MODENAS, Allianz General perkenal program lanjutan waranti

MODENAS telah memperkenalkan program lanjutan waranti baharu (EW) yang menawarkan perlindungan tambahan selama dua tahun atau 85,000 km untuk model yang didaftarkan mulai 1 September 2022 dan seterusnya.

Berikut adalah senarai motosikal Modenas yang dilindungi di bawah program EW:

  • Kriss 110
  • Karisma 125S
  • Elegan 250
  • Pulsar RS200
  • Pulsar NS200
  • Dominar D400

Program EW ditawarkan oleh rakan kongsi insurans MODENAS, Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad (Allianz General) yang berfungsi sebagai penyedia program serta Allianz Partners Malaysia (APM) yang akan menyediakan khidmat tunda. Program ini meliputi kerosakan motosikal yang tidak dijangka bagi semua komponen mekanikal dan elektrikal.

Antara ciri penting program EW termasuklah:

  • Bantuan kerosakan tepi jalan atau Roadside Breakdown Assistance (RBA) 24 jam, 365 hari
  • RBA menawarkan perkhidmatan tunda ke pusat servis sah MODENAS yang terdekat dalam radius 100 km.
  • Pindah milik sepenuhnya atas jualan semula motosikal.
  • Menawarkan nilai jualan semula yang lebih baik untuk motosikal.
  • Penggunaan alat ganti MODENAS tulen: lebih dari 30,000 alat ganti yang disertakan dengan waranti perbatuan tanpa had selama dua tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz, Sean Wang berkata, “Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan MODENAS menerusi program EW ini yang menawarkan perkhidmatan yang cepat, mudah dan lancar dari segi penyelenggaraan dan baikpulih. Selain itu, program ini juga berfungsi sebagai pengesahan rekod prestasi Allianz General sebagai syarikat insuran yang dipercayai dan memberikan khidmat terbaik untuk pelanggannya.”

Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Partners Malaysia Elias Wahidi berkata, “Kami gembira kerana MODENAS telah memilih APM untuk menyediakan perkhidmatan EW. Ini akan memberikan impak yang positif kepada pelanggan MODENAS apabila membuat keputusan pembelian, kerana mereka tahu motosikal tersebut dilindungi dengan jaminan tambahan.”

“Jika anda mahukan perlindungan yang lebih daripada apa yang ditawarkan oleh MODENAS, anda mungkin akan mempertimbangkan program EW di mana ia menawarkan perlindungan pelbagai peringkat yang bersesuaian dengan keperluan motosikal anda”, kata Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS.

Modenas Ninja 250, Ninja 250 ABS dan Z250 ABS dilancarkan – harga dari RM18,900

PENGEDAR eksklusif baharu motosikal Kawasaki di Malaysia iaitu Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) hari ini melancarkan tiga model baharu iaitu Ninja 250, Ninja 250 ABS dan Z250 ABS.

Harga jualan yang disyorkan adalah seperti berikut:

– Ninja 250 – RM18,900

– Ninja 250 ABS – RM20,500

– Z250 ABS – RM19,500

Ketiga-tiga model tersebut berkongsi trenkuasa yang sama iaitu enjin 249 cc dua silinder sebaris DOHC yang menghasilkan 37 hp pada 12,500 rpm dan 23 Nm pada 10,000 rpm, serta transmisi enam kelajuan dengan klac Assist & Slipper.

Jentera-jentera ini dibina menggunakan kerangka Trellis yang diperbuat daripada keluli berketegangan tinggi. Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan lengan ayun di belakang.

Tayar didatangkan dalam saiz 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang, manakala rim pula berukuran 17 inci. Sistem brek pula merangkumi cakera tunggal berukuran 286 mm di depan dan 193 mm di belakang. Hanya Ninja 250 ABS dan Z250 ABS dilengkapi dengan sistem brek anti-kunci (ABS).

Ciri-ciri lain yang terdapat pada model-model ini termasuklah sistem Ergo-Fit dan penunjuk tunggangan ekonomikal.

Untuk pilihan warna, Ninja 250 boleh didapati dalam warna Metallic Carbon Grey dan Metallic Matte Graphite, manakala Ninja 250 ABS dalam warna Metallic Matte Graphite Grey. Z250 ABS pula tersedia dalam warna Metallic Spark Black.

Ketiga-tiga model ini dipasang secara tempatan (CKD) di kilang pemasangan Modenas di Gurun, Kedah dan akan menggunakan nama Modenas di pasaran.

Ini ekoran daripada hasil peningkatan saham Kawasaki Motors. Ltd (KMC) di dalam syarikat Modenas yang menyaksikan kesemua model Kawasaki 650cc ke bawah dijenamakan semula di bawah Modenas.

“Pesanan saya kepada semua pemilik motosikal Kawasaki, lama dan baharu; di bawah pengurusan Modenas, anda boleh mengharapkan tahap perkhidmatan pelanggan yang serupa atau lebih lagi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Roslan Roskan.

“Modenas sentiasa memerhati, mempelajari dan menyesuaikan operasi perniagaan sepertimana rakan kongsi teknikal dan pemegang saham kami, KMC. Bersama-sama dengan Kawasaki, kami bersedia untuk pengembangan perniagaan yang lebih besar,” tambah beliau.

 

Modenas Karisma 125S baharu rasmi dilancar, RM5,397

Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) hari ini memperkenalkan Karisma 125S baharu. Ianya pembaharuan pertama skuter itu sejak kali pertama diperkenalkan pada Ogos 2003.

Modenas Karisma 125S terbaharu ini dilengkapi dengan enjin 124.8cc 4-lejang silinder tunggal dengan 7kW (9.4hp) pada 7,500rpm dan 10Nm tork pada 6,000rpm.

Enjin suntikan bahan api ini juga bertaraf Euro 4 dan menerima penarafan EEV (Energy Efficient Vehicle).

Rekabentuk Modenas Karisma 125S ini cukup sporti dengan warna dan grafik menyerlah. Ia dilengkapi lampu depan LED dengan DRL, rekaan meter baharu dan bacaan paras bahan api digital. Sistem kunci pula menampilkan suis pembuka tempat duduk.

Dari segi praktikaliti, Karisma 125S mempunyai ruang simpanan 14 liter, pengecaj USB serta fungsi lampu kecemasan (hazard lights).

Modenas Karisma 125S dijual pada harga RM5,397 dengan jaminan dua tahun atau 20,000km. Tiga pilihan warna boleh dipilih: Mystic Red, Duchess Gold dan Aqua Blue.

Skuter baharu ini boleh mula didapati di semua wakil pengedar sah Modenas seluruh negara.

Majlis pelancaran kurang 48 jam, Modenas ‘tease’ bentuk Karisma 125 S

MODENAS mengeluarkan teaser terbaharu bagi Karisma 125 S bersempena majlis pelancaran model itu dalam tempoh kurang 48 jam.

Berdasarkan gambar yang dimuatnaik, pengguna media sosial dapat menyaksikan sebahagian daripada bentuk belakang skuter itu.

Menerusi gambar tersebut, kelihatan lampu model berkenaan sedikit runcing dengan panel badan gelap berserta jalur biru serta spoiler perak.

Bagaimanapun, tidak kelihatan sebarang logo selain hanya pelekat nama “Modenas” pada bahagian bawah lampu belakang.

Model Karisma 125 sebelum ini telah dilancarkan pada tahun 2016 dan menggunakan asas daripada Kymco Ace 9.

Karisma 125 menggunakan enjin satu silinder 124.6cc penyejukan udara dengan sistem bahan api karburetor.

Ia juga didatangkan dengan rim 14 inci, brek cakera hadapan dan dram di belakang dan panel meter analog biasa.

Selain itu, skuter ini juga mempunyai tangki bahan api dengan kapasiti 4.6 liter.

Persoalannya, apakah penambahbaikan terdapat pada model skuter Karisma 125 S nanti?

Maka, sama-sama kita nantikan Modenas Karisma 125 S pada 24 Februari ini.

Modenas: Mangsa banjir boleh guna baucar RM1000 beli motosikal baharu

PEMILIK motosikal Modenas berdepan kejadian banjir Disember tahun lalu layak menerima Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia bernilai RM1,000.

Baucar tersebut boleh ditebus bagi proses membaiki motosikal yang rosak akibat banjir.

Modenas berkata, baucar tersebut juga boleh diguna sebagai bayaran mendapatkan motosikal baharu jika kenderaan sebelum ini rosak secara keseluruhan (total loss).

Beberapa lokasi di Shah Alam, Selangor terjejas teruk kerana dinaiki air. – Foto ihsan Malay Mail

Jelas Ketua Pegawai Eksekutif Modenas Roslan Roskan, pihaknya sentiasa terbuka untuk memudahkan urusan mereka yang berdepan cabaran pasca banjir.

“Kami semua di Modenas berusaha sedaya upaya menyokong usaha murni seperti ini.

“Dengan sedikit usaha ini, kami berharap agar mangsa dapat bangkit untuk mendapatkan semula apa yang telah hilang,” katanya.

Motosikal yang tenggelam dalam banjir perlu diperbaiki segera bagi mengelak kerosakan lebih serius. – Foto hiasan ihsan Modenas

Pada Disember tahun lalu, negara digemparkan dengan kejadian banjir di beberapa negeri termasuk Selangor, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan negeri Pantai Timur.

Bencana menyebabkan penduduk berdepan kerugian bukan sahaja melibatkan peralatan dalam rumah tetapi termasuk kenderaan seperti kereta dan motosikal.

Terdahulu, Modenas memaklumkan turut menawarkan diskaun tambahan 25 peratus untuk semua caj buruh dan kos alat ganti.

Untuk sebarang pertanyaan, pemilik motosikal yang terjejas boleh menghubungi Talian Bebas Tol di 1-800-880-181.

Modenas turut boleh dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp Careline di 019-570 8135 atau layari pautan http://modenas.my/v2/baucar-diskaun-automotif/.

Dominar 400, ada rahsia Modenas lupa maklum kepada pengguna?

NAMA Modenas Dominar 400 makin dikenali dalam kalangan ‘kaki motor’ sejak ia diperkenalkan pada tahun 2018.

Tahun lalu, Modenas telah melakukan penambahbaikan terhadap beberapa fungsi pada model ini sekaligus menjadikan ia bertambah ‘mantul’.

Baru-baru ini Engear berpeluang menunggang uji motosikal keluaran Modenas tersebut dan ternyata prestasi yang dipersembahkan amat luar biasa!

Nak tahu apa yang menarik tentang motosikal ini? Jom check it out!

Menarik tentang Modenas Dominar 400

Foto ihsan Modenas

Tidak dinafikan sudah terlalu banyak review dilakukan membabitkan model Modenas Dominar 400.

Namun, kali ini bukan kuasa atau ketahanan enjin yang Engear ingin huraikan tetapi lebih tertumpu kepada fungsi elektronik.

Apa yang kami maksudkan adalah mengenai satu fungsi menarik pada instrument panel yang tidak dihebahkan oleh Modenas kepada pelanggannya.

Boleh disifatkan agak teliti mengenai keselamatan, Modenas mewujudkan satu sistem yang memberi maklumat mengenai kedudukan tongkat motosikal berkenaan.

Contohnya, jika tongkat motosikal terlupa dinaikkan, akan terdapat tanda amaran pada instrument panel yang jelas boleh dilihat oleh penunggang.

Hal ini secara tidak langsung mampu mengelak sebarang kemalangan akibat tidak menaikkan tongkat motosikal.

Sementara itu, Modenas turut memperkenalkan sistem yang memberi maklumat kepada penunggang mengenai kedudukan sistem kill switch.

Apa yang dimaksudkan adalah penunggang akan dimaklumkan sama ada sistem kill switch berada pada kedudukan “on” atau ‘off”.

Mungkin kedengaran agak biasa namun, perlu diingat bahawa tidak banyak syarikat pengeluar motosikal yang peka mengenai fungsi yang diperkenalkan oleh Modenas ini.

Spesifikasi lain pada Dominar 400

Foto ihsan Modenas

Model baharu Dominar 400 mempunyai dua pilihan warna baharu iaitu Savanna Green dan Charcoal Black.

Dijual pada harga kurang RM14,00 (tidak termasuk cukai dan insuran), motosikal ini sangat ekonomi dan mampu milik bagi kebanyakan individu.

Antara ciri naik taraf menarik Dominar kali ini adalah komponen fork dengan penyerap hadapan terbalik yang menggantikan fork teleskopik konvensional pada model terdahulu.

Berikut antara ciri menarik lain terdapat pada Dominar 400:-

  • Dua paparan meter LCD memaparkan maklumat gear, kelajuan, jarak perjalanan, jam, rpm dan tahap minyak
  • Lampu hadapan automatik “LED mosaic”
  • Sistem klac Assist and Slipper
  • Brek ABS two-channel

Terdapat banyak lagi maklumat yang kami ingin sampaikan kepada anda.

Untuk informasi lanjut sila tonton video yang kami sediakan ini…chiow!

Modenas lancar kempen baiki motosikal, bantu pelanggan terjejas banjir

BENCANA banjir melanda dua negeri iaitu Selangor dan Pahang mendapat perhatian Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd atau Modenas.

Modenas dalam satu kenyataan memaklumkan sedia membantu pemilik motosikal keluaran syarikat itu dengan menawarkan perkhidmatan membaiki jentera rosak akibat banjir.

Program dikenali sebagai “Kempen Servis Prihatin Modenas” bermula hari ini sehingga 31 Disember 2021.

“Syarikat bersedia untuk menyediakan perkhidmatan kepada pemilik untuk membaiki motosikal mereka supaya dapat berfungsi seperti sediakala.

“Kempen akan bermula pada hari ini hingga 31 Disember 2021 di Pusat Servis Modenas terpilih,” memetik kenyataan dikeluarkan Modenas, hari ini.

Pusat Servis Modenas terlibat dengan kempen ini adalah Pusat Servis Modenas Shah Alam, Selangor dan Pusat Servis Modenas Kuantan, Pahang.

Antara perkhidmatan percuma ditawarkan termasuk caj upah kerja untuk baik pulih biasa, pemeriksaan dan pembersihan motosikal.

Modenas turut memberi diskaun sehingga 25 peratus untuk alat ganti, diskaun 15 peratus untuk alat ganti skuter dan diskaun 70 peratus bagi caj buruh melibatkan servis “overhaul”.

Untuk maklumat lanjut, pemilik motosikal yang terjejas boleh menghubungi pusat servis Modenas atau hubungi 1-800-880-181 atau WhatsApp di 019-570 8135.

Modenas Dominar D400 lepasi cabaran 1,600 kilometer, terbukti lasak

KETAHANAN Modenas Dominar D400 tidak dapat disangkal apabila jentera itu berjaya menempuh cabaran konvoi sepanjang 1,600 kilometer.

Konvoi dianjurkan pada bulan lalu itu mengambil masa hanya dalam tempoh 24 jam dengan penyertaan 10 peserta termasuk para wartawan.

Modenas berkata, cabaran ini bukan sahaja menguji ketahanan jentera Dominar D400 tetapi turut memberi ruang syarikat itu terus bekerjasama dengan pihak media.

Foto ihsan Facebook/Modenas

Ketua Pegawai Eksekutif Modenas Roslan Roskan turut berharap program seumpama itu diteruskan di masa depan.

“Saya percaya ia kali pertama bagi mana-mana pengeluar motorsikal menganjurkan acara seperti ini secara rasmi.

“Modenas mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah menyahut cabaran…kami berharap dapat menganjurkan lagi acara seperti ini dengan model motosikal Modenas lain,” katanya.

Pada 18 November lalu, Modenas menerusi kerjasama syarikat Petron Malaysia menganjurkan program Cabaran 1,600 KM Modenas Dominar D400.

Cabaran pada masa sama menguji ketahanan mental dan fizikal peserta selain melihat keupayaan Modenas Dominar D400.

Foto ihsan Facebook/Modenas

Secara keseluruhan, konvoi menempuh perjalanan sejauh 1,619 kilometer hanya dalam tempoh masa 23 jam 8 minit.

Konvoi bermula dari Petron Subang Jaya menuju ke kilang Modenas dekat Gurun, Kedah dengan jarak perjalanan lebih 399 kilometer.

Perjalanan kemudian diteruskan ke Jerteh melalui Banjaran Titiwangsa dan kawasan hutan simpan Royal Belum dengan jarak 315 kilometer.

Selepas berehat di Jerteh, konvoi diteruskan ke Kijal, Terengganu yang memakan jarak perjalanan lebih 234 kilometer.

Selepas tiba di Terengganu, peserta meneruskan lagi konvoi ke Mersing sebelum tiba di Simpang Renggam, Johor dengan jarak perjalanan 533 kilometer.

Walaupun kepenatan, kesemua peserta meneruskan lagi perjalanan ke Melaka dan terus menuju ke Kuala Lumpur bagi menamatkan cabaran.

Kami di Engear mengucapkan tahniah dan syabas buat penganjur kerana berjaya menganjurkan program seperti ini dan diharap ia diteruskan lagi pada masa depan.

Jadi, adakah anda sudah bersedia untuk memiliki sebuah Modenas Dominar D400?