hp.

Generasi ketujuh Lexus ES telah berada di pasaran sejak 2018 lagi, dan kehadiran model facelift kedua ini dilihat mampu menjadikan penawaran yang lebih malar segar untuk tempoh beberapa tahun lagi sebelum model generasi baharu muncul.

Terdapat ura-ura di mana Lexus bakal melancarkan sedan berkuasa elektrik sepenuh masa untuk model generasi baharu ES kelak.

Lexus RZ 450e Luxury 2024 – Galeri Gambar & Ulasan Pandu Uji Ringkas

Lexus Malaysia telah pun selesai melancarkan SUV elektrik pertama jenama itu, Lexus RZ 450e 2024 untuk pasaran tempatan.

Ditawarkan dalam unit yang terhad, Lexus RZ450e hadir dengan spesifikasi tunggal Luxury, di mana ia didatangkan standard dengan tetapan motor elektrik berkembar.

Motor hadapan mampu menjana kuasa 204 hp/266 Nm, sementara motor gandar belakang pula 109 hp/169 Nm.

Secara keseluruhan, Lexus RZ 450e mampu menghasilkan kuasa setinggi 308 hp yang memacu sistem pacuan semua roda DIRECT4.

Pek bateri berkapasiti 71.4 kWh pula membenarkan jarak pemanduan sejauh 440 km untuk sekali cas penuh, selain menyokong pengecasan AC 11 kW dengan tempoh pengecasan penuh 6.5 jam, atau pengecasan pantas DC sehingga 150 kW (tempoh dipendekkan kepada 30 minit).

Antara ciri yang dimuatkan pada Lexus RZ 450e termasuklah sistem gantungan topang MacPherson/Double Wishbone, sistem stereng berkuasa elektronik (EPS), rim aluminium bersaiz 20 inci, lampu projektor Bi-AHS LED dengan fungsi suluhan tinggi adaptif, lampu belakang rekaan L-Bar, pemegang pintu e-Latch luar dan dalam, serta ‘jeriji hadapan’ Lexus Spindle Body.


Ruang kabin pula mendapat kelengkapan skrin kluster instrumen tujuh inci TFT, skrin infohibur sebesar 14 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, tempat duduk balutan Ultrasuede dengan larasan lapan tahap untuk pemandu dan penumpang, roda stereng balutan kulit sintetik, sistem pendingin hawa tiga zon, serta tombol penukaran gear jenis shift-by-wire.

Tidak ketinggalan, sepanjang perjalanan anda akan ditemani dengan alunan muzik daripada sistem bunyi keliling Mark Levinson Premium dengan 13 pembesar suara tersedia.

Selain daripada ciri keselamatan pasif seperti 7 beg udara, ABS, Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Cengkaman (TCS) dan bermacam-macam lagi, Lexus RZ 450e turut dilengkapi dengan Lexus Safety System+ yang merangkumi ciri berikut:
• Sistem Pra-Pelanggaran Hadapan (PCS)
• Kawalan Jelajah Radar Dinamik (DRCC) dengan fungsi Stop & Go dan Curve Speed Reduction
• Sistem Pengekalan Lorong (LKS) dengan fungsi Bantuan Pengesanan Lorong (LTA) dan Amaran Keluar Lorong (LDA)
• Bantuan Suluhan Tinggi Adaptif (AHS)

Terdapat juga dua ciri yang khusus untuk kenderaan Lexus, iaitu Lexus Parking Assist Monitor serta Lexus Teammate Advanced Park yang dibantu dengan fungsi kamera pemantauan keliling panorama (PVM).

Harga jualan Lexus RZ 450e 2024 bermula dari RM429,888.

 

Ulasan Pandu Uji Ringkas


Serentak dengan sesi pandu uji yang disediakan untuk Lexus LBX 2024 tempoh hari, kami turut diberikan peluang untuk merasai sendiri pemanduan SUV elektrik ini dalam perjalanan pulang dari Janda Baik ke Lexus Mutiara Damansara.

Impresi pertama kami, Lexus RZ 450e boleh dipertimbangkan sebagai satu alternatif jika anda tidak berminat untuk mendapatkan SUV elektrik buatan Jerman yang turut dijual dalam julat harga yang sama.

Prestasi pecutan yang ditawarkan oleh Lexus RZ 450e juga adalah apa yang anda harapkan daripada sebuah SUV dengan konfigurasi dua motor elektrik.

Ia tidaklah seagresif kereta elektrik yang memang ditala untuk prestasi, tapi memadai dan cukup untuk anda memalukan mana-mana kereta yang masih menggunakan bahan bakar fosil di persimpangan lampu isyarat.

Berdasarkan pemanduan di lebuh raya, anda boleh merasakan tahap NVH Lexus RZ 450e berada pada tahap yang selesa.

Cuma, kuasa 308 hp yang dihamburkan itu tidak diseimbangkan dengan talaan suspensi yang bersesuaian untuk laluan berliku, dan anda boleh rasa sendiri olengan badan SUV seberat 2 tan ini yang agak ketara bila mana Lexus RZ 450e ini dibawa dengan agresif.

Penulis faham, Lexus RZ 450e bukanlah sebuah SUV berprestasi tinggi bertaraf F-Sport, jadi kelemahan ini boleh dimaafkan memandangkan perasaan yang sama turut dialami ketika penulis pernah memandu uji sebuah SUV elektrik buatan Jerman yang bukan versi prestasi tinggi.

Untuk ruang kabin pula, pendekatan konsep Tazuna yang diterapkan itu sememangnya sangat membantu pemandu dalam menumpukan perhatian penuh pada pemanduan atas jalan. Gugusan butang operasi diminimumkan, di mana hanya butang penting sahaja yang masih dikekalkan.

Cuma, penulis rasa sedikit ralat kerana mana-mana kereta baharu Lexus kini (termasuklah RZ 450e ini) tidak lagi disertakan dengan jam analog di bahagian tengah.

Tidak banyak yang boleh dikongsikan buat masa ini memandangkan tempoh masa pandu uji yang sangat singkat. Mungkin lebih banyak info bakal kami ulas sekiranya ada peluang untuk memandu uji Lexus RZ 450e ini pada masa hadapan.

 

Pandu Uji Lexus LBX 2024 Kali Pertama – Lima Perkara Yang Perlu Anda Tahu

Ini mungkin sekali kereta Lexus yang paling kecil pernah ditawarkan dan paling murah untuk sebuah kereta Lexus baharu yang wujud di pasaran.

Biarpun dengan ciri yang biasanya dikaitkan dengan kereta marhaen, namun Lexus LBX 2024 ini tetap menawarkan identiti yang tersendiri bagi menjadikannya sebahagian daripada keluarga kenderaan mewah Jepun yang ternama.

 

 

Baru-baru ini kami telah diberikan peluang untuk merasai sendiri pengalaman pertama memandu LBX merentas sempadan negeri Selangor-Pahang.

Walaupun jarak yang diberikan itu agak singkat, namun laluan yang telah ditetapkan itu merangkumi resepi yang diperlukan untuk kami menilai tahap pemanduan Lexus LBX atas jalan raya yang sebenar, bukan sekadar pusing-pusing mengelilingi pusat pameran semata-mata.

Berikut merupakan lima penemuan kami:

 

1. Platform Toyota, tapi dengan rekaan luaran identikal Lexus

 

Ini merupakan model Lexus pertama yang menggunapakai platform TNGA-B, menjadikan Lexus LBX model ‘kembar tidak seiras’ kepada model crossover Toyota Yaris Cross pasaran Eropah.

Dimensi ukuran LBX tidak jauh beza dengan ukuran Yaris Cross, namun LBX nampak lebih gagah duduk di atas jalan raya dengan struktur bahu yang lebih menonjol, diikuti dengan jeriji spindle tanpa rangka yang aerodinamik itu.

 

 

 

Malah, penampilan LBX lebih elegan dan ringkas di mana plastik pelindung gerbang roda lebih berbentuk bulat berbanding rekaan bersegi pada Yaris Cross.

Untuk rekaan belakang pula, LBX membawakan struktur lampu yang lebih ringkas yang dihubungkan dengan bar LED melintang. Logo L Lexus telah digantikan dengan perkataan L E X U S.

Bentuk cermin sisi LBX ini sebenarnya mengingatkan penulis pada sebuah lagi model Lexus yang lebih mahal dan berkongsi format nama tiga huruf, iaitu Lexus LFA.

 

2. Enjin hibrid tetapan tiga silinder sebaris

 

Secara standard, Lexus LBX hanya dilengkapi dengan enjin tiga silinder sebaris (kod M15A-FXS) yang dipadankan dengan sistem hibrid.

Enjin itu sahaja berupaya menjana kuasa 90 hp dan 120 Nm, sementara motor elektrik menyumbang 93 hp dan 185 Nm, dengan output keseluruhan dicatatkan sekitar 136 hp.

Mesti ramai yang skeptikal dengan enjin tiga dapur bukan? Geng Proton X50 mungkin dah lama buang perasaan tersebut jauh-jauh. Tak percaya, tengoklah model apa yang paling kerap kuasai laluan kanan lebuh raya pada ketika ini selain daripada model berkuasa rendah Perodua.

 

 

Walaupun dengan hanya enjin tiga silinder sebaris, tetapi bagi kami yang sudah merasai sendiri pemanduan LBX tempoh hari, boleh dikatakan respons yang diberikan sangat memuaskan hati.

Anda boleh menikmati pecutan yang menyeronokkan saat kereta beredar dari plaza tol atau lampu merah bertukar hijau di persimpangan lampu isyarat.

Kuasa yang dihamburkan itu sentiasa ada bila diperlukan pada kelajuan rendah, dibantu dengan kecekapan transmisi eCVT lapan kelajuan yang memastikan roda hadapan bergerak mengikut arahan pemandu.

Sama seperti mana-mana model hibrid Toyota (dan Lexus), Lexus LBX turut mempunyai mod EV bagi membolehkan crossover ini bergerak tanpa setitik minyak pada kelajuan yang rendah.

 

3. Tetapan suspensi ringkas, tapi sesuai dengan jalan raya Malaysia

 

Secara standard, Lexus LBX dipasangkan dengan topang MacPherson di hadapan, diikuti dengan torsion beam di bahagian belakang.

Nampak ringkas, dan sama saja macam model crossover segmen B yang ada di pasaran.

Namun, talaan yang diberikan pada sistem gantungan LBX ini menjadikannya seronok untuk dibelasah di laluan yang berliku, seperti contoh ‘litar kelajuan tinggi kegemaran ramai’ Lebuhraya KL-Karak.

 

 

Sepanjang pemanduan, SUV kecil ini rasa stabil dan melekat di setiap selekoh, dengan olengan badan yang terhasil apabila ia dipaksa secara agresif.

Untuk pemanduan yang biasa-biasa, olengan badan yang terhasil agak minimum, cukup sesuai dan selesa untuk kegunaan mereka yang tidak menggemari pemanduan yang bersemangat.

Paling penting, respons stereng itu sendiri yang sangat patuh pada setiap arahan pemandu, dan ia juga merupakan apa yang penulis harapkan pada sebuah Lexus setelah beberapa kali menguji model yang lebih besar dan mahal sebelum ini – Lexus ES, Lexus RX, dan Lexus NX.

 

 

Nak bercerita lebih, kami perlu pinjam LBX ini sekali lagi untuk ulasan yang lebih menyeluruh. Pendek kata, LBX merupakan salah sebuah Lexus yang seronok dipandu!

Dengan casis, enjin, transmisi, dan sistem gantungan yang mampu berkerja dengan harmoni, penulis rasa tidak sabar pula untuk menguji varian MORIZO RR yang datang dengan resipi  yang lebih istimewa – nadi tiga silinder sebaris GR Yaris dan transmisi manual!

Harapnya pihak Lexus Malaysia dapat mempertimbangkan varian ini kelak.

 

4. Konsep Tazuna yang menyenangkan pemandu

 

Sama seperti mana-mana model Lexus dalam pasaran, Lexus LBX turut mengutamakan konsep Tazuna pada rekaan kokpit pemandu.

Pada bahagian tersebut, Lexus telah meminimumkan kehadiran butang fungsi dan hanya mementingkan butang operasi yang penting sahaja, bertujuan untuk memaksimumkan tumpuan pemandu di atas jalan raya.

Skrin kluster digital 12.3 inci itu menawarkan informasi yang mudah untuk dibaca, samalah juga halnya dengan skrin tengah sebesar 9.8 inci yang turut menyokong sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto.

Saat penulis memegang stereng, ia menawarkan perasaan yang sukar untuk diungkapkan, seolah-olah ia memang dicipta untuk mereka yang menghargai dan menikmati pemanduan sebuah Lexus.

 

 

Tempat duduk hadapan juga agak selesa dan mampu memegang erat pemandu sepanjang tempoh pemanduan, dibantu dengan fungsi larasan berkuasa elektrik.

Sayang sekali, tempat duduk penumpang hadapan hanya diberikan larasan manual. Tidak menjadi satu masalah, selesa juga bila duduk di sebelah pemandu.

Aspek NVH crossover ini juga sangat baik, di mana boleh dikatakan kurang gegaran, bunyi bising angin dan ‘nyanyian’ tayar yang terhasil menderu masuk ke dalam ruang kabin.

Bohonglah kalau kami katakan bunyi enjin tidak kedengaran, ia masih lagi wujud, cuma runut yang lebih agresif hanya akan terhasil saat pedal pendikit dipijak rapat ke lantai. Itu pun tidaklah sebising yang disangka.

 

5. Lexus LBX, sesuai untuk siapa?

 

Satu perkara yang membuatkan LBX kurang sesuai untuk kegunaan seisi keluarga ialah tempat duduk belakang yang agak sempit.

Keadaan ini mungkin disumbangkan oleh struktur tempat duduk hadapan itu sendiri yang agak berisi, di mana ruang kaki penumpang belakang yang terhasil itu lebih terhad.

Mungkin sekali sesuai untuk kanak-kanak kecil, atau orang dewasa yang memiliki fizikal remaja belasan tahun.

 

 

Bahagian kargo pula menyediakan ruang sebesar 315 liter, cukup besar untuk memuatkan barangan keperluan harian.

Jadi, kalau LBX ini tidak sesuai untuk kegunaan keluarga, siapa yang lebih sesuai?

Bagi kami, ia mungkin sekali boleh dipertimbangkan sebagai kereta kedua yang digunakan khusus untuk kegunaan dalam bandar oleh golongan yang tidak mementingkan ruang, atau diberikan kepada anak-anak dan isteri muda yang baru mula belajar memandu.

 

 

Fizikalnya yang kecil, selain mudah untuk dipandu menjadikan Lexus LBX salah sebuah kereta mewah yang patut diberikan peluang.

Di penghujung hari, tidak semua orang mahukan kereta spesifikasi mewah bersaiz besar, bukan?

Untuk pasaran Malaysia, Lexus LBX dijual pada harga bermula dari RM238,888, dan boleh didapati dalam dua varian, iaitu Premium dan Luxury.

 

Lexus LBX 2024 rasmi di Malaysia, dua varian, harga dari RM238,888

Ucapkan selamat datang kepada Lexus LBX 2024, sebuah SUV kompak yang baharu sahaja dilancarkan untuk pasaran Malaysia.

Lexus LBX (Lexus Breakthrough X-over) diposisikan sebagai kenderaan Lexus aras mula yang direka untuk golongan yang lebih muda, serta mereka yang mahukan sebuah kenderaan yang dapat memenuhi keperluan gaya hidup aktif.

 

 

Ia merupakan kenderaan Lexus pertama yang dibina berdasarkan platform global TNGA-B, bermakna ia berkongsi pelantar yang sama dengan model Yaris Cross pasaran Eropah.

Lexus LBX direka berdasarkan pendekatan Lexus Next Chapter Design di mana ia masih lagi mengekalkan identiti signatur Lexus namun dengan karakter yang lebih kasual dan relaks.

 

 

Di bahagian hadapan, Lexus LBX menampilkan struktur jeriji spindle tanpa rangka yang lebih aerodinamik, serta unit lampu projektor tunggal dengan fungsi Auto High Beam yang mengintegrasikan lampu membelok berserta lampu nyalaan siang DRL LED.

Penampilan gagah LBX turut disumbangkan oleh struktur bahu yang lebar, diikuti dengan rekaan lampu belakang yang lebih kemas dihubungkan dengan bar LED yang nipis.

 

 

Untuk pasaran Malaysia, Lexus LBX hanya ditawarkan dengan nadi hibrid elektrik 1.5 liter (kod M15A-FXE), menghasilkan kuasa setinggi 136 hp dan 185 Nm yang dipadankan dengan eCVT lapan nisbah kelajuan.

Pecutan 0-100 km/j adalah sekitar 9.2 saat.

 

 

Ruang kabin Lexus LBX turut menerapkan pendekatan konsep Tazuna di mana susun atur papan pemuka telah diringkaskan serta butang kawalan telah diposisikan di sekitar pemandu bagi mewujudkan ruang yang lebih fokus terhadap pemanduan.

Antara kelengkapan yang wujud termasuklah skrin kluster digital sebesar 12.3 inci (7 inci untuk model Premium), skrin tengah sebesar 9.8 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta sistem audio Mark Levinson Premium Surround Sound dengan 13 pembesar suara (6 unit untuk LBX Premium).

 

 

Lexus LBX turut menerima manfaat keselamatan yang menyeluruh, terima kasih kepada kelengkapan Lexus Safety System+ yang merangkumi Amaran Pra-Pelanggaran, Kawalan Jelajauh Dinamik Radar, Bantuan Pengesanan Lorong, Bantuan Pengekalan Lorong, Bantuan Papan Tanda Jalan.

Selain itu, Lexus LBX didatangkan standard dengan sistem bukaan pintu e-latch untuk keempat-empat pintu yang dipadankan dengan sistem keselamatan Safe Exit Assist, Lexus Teammate Advanced Park, Amaran Lintasan Trafik Belakang dan Sistem Pemantauan Titik Buta.

Terdapat dua varian ditawarkan untuk pasaran Malaysia, iaitu Premium dan Luxury, dengan harga jualan bermula dari RM238,888 hingga RM268,888.

 

Lexus LBX MORIZO RR 2024, nadi GR Yaris, dari RM194k di Jepun

Beberapa bulan selepas model konsep diperlihatkan, Lexus Jepun akhirnya secara rasmi menawarkan model crossover pantas LBX MORIZO RR untuk pasaran Negara Matahari Terbit.

SUV subkompak berprestasi tinggi ini dikuasakan oleh enjin tiga silinder sebaris G16E-GTS 1.6 liter turbo daripada hot hatch GR Yaris dengan kuasa sekitar 300 hp @ 6,500 rpm dan 400 Nm @ 3,250-4,600 rpm.

 

Pembeli di sana turut diberikan pilihan untuk mendapatkan model LBX MORIZO RR bertransmisi manual iMT enam nisbah kelajuan, atau automatik Direct-Shift lapan nisbah kelajuan dengan keupayaan memecut 0-100 km/j sepantas 5.2 saat.

Menyumbang kepada dinamik pemanduan yang lebih sporti ialah sistem pacuan semua roda AWD, penggunakan komponen Response-Enhancing Damping Structure (REDS) pada lengan bawah hadapan, serta sistem brek yang telah dinaiktaraf.

Dalam masa yang sama, Lexus turut menambah baik aspek NVH bagi membezakannya dengan model penderma (Yaris Cross TNGA).

 

Dari segi ukuran, Lexus LBX MORIZO Edition mengekalkan dimensi panjang (4,190 mm) serta jarak antara roda (2,580 mm), namun dengan penambahan lebar sebanyak 15 mm serta lebih rendah 10 mm berbanding model standard.

Penampilan agresif LBX MORIZO RR disumbangkan oleh padanan bampar hadapan yang telah direka semula, skirt sisi, fender flare berwarna badan, ekzos tip berkembar, serta set rim tempa bersaiz 19 inci.

 

Ruang kabin pula diserikan dengan sepasang tempat duduk sports, pedal aluminium, kemasan Alcantara serta jahitan kontras merah.

Tempahan bagi model Lexus LBX MORIZO RR sudah pun dibuka di pasaran Jepun, dengan harga jualan bermula dari ¥6,500,000 (RM194,007).

 

 

Lexus Jepun turut menawarkan model MORIZO RR edisi terhad “Bespoke Build” di mana produksinya dihadkan kepada 100 unit sahaja.

Berbeza dengan LBX MORIZO RR yang standard, varian Bespoke Build ini boleh disesuaikan dengan pelbagai pilihan warna dan kemasan untuk ruang kabin, serta opsyen eksklusif angkup brek berwarna kuning MORIZO.

Lexus LBX MORIZO RR Bespoke Build ini jauh lebih mahal, dengan harga bermula dari ¥7,200,000 (RM214,900) di mana pembeli yang layak akan dipilih menerusi sistem cabutan undi.

 

Lexus RZ 450e Luxury kini di Malaysia, dari RM430 ribu

Lexus Malaysia baru-baru ini mengumumkan ketibaan SUV elektrik serba baharu Lexus RZ 450e 2024 untuk pasaran tempatan, dan ditawarkan dalam satu varian tunggal Luxury sahaja.

Tempahan bagi model ini turut dibuka dengan harga jualan bermula dari RM429,888 atas jalan tanpa insurans.

Berikut merupakan perincian ringkas spesifikasi SUV elektrik Lexus RZ 450e Luxury:

 

1. Konfigurasi dua motor elektrik

Secara standard, Lexus RZ 450e dibekalkan dengan dua motor elektrik, terdiri daripada motor hadapan berkuasa 201 hp/266 Nm dan motor belakang 107 hp/169 Nm.

Secara keseluruhan, Lexus RZ 450e mampu menghasilkan kuasa setinggi 308 hp yang memacu semua roda menerusi sistem pacuan DIRECT4.

Terdapat tiga mod pemanduan disertakan iaitu Confidence, Control dan Comfort.

 

2. Jarak gerak 440 km

Lexus RZ 450e didatangkan dengan pek bateri berkapasiti 71.4 kWh yang membenarkan jarak gerak sejauh 440 km untuk sekali cas penuh (data WLTP).

Bateri lithium-ion tersebut boleh dicas dengan menggunakan pengecasan AC sehingga 11 kW, atau pengecasan pantas DC sehingga 150 kW.

 

3. Rekaan “Seamless E-Motion”

Biarpun berkongsi platform e-TNGA yang sama dengan Toyota bZ4X, Lexus telah menggunakan pendekatan rekaan yang tersendiri bagi menjadikan model RZ 450e ini lebih premium penampilannya.

Karakter luar yang berkuasa ini adalah hasil daripada konsep rekaan “Seamless E-Motion” yang diambil inspirasinya daripada harimau citah.

Struktur jeriji Spindle yang ikonik pada mana-mana kereta Lexus telah digantikan dengan BEV Spindle Body untuk model RZ.

Terdapat enam pilihan warna yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia termasuklah Sonic Copper, Sonic Chrome, Graphite Black Glass Flake, Sonic Quartz, Sonic Iridium dan warna baharu Aether Metallic.

 

4. Ruang kabin berkonsep Tazuna

Sama seperti model Lexus yang terkini, ruang kabin Lexus RZ 450e turut menerapkan konsep Tazuna di mana segala butang kawalan pemanduan ditumpukan kepada bahagian roda stereng.

Terdapat skrin kluster digital sebesar lapan inci, skrin infohibur sebesar 14.0 inci yang sengaja diposisikan ke arah pemandu, skrin paparan head up (HUD), serta sistem bunyi keliling Mark Levinson Premium dengan 13 pembesar suara.

Antara ciri lain termasuklah Lexus Climate Concierge, sistem penapisan udara nanoe™ X, pencahayaan kabin 64 warna, diikuti kemasan konsol tengah rekaan Tsuyasumi yang membawakan kesan arang yang berkilat.

Lexus RZ 450e turut mengutamakan penggunaan bahan mesra alam, seperti contoh tempat duduk diperbuat daripada bahan Sustainable Grayscale Utrasuede, serta kemasan panel pintu daripada bahan PET kitar semula.

 

5. Lexus Safety System (LSS+)

Secara standard, Lexus RZ 450e mendapat kelengkapan keselamatan Lexus Safety System (LSS+) generasi ketiga yang merangkumi pelbagai ciri berkelas dunia, diikuti dengan bantuan sistem Lexus Teammate Advance Park, kamera keliling dan 12 penderia ultrabunyi.

Menurut Lexus Malaysia, Lexus RZ 450e Luxury hanya akan ditawarkan dalam unit yang terhad, di mana setiap pemilik akan dilindungi dengan jaminan pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan, serta jaminan lapan tahun tanpa had perbatuan untuk sistem bateri yang boleh dipanjangkan untuk tempoh dua tahun.

 

Lexus Monogram GX Concept ini siap ada ketuhar pizza di belakang!

Lexus GX merupakan sebuah SUV off-road yang kini sudah pun memasuki generasi ketiga, dan secara asasnya berkongsi platform yang sama dengan model Toyota Land Cruiser Prado (250 Series).

Perkataan Lexus itu sendiri sudah cukup untuk melambangkan ciri kemewahan yang dibawakan pada GX.

Namun, Lexus baru-baru ini memperlihatkan kerjasama dengan pengeluar pekakasan mewah Monogram menerusi model Lexus Monogram GX Concept.

 

 

Daripada sudut luaran, Lexus GX serba hitam ini dilihat sama sahaja dengan GX versi jalanan, namun boleh dibezakan dengan kehadiran pintu belakang jenis terbelah (split liftgate).

Sebaik sahaja pintu tersebut dibuka, anda akan dapat melihat kehadiran sebuah ketuhar elektrik bersaiz 30 inci buatan Monogram yang boleh digunakan untuk memasak pizza, roti atau apa jua makanan yang dirasakan sesuai.

Segala perkakasan memasak boleh disimpan pada rak yang dibuat khas pada panel pintu tersebut.

 

 

Bukan itu sahaja, terdapat ruang penyimpanan luaran yang dibina pada tingkap belakang yang memuatkan gelas wain, pembuka botol serta botol minuman keras.

Masuk ke dalam ruang kabin, anda akan disambut dengan tempat duduk balutan kulit unta dua tona dengan corak khas, diikuti kemasan loyang, besi titanium dan aksen batu sabak Dekton.

Menurut Lexus, konsol tengah kabin GX ini menempatkan peti sejuk khas untuk minuman, serta mesin khas yang mampu menghasilkan ketulan ais berbentuk sfera. yang terletak antara tempat duduk belakang.

Konsep GX Monogram ini akan membuat kemunculan rasmi pada Food and Wine Classic di Aspen, Colorado.

 

Lexus Monogram GX Concept

Lexus GX 2024

Lexus LM 2024 rasmi, varian 7 atau 4 tempat duduk, enjin hibrid, dari RM1.228 juta

Lexus LM generasi pertama telah dilancarkan di Malaysia pada tahun 2021, dan pada ketika itu hanya satu varian tunggal sahaja ditawarkan, iaitu LM350 yang dilengkapi dengan nadi bentangan V6.

Generasi kedua akhirnya rasmi masuk pasaran Malaysia pada hari ini, di mana Lexus Malaysia membawakan sehingga dua varian untuk kegunaan golongan VIP, iaitu Lexus LM350h (versi 7 tempat duduk) dan Lexus LM500h (versi 4 tempat duduk).

Berikut merupakan perincian ringkas Lexus LM generasi baharu:

 

1. Platform

Tidak seperti model LM generasi pertama yang menggunakan platform asal Alphard/Vellfire, Lexus LM dibangun menggunakan platform serba baharu TNGA-K yang lebih moden.

Platform tersebut menawarkan kelebihan dari segi struktur casis yang lebih tegar, dan titik graviti yang rendah bertujuan untuk memastikan aspek pengendalian dan pemanduan bertambah lebih baik.

 

2. Dimensi bertambah besar

Biarpun menggunakan platform yang berlainan, Lexus LM generasi kedua ini masih lagi menawarkan jarak antara roda sepanjang 3,000 mm.

Namun, dimensi LM secara keseluruhan telah bertambah besar, di mana ia kini berukuran 5,125 mm (+ 85 mm), lebar 1,890 mm (+40 mm), dan tinggi 1,955 mm (+45 mm).

Bukan itu sahaja, jarak trek depan dan belakang juga masing-masing bertambah sebanyak 40 mm dan 50 mm, bertujuan untuk kestabilan yang lebih baik.

 

3. Angka pekali seretan serendah 0.33

Lexus telah melakukan penambahbaikan terhadap aspek aerodinamik minivan ini, dengan meminimumkan jurang antara cermin dan tiang hadapan, selain mereka semula beberapa bahagian seperti sudut bampar, serta menambah baik aliran udara bawah badan.

Hasilnya, Lexus LM ini mampu mencapai angka pekali seretan (Cd) serendah 0.33 hingga 0.34.

 

4. Evolusi Spindle Grille

Spindle Grille yang menjadi satu identiti Lexus telah berevolusi menjadi struktur jeriji tanpa bingkai yang diintegrasikan kemas pada badan, diikuti dengan kesan cap panas efek satin – pertama kali muncul pada sebuah Lexus.

 

5. Luaran

Lexus LM membawakan ciri seperti unit lampu projektor LED, lampu nyalaan siang (DRL) LED, unit lampu belakang yang lebih kemas rekaannya, sementara emblem L telah digantikan dengan perkataan LEXUS.

Tiang depan dan belakang pula sengaja digelapkan, bertujuan untuk memberikan efek bumbung terapung.

Secara standard, Lexus LM dipadankan dengan set rim aluminium berbilang jejari bersaiz 19 inci.

 

6. Ruang dalam untuk VIP berehat

Seperti yang disebutkan tadi, Lexus LM boleh didapati dalam dua konfigurasi tempat duduk, iaitu tujuh (2-2-3) atau empat (2-2) di mana ruang belakang telah dimaksimumkan sehabis baik untuk keselesaan penumpang penting.

Antara kelengkapan yang wujud termasuklah skrin super lebar 48 inci, peti sejuk kecil, sistem pencahayaan ambien dengan lima tema dan 14 warna berbeza, bumbung suria terpisah, tirai pelindung cahaya matahari untuk bahagian sisi, serta sistem audio Mark Levinson dengan unit pembesar suara mencecah sehingga 23 unit.

 

 

Selain penggunaan bahan yang mampu menyerap bunyi dan gegaran, Lexus LM turut menawarkan sistem Active Noise Control untuk menjadikan ruang kabin yang lebih senyap.

Tempat duduk baris kedua yang diinspirasikan daripada kabin penerbangan kelas pertama turut dilengkapi dengan fungsi larasan kedudukan, sokongan postur badan, perehat kaki ottoman, fungsi urut, fungsi pengaliran udara, meja boleh lipat serta alat kawalan jauh Rear Multi Operation Panel mudah alih.

Lexus LM versi tujuh tempat duduk juga tidak kurang hebatnya, di mana ia direka dengan pelbagai konfigurasi tempat duduk.

Dengan adanya ciri Power Long Slide Rail, tempat duduk baris kedua boleh dilaras kedudukannya melebihi 480 mm – ciri pertama seumpamanya dalam dunia.

 

7. Kelengkapan untuk pemandu

Untuk kokpit hadapan, Lexus LM dilengkapi dengan skrin kluster digital 12.3 inci, serta skrin infohibur tengah sebesar 14 inci yang lengkap dengan kawalan dial fizikal, sokongan Apple CarPlay tanpa wayar dan sambungan Android Auto berwayar.

 

8. Ruang kargo

Lexus LM menawarkan ruang kargo sebesar 752 liter untuk varian LM500h, atau sehingga 1,191 liter untuk varian LM350h.

Selain daripada ruang tersebut, terdapat juga ruang barangan bawah lantai yang turut disediakan, sementara tempat duduk baris ketiga LM350h boleh dilipat ke sisi untuk memaksimumkan lagi ruang sedia ada.

Untuk membuka pintu kargo, terdapat suis yang diposisikan pada bahagian sisi belakang LM supaya pengguna tidak perlu menapak semata-mata untuk mengelakkan daripada terkena pintu yang dibuka.

 

9. Dua enjin hibrid

Terdapat dua enjin hibrid yang berbeza ditawarkan untuk Lexus LM generasi baharu.

Lexus LM350h dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 2.5 liter (kod A25A-FXS), motor elektrik tunggal dengan sistem pacuan roda hadapan yang dipadankan dengan transmisi eCVT.

Enjin tersebut berupaya menjana kuasa sehingga 190 hp @ 6,000 rpm dan 239 Nm @ 4,300 and 4,500 rpm sementara motor elektrik pula berkuasa 182 hp dan 270 Nm. Kuasa keseluruhan mampu mencecah 250 hp.

Lexus LM500h pula didatangkan dengan enjin 2.4 liter turbo (T24A-FTS) berkuasa 275 hp @ 6,000 rpm dan daya kilas 460 Nm @ 2,000-3,000 rpm, dipadankan dengan motor elektrik gandar depan (87 hp/292 Nm) dan motor elektrik gandar belakang (103 hp/169 Nm).

 

 

Secara keseluruhan, Lexus LM500h mampu menghamburkan kuasa setinggi 371 hp, memacu sistem pacuan semua roda (AWD) DIRECT4 menerusi transmisi automatik Direct Shift enam nisbah kelajuan.

Kedua-dua varian didatangkan dengan pek bateri NiMH (nickel metal hydride) dengan sistem pengecasan kendiri, dibantu dengan tangki bahan api berkapasiti 60 liter.

Terdapat sehingga lima mod pemanduan ditawarkan, iaitu Normal, Eco, Sport, Custom, dan Rear Comfort.

Mod Rear Comfort yang disebutkan itu tadi akan melaraskan karakteristik enjin, motor, suspensi dan brek untuk mengurangkan kesan gegaran dari kedua-dua arah untuk mengoptimasikan keselesaan penumpang belakang.

 

10. Suspensi

Lexus LM menggunakan tetapan suspensi topang MacPherson di hadapan, diikuti dengan tetapan double wishbone pada bahagian belakang.

Secara standard, Lexus LM dilengkapi dengan Adaptive Variable Suspension (AVS), di mana ciri Injap Sensitif Frekuensi (FSV) digunakan buat pertama kali pada peredam untuk mengubahsuai prestasi pada amplitud mikro dan frekuensi tinggi untuk mengurangkan kesan yang datang daripada permukaan jalan raya.

 

11. Ciri keselamatan menyeluruh

Lexus LM didatangkan dengan generasi terkini Lexus Safety System+ (LSS+), merangkumi fungsi seperti Sistem Pra-Pelanggaran (PCS), Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA), Bantuan Suluhan Tinggi Adaptif (AHS), Amaran Keluar Lorong (LDA) serta Bantuan Pengesan Lorong (LTA), selain tujuh beg udara SRS secara standard (enam untuk LM500h).

Selain itu, Lexus LM turut menawarkan bantuan teknologi Lexus Teammate – teknologi pemanduan autonomi Tahap 2 SAE – merangkumi dua fungsi utama iaitu Advance Drive dan Advanced Park.

Lexus LM juga turut dilengkapi dengan fungsi Safe Exit Assist (SEA) untuk sistem e-Latch pintu hadapan, di mana pintu tersebut tidak akan terbuka saat sistem mengesan kehadiran objek bergerak dari arah belakang bertujuan untuk mengurangkan risiko pelanggaran.

Melengkapi ciri keselamatan yang wujud pada Lexus LM ialah kehadiran empat unit kamera, 12 penderia ultrabunyi, serta cermin pandang belakang digital yang menggunakan sistem kamera sepenuh masa.

 

12. Harga

Terdapat sehingga empat warna ditawarkan untuk Lexus LM, iaitu Graphite Black Glass Flake, Sonic Titanium, Sonic Quartz dan
Sonic Agate.

Lexus Malaysia meletakkan harga jualan LM bermula dari RM1,228,000 untuk varian LM350h, atau sehingga RM1,468,000 untuk varian LM500h versi empat tempat duduk.

 

Lexus GX 550 Overtrail JAOS gabung premium dan kelasakan

UNTUK anda yang belum tahu, JAOS atau nama penuhnya JApan Offroad Service, merupakan sebuah syarikat yang mengkhususkan dalam penghasilan dan penjualan alat ganti off-road sejak 1985.

Mungkin kerana pengalamannya yang luas dalam bidang itu, Lexus telah memilih untuk menjalinkan kerjasama dengan JAOS bagi menghasilkan sebuah model konsep GX 550 Overtrail untuk acara Tokyo Auto Salon 2024.

 

Sebagai permulaan, JAOS meningkatan ketahanan dan kelasakan SUV off-road premium itu menerusi penggunaan pelindung bampar depan dan skid plate aluminium setebal 4 mm pada bahagian bawah.

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan pelindung fender, pemijak sisi tiub keluli dan serta set mudguard yang merangkumi flap EVA dan plat aluminium untuk tahap perlindungan yang lebih tinggi.

Untuk memperkuatkan lagi imej lasaknya, GX ini dijadikan lebih tinggi dengan menggunakan sistem suspensi Battlez Lift Kit dan tayar Toyo Open Country A/T III yang dipadankan dengan rim JAOS Tribe Cross berukuran 18 inci.

Turut disertakan adalah rel bumbung aluminium berukuran 1,250 mm x 1,400 mm, serta lampu LED pada pelindung bampar depan.

Lexus tidak menyatakan sama ada model konsep ini mendapat naik taraf trenkuasa namun ia mungkin tidak memerlukannya. Ini kerana dalam versi standard, GX 550 sudah mempunyai 349 hp dan 650 Nm.

Statusnya sebagai kenderaan off-road juga tidak wajar dipersoal kerana model ini didatangkan dengan pelbagai kelengkapan termasuk sistem 4WD, limited-slip differential Torsen, locking differential belakang, Multi-Terrain Select (MTS), Crawl Control, Downhill Assist Control (DAC) dan 3D Multi-Terrain Monitor.

Lexus RZ450e F Sport Performance 2024, SUV elektrik sporti, 100 unit sahaja, RM379 ribu di Jepun

Lexus cuba untuk mencuri sedikit perhatian di dalam pasaran SUV elektrik berprestasi tinggi dengan memperkenalkan model khas RZ450e F Sport Performance.

Ia sebenarnya merupakan versi produksi sebenar kepada model RZ Sport Concept yang telah diperlihatkan sebelum ini di Tokyo Auto Salon 2023.

 

 

Lexus menggunakan khidmat kepakaran daripada juruterbang aerobatik Yoshihide Muroya untuk membangunkan sehingga 17 komponen aerodinamik pada model RZ450e ini.

Antaranya ialah sayap gentian karbon, diikuti dengan komponen turning vane pada bahagian sisi yang menggunakan teknologi aerodinamik pada pesawat.

Selain daripada itu, RZ450e ini juga turut mendapat hud, bumbung, serta spoiler depan dan belakang yang turut diperbuat daripada bahan gentian karbon.

 

 

Aspek pemanduan pula menggunakan khidmat pelumba Masahiro Sasaki di mana sistem gantungan SUV ini telah ditala semula, sebelum keempat-empat sudut dipasangkan dengan rim aluminium ENKEI bersaiz 21 inci.

Lexus menggunakan gandingan warna hitam, perak putih yang digelar Hakugin, serta aksen berwarna biru untuk bahagian luar.

 

 

Sementara ruang kabin pula membawakan gandingan warna hitam dan biru pada bahagian papan pemuka, tempat duduk balutan Ultrasuede, roda stereng balutan kulit sintetik, pedal sports aluminium dan scuff plate F Sport Performance.

Di Jepun, Lexus RZ450e didatangkan dengan tetapan dua motor elektrik, setiap satu menghasilkan 204 PS/266 Nm (depan) dan 109 PS/169 Nm (belakang), serta pek bateri berkapasiti 71.4 kWh.

Harga bermula dari 11,800,000 yen (RM379,132) di mana hanya 100 unit sahaja RZ450e F Sport Performance yang akan diproduksikan.

Setiap pembeli yang layak akan diberitahu oleh pengedar masing-masing pada 22 Februari 2024.

 

Lexus RX 2024 dapat enjin PHEV – 304hp, jarak EV 56km, sistem audio Mark Levinson

GENERASI kelima bagi Lexus RX mula diperkenalkan pada Mei tahun lepas dengan empat pilihan powertrain. Bagi model 2024, SUV mewah itu akhirnya mendapat powertrain plug-in hybrid (PHEV) dan menjadi pilihan enjin kedua paling berkuasa dalam barisan RX.

Dikenali sebagai RX 450h+, pakej janaan kuasanya dikongsi dengan NX, yang terdiri dari enjin 2.5-liter empat-silinder sebaris. Enjin ini disokong oleh dua motor elektrik dan pek bateri lithium-ion.

Kombinasi ini menghasilkan 304hp dan jarak pemanduan EV sekitar 56km. Pecutan 0-100 boleh dibuat dalam masa 6.2 saat, manakala kelajuan maksima dihadkan kepada 200km/j.

Lexus berkata SUV hibrid ini datang standard dengan kabel pengecas Level 1 untuk soket 120 volt. Dalam keadaan ideal, RX 450h+ boleh dicas penuh kira-kira dua jam setengah menggunakan pengecas 6.6kW.

Lexus RX baharu ini akan ditawarkan dengan lapan pilihan warna – Eminent White Pearl, Cloudburst Gray, Iridium, Caviar, Matador Red Mica, Copper Crest, Nori Green Pearl, dan Nightfall Mica, bersama rim 21-inci.

Ciri standard di bahagian kabin pula termasuklah tempat duduk berkuasa dengan pemanas, lampu ambien, pemanas stereng, bumbung panoramik, dan sistem audio premium Mark Levinson dengan 21 pembesar suara.

Lexus RX akan mula dijual di Eropah dan Amerika Utara menjelang hujung tahun ini, dan kami jangkakan tiba ke Malaysia awal tahun depan. Ia akan bersaing dengan model-model seperti Mercedes-Benz GLE, BMW X5, Porsche Cayenne, dan Volvo XC90.

Lexus GX (2024) jentera off-road mewah dengan platform TNGA, suspensi E-KDSS

NAMPAKNYA Lexus sedang rancak menyegarkan barisan SUV dan crossover-nya dengan model-model terkini. Selepas memperkenalkan LBX tempoh hari, jenama mewah Jepun itu kini mempersembahkan pula model kedua terbesarnya iaitu GX.

Kini dalam generasi ketiga, GX dibina di atas platform GA-F yang turut digunakan oleh LX dan Toyota Land Cruiser. Ia mempunyai kerangka ladder frame yang dipadankan dengan suspensi jenis double wishbone di depan dan multi-link di belakang.

Dari segi saiz, SUV ini mempunyai ukuran panjang 4,950 mm, lebar 1,980 mm, tinggi 1,865 mm dan tapak roda 2,850 mm. Berat keseluruhan tidak diketahui namun kenderaan sebesar ini beratnya melebihi dua tan.

GX generasi baharu akan ditawarkan dengan dua pilihan enjin petrol iaitu enjin 3.5-liter twin-turbo V6 dan enjin hibrid 2.4-liter turbo. Kuasa yang dihasilkan tidak dinyatakan di dalam siaran media, namun kedua-duanya dipadankan dengan pacuan 4WD.

Menurut Lexus, gabungan enjin berkuasa dan sistem pacuan empat roda itu membolehkan GX dengan enjin V6 itu mencapai kapasiti menunda seberat 3,629 kg.

Selain 4WD, kemampuan off-road model ini diserlahkan lagi dengan limited-slip differential Torsen pada bahagian tengah, serta buat pertama kalinya bagi Lexus, sistem Electronic-Kinetic Dynamic Suspension System (E-KDSS) yang dikatakan mampu meningkatkan cengkaman di atas pelbagai jenis permukaan.

Lexus GX Overtrail

Turut diperkenalkan buat kali pertama adalah varian Overtrail yang hadir dengan pelbagai kelengkapan tambahan untuk pemanduan yang di dalam persekitaran yang lebih ekstrem.

Untuk bahagian luaran, varian ini didatangkan dengan kombinasi warna dwi tona dengan bumbung hitam, rim 18 inci dengan tayar jenis all-terrain berukuran 33 inci, overfender hitam dan skid plate aluminium.

Ruang dalamannya pula menampilkan reka bentuk tempat duduk eksklusif yang dikatakan dapat mengurangkan pergerakan kepala ketika pemanduan off-road, sekaligus membantu mengurangkan keletihan pemandu dan penumpang.

Selain E-KDSS, GX Overtrail juga didatangkan standard dengan Multi-Terrain Select (MTS), Crawl Control, Downhill Assist Control (DAC) dan 3D Multi-Terrain Monitor. Varian ini juga mendapat locking differential pada gandar belakang.

Menurut Lexus, GX baharu akan dilancarkan ke pasaran bermula hujung tahun ini.

Lexus LBX crossover kompak mewah yang sarat dengan pelbagai ciri

LEXUS telah memperkenalkan model terkecilnya setakat ini iaitu LBX. Direka khusus untuk pasaran Eropah, ia menggunakan platform GA-B yang sama dengan Toyota Yaris Cross dan hanya akan ditawarkan dengan enjin hibrid.

Dari segi saiz, LBX mempunyai ukuran panjang 4,190 mm, lebar 1,825 mm, tinggi 1,545 mm dan tapak roda 2,580 mm, bermakna ia sedikit lebih besar jika dibandingkan dengan ‘kembar’ Toyota-nya. Rim standard adalah berukuran 18 inci.

Crossover kompak ini didatangkan dengan trenkuasa hibrid yang merangkumi enjin petrol 1.5-liter tiga silinder, bateri NiMH dan transmisi jenis E-CVT.

Ia menghasilkan kuasa sebanyak 136 PS dan 185 Nm, membolehkan LBX memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 9.2 saat.

Menurut Lexus, model ini boleh didapati dalam versi pacuan roda depan (FWD) atau pacuan semua roda (E-Four AWD).

Kedua-duanya dilengkapi dengan topang MacPherson pada bahagian depan namun untuk bahagian belakang, versi AWD menggunakan torsion beam manakala E-Four AWD mendapat double wishbone.

Ruang dalaman LBX mengetengahkan rekaan yang ringkas dan elegan, digabungkan dengan konsep Tazuna yang mengutamakan pemandu.

Untuk itu, terdapat kluster instrumen digital berukuran 12.3 inci dan skrin sentuh 9.8 inci pada konsol tengah. Apple CarPlay dan Android Auto disertakan, namun sambungan tanpa wayar hanya tersedia untuk sistem Apple itu.

Seperti model-model Lexus yang lain, LBX menggunakan sistem Mark Levinson yang merangkumi 13 pembesar suara, termasuk sebuah subwoofer yang terintegrasi di pintu belakang.

Untuk ruang but, versi FWD menawarkan ruang berkapasiti 332 liter, cukup besar untuk dua buah bagasi 75 liter, menurut Lexus.

Untuk sistem bantuan pemandu pula, terdapat Lexus Safety System+ yang merangkumi ciri-ciri seperti Pre-Collision System, Dynamic Radar Cruise Control, Lane Tracing Assist, Road Sign Assist, Rear Cross Traffic Alert dan Blind Spot Monitor.

Pelanggan juga boleh mendapatkan ciri-ciri tambahan termasuk Front Cross Traffic Alert, Panoramic View Monitor dan sistem parkir kawalan jauh yang membolehkan pemandu meletakkan kenderaan menggunakan telefon pintar mereka.

LBX akan memasuki pasaran Eropah dan pasaran-pasaran global terpilih mulai awal tahun depan.

Lexus LBX diacah – Toyota Yaris Cross versi mewah?

BUAT masa ini, model terkecil dalam barisan Lexus ialah UX, iaitu sebuah crossover yang menggunakan platform GA-C serta beberapa model Toyota seperti C-HR dan Corolla Cross.

Namun, ini mungkin berubah tidak lama lagi dengan kehadiran model serba baharu yang dikenali sebagai Lexus LBX.

Spesifikasi mengenai model ini masih belum diumumkan namun media antarabangsa melaporkan bahawa ia akan berkongsi platform GA-B dengan Yaris Cross.

Toyota Yaris Cross (Eropah)

Perkara ini tidak mustahil memandangkan Lexus masih belum mempunyai penawarannya yang tersendiri dalam segmen B.

Bukan itu sahaja, penggunaan huruf ‘X’ pada namanya secara tidak langsung mengesahkan bahawa model misteri ini adalah sebuah crossover atau SUV.

‘LB’ masih belum pernah digunakan oleh mana-mana model keluaran Lexus sebelum ini, namun ini mungkin merujuk kepada platform GA-B yang digunakan dan juga pasaran yang disasarkan iaitu pasaran segmen B.

Jika benar, LBX berkemungkinan besar akan ditawarkan dengan trenkuasa hibrid yang sama seperti Yaris Cross yang terdiri daripada enjin petrol 1.5-liter, sebuah motor elektrik kecil dan transmisi jenis CVT.

Dari segi reka bentuk pula, gambar-gambar teaser rasmi yang disiarkan menunjukkan LBX mempunyai elemen-elemen tipikal Lexus seperti gril honeycomb seperti RX baharu, lampu nyalaan siang berbentuk anak panah dan jalur lampu LED melintang di belakang.

Apa-apa pun, kita tunggu kemunculan sulung LBX pada 5 Jun ini.

Lexus LM 2023 buat kemunculan, bakal kenderaan rasmi para menteri dan VIP

SALAH satu penampilan paling mendapat perhatian di Auto Shanghai 2023 yang sedang berlangsung adalah Lexus LM ini. Kini dalam generasi kedua, MPV ultra-mewah ini berevolusi dari model khas pasaran China kepada produk global.

Lexus yang merupakan jenama premium di bawah Toyota bercadang menjualnya ke lebih 60 negara. Pastinya Malaysia dalam senarai, kerana pasaran kita cukup berkenan dengan van peti ais ini. Malah Lexus LM sebelum ini juga telah dilancar di negara kita.

Dengan saiz besar dan gril depan warna badan, LM terkini telah direka semula, bahagian belakang tiada lencana tetapi diganti dengan tulisan “LEXUS”. Rimnya bersaiz 19-inci, tetapi tidak nampak begitu besar memandangkan saiz badannya yang telah bertambah.

Selain dari konfigurasi biasa tiga baris tempat duduk, Lexus LM juga ditawarkan dengan konfigurasi dua baris, empat tempat duduk. Ini paling ideal untuk dijadikan kenderaan pembawa VVIP.

Satu lagi perkara yang lebih besar dari gril depan LM ini ialah skrin 48-inci di depan tempat duduk belakang model dua baris. Lexus berkata skrin ini bukan hanya untuk hiburan, tetapi juga boleh digunakan untuk mesyuarat online.

Di bahagian konsol yang sama, terdapat peti sejuk, ruang simpanan, dan cermin peribadi dengan dua tahap pemalapan.

Penumpang belakang boleh berehat ditemani dengan lampu suasana 64-warna bersama 14 tema dan 50 warna kustom. Terdapat juga meja balutan kulit yang boleh disimpan di dalam perehat tangan bila tidak digunakan.

Satu ciri menarik ialah pengesan infra-merah di bahagian tengah atas ‘dinding’ sempadan bahagian depan dan belakang. Ianya mampu mengesan suhu penumpang belakang seperti muka, dada, peha, dan bahagian bawah kaki.

Ia juga menyukat berapa sejuk atau panas tingkap, panel kemasan, dan bahagian siling memandangkan bahagian ini terkesan oleh suhu luar. Setelah melakukan perkiraan, ia akan melaras suhu pendingin hawa kepada tahap paling selesa.

Lexus tidak mendedahkan perincian powertrain, tetapi maklumat mengatakan terdapat pilihan 2.4-liter turbo hibrid atau 2.5 hibrid. Selain rim 19-inci yang dipaparkan, akan terdapat juga pilihan rim 17-inci.

Selain itu, ketegaran casis telah ditingkatkan sebanyak 50 peratus berbanding model sebelum ini. Suspensi adaptif pula menggunakan injap omboh sensitif dalam penyerap hentak untuk mengesan permukaan jalan dan memberikan pemanduan selesa.

Prototaip EV Lexus dengan transmisi manual tiruan, boleh ‘mati enjin’ jika silap ‘tukar gear’

TRANSMISI manual dikira hampir pupus. Malah jika anda tolak ke tepi kereta dengan kotak gear manual yang kini hanya berada kira-kira dua peratus dalam pasaran, anda harus terima bahawa EV akan mengambil alih kenderaan di atas jalan.

Tetapi Toyota nampaknya mahu mengubah hakikat ini, atau setidak-tidaknya melambatkan peralihan ke arah EV. Maka sebab itulah mereka kini sedang membangunkan prototaip EV dengan kotak gear manual tiruan.

Mereka baru-baru ini mempertontonkan kepada media di Eropah versi istimewa bagi Lexus UX300e. Crossover EV ini nampak biasa, tetapi ia dilengkapi dengan penukar gear dan klac tiruan untuk memberikan sensasi ‘hubungan’ kita dengan kereta secara old-school.

Pemandu akan dapat menukar gear berbeza apabila mereka sampai ke hujung redline tachometer tiruan. Malah, jika pemandu ‘tersilap menukar gear’ ia boleh menyebabkan EV itu terhenti.

Anda boleh tonton demonstrasi pemanduan EV dengan kotak gear manual ini oleh EVO:

Kenderaan elektrik (EV) jarang mempunyai lebih dari satu atau dua gear. Tetapi Lexus berkata mereka membangunkan konsep ini untuk pemanduan EV yang lebih menyeronokkan, dan mungkin menggunakannya pada model-model hibrid produksi jika mempunyai potensi.

Kami tidak pasti jika transmisi manual tiruan sebegini akan memberikan kepuasan seperti memandu manual sebenar, tetapi yang pasti kami mahu mencubanya!

Ini maksud sebenar nama-nama model Lexus

DALAM penamaan model kereta, ada sesetengah pengeluar menggunakan nama-nama tempat (Hyundai Kona, Ferrari California) atau binatang (Ford Mustang, Volkswagen Beetle), dan ada juga yang menggunakan huruf, nombor atau gabungan huruf dan nombor (Acura NSX, Porsche 911, Honda S2000).

Lexus merupakan salah satu pengeluar yang memilih untuk menamakan produk mereka dengan huruf namun tahukah anda bahawa setiap nama tersebut mempunyai maksud yang tersendiri? Jom kita lihat apakah maksud sebenar nama-nama model keluaran jenama mewah itu:

Lexus CT

CT bermaksud Creative Touring. ‘Creative’ merujuk kepada keberaniannya untuk memperkenalkan trenkuasa hibrid, manakala ‘Touring’ untuk menghapuskan mitos yang bateri menjejaskan ruang penumpang dan bagasi.

Lexus ES

Dilancarkan bersama dengan LS pada 1989, Executive Sedan merupakan salah satu model saloon Lexus yang paling popular di pasaran.

Lexus GS

Model ini mengikut jejak langkah LS dengan menggunakan Sedan untuk akhiran. Awalannya bermaksud Grand untuk menandakan posisi pertengahan model itu dalam barisan saloon Lexus.

Lexus IS

Sejak pengenalan IS 200 pada 1999, rangkaian model IS sentiasa menggabungkan kualiti tradisional Lexus dalam pakej yang lebih kecil dan dinamik untuk menarik perhatian pelanggan muda. Oleh itu, IS bermaksud Intelligent Sports.

Lexus LC/LC C

Sebuah kenderaan yang menggabungkan kemewahan saloon flagship dengan reka bentuk coupe, Luxury Coupe dibangunkan untuk memberikan pengalaman pemanduan yang istimewa. Huruf C adalah untuk versi convertible.

Lexus LFA

Salah satu model Lexus yang paling ikonik, LFA pada awalnya bermaksud Lexus Future Advance namun nama itu ditukarkan kepada Lexus F-Sports Apex apabila ia memasuki fasa produksi.

Lexus LS

LS bermaksud Luxury Sedan. Model LS 400 yang menaikkan nama Lexus pada 1989 merupakan hasil kerja 60 pereka, 1,400 jurutera, 2,300 juruteknik dan lebih 200 pekerja sokongan.

Lexus LY

Jangan tak tahu, Lexus pun ada kapal layar mewah atau Luxury Yacht. Selain huruf, ia juga menggunakan tiga nombor yang menunjukkan saiz atau kuasa. Sebagai contoh, LY 650 bermaksud kapal itu berada dalam kelas 65 kaki.

Lexus NX

Nimble Crossover merujuk kepada pertemuan antara saloon mewah saiz pertengahan dan kenderaan off-road. Saiznya yang lebih kecil membuatkan ia sesuai untuk pemanduan urban dan luar bandar.

Lexus RC/RC F

Radical Coupe direka untuk mencabar persepsi tentang reka bentuk sebenar kereta petrol elektrik hibrid dengan kemampuan pengecasan sendiri. Huruf F merujuk kepada litar Fuji Speedway di Jepun iaitu lokasi di mana model-model berprestasi tinggi Lexus diuji.

Lexus RX/RX L

Antara model Lexus yang paling laku di pasaran, RX bermaksud Radiant Crossover. ‘Radiant’ melambangkan masa depan baharu Lexus ketika model ini dilancarkan di ambang alaf baru, manakala Crossover adalah gabungan antara saloon mewah dan kereta off-road. L pula untuk varian tujuh tempat duduk.

Lexus SC

Model Sports Coupe ini direka untuk pasaran coupe mewah saiz pertengahan. Ia merupakan antara salah satu model Lexus yang tidak mempunyai huruf S atau X di penghujung namanya.

Lexus UX

UX merupakan crossover kompak pertama Lexus yang dibangunkan untuk memikat pelanggan urban moden yang inginkan gaya hidup dinamik dan mewah. Sebab itulah ia dinamakan sebagai Urban Crossover.

Drag race dengan bunyi paling merdu – Porsche Carrera GT vs Lexus LF-A

KERETA yang laju memang seronok, tetapi kereta laju dengan bunyi merdu pasti lebih baik. Enjin V10 dikatakan antara nadi paling merdu pernah dihasilkan.

Jika dilihat banyak kereta-kereta yang disenarai sebagai mempunyai bunyi paling merdu kebanyakannya menggunakan V10, sebagai contoh Porsche Carrera GT dan Lexus LF-A. Dan kedua-dua kereta ini akan berentap untuk perlumbaan drag paling merdu.

Yang mana lebih pantas? Kita akan ketahuinya hari ini.

Perlumbaan drag istimiewa ini diatur oleh laman Youtube Hagerty. Sebelum Carrera GT dan LF-A digandingkan, mereka membandingkan beberapa jentera 5-silinder.

Tetapi yang kita hendak fokuskan hari ini ialah jentera 10-silinder V10.

Wakil dari Jepun, LF-A yang merupakan supercar yang dihasilkan antara 2010 hingga 2012, dan hanya 500 unit pernah dikeluarkan.

Nadinya ialah unit 4.8-liter V10 72-darjah dengan sistem VVT-i. Ia menjana 553hp dan 480Nm tork, kuasa disalurkan ke roda belakang melalui kotak gear automated-manual 6-kelajuan.

Sementara itu dari Jerman pula ialah Carrera GT, yang dikeluarkan sekitar 2004 hingga 2006, sejumlah 1,270 unit pernah dibina.

Porsche dengan enjin tengah ini dipacu oleh enjin V10 bersesaran 5.7-liter, cukup untuk 603hp dan 590Nm tork. Tidak seperti LF-A yang menggunakan kotak gear automatik, Carrera GT menghantar kuasa ke roda belakang melalui transmisi manual 6-kelajuan.

Jadi, yang mana akan memenangi perlumbaan kali ini? Jemput tonton video di bawah. Jika anda mahu terus ke perlumbaan antara Carrera GT dan LF-A, boleh terus ke minit 9:00.

Lexus ES250 F Sport pencabar sedan Jerman? – Pandu uji

APABILA kita hendak membeli kereta bernilai lebih RM300,000, kita cenderung mahukan sesuatu yang menonjol. Sebolehnya bila balik ke rumah, jiran akan menegur, “Wah, cantiknya Mercedes baru abang Man!”, atau “Amboi beli BMW 5-Series baru nampak, berapa harga ni?”

Tetapi jika kita balik ke rumah dan jiran menegur, “Lawa kereta baru kau Man, kereta apa ni?” Ada masalah di situ.

Kereta yang anda beli tidak cukup menonjol atau tidak mempunyai identiti yang jelas. Ia mungkin boleh jadi perkara yang negatif, atau positif, bergantung kepada personaliti anda.

Jadi ini yang ditafsirkan oleh Abang Syamsul kita.

Lexus ES250 dibina pada pelantar Global Architecture K (GA-K) dan membawakan rekaan cukup moden. Varian F Sport yang kami uji ini dilengkapi lampu LED three-beam yang begitu tajam bucu-bucunya, mengapit gril ‘spindle’ yang besar di tengah-tengah.

Warna putih White Nova Glass ini khas untuk F Sport, dan varian ini juga mendapat rim 19-inci dengan warna Dark Premium Metallic. Cukup kontra di situ.

Bahagian dalamnya sedikit ‘kasanova’ dengan balutan kulit merah Flare Red untuk tempat duduknya, dan dipadankan dengan trim aluminium di papan pemuka. Tetapi jika anda tidak tahan dengan warna merah ini, masih terdapat warna hitam biasa untuk dipilih.

Tetapi kabin Lexus ES250 ini cukup mewah dan terasa berkualiti tinggi, selesa untuk diduduki dalam perjalanan jauh. Cuma untuk pemandu, terlalu banyak butang fizikal yang mungkin nampak kurang kemas dan memerlukan masa untuk anda menghafal lokasi-lokasinya.

ES250 F Sport dikuasakan oleh enjin 2.5-liter Dynamic Force 4-silinder, menjana 204hp dan 247Nm tork. Enjin dengan suntikan terus bahan api ini digandingkan dengan kotak gear automatik Direct Shift 8-kelajuan, menghantar kuasa ke roda depan.

Ya, ianya sebuah jentera FF walaupun mempunyai rupa seperti ianya pacuan roda-belakang (FR). Mungkin Lexus ES250 ini lebih sesuai dibandingkan dengan Volvo S90?

Teknologi-teknologi utama pada ES250 F Sport termasuklah skrin infotainmen 12.3-inci yang besar gedabak dengan paparan warna jelas, sistem navigasi, ciri keselamatan Lexus Safety System+ (LSS+), dan generator ion negatif Nanoe-X yang menapis udara luar sebelum masuk ke dalam kabin.

Kereta ini juga mempunyai pengesan mendongak, jadi ia akan membunyikan siren secara automatik jika ia diangkat atau ditunda tanpa kebenaran. Bijak, kan?

Ciri menarik juga pada ES250 yang hanya ada pada F Sport ialah meter yang boleh bergerak menggelungsur ke tepi. Ianya mula digunakan pada supercar LFA, dan meter ini bergerak ke kanan dalam mod tertentu untuk membolehkan anda melihat lebih banyak maklumat di bahagian kiri.

Bukanlah suatu ciri teknikal yang memberi kesan kepada pemanduan, tetapi ianya mampu membuatkan anda atau penumpang berkata “Wow,” terutama sekali semasa kali pertama melihatnya.

Ikuti apa komen Abang Syamsul kita mengenai Lexus ES250 ini, adakah ia cukup berkemampuan bersaing dengan sedan-sedan Jerman?

Spesifikasi Lexus ES250 F Sport

Harga: RM345,134
Enjin: 2.5-liter Dynamic Force 4-silinder
Kotak gear: Automatik 8-kelajuan
Kuasa: 204hp @ 6,600rpm
Tork: 247Nm @ 5,000rpm