Toyota Prius 24h Le Mans Centennial GR Edition bukti kereta hibrid pun boleh jadi sporty

TOYOTA Prius bukanlah kereta pertama yang terlintas di fikiran apabila bercakap tentang sukan permotoran. Namun, model itu menunjukkan yang ia tidak boleh dipandang enteng menerusi penyertaan dalam siri perlumbaan Super GT sejak 2012.

Untuk 2023, kereta eko itu terus sisi sporty-nya dengan menerusi model konsep yang dikenali sebagai Prius 24h Le Mans Centennial GR Edition. Model ini diperkenalkan di Litar de la Sarthe bersempena dengan ulang tahun ke-100 Le Mans.

Eh apa kaitan Prius dengan perlumbaan Le Mans? Untuk pengetahuan pembaca, Prius banyak membantu Gazoo Racing dalam pembangunan sistem hibrid untuk kereta lumbanya, dari TS030, TS040, TS050 hinggalah ke jentera sekarang iaitu GR010 Hybrid.

Untuk model 24h Le Mans Centennial GR Edition, Toyota tidak menyatakan jika enjinnya telah ditala namun syarikat itu mendakwa bahawa kereta ini “mencapai prestasi pemanduan yang cemerlang” dengan rim eksklusif dan bahagian aerodinamik yang diinspirasikan oleh GR010 Hybrid.

Apa-apa pun, Prius ini memang nampak sedia untuk beraksi di litar lumba. Ia memakai bampar depan yang lebih agresif dengan lampu LED ’empat mata’, dua pasang canard dan splitter, serta bonet yang diperbuat daripada gentian karbon.

Sementara itu, profil sisinya diserlahkan dengan gerbang roda berwarna hitam, skirt sisi dan pelekat GR dan Racing Hybrid. Bahagian belakang pula menampilkan diffuser, spoiler yang tinggi dan sambungan gerbang roda.

Ia dilengkapi dengan rim aloi aerodinamik 18 inci yang dipadankan dengan tayar Michelin Pilot Sport 4S berukuran 235/50 R18, dan sistem suspensi wide-track yang dikatakan mampu meningkatkan aspek pengendalian.

Buat masa ini, Prius 24h Le Mans Centennial GR Edition nampak akan kekal sebagai model konsep. Tetapi siapa tahu suatu hari nanti Toyota akan menawarkan Prius generasi kelima dengan kit badan Gazoo Racing?

Toyota Yaris 2023 pasaran Eropah dapat kemaskini baharu, sistem hibrid lebih power

TOYOTA Yaris versi Eropah telah menerima kemaskini pertamanya sejak pengenalan hampir empat tahun lepas. Beberapa penambahbaikan diberikan dari segi penampilan, ciri, dan sistem hibrid padanya. Jom kita lihatkan.

Untuk pengetahuan, Yaris pasaran Eropah (dan Jepun) bukanlah model yang sama seperti pasaran kita, sebaliknya model mereka menggunakan pelantar TNGA.

Penampilan baharu

Toyota menawarkan Yaris 2023 ini dengan trim Premiere Edition, iaitu warna Neptune Blue dwi-tona dengan bumbung hitam serta rim aloi 17-inci.

Warna lain termasuklah Platinum Pearl White dan Silver Metallic. Tema biru ini diteruskan kepada jahitan tempat duduk dan kemasan pada panel dalam kabin.

Hibrid lebih berkuasa

Seterusnya aspek mekanikal, dimana ia kini ditawarkan dengan pakej Hybrid 130 yang merangkumi enjin 1.5-liter petrol NA 3-silinder dengan 91hp dan 120Nm, dan padanan transmisi E-CVT.

Dengan teknologi hibrid terkini dari Toyota, sistem ini menggunakan motor elektrik lebih berkuasa. Ini menjadikan output keseluruhan kini pada 129hp dan 185Nm (penambahan 12 peratus untuk kuasa, dan 30 peratus untuk tork).

Menurut Toyota, kuasa lebih tinggi ini menjadikan Yaris lebih pantas untuk mencapai pecutan 100km/j, kini 7.5 saat berbanding 9.2 saat.

Skrin besar, “Hey Toyota”

Di bahagian kabin, Toyota Yaris 2023 mendapat kluster instrumen 7- atau 12.3-inci dengan empat jenis paparan (Smart, Casual, Sport dan Tough). Pelik juga kenapa perlu ada Tough. Saiz skrin tengah juga kini lebih besar, sama ada 9- atau 10.5-inci, bergantung kepada varian.

Ciri lain yang ditambah adalah fungsi arahan suara “Hey Toyota” dan juga Android Auto/Apple Carplay tanpa-wayar. Yaris 2023 juga kini dilengkapi kunci digital pintar yang dihubungkan dengan aplikasi MyT untuk anda mengawal segala fungsi dari telefon pintar.

Toyota T-Mate

Toyota T-Mate merupakan pakej keselamtan untuk jenama ini dan bagi Yaris 2023, pembaharuannya merangkumi ciri baharu seperti Acceleration Suppression (mengelakkan perlanggaran di kelajuan rendah akibat pecutan mendadak), Emergency Driving Stop System, Road Sign Assist, dan Proactive Driving Assist.

Ciri-ciri di atas ditambah kepada barisan ciri keselamatan sedia ada seperti Autonomous Emergency Braking, Emergency Steering Assist, Adaptive Cruise Control, Lane Departure Alert, Lane Tracing Assist, dan Rear Cross Traffic Alert.

Ini rupa Toyota Alphard dan Vellfire generasi baharu

TOYOTA dikhabarkan akan mendedahkan Alphard dan Vellfire generasi baharu di Jepun pada bulan depan. Walau bagaimanapun, tauke-tauke dan para pengasas produk timbang kilo tidak perlu menunggu lagi kerana imej kedua-dua MPV mewah itu sudah pun tertiris dan tersebar di media sosial.

Seperti yang boleh dilihat, bentuk luaran Alphard dan Vellfire boleh dikatakan sama seperti kembar mereka iaitu Lexus LM, namun masing-masing mempunyai elemen reka bentuk tersendiri untuk tampil berbeza.

 

Alphard (unit berwarna putih) meneruskan tema gril besar seperti model sedia ada, namun pada hemat penulis, ia kelihatan lebih lebar. Lampunya pula telah direka semula menjadi lebih nipis dan tajam, manakala tersembunyi di bawahnya adalah kluster lampu nyalaan siang ala Hyundai Tucson.

Selain itu, rekaan bampar depan boleh dikatakan agak bersih dan kemas dengan hanya kemasan krom menegak dan trim hitam sebagai perumah lampu kabus.

Bahagian belakang juga telah direka semula. Perubahan terbesar di sini adalah tulisan ‘ALPHARD’ berlatarbelakangkan trim hitam pada bahagian tengah tailgate. Lampu masih lagi dalam bentuk melintang, namun ia dihiasi dengan grafik yang lebih menarik serta jalur-jalur krom.

Seperti biasa, Vellfire mempunyai ‘wajah’ yang lebih garang berbanding Alphard. Untuk model serba baharu ini, ia menampilkan gril yang dimuatkan dengan insert bar serta jalur krom yang ‘ditarik’ ke atas, sekaligus membuatkan bampar depannya kelihatan bersegi.

Bentuk lampu belakang tidak jauh berbeza dengan Alphard, namun Vellfire boleh dibezakan dengan kluster berbentuk U dan jalur lampu panjang pada bahagian atas.

Dari segi teknikal, Alphard dan Vellfire dibina menggunakan platform TNGA-K yang sama seperti LM baharu. Kedua-dua model ini dijangka hadir dengan pilihan enjin yang sama seperti MPV Lexus itu, iaitu enjin petrol 2.4-liter turbo dan hibrid 2.5-liter.

Toyota Innova Zenix sudah tiba di Malaysia, bila tarikh pelancarannya?

NAMPAKNYA Toyota Innova Zenix bakal menjadi model seterusnya yang akan dilancarkan oleh UMW Toyota Motor.

Ini kerana sebanyak enam unit MPV itu telah dikesan di atas treler oleh RiderATH baru-baru ini, menandakan pelancarannya yang mungkin akan berlangsung tidak lama lagi.

Innova Zenix dilancarkan buat pertama kali di Indonesia pada November tahun lalu, di mana ia dikenali sebagai Kijang Innova Zenix. Terdapat lima varian, dengan harga bermula dari 419 juta rupiah (RM122,057) hingga 601 juta rupiah (RM175,118).

Innova Zenix dibina berasaskan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) GA-C bagi menggantikan platform jenis ladder frame IMV yang terdahulu. Ia boleh didapati dengan tujuh atau lapan tempat duduk.

Dengan platform tersebut, Innova Zenix mempunyai ukuran panjang 4,755 mm, lebar 1,850 mm dan tinggi 1,795 mm, iaitu 20 mm lebih panjang dan lebar berbanding model generasi terdahulu.

Ukuran tapak roda pula adalah 2,850 mm, 100 mm lebih panjang berbanding sebelum ini dan 35 mm lebih panjang berbanding tapak roda Proton X90.

Di Indonesia, Innova Zenix boleh didapati dengan dua pilihan enjin iaitu petrol dan hibrid. Versi petrol menggunakan enjin 2.0-liter empat silinder M20A-FKS yang menghasilkan 174 PS dan 205 Nm. Enjin ini dipadankan dengan CVT.

Versi hibrid menampilkan gabungan enjin Dynamic Force 2.0-liter empat silinder M20A-FXS dengan 152 PS dan 187 Nm, dan sebuah motor elektrik dengan 113 PS dan 205 Nm. Gabungan ini menghasilkan 186 PS yang disalurkan ke roda depan menerusi transmisi jenis e-CVT.

Ciri-ciri lain yang terdapat pada Kijang Innova Zenix dan mungkin akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia termasuklah skrin infohibur berukuran 10 inci, kerusi ottoman untuk tempat duduk barisan kedua, skrin infohibur berkembar pada bahagian belakang kerusi pemandu dan penumpang depan, serta sistem bantuan pemandu Toyota Safety Sense 3.0.

Apa pendapat anda mengenai Toyota Innova Zenix? Adakah ia pilihan yang lebih baik berbanding Proton X90?

Toyota GR Yaris dengan kit Pandem akan buat kemunculan di Tokyo Auto Salon KL

TOKYO Auto Salon Kuala Lumpur yang akan berlangsung pada 9-11 Jun depan bukan sahaja bakal menyaksikan pameran kereta-kereta modifikasi dari syarikat talaan utama dari Jepun, tetapi juga bakal menjadi platform kemunculan GR Yaris dengan kit Pandem pertama di Malaysia.

Pandem GR Yaris itu merupakan salah satu dari 14 jentera yang akan dipamerkan oleh RS Auto Accessories. Pandem GR Yaris menampilkan kit badan lebar dengan tambahan 200mm di depan dan belakang.

Kit ini menampilkan lip depan, diffuser belakang, canards sisi, skirt sisi, gerbang roda depan dan belakang, spoiler, serta corong udara di bampar belakang.

Stance GR Yaris ini dikemaskan lagi dengan rim Rays 21C 18-inci dengan offset negatif, dan dibaluti dengan tayar Bridgestone Potenza RE71RS untuk prestasi sepadan. Ia juga mendapat roll-cage GR sepenuhnya.

Dari segi janaan kuasa pula, kit Pandem didatangkan dengan turbo GT Auto, ECU Motec, kemasukan udara venture, dan sistem ekzos kustom. Kesemua ini memberikan kuasa mencecah 500hp, penambahan ketara dari 320hp yang dihasilkan enjin standard GR Yaris.

RS Auto Accessories beribu pejabat di Butterworth, Pulau Pinang dan pakar dalam talaan serta kit badan untuk kenderaan-kenderaan Jepun dan Continental. Mereka telah menjadi pengedar jenama seperti Varis, Boost Logic, dan Brabus sejak 2009.

Jentera lain yang akan dipamerkan pada acara di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) itu termasuklah Nissan GT-R Top Secret dengan badan lebar karbon, selain GT-R dari Varis, APR dan NISMO.

Penampilan lain yang boleh dijangkakan adalah Civic Type-R FK8, dua lagi GR Yaris dari HKS dan Varis, BMW M4 ADRO, dan Mitsubishi Evo 9 MR Varis.

Beberapa persembahan dan bengkel akan diadakan sepanjang acara berlangsung. Pembeli tiket awal akan berpeluang menyertai cabutan bertuah yang menawarkan dua tiket ke Tokyo Auto Salon 2024 di Jepun yang ditanggung sepenuhnya.

Tiket ke Tokyo Auto Salon KL dijual pada harga RM60 untuk dewasa dan RM28 untuk kanak-kanak. Ia boleh didapati di www.tokyoautosalonkl.com.

Hayden Haikal menang lagi di kejuaraan Thailand Idemitsu Super Turbo

HAYDEN Haikal telah memperoleh kemenangan ketiga dan tempat keenam dalam Round 2 bagi Idemitsu Super Turbo Championship di Litar Antarabangsa Chang, Buriram Thailand hujung minggu lalu.

Ini menjadikan pelumba remaja Malaysia itu berada selesa di tempat teratas kejuaraan dengan kutipan mata tertinggi.

Dengan tiga kemenangan dalam empat perlumbaan setakat ini, Hayden dan Toyota Vios #437 Wing Hin Motorsport terus menunjukkan dominasi mereka dalam Junior Class (Normally Aspirated) bagi enjin 1500cc.

Mereka juga antara pesaing teratas keseluruhan di samping kereta-kereta turbo dan lebih berkuasa.

Untuk hujung minggu baru-baru ini, perlumbaan agak mencabar bagi Hayden. Insiden pada sesi latihan bebas hari Jumaat menyebabkan pasukan terpaksa bekerja keras membaiki kereta dengan baki tiga jam sebelum kelayakan bermula.

Hayden dan pasukan terus menunjukkan taring dengan memperoleh posisi ketiga dalam kelayakan.

Race 1 pada Sabtu bermula dengan baik dimana Hayden berada di tempat ke-12 sebelum mengalami masalah transmisi di pertengahan perlumbaan.

Pelumba berusia 18 tahun itu menghabiskan perlumbaan dengan hanya gear 5, tamat di tempat ke-21 dan keenam dalam kelasnya.

Kemudian dalam Race 2 pada hari Ahad, Hayden berjaya berada di tempat pertama dalam kelasnya, dan tamat di tempat kelapan keseluruhan di belakang jentera-jentera turbo.

Dia pada mulanya tamat di tempat kedua tetapi dinaikkan ke tempat pertama disebabkan pemenang dikenakan penalti.

“Permulaan perlumbaan agak kecoh dengan banyak kereta kemalangan di jalan lurus utama. Saya bernasib baik dapat mengelak dari insiden sebelum bendera merah dikibarkan.

“Apabila perlumbaan dimulakan semula, saya berentap dengan tiga kereta teratas dalam kelas,” kata Hayden.

Sejak memulakan perlumbaan Idemitsu Super Turbo pada Mac, Hayden telah memperoleh kemenangan berturut-turut dalam dua permulaan pembukaan.

Perlumbaan seterusnya akan diadakan pada 18 hingga 23 Jun 2023.

Toyota Yaris Cross diperkenal di Indonesia, menarik untuk Malaysia?

TOYOTA Yaris Cross telah diperkenalkan di Indonesia, dan negara itu menjadi pelancaran sulung crossover ini bagi pasaran ASEAN.

Harus diketahui Yaris Cross ini berlainan sama sekali dengan model di pasaran Eropah, Jepun, dan Australia. Yaris Cross versi ASEAN ini mendapat penggayaan dari model RAV4 dan Highlander dengan penawaran petrol dan hibrid.

SUV baharu ini akan diposisikan di antara Raize dan Corolla Cross di Indonesia. Gril besar dan lampu depan agresif mengingatkan pada Highlander, manakala gerbang roda bersegi, ‘bahu belakang’ menyerlah sehingga ke lampu belakang adalah mirip RAV4.

Toyota menggariskan tentang keluasan kabinnya yang boleh dibandingkan dengan model kenderaan di segmen yang lebih atas, untuk beberapa aspek. Bateri bagi versi hibrid juga dipasang di bawah tempat duduk belakang (seperti Corolla Cross Hybrid) jadi ia tidak mengganggu ruang kargo, yang juga dikatakan terbesar dalam segmennya.

Papan pemuka pula nampak agak ringkas tetapi moden dan menyerupai model Toyota terkini. Terdapat kluster instrumen 7-inci bagi pemandu, dan skrin konsol tengah bersaiz 10.1-inci. Ciri di kabin termasuklah lampu suasana, pengecas tanpa-wayar, bumbung panoramik, but belakang berkuasa, dan pakej Toyota Safety Sense.

Toyota Yaris Cross ASEAN ini dibina berdasarkan pelantar DNGA, dengan ukuran badan 4,310mm panjang, 1,770mm lebar, 1,615mm tinggi, dan jarak roda 2,620mm. Ini menjadikannya lebih besar berbanding Yaris Cross Eropah.

Berkenaan enjin, seperti dikatakan tadi, terdapat pilihan petrol dan hibrid. Untuk petrol, ia dijana unit 1.5-liter Dual VVTi 4-silinder dengan output 105hp dan 138Nm tork. Kuasa disalurkan ke roda depan melalui kotak gear manual 5-kelajuan atau CVT.

Sementara itu bagi hibrid, ia dipacu oleh enjin 1.5-liter 90hp/121Nm yang digandingkan dengan motor elektrik 79hp/141Nm. Kotak gear adalah CVT, dan kuasa untuk motor elektrik dibekalkan oleh pek bateri lithium-ion.

Spesifikasi lanjut dan harga belum diumumkan. Kami periksa di laman web Toyota Indonesia juga menunjukkan model ini belum disenaraikan.

Apa pendapat anda mengenai Toyota Yaris Cross, mahu UMWT bawa masuk?

Isu ujian perlanggaran: Jualan Toyota Yaris Ativ (Vios) di Thailand dihentikan sementara

TOYOTA Motor Corp dilaporkan menghentikan jualan dan penghantaran Yaris Ativ di Thailand buat sementara waktu. Semakan di laman web Toyota Thailand juga mendapati model sedan segmen-B itu tiada dalam senarai jualan.

Pengumuman ini dibuat selepas Daihatsu Motor Co., Ltd secara umum mengaku dan memohon maaf kerana ‘menipu’ ujian perlanggaran keselamatan. Terdapat modifikasi khas dilakukan pada unit yang diuji itu.

Menurut laporan oleh Reuters, CEO Toyota Asia, Masahiko Maeda berkata dalam satu sidang media di Bangkok, masalah itu berlaku disebabkan tekanan ke atas Daihatsu untuk memendekkan tempoh pembangunan Yaris Ativ.

“Masalah sebegini sudah tentu tidak akan berlaku sekiranya pembangunan dilakukan dalam keadaan sepatutnya,” kata Maeda.

“Saya rasa hakikat bahawa perkara ini masih berlaku bermaksud terdapat sebarang bentuk tekanan di bahagian pembangunan,” katanya. Dia turut menambah saiz kenderaan itu yang lebih besar memberi cabaran kepada Daihatsu yang pakar dalam pembuatan kereta kecil.

Lebih 88,000 unit kenderaan kompak, kebanyakannya dijual di bawah jenama Toyota telah terkesan oleh ‘salah laku’ Daihatsu ini.

Majoriti kenderaan yang terlibat termasuklah 11,000 Perodua Axia yang dikeluarkan di Malaysia bermula Februari, 76,000 Toyota Yaris Ativ yang dikeluarkan di Thailand bermula Ogos 2022, dan terdapat kenderaan yang dijual di Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait, Qatar, Bahrain, dan Oman.

Di Malaysia, Yaris Ativ dikenali sebagai Toyota Vios 2023 yang dilaporkan tidak terlibat dengan insiden itu.

Daihatsu berkata penghantaran Yaris Ativ hanya akan kembali selepas ujian perlanggaran baharu dibuat dan disahkan.

Satu laporan terkini berkata syarikat itu sedang bekerjasama dengan kerajaan Thailand untuk mengembalikan jualan Yaris Ativ yang dikeluarkan di kilang Chachoengsao.

Toyota RAV4 kereta paling laris di dunia, lebih 1 juta unit terjual

JATO Dynamics telah menyiarkan laporan jualan global bagi tahun lepas, dengan 79.4 juta kenderaan baharu telah terjual di seluruh dunia.

Angka itu mewakili penurunan dua peratus berbanding 2021 untuk pasaran-pasaran besar seperti Amerika Utara, Eropah, dan China. Sementara itu, pasaran seperti India, Timur Tengah, Asia Tenggara, dan Afrika pula mencatatkan peningkatan.

Tetapi ini bukanlah maklumat paling menarik dari laporan itu. Menurut data oleh JATO, model paling laris seluruh dunia ialah Toyota RAV4, dengan lebih satu juta unit diserahkan kepada pelanggan. 43 peratus dari itu adalah di Amerika Syarikat (AS) dan Kanada.

Ini diikuti oleh Toyota Corolla dengan kira-kira 992,000 unit terjual tahun lepas, manakala Tesla Model Y di tempat ketiga dengan 747,000 unit jualan.

Secara keseluruhan dari 10 model terlaris dunia, lima daripadanya adalah Toyota. Ford, Nissan dan Honda pula masing-masing satu model, manakala Tesla mewakili dua model.

Dilihat dari angka di atas, bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan Toyota merupakan pengeluar terbesar tahun lepas jika diukur dari angka jualan. Kenderaan Toyota mewakili 13 dari 100 unit kereta penumpang yang dibeli seluruh dunia.

Pengeluar Jepun itu juga mencatatkan peningkatan 0.3 peratus jualan hasil dari permintaan tinggi dari China, yang kini merupakan pasaran terbesar di depan AS dan Jepun.

Volkswagen Group pula merupakan konglomerat automotif kedua terbesar di dunia, walaupun jualannya menurun 10 peratus. Hyundai-Kia di tempat ketiga, diikuti Stellantis dan General Motors.

Laporan JATO itu turut menunjukkan pengeluar automotif paling pesat berkembang iaitu BYD. Firma China itu merangkumi 1.5 peratus jualan global dan kini meningkat kepada 2.42 peratus.

Jenama itu kini pengeluar kereta elektrik (EV) kedua terbesar dunia selepas Tesla.

Toyota jual 6,767 kereta untuk April 2023, YTD meningkat sembilan peratus

UMW Toyota Motor (UMWT) tekad mencapai matlamat jangka masa panjang mereka dengan catatan peningkatan jualan sebanyak sembilan peratus bagi YTD April 2023 (sepanjang empat bulan pertama) berbanding tempoh sama tahun lepas.

Walaubagaimanapun jualan ini merupakan penurunan sebanyak tiga peratus berbanding April 2022.

Sejumlah 6,681 kenderaan Toyota dan 86 Lexus dijual, menjadikan jumlah keseluruhan 6,767 kenderaan bagi UMWT untuk April. Syarikat itu yakin mampu mencapai sasaran pertengahan tahun walaupun beroperasi dengan tempoh lebih singkat untuk April disebaban musim perayaan.

“Kami yakin dengan kebolehan mencapai pertumbuhan kukuh berbanding tahun sebelumnya,” kata Datuk Ravindran K, Presiden UMWT.

“Kita telah melihat maklum balas meyakinkan terhadap model-model baharu yang dilancarkan pada suku pertama 2023, khasnya Toyota Vios serba baharu. Dan kami jangkakan ia menyumbang kepada pertumbuhan sepanjang tahun.”

Datuk Ravindran K turut menekankan bab standard keselamatan dan kualiti Vios serba baharu. “Kami ingin yakinkan bahawa kami mematuhi semua piawaian keselamatan dan tiada kompromi akan kualiti kenderaan itu.”

Lebih banyak model prestasi Toyota GR di masa depan – CEO

RATA-RATA kami media permotoran sangat sukakan kereta prestasi. Jika anda pun sama menyukai kereta prestasi, maka ada satu berita baik untuk kita semua.

Selepas penghasilan model-model mengujakan seperti GR Corolla, GR Supra manual dan GR86 yang dilancarkan beberapa bulan lepas, Toyota dikatakan bakal mengeluarkan lebih banyak lagi model sebegini.

Perkara itu dilaporkan oleh CEO, Koji Sato yang ditemu bual oleh Autocar. Katanya, akan terdapat model GR baharu. Dia juga berkata pembangunan itu boleh dipercepatkan dan Akio Toyoda boleh mengetuainya.

“Master Driver kami yang juga bekas presiden syarikat juga pada masa yang sama telah melahirkan banyak produk GR. Kini beliau sebagai pengerusi, mungkin akan mempunyai lebih banyak masa untuk membangunkan kereta untuk mereka,” kata Sato kepada Autocar.

Walaupun rancangan Toyota untuk mengembangkan jenama GR nampak seperti dapat dijangkakan, ia tetap suatu kelegaan untuk mendengarnya sendiri dari Sato.

Syarikat itu baru-baru ini melalui rombakan organisasi dan strategi produk yang akan lebih memfokus kepada elektrifikasi yang mungkin memberi kesan kepada model-model Gazoo Racing.

Pada masa ini belum ada perincian model baharu GR. Sebelum ini dilaporkan Toyota dan Suzuki mungkin membangunkan sports car kompak ringan yang dikaitkan dengan Sports EV.

Terdapat juga ura-ura mengenai Toyota bZ4X iaitu SUV elektrik dengan sentuhan prestasi GR. Selain itu, GR Camry juga boleh menjadi kemungkinan.

Di Malaysia, model Hilux dan Corolla Cross telah menerima variasi GR Sport, ia dijual pada harga RM159,880 dan RM142,000 masing-masing.

Toyota Vios akan terus dijual, tiada isu dari segi keselamatan

UMW Toyota Motor dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa penjualan Toyota Vios serba baharu akan diteruskan kerana tiada isu dari segi standard keselamatan dan kualiti kenderaan berkenaan.

Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K berkata, “Bagi pelanggan yang telah menempah Toyota Vios serba baharu atau berminat untuk membelinya, kami ingin memberi jaminan bahawa model berkenaan mematuhi semua peraturan keselamatan dan tiada kompromi terhadap kualitinya.”

Ini berikutan kenyataan yang dikeluarkan oleh Daihatsu Co Ltd. pada 28 April 2023 yang mengetengahkan “ketidakaturan prosedur” dalam ujian yang melibatkan empat model iaitu Toyota Vios, Perodua Axia, Toyota Agya dan satu lagi model yang belum dilancarkan.

Ujian seterusnya telah mengesahkan bahawa Vios memenuhi pensijilan UN-R95 dan tidak ada keperluan untuk sedan itu dipanggil semula.

“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dialami pelanggan dan kami ingin memberi jaminan kepada semua keselamatan dan kualiti kenderaan kami. Komitmen kami terhadap keselamatan pelanggan kami sentiasa dan kekal yang paling utama,” katanya.

Toyota bZ3 terima 5,000 tempahan pada hari pertama jualan

MODEL kedua dalam siri kenderaan elektrik bZ (beyond Zero) iaitu Toyota bZ3 mendapat sambutan yang amat menggalakkan di China apabila menerima lebih 5,000 tempahan pada hari pertama ia dibuka untuk jualan, lapor CarNewsChina.

Dibangunkan bersama oleh Toyota, BYD Toyota EV Technology (BTET) dan FAW Toyota, sedan elektrik itu dijual pada harga bermula dari 169,800 yuan (RM109,395) untuk varian asas hingga 199,800 yuan (RM128,720) untuk varian tertinggi.

bZ3 dibina menggunakan platform e-TNGA yang menawarkan pusat graviti yang rendah untuk pengendalian yang lebih responsif, stabil serta selesa.

Ia juga mempunyai profil ala fastback, selain mempunyai kadar pekali seretan (Cd) 0.28 yang disumbangkan oleh elemen-elemen seperti pemegang pintu yang rata, tirai udara dan bampar, serta rim aluminium yang direka secara aerodinamik.

Di China, bZ3 ditawarkan dengan dua pilihan jarak pemanduan. Varian asas mempunyai motor elektrik tunggal dengan 174 hp dan 303 Nm, dengan bateri 49.92 kWh yang membolehkan ia dipandu sejauh 517 km.

Varian Long Range pula dilengkapi dengan motor elektrik yang lebih berkuasa dengan output mencecah 241 hp dan 303 Nm. Kapasiti baterinya juga lebih besar iaitu 65.3 kWh yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 616 km.

Apa yang menarik, bZ3 menggunakan sistem elektrik yang terdiri daripada bateri LFP (ion litium fosfat) keluaran BYD, teknologi Toyota dan motor elektrik keluaran anak syarikat BYD iaitu Fudi Motor.

UMW Toyota Motor catat prestasi positif bagi suku pertama 2023

UMW Toyota Motor menutup tirai suku pertama tahun 2023 dengan catatan jualan sebanyak 9,026 unit bagi jenama Toyota dan 110 unit bagi Lexus pada bulan Mac, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 9,136 unit.

Angka tersebut menunjukkan penurunan sebanyak 131 unit berbanding 9,297 unit yang dicatatkan pada bulan Februari.

Walau bagaimanapun, jumlah jualan keseluruhan (YTD) untuk tiga bulan pertama tahun ini mencecah 25,219 unit, 12 peratus lebih tinggi berbanding 22,447 unit yang direkodkan dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.

Bagi anda yang terlepas, bulan Mac menyaksikan pelancaran Toyota Vios serba baharu, model sedan segmen B yang terus kekal menjadi antara model terlaris dalam pasaran kenderaan nasional sejak ia mula diperkenalkan pada 2003.

Model generasi keempat ini menggunakan platform DNGA (Daihatsu New Global Architecture) yang membawakan prestasi lebih hebat dan teknologi terkini, menjadikan ia pilihan tepat untuk pelanggan.

Datuk Ravindran K., Presiden UMW Toyota Motor berkata, “Toyota Vios serba baharu mewakili komitmen kami untuk memberikan pelanggan kami kenderaan dan pengalaman pemilikan yang terbaik.”

Bersempena dengan bulan Ramadan, UMW Toyota Motor menawarkan promosi bernilai sehingga RM8,000 untuk model-model terpilih, pembiayaan pinjaman 100 peratus Toyota Service Savers dengan ansuran bulanan serendah RM22.

Para pemilik Toyota juga boleh mengharapkan perjalanan pemilikan kereta yang lebih lancar dengan perkhidmatan selepas jualan Extra Mile yang menjanjikan pengalaman luar biasa.

Kos servis Toyota Vios 2023 sehingga perbatuan 100,000 km

SEPERTI yang anda sedia maklum, Toyota Vios 2023 telah dilancarkan ke pasaran Malaysia baru-baru ini.

Untuk model generasi keempat, sedan segmen B itu ditawarkan dalam dua varian sahaja iaitu 1.5E pada harga RM89,600 dan 1.5G yang berharga RM95,500.

Model serba baharu itu membawakan pembaharuan menyeluruh yang melibatkan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), serta trenkuasa yang menampilkan gandingan enjin 2NR-VE 1.5-liter Dual VVTi dan transmisi D-CVT.

Dalam artikel ini, kami akan menunjukkan kos penyelenggaran atau servis Vios serba baharu untuk perbatuan sehingga 100,000 km.

Servis pertama – 1,000 km

Untuk 1,000 km pertama, servis melibatkan minyak enjin sintetik 4 liter (RM139), cecair pencuci cermin hadapan (RM3), pembasmi kuman Noviruclean 3471 (RM12.11), penapis minyak hitam (RM38.60) dan gasket palam (RM2.80).

Jika diikutkan, jumlah sebenar adalah RM195.51 namun dengan harga pakej, pelanggan hanya perlu membayar sebanyak RM185 atau RM215 jika memilih minyak enjin sintetik penuh.

10,000 km-30,000 km, 50,000 km-70,000 km & 90,000-100,000 km

Untuk makluman anda, UMW Toyota Motor menawarkan beberapa pakej servis untuk Vios. Bagi perbatuan 10,000 km, 20,000 km, 30,000 km, 50,000 km, 60,000 km, 70,000 km, 90,000 km dan 100,000 km, ia ditawarkan di bawah pakej Advance.

Servis untuk perbatuan-perbatuan ini sama sahaja seperti servis 1,000 km. Ia melibatkan penukaran minyak enjin, cecair pencuci cermin hadapan, pembasmi kuman, penapis minyak hitam gasket palam. Cuma, tidak seperti servis pertama itu, pelanggan akan dikenakan kos buruh (RM97.50) dan cukai perkhidmatan 6 peratus (RM5.85).

Jumlah akhir yang perlu dibayar oleh pelanggan adalah RM298.86, namun dengan harga pakej Advance, harga dikurangkan kepada RM295. Mereka yang memilih minyak enjin sintetik penuh perlu membuat bayaran tambahan sebanyak RM30.

Bagaimanapun, untuk servis 100,000 km, pelanggan perlu menukar minyak CVT (RM280, harga pakej termasuk gasket, palam, kos buruh dan cukai perkhidmatan), dan palam pencucuh iridium (RM270, 4 biji).

40,000 km & 80,000 km

Servis untuk 40,000 km dan 80,000 km ditawarkan di bawah pakej Advance Plus. Secara umumnya, komponen yang ditukar sama sahaja seperti pakej Advance, cuma dengan penambahan bendalir brek (RM40) dan penapis pembersih udara (RM118.35).

Selain itu, kos buruh juga meningkat kepada RM130. Untuk servis 40,000 km, pelanggan hanya dikenakan bayaran sebanyak RM485 atau RM515 jika memilih minyak enjin sintetik penuh.

Untuk servis 80,000 km pula, pelanggan perlu menggantikan penapis minyak pada harga RM270.75. Ia melibatkan dua komponen iaitu penapis (RM258.15) dan cincin O (RM12.60).

Maklumat lanjut mengenai kos penyelenggaran Vios serba baharu boleh didapati di laman web UMWT.

Toyota Vios terima lebih 5,000 tempahan dalam tempoh sebulan

UMW Toyota Motor (UMWT) memaklumkan bahawa Toyota Vios 2023 yang baru sahaja dilancarkan telah menerima tempahan melebihi 5,000 unit sejak tempahannya dibuka pada 24 Februari lalu.

Presiden UMWT, Ravindran K berkata maklum balas luar biasa terhadap Vios adalah bukti populariti model itu di pasaran Malaysia.

“Kami sangat teruja untuk memulakan tahun ini dengan pelancaran Toyota Vios serba baharu, yang mewakili komitmen kami dalam menyediakan kenderaan dan perkjidmatan berkualiti terbaik kepada pelanggan.

“Kami tidak sabar untuk mengharungi tahun penuh dengan peluang ini untuk memacu pertumbuhan dan pembangunan ekonomi Malaysia,” katanya.

Kini dalam generasi keempat, Vios serba baharu ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.5E dan 1.5G, dengan harga bermula dari RM89,600 hingga RM95,900.

Ia dibina menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), serta menampilkan enjin 2NR-VE 1.5-liter empat silinder Dual VVTi yang digandingkan bersama transmisi D-CVT.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan Toyota Safety Sense (TSS) yang merangkumi ciri-ciri seperti Pre-Collision System, Lane Departure Warning, Lane Departure Prevention, Adaptive Cruise Control, Lane Keeping Control dan Auto High Beam.

Turut disertakan adalah 3D Panoramic View Monitor, Blind Spot Monitor serta Rear Cross Traffic Alert.

Model ini dikilangkan di kilang pemasangan Assembly Services Sdn Bhd (ASSB) di Bukit Raja, Klang, di mana ia memenuhi standard kualiti dalam seluruh proses pemasangan sejajar dengan “Toyota Way”.

Toyota Vios 2023 dipandu uji di Pulau Langkawi – Ini pandangan awal kami

PERCAYA atau tidak, tahun ini merupakan tahun ke-20 Toyota Vios berada di pasaran Malaysia. Sedan segmen B ini merupakan salah satu model terpenting bagi UMW Toyota Motor, dengan jualan melebihi setengah juta unit dalam tempoh tersebut.

Bagaimanapun, adil jika dikatakan bahawa kehadiran Vios dalam segmen berkenaan sentiasa ‘dibayangi’ oleh pesaing terdekatnya iaitu Honda City. Adil juga jika penulis katakan bahawa taruhan Toyota ini hanya mampu mengekori pesaingnya itu dari belakang sejak beberapa tahun yang lalu.

Untuk tahun 2023, Vios telah memasuki generasi keempat dengan pembaharuan yang menyeluruh bagi membolehkan ia memberi saingan yang lebih sengit kepada City. Mampukah ia berbuat demikian?

Baru-baru ini penulis diterbangkan ke Pulau Langkawi untuk menguji Vios serba baharu ini. Ini adalah pendapat ringkas penulis mengenai model berkenaan:

Reka bentuk jauh lebih menonjol

Tidak dinafikan lagi, Vios generasi keempat tampil lebih segar berbanding model-model generasi terdahulu. Malah, dengan rekaan yang serba tajam serta bukaan gril yang begitu besar, ramai yang mengatakan ia kelihatan tidak ubah seperti ‘baby Camry’.

Apa yang lebih menarik, buat pertama kali dalam sejarahnya, Vios didatangkan dengan rekaan garis bumbung fastback yang secara tidak langsung membuatkannya kelihatan lebih premium.

Bodykit didatangkan standard

Buat sementara ini, Vios generasi keempat ditawarkan dalam varian 1.5E dan 1.5G. Kedua-duanya didatangkan standard dengan kit badan yang merangkumi skirting depan, sisi dan belakang, diffuser serta spoiler. Ya, walaupun anda membeli varian 1.5E, anda masih akan mendapat kit badan yang bergaya ini.

Tidak cukup dengan itu, ia juga mempunyai beberapa komponen aerodinamik yang berfungsi termasuk penjana vortex pada bampar hadapan dan belakang.

Ruang kabin lebih premium

Jujur penulis katakan bahawa penulis terasa seperti berada di dalam sebuah kereta Perodua apabila pertama kali masuk ke dalam Vios. Ini kerana terdapat beberapa bahagian yang dikongsikan antara dua jenama ini termasuk stereng.

Namun ini tidak bermakna yang kualiti ruang dalaman Vios jatuh. Tidak sama sekali. Malah, dengan penggunaan bahan-bahan berkualiti seperti balutan kulit dan sentuhan lembut pada papan pemuka, ia terasa lebih premium berbanding sebelum ini.

Rekaan dalaman yang lebih ergonomik

Antara kekurangan terbesar Vios generasi terdahulu adalah konsol tengah yang langsung tidak ergonomik. Perkara ini nampaknya telah diperbaiki dengan ruang penyimpanan barang yang terletak di hadapan tuil gear.

Bukan itu sahaja, rekaan konsol tengah secara keseluruhannya lebih ringkas dan kemas menerusi penggunaan brek parkir elektronik dan dengan model ini, anda juga mendapat banyak pemegang cawan dan juga corong pendingin hawa belakang.

Kelengkapan? Macam-macam ada

Dengan varian 1.5G, anda sudah tentu mendapat tahap kelengkapan tertinggi yang sepadan dengan harganya. Ini termasuk skrin sentuh 9 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto versi wayarles, serta kluster instrumen digital TFT 7 inci.

Selain itu, terdapat juga ciri-ciri lain seperti pengecas wayarles, pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna (macam kereta Jerman!) dan sistem Toyota Safety Sense dengan fungsi ADAS yang lengkap.

Sentuhan DNGA yang menjadi

Penggunaan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) bukan sahaja memberikan Vios generasi keempat reka bentuk yang lebih segak, malah ia juga membuatkan sedan ini lebih mantap di jalan raya.

Ia bukanlah suatu rahsia yang kekuatan DNGA adalah dari segi ‘ride and handling’, dan ini sudah dirasakan pada model-model DNGA yang lain termasuk Perodua Alza dan Toyota Veloz.

Sama sahaja ceritanya dengan Vios serba baharu ini. Pemanduannya terasa lebih lincah di selekoh, disumbangkan oleh talaan stereng dan juga pengurangan berat sebanyak 110 kg berbanding model sebelum ini.

Dari segi keselesaan, sistem suspensi dan kerangka Vios serba baharu ini boleh dikatakan cemerlang di permukaan jalan yang rata dan tidak rata. Walaupun berdepan dengan jalan yang beralun-alun ketika mendaki Gunung Raya, setiap lantunan diserap dengan begitu baik.

Gandingan enjin dan transmisi yang serasi

Vios dikuasakan oleh enjin 2NR-VE 1.5-liter empat silinder Dual VVTi yang menghasilkan 106 PS pada 6,000 rpm dan 138 Nm pada 4,200 rpm. Ia bukanlah angka yang menggunung tingginya, namun talaan transmisi D-CVT membuatkan model ini mampu memecut lebih cepat dari yang disangka.

Tidak dinafikan, efek ‘rubber band’ masih boleh dirasakan terutamanya apabila pedal ditekan dengan agresif ketika mendaki namun ia tidaklah begitu serius. Bunyi ngauman juga boleh didengar dengan jelas namun dalam situasi pemanduan biasa, trenkuasa ini sebenarnya agak senyap.

Menariknya, Vios kini mempunyai tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan mod baharu iaitu Power. Jika anda memerlukan tindak balas yang responsif, tekan sahaja butang Drive pada sebelah kanan stereng.

Kekurangan? Pasti ada

Bagi penulis, tidak ada kereta yang benar-benar sempurna. Untuk Vios, secara keseluruhannya ia merupakan sedan yang lengkap dari pelbagai aspek namun ini tidak bermakna ia tidak mempunyai kekurangan.

Pertama, tempat duduk belakang tidak boleh dilipat. Menurut jurutera Vios, ini kerana kapasiti but 475 liter sudah dianggap cukup besar untuk kegunaan seharian. Bukan itu sahaja, bumbung fastback juga menjadikan ruang kepala agak terhad.

Kekurangan yang kedua adalah ketiadaan tayar ganti. Pengurangan berat serta penjimatan ruang adalah antara sebab yang diberikan namun penulis secara peribadi merasakan ia adalah antara kelengkapan yang wajib disertakan. Lainlah kalau model ini didatangkan dengan rim 20 inci.

Konklusi

Terima kasih kepada platform DNGA dan talaan kotak gear yang mantap, Toyota Vios generasi keempat membawakan perubahan yang amat ketara jika dibandingkan dengan model generasi sebelum ini.

Bagi penulis, rekaan luaran dan dalamannya lebih menyerlah, manakala pemanduannya juga bertambah baik. Dari segi kelengkapan pula, ia mempunyai segalanya yang diperlukan oleh pemilik dalam segmen ini. Namun adakah ia berbaloi dengan harga yang ditawarkan? Semuanya terpulang kepada anda.

Toyota Vios 2023 dilancarkan di Malaysia – 2 varian, harga bermula RM90,000

KEMAS KINI: Harga jualan rasmi Toyota Vios adalah RM89,600 bagi 1.5E dan RM95,500 bagi 1.5G.

TIDAK sampai sebulan selepas tempahannya dibuka, Toyota Vios 2023 kini dilancarkan ke pasaran Malaysia. Majlis pelancaran rasmi bakal berlangsung pada Isnin (20 Mac 2023), jam 8.00 malam.

Untuk pasaran tempatan, Vios serba baharu ini ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.5E dan 1.5G, dengan harga anggaran bermula dari RM90,000 hingga RM96,000. Harga rasmi akan kami kongsikan selepas majlis pelancaran tersebut.

Kedua-dua varian menampilkan enjin 2NR-VE 1.5-liter empat silinder Dual VVTi yang menghasilkan 106 PS dan 138 Nm. Seperti Veloz, enjin ini digandingkan dengan transmisi jenis D-CVT dan mempunyai mod pemanduan Eco, Normal dan Power.

Dari segi penampilan, Vios dengan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) ini diberikan perubahan reka bentuk yang menyeluruh dengan rekaan lampu yang tajam, bukaan gril yang besar serta buat pertama kalinya, garis bumbung gaya fastback yang lebih rendah.

Sedan segmen B ini juga didatangkan standard dengan kit badan yang merangkumi skirting, diffuser dan spoiler, serta rim aloi berukuran 17 inci dengan tayar bersaiz 205/50 untuk varian 1.5G dan 16 inci untuk 1.5E.

Untuk pengetahuan anda, kedua-dua varian tidak mempunyai tayar gantian. Ia digantikan dengan kit pembaikan tayar.

Lampu hadapan LED automatik berserta lampu nyalaan siang LED adalah standard, begitu juga dengan lampu belakang LED. Bagaimanapun, hanya varian 1.5G mendapat lampu isyarat jenis sequential.

Terdapat lima warna untuk dipilih iaitu Silver Metallic, Nebula Blue Metallic, Spicy Scarlet, Attitude Black dan Platinum White Pearl.

Seperti bahagian luaran, ruang dalaman juga menampilkan reka bentuk baharu sepenuhnya, dengan stereng sama seperti yang terdapat pada Perodua Ativa dan panel kawalan pendingin hawa digital Veloz. Satu lagi ciri baharu yang diberikan adalah corong pendingin hawa belakang.

Dari segi kelengkapan, kedua-dua varian mendapat skrin sentuh berukuran 9 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto versi wayarles, namun kluster instrumen digital TFT 7 inci hanya tersedia untuk varian 1.5G.

Varian teratas itu juga didatangkan dengan sistem pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna, brek parkir elektronik dan paddle shifter. Pengecas wayarles yang terletak di dalam kotak simpanan konsol tengah disertakan secara standard pada kedua-dua varian.

Untuk sistem bantuan pemandu pula, terdapat Toyota Safety Sense yang merangkumi Lane Departure Prevention, Lane Departure Warning, Front Departure Alert, Pre-Collision System, Lane Keeping Control, Adaptive Cruise Control dan Auto High Beam.

Panoramic View Monitor 3D, Blind Spot Monitor dan Rear Cross Traffic Alert turut disertakan. Untuk varian 1.5E, tiga ciri tidak diberi iaitu Lane Keeping Control, Auto High Beam dan Adaptive Cruise Control.

Ciri-ciri keselamatan lain termasuklah enam beg udara, cagak ISOFIX, Immobiliser dan Vehicle Telematics System dengan langganan percuma selama tiga tahun. Perakam video digital belakang ditawarkan secara opsyen.

Toyota Yaris facelift diperkenal di Thailand dengan rupa depan lebih garang, dari RM72k

TOYOTA Yaris telah menerima facelift di Thailand yang memberikannya beberapa perubahan rekaan agak ketara.

Di bahagian depan, terdapat rupa lebih agresif dan sporti yang seakan menjadi identiti Toyota kebelakangan ini. Ia menampilkan bucu-bucu bersegi dan garisan tajam, dengan lip depan lebih lebar dan ruang kemasukan udara olok-olok.

Lampu depan LED juga direka semula, dengan bahagian ditarik ke bawah, mengambil inspirasi GR Corolla mungkin? Di belakang nampaknya tidak begitu banyak perubahan. Lampu dikekalkan, cuma rekaan bampar diubah sedikit.

Dari segi pilihan warna, Yaris 2023 di Thailand ditawarkan dengan Cement Gray Metallic baharu, dan barisan warna sedia ada iaitu Spicy Scarlet, Platinum White Pearl dan Red Mica Metallic. Warna-warna ini dipadankan dengan bumbung hitam, memberikan imej dwi-tona.

Warna biasa pula adalah Attitude Black Mica, Metal Stream Metallic, Urban Metal dan Platinum White Pearl. Rim adalah 15-inci standard.

Walaupun bahagian rupa luaran mengalami perubahan agak ketara, rekaan dalaman kekal sama seperti sebelumnya. Cuma varian lebih tinggi mendapat skrin inftotainmen lebih besar, bersaiz 9-inci.

Varian lain kekal dengan skrin 8- dan 7-inci, tetapi sambungan Android Auto dan Apple Carplay adalah standard untuk semua varian. Rekaan tempat duduk adalah baharu (fabrik dan kulit), dengan kemasan trim baharu dan soket USB-C.

Yaris di Thailand ini dipacu oleh enjin 1.2-liter 3NR-FKE naturally-aspirated 4-silinder, yang juga enjin yang sama dengan sebelum ini. Ia menghasilkan 92hp dan 109Nm tork, dan kuasa dihantar ke roda depan melalui kotak gear Super i-CVT. Kecekapan bahan api adalah sehingga 23.3km per liter.

Ciri keselamatan merangkumi ABS, EBD, VSC, Traction Control, Hill Start Assist, dan Brake Assist. Walaubagaimanapun varian Premium dan Premium S mendapat ciri tambahan seperti Pre-Collision System, Lane Departure Alert, Rear Cross Traffic Alert dan Blind Spot Monitor.

Toytoa Yaris facelift 2023 dijual antara harga 559,000 baht (RM72,145) hingga 694,000 baht (RM89,571).

Toyota Corolla Cross 1.8 Hybrid SUV terpaling alim! – Pandu uji

DALAM sesuatu segmen kenderaan, pasti ada model yang menyerlah. Mungkin disebabkan rupa yang sporti dan agresif, atau kerana harga sangat berbaloi, atau boleh jadi kerana sebab apa pun.

Untuk Toyota Corolla Cross ini, ia sedikit ‘play safe’, malah mungkin terlebih sampaikan brek parkir pun masih perlu tekan di kaki macam Perodua Alza 2009!

Corolla Cross berada dalam segmen SUV B atau B+, bersama model-model seperti Proton X50, Honda HR-V, Hyundai Kona, dan Peugeot 2008. Jadi dengan melihatkan model-model ini, sudah nampak betapa konservatifnya Corolla Cross.

SUV yang alim?

Konservatif tidak semestinya ia membosankan atau tidak menarik. Toyota Corolla Cross Hybrid ini masih seronok dipandu dan jika betul-betul ‘disesah’ di selekoh, akan menurut peritah anda dan menakluki selekoh itu dengan bersahaja.

Ini kerana Corolla Cross dibina pada pelantar Toyota New Global Architecture (TNGA), lebih tepat lagi TNGA-C. Ya, pasti anda yang mengikuti perkembangan automotif sudah lali dengar istilah TNGA ini. Penulis tak mahu cerita mendalam bab ini, anda Google sendiri.

Secara asasnya, pelantar TNGA membolehkan kereta-kereta Toyota sekarang mempunyai kabin luas, rasa pemanduan mantap dan ‘solid’, serta pada masa yang sama, selamat.

Cuma bab alim di sini adalah dari segi rekaan luar dan dalam. Segala garisan dan bentuk pada Corolla Cross ini nampak biasa dan seperti boleh dijangka, tiada kejutan.

Bentuk gril depan, lampu depan, garisan tingkap sisi, bumbung, segalanya sangat tradisional. Ibaratnya jika anda lihat bentuk bayang Corolla Cross ini, mirip dengan kebanyakan SUV sedekad yang lepas.

Pada penulis, sedikit elemen unik pada Corolla Cross ini adalah bentuk seakan ‘otot’ pada fender depan dan belakang. Nampak bergaya dan memberikan ilusi pemanduannya yang stabil dan sporti.

Corolla Cross, ambil hibrid atau tidak?

Ini antara soalan popular bila melihat pada Toyota Corolla Cross. Penulis pernah memandu kedua-dua varian iaitu 1.8V biasa (RM129,000) dan 1.8 Hybrid (RM136,500), dan penulis boleh katakan versi Hybrid lebih seronok dipandu.

Ini kerana anda dapat sistem hibrid yang membantu memberi kuasa tambahan pada masa enjin tidak berada pada output optima. Enjin 1.8-liter pada Corolla Cross Hybrid menjana 97hp dan 142Nm sahaja, tetapi motor elektrik memberi tenaga sokongan sebanyak 163Nm.

Pada saat anda mula bergerak, ia akan dipacu oleh motor elektrik jadi pecutan terasa bertenaga, responsif tetapi senyap. Ya, kerana enjin tidak hidup. Dan bila anda memerlukan kuasa maksima sebagai contoh hendak memotong, enjin dan motor elektrik akan bergabung memberikan output penuh.

Sistem hibrid padanya juga tidak memeningkan kepala kerana ‘bekerja’ di sebalik tabir sahaja. Komputer akan menentukan sendiri bila hendak menggunakan motor elektrik, bila hendak menggunakan enjin, atau bila perlu dicaj. Tugas anda hanya tekan pedal minyak.

Anda juga akan dapat penjimatan dengan hibrid, sepanjang beberapa hari penulis memandu, dengan mudah boleh dapat lebih 15km per liter. Dan ini untuk pemanduan biasa, ada kelajuan tinggi, bawa penumpang, dan melalui kawasan sesak.

Untuk perbandingan, jujur kata tak dapat dibuat kerana semasa penulis memandu uji versi 1.8V biasa, ia hanya dalam sesi media dan kami tidak berkesempatan membuat bacaan penggunaan bahan api.

Harus ditekankan juga walaupun Corolla Cross Hybrid mendapat banyak maanfaat hibrid seperti kabin yang lebih senyap, lebih penjimatan, dan pemanduan lebih menyeronokkan, ia tidak dikenakan ‘hukuman’ berat yang lebih tinggi.

Sebaliknya, versi Hybrid hanya 30kg lebih berat dari 1.8V biasa, bukannya tambahan beberapa ratus kilogram seperti kereta hibrid lain. Jadi ini sebenarnya satu pencapaian dari sudut kejuruteraan, bagi mereka yang faham.

Penulis faham bahawa ramai yang risau akan bateri, bila bercakap mengenai hibrid. Mudah sahaja, bateri sekarang teknologinya bukan seperti 10 atau 15 tahun dahulu. Bateri hari ini lebih ringan, lebih berkuasa, dan lebih tahan. Toyota juga memberikan jaminan 8 tahun untuk bateri Corolla Cross ini.

Jika anda sering terfikir untuk mencuba kenderaan hibrid, inilah masa paling sesuai.

Praktikal untuk kegunaan seharian

Toyota Corolla Cross mampu melaksanakan tugas seharian sebagai sebuah SUV yang sangat praktikal dan mudah dipandu.

Saiznya tidak terlalu besar, mudah untuk dikendalikan di kawasan bandar. Ia juga cukup senyap, menjadikan Corolla Cross Hybrid satu kenderaan ideal untuk perjalanan jauh bersama keluarga.

Bab keselamatan? Oh semua ada, jangan risau, Corolla Cross Hybrid dilengkapi dengan pakej Toyota Safety Sense. Kegemaran penulis adalah Dynamic Radar Cruise Control yang membuatkan perjalanan jauh kurang memenatkan, dan Lane Tracing Assist (LTA) yang boleh diakses dengan mudah di stereng.

Kesimpulan

Toyota Corolla Cross sebuah SUV yang ‘alim’, cukup sempurna untuk kenderaan harian dan hujung minggu. Ia menjimatkan bahan api, praktikal, dan seronok dipandu (dalam konteks SUV).

Cuma brek parkir kaki sahaja yang masih pelik bagi penulis.

Spesifikasi Toyota Corolla Cross 1.8 Hybrid

Harga: RM136,550
Enjin: 1.8-liter 4-silinder naturally-aspirated
Kotak gear: e-CVT
Kuasa: 97hp @ 5,200rpm
Tork: 142Nm @ 3,600rpm
Output motor elektrik: 163Nm
Kapasiti bateri: 1.3kWh