Syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) memperkenalkan skuter 250 cc, iaitu Elegan 250 EX versi facelift, menampilkan warna baharu dan ciri yang ditambah baik.
Ia ditawarkan pada harga RM17,780, sedikit mahal berbanding penawaran Elegan 250 EX pada dua tahun lepas (RM16,997).
Untuk kemas kini terbaharu ini, Elegan 250 EX facelift mendapat ciri berikut:
• skrin penghadang angin lebih sporti
• lampu membelok hadapan LED
• dua warna baharu iaitu Deep Blue dan Plain Grey
• logo MODENAS baharu
Skuter ini masih lagi mengekalkan enjin silinder tunggal 250 cc dengan kuasa 22.4 hp @ 7,000 rpm dan daya kilas 22.4 Nm @ 6,500 rpm.
Selain itu, ciri lain termasuklah tangki bahan api 14 liter, sistem brek cakera depan dan belakang, sistem ABS, suspensi fork teleskopik hadapan dan penyerap hentak berkembar di belakang.
Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas), anak syarikat DRB-Hicom, telah mengumumkan pelancaran kempen ‘Mai Servis Motor Sambut Raya’ yang berlangsung dari 14 hingga 28 Mac 2025.
Inisiatif yang tersedia di semua pusat servis Modenas di seluruh negara ini dijalankan bagi memastikan motosikal pelanggan berada dalam keadaan optimum menjelang musim perayaan yang bakal tiba.
Antara manfaat eksklusif yang ditawarkan menerusi kempen ini termasuk:
caj upah kerja percuma untuk servis motosikal biasa
diskaun istimewa untuk servis dan penyelenggaraan motosikal
diskaun tambahan eksklusif untuk ahli E-Keahlian Modenas
konsultasi percuma dari mekanik bertauliah Modenas mengenai penjagaan dan penyelenggaraan motosikal
Pelanggan boleh mengunjungi mana-mana pusat servis Modenas sepanjang tempoh kempen dari Isnin hingga Jumaat (8:30 pagi – 4:30 petang) dan Sabtu (8:30 pagi – 1:00 petang) untuk menikmati tawaran ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan dalam satu kenyataan menekankan komitmen syarikat terhadap keselamatan jalan raya dan kesejahteraan komuniti.
“Melalui kempen ini, kami ingin memberi kembali kepada komuniti dengan memastikan motosikal mereka diselenggara dengan baik, sekali gus mengurangkan risiko kerosakan atau kemalangan.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen kami terhadap tanggungjawab sosial korporat yang berterusan, menjadikan mobiliti yang selamat dan boleh dipercayai dapat diakses oleh semua,” katanya.
Motosikal & Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas), anak syarikat DRB-Hicom, telah melancarkan Modenas Ninja 500 untuk pasaran Malaysia.
Motosikal sport saiz pertengahan itu boleh didapati dua versi iaitu standard dan Special Edition (SE). Versi standard dijual pada harga RM28,100 dan boleh didapati dalam warna hitam sahaja.
Sementara itu, Ninja 500 SE yang berharga RM30,100 ditawarkan dalam dua warna iaitu Lime Green dan hitam/merah.
Tidak kira sama ada dalam versi standard atau SE, Ninja 500 dikuasakan oleh enjin 500 cc dua silinder selari yang menjana 44.8 hp pada 9,000 rpm dan 42.6 Nm pada 6,000 rpm. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi enam kelajuan.
Ninja 500 mempunyai ukuran panjang 1,995 mm, lebar 730 mm dan tapak roda 1,375 mm. Ketinggian pelana mencecah 785 mm, manakala kapasiti tangki pula adalah 14 liters, memberikan motosikal ini berat keseluruhan 171 kg.
Sistem suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik 41 mm pada bahagian depan dan penyerap hentak dengan pelarasan pra-muatan pada bahagian belakang.
Untuk brek, Ninja 500 menggunakan cakera tunggal 310 mm bersama angkup dua piston di hadapan dan cakera tunggal 220 mm dengan angkup satu piston di belakang. Turut disertakan adalah ABS dwi saluran.
Selain pilihan warna berbeza, Ninja 500 SE juga didatangkan dengan beberapa ciri tambahan iaitu port USB Type-C, sistem tanpa kunci KIPASS (Kawasaki Intelligent Proximity Activation Start System) dan paparan TFT berwarna penuh.
Motosikal & Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) memulakan tahun baru dengan melancarkan Kriss 125 Fi ke pasaran tempatan.
Kapcai itu dijual pada harga RM5,620 tidak termasuk insurans dan cukai jalan, dan boleh di dalam dua warna iaitu Glacier Emerald Green dan Graphite Grey.
‘Nadi’ Kriss 125 Fi adalah enjin satu silinder, empat lejang, dua injap SOHC bersesaran 124 cc yang mampu menjana 8.4 hp pada 8,000 rpm dan 8.5 Nm pada 6,000 rpm.
Menurut Modenas, enjin sejukan udara tersebut menampilkan nisbah mampatan 9.3:1, sistem suntikan bahan api dan boleh dihidupkan secara elektrik atau kick start.
Ia dipadankan dengan transmisi empat kelajuan dan mendapat bekalan bahan api daripada tangki berkapasiti 4.2 liter.
Selain itu, Kriss 125 Fi didatangkan dengan fork teleskopik dan penyerap hentak berkembar, manakala rim pula berukuran 17 inci yang dibalut tayar bersaiz 70/90 di depan dan 80/90 di belakang.
Sistem brek pula terdiri daripada cakera hidraulik tunggal berukuran 220 mm yang diapit oleh angkup dua piston untuk bahagian depan, dan dram untuk bahagian belakang.
“Kriss 125 Fi adalah lebih dari sekadar model baru—ia mewakili hasrat Modenas untuk menyediakan solusi mobiliti yang boleh dipercayai, berpatutan, dan efisien yang disesuaikan untuk penunggang dan jalan raya Malaysia. Memasuki segmen ini melambangkan komitmen kami terhadap inovasi dan kepuasan pelanggan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan.
Syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) melancarkan promosi terbaharu yang menawarkan ganjaran tambahan bernilai RM888 khusus untuk pemilik kapcai yang mahu membeli sportsbike ZX-25R.
Kempen “Next Level Trade-In: Unlock RM888 Extra” itu hanya sah bermula sehingga hujung tahun ini (31 Disember 2024).
Menerusi kempen terbaharu ini, MODENAS akan menambah RM888 ke atas nilai tukar-beli motosikal underbone bersesaran 110cc-200cc) tanpa mengira jenama, dan hanya sah untuk pembelian model ZX-25R SE dan ZX-25RR sahaja.
Para pelanggan perlu melengkapkan proses trade-in motosikal lama dalam tempoh masa yang telah ditetapkan. Motosikal jenis skuter tidak layak untuk menyertai tawaran trade-in terbaharu ini.
Sebagai info, Modenas Ninja ZX-25R dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 249 cc yang mampu menghasilkan kuasa setinggi 51 hp dan 22.9 Nm, dipadankan dengan transmisi enam nisbah kelajuan.
Varian RR pula lebih istimewa kerana ia didatangkan dengan fork hadapan jenis terbalik 37 mm SFF-BP, serta penyerap hentak Showa BFRC lite dengan larasan pra-bebanan.
Baru-baru ini kami telah dijemput ke kilang MODENAS yang terletak di Gurun, Kedah untuk menghadiri acara penyerahan skuter elektrik MEV-1 Pro kepada Pos Malaysia.
Ia merupakan serahan kedua yang dibuat oleh MODENAS dengan jumlah sebanyak 1,092 unit selepas serahan kumpulan pertama dibuat kira-kira setahun yang lalu.
Berikut kami kongsikan beberapa lagi fakta menarik yang anda perlu tahu pasal MODENAS MEV-1:
1. Maksud MEV-1
Modenas. Electric Vehicle.
Number 1.
Untuk model lain yang akan diperkenalkan kelak, MODENAS akan menggunakan nama MEV-2, MEV-3 dan seterusnya.
2. Kerjasama dengan VMoto
VMoto VS1
Untuk makluman, MODENAS MEV-1 merupakan ‘kembar’ kepada model skuter elektrik VMoto VS1.
MODENAS bekerjasama dengan VMoto untuk membangunkan MEV-1 untuk manfaat perolehan teknologi dalam tempoh masa yang lebih singkat.
Jenama VMoto dipilih disebabkan oleh faktor ketahanan, kecekapan dan kualiti yang lebih baik berbanding beberapa model pesaing yang telah dinilai sebelum ini.
CEO MODENAS, Roslan Roskan turut menambah, pemilihan model yang lebih berkualiti adalah penting supaya rakyat Malaysia yang mungkin akan membeli skuter elektrik pada tahun hadapan lebih berpuas hati dengan setiap nilai ringgit yang dibelanjakan.
Untuk info, VMoto merupakan jenama rasmi pembekal skuter elektrik kepada pasukan Ducati MotoGP.
Bukan calang-calang jenama ya!
3. Naik taraf ambil masa setahun, ujian ketahanan 10,000 km
Berbanding MEV-1 yang telah digunakan selama setahun, MEV-1 Pro merupakan versi yang telah ditambah baik mengambil kira data penggunaan dan keperluan spesifik Pos Malaysia.
Menurut MODENAS, antara penambahbaikan yang dibuat termasuklah penambahan butang brek parkir manual, pendakap rak yang lebih tahan lasak, dan penggunaan motor elektrik yang lebih berkuasa.
Disebabkan itu, MEV-1 Pro kini berupaya menghasilkan kuasa 5.8 hp, boleh menampung beban sehingga 250 kg, serta mampu mendaki cerun curam 19 darjah.
Ia juga lebih tahan panas terima kasih kepada perubahan yang dibuat pada unit kawalan kenderaan dan sistem bateri, sesuai untuk tugas-tugas Pos Malaysia yang lebih ekstrem.
4. Masalah jarak tak cukup?
Berbanding motosikal moped biasa, kebanyakan skuter elektrik mempunyai satu masalah umum – jarak tunggangan yang kurang mencukupi untuk operasi harian.
Namun, ia bukan satu masalah besar buat abang-abang posmen kita.
Menurut Pos Malaysia, secara purata sebuah skuter elektrik MEV-1 bergerak sejauh 40 km setiap hari untuk membuat penghantaran barang.
Bermakna, jarak gerak standard yang ditawarkan oleh MEV-1 adalah sudah lebih daripada memadai untuk merangkumi operasi harian Pos Malaysia.
Namun pada masa depan, Pos Malaysia tidak menolak kemungkinan untuk mempertimbangkan opsyen mendirikan stesen penukaran bateri yang lebih praktikal untuk menampung keperluan yang semakin bertambah.
5. Berminat? Tunggu tahun depan
Buat masa ini, MEV-1 dan MEV-1 Pro hanya dikhususkan untuk kegunaan armada elektrik syarikat seperti Pos Malaysia.
Namun, MODENAS menjanjikan skuter elektrik yang boleh dibeli orang ramai akan ditawarkan menjelang suku pertama 2025 (Q1 2025), dengan spesifikasi dan harga yang lebih mesra pengguna.
Untuk permulaan, ia akan dijual dalam versi CBU dengan harga jualan anggaran belasan ribu ringgit, atau mungkin bawah RM10 ribu ringgit dalam versi pemasangan tempatan (CKD).
Spesifikasi MODENAS MEV-1 Pro
Kuasa: 5.8 hp
Daya kilas: 165 Nm
Pek bateri: 5.4 kWh
Jarak gerak: 95 km
Dimensi: 2,094 x 727 x 1,141 mm
Jarak roda: 1,366 mm
Jarak lega bumi: 154 mm
Tinggi pelana: 760 mm
Suspensi: Fork teleskopik hadapan, penyerap hentak tunggal belakang
Saiz tayar: 100/80-16 depan, 110/80-14 belakang
Brek: Rotor 240 mm depan, 180 mm belakang
Syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) menyerahkan kumpulan kedua skuter elektrik Modenas MEV-1 PRO sebanyak 1,092 unit kepada Pos Malaysia sebagai sokongan kepada komitmen untuk mencapai elektrifikasi penuh menjelang 2030.
Kesemua skuter elektrik ini akan dihantar secara berperingkat menyertai armada EV Pos Malaysia sedia ada yang terdiri daripada 220 unit motosikal elektrik (termasuk 140 unit MEV-1 yang telah diserahkan sebelum ini) dan 143 van elektrik.
Modenas MEV-1 PRO telah direka untuk memenuhi keperluan spesifik dan tuntutan operasi perkhidmatan logistik dan penghantaran, menyokong kapasiti beban sehingga 250 kg, kuasa maksimum 4.3 kW (5.8 hp) serta keupayaan untuk mendaki cerun sehingga 19 darjah.
Syarikat MODENAS akan menyediakan khidmat penyelenggaraan dan servis yang menyeluruh untuk MEV-1 PRO menerusi rangkaian pusat servisnya di seluruh negara.
Difahamkan, skuter elektrik MODENAS MEV-1 juga akan ditawarkan kepada pengguna umum dengan versi yang lebih mampu milik diperkenalkan bermula suku pertama 2025 (Q1 2025).
Bersempena dengan penganjuran MotoGP Malaysia, MODENAS turut sama melancarkan model motosikal cruiser terbaharu Modenas Eliminator 500 2025 dengan harga jualan bermula dari RM30,100 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan).
Ia merupakan model terbaharu yang dijenamakan semula daripada Kawasaki, selaras dengan pendekatan yang dibuat untuk model motosikal bawah 750 cc terdahulu.
Modenas Eliminator dikuasakan oleh enjin kembar selari 451 cc yang mampu menghasilkan 44.7 hp @ 9,000 rpm dan daya kilas 43 Nm @ 6,000 rpm.
Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi manual enam-kelajuan yang dipadankan dengan klac assist-slipper.
Modenas Eliminator dilengkapi dengan fork teleskopik hadapan 41 mm diikuti dengan penyerap hentak berkembar yang datang dengan larasan pra-beban, masing-masing menawarkan jarak gerak 120 mm dan 90 mm.
Sementara aspek pemberhentian pula menggunakan khidmat brek cakera berkembar 310 mm dengan angkup dua-omboh di depan, diikuti brek cakera tunggal dan angkup omboh tunggal di belakang. Tidak ketinggalan, ia juga hadir dengan sistem brek anti-kunci (ABS) dua saluran.
Eliminator 500 ini menggunakan rim bersaiz 18 inci dengan balutan tayar 130/70 di depan, serta rim aloi 16 inci dengan balutan tayar 150/80 di belakang.
Ciri lain termasuklah lampu LED depan dan belakang, skrin kluster LCD dengan sokongan aplikasi Rideology, kapasiti tangki bahan api sebesar 13 liter dan tinggi pelana 735 mm.
Syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) mengumumkan kehadiran dua buah model motosikal untuk pasaran tempatan, iaitu Modenas Versys 650 SE dan Kawasaki Z900RS SE.
Dimulakan dengan Modenas Versys 650 SE, jentera touring ini dikuasakan oleh enjin kembar selari 649 cc sejukan cecair yang mampu menghasilkan 67 PS @ 8,500 rpm dan daya kilas 61 Nm @ 7,000 rpm.
Sistem gantungan terdiri daripada fork hadapan jenis teleskopik terbalik 41 mm boleh laras (julat gerak 150 mm), diikuti penyerap hentak tunggal lengkap dengan larasan pra-bebanan (julat gerak 145 mm).
Aspek pemberhentian Versys 650 SE ini menggunakan angkup hadapan dua omboh dan rotor terapung berkembar 300 mm, diikuti angkup omboh tunggal dan rotor tunggal bersaiz 220 mm di belakang.
Aspek tunggangan turut dibantu dengan ciri indikasi tunggangan ekonomikal, injap pendikit berkembar serta kawalan cengkaman (KTRC).
Tersedia dalam unit terhad, Modenas Versys 650 SE ini turut dilengkapi dengan sistem kotak storan pannier jenis quick release berkapasiti 65 liter yang menggunakan sistem kunci yang sama dengan sistem pencucuhan motosikal.
Harga jualan bermula dari RM43,600 untuk warna Metallic Spark Black, atau RM44,200 untuk warna Candy Lime Green/Metallic Flat Spark Black.
Mereka yang mahukan imej retro klasik boleh mendapatkan Kawasaki Z900RS SE dengan harga jualan RM73,300.
Z900 RS SE dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 948 cc dengan hamburan kuasa 110 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 98.5 Nm @ 6,500 rpm, dipadankan dengan kotak gear enam nisbah kelajuan.
Sistem suspensi terdiri daripada fork hadapan jenis terbalik 41 mm dengan fungsi larasan pra-bebanan, diikuti penyerap hentak gas Öhlins S46, juga dengan larasan pra-bebanan tersedia.
Sistem brek Z900RS SE menggunakan angkup monobloc M4.32 yang mencengkam rotor berkembar Brembo bersaiz 300 mm, diikuti angkup omboh tunggal dan rotor tunggal 250 mm di belakang.
Ciri lain termasuklah rim 17 inci, tangki bahan api sebesar 14 liter, tinggi pelana sekitar 835 mm, indikasi tunggangan ekonomikal, injap pendikit berkembar serta kawalan cengkaman (KTRC).
Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas) dan IFS Capital Malaysia Sdn. Bhd. telah menjalinkan kerjasama strategik untuk menyediakan fleksibiliti kewangan kepada vendor Modenas melalui Program Pembiayaan Rantaian Bekalan.
Kerjasama yang dikenali sebagai ‘SupplyLink Accord’ itu akan menyaksikan vendor akan menikmati beberapa ciri program pembiayaan berkenaan seperti berikut:
Pilihan Pembayaran Awal: Vendor dan pembekal mendapat akses kepada dana lebih awal daripada kitaran pembayaran tradisional.
Proses Diperkemas: Kelulusan invois dipermudahkan dan prosedur pembayaran digital untuk transaksi yang lebih pantas.
Fleksibiliti Kewangan yang Dipertingkat: Sokongan aliran tunai segera untuk pengurusan modal kerja yang berkesan
Akses Mudah: Portal dalam talian tersedia 24 jam, 7 hari seminggu.
Transaksi Digital: Proses secara digital yang lebih kemas.
Tiada Akaun Bank Baru Diperlukan: Tidak memerlukan akaun tambahan.
Kos Telus: Tiada bayaran atau yuran tersembunyi.
Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif Modenas berkata, “Pilihan pembayaran awal akan memastikan rantaian bekalan kami beroperasi dengan cekap dan dapat memenuhi keperluan.
“Selain itu, ia juga membantu perniagaan kecil tempatan untuk menguruskan aliran tunai mereka, dan ini pasti akan menyumbang kepada keseluruhan komitmen kami di Modenas terhadap pertumbuhan ekonomi.”
“Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan Modenas untuk memperkenalkan penyelesaian pembiayaan inovatif ini,” kata Ab. Razak Khalil, Ketua Pegawai Eksekutif IFS Capital.
“Program kami direka untuk mewujudkan rantaian bekalan yang lebih tangkas dan responsif, memacu pertumbuhan dan kemampanan untuk semua pihak yang terlibat.”
Dengan meningkatkan fleksibiliti kewangan, Program Pembiayaan Rantaian Bekalan dapat mengukuhkan lagi rantaian bekalan serta memupuk daya tahan perniagaan.
Program ini menetapkan penanda aras baharu dalam industri, sejajar dengan trend penyelesaian kewangan yang semakin berkembang yang menyokong keperluan perniagaan dinamik di seluruh Malaysia dan juga di rantau ASEAN.
Motosikal dan Enjin Nasional (Modenas), anak syarikat DBR-Hicom Berhad telah melancarkan logo dan identiti jenama baharunya.
Modenas berkata, identiti jenama baharu itu melambangkan tumpuan syarikat kepada pengembangan global, teknologi baharu, dan penyelesaian yang lebih bersih.
Logo baharu Modenas menampilkan simbol ikonik ‘M’ dalam gaya yang lebih moden, dikelilingi bulatan yang menggambarkan ketepatan dan identiti baharu.
Kekal dengan warna biru dan putihnya, logo yang dikemas kini memperkenalkan varian kelabu dan platinum Modenas.
Sementara itu, pengenalan Elemen “Road Star” yang baharu juga mencerminkan arah baharu jenama ini yang menekankan kepimpinan industri, keupayaan menyesuaikan diri, dan komitmen untuk pertumbuhan.
Bercakap mengenai usaha penjenamaan semula ini, Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif Modenas berkata,”Industri mobiliti kini sedang berkembang pesat, didorong oleh keperluan mendesak untuk peralihan tenaga dan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kelestarian alam sekitar.”
“Dengan ini, visi baharu kami akan membawa keseronokan yang menghubungkan orang dan komuniti, dengan menyediakan nilai, teknologi, dan produk lestari di peringkat global,” tambahnya.
Sempena penjenamaan semula dan pencapaiannya, Modenas turut memperkenalkan varian baharu Kriss 110 dengan teknologi suntikan bahan api yang mematuhi piawaian pelepasan Euro 4 yang ketat.
Harga jualan Kriss 110 baharu itu bermula dari RM4,599 bagi varian brek dram, dan RM4,998 bagi varian brek cakera.
EDARAN Modenas Sdn Bhd (EMOS) telah mengumumkan harga jualan rasmi bagi model Modenas Versys-X 250 iaitu RM24,900.
Boleh didapati dalam warna Metallic Flat Spark Black/CDY Lime Green, Versys-X 250 direka untuk menawarkan pengalaman menunggang, prestasi, dan gaya yang luar biasa dalam segmen kembara.
Model ini dikuasakan oleh enjin 249 cc, silinder berkembar selari yang menghasilkan 33 hp pada 11,500 rpm dan 21.7 Nm pada 10,000 rpm.
Enjin berkenaan digandingkan dengan transmisi enam kelajuan yang mempunyai klac jenis Slipper & Assist.
Untuk bahagian casis, Versys-X 250 menggunakan fork teleskopik 41 mm dan suspensi jenis monoshock. Sistem ini dipadankan dengan rim bersaiz 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang.
Selain itu, motosikal ini juga dilengkapi dengan brek cakera bersama ABS dwi-saluran. Tangki bahan apinya berkapasiti 17 liter, manakala ketinggian tempat duduk adalah 815 mm.
Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif Modenas berkata, “Kami teruja untuk memperkenalkan Versys-X 250 ke pasaran Malaysia pada harga yang kompetitif. Motosikal ini melambangkan semangat pengembaraan dan sesuai untuk penunggang yang gemar tunggang yang lasak.
Dengan ciri-ciri yang luar biasa dan harga berpatutan, kami percaya ia akan menjadi pengubah segmen jelajah pengembaraan.”
DI samping Ninja 650 dan Z650, Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) turut melancarkan Modenas Versys 650 yang telah ditambah baik untuk model tahun 2023.
Motosikal jenis kembara ini boleh didapati dalam dua warna iaitu Metallic Spark Black dan Candy Limegreen/Metallic Flat Spark Black, dengan harga jualan bermula dari RM38,400 hingga RM39,100.
Untuk 2023, Versys 650 tampil dengan rekaan lebih bergaya serta kemudahan dalam bentuk cermin penghadang angin dengan ketinggian boleh laras. Ini meminimumkan rintangan angin, mengoptimumkan aerodinamik, serta meningkatkan keselesaan jarak jauh.
Seperti sebelum ini, Versys 650 dikuasakan oleh enjin silinder kembar selari bersesaran 645 cc dengan kuasa sebanyak 65.7 hp pada 8,500 rpm dan 61 Nm pada 7,000 rpm. Enjin ini dicantumkan dengan transmisi enam kelajuan.
Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik pada bahagian depan dan penyerap hentak jenis monoshock dengan pelarasan pramuatan pada bahagian belakang. Rim yang digunakan bersaiz 17 inci.
Untuk sistem brek pula, terdapat cakera berkembar berukuran 300 mm pada roda depan dan cakera tunggal 250 mm pada tayar belakang, serta tidak lupakan ABS.
Seperti Ninja 650 dan Z650, model ini juga didatangkan dengan Kawasaki Traction Control (KTRC) yang boleh diakses menerusi paparan TFT berukuran 4.3 inci.
Menerusi paparan tersebut juga, penunggang boleh mengakses telefon pintar menerusi sambungan aplikasi Rideology yang disertakan secara standard.
Versys 650 boleh didapati menerusi rangkaian pengedar sah Kawasaki di seluruh Malaysia mulai akhir bulan Julai.
EDARAN Modenas Sdn Bhd (EMOS) hari ini melancarkan Modenas Ninja 650 dan Z650 ke pasaran tempatan. Kedua-duanya merupakan model tahun 2023 yang telah diberikan beberapa penambahbaikan.
Untuk Ninja 650, motosikal jenis sportbike ini tampil dengan reka bentuk yang lebih agresif dan tajam, serta pencahayaan LED. Ia juga mendapat ciri sambungan telefon pintar Rideology oleh Kawasaki yang memberikan penunggang akses kepada maklumat dan data penting.
Sementara itu, Z650 yang merupakan model jenis naked pula mempunyai kerangka yang dierka semula untuk kedudukan yang lebih ergonomik dan selesa untuk semua jenis penunggang.
Ia juga didatangkan dengan meter TFT yang menawarkan paparan yang jelas serta akses kepada tiga mod tunggangan yang disediakan iaitu Sport, Road dan Rain.
Bukan itu sahaja, pengendalian motosikal ini juga dipertingkatkan menerusi penggunaan fork teleskopik pada bahagian belakang dan penyerap hentak horizontal back-link pada bahagian belakang.
Difahamkan, Ninja 650 dan Z650 kini juga dilengkapi dengan ciri Kawasaki Traction Control (KTRC) yang mempunyai tiga mod iaitu Mode 1, Mode 2 dan Off.
Kedua-duanya masih dikuasakan oleh enjin penyejukan cecair DOHC 649 cc dengan dua silinder sebaris yang menghasilkan 68 PS pada 8,000 rpm dan 64 Nm pada 6,700 rpm.
Ninja 650 dijual pada harga RM35,200 untuk warna Metallic Matte Graphenesteel Gray dan RM35,900 untuk warna Lime Green/Ebony.
Z650 pula boleh didapati pada harga RM34,500 untuk Metallic Spark Black dan RM35,200 untuk Metallic Matte Graphenesteel Gray.
EDARAN Modenas Sdn Bhd (EMOS), anak syarikat milikan penuh Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) hari ini melancarkan dua model baharu iaitu Modenas Dominar D400 Adventure dan Dominar D250.
Dominar D400 Adventure merupakan model kembara yang sebelum ini sudah dilancarkan di India. Ia tampil dengan cermin penghadang angin yang lebih tinggi, pelindung tangan dan kaki, ‘bash plate’ enjin dan perehat belakang untuk pembonceng.
Bukan itu sahaja, model ini juga didatangkan dengan cagak untuk telefon pintar atau sistem navigasi dengan port pengecas USB yang boleh diakses.
Seperti Dominar D400, versi Adventure ini juga dikuasakan oleh enjin 373 cc, DOHC suntikan bahan api yang menghasilkan 39.4 hp dan 35 Nm.
Casisnya terdiri daripada fork jenis terbalik (SUD) dan penyerap hentak tunggal Nitrox, manakala sistem brek pula merangkumi cakera berukuran 320 mm di hadapan dan 230 mm di belakang. Turut disertakan adalah sistem ABS dwi saluran.
Ia boleh didapati dalam dua warna iaitu Savanna Green dan Charcoal Black. Harga jualan bermula dari RM15,797 tidak termasuk insurans dan cukai jalan.
Sementara itu, Dominar D250 pula mempunyai reka bentuk dan ukuran dimensi yang sama dengan ‘abangnya’ iaitu Dominar D400.
Apa yang membezakan antara dua model ini adalah enjin, di mana Dominar D250 mempunyai ‘nadi’ silinder tunggal bersesaran 249 cc dengan kuasa sebanyak 26.6 hp pada 8,500 rpm dan 23.5 Nm pada 6,500 rpm.
Enjin ini digandingkan dengan transmisi enam kelajuan yang dilengkapi dengan klac jenis ‘slipper’.
Selain itu, model ini juga dilengkapi dengan fork USD 37 mm dan penyerap hentak tunggal Nitrox boleh laras. Sistem brek juga sama iaitu cakera 320 mm dan 230 mm, serta ABS dwi saluran.
Penggunaan enjin yang lebih kecil menjadikan Dominar D250 7 kg lebih ringan, dengan berat keseluruhan mencecah 180 kg.
Dominar D250 boleh didapati dalam tiga warna iaitu Sparkling Black, Racing Red dan Citrus Rush. Ia dijual pada harga RM13,797 tidak termasuk cukai jalan dan insurans.
EDARAN Modenas Sdn Bhd (EMOS), memperluaskan barisan motosikal mereka untuk pasaran tempatan menerusi pelancaran model ‘sports cruiser’ iaitu Modenas Vulcan S ABS baharu.
Dibangunkan untuk tunggangan selesa sama ada untuk perjalanan ulang alik ke tempat kerja atau santai, Vulcan S ABS dikuasakan oleh enjin 649 cc silinder berkembar yang menghasilkan 60 hp dan 62.4 Nm.
Jika anda nak tahu, enjin yang dilengkapi dengan sistem penyejukan cecair itu turut digunakan pada model Ninja 650.
Satu lagi ciri menarik pada Vulcan S ABS adalah ciri Ergo Fit di mana bar pemegang, tempat duduk dan tempat letak kaki boleh ditetapkan dalam tiga posisi berbeza untuk keselesaan penunggang.
Ditambah pula dengan kedudukan pusat graviti yang rendah, Vulcan S ABS membolehkan penunggang mengambil selekoh dengan yakin dan mudah.
Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik pada bahagian hadapan dan monoshock pada bahagian belakang, manakala tayar yang digunakan adalah berukuran 120/70 R18 di hadapan dan 160/60 R17 di belakang.
Untuk sistem brek pula, Vulcan S ABS dilengkapi dengan cakera tunggal berukuran 272 mm di hadapan dan 216 mm di belakang.
Selain itu, model ini mempunyai ketinggian pelana 705 mm, tangki bahan api berkapasiti 14 liter dan berat keseluruhan sekitar 229 kg. Ia juga didatangkan dengan lampu LED untuk lampu utama dan lampu brek, serta panel meter LCD dengan lampu LED biru.
Untuk pasaran Malaysia, Vulcan S ABS dijual pada harga RM36,500 untuk warna Metallic Flat Spark dan RM37,200 untuk Pearl Matte Sage Green.
MODENAS Elegan 250 EX kini mendapat kemaskini terbaharu melibatkan aspek teknikal dan aestetik. Dari segi teknikal, skuter itu kini mendapat penarafan Euro 4 bagi enjinnya, sebahagian dari usaha Modenas untuk membolehkan produk mereka memenuhi piawaian pelepasan asap itu.
Elegan 250 EX baharu didatangkan dengan enjin 250cc Euro 4 silinder tunggal, 4-lejang dan dengan teknologi suntikan bahan api dan SOHC. Enjin ini menjana 22hp pada 7,000rpm dan 22.4Nm tork pada 6,500 rpm.
Bagi membolehkan enjin ini mendapat penarafan Euro 4, ia dilengkapi dengan anti-pelepasan tambahan bagi memastikan toksin dalam gas ekzos adalah minima.
Seterusnya, pembaharuan pada Modenas Elegan 250 EX ini adalah menerusi lampu projektor dengan DRL LED, serta lampu belakang berbentuk X.
Ciri lain dikekalkan, seperti paparan meter digital, jam digital, penunjuk voltan bateri, penunjuk paras petrol, dan soket pengecaj USB. Skuter ini mempunyai berat 195kg, serta hadir dengan sistem brek ASB dwi-saluran.
Modenas Elegan 250 EX boleh menjadi milik anda dengan harga jualan RM16,997, dan datang dengan dua pilihan warna baharu iaitu Matte Silver Crystal dan Petroleum Blue. Ia juga dilindungi dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000km (yang mana dahulu).
EDARAN Modenas Sdn Bhd (EMOS), anak syarikat MODENAS menerima penarafan lima bintang daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bagi model Ninja 250 ABS dan Z250 ABS.
Penarafan itu diberikan selepas kedua-dua motosikal itu menjalani ujian di bawah Program Penilaian Motosikal Malaysia (MyMAP).
Selain Anti-lock Braking System (ABS), kedua-dua model tersebut berkongsi teknologi keselamatan tambahan seperti klac ‘assist and slipper’, penunjuk tunggangan ekonomi serta Argo Fit bagi pengurusan casis ringan yang lebih efektif.
Dengan itu, MyMAP secara rasmi memberi penarafan lima bintang kepada kedua-dua model ini sejurus proses penilaian dan audit yang telah dilalui MODENAS pada Oktober 2022 lalu.
Program MyMAP merupakan sebuah usaha terus kerajaan untuk menaik taraf tahap keselamatan motosikal di Malaysia dengan mengintegerasi teknologi dan fungsi keselamatan baharu pada motosikal berkapasiti rendah.
Dan dalam masa yang sama, untuk mendidik pengguna untuk mempraktikan tunggangan selamat sebagai pencegahan kemalangan.
Program MyMAP ini dibentuk berlandaskan pengalaman MIROS dalam membangunkan Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) yang turut mempunyai sistem penilaian yang sama seperti NCAP.
Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS berkata, “Kami di MODENAS amat berbangga dengan pengiktirafan yang telah dianugerahkan pada kedua-dua model Modenas Ninja 250 dan Modenas Z250 versi ABS.
“Kedua-dua model ini merupakan motosikal pertama yang menerima penarafan 5 bintang MyMAP bagi segmen Naked Bike dan Sports Bike bersasaran 250cc.
“Dengan itu, kami amat berharap para pembeli akan lebih cakna dalam membuat keputusan ketika membeli motosikal dana lebih mementingkan teknologi keselamatan yang ditawarkan pada setiap motosikal mereka.”
EDARAN Modenas Sdn Bhd (EMOS), anak syarikat kepada MODENAS hari ini membawakan Ninja 250, tetapi dengan Ohlins Edition.
Seperti pada namanya, Ninja 250 ini hadir dilengkapi dengan suspensi Ohlins, menjadikannya satu-satunya model dalam segmen 250cc di negara ini dengan ciri tersebut.
Suspensi Ohlins ini walaubagaimanapun hanya di belakang, dan menurut MODENAS, mampu memberikan kestabilan lebih baik.
“Motosikal akan lebih stabil terutamanya ketika memasuki selekoh. Walaupun penunggang memulas pendikit minyak atau brek mengejut semasa selekoh di kawasan yang tidak rata, motosikal itu tetap stabil,” kata Roslan Roskan Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS.
Suspensi Ohlins KA 744, STX 36 Supersport pada Ninja ini merupakan unit boleh-laras dan menerima jaminan penuh dari kilang selama dua tahun atau 20,000km (yang mana dahulu).
Ianya unit tiub tunggal berdiameter 36mm dan dengan gas berketekanan tinggi. Ia menampilkan ciri pelarasan untuk rebound dan compression, dengan panjang keseluruhan 320mm.
Tiada perubahan lain pada sportbike ini, ia berasaskan model Ninja 250 ABS yang dikuasakan oleh enjin 249cc dua-silinder sebaris dengan output 37hp pada 12,500rpm dan 23Nm tork pada 10,000rpm.
Ia boleh didapati dengan satu warna khas iaitu Metallic Carbon Gray, dan dijual pada harga RM20,500. Model ini juga terhad kepada 180 unit sahaja.
MODENAS bersama dengan kelab pemilik Modenas Dominar D400, DC Projek mengukir sejarah apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi ‘Jarak Paling Jauh Dilalui Konvoi Motosikal Dalam Tempoh 24 Jam’.
Konvoi yang diketuai oleh Presiden DC Projek, Muhammad Adib bin Rapia’e itu terdiri daripada 25 pemilik Dominar D400 dan tujuh pemilik Pulsar NS200.
Mereka memulakan perjalanan pada 1hb Oktober 2022 jam 9.40 pagi dan tamat pada 2 Oktober jam 9.15 pagi dengan jumlah tunggangan sejauh 1,642 km yang dilengkapkan dalam masa 23 jam 25 minit.
Acara pelepasan berlangsung di Glenmarie, Shah Alam dan dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan.
Konvoi menghala ke kilang Modenas di Gurun, Kedah, sebagai laluan pertama, Dengan jarak perjalanan sejauh sebelum meneruskan perjalanan menuju sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, Kedah di mana mereka disambut dengan cuaca yang kurang baik.
Dari Kedah, konvoi meneruskan perjalanan sejauh 491 km ke Selatan menuju ke Sungai Besi, Kuala Lumpur dan terus ke Johor Bahru, Johor dan kembali semula ke Glenmarie, Shah Alam.
Dalam keadaan gelap gelita, dengan hanya berbekalkan minuman serta makanan ringan sebagai pengalas perut, konvoi meneruskan perjalanan dan hanya berhenti sebentar untuk rehat, mengisi petrol dan mengambil gambar resit petrol yang diisi bagi mematuhi syarat yang ditetapkan MBOR.
“Dengan keadaan hujan sepenjang perjalanan dari Kedah ke Johor, dengan kelajuan 110km/j, ada kalanya kami berhadapan dengan situasi “hydroplaning” ketika menunggang. Dan apa yang kami boleh katakan, kami amat bersyukur dengan kestabilan dan prestasi Modenas Dominar D400 dan Modenas Pulsar NS200”, kata Muhammad Adib.
“Tahniah kepada kesemua 32 peserta dalam menyempurnakan cabaran ini. Walaupun, saya tahu sebenarnya kumpulan itu tidak mempunyai banyak masa untuk melalui setiap negeri, namun saya amat berharap mereka telah memperolehi kepuasan daripada pencapaian program ini”, kata Roslan Roskan.