Stesen Tesla Supercharger V4 dibuka di The Gardens Mall, KL

Tesla mengumumkan pembukaan stesen pengecasan Tesla Supercharger yang terletak di The Gardens Mall, Kuala Lumpur.

Sebanyak empat unit Supercharger V4 dan satu pengecas destinasi disediakan untuk kemudahan para pemilik kenderaan elektrik (EV) yang memerlukan pengecasan pantas semasa membeli belah.

Menurut Tesla Malaysia, Supercharger V4 mampu menyokong sehingga 250 kW, di mana Model 3 dan Model Y boleh menambah jarak sejauh 282 km dalam tempoh 15 minit sahaja.

Kos pengecasan yang dikenakan cuma RM1.13 per kWh, di mana pemilik akan dikenakan caj melahu RM4.00 per minit sekiranya stesen Supercharger tersebut penuh.

Sehingga kini, Tesla sudah mengoperasikan 14 buah stesen Supercharger (64 nozel) dan 15 buah stesen pengecasan destinasi (70 nozel) di seluruh Malaysia.

Kemudahan pengecas destinasi adalah percuma untuk semua pemilik kenderaan Tesla sehingga ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Tesla Model Y facelift rasmi di Malaysia, dari RM195 ribu

Setelah muncul buat kali pertama di Singapura pada bulan lepas, Tesla Model Y 2025 versi facelift ini akhirnya rasmi mendarat di pasaran Malaysia.

Berdasarkan spesifikasi yang dibekalkan oleh Tesla Malaysia, SUV elektrik ini boleh didapati dalam dua varian utama, iaitu RWD berharga RM195,450 dan Long Range All Wheel Drive (AWD) berharga RM242,450.

Varian paling rendah RWD menawarkan jarak gerak sejauh 466 km (data WLTP), pecutan 0-100 km/j dalam tempoh 5.9 saat dan kelajuan maksimum 201 km/j.

Sementara varian Long Range AWD pula membenarkan jarak pandu sejauh 551 km untuk sekali cas penuh, serta pecutan 0-100 km/j sepantas 4.3 saat.

Pembeli boleh mendapatkan pilihan rim Crossflow bersaiz 19 inci, atau naik taraf kepada rim Helix 2.0 bersaiz 20 inci (RM10,000). Terdapat juga lima pilihan warna iaitu Stealth Gey, Pearl White Multi-Coat (+RM5,000), Glacier Blue (+RM7,500), Quicksilver dan Ultra Red (+RM11,000).

Terdapat beberapa perubahan yang terdapat pada Tesla Model Y facelift ini:

• bar lampu LED melintang depan dan belakang yang diinspirasikan daripada Tesla Cybertruck
• kaca dwi-lapis untuk ruang kabin yang lebih senyap
• lapisan filem perak pada bumbung kaca panorama untuk mengurangkan kesan UV dan haba
• rekaan baharu rim dan diffuser belakang untuk mengurangkan rintangan udara, menjadikan pemanduan lebih stabil dan senyap
• ruang kabin dapat sistem pencahayaan ambien, tempat duduk berventilasi, dan skrin paparan baris kedua – sama macam Tesla Model 3

Untuk pasaran Malaysia, terdapat juga Tesla Model Y Launch Edition yang ditawarkan dalam unit terhad.

Ia menampilkan lencana unik pada bahagian belakang, lampu lopak berlogo, perkataan Launch Series pada plet ambang pintu, trim suede vegan serta kemasan khas pada konsol pengecasan dan alas lantai.

Ciri Autopilot asas dibekalkan secara standard, namun pembeli boleh mendapatkan kelengkapan Enhanced Autopilot (+RM16,000) yang menambah fungsi Navigate on Autopilot, Auto Lane Change, Autopark, Dumb Summon dan Actually Smart Summon.

Kelengkapan Full Self Driving (FSD) pula berharga RM32,000, merangkumi fungsi-fungsi yang terdapat pada Basic Autopilot dan Enhanced Autopilot, serta penambahan fungsi Autosteer, Traffic Light & Stop Sign Control.

Tesla Cybertruck meletup di hadapan hotel Trump di Las Vegas

Sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan tujuh lagi cedera apabila sebuah Tesla Cybertruck tiba-tiba meletup di luar Trump International Hotel di Las Vegas, Nevada.

Menurut laporan, letupan itu berlaku sejurus selepas trak pikap elektrik itu diparkir di hadapan lobi hotel tersebut pada pagi Rabu.

Polis berkata kejadian itu menyebabkan seorang yang berada di dalam trak itu maut manakala tujuh lagi cedera.

Setakat ini punca letupan masih belum diketahui dan polis masih menyiasat sama ada ia berpunca daripada trak itu sendiri atau pun faktor luaran.

Bagaimanapun, terdapat laporan yang mengatakan bahawa Cybertruck itu sedang membawa mercun ketika letupan itu terjadi. Laporan tersebut berkata penyiasat sedang berusaha mendapatkan motif dan sama ada letupan itu disengajakan atau pun tidak.

Susulan kejadian, semua tetamu yang menginap di Trump International Hotel telah dipindahkan ke Resorts World Las Vegas.

Sementara itu, dalam ciapannya di X, CEO Tesla Elon Musk berkata,”Seluruh pasukan senior Tesla sedang menyiasat perkara ini sekarang. Kami akan menyiarkan maklumat lanjut sebaik sahaja kami mengetahui punca. Kami tidak pernah melihat perkara seperti ini.”

S3XY Stalks, penyelesaian untuk masalah yang tidak sepatutnya wujud!

Ramai yang memuji sedan elektrik Tesla Model 3 Highland yang nampak canggih itu, tidak kurang juga yang mengeji kerana ciri yang menyusahkan golongan pemandu tradisional.

Antara ciri yang dimaksudkan itu ialah ketiadaan tuil isyarat belok yang digantikan dengan butang sensitif sentuhan yang terdapat pada roda stereng.

Pembaharuan yang dibuat ini nyata tidak disenangi oleh mereka yang sudah terbiasa dengan tuil isyarat belok fizikal.

Berita baik, anda boleh mendapatkan penyelesaian masalah yang tidak sepatutnya wujud itu menerusi pembelian S3XY Stalks daripada pihak Enhance Auto.

Opsyen aftermarket itu tidak memerlukan pemilik untuk membuka pemasangan roda stereng, sebaliknya ia boleh dipasang secara terus pada kolum stereng.

S3XY Stalks tidak memerlukan sebarang pendawaian, sebaliknya boleh berkomunikasi secara terus dengan sistem kereta menggunakan teknologi Bluetooth.

Menurut Enhance, tuil bluetooth ini mempunyai bateri yang mampu bertahan sekurang-kurangnya setahun sebelum ia perlu digantikan.

Selain fungsi untuk menghidupkan lampu isyarat membelok, terdapat satu butang khas pada penghujung tuil untuk fungsi yang boleh disesuaikan pengguna.

Harga jualan bermula dari $343.69 hingga $363.69 (RM1,537-RM1,626) bergantung kepada model Tesla yang dipilih.

Selain Tesla Model 3 Highland, tuil ini juga turut sesuai dipasang pada Model S dan Model X.

Bagi kami, ini merupakan salah satu contoh penyelesaian ‘genius’ untuk masalah yang tidak sepatutnya wujud pada kereta zaman moden.

Kami bimbang satu hari nanti pihak pengeluar mungkin akan menawarkan tuil isyarat membelok sebagai satu opsyen, dan bukan sebagai barangan standard dari kilang – satu berita gembira buat geng yang enggan bagi signal di atas jalan raya.

 

Tesla Robotaxi & Robovan, kereta swapandu tanpa stereng dan pedal kaki

Elon Musk akhirnya mengotakan ‘janji’ untuk membawakan model kereta Tesla tanpa pedal dan stereng menerusi pengenalan Robotaxi, atau lebih dikenali dengan nama Cybercab.

Sekali imbas, Robotaxi merupakan sebuah kereta coupe dua pintu dengan hanya memuatkan dua orang sahaja pada satu-satu masa, dan menawarkan ruang kargo yang agak besar.

Menerusi bukaan pintu dihedral ala rama-rama, anda akan mendapati ruang kabin Cybercab ini sememangnya tidak mempunyai roda stereng dan pedal kaki.

Menurut Elon Musk, Robotaxi tidak mempunyai port pengecasan yang tradisional kerana ia bergantung sepenuhnya kepada cara pengecasan tanpa wayar (induktif).

Tiada sebarang butiran terperinci berkenaan spesifikasi unit pacuan elektrik yang digunakan pada Robotaxi.

Menariknya, Elon Musk mendakwa harga sebuah Robotaxi bakal bermula bawah $30,000 (~RM130 ribu), dengan perancangan produksi bermula tahun 2026 atau 2027.

Sebuah lagi model konsep tanpa stereng yang dipamerkan ialah Robovan dengan rupa paras seperti sebuah pembakar roti yang beroda.

Ia tidak mempunyai sebarang cermin hadapan, sebaliknya digantikan dengan skrin paparan yang besar di bahagian dalam.

Robovan mampu memuatkan sehingga 20 orang pada satu-satu masa.

Kedua-dua Robotaxi dan Robovan bakal bergantung kepada perisian pemanduan autonomi penuh Full Self-Driving untuk beroperasi atas jalan raya sebenar.

Hanya masa yang akan menentukan sama ada perisian ini boleh dipercayai ataupun tidak memandangkan Tesla sudah pun mempunyai rekod buruk untuk sistem Full Self-Driving yang wujud pada model sedia ada.

Tesla Malaysia buka pusat servis, stesen Supercharger V4 di Pulau Pinang

Tesla Malaysia mengumumkan pembukaan pusat servis baharu yang terletak di Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Pembukaan pusat servis yang turut dilengkapi dengan bengkel badan dan cat (B&P) itu dijangka dapat menampung jumlah pelanggan yang semakin meningkat di wilayah utara tersebut.

Selain daripada itu, pemilik Tesla boleh mengecas kenderaan elektrik mereka di stesen Supercharger V4 yang terletak di kawasan parkir kenderaan tingkat B1 Gurney Plaza.

Terdapat empat nozel pengecas 250 kW disediakan dengan kadar caj RM1.25/kWh.

Sehingga kini, Tesla menyediakan sehingga 12 stesen Supercharger dengan jumlah sebanyak 56 buah nozel pengecas, serta 13 buah stesen Pengecas Destinasi dengan 69 buah pengecas di seluruh Malaysia.

Tesla tidak pernah buat komitmen bina kilang EV di Malaysia – Menteri

Tesla tidak pernah membuat komitmen untuk membuka kilang di Malaysia, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menerusi hantaran di platform X, yang dahulunya dikenali sebagai Twitter, beliau menjelaskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) ada mengadakan perbincangan dengan pengasas Tesla, Elon Musk dalam usaha menarik pelaburan, tetapi bukan melibatkan perkara itu.

“Pertamanya, laporan (berita asing) tersebut bukanlah kenyataan rasmi Tesla, sebaliknya hanya memetik sumber yang anonymous ataupun tak bernama. Jadi, bila ditanya, jawapan saya (sebelum ini) ialah wartawan perlu semak kesahihan berita ini dengan Tesla, kerana sumber berita ini bukanlah Tesla.

“Kedua, MITI pun tak pernah buat pengumuman Tesla akan buka kilangnya di Malaysia. Memang kita adakan perbincangan dengan Elon Musk dalam usaha menarik pelaburan, tetapi Tesla tidak pernah membuat komitmen untuk membuka kilang di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah portal berita dalam talian Thailand, The Nation semalam yang memetik sumber enggan dikenali dalam kerajaan itu, mengenai Tesla membatalkan rancangan membangunkan kilang di Malaysia, Thailand serta Indonesia.

Laporan itu turut menyatakan perbincangan Tesla pada masa ini hanya menjurus kepada usaha berkaitan stesen pengecasan dan menggantung rancangan membangunkan kilang bukan sahaja di Thailand malah juga di peringkat dunia.

“Tesla tidak meneruskan (rancangan) di Malaysia, Indonesia atau lokasi lain kecuali di China, Amerika Syarikat dan Jerman,” lapor portal berita itu.

Pada 20 Julai, 2023, pengeluar automotif elektrik multinasional terkemuka Amerika, mengumumkan pengembangan strategiknya ke pasaran Malaysia melalui Tesla Malaysia Sdn Bhd.

Menurut kenyataan bersama Tesla dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), langkah itu adalah tindak balas langsung kepada inisiatif Peneraju Global Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) yang diperkenalkan MITI.

Selain akan memperkenalkan barisan kenderaan elektrik (EV) yang canggih kepada pengguna Malaysia, Tesla juga komited untuk melabur dalam menyediakan rangkaian yang luas stesen pengecasan pantas dan pengecasan biasa merentas lokasi strategik di Malaysia serta menubuhkan ibu pejabat dan pusat perkhidmatannya yang tercanggih di Cyberjaya, Selangor.

Tesla Cybertruck kini bertugas sebagai kereta peronda Polis Dubai

Pasukan Polis Dubai sememangnya sangat terkenal dengan barisan kereta peronda yang paling pantas atas muka bumi ini, terdiri daripada bermacam-macam kereta eksotik yang mahal seperti Bugatti Veyron dan Lamborghini Aventador.

Dengan kewujudan model-model pantas yang telah dipamerkan sebelum ini, sudah pasti ramai yang ternanti-nantikan model pantas terbaharu yang bakal ditampal dengan liveri hijau Polis Dubai.

 

 

Sayang sekali, pendatang terbaharu dalam armada kereta peronda Polis Dubai nampaknya bukanlah sebuah supercar atau hypercar, sebaliknya mereka membuat keputusan untuk menggunakan sebuah trak pikap berkuasa elektrik Tesla Cybertruck.

Tidak seperti kebanyakan kereta peronda Polis Dubai, MPV Cybertruck ini dipadankan dengan warna putih yang tradisional, diikuti dengan liveri hijau yang lebih ringkas pada bahagian sisi.

 

Menurut Polis Dubai, Tesla Cybertruck ini kebanyakan masa akan diletakkan di kawasan tumpuan utama pelancong seperti pusat membeli belah untuk dijadikan sebagai prop penggambaran.

Spesifikasi kereta peronda Cybertruck ini tidak didedahkan, namun dalam varian yang paling tinggi Cyberbeast, ia dilengkapi dengan motor elektrik berkuasa sehingga 845 hp, dengan jarak gerak sejauh 515 km untuk sekali cas penuh.

 

Tesla kini tiba di Pulau Pinang, Cybertruck dipamerkan

SETELAH lama dinanti-nantikan oleh para pemilik Tesla dan warga Pulau Pinang, Tesla telah dilancarkan secara rasmi di Pulau Pinang.

Perasmian ini turut menampilkan Model 3 Performance 2024, Model Y dan Cybertruck. Ketiga-tiga model ini dipamerkan di Aras G, Centre di Gurney Plaza, George Town bermula 21 Jun hingga 30 Jun ini.

Menurut Tesla, pelancaran ini penting kerana mereka mempunyai perancangan untuk meluaskan pasaran dan perkhidmatannya di negeri-negeri utara Malaysia.

Tesla juga telah mengumumkan rancangannya untuk membuka lokasi perkhidmatan selepas jualan khas di Pulau Pinang tidak lama lagi.

Orang ramai di Pulau Pinang kini boleh memandu uji Model 3 dan Model Y, hubungi 1800-81-0655 atau layari tesla.com/en_my/event/tesla-penang-testdrive untuk mengetahui lebih lanjut dan menjadualkan pandu uji.

Tesla kini mempunyai tiga buah tapak pengecasan di Pulau Pinang iaitu di The Ship Campus, All Seasons Place dan Sunway Carnival yang menyediakan sejumlah 12 buah Pengecas Destinasi (Wall Connectors) dan 4 buah Pengecas Super V3.

Tesla juga telah mengesahkan projek pemasangan stesen pengecasan V4 pertama di Pulau Pinang di Gurney Plaza.

Stesen pengecasan ini akan memudahkan lagi orang ramai untuk memiliki Tesla di Pulau Pinang. Rancangan untuk mengembangkan lagi infrastruktur pengecasan juga akan dilaksanakan pada masa hadapan.

Tesla Supercharger kini di Kuantan, pertama di Pantai Timur

TESLA telah membuka dan mengaktifkan stesen Supercharger di Kuantan, Pahang. Terletak di premis Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), ianya menjadi Tesla Supercharger pertama di pantai timur Semenanjung Malaysia.

Menurut Josh KY Chua yang berkongsi beberapa gambar dalam laman Facebook Warga Kuantan, stesen itu boleh digunakan oleh orang awam 24 jam sehari.

Terdapat empat ruang pengecas di lokasi ini. Sama seperti stesen-stesen Supercharger lain di seluruh negara, stesen baharu di Kuantan ini juga mempunyai kadar caj RM1.25 per kWh.

Terdapat juga bayaran melahu RM4.00 seminit sekiranya stesen itu penuh.

Walaupun Tesla telah mula membuka rangkaian Supercharger V4 di Malaysia, stesen di MBK walaubagaimanapun adalah Supercharger V3.

Pembukaan Supercharger baharu ini adalah selari dengan apa yang diumumkan oleh Pengarah Rantau Tesla, Isabel Fan pada Mac bahawa Supercharger di Kuantan akan dibuka menjelang penghujung suku kedua tahun ini.

Lokasi-lokasi lain untuk suku kedua ini adalah Supercharger pertama di Pulau Pinang yang terletak di Prai.

Kes sama nama, Tesla saman Tesla di India

Syarikat pengeluar kenderaan elektrik Tesla Inc baru-baru ini telah menyaman sebuah syarikat pengeluar bateri yang menggunakan nama yang hampir sama di pasaran India, iaitu Tesla Power USA.

Tindakan saman tersebut dibuat setelah mendapati syarikat Tesla Power USA terus menggunakan nama tersebut untuk produk keluarannya walaupun sudah menerima notis cease-and-desist (C&D) pada April 2022.

 

Menurut laporan Reuters, peguam Tesla Power telah memberitahu mahkamah bahawa syarikat itu hanya mengeluarkan bateri asid plumbum yang ringkas, dan tidak merancang untuk menghasilkan kenderaan elektrik (EV) seperti Tesla.

Namun, berdasarkan semakan di laman web rasmi Tesla Power USA jelas sekali mendedahkan penjenamaan yang digunakan oleh syarikat itu, serta turut menyertakan lokasi ibu pejabat yang terletak di Delaware – negeri sama di mana Tesla Inc diperbadankan.

Pihak mahkamah telah memberikan tempoh masa sehingga tiga minggu kepada syarikat India tersebut untuk mengemukakan jawapan balas.

Tesla Power USA juga dilarang daripada terus menggunakan tanda dagangan yang dimiliki oleh Tesla Inc sehingga tarikh perbicaraan seterusnya pada 22 Mei ini.

 

Tesla Cybertruck akhirnya dapat mod off-road dengan pengunci differential

TESLA Cybertruck telah membuat kemunculan di Malaysia baru-baru ini selepas beberapa bulan berada dijual di seluruh dunia. Tetapi ia tidak mempunyai beberapa ciri utama sebuah trak pikap (itu pun jika anda mahu guna Tesla Cybertruck ini seperti sebuah trak pikap).

Apa pun, kemas kini perisian tidak lama lagi akan memberikan Cybertruck pengunci differential dan beberapa ciri off-road lain untuk membolehkan anda memandunya di laluan mencabar.

Ciri ini dinamakan Off-Road Mode, yang akan menambah baik pengendalian di batu-batu, kerikil, salji tebal, dan pasir.

Pengunci differential itu boleh didapati di model dwi-motor pacuan semua-roda. Model tiga motor pula boleh dikunci differential depannya, sementara differential belakang memasuki mod Overland.

Trail Assist pula membantu kelancaran di kelajuan perlahan di atas permukaan tidak rata supaya pemandu boleh fokus kepada kawalan stereng.

Terdapat juga Baja Mod yang boleh membantu keseimbangan dan pengendaliannya jika pemandu menetapkan Stability Assist pada tahap Minimal. Ia berfungsi dengan kawalan naik dan menuruni bukit.

Tetapi bukan semua kemas kini adalah untuk fungsi off-road. Tesla juga memperbaiki kebolehan trak ini untuk mengagak beban dan melaraskan suspensi adaptif dengan sesuai.

CyberTent Mode pula mengimbangi suspensi supaya trak ini kekal tegak walaupun ia berada di permukaan senget. Ini membolehkan anda tidur di atas permukaan rata (sekiranya anda mahu tidur di dalam Cybertruck). Ia juga membiarkan lampu dan soket kuasa dihidupkan.

Kemas kini terbaharu Cybertruck ini diumumkan oleh Tesla di laman X (Twitter) mereka.

Tesla Malaysia umum potongan harga RM8k, Model 3 bermula dari RM181 ribu

Selari dengan pendekatan yang dibuat di pasaran global, Tesla Malaysia dalam satu kenyataan mengumumkan pengurangan harga jualan sehingga RM8,000 untuk dua model kenderaan elektriknya, iaitu Model 3 dan Model Y.

Ini bermakna, anda boleh mendapatkan sedan elektrik Tesla Model 3 versi RWD dengan harga bermula dari RM181,000.

Versi Long Range AWD pula kini berharga RM210,000 berbanding harga asal RM218,000, manakala varian Model 3 Performance pula kekal tidak berubah (RM242,000).

 

Mereka yang mahukan Tesla Model Y kini boleh mendapatkan versi asas RWD pada harga bermula dari RM191,000, berbanding harga asal RM199,000 semasa pelancaran rasmi dibuat.

Versi pertengahan Model Y Long Range AWD pula berharga RM238,800 (harga asal RM246,000) manakala varian Model Y Performance pula kini berharga RM280,000 (harga asal RM288,000).

Kesemua model kenderaan Tesla buat masa ini masih lagi dikecualikan daripada cukai import, duti eksais dan cukai jualan 100 peratus, di mana pengecualian ini adalah sah sehingga akhir tahun 2025.

 

Tesla Model 3

Tesla Model Y

Tesla Model 3 Performance diperkenalkan – RM242k, penghantaran bermula Q2 2024

TESLA Model 3 Performance, varian paling berkuasa dalam barisan Model 3 Highland, telah diperkenalkan secara rasmi dengan harga jualan bermula dari RM242,000 di Malaysia.

Varian ini dipacu oleh unit pacuan prestasi atau Performance Drive Unit (Performance 4DU) yang terdiri daripada dua motor elektrik, satu pada setiap gandar.

Berdasarkan spesifikasi yang terdapat pada laman web Tesla Malaysia, Model 3 Performance mempunyai 460 hp yang membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.1 saat. Kelajuan maksimum adalah 262 km/j.

Untuk perbandingan, Model 3 Long Range AWD memerlukan 4.4 saat untuk mencapai kelajuan tersebut dan boleh memecut sehingga 201 km/j.

Untuk jarak pandu pula, Model 3 Performance dikatakan boleh dipandu sehingga 528 km berdasarkan kitaran WLTP, iaitu 101 km lebih pendek berbanding varian Long Range AWD.

Selain itu, ia juga mendapat sistem peredam adaptif baharu yang dipadankan dengan bar penstabil, spring keluli berkekuatan tinggi dan cagak suspensi yang lebih keras.

Sistem brek turut dipertingkatkan menerusi pad prestasi tinggi yang dikatakan lebih tahan lama dan sesuai untuk digunakan semasa beraksi di litar.

Dari segi penampilan, varian ini boleh dibezakan menerusi rekaan bampar hadapan dan belakang yang berbeza, diffuser belakang dan spoiler gentian karbon.

Model pasaran Malaysia didatangkan dengan rim Warp berukuran 20 inci, dan boleh didapati dalam lima warna iaitu Pearl White Multi-Coat, Solid Black (RM5,000), Deep Blue Metallic (RM5,000), Stealth Grey (RM7,500) dan Ultra Red (RM11,000).

Di dalam, terdapat tempat duduk sport, trim gentian karbon pada papan pemuka dan Track Mode V3yang menyepadukan kawalan motor, kawalan suspensi, penyejukan rangkaian kuasa dan Vehicle Dynamics Control (VDC) di bawah satu sistem.

Untuk ruang kabin, upholsteri hitam didatangkan secara standard namun pelanggan juga boleh mendapatkan upholsteri hitam putih dengan bayaran tambahan sebanyak RM5,000.

Menurut Tesla Malaysia, penghantaran Model 3 Performance dijangka bermula suku kedua tahun ini.

Tesla Cybertruck dipanggil semula kerana kemungkinan pedal minyak tersangkut

TESLA sedang menjalankan recall (panggilan semula) untuk trak pikap elektrik (EV) Cybertruck mereka. Ini kerana pad plastik di atas pedal minyaknya boleh tertanggal dan tersangkut pada trim semasa pedal ditekan, memberikan risiko perlanggaran.

Recall itu dibuat oleh NHTSA (National Highway Traffic Safety Administration) hari ini selepas laporan-laporan media sosial menunjukkan pad pada pedal trak pikap EV itu longgar.

Tetapi pemilik-pemilik Cybertruck mendakwa menekan brek semasa pedal minyak itu ditekan akan mematikan input pedal minyak.

Pegawai NHTSA berkata dalam satu laporan bahawa “menekan pedal brek akan mematikan tork pacuan, termasuk jika menekan kedua-dua pedal, dan jika pedal brek terus ditekan ia akan menghentikan kenderaan sama cepat seperti pedal minyak tidak ditekan.”

Keseluruhan unit Cybertruck terlibat dalam recall ini, iaitu 3,878 unit yang dikeluarkan dari 13 november hingga 4 April. Selepas laporan media sosial itu tular, Tesla dikatakan telah menghentikan pengeluaran Cybertruck.

Punca kepada masalah ini ialah sabun. Ya, sabun!

Ia digunakan untuk memudahkan pad itu melekat pada pedal minyak semasa proses pemasangan. Dan ini didapati sebagai “perubahan tidak diluluskan” dalam proses pemasangan itu.

Disebabkan sabun ini, pad itu tidak melekat dengan begitu baik pada pedal, menyebabkannya mudah tertanggal.

Untuk menyelesaikan isu ini, Tesla akan menggantikan atau membaiki pedal minyak itu tanpa sebarang kos.

Trak yang dikeluarkan selepas 17 April telah diberikan komponen baharu dengan nombor siri baharu. Cybertruck yang belum diserahkan kepada pelanggan akan dibaiki dulu pedalnya ini terlebih dahulu.

Kenapa Tesla Cybertruck datang ke Malaysia?

SAYA pasti anda sudah melihat gambar dan video Tesla Cybertruck yang sudah berlegar di media sosial sejak minggu lepas lagi.

Walaupun sudah agak lambat, Engear TV baru-baru ini turut dijemput untuk melihat Cybertruck di Tesla Experience Centre di ibu pejabat Tesla Malaysia di Cyberjaya.

Seperti yang dijangka, ia besar dan nampak begitu mengagumkan apabila dilihat secara depan-depan. Sama ada fikir ia jelik atau sebaliknya, Cybertruck memang sangat menarik perhatian.

Tetapi apakah tujuan sebenar Cybertruck dibawa ke sini? Adakah Tesla Malaysia merancang untuk menjualnya di samping Model 3?

Jawapan ringkasnya, tidak kerana buat masa ini, Cybertruck hanya boleh didapati dalam versi pemanduan sebelah kiri. Tapi mana tahu Elon Musk akan berlembut hati dan ambil keputusan untuk jual versi pemanduan sebelah kanan suatu hari nanti?

Sementara ia berada di Malaysia, paultan.org melaporkan bahawa trak pikap ini akan dipamerkan untuk tontonan di bilik-bilik pameran Tesla di Cyberjaya dan Pavilion Damansara Heights pada Mei depan.

Berikut adalah antara beberapa fakta menarik mengenai Cybertruck:

  • Ia mempunyai ukuran panjang 5,682 mm, lebar 2,413 mm, tinggi 1,790 mm dan jarak roda 3,810 mm, bermakna ia lebih besar daripada trak pikap seperti Ford Ranger dan Toyota Hailak.
  • Bahagian bed pula berukuran 1,829 mm panjang dan 1,219 mm lebar, serta mempunyai ruang storan berkapasiti 1,897 liter.
  • Cybertruck ditawarkan dalam tiga varian iaitu Rear-Wheel Drive, All-Wheel Drive dan Cyberbeast. Unit yang dipamerkan di Cyberjaya ini adalah model Foundation Series yang berasaskan varian AWD.

  • Varian ini mempunyai 608 PS dan 10,080 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.1 saat dan mencapai kelajuan maksimum 180 km/j. Jarak pandu adalah 547 km atau 756 km dengan range extender.
  • Ketiga-tiga varian Cybertruck boleh menampung berat muatan sehingga 1,134 kg. Bagaimanapun, kapasiti menunda berbeza mengikut varian iaitu 3,402 kg untuk varian RWD dan 4,990 kg untuk varian AWD dan Cyberbeast.
  • Cybertruck mempunyai badan exoskeleton dengan panel keluli tahan karat yang kalis peluru. Ia telah pun dibuktikan dalam satu demonstrasi di mana badan Cybertruck ditembak bertubi-tubi dengan senapang Thompson.

  • Cybertruck menggunakan sistem steer-by-wire yang boleh mengubah nisbah stereng berdasarkan kelajuan kenderaan dan faktor-faktor lain.
  • Ia juga didatangkan dengan kawalan stereng roda belakang dan pemvektoran tork, memberikannya radius putaran yang lebih kecil berbanding Model S.

Untuk lebih banyak fakta Cybertruck, jemput tonton video TikTok kami:

@engear.tv Trak pikap yang TAK BOLEH dijual di Malaysia. Apa yang menarik? #engeartv #malaysia #fyp #carsoftiktok #tesla #cybertruck ♬ Piano sleep LoFi slow midnight(808930) – Gloveity

Tesla buang lebih 10 peratus pekerja di seluruh dunia

Tesla dilapor akan mengurangkan lebih 10 peratus tenaga pekerjanya di seluruh dunia, menyebabkan lebih 14,000 orang bakal kehilangan mata pencarian.

Menurut bos Tesla Elon Musk, langkah ‘strategik’ itu bertujuan untuk mengurangkan kos operasi dan meningkatkan produktiviti syarikat, selain “mempersiapkan syarikat itu untuk fasa pertumbuhan berikutnya.”

Dalam emel dalaman yang ditujukan kepada pekerja Tesla, Elon turut menyebut pihaknya “telah melakukan penilaian terperinci, dan terpaksa membuat keputusan sukar untuk memberhentikan lebih 10 peratus tenaga pekerja global.”

Menariknya, emel dalaman yang dihantar itu tidak langsung menyebut berkenaan pertumbuhan EV global yang semakin perlahan.

Sebaliknya, CEO itu mengaitkan langkah pemberhentian tenaga pekerja itu dengan pertindihan peranan dan fungsi jawatan tertentu yang disebabkan oleh pertumbuhan pesat Tesla beberapa tahun kebelakangan ini.

Laman Bloomberg menyebut setakat akhir tahun lepas, Tesla mempunyai kekuatan seramai 140,473 orang pekerja, atau dua kali ganda berbanding jumlah pekerja yang dicatatkan pada tahun 2020.

 

Tesla batal projek EV mampu milik?

Berita berkenaan kehadiran sebuah lagi model aras mula yang akan diposisikan di bawah Tesla Model 3 telah pun lama berlegar di ruang maya sejak beberapa tahun yang lalu.

Sama ada projek tersebut masih lagi berjalan atau tergendala, hanya Elon Musk sahaja yang tahu.

Namun menurut laporan terkini daripada Reuters, Tesla dikatakan telah membatalkan projek kenderaan elektrik (EV) mampu milik dengan julat harga sekitar $25,000 (RM118,675).

Laporan itu tidak menyebut secara spesifik sebab pembatalan projek tersebut, namun dipercayai Tesla terkesan dengan kehadiran pelbagai jenis model pesaing daripada negara China.

Selain daripada itu, Reuters turut memetik beberapa sumber yang mendakwa keputusan itu telah pun dibuat sejak lewat Februari lagi.

Malah, satu mesej bertarikh 1 Mac menasihatkan kakitangan kejuruteraan supaya tidak memberitahu pembatalan program tersebut kepada para pembekal.

Satu lagi sumber mendakwa Tesla sedang mengalihkan tumpuan daripada menghasilkan kereta mampu milik kepada pembangunan teksi robot (robotaxi).

Tesla tidak memberikan sebarang maklum balas, namun CEO-nya Elon Musk menjelaskan di dalam laman mikroblog X (Twitter) dengan berkata, “Reuters sedang menipu (lagi).”

Tesla Model 2 digembar-gemburkan sebagai sebuah hatchback kecil yang mampu memberikan saingan kepada Chevrolet Bolt dan Nissan Leaf.

Namun, sejak khabar angin tentang kewujudan Tesla Model 2 tersebar, trend pemilikan EV telah pun banyak berubah.

Malah, beberapa laporan terkini mendedahkan permintaan terhadap kenderaan elektrik kini semakin menurun, dan beberapa pengeluar mula menyemak semula perancangan mereka untuk menjadi jenama EV sepenuh masa.

Di negara China itu sendiri Tesla berdepan dengan saingan yang cukup hebat, sehinggakan keadaan memaksa pengeluar US itu ‘membuang’ harga beberapa kali demi memberikan cabaran kepada EV yang lebih mampu milik di sana.

Tesla Model Y dapat tiga warna baharu di Malaysia, Quicksilver berharga RM7,500

TESLA Malaysia kini menawarkan tiga warna baharu untuk Model Y, iaitu Quicksilver, Stealth Grey, dan Ultra Red. Perkara itu diumumkan di laman Instagram mereka.

Pertambahan warna ini menjadikan Tesla Model Y kini mempunyai enam pilihan warna, termasuk warna sedia ada Pearl White Multi-Coat, Deep Blue Metallic, dan Solid Black.

Hanya Pearl White Multi-Coat menjadi warna standard dengan setiap pembelian Model Y. Warna-warna lain adalah pilihan dengan tambahan kos. Bagi Quicksilver, anda perlu membayar tambahan RM7,500, sama dengan harga Stealth Grey.

Bagi warna-warna lain pula, Deep Blue Metallic dan Solid Black berharga RM5,000, manakala Ultra Red adalah paling mahal, iaitu RM11,000.

Warna-warna ini boleh dipesan dengan mana-mana varian Model Y, sama ada Rear-Wheel Drive (RM199,000), Long Range (RM246,000), atau Performance (RM288,000).

Tukul besi Tesla CyberHammer kini boleh dibeli di laman eBay, harga RM26k

Selain daripada pelbagai jenis aksesori yang berkaitan dengan kereta, pemilik dan peminat Tesla juga boleh mendapat aksesori yang agak pelik dan aneh menerusi kedai dalam talian rasmi syarikat tersebut.

Antaranya ialah pengecas peranti pintar berbentuk seakan ‘stall’ Tesla Supercharger, wisel, pemacu USB, selimut, serta kotak khas untuk kucing mencakar.

Tahukah anda, Tesla Amerika Syarikat baru sahaja menyenaraikan barang baru yang lebih aneh berupa tukul besi, sayang sekali ia langsung tidak boleh dibeli oleh mana-mana pihak.

 

 

Tukul besi Tesla CyberHammer yang dimaksudkan itu sebaliknya hanya akan ditawarkan secara eksklusif sebagai hadiah penghargaan kepada pemilik Tesla yang mempunyai kredit rujukan sebanyak 35,000.

Untuk membuatkannya lebih eksklusif, Tesla hanya akan menawarkan tukul besi itu sebanyak 800 unit terhad.

Tidak mengejutkan apabila Tesla CyberHammer itu mempunyai rekaan yang diinspirasikan daripada Tesla Cybertruck.

Malah, ia juga turut mempunyai ukiran nama ‘Franz’, merujuk kepada ketua pereka Franz von Holzhausen yang melemparkan tukul besi ke arah Cybertruck sewaktu acara pengenalan pada November 2019.

Bagi pemilik Tesla yang tidak mempunyai kredit rujukan yang mencukupi, pergi sahaja ke laman eBay, di mana tukul tersebut boleh didapati pada harga serendah $2,500 (RM11,800), yang paling mahal kini mencecah sehingga $5,500 (RM25,960).