Tempahan Lexus NX F Sport kini dibuka, 2.5 turbo dengan 275hp dan 430Nm

LEXUS NX F Sport bakal tiba di Malaysia tidak lama lagi, dan Lexus berkata crossover itu menampilkan 95 peratus komponen baharu.

Rekaan luarannya diberi peningkatan dengan garisan-garisan karakter yang jelas, muka depan lebih agresif, dan gril ‘spindle’ besar yang menjadi identiti Lexus. Gril ini mendapat jaringan baharu dengan corak bersilang dan dikemaskan dengan warna perak dan hitam.

Seterusnya, Lexus NX F Sport dilengkapi lampu depan tri-LED projektor dengan bentuk L, dan bahagian sisi yang juga diberikan permainan garisan dan cahaya untuk menampakkan rupa unik.

Bahagian belakang juga mendapat lampu LED yang kini disambungkan dengan bar panjang melintang sebagai identiti baharu model-model Lexus terkini.

NX F Sport ini akan dijana oleh enjin 2.4-liter turbo yang menghasilkan 275hp pada 6,000rpm dan 430Nm tork dari 1,700 hingga 3,600rpm.

Kuasa disalurkan ke jalan melalui kotak gear automatik 8-kelajuan. Menariknya, kotak gear ini mempunyai kawalan AI yang akan menggunakan kamera depan untuk mengesan permukaan jalan lalu memadankannya dengan tukaran gear yang sesuai.

NX F Sport juga akan ditemani dengan varian NX Luxury yang dipacu oleh enjin 2.5-liter naturally-aspirated, cukup untuk menghasilkan 204hp dan 243Nm tork. Varian ini dengan penghantaran kuasa lancar dan linear dikatakan cukup sesuai untuk penggunaan dalam bandar.

Sistem pacuan untuk kedua-dua varian Lexus NX ialah AWD (pacuan semua-roda) tetapi dengan kawalan elektronik. Jadi kuasa akan dihantar ke gandar depan atau belakang mengikut kesesuaian.

Asas kepada Lexus NX ini ialah pelantar Global Architecture K (GA-K) yang menawarkan casis 30 peratus lebih tegar berbanding sebelumnya. Jadi secara teori, NX kali ini mempunyai pengendalian lebih baik.

Ciri keselamatan juga cukup lengkap, di bawah ‘payung’ Lexus Safety System Plus (LSS+). Ia merangkumi ciri seperti Pre-Collision System (PCS), Lane Tracing Assist (LTA), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) dan Adaptive High-beam System (AHS).

Sebagai tambahan, ia juga dilengkapi Road Sign Assist (RSA), Panoramic View Monitor (PVM) dan Parking Brake Support (PKSB).

Ciri lain adalah skrin sesentuh infotainment 14-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, dan rekaan kabin dengan sentuhan rekaan Takumi.

Lexus NX juga didatangkan dengan lampu pencahayaan kabin di bahagian seperti konsol tengah, panel pintu dan ruang kaki. Terdapat kira-kira 64 warna cahaya boleh dipilih.

NX akan ditawarkan dengan lapan pilihan warna termasuk warna baharu Sonic Chrome. Varian F Sport pula mendapat dua warna khas Black dan Dark Rose.

Tempahan untuk Lexus NX baharu kini dibuka, dan jika berminat, boleh ke mana-mana enam cawangan Lexus Centre seluruh negara.

NX F Sport akan dijual pada harga RM389,888 menakala NX Luxury pada harga RM370,888.

Toyota dan Lexus buat kejutan tayang 15 kenderaan EV!

NAMPAKNYA Toyota telah membuat kerja secara senyap-senyap, ramai tidak menyangka mereka akan memperkenalkan barisan kenderaan elektrik (EV) dalam masa terdekat.

Mereka telah memperkenalkan model EV baharu. Bukan satu, bukan dua, tetapi 15 model!

Presiden Toyota Motor Corporation, Akio Toyoda mempersembahkan 15 model EV Toyota dan Lexus yang meliputi kesemua segmen kenderaan, termasuklah kereta sports!

Toyoda memulakan pembentangan barisan model EV itu dengan bZ4x sebelum beralih kepada crossover elektrik di sebelahnya.

SUV kompak bZ ini akan berubah sedikit untuk versi produksi tetapi rekaan bumbung coupe dan warna dwi-tona akan dikekalkan. Mungkin ini akan menjadi C-HR versi elektrik masa depan?

Kebanyakan model konsep yang dipersembahkan mempunyai cermin depan dan sisi yang ditinta gelap, bermakna Toyota belum bersedia menunjukkan rekaan kabin.

Antara yang menarik juga adalah SUV bZ bersaiz besar yang mungkin akan menjadi model Lexus. Ia akan diposisikan di atas model bZ4x.

Paling menarik perhatian pastinya model sports, dimana terdapat satu model coupe rendah dengan bumbung agak dramatik.

Coupe ini dikatakan akan mampu memecut ke 100km/j kurang tiga saat dan mempunyai jarak pemanduan hingga 700km.

Terdapat juga trak pikap yang menyerupai Tacoma, serta sebuah SUV seakan FJ Cruiser untuk era elektrik.

Penutup pembentangan barisan EV itu dibuat dengan dua kenderaan kecil iaitu Mid Box dan Micro Box. Kedua-dua ini sesuai untuk kenderaan harian emisi sifar serta kenderaan penghantaran dalam bandar.

Toyota dan Lexus sebelum ini pernah berkata bahawa mereka mensasarkan jualan 3.5 juta unit kenderaan EV setahun. Mereka akan memperkenalkan 30 model EV menjelang hujung dekad ini dengan pelaburan USD70 juta (RM296 juta).

Vios kekal model Toyota paling laris, UMW jual 63,106 kenderaan keseluruhan November

TOYOTA dan Lexus mencatatkan 63,105 unit jualan untuk November 2021, iaitu 26 peratus lebih berbanding tempoh sama tahun lepas (50,074 unit).

Menurut UMW Toyota, permintaan untuk kedua-dua jenama ini kekal kukuh dengan jualan pada Oktober dan November masing-masing sebanyak 8,500 dan 8,486 unit (6,620 untuk kenderaan penumpang dan 1,866 untuk kenderaan komersial termasuk trak pikap).

Untuk model kereta penumpang, Vios kekal menjadi model Toyota paling laris dengan menyumbang kepada 33 peratus daripada jumlah jualan, sementara Hilux kekal sebagai trak pikap paling laris di Malaysia sejak 2005.

“Pertumbuhan pasaran yang berterusan adalah tanda yang kami kian melangkah ke arah pemulihan,” kata Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.

“Pelanggan boleh berkunjung ke pusat pameran atau menghantar kenderaan mereka ke pusat servis yang sah dengan rasa lega bahawa kesihatan mereka akan terjamin.

“Untuk bulan terakhir tahun ini, kami memberikan tawaran hebat dan menerusi promosi Now Is The Time, penjimatan diberi sehingga RM5,500 untuk model terpilih,” katanya.

Ke arah pelancaran hibrid

Persediaan juga sedang dimuktamadkan untuk acara utama — pelancaran kereta hibrid elektrik pertama yang dipasang dalam negara — dalam masa terderkat.

Model Toyota Corolla Cross Hibrid yang baru kini dalam peringkat pra-produksi di ASSB, kilang pemasangan UMW Toyota Motor di Bukit Raja, Selangor.

“Sejak kami membuka tempahan untuk Corolla Cross Hybrid, maklum balas yang diterima adalah baik dan kami gembira melihat ramai rakyat Malaysia berhasrat untuk beralih ke Teknologi Kenderaan Hibrid Elektrik (HEV),” menurut Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama.

“Kami sedar ramai pelanggan teruja untuk menerima Corolla Cross Hybrid mereka dan kami meminta anda semua bersabar.

“Ada banyak proses kualiti yang perlu dilaksanakan ASSB bagi menjamin kereta yang diserahkan memiliki piawaian tertinggi dalam semua aspek.

“Saya juga ingin katakan yang sebaik saja kereta diserahkan, pemiliknya yang baru pasti akan mendapat pengalaman pemilikan dengan piawaian tertinggi,” tambah Takeyama.

Harga Corolla Cross Hybrid baru dijangka bermula dari RM137,000 (tidak termasuk insurans) dan dengan waranti kilang 5 tahun/tanpa had perjalanan.

Selain itu, untuk memberi kelegaan, ada lagi jaminan 8 tahun/tanpa had perjalanan untuk bateri, pemabalik (converter) dan Unit Kawalan Pengurusan Kuasa.

Pelanggan juga boleh melanjutkan waranti selama dua tahun lagi, seterusnya menjadikan tempoh waranti selama 10 tahun.

Ini merupakan kali pertama waranti sebegini disediakan dalam industri tempatan. Tempahan boleh dibuat melalui mana-mana pengedar sah Toyota atau pusat pameran UMW Toyota Motor di seluruh negara.