Tesla hasilkan pengecas untuk semua jenis EV, harga mampu milik

SYARIKAT pengeluar kenderaan elektrik (EV) terkemuka dunia, Tesla terus berusaha menghasilkan produk terbaik kepada para pengguna.

Terbaharu, Tesla berjaya memasarkan alat pengecas kenderaan EV di rumah atau Wall Connector tahap kedua dengan palam J1772.

Foto ihsan Tesla

Apa yang menarik, alat pengecas ini bukan sahaja mampu milik malah, boleh digunakan untuk mengecas semua jenis kenderaan EV.

Jelas Tesla, palam J1772 ini mampu menjana kuasa sehingga 9.6 kW selain memiliki kabel sepanjang 7.3 meter.

Bagaimanapun, pemilik Tesla memerlukan alat penyesuai khusus jika ingin menggunakan alat pengecas ini untuk kenderaan mereka.

Setakat ini, harga bagi sebuah unit Wall Connector ini bermula dari $415 atau bersamaan dengan RM1,726.

Foto ihsan Tesla

Pengeluaran Tesla Cybertruck ditunda ke hujung 2022

ELON Musk telah mengesahkan bahawa pengeluaran Tesla Cybertruck akan ditunda, kini hingga ke hujung 2022.

Garis masa penyerahan trak EV itu menjadi perhatian ramai, bukan kerana popularitinya, tetapi juga disebabkan perlumbaan menghasilkan trak pikap elektrik terutamanya di pasaran Amerika Syarikat (AS).

Cybertruck sebelum ini dilihat sebagai yang pertama dalam pasaran, namun kini akan sedikit ketinggalan.

Bila Tesla mula mendedahkan Cybertruck pada 2019, mereka berkata akan mula memasarkannya pada penghujung 2021. Tetapi tahun lepas, sudah terdapat tanda-tanda ia akan ditunda.

Pertamanya, Tesla baru sahaja menyiapkan rekaan kejuruteraan trak pikap elektrik itu.

CEO Elon Musk juga menyatakan Tesla akan menghadapi beberapa cabaran dalam membawa Cybertruck ke produksi disebabkan beberapa ciri seperti badan exoskeleton besi yang memerlukan proses pembuatan baharu sepenuhnya.

Dalam satu laporan kewangan suku kedua 2021 Tesla, mereka melaporkan bahawa hanya akan memulakan pengeluaran Cybertruck selepas Model Y di Gigafactory Texas.

Produksi Model Y sepatutnya bermula hujung tahun ini, jadi ini bermakna Cybertruck hanya akan mula dikeluarkan paling cepat tahun depan.

Menurut laporan oleh Electrek, Musk mengesahkan pengeluaran Cybertruck tidak akan bermula hingga penghujung 2022.

Tambah Musk, terdapat begitu banyak teknologi baharu dalam pembangunan trak pikap elektrik itu yang akan menyukarkan proses pengeluarannya.

Tetapi beliau sempat berkata: “Ia akan menjadi satu projek istimewa. Seperti glitch dalam filem The Matrix. Seperti Neo mempunyai sebuah kereta.”