Category Archives: PANDU

Moda Sporter S, skuter 250 cc terpaling sporti – tunggang uji

Biarpun kita baru sahaja memasuki bulan keempat tahun 2025, para peminat skuter mungkin sudah rambang mata dengan kehadiran pelbagai jenis model yang ada di pasaran.

Lebih-lebih lagi, segmen skuter 250 cc kini sangat meriah dengan skuter buatan Jepun, China, dan tidak ketinggalan jenama tempatan seperti Modenas.

Salah satu daripadanya ialah Moda Sporter S.

Ya, Moda Sporter S merupakan antara skuter yang cukup mencuri tumpuan di atas jalan raya.

Untuk pengetahuan, Moda merupakan jenama tempatan yang dimiliki oleh AFY Mobility Industries, syarikat sama yang memegang hak jenama motosikal Suzuki di sini

Dilancarkan sejak beberapa bulan lepas, Moda Sporter S nyata mampu menjadi satu alternatif skuter yang terpaling sporti rakyat Malaysia boleh beli.

Kami diberikan peluang untuk membawa pulang skuter ini untuk tempoh masa yang agak lama, dan berikut merupakan ulasan kami:

 

1. Rupa paras

Reka bentuk skuter Sporter S ini mengingatkan penulis pada superbike jenama ternama di pasaran yang sememangnya mempunyai golongan pengikut yang agak besar dan tersendiri.

Bukti yang paling jelas, terang dan nyata sudah tentu sekali muka depan yang menampilkan unit lampu berkembar.

Jika dilihat dari jarak jauh, anda mungkin akan menyangka Sporter S ini sebuah superbike yang bisu.

Lampu LED tersebut memberikan prestasi pencahayaan yang agak terang untuk tunggangan pada waktu malam, cuma penulis rasa bahagian belakang skuter ini boleh dikemaskan dengan pendekatan yang lebih baik dan senonoh

Posisi lampu membelok belakang agak pelik, dan penulis dapati nyalaan lampu belakang juga malap ketika tunggangan pada waktu siang.

Mujur skuter ini dilengkapi dengan lampu nyalaan siang (DRL) jenis LED yang cukup terang dan lampu membelok hadapan yang agak tinggi menjadikannya mudah untuk dikesan oleh pengguna jalan raya yang lain.

Skrin penghadang angin juga boleh dilaraskan ketinggiannya secara manual.

Selain itu, rekaan lantai skuter ini juga agak luas untuk memudahkan penunggang memposisikan kaki mengikut keperluan.

Sejujurnya, kami rasakan paparan meter 6.2 inci itu amat jelas dan mudah untuk dibaca, lengkap dengan dua pilihan paparan sama ada mod gelap ataupun cerah.

Cuma ada beberapa info penting dipaparkan menggunakan saiz fon huruf yang agak kecil yang sukar untuk dibaca terutama ketika sedang menunggang.

Beberapa ikon notifikasi penting diletakkan pada skrin berasingan, jadi meter digital itu tadi tidaklah jadi terlalu serabut.

Untuk pasaran Malaysia, terdapat dua pilihan warna dua tona ditawarkan, iaitu merah/putih dan juga kelabu/hijau.

 

2. Kuasa

Moda Sporter S ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 244 cc menghasilkan 24.8 hp @ 8,500rpm dan 22.5 Nm @6,500 rpm

Dalam banyak-banyak skuter mesra lesen B2 yang pernah diuji sebelum ini, Moda Sporter S merupakan antara skuter yang cukup lincah dan pantas bergerak dari keadaan pegun.

Pecutannya lancar, boleh dirasai dan dinikmati dengan baik, sangat sesuai untuk golongan rider yang gemar memulas pendikit sehingga habis saat lampu merah bertukar hijau.

Dipadankan pula dengan tangki bahan api 13 liter, skuter ini dengan senang boleh cecah jarak tunggangan melebihi 250 km.

Ya, tidak dapat dinafikan ia sebuah skuter yang sporti, dan dalam masa yang sama menawarkan kadar penggunaan bahan api yang cukup baik

 

3. Pengalaman menunggang

Pada hemat penulis, skuter ini boleh saja ditunggang dengan santai, namun boleh berubah watak menjadi skuter yang terpaling sporti.

Anda harus berterima kasih kepada pendikit yang cukup responsif terhadap arahan tangan kanan, diikuti tetapan suspensi fork hadapan jenis terbalik, dan penyerap hentak berkembar dengan larasan pra-beban.

Berdasarkan tunggangan awal di Sepang tempoh hari, penulis mendapati tetapan sistem suspensi belakang agak keras.

Tetapan tersebut sememangnya sesuai untuk meleper di selekoh, namun boleh mendatangkan kesakitan punggung apabila berdepan dengan jalan yang tidak rata.

Untuk tunggangan kali kedua, penulis mengubah tetapan suspensi belakang supaya rasa lebih selesa, terutama ketika membawa pembonceng (isteri tersayang) di belakang.

Ya, walaupun dengan tetapan yang lebih lembut, pembonceng belakang masih lagi mengadu rasa tidak selesa – mungkin sebab sudah terbiasa dengan tetapan gantungan yang lebih lembut.

Namun untuk tunggangan bersendirian, penulis kira ia sudah lebih daripada memadai untuk menikmati tunggangan yang seronok di laluan berselekoh, dan dalam masa yang sama menyerap segala kekasaran untuk memberikan perlindungan sewajarnya kepada otot punggung dan tulang belakang.

Sebut pasal pelana, penulis harus berterima kasih kepada Moda kerana menawarkan kusyen yang cukup empuk dan selesa untuk tempoh tunggangan yang sederhana lama.

Akhir sekali, Moda Sporter S ini didatangkan dengan tetapan brek cakera depan berkembar saiz 260 mm dan belakang 240 mm.

Penulis kira, tetapan brek yang wujud pada Sporter S ini cukup sesuai untuk kegunaan di Malaysia, terutama ketika berdepan dengan situasi kecemasan.

Dibantu pula dengan sistem brek ABS dua saluran, sistem brek standard ini memberikan lebih keyakinan kepada penunggang untuk memberhentikan pergerakan skuter ini dalam keadaan yang lebih terkawal.

 

4. Ciri yang amat dihargai

Selain daripada apa yang disebutkan di atas, skuter Moda Sporter S ini ada membawakan ciri canggih yang memudahkan urusan.

Seperti contoh, terdapat sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS) terbina, jadi penunggang akan lebih sentiasa berwaspada dengan perubahan yang tidak dijangka sepanjang perjalanan.

Ruang storan bawah pelana cuma sebesar 10 liter, jadi ia hanya sesuai untuk meletakkan barangan penting seperti baju hujan dan dokumen penting.

Sayang sekali, helmet saiz penuh tidak sesuai untuk dimuatkan dan anda mungkin perlu memasang kotak storan tambahan di belakang.

Terdapat juga dua ruang storan kecil di bahagian hadapan untuk meletakkan peranti pintar, siap dengan slot pengecasan jenis USB.

Penulis amat hargai susunan butang fungsi yang mudah dioperasikan dan lengkap dengan bantuan pencahayaan yang  menampakkan skuter ini lebih mahal dan rasa premium.

Seperkara yang penulis rasakan Moda Sporter S ini sesuai dipertimbangkan ialah saiznya yang tidak terlalu lebar, sangat sesuai untuk kegunaan di dalam bandar yang sibuk, seperti Kuala Lumpur.

Terima kasih kepada cermin sisi yang diposisikan lebih tinggi, penulis juga tidak perlu risau kemungkinan tercalarkan kereta lain ketika sedang mencelah di tengah-tengah trafik

Ia juga boleh dilipat untuk memudahkan urusan ketika sedang memasuki kawasan parkir motosikal di pusat membeli belah yang rata-ratanya kecil dan sempit.

Tayar standard Timsun yang dibekalkan dari kilang itu memberikan cengkaman yang diperlukan baik di atas jalan lurus mahupun di laluan yang berliku.

Prestasi di atas jalan basah juga tidak mengecewakan, dan kami kira untuk tunggangan agresif di dalam litar juga tidak memberikan sebarang masalah.

 

5. Kekurangan

Ada beberapa perkara yang kami rasa boleh ditambah baik oleh pihak Moda untuk skuter Sporter S ini

Yang pertama ialah cermin sisi yang bergegar teruk walaupun pada kelajuan bawah 100 km/j yang menyukarkan kami untuk melihat kelibat kenderaan yang datang dari arah belakang.

Selain itu, sudut larasan cermin ini juga tidak terlalu besar.

Yang kedua, walaupun diberikan tempat pemijak kaki yang luas, ia tidak diseimbangkan dengan sudut tempat meletak kaki depan yang lebih selesa.

Ia dirasakan terlalu tegak, jadi agak sukar untuk mencapai kedudukan tunggangan yang lebih selesa terutama untuk mereka yang gemar melakukan tunggangan jarak jauh.

Yang ketiga, skuter ini memang boleh pergi dengan lebih laju, cuma pada kelajuan melebihi had lebuh raya kebangsaan penulis dapat rasakan tunggangan yang tidak stabil, disebabkan bar hendal yang rasa agak ringan.

 

Kesimpulan

Moda Sporter S merupakan sebuah skuter terpaling sporti yang boleh dibeli di pasaran pada ketika ini.

Dengan harga jualan cuma dari RM17,888, ia menawarkan satu pakej yang hampir sempurna untuk para peminat skuter bergaya dan pantas tanpa memberikan kesan besar kepada bajet bulanan.

Syabas kepada pihak Moda Malaysia kerana menghasilkan sebuah produk yang mampu membuatkan penulis tersenyum gembira.

 

Spesifikasi Moda Sporter S

Enjin: 244 cc silinder tunggal, sejukan cecair
Kuasa: 24.8 hp @ 8,500rpm dan 22.5 Nm @6,500 rpm
Suspensi: Fork hadapan jenis terbalik (USD), penyerap hentak berkembar dengan larasan pra-beban
Brek: Rotor berkembar 260 mm depan, rotor tunggal 240 mm belakang, ABS dua-saluran
Tangki bahan api: 13 liter
Ciri keselamatan: Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS)

Lima perkara anda perlu tahu pasal Jetour Dashing – Pandu Uji Ringkas

Tanggal 9 April 2025 menyaksikan sebuah lagi jenama automotif dari Tanah Besar China membuat kemunculan rasmi di pasaran Malaysia, iaitu Jetour.

Untuk makluman para pembaca, Jetour merupakan salah satu jenama yang bernaung di bawah kumpulan besar Chery, dengan fokus ditumpukan kepada model crossover dan SUV untuk disasarkan kepada keluarga kecil serta golongan pembeli muda.

Namun begitu, Jetour Malaysia dikendalikan oleh entiti yang berbeza, jadi jenama baharu ini secara tidak langsung turut memberikan cabaran kepada Chery dan juga sub-jenama premiumnya – Jaecoo.

Model pertama yang dilancarkan untuk pasaran Malaysia ialah Jetour Dashing, sebuah SUV segmen C dengan rupa paras yang cukup menarik serta memiliki tanda harga yang agak kompetitif.

Di Malaysia, Dashing, ataupun Dàshèng membawa maksud ‘monkey king‘ ini bakal bersaing dengan SUV segmen C yang terkenal seperti Honda CR-V, Proton X70 dan juga Toyota Corolla Cross.

Dengan harga jualan di bawah julat RM120,000, adakah Jetour Dashing ini mampu menjadi satu alternatif yang lebih baik?

Berikut merupakan ulasan awal kami berdasarkan pemanduan ringkas yang dibuat tempoh hari dari Ara Damansara menuju ke Sekinchan.

 

Luaran

Tatkala rata-rata model di dalam kategori SUV segmen C di sini mempunyai rekaan yang agak selamat namun membosankan, Jetour Dashing tiba untuk memecahkan tradisi tersebut dengan rekaan yang lebih ranggi dan menonjol.

Atau patutkah kami gelarkannya sebagai rojak?

Ini kerana Dashing menampilkan gabungan imej yang wujud daripada SUV mewah Lamborghini Urus, dengan lampu nyalaan siang DRL seakan mata adiwira Iron Man, profil sisi SUV coupe yang sporti dan belakang pula ada elemen bendera berkotak-kotak (chequered flag).

Pada kami, untuk melengkapkan lagi imej sporti SUV ini, elemen krom pada bahagian sisi boleh digelapkan, selain tidak menjadikan tip ekzos tersembunyi di sebalik diffuser yang garang itu.

Mungkin ada yang berpendapat, Jetour Dashing ada unsur elemen SUV jenama Porsche.

Pandangan anda itu ada benarnya.

Ini kerana reka bentuk Jetour Dashing ini merupakan hasil kerja tangan Hakan Saracoglu, seorang bekas pereka Porsche yang sebelum ini bertanggungjawab hasilkan model-model penting seperti 918 Spyder, Boxster dan Cayman.

Hasilnya, sebuah SUV segmen C dengan rekaan yang cukup mencuri tumpuan di atas jalan raya, dan nyata berbeza jika dibandingkan dengan model-model pesaing yang mempunyai imej SUV keluarga.

 

Dalaman

Susun atur papan pemuka Jetour Dashing ini merupakan tetapan tipikal yang wujud pada mana-mana SUV buatan China, terutama dari keluarga besar Chery.

Menurut Jetour, Dashing ini menggunakan pendekatan ‘wrap-around‘ yang diadaptasikan daripada reka bentuk rumah tradisional China, diikuti dengan elemen kereta mewah buatan Jerman turut menguasai bahagian tersebut, seperti yang terdapat pada roda stereng dan butang menghidupkan enjin.

Terdapat panel skrin memanjang yang menempatkan paparan kluster digital 10.25 inci dan skrin infohibur sebesar 10.25 inci, dan panel kawalan khusus untuk sistem pendingin hawa yang terletak di bawah corong tengah.

Untuk pemandu dan penumpang baris depan disediakan tempat duduk gaya bucket yang nampak sesuai dengan tema sporti yang cuba dibawakan.

Binaan kerusi depan ini mampu memegang erat badan manusia daripada tergelongsor ke tepi cuma rekaannya mungkin agak sempit terutama untuk mereka yang berjisim besar.

Satu pujian harus diberikan pada Dashing kerana menawarkan tempat duduk baris kedua yang cukup empuk dan selesa, dalam masa yang sama tidak menawarkan sudut sandaran yang terlalu menegak.

Walaupun daripada sudut luaran SUV coupe ini nampak kecil, namun masih ada ruang kepala yang cukup besar, serta struktur lantai rata untuk ruang kaki yang lebih luas.

Ternyata, duduk di belakang rasa lebih selesa dan memuaskan hati (dan perut yang kekenyangan) sewaktu perjalanan pulang ke Ara Damansara, dengan keadaan kabin yang senyap tanpa gangguan bunyi bising daripada luar.

Cuma anda perlu sedikit bersabar untuk menikmati tiupan angin sejuk daripada corong baris kedua yang agak sukar untuk ditetapkan sudut arah tiupan anginnya.

Untuk kemudahan penumpang, terdapat beberapa slot pengecasan jenis USB tersedia serta slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar 50W yang tersedia pada konsol tengah.

Di dalam kabin Dashing juga anda boleh merasai pengalaman menyimpan payung kecil pada ruang khas yang terdapat pada setiap panel pintu – ibarat macam kereta Rolls-Royce!

Berbalik semula kepada tempat duduk pemandu, kami dapati skrin kluster digital tersebut mudah untuk dibaca, namun dilengkapi dengan respons grafik yang agak perlahan.

Perkara ini anda boleh perasan sewaktu fasa pecutan, di mana ia dipaparkan dengan pergerakan jarum rpm yang tidak lancar, dan tidak selaras dengan ngauman bunyi enjin sewaktu pedal pendikit ditekan.

Selain itu, anda perlu mengakses pilihan mod pemanduan (Eco/Sport) daripada skrin tengah kerana tiada butang fungsi khas disediakan untuk itu.

 

Pemanduan tidak seagresif rupa

Jetour Dashing dijana dengan enjin empat silinder sebaris 1.5 liter turbo yang mampu menghasilkan kuasa 154 hp dan daya kilas 230 Nm. Ya, ia merupakan enjin yang sama digunakan pada SUV segmen B Chery Omoda 5.

Kuasa itu disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi klac berkembar enam-kelajuan.

Atas kertas memang nampak berkuasa, cuma di dalam dunia yang sebenar sukar untuk kami dapatkan respons yang mengujakan untuk menggerakkan SUV ini dengan lancar daripada pegun.

Malah dalam ujian pecutan Jetour Dashing ini sukar untuk menyaingi kehebatan prestasi yang ditunjukkan oleh SUV segmen B yang kerap menguasai lorong kanan lebuh raya.

Jadi, untuk siapa Jetour Dashing ini?

Bagi kami, Jetour Dashing dengan rupa paras seakan Urus ini lebih sesuai untuk dinikmati oleh mereka yang mahukan pemanduan lebih santai dan tidak terburu-buru untuk mengejar lampu isyarat bertukar merah. Ia tidak perlu dipandu laju pun untuk menarik tumpuan orang ramai.

Aspek pemberhentian juga tidak mengecewakan, cuma dari sudut pengendalian Dashing mungkin sekali akan mengecewakan sesetengah pihak yang mengharapkan pemanduan mengujakan daripada SUV yang nampak sporti ini.

Ini kerana talaan suspensi topang MacPherson dan Multilink pada Dashing ini lebih cenderung untuk membuatkan perjalanan yang lebih selesa sepanjang masa, dengan segala bentuk hentakan dan ketidakrataan jalan berjaya diserap tanpa menyebabkan gegaran ketara.

Senang cerita, ia tidak direka untuk pemanduan yang agresif.

Respons sistem stereng ringan dan mudah untuk dikawal, cuma ia kekurangan maklum balas dan input yang anda cuba dapatkan terutama ketika sedang melayan selekoh.

Apa yang kami suka tentang Jetour Dashing ini ialah tahap kebisingan, gegaran dan kekasaran (NVH) yang cukup baik, di mana bunyi bising daripada aliran angin dan ngauman enjin berjaya ditapis dengan baik untuk memastikan ruang kabin kekal senyap sepanjang perjalanan.

 

Ciri keselamatan boleh ditambah baik

Secara standard, Jetour Dashing dilengkapi dengan empat beg udara, sistem brek anti-kunci (ABS), Agihan Daya Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) serta Sistem Kawalan Cengkaman (TCS).

Beralih kepada varian Prime yang kami pandu uji tempoh hari, anda akan mendapat ciri ekstra termasuklah tambahan dua beg udara (kepada enam unit), serta ciri bantuan pemandu (ADAS) yang asas seperti amaran penukaran lorong, sistem pemantauan titik buta (BSM), amaran lintasan trafik belakang (RCTA) serta sistem kamera keliling.

Sayang sekali, varian Prime ini tidak dilengkapi dengan fungsi brek kecemasan autonomi (AEB) secara standard, satu kekurangan ketara untuk model baharu yang dijual pada tahun 2025.

 

Jetour Dashing: Untuk siapa?

Dalam pasaran yang sudah dibanjiri dengan bermacam-macam model SUV keluarga, kami berpendapat Jetour Dashing ini lebih sesuai untuk mereka yang mahukan sebuah SUV yang cukup bergaya pada harga yang lebih mampu milik.

Ia bukan sahaja mempunyai reka bentuk yang cukup ranggi, ada ruang kabin yang selesa untuk seisi keluarga, praktikal dan sarat dengan ciri-ciri yang moden.

Yang paling penting, dengan harga jualan RM116,800, anda mungkin akan berfikir dua tiga kali jika sebelum ini pernah terfikir untuk mendapatkan model pesaing yang lebih mahal harganya.

 

Spesifikasi Jetour Dashing 2025


Enjin: Empat silinder sebaris 1.5 liter turbo
Kuasa: 154 hp, 230 Nm
Transmisi: Klac berkembar enam-kelajuan
Pacuan: Roda depan
Suspensi: Topang MacPherson, tetapan Multilink belakang
Ruang kargo: 486 liter, atau sehingga 977 liter

 

Porsche Macan EV, sebuah Taycan yang lebih praktikal – Pandu uji ringkas

Porsche Macan sudah pun masuk generasi kedua apabila SUV kompak ini dilancarkan pada awal tahun 2024.

Suka ataupun tidak, sekiranya anda berminat untuk mendapatkan sebuah SUV aras mula daripada Porsche, anda hanya akan dihidangkan dengan barisan Macan berkuasa elektrik sahaja.

Ia merupakan satu langkah yang cukup berani daripada Porsche, memandangkan Macan itu sendiri sebelum ini merupakan model Porsche yang paling laris terjual, mengalahkan abangnya Cayenne di peringkat global.

Porsche Macan EV, adakah ia sebuah lagi EV yang sama seperti mana-mana EV yang menjalar di atas jalan raya? Atau ia masih lagi mempunyai identiti Porsche?

Baru-baru ini, kami dijemput oleh pihak Porsche Malaysia untuk merasai sendiri pengalaman pemanduan di dalam Macan EV, lebih tepat lagi varian Macan 4 yang mempunyai tanda harga RM445,000.

 

Spesifikasi

Porsche Macan 4 dijana dengan dua motor elektrik, menghasilkan 387 PS dan daya kilas 650 Nm untuk pecutan 0-100 km/j dalam tempoh 5.2 saat.

Kelajuan maksimum pula dihadkan kepada 220 km/j. Cukup pantas untuk sebuah EV.

Dengan pek bateri nickel manganese cobalt (NMC) berkapasiti 100 kWh, Macan 4 berupaya bergerak sejauh 613 km untuk sekali cas penuh.

Macan EV turut menyokong pengecasan AC 11 kW, atau DC sehingga 270 kW di mana pemilik boleh mengecas bateri SUV ini dalam tempoh 21 minit (10-80 peratus).

 

Luaran

Berbanding Macan generasi pertama, Macan EV membawakan dimensi yang lebih besar (+58 mm panjang, +11 mm lebar, +26 mm tinggi), diikuti dengan jarak antara roda yang lebih panjang (+86 mm).

Perubahan ini sedikit sebanyak menyumbang kepada penampilan yang lebih gagah, serta kabin yang lebih luas dan selesa (hal ini akan kami sentuh kemudian).

Bukan itu sahaja, rekaan luaran Macan EV ini kami boleh sifatkan sebagai sebuah Taycan yang lebih besar, dengan unit lampu nyalaan siang LED yang amat bergaya, garis bumbung yang sporti, diikuti dengan lampu belakang berbentuk bar LED melintang penuh.

Tidak seperti Taycan, urusan keluar masuk ke dalam ruang kabin Macan adalah lebih mudah, dibantu dengan bukaan pintu tanpa bingkai tingkap yang cukup besar.

 

Kabin

Jika luar macam Taycan, susun atur ruang kabin Macan EV juga tidak banyak jauh beza jika dibandingkan dengan sedan elektrik Porsche tersebut.

Untuk varian Macan 4 yang kami uji ini, ia dilengkapi dengan skrin kluster digital melengkung 12.6 inci, skrin tengah sebesar 10.9 inci dan tidak ketinggalan skrin paparan head-up dengan teknologi realiti terimbuh.

Apa yang kami suka pada kabin Macan EV ini ialah pengalaman pemanduan yang hampir sama didapati daripada sedan Taycan.

Roda stereng yang masih berbentuk bulat lengkap dengan tombol rotari penukaran mod pemanduan, tombol gear kecil bersebelahan dengan skrin tengah, serta butang kawalan iklim kabin berasingan yang terletak pada konsol tengah.

Bermakna, anda tidak lagi perlu menyelam dan menyelongkar menu pada skrin infohibur hanya semata-mata untuk menurunkan suhu atau melajukan tiupan angin sejuk.

Satu ciri unik wujud pada Porsche Macan EV ini ialah kehadiran jam analog digital yang bertenggek atas papan pemuka – perkara yang sudah tidak lagi dipandang oleh mana-mana pengeluar kereta mewah.

 

Praktikaliti

Seperti yang kami sebutkan tadi, praktikaliti merupakan sorotan utama pada Macan EV – itupun jika anda bandingkan dengan sedan Taycan.

Selain daripada urusan keluar masuk yang lebih mudah, tempat duduk yang disediakan juga cukup selesa dan memegang erat pemandu dan penumpang hadapan terutama saat jentera elektrik ini dikerah sedikit agresif.

Dimensi yang besar juga menyumbang kepada ruang kabin yang lebih besar dan selesa, di mana anda masih lagi mampu menikmati ruang kepala dan kaki yang lebih luas.

Cuma sayang sekali, penumpang belakang mungkin terpaksa duduk sedikit menegak.

Paling penting, Macan EV masih lagi mampu menyediakan ruang kargo sebesar 540 liter, atau sehingga 1,348 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

Cukup besar untuk memuatkan barangan sekiranya perlu membeli-belah di awal bulan.

Ketiadaan enjin pembakaran dalaman di hadapan menyediakan ruang frunk sebesar 84 liter – ada ruang ekstra untuk anda manfaatkan sekiranya ruang kargo di belakang sudah dipenuhi barangan.

 

Pemanduan

Macan 4 didatangkan dengan dua motor elektrik, bermakna ia hadir dengan sistem pacuan semua roda (AWD).

Dengan respons pendikit yang tepat dan pantas, kuasa 387 PS/650 Nm itu berjaya mengaburi pemandu bahawa mereka sebenarnya sedang mengendalikan sebuah SUV seberat 2 tan lebih.

Apa yang membuatkan Macan EV ini jauh lebih baik ialah aspek pengendalian yang lebih tajam dan jitu, menawarkan lebih banyak maklum balas dan berkomunikasi secara terus dengan pemandu, membuatkan pemanduan rasa lebih meyakinkan.

Pemanduan Macan EV ini banyak mengingatkan penulis akan pengalaman mengendalikan Taycan dan Taycan Cross suatu ketika dahulu.

Akhir sekali, sistem gantungan Macan 4 – walaupun tidak mempunyai suspensi udara adaptif macam Macan 4S dan Macan Turbo – akan tetapi masih lagi mampu menawarkan keseimbangan antara pengendalian yang sporti, dan keselesaan untuk kegunaan seharian.

Stabil di atas lebuh raya yang lurus, dan tidak membuatkan pemandu bersilat gelabah semasa berjumpa jalan berselekoh.

 

Ekstra: Pengalaman hilang kawalan di Sepang

Setelah selesai menikmati pemanduan merentas beberapa lebuh raya, kami dibawa pula ke Pusat Pengalaman Memandu (DEC) yang terletak betul-betul sebelah Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang.

Di sini, terdapat dua sesi yang disediakan, iaitu sesi slalom dan pengendalian berkelajuan tinggi, dan satu lagi sesi menguji kecekapan pemandu di plat gelincir hidraulik.

Untuk sebuah kenderaan berjenama Porsche, tidak sukar untuk kami mengendalikan SUV Macan EV ini di laluan slalom.

Maklum balas stereng yang tepat dan tajam, dibantu pula kecekapan pedal pendikit mengawal aliran kuasa dari bateri ke roda, serta keberkesanan sistem gantungan untuk memastikan SUV ini melekat dengan baik dengan olengan badan yang minima walaupun dipandu secara agresif.

Namun, pada sesi kedua inilah kali pertama kami merasai sendiri pengalaman hilang kawalan di dalam sebuah Porsche berharga bawah setengah juta.

Disinilah tempat untuk Porsche Macan EV membuktikan kecekapan sistem kawalan kestabilan ketika berdepan dengan situasi kehilangan cengkaman secara tiba-tiba.

Untuk cubaan kali pertama, penulis mampu untuk mengawal pergerakan SUV yang hilang kawalan ini secara tiba-tiba pada kelajuan yang rendah, namun gagal dalam cubaan kali kedua yang dibuat pada kelajuan yang lebih tinggi.

Kenapa gagal? Ini kerana Macan EV yang dikendalikan oleh penulis terlanggar ‘tembok penghadang’ yang diwakili oleh barisan air pancut.

Walaupun rasa tidak puas hati, ini merupakan satu pengalaman yang cukup berharga untuk diambil pengajaran.

Bagi mereka yang memandu secara berhemah seperti penulis, kebarangkalian untuk merasai pengalaman hilang kawalan semasa di atas jalan raya adalah hampir sifar.

Namun perkara tersebut tidak mustahil untuk berlaku terutama ketika berdepan dengan cuaca hujan lebat dan jalan yang agak basah.

Jadi, disinilah perlunya setiap pemandu untuk mempunyai ilmu dan kemahiran untuk mengendalikan kenderaan semasa berada di dalam situasi kecemasan.

 

Porsche Macan 4: sesuai untuk siapa?

Dalam empat varian utama Macan yang ditawarkan di Malaysia, kami berpendapat Macan 4 lebih sesuai untuk dipertimbangkan bagi mereka yang mahu mula berjinak-jinak dengan SUV jenama Porsche.

Walaupun hadir dengan tetapan dua motor elektrik, kuasa 387 PS/650 Nm itu tidak terlalu tinggi, masih lagi munasabah dan mudah untuk dikawal bagi sebuah kenderaan kegunaan harian.

Selain itu, sistem AWD yang dibekalkan standard itu bukan sahaja menyumbang kepada pengendalian dan kestabilan pada kelajuan tinggi, ia juga turut memastikan kadar cengkaman yang diperlukan oleh keempat-empat roda dalam apa jua keadaan cuaca dan permukaan jalan.

Dengan jarak gerak sejauh 613 km, dibantu dengan kaki kanan yang tidak terlalu berat, anda tidak perlu kerap berhenti untuk mengecas Macan 4 ini sekiranya perlu melakukan perjalanan melebihi dua marhalah.

Paling penting, untuk sebuah SUV elektrik Macan 4 ini masih lagi berupaya menawarkan elemen keseimbangan antara pemanduan yang dinamik dan sporti, dalam masa yang sama tidak mengorbankan aspek keselesaan dan praktikaliti untuk kegunaan seharian.

 

Spesifikasi Porsche Macan 4


Konfigurasi: Dua motor elektrik
Kuasa: 387 PS/650 Nm
Pecutan: 0-100 km/j dalam 5.2 saat
Kelajuan maksimum: 220 km/j
Pek bateri: NMC 100 kWh
Jarak pandu: 613 km
Pengecasan DC: 270 kW, 10-80 peratus 21 minit
Pengecasan AC: 11 kW, 0-100 peratus 10 jam
Harga: RM445,000

 

Jaecoo J7 PHEV pilihan bijak bagi menghadapi penyasaran subsidi RON95 – Pandu Uji

Ia bukan satu lagi rahsia bahawa Jaecoo Malaysia akan memperluaskan barisan modelnya dengan satu lagi model SUV iaitu J7 PHEV.

Model ini telah pun dipertotonkan kepada pihak media pada Oktober tahun lalu dan akan dilancarkan pada 28 Februari dengan harga anggaran sekitar RM170,000.

Walaupun secara rasminya J7 PHEV masih belum dilancarkan, kami sebenarnya telah pun berpeluang memandu ujinya pada Januari lalu.

Apa yang menarik, pandu uji tersebut menyaksikan penulis dan beberapa rakan media lain merentasi tiga negara iaitu Singapura, Malaysia dan Thailand berbekalkan satu tangki dan satu caj sahaja.

Ini tidak lain tidak bukan bagi membuktikan kemampuan Super Hybrid System Jaecoo dalam aspek kecekapan penggunaan bahan api.

Dalam erti kata lain, perjalanan ini akan menunjukkan berapa jauh J7 PHEV boleh dipandu tanpa perlu mengisi minyak dan mengecaj bateri.

Jadi, apakah itu Super Hybrid System? Untuk J7 PHEV, ia merangkumi enjin 1.5-liter empat silinder turbo yang digandingkan dengan transmisi hibrid (Dedicated Hybrid Transmission atau DHT) dan bateri berkapasiti 18.3 kWj.

Secara keseluruhannya, trenkuasa itu menghasilkan 347 hp dan 525 Nm, membolehkan J7 PHEV memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 8.5 saat.

Bagaimanapun, kelajuan bukanlah fokus utama SUV ini. Kelebihannya terletak pada penggunaan bahan api, di mana menurut Jaecoo, mampu mencapai bacaan serendah 5.99 liter bagi setiap 100 km.

Dengan tangki 60 liter dan pemanduan sifar emisi sejauh 106 km yang dibolehkan menerusi penggunaan bateri berkenaan, Jaecoo mendakwa J7 PHEV mampu mencapai jarak sejauh 1,300 km dengan satu tangki sahaja.

Atas kertas, angka itu memang nampak menakjubkan tetapi bolehkah SUV itu membuktikan kemampuannya dalam dunia sebenar?

Secara teorinya, penulis dengan yakin boleh katakan yang J7 PHEV boleh mencapai jarak yang didakwa itu namun seperti yang kita tahu, jarak dan penggunaan bahan api bergantung kepada pelbagai faktor seperti gaya pemanduan, trafik, cuaca, muatan dan pelbagai lagi.

Perjalanan yang mengambil masa tiga hari itu dilakukan dengan penuh berhemah, bermakna kereta dipandu mengikut had laju kebangsaan pada kebanyakan masa. Penulis juga sedaya Upaya mengelak daripada menekan pedal secara agresif bagi menjaga bacaan penggunaan bahan api.

Selain itu, bagi memaksimumkan jarak, penulis juga menggunakan brek janaan semula (regenerative braking) dengan tahap daya brek yang berbeza mengikut kondisi pemanduan.

Sebagai contoh, ketika menyusuri di jalan rata, daya brek ditetapkan pada tahap rendah bagi membolehkan kenderaan meluncur lebih lama. Di kawasan berbukit pula, daya brek ditetapkan lebih tinggi bagi membolehkan bateri dicas dengan lebih cepat.

Setibanya di destinasi akhir iaitu di Hatyai, komputer menunjukkan bacaan trip 1,051 km, dengan jarak berbaki 269 km untuk bahan api dan 21 km untuk bateri.

Jika ketiga-tiga angka tersebut dicampur, J7 PHEV secara teorinya boleh pergi sejauh 1,341 km tanpa perlu mengisi minyak dan mengecas bateri menggunakan kabel.

Angka ini mungkin sukar untuk dicapai dengan gaya pemanduan yang lebih realistik namun jika pemilik dapat merekodkan jarak sekitar 1,100 hingga 1,200 km, bagi penulis itu sebenarnya sudah cukup berbaloi.

Fikirkan, berapa banyak SUV lain dalam julat harga sama yang mampu penjimatan seperti itu? Bukan itu sahaja, dengan penyelarasan semula subsidi petrol yang dijangka dilaksanakan pada tahun ini, J7 PHEV dilihat sebagai pilihan yang bijak bagi pembeli dalam segmen ini.

Kami pandu uji Denza Z9 GT, super wagon China yang bakal tiba di Malaysia

Semasa pelancaran Denza D9 di Kuala Lumpur, Denza, yang diedarkan secara rasmi oleh BYD Malaysia, membuat kejutan apabila menggunakan sebuah Z9 GT untuk membawa pengurus besar BYD Asia-Pacific Auto Sales Division Liu Xueliang ke atas pentas.

Tidak cukup dengan itu, kereta itu turut mempamerkan salah satu kelebihannya dengan melakukan tank turn iaitu pusingan 360 darjah setempat. Bayangkan sebuah kereta drift melakukan aksi donut, cuma pada kelajuan yang jauh lebih perlahan, tanpa sebarang asap dan bunyi.

Adakah demonstrasi ringkas ini satu petanda yang Z9 GT akan memasuki pasaran Malaysia tidak lama lagi?

Apabila ditanya mengenai perkara itu, pengarah urusan BYD Malaysia iaitu Eagle Zhao berkata, “Tidak lama lagi, kami akan memperkenalkan lebih banyak model untuk Malaysia, termasuk Z9 GT.”

Kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa Denza serius tentang kehadirannya di Malaysia. Ini kerana, tidak seperti D9, Z9 GT masih belum mempunyai versi pemanduan kanan (RHD).

Dengan menyatakan bahawa model itu akan diperkenalkan di sini, Denza secara tidak langsung mengatakan yang ia sedia untuk membuat pelaburan yang signifikan untuk memasuki pasaran-pasaran RHD seperti Malaysia.

Namun adakah Z9 GT mampu menarik perhatian pembeli di Malaysia, lebih-lebih lagi dengan saingan sengit daripada jenama-jenama lain yang lebih terkemuka?

Sudah tentu, masih terlalu awal untuk meramalkan nasibnya di sini namun semasa lawatan ke Shenzhen, China lewat tahun lalu, kami berpeluang merasai sendiri kehebatan kereta tersebut.

Walaupun sesi pandu uji tersebut dilakukan di dalam kawasan yang agak kecil dan masa yang diberikan juga terhad, penulis boleh merumuskan yang Z9 GT memang sebuah kereta yang sangat mengujakan bukan sahaja dalam aspek prestasi tetapi juga dari segi reka bentuk dan ciri yang ditawarkan.

Seperti yang boleh dilihat, Z9 GT merupakan sebuah wagon/shooting brake dengan profil sisi yang kelihatan seperti dihasilkan menggunakan acuan yang sama dengan Porsche Panamera Sport Turismo.

Rekaan keseluruhannya mungkin tak segah kereta Jerman itu namun bagi mereka yang inginkan sebuah shooting brake bergaya tanpa perlu berbelanja besar, Z9 GT sudah cukup bagus.

Seperti yang dijangka, ruang dalaman kereta ini tidak lekang dengan kemewahan dan pelbagai kelengkapan canggih bagi memikat hati pembeli dalam segmen premium.

Perlu diingat yang model ini bukan sahaja direka untuk pasaran China, malah ia juga bakal dipasarkan di negara-negara Eropah, di mana ia akan bersaing dengan pengeluar-pengeluar legasi seperti BMW, Mercedes-Benz dan Audi. Maka, lebih banyak kelengkapan yang disumbat, lebih baik.

Antara ciri menarik termasuk upholsteri kulit Nappa, bumbung kaca panoramik, pencahayaan ambien, dua peti sejuk (satu di bawah perehat tangan hadapan, satu lagi tersembunyi di antara penyandar kerusi belakang), dan pintu automatik yang boleh dibuka dengan hanya menekan butang – tidak ubah seperti i7.

Sistem infohibur juga cukup mengagumkan. Selain panel instrumen digital untuk pemandu dan skrin sentuh tengah yang cukup besar, kereta ini juga didatangkan dengan paparan untuk penumpang hadapan.

Selain itu, terdapat juga sistem audio Devialet (syarikat teknologi audio Perancis) dengan 26 pembesar suara dan dua pengecas tanpa wayar pada konsol tengah.

Bagaimana pula dengan praktikaliti? Pemain golf pastinya menggemari Z9 GT kerana ruang butnya cukup besar untuk memuatkan dua buah beg golf jika kerusi belakang dibaringkan.

Memasukkan barang ke dalam ruang but juga mudah kerana kereta ini mempunyai pintu hatch yang memberikan bukaan yang luas.

Berbalik kepada sesi pandu uji yang disebutkan tadi, unit-unit yang disediakan untuk media adalah varian PHEV yang menampilkan enjin petrol 2.0-liter turbo yang bertindak sebagai penjana jntuk tiga motor elektrik – satu pada gandar hadapan, manakala dua lagi pada gandar belakang.

Gandingan ini menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 870 PS, membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.6 saat sahaja.

Juga sebahagian daripada sistem hibrid DM generasi kelima ini adalah bateri LFP Blade berkapasiti 38.5 kWj yang memberikan mod pemanduan elektrik dengan jarak sejauh 201 km (kitaran CLTC) dan jarak keseluruhan sejauh 1,100 km.

Ya, tidak dinafikan lagi Z9 GT memang boleh memecut seperti roket beroda namun ketika berhadapan dengan selekoh ketat, kereta ini tidaklah selincah yang diharapkan walaupun dilengkapi dengan kawalan stereng roda belakang dan sistem suspensi udara.

Faktor utama yang menyumbang kepada kelemahan ini tidak lain tidak bukan adalah saiz dan berat Z9 GT. Dengan ukuran panjang 5,180 mm, lebar 1,990 mm dan tapak roda 3,125 mm, kereta ini memang besar. Beratnya pula mencecah 2.9 tan, jadi tidak hairanlah ia bergelut dengan ujian slalom yang disediakan.

Walau bagaimanapun, untuk berlaku adil, tapak pandu uji pada hari itu agak kecil untuk sebuah kereta berkuasa tinggi seperti Z9 GT. Mungkin ujian di jalan raya dan litar lumba yang besar seperti Sepang dapat menyerlahkan karakter sebenarnya.

Untuk pengetahuan, selain PHEV, model ini juga boleh didapati dalam versi EV yang menampilkan tiga motor elektrik dan bateri 100 kWj. Versi ini mempunyai output keseluruhan mencecah 963 PS, boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.4 saat dan dipandu sejauh 630 km dengan satu cas penuh.

Versi mana yang akan dibawa masuk ke Malaysia masih belum diketahui namun apa yang pasti, kehadiran Z9 GT boleh membuatkan jenama-jenama mewah lain sedikit tergugat.

Tiga kekurangan wujud pada ruang kabin Kia Sportage 1.6T

Kia Sportage generasi baharu dilancarkan secara rasmi pada penghujung tahun lepas sebagai unit pemasangan tempatan (CKD), walaupun ia sebenarnya tiba agak lewat berbanding pasaran lain.

Dengan pakej harga yang cukup kompetitif, diikuti dengan spesifikasi yang cukup menarik, Kia Sportage mampu menjadi satu alternatif kepada pasaran yang didominasi oleh SUV buatan Jepun seperti Honda CR-V dan Toyota Corolla Cross.

Berdasarkan pengalaman pandu uji ringkas tempoh hari, penulis nyata berpuas hati dengan apa yang ditawarkan pada Kia Sportage.

Tidak semua kenderaan itu sempurna penawarannya, ada beberapa kelemahan kecil yang wujud pada SUV segmen C ini.

Namun bagi kami, ia merupakan satu perkara yang kecil, sekiranya anda mampu bertoleransi dengan kekurangan tersebut dan lebih mementingkan kepuasan pemanduan.

 

Tidak semua minat tombol rotari PRND

Varian yang kami pandu uji dilengkapi dengan enjin 1.6 liter turbo yang dipadankan dengan transmisi klac berkembar (DCT) dan fungsi e-shift.

Bermakna, ia tidak didatangkan dengan tombol gear yang biasa didapati pada mana-mana model SUV.

Manfaat penggunaan tombol rotari ini ialah ruang kokpit yang nampak lebih lapang, namun tidak semua orang sukakan ciri ini.

Secara peribadi, penulis lebih gemar tombol gear PRND fizikal, di mana ia lebih mudah untuk dikawal dan lebih sesuai dengan pergerakan otot yang kita sudah terbiasa.

Jika anda rasa varian 1.6T ini tidak menepati citarasa, dapatkan sahaja varian 2.0 yang masih lagi dilengkapi dengan tombol gear fizikal.

 

Butang fungsi kosong pada konsol tengah

Terletak bersebelahan dengan tombol rotari PRND itu tadi, anda boleh melihat ‘gugusan’ butang fungsi kosong yang wujud pada konsol tengah.

Sayang sekali apabila butang-butang fungsi ini tidak langsung diberikan fungsi seperti spesifikasi luar negara yang mendapat ciri seperti pemanas roda stereng, pemanas serta pengudaraan tempat duduk.

Nampak kosong dan rasa macam Sportage 1.6T ini seakan varian paling rendah pula.

 

Panel kawalan iklim mungkin sukar untuk digunakan

Satu lagi ciri menarik yang wujud pada Kia Sportage 1.6T ini ialah panel kawalan iklim dan sistem infohibur berasaskan sentuhan yang terletak di bawah corong pendingin hawa tengah.

Secara asasnya, pemandu tidak lagi perlu untuk menyelongkar menu-menu kawalan yang biasanya tertanam pada skrin infohibur.

Cuma, ia beroperasi menggunakan sistem sentuhan, dan ada kalanya ia sedikit sukar untuk dikawal, terutama apabila seseorang pemandu itu memiliki dimensi jari yang agak besar.

Toyota Vios, masih lagi berbaloi dibeli tahun 2025? – Pandu Uji

Pembeli di Malaysia yang mahukan sedan segmen B sangat bertuah, kerana kita dihidangkan dengan beberapa model menarik seperti Honda City, MG5, Nissan Almera, Proton Persona serta tidak ketinggalan Toyota Vios.

Ia merupakan satu segmen yang cukup tepat dan sesuai untuk mereka yang mahu menaik taraf kenderaan harian yang lebih besar setelah puas menggunakan hatchback bajet yang kecil.

Ada kabin yang selesa untuk seisi keluarga, ruang kargo yang cukup besar, serta bermacam-macam teknologi moden, seiring dengan perkembangan semasa.

Paling penting, kos cukai jalan saban tahun yang masih lagi berada di dalam julat kemampuan setiap pembeli.

Sedan Toyota Vios telah pun dilancarkan secara rasmi pada tahun 2023, tapi pada ketika itu mungkin ramai yang masih belum dapat menerima reka bentuk yang agak agresif itu.

Namun, Vios ternyata kian mendapat tempat di hati netizen, di mana untuk tahun 2024 ia menjadi salah satu daripada 10 model paling popular di Malaysia, hanya beza 1,900 unit sahaja di belakang Honda City.

Setelah dua tahun berlalu, adakah Vios masih lagi berbaloi untuk dimiliki untuk tahun 2025? Kalau anda tanya kami, jawapannya: Ya!

Ada lima perkara yang buatkan kami rasa Vios sesuai dipertimbangkan oleh anak muda.

 

1. Penampilan luar nampak lebih mahal

Jika dulu-dulu, Vios mempunyai penampilan sedan yang biasa-biasa sahaja. Malah ada satu generasi Vios itu dikaitkan dengan haiwan dugong, disebabkan rekaannya yang agak bulat.

Namun, Vios generasi baharu ini tampil lebih garang dan mengingatkan kita kepada sedan Toyota yang lebih besar seperti Corolla dan juga Camry.

Perasan tak, muka depan Vios ini terlebih awal membawakan pendekatan elemen rekaan ala ikan yu kepala tukul, sebelum Toyota mempopularkannya menerusi model Prius dan Crown?

Reka bentuk sedan fastback, rim 17 inci, diffuser, elemen aerodinamik serta padanan kit badan juga sedikit sebanyak menyumbang kepada rupa paras agresif sedan ini

Lebih penting, Vios tidak perlu lagi rasa rendah diri kerana ia kini boleh boleh duduk sebaris dengan dua sedan yang kami senaraikan itu tadi.

 

2. Lebih seronok dipandu

Vios bukan sekadar membawakan kulit luar baharu, ia kini menggunakan asas daripada platform serba baharu menerusi kerjasama dengan Daihatsu.

Platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA-B) yang dikongsi bersama model Perodua Alza/Toyota Veloz itu ternyata membawakan manfaat yang besar dari segi pengendalian dan keselesaan.

Pendek kata, Vios sekarang dah lebih sedap dipandu berbanding Vios terdahulu!

Penulis mencuba sendiri gandingan talaan stereng, suspensi, dan casis yang harmoni itu semasa pulang ke kampung halaman baru-baru ini.

Dinamik pemanduan yang lebih baik ini disumbangkan oleh respons stereng yang lebih tepat, serta menawarkan lebih banyak maklum balas dalam apa jua keadaan.

Amat mudah untuk menjangkakan pergerakan badan sedan ini terutama apabila dipandu sedikit agresif, ditambah pula dengan talaan suspensi yang agak bagus untuk memastikan kereta ini stabil di laluan berselekoh.

Ada kalanya, penulis rasa terlalu seronok meratah setiap selekoh yang wujud sebelum diingatkan semula oleh amaran bunyi sistem pengelakan keluar lorong (LDW) yang ada pada Vios.

Bagaimana pula dengan prestasi enjin?

Seperti yang anda maklum, Vios menggunakan enjin 1.5 liter berkuasa 104 hp dan 138 Nm – atas kertas nampak kurang berkuasa berbanding model pesaing.

Ya, kami akui masih wujud bunyi bising enjin yang masuk ke dalam ruang kabin apabila nadi tersebut dikerah, tapi ia hanyalah bersifat sekali sekala. Tapi kalau kaki kanan berat, itu cerita lain.

Kebanyakan masa, Vios tidak mempunyai masalah untuk mencapai kelajuan yang diinginkan, bahkan untuk naik ke kawasan pergunungan juga bukanlah satu masalah besar.

Ini kerana Vios sebenarnya telah ditala untuk penggunaan bahan api yang lebih ekonomi, di mana Toyota mendakwa ia mampu mencapai kadar penggunaan bahan api 5.2 liter/100 km.

Satu perkara yang berjaya meletakkan Vios satu tangga lebih baik berbanding sebuah pesaing jenama tempatan.

Pengalaman penulis pulang ke kampung halaman yang terletak di titik tengah Semenanjung tempoh hari nampaknya tidak memerlukan pengisian bahan api yang kerap.

 

3. Keselesaan nombor satu

Selain faktor pemanduan, apa yang membuatkan Vios rasa lebih mahal ialah persekitaran ruang kabin yang cukup senyap sepanjang perjalanan.

Talaan suspensi standard yang diberikan pada Vios bukan sahaja membuatkan ia sedap dipandu, akan tetapi cara ia beroperasi untuk memastikan segala kekasaran dan gegaran hasil sentuhan tayar dan permukaan jalan berada pada tahap yang minimum.

Hasilnya, ruang kabin yang selesa dan senyap, bahkan bunyi bising angin juga sukar untuk didengari pada kelajuan lebuh raya yang normal.

Satu kekurangan ketara Vios ialah tempat duduk larasan manual, baik untuk pemandu dan juga penumpang hadapan.

Cuma bagi kami, kelemahan ini boleh dimaafkan kerana dimensi kusyen yang sangat menyokong postur tubuh badan penumpang, terutama pada bahagian bawah peha.

Untuk mereka yang gemar melakukan perjalanan jauh, ia merupakan satu ciri yang sangat penting untuk memastikan keselesaan sepanjang pemanduan, jadi badan tidaklah rasa terlalu penat.

Rekaan ruang kabin Vios juga merupakan satu anjakan besar yang dibawakan oleh Toyota untuk membezakannya dengan Vios lama.

Penggunaan bahan dan kemasan warna yang nampak lebih mahal, serta susun atur papan pemuka yang lebih ringkas juga berjaya membuatkan Vios nampak lebih premium, walaupun pada hakikatnya ia banyak berkongsi komponen dengan model Daihatsu.

Seperkara yang penulis perasan, walaupun terdapat jurang panel (panel gap) pada papan pemuka, sukar untuk kami mengesan gegaran yang wujud tatkala sedan ini melepasi laluan yang tidak rata, menunjukkan kualiti pemasangan yang cukup baik dari kilang.

Cuma penulis berharap tombol kawalan pendingin hawa itu boleh dipertingkatkan penampilannya supaya lebih selari dengan imej premium papan pemuka yang cuba dibawakan.

Kualiti angin sejuk yang dihasilkan Vios ini bukanlah satu benda main-main, sememangnya sangat efektif untuk memastikan kabin kekal selesa melihatkan keadaan suhu Malaysia yang panas terik di siang hari.

 

4. Ciri moden pada Vios

Selari dengan perkembangan semasa, Vios juga tidak boleh lari daripada menampilkan beberapa ciri yang lebih canggih berbanding model pesaing.

Salah satu daripadanya ialah skrin kluster digital dengan beberapa pilihan paparan grafik yang boleh diubah. Kalau tak suka dengan paparan analog, boleh pilih paparan meter sekaan GR Corolla.

Vios juga ada dilengkapi dengan sistem kamera 360 darjah untuk menjadikannya lebih rasa mahal berbanding model pesaing.

Imej paparan yang terhasil juga cukup jelas, sangat membantu para pemilik untuk memastikan tubuh badan Vios yang cantik ini tidak dicalarkan oleh sebarang bendasing, terutama di kawasan sempit.

Akhir sekali, Vios dilengkapi dengan sistem brek parkir elektronik (EPB), lengkap dengan fungsi Auto Hold. Fungsi yang sangat membantu terutama ketika terperangkap dalam kesesakan trafik.

Ciri keselamatan Vios juga bukan calang-calang, ia ada sistem pra-pelanggaran (PCS) yang sangat efektif mengelakkan pelanggaran yang tidak disengajakan, kawalan jelajah adaptif (ACC), serta amaran pergerakan hadapan (FDA) untuk mengejutkan pemandu yang terleka di persimpangan lampu isyarat.

Ciri amaran keluar lorong (LDW) juga berfungsi dengan baik, di mana penulis amat suka dengan notifikasi seakan bunyi amaran yang juruterbang biasa dengar di kokpit kapal terbang.

Tidak ketinggalan, sistem pemantauan titik buta (BSM) serta amaran lintasan trafik belakang (RCTA) untuk memastikan pemanduan seharian kekal selamat sepanjang masa.

 

5. Kelemahan yang boleh dimaafkan

Seperti yang anda tahu, Vios juga mempunyai beberapa kelemahan, seperti ketiadaan tayar simpanan dan tempat duduk belakang yang tidak boleh dilipat.

Menurut Toyota, kebanyakan pengguna tidak menggunakan kedua-dua fungsi tersebut, jadi ia tidak ditawarkan pada Vios baharu.

Ketiadaan tayar simpanan membolehkan ruang simpanan tersembunyi yang lebih besar tersedia pada bahagian belakang.

Bagaimana pula dengan hal tempat duduk belakang itu tadi?

Dua tahun lepas, Ketua Jurutera Pembangunan Vios, Kamino Hideyuki mendedahkan ketiadaan mekanisme lipatan tempat duduk belakang telah digantikan dengan palang pendakap untuk menjadikan casis Vios baharu ini lebih tegar.

Secara keseluruhan, Vios ini lebih ringan 110 kg berbanding model terdahulu. Bak kata orang puteh: Weight reduction bro!

Bagi kami, dua kelemahan ini masih boleh dimaafkan, kerana manfaat pemanduan dan pengendalian yang jauh lebih baik wujud pada Vios ini berbanding model terdahulu.

Secara kesimpulannya, Toyota Vios merupakan sebuah sedan segmen B yang masih lagi berbaloi untuk dipertimbangkan dan dimiliki bagi tahun 2025, jika anda mempunyai bajet sekitar RM100 ribu dan mahu menaik taraf kepada kenderaan yang lebih besar dan praktikal.

Lebih penting, Vios kini sebuah kereta yang lebih seronok untuk dipandu!

 

Spesifikasi Toyota Vios

Enjin: empat silinder sebaris, 2NR-VE, 1.5 liter aspirasi semula jadi
Kuasa: 104 hp @ 6,000 rpm
Daya kilas: 138 Nm @ 4,200 rpm
Transmisi: D-CVT tujuh-kelajuan
Suspensi: Topang MacPherson/torsion beam
Harga: RM96,600

Kia Sportage 2025, lima perkara yang perlu anda tahu – Pandu Uji Ringkas

Beberapa hari sebelum sambutan perayaan Tahun Baru Cina, pihak Dinamijaya Motors selaku pengedar tunggal kenderaan jenama Kia menjemput para pengamal media automotif untuk menguji SUV segmen C yang baharu sahaja dilancarkan – Kia Sportage 2025.

Untuk makluman, pasaran kita boleh dikatakan agak lambat menerima kehadiran model Sportage ini, memandangkan generasi kelima Sportage telah diperkenalkan sejak tahun 2021 lagi di pasaran global.

Namun usah risau, kerana unit Sportage yang dilancarkan ini merupakan unit CKD (pemasangan tempatan) yang lahir dari kilang Inokom, Kulim, Kedah, bermakna ia datang dengan harga yang cukup kompetitif.

Kami diberikan peluang untuk memandu uji dua varian teratas, iaitu Sportage 1.6T 2WD High dan 1.6T AWD High.

Berikut merupakan input kami berdasarkan pemanduan singkat yang dibuat tempoh hari:

 

1. Rupa luaran yang lebih menonjol

Reka bentuk luaran Kia Sportage membawakan satu anjakan perubahan yang cukup besar berbanding generasi terdahulu.

Menggunakan pendekatan yang dinamakan sebagai Opposites United, Kia Sportage menampilkan muka hadapan yang agresif, dimulakan dengan struktur jeriji hidung harimau serta unit lampu nyalaan siang (DRL) LED berbentuk bumerang yang memisahkan jeriji dengan lampu utama.

Elemen bumerang itu turut dipadankan pada unit lampu belakang, namun dengan bukaan yang lebih kecil.

Profil sisi SUV ini dikemaskan dengan jalur krom memanjang yang menghiasi bahagian bawah perumah kaca, serta kemasan warna hitam pada setiap sudut gerbang roda.

Rekaan yang serba agresif ini mampu menjadi satu ‘plus point‘ buat para pemilik yang mahukan kelainan di atas jalan raya, dan mungkin sekali sesuai bagi mereka yang rasa jemu dengan kewujudan SUV buatan China yang ‘sepesen’ rupanya.

Apapun, sila tepuk dada dan tanya selera masing-masing terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

 

2. Rekaan kokpit berorientasikan pemandu

Penulis cukup suka dengan susun atur papan pemuka Kia Sportage serba baharu ini.

Cukup kemas dan paling penting rekaannya yang berorientasikan pemandu di mana papan skrin tengah dan panel kawalan di bahagian bawah corong pendingin hawa disudutkan ke arah pemandu.

Dengan postur dan kedudukan pemandu yang optimum, tiada sebarang masalah untuk mencapai komponen yang disebutkan itu tadi untuk mengubah tetapan semasa memandu.

Walaupun tiada butang kawalan fizikal untuk sistem pendingin hawa, panel berasaskan sentuhan itu amat mudah untuk digunakan, dan pemandu tidak perlu untuk menyelongkar tetapan yang tertanam di dalam skrin utama.

Menjadikan baris pertama nampak lebih lapang ialah penggunaan tombol rotari PRND di bahagian konsol tengah.

Selain itu, masih wujud butang-butang kawalan fizikal di bahagian tersebut untuk fungsi yang sangat diperlukan, seperti penukaran mod pemanduan, Auto Hold dan kamera keliling.

Untuk penggemar Apple CarPlay dan Android Auto, usah risau kerana ciri ini sememangnya wujud pada Kia Sportage.

 

3. Kabin yang selesa dan praktikal

Diposisikan sebagai SUV segmen C, Kia Sportage merupakan satu alternatif bagi mereka yang tidak menggemari SUV bersaiz besar seperti Kia Sorento.

Dengan ukuran saiz yang menghampiri dimensi sebuah Honda CR-V, nyata ruang bukanlah satu masalah besar buat Kia Sportage ini.

Paling penting, penumpang belakang boleh menikmati sudut sandar yang lebih besar julatnya, sama ada kedudukan yang lebih tegak atau sudut yang lebih selesa sepanjang perjalanan.

Satu perkara yang penulis suka pada Kia Sportage ini ialah kehadiran cangkuk besar pada struktur perehat kepala yang boleh digunakan untuk menggantung jaket, beg membeli belah atau tudung bawal.

Ruang kargo adalah sebesar 543 liter secara standard, dan boleh mencapai kapasiti sehingga 1,829 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

 

4. Pemanduan

Terus terang penulis cakap, pemanduan yang ditawarkan oleh Kia Sportage ini berjaya memenuhi apa yang dijangkakan.

Dengan respons stereng cukup tepat dan hidup, penulis tidak berdepan dengan masalah sepanjang mengendalikan SUV segmen C ini, baik di atas lebuh raya, Litar Antarabangsa Karak, serta jalan lama yang penuh dengan selekoh berliku.

Malah, sistem pembetulan putaran stereng juga beroperasi dengan cara yang lebih mesra pemandu, tidak terlalu agresif sehinggakan pemandu rasa jengkel seperti yang dirasakan pada sesetengah model pesaing.

Kia Sportage 1.6T ini mampu menjana kuasa setinggi 177 hp dan 265 Nm, dipadankan dengan kotak gear klac berkembar (DCT) tujuh nisbah kelajuan.

Bermula dengan unit 1.6T AWD, respons pecutan yang dirasakan sedikit kurang bertenaga berbanding dengan varian 2WD yang kami uji selepas makan tengah hari.

Namun, ia bukanlah satu masalah besar jika anda bukan tergolong di dalam kategori kaki tekan.

Ini kerana anda harus tahu kelebihan Kia Sportage yang seterusnya: ruang kabin yang senyap untuk kelajuan yang normal.

Dengan talaan suspensi yang cukup berkesan untuk pelbagai kualiti jalan raya di Malaysia ini, sukar juga untuk kami merasakan gegaran dan kekasaran yang ketara di dalam ruang kabin, melainkan jika anda memandunya dengan cara yang lebih agresif.

 

5. Harga

Kia Sportage 2025 untuk pasaran Malaysia dijual pada harga bermula dari RM149,781.78 untuk varian 2.0G, manakala unit yang kami pandu uji ini bermula dari RM179,599 untuk varian 1.6T 2WD, dan dari RM189,599 untuk varian AWD.

Apa pula beza antara varian 1.6T 2WD dan 1.6T AWD?

Tiga benda sahaja yang membezakan kedua-dua varian tersebut, iaitu sistem pacuan semua roda lengkap dengan kekunci pembeza, rel bumbung, dan sistem audio Harman Kardon lapan pembesar suara.

Jadi, tidak salah pun untuk anda memilih model 1.6T 2WD kerana ia juga turut dilengkapi dengan sistem keselamatan menyeluruh termasuklah enam beg udara, amaran pelanggaran titik buta (BCW), bantuan suluhan tinggi (HBA), sistem pemantauan titik buta (BVM), dan tidak ketinggalan kawalan jelajah pintar (SCC).

Lebih banyak info akan kami kongsikan pada artikel pandu uji yang lebih menyeluruh akan datang.

 

Spesifikasi Kia Sportage 2025

Enjin: Gamma II 1.6 liter turbo, empat silinder sebaris
Kuasa: 177 hp @ 5,500 rpm, 265 Nm @ 1,500 rpm
Transmisi: DCT tujuh kelajuan
Suspensi hadapan: Topang MacPherson
Suspensi belakang: Multi-Link
Rim: 18 inci

 

Beli Proton eMAS 7 jika anda tidak kisah tentang jarak – Pandu Uji

Pada September tahun lalu, penulis berpeluang memandu kembar kepada Proton eMAS 7 iaitu Geely Galaxy E5.

Sesi pandu uji tersebut tidak dibuat di litar ujian Proton Centre of Excellence (COE), sebaliknya ia dilakukan di jalan raya sekitar Puncak Alam untuk pengalaman yang lebih realistik.

Apa yang penulis katakan, sistem suspensi Galaxy E5 memang tidak sesuai untuk keadaan jalan raya di negara kita. Ia terlalu lembut dan mempunyai kecenderungan untuk melantun dan membuai di jalan-jalan beralun.

Talaan ini mungkin menjadi pilihan pelanggan di China namun untuk Malaysia, Proton perlu memanfaatkan kepakaran mereka bagi memastikan yang eMAS 7 sesuai untuk keadaan jalan negara kita yang lebih ‘mencabar’.

Jadi sebab itulah penulis agak teruja apabila dijemput untuk memandu uji eMAS 7 dari Shah Alam ke Melaka. Selain tidak sabar merasai sendiri sentuhan magis Proton, ini sebenarnya kali pertama penulis berpeluang memandu EV nasional pertama ini.

Reka bentuk luaran

Rasanya ramai yang sudah tahu yang penampilan luaran eMAS 7 tidak banyak berubah jika dibandingkan dengan Galaxy E5. Kedua-duanya berkongsi rekaan lampu depan dan belakang, lampu DRL berbentuk L, dan bampar yang sama.

Sudah tentu, bampar depan Proton menampilkan logo Proton eMAS (yang sebenarnya sedikit berbeza berbanding logo Proton), manakala tulisan ‘PROTON’ di bawah lampu belakang dan logo ‘eMAS 7’ pada tailgate mengukuhkan identiti EV itu pada bahagian belakang.

Penulis tidak sebarang masalah dengan ini kerana eMAS 7 kelihatan segak dan tegap di depan mata. Lampu depan yang langsing dan lampu belakang yang lebar membuatkan ia nampak lebih mahal daripada harga sebenarnya.

Ruang dalaman

Tidak mengejutkan yang susun atur bahagian dalaman eMAS 7 sangat mirip dengan Galaxy E5. Walau bagaimanapun, Proton memilih untuk menggunakan skema warna gelap berbanding warna putih seperti yang terdapat pada kembarnya.

Ya, warna cerah membuatkan ruang kabin terasa lebih lapang namun penggunaan warna gelap memberikan eMAS 7 mood yang lebih sofistikated. Bukan itu sahaja, warna ini juga lebih popular dalam kalangan pembeli di Malaysia memandangkan ia lebih mudah untuk dijaga.

Tetapi dari segi kualiti material, tidak ada perbezaan yang ketara. Upholsteri kulit yang membaluti sebahagian besar papan pemuka, kerusi dan stereng terasa begitu lembut pada sentuhan.

Cuma penulis agak kecewa yang perehat kaki pada kerusi penumpang hadapan tidak disertakan mungkin atas sebab pengurangan kos.

Kelengkapan

Namun selain itu, eMAS 7 dapat apa yang ditawarkan pada Galaxy E5. Ini termasuk skrin sentuh 15.4 inci, panel instrument 10.2 inci untuk pemandu dan sistem audio Wanos dengan 16 pembesar suara dari Flyme Sound.

Angka tersebut termasuk pembesar suara pada perehat kepala kerusi pemandu, yang berfungsi untuk menghalakan arahan dari sistem navigasi terus ke telinga pemandu.

Walau bagaimanapun, sistem Apple CarPlay dan Android Auto masih belum tersedia. Ia dijangka akan ditawarkan pada tahun ini menerusi kemas kini udara (OTA).

Tidak mengapa kerana navigasi terbina dalam eMAS 7 mudah digunakan, walaupun penampilan keseluruhannya masih boleh diperbaiki.

Bagi penulis, apa yang menarik mengenai sistem tersebut adalah ia boleh digunakan untuk mencari stesen pengecas yang berada berdekatan dengan anda.

Menurut Proton, sistem ini boleh mengesan lebih 1,700 titik pengecasan di seluruh negara menerusi kerjasama dengan pengendali titik pengecasan termasuk Gentari, JomCharge, chargEV, and DC Handal, Carput Zap dan ChargeSini.

Sistem ini sangat terperinci kerana ia akan memaparkan pelbagai informasi mengenai stesen pengecasan yang dipilih seperti pengendali, jenis, bilangan dan kapasiti pengecas yang tersedia, kadar dan pelbagai lagi.

Prestasi

Kedua-dua varian eMAS 7 iaitu Prime dan Premium didatangkan dengan motor elektrik tunggal pada gandar depan yang menjana 218 PS (160 kW) dan 320 Nm.

Perbezaan di antara kedua varian berkenaan terletak pada kapasiti bateri iaitu 49.52 kWj untuk Prime dan 60.22 Premium. Prime menawarkan jarak pandu WLTP sejauh 375 km manakala Premium pula 65 km lebih jauh.

Memandu dari Shah Alam ke Melaka, kerisauan jarak bukanlah satu masalah kerana jaraknya sekitar 160 km sahaja, tidak sampai separuh daripada jarak yang ditawarkan oleh varian Premium.

Namun untuk mengetahui sejauh mana kecekapan trenkuasa ‘12-dalam-1’ ini, penulis memandu dengan santai pada kelajuan sekitar 90 hingga 100 km/j. Setibanya di destinasi, penggunaan tenaga elektrik menunjukkan bacaan sekitar 10 hingga 11 kWj bagi setiap 100 km, bermakna penulis menggunakan kurang 30% tenaga bateri untuk perjalanan ini.

Pengendalian

Penglibatan Proton dalam projek eMAS 7/Galaxy E5 ini dapat dirasakan dengan jelas menerusi prestasi sistem suspensi eMAS 7 di dunia sebenar.

Perbezaan antara kedua model ini boleh dikatakan agak ketara, di mana eMAS 7 mendemonstrasikan ride and handling yang lebih mantap.

Peredam yang ditala semula membuatkan ia terasa lebih stabil dan tenang pada kelajuan tinggi namun pada masa yang sama, keselesaan pada kelajuan rendah juga dikekalkan.

Feel stereng boleh dikatakan agak baik untuk sebuah EV manakala kadar NVH juga patut dipuji kerana bunyi dari luar dihalang dengan baik. Bunyi dari tayar tidak ketara walaupun varian ini memakai rim 19 inci.

Konklusi

Penulis secara peribadi agak tertarik dengan eMAS 7. Pada harga dari RM109,800 hingga RM129,800, ia memberikan nilai untuk wang yang baik untuk mereka yang ingin menerokai dunia EV.

Tidak dinafikan, jarak gerak yang agak pendek agak merisaukan untuk mereka yang kerap melakukan perjalanan jauh namun jika anda bukan dari golongan ini, eMAS 7 wajar dipertimbangkan.

Spesifikasi Proton eMAS 7 Premium

Harga: RM129,800
Kuasa: 218 PS (160 kW)
Tork: 320 Nm
Bateri: 60.22 kWj
Jarak gerak: 410 km (WLTP)

MG4 XPower memang laju tetapi adakah ia pilihan terbaik? – Pandu Uji

MG4 XPower dilancarkan ke pasaran Malaysia hampir 12 bulan yang lalu sebagai kenderaan paling murah yang boleh membawa anda dari kelajuan 0 hingga 100 km/j dalam hanya 3.8 saat.

Anda boleh kata macam-macam tentang EV tetapi anda tidak boleh nafikan yang prestasi berkenaan sangat mengagumkan kerana 10 atau 15 tahun dahulu, prestasi seperti itu hanya boleh dicapai oleh kereta sport dan supercar yang bernilai ratusan malah jutaan ringgit.

Kini, terima kasih kepada kemajuan teknologi EV, anda boleh merasakan sensasi yang sama pada harga kurang dari RM160,000.

Sudah tentu, ada beberapa model EV lain yang boleh mencapai kelajuan 100 km/j lebih cepat seperti Volvo EX30 Ultra Twin Performance (3.6 saat) dan Smart #3 Brabus (3.7 saat) tetapi kedua-dua model ini berharga lebih RM200,000.

Namun adakah kelebihan MG4 XPower terletak pada kelajuan semata-mata? Bagaimana pula dengan aspek-aspek lain seperti reka bentuk, keselesaan, jarak gerak, teknologi dan sebagainya? Teruskan membaca.

Reka bentuk

MG4 adalah sebuah hatchback lima pintu dengan perkadaran yang agak unik. Pada mata penulis, ia nampak agak besar tetapi ia sebenarnya 3 mm lebih pendek berbanding BYD Dolphin yang comel itu. Jika dibandingkan dengan smart #1 pula, ia 17 mm lebih panjang namun ukuran tapak rodanya 45 mm lebih pendek.

Namun apa yang jelas, MG4 lebih rendah dan lebar berbanding kedua-dua model berkenaan, memberikannya stance yang lebih agresif dan kelebihan dari segi prestasi aerodinamik.

Penampilannya yang sporty diperkayakan lagi dengan elemen-elemen seperti bahagian depan yang tajam, spoiler bumbung berkembar dan pelindung angkup brek berwarna oren lengkap dengan tulisan ‘XPower’.

Cuma agak pelik kerana tidak ada bahagian lain yang menampilkan logo XPower kecuali angkup brek tersebut. Jika kereta ini dibuat oleh BMW atau Mercedes-Benz, anda pasti akan menjumpai logo M dan AMG di serata badan.

Ruang dalaman

Tidak seperti bahagian luarannya, reka bentuk ruang kabin MG4 lebih ringkas dan bersahaja. Mereka yang mengharapkan rekaan moden dan futuristik pasti akan kecewa kerana tiada satu elemen pun yang boleh dikatakan sebagai canggih.

Tetapi ini bukanlah sesuatu yang tidak bagus. Walaupun secara keseluruhannya ia tidak menonjol, rekaan yang ringkas seperti ini sebenarnya memudahkan peralihan dari kereta ICE ke EV.

Apa yang ada adalah apa yang anda perlu untuk pemanduan seharian – skrin sentuh dengan barisan butang fizikal di bawahnya, konsol tengah terapung yang menempatkan tombol gear dan pengecas tanpa wayar, butang kawalan pada bahagian kiri dan kanan stereng dan panel instrumen digital.

Seperti EV lain di pasaran, banyak benda perlu diakses menerusi skrin sentuh namun anda tidak perlu risau kerana stereng MG4 didatangkan dengan butang shortcut dengan logo bintang yang boleh ditetapkan untuk pelbagai fungsi seperti pendingin hawa, pemulihan tenaga dan mod pemanduan.

Apa yang penulis kurang gemar adalah penggunaan kemasan plastik keras pada papan pemuka dan panel pintu. Bukan itu sahaja, tombol gear tersebut juga terasa agak longgar namun ia jauh lebih baik dari perlu memilih gear menerusi skrin sentuh.

Praktikaliti dan keselesaan

Hatchback secara umumnya menawarkan ruang kabin yang agak terhad namun dengan MG4, anda tidak perlu risau jika anda membawa lebih daripada seorang penumpang kerana ruang kabin terasa agak luas dan lapang.

Ia juga mempunyai ruang storan yang cukup besar pada konsol tengah dan setiap pintu, manakala ruang butnya juga tidak terlalu kecil iaitu 363 liter. Kerusi belakang boleh dibaringkan rata jika but tidak cukup besar.

Bercakap tentang kerusi belakang, penulis mendapat ia agak selesa dan tidak terlalu tegak. Ruang kaki dan kepala dirasakan sudah mencukupi untuk mereka yang berbadan sederhana namun alangkah baiknya jika MG meletakkan corong pendingin hawa khusus untuk penumpang belakang.

Prestasi

Seperti yang dikatakan, MG4 memang cemerlang dari segi pecutan. Ini sesuatu yang dialu-alukan jika anda dicabar oleh kereta sebelah di hentian lampu isyarat namun sejujurnya, prestasi yang ‘gila’ ini boleh menjadi agak memenatkan.

Ini kerana kereta ini boleh memecut laju dengan cukup mudah, tanpa sebarang drama seperti kereta ICE. Di lebuh raya, ini bukanlah satu masalah namun di dalam bandar, pergerakan badan akibat inersia ketika memecut (dan membrek) lama kelamaan membuatkan penulis mudah penat.

Untuk mengatasi isu ini, penulis menggunakan mod ECO untuk mendapatkan pecutan yang lebih terkawal.

Mengenai jarak pula, varian XPower bukanlah pilihan terbaik jika jarak pandu menjadi keutamaan anda. Varian ini didatangkan dengan bateri 64 kWj yang menawarkan jarak WLTP sejauh 385 km dengan satu cas penuh.

Angka ini sebenarnya okay sahaja untuk pemanduan di kawasan bandar namun harus diingat yang jarak juga bergantung kepada gaya pemanduan dan faktor-faktor lain. Jika anda mempunyai kaki kanan yang berat, angka tersebut akan jatuh dengan dramatik.

Untuk lebih selamat, anda boleh dapatkan varian Lux Extended Range yang didatangkan dengan bateri 77 kWj yang menjanjikan jarak sejauh 520 km. Ini sepatutnya cukup untuk empat hingga lima hari, bergantung kepada penggunaan.


Konklusi

Secara ringkasnya, MG4 XPower menawarkan nilai wang terbaik bagi peminat EV yang mahukan prestasi semata-mata tanpa ingin berbelanja besar.

Namun secara peribadinya, penulis melihat varian Lux Extended Range sebagai pilihan yang lebih masuk akal secara keseluruhannya. Ia RM10,000 lebih murah, dan dengan pecutan 0-100 km/j dalam 6.1 saat, ia sebenarnya sudah cukup pantas untuk kebanyakan pemandu di luar sana. Dan dengan bateri yang lebih besar, jarak bukanlah sesuatu yang perlu dirisaukan.

Spesifikasi MG4 XPower

Harga: RM159,629
Kuasa: 435 PS (320 kW)
Tork: 600 Nm
Bateri: 64 kWj
Jarak gerak: 385 km (WLTP)

Moda Sporter S, ini ulasan dan pandangan awal kami – Tunggang Uji

Bulan ini sahaja, kita sudah dihidangkan dengan beberapa buah model skuter yang agak menarik untuk pasaran tempatan.

Salah satu daripadanya ialah Moda Sporter S, sebuah skuter yang membawakan penampilan yang diinspirasikan daripada superbike ternama.

Berharga RM17,888, Moda Sporter S ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 250 cc menghasilkan 24.8 hp dan 22.5 Nm.

Pertengahan bulan Januari yang lalu, kami telah dijemput oleh pihak Moda Malaysia untuk merasai sendiri tunggangan skuter maxi Moda Sporter S.

Laluan sepanjang lebih 30 km di sekitar Litar Antarabangsa Sepang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu menyediakan lokasi yang mencukupi untuk kami menilai sendiri prestasi skuter buatan anak tempatan.

Adakah ia berbaloi untuk dibeli dan dimiliki?

Dari sudut pandang pertama, Moda Sporter S sememangnya membawakan penampilan yang lebih sporti berbanding pesaing yang ada di pasaran, ditambah pula dengan elemen yang diinspirasikan daripada superbike idaman jenama Itali.

Lihat saja pada lampu hadapan berkembar LED, diikuti dengan brek cakera berkembar pada roda hadapan, liveri perlumbaan yang agresif, diikuti dengan bentuk ekor belakang yang nampak tajam itu.

Ia didatangkan dengan skrin paparan TFT 6.2 inci yang mudah untuk dibaca di bawah sinaran matahari yang terik, sementara pelana pula diberikan kusyen yang agak empuk.

Penghadang angin juga boleh dilaras ketinggiannya secara manual.

Memulakan perjalanan, enjin 250 cc silinder tunggal itu tidak memberikan sebarang masalah untuk menghamburkan kuasanya mengikut pulasan hendal di mana respons yang diberikan cukup baik terutama untuk geng pulas habis.

Posisi tunggangan juga cukup selesa, di mana ruang kaki yang disediakan agak luas, memudahkan penunggang melaraskan kedudukan kaki mengikut keperluan.

Ada beberapa rakan media mengadu balutan bahan pada pelana itu sedikit licin, namun penulis tidak berdepan dengan masalah tersebut, mungkin sekali fabrik seluar yang digunakan itu tidak mudah menyebabkan penunggang rasa tergelincir.

Selain tayar yang mencengkam, talaan suspensinya juga cukup baik untuk membolehkan kami menikmati tunggangan yang lebih agresif terutama di kawasan berselekoh.

Cuma, anda perlu bersabar sekiranya terpaksa menempuh laluan yang ada banyak lubang dan jalan yang tidak rata, disebabkan talaan suspensinya yang agak sporti itu.

Ada di kalangan rakan media melaporkan mereka berjaya mencapai kelajuan purata melebihi had laju kebangsaan, dan penulis sememangnya mengakui perkara tersebut.

Yang penulis risaukan ialah bar hendal yang dirasakan agak ringan dan tunggangan dirasakan tidak stabil apabila mencapai kelajuan tiga angka, walaupun skuter ini sebenarnya agak berat.

Pada kelajuan yang tinggi itu juga, cermin sisi dilihat bergegar dengan agak kuat, jadi sukar untuk kami yang pentingkan keselamatan ini untuk melihat kehadiran kenderaan dari arah belakang.

Satu perkara positif yang harus penulis tekankan ialah operasi sistem brek hadapan cakera berkembar yang cukup padu untuk memastikan skuter ini berhenti dengan selamat.

Selain itu, skuter ini didatangkan dengan ciri keselamatan seperti sistem brek anti-kunci (ABS) dua saluran dan kawalan cengkaman (TCS) secara standard.

Ulasan tunggang uji yang lebih mendalam akan kami kongsikan sekiranya diberikan peluang untuk membawa pulang skuter ini untuk tempoh masa yang lebih panjang.

 

Tiga benda kami kurang suka pada Hyundai Santa Fe Hybrid

Dilancarkan secara rasmi beberapa bulan lepas, nyata tidak ramai netizen yang perasan kita juga sebenarnya mempunyai sebuah alternatif SUV keluarga yang tidak kurang hebatnya, iaitu Hyundai Santa Fe Hybrid.

Kami telah pun diberikan peluang untuk memandu uji SUV hibrid ini pada penghujung tahun yang lepas, dan amat berpuas hati dengan pakej yang ditawarkan untuk para pengguna di Malaysia.

Cuma, terdapat beberapa perkara yang kurang digemari wujud pada Santa Fe Hybrid yang dilihat dapat mempengaruhi pemikiran pengguna untuk membuat keputusan memilikinya.

 

1. Penggayaan luaran yang terlalu berani untuk sesetengah pihak

Kebanyakan SUV keluarga yang wujud di dalam pasaran mempunyai pendekatan rekaan yang lebih selamat dan tidak terlalu menonjol.

Namun tidak bagi Santa Fe Hybrid, di mana versi facelift yang diperkenalkan ini mempunyai muka hadapan yang agak berani, dan mungkin sekali terlalu garang.

Kanak-kanak yang suka berimaginasi mungkin akan menganggap Santa Fe Hybrid ini sebagai sebuah ikan gergasi yang sedang menunggu masa untuk membaham mangsanya.

 

2. Posisi lampu membelok yang agak rendah di belakang

Penulis amat menggemari rekaan unit lampu belakang yang nampak lebih moden dan ringkas itu.

Cuma, adalah lebih baik sekiranya unit lampu membelok disekalikan sahaja fungsinya pada perumah lampu utama.

Kedudukannya yang agak rendah itu mungkin membuatkan sesetengah pengguna jalan raya tidak perasan niat pemandu untuk menukar lorong, walaupun lampu itu sudah dinyalakan selama beberapa saat.

Ini sangat berbeza dengan apa yang dapat diperhatikan dari sudut hadapan di mana lampu membelok seakan grafik tukul itu boleh dilihat dengan terang dan jelas.

 

3. Rekaan ruang kabin yang nampak berusia

Kebanyakan pengeluar masa kini sudah mula menggunakan pendekatan rekaan yang lebih ringkas dan minimalis untuk ruang kabin.

Namun tidak bagi Hyundai Santa Fe Hybrid ini, di mana anda dapat merasai rekaannya yang sudah agak ketinggalan beberapa tahun berbanding model pesaing.

Perkara ini adalah disebabkan oleh Hyundai Santa Fe Hybrid ini masih lagi bergantung kepada satu generasi di belakang, iaitu generasi keempat yang mula diperkenalkan di pasaran global pada tahun 2018.

Sedangkan beberapa pasaran di dunia, terutama ASEAN seperti Indonesia, Filipina dan Singapura sudah pun mula menawarkan Hyundai Santa Fe generasi kelima yang jauh lebih sofistikated dan nampak lebih moden berbanding Santa Fe Hybrid yang ada di Malaysia.

Tiga kelemahan yang wujud pada Jaecoo J7

Jaecoo J7 sudah dilancarkan kira-kira enam bulan yang lepas, dan kita masih lagi boleh melihat kelibat SUV ini di atas jalan raya, membuktikan popularitinya di kalangan rakyat Malaysia.

Bukan sekadar rupa paras yang dipertaruhkan, Jaecoo J7 turut menawarkan ciri dan fungsi yang praktikal dan sesuai untuk kegunaan seharian.

Di pasaran Malaysia, kita boleh mendapatkan J7 dengan varian pacuan dua roda (2WD) atau varian pacuan semua roda (AWD) dengan harga jualan bermula dari RM138,800.

Tidak banyak perbezaan ketara yang wujud antara kedua-dua model tersebut, malah varian 2WD dan AWD dilengkapi dengan ciri keselamatan yang hampir menyeluruh untuk menjamin pemanduan yang lebih selamat.

Nampak macam sebuah SUV yang sempurna, namun Jaecoo J7 ada kelemahan yang tersendiri.

 

1. Rupa ala Range Rover – bukan untuk semua orang

Seperti yang anda lihat, Jaecoo J7 menawarkan pakej rupa paras yang unik, dan nampak premium untuk sebuah SUV bawah julat RM150,000.

Namun begitu, rupa paras tersebut adalah satu perkara yang subjektif, di mana ada pihak yang mungkin tidak begitu menggemari rupanya seakan sebuah Range Rover itu.

Seperkara yang kami harapkan ialah struktur unit lampu belakang yang boleh dibesarkan supaya rekaan keseluruhan bahagian tersebut tidak nampak terlalu kosong.

 

2. Terlalu bergantung kepada skrin

Seperti mana-mana kereta moden, Jaecoo J7 juga tidak dapat lari daripada mengikuti trend menyumbat segala macam fungsi ke dalam skrin infohibur.

Ia bukanlah satu perkara yang negatif, sekiranya sesebuah pengeluar itu tahu untuk meletakkan fungsi yang sepatutnya untuk memudahkan urusan pemandu terutama ketika memandu seorang diri.

Ya, arahan berbentuk suara juga turut tersedia, namun tidak semua gemar melontarkan arahan berbentuk suara untuk fungsi yang selama ini boleh diubah sendiri – seperti menetapkan suhu dan kelajuan tiupan pendingin hawa.

Mujur juga terdapat butang khas AC di konsol tengah untuk memudahkan pemandu meneroka menu kawalan pendingin hawa yang tersorok di dalam skrin tengah itu.

 

3. Sistem keselamatan yang boleh ditambah baik

Secara keseluruhan, penulis amat berpuas hati dengan kecekapan sistem keselamatan yang wujud pada Jaecoo J7.

Cuma, mungkin lebih baik sekiranya sistem pengelakan keluar lorong (dan pembetulan stereng) itu ditala dengan lebih baik supaya pemandu tidak rasa ‘terputus hubungan’ dengan jalan.

Ia bukanlah satu perkara yang baik sekiranya pemandu tidak mendapat respons yang sepatutnya daripada jalan raya gara-gara sistem pembetulan stereng yang masuk campur selama beberapa saat sebelum menyerahkan semula kawalan kepada pemandu.

Ulasan penuh pandu uji Jaecoo J7 anda boleh baca pada pautan di bawah:

Cubaan seminggu bercinta dengan Jaecoo J7 – Pandu Uji

 

Tiga kelemahan Chery Tiggo 7 Pro

Dilancarkan ke pasaran Malaysia pada Jun tahun lalu, Chery Tiggo 7 Pro dilihat mempunyai tanggungjawab yang agak besar memperkukuhkan kehadiran jenama Chery di negara ini.

Sebagai pendatang baharu, Tiggo 7 Pro berdepan cabaran besar kerana pesaing-pesaing terdekatnya seperti Honda CR-V dan Proton X70 diakui memang cukup hebat namun setelah memandu ujinya, penulis mendapati SUV dari China ini terbukti mampu memberikan saingan sengit dalam segmennya.

Walaupun begitu, seperti kenderaan-kenderaan lain dalam pasaran, ia juga mempunyai kelemahan. Bagi penulis, kelemahan-kelemahan ini agak kecil namun masih mampu memberikan impak dalam pengalaman pemilikan.

Enjin berkuasa namun perlu lebih diperhalusi

Percaya atau tidak, Tiggo 7 Pro lebih berkuasa berbanding CR-V dan X70 dengan kuasa mencecah 197 PS dan 290 Nm yang dibekalkan oleh enjin turbo 1.6-liter.

Dengan transmisi DCT tujuh kelajuan yang memacu roda hadapan, SUV ini dikatakan boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 8.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 205 km/j.

Di lebuh raya, gabungan enjin dan transmisi ini mampu beraksi dengan cemerlang dengan tindak balas pendikit yang pantas dan penukaran gear yang lancar namun apabila memasuki jalan-jalan sibuk di dalam kawasan bandar, penulis mendapati trenkuasa ini kurang lancar dan ada kalanya ia tersengguk-sengguk sedikit ketika hendak mula bergerak.

Sistem suspensi agak lembut

Sistem suspensi Tiggo 7 Pro boleh dikatakan tipikal untuk sebuah kereta jenama China. Ia lembut dan selesa, manakala serapan hentakannya juga memuaskan, membuatkan penulis lebih yakin ketika melalui jalan kurang rata.

Namun begitu, kelembutan sistem suspensinya membuatkan Tiggo 7 Pro terasa sedikit goyah jika dipandu terlalu laju. Ia masih boleh mengendalikan selekoh dengan baik cuma jika terlalu dipaksa, ia akan mula ‘bergelut’.

Jelas sekali yang peredam SUV ini paling sesuai untuk pemanduan santai namun penulis berpendapat yang ia memerlukan talaan semula bagi menghadapi keadaan jalan raya Malaysia yang tidak menentu dengan lebih baik.

Rupa kurang ‘oomph’ berbanding pesaing

Jangan salah sangka kerana bagi penulis, Tiggo 7 Pro sebenarnya kelihatan segak dan bergaya cuma kalau diletak bersebelahan dengan CR-V dan X70, penulis yakin ia akan ‘tenggelam’ memandangkan penampilannya agak konvensional.

Kemasan berlian ala Mercedes-Benz pada gril dan lampu belakang melintang penuh adalah antara sentuhan menarik yang yang menaikkan seri kereta ini namun tidak dinafikan yang angkup brek berwarna merah kelihatan agak janggal untuk sebuah kereta keluarga.

Bukan itu sahaja, kemasan biru pada bampar juga kelihatan seperti penambahan yang dibuat pada saat akhir. Warna biru juga sering digunakan oleh pengeluar kenderaan untuk model-model EV, hibrid atau PHEV, jadi ia kelihatan agak pelik pada kereta ICE tulen seperti Tiggo 7 Pro.

Cubaan seminggu bercinta dengan Jaecoo J7 – Pandu Uji

Dengan pakej harga dan rupa paras yang sangat mencuri tumpuan (ada pihak yang berpendapat macam Range Rover), Jaecoo J7 berjaya mencipta fenomena yang tersendiri di pasaran Malaysia.

Model Jaecoo J7 ini mula dipertontonkan pada awal tahun 2024, sebelum ia dilancarkan secara rasmi beberapa bulan berikutnya dengan membawakan tanda harga bermula dari RM138,800 untuk versi pacuan dua roda, dan RM148,800 untuk versi AWD.

Semenjak pelancaran rasmi, kita sendiri dapat melihat kelibat model SUV ini di mana-mana, cukup popular bak pisang goreng panas sehinggakan model jenama tempatan tenggelam seketika.

Mungkin ramai yang tertarik dengan rupa luaran yang cukup elegan itu, tidak kurang juga yang mahukan keupayaan pemanduan off-road yang ditawarkan pada Jaecoo J7.

Untuk menyiasat apakah punca sebenar populariti SUV ini, kami berjaya mendapatkan unit ujian Jaecoo J7 untuk dipandu uji selama satu minggu, dan ini merupakan pendapat kami:

 

1. Harga bawah RM150,000 untuk sebuah ‘Range Rover’, siapa taknak?

Kami akui setelah melihat Jaecoo J7 dengan lebih dekat, ia sememangnya mempunyai aura yang membuatkan ramai menganggapnya sebagai model Range Rover versi ‘marhaen’.

Terutama apabila dilihat dari sudut sisi.

Dengan pakej rupa yang nampak mewah, Jaecoo J7 dilihat dapat memenuhi idaman sesetengah pihak yang mahukan sebuah SUV dengan imej yang premium tanpa mengorbankan akaun bank.

 

2. Jaecoo J7 versi 2WD, cukup ke?

Kami diberikan unit Jaecoo J7 varian pacuan dua roda (2WD) hadapan untuk dipandu uji.

Dua perbezaan yang ketara antara model ini dengan model varian AWD sudah pasti sistem pacuan dan mod pemanduan yang disertakan.

Jaecoo J7 2WD hanya disediakan tiga mod pemanduan sahaja, iaitu Eco, Normal dan Sport, berbanding sehingga tujuh mod pemanduan untuk varian AWD (tambahan Sand, Mud, Off-road & Snow).

Namun begitu, keupayaan kedua-dua varian masih lagi sama, seperti jarak kelegaan tanah setinggi 200 mm serta boleh meredah air sedalam 600 mm.

Bagi mereka yang tidak mementingkan sangat keupayaan pemanduan off-road, versi 2WD sudah lebih daripada memadai.

Kami sendiri berpeluang untuk menguji kemampuan SUV ini meredah banjir kilat di kawasan Klang, dan ia masih lagi mampu bergerak dengan cemerlang melintasi beberapa buah kereta yang tidak berani yang sedang menunggu air surut.

Talaan suspensi Jaecoo J7 juga tidak mengecewakan apabila sekali sekala pemandu membawa SUV ini meredah jalan kampung yang tidak bertar, di mana ia masih lagi boleh dikawal dengan baik dan dalam masa yang sama mengekalkan aspek keselesaan yang tersendiri.

 

3. Enjin bertenaga

Menggerakkan SUV ini ialah nadi empat silinder sebaris 1.6 liter turbo menghasilkan kuasa setinggi 194 hp dan daya kilas 290 Nm.

Dengan transmisi DCT tujuh-kelajuan Getrag, Jaecoo J7 boleh memecut sepantas 9.2 saat dari 0-100 km/j.

Dari segi pemanduan, Jaecoo J7 tidak memberikan masalah besar untuk meluncur laju dan dalam masa yang sama menawarkan pemanduan yang stabil dan selesa pada kelajuan yang tinggi.

Cuma, secara lalainya Jaecoo J7 akan bermula dengan mod pemanduan Eco setiap kali punat pandu mula ditekan, dan anda harus menukarkannya kepada mod Normal untuk pemanduan mula yang lebih lancar.

Ini kerana di dalam mod Eco, kami dapat rasakan pemanduan permulaan yang tidak begitu enak, dan ada kalanya rasa macam ia seakan malas untuk pergi.

 

4. Kabin minimalis

Pendekatan yang ringkas pada bahagian luar turut diteruskan untuk rekaan ruang kabin yang lebih minimalis namun dalam masa yang sama membawakan atmosfera yang ‘rasa’ premium.

Skrin tengah bersaiz 13.2 inci itu menempatkan segala macam fungsi dan tetapan termasuklah kawalan pendingin hawa dan segala macam fungsi keselamatan yang boleh diubah.

Berita baiknya, untuk menaikkan atau menurunkan suhu kabin anda hanya perlu menekan butang yang terdapat pada konsol tengah untuk membuka menu kawalan pendingin hawa, tanpa perlu tercari-cari menu tersebut terutama setelah menu Apple CarPlay/Android Auto terpapar.

Walaupun tempat duduk hadapan tidak ditawarkan dengan fungsi larasan yang lebih menyeluruh, tapi kami amat hargai kerana ia menyediakan dimensi kusyen yang mampu menyokong bahagian bawah kaki.

Jadi, sepanjang perjalanan kami tidak rasa terlalu penat.

Menemani sepanjang pemanduan ialah alunan bunyi yang cukup sedap dan mengasyikkan memasuki gegendang telinga yang terhasil daripada lapan unit pembesar suara buatan Sony.

Ada beberapa perkara lagi yang kami suka, terutama skrin kluster digital yang masih mempunyai pilihan paparan grafik meter analog, skrin paparan head-up yang jelas dan mudah untuk dibaca, serta pemilihan kemasan upholsteri yang ada rasa premium.

Untuk tempat duduk belakang pula disediakan dua larasan sudut sandaran.

5. Pemanduan

Selain daripada rupa paras yang cukup hensem itu, Jaecoo J7 sebenarnya amat seronok untuk dipandu.

Bukan sahaja disebabkan ia mampu menarik perhatian umum, akan tetapi aspek kawalan pengendalian dan keselesaan yang ditawarkan.

Tetapan suspensi jenis topang MacPherson di hadapan dan tetapan Multi-Link di belakang sedikit sebanyak menyumbang kepada pengendalian yang baik di laluan yang berselekoh, dibantu dengan respons stereng yang cukup rasa dan perisa.

Lebih penting, aspek NVH (kebisingan, gegaran dan kekasaran) dirasakan pada tahap yang minimum, membuatkan penumpang di sebelah boleh lelap dengan tenang tanpa gangguan yang ketara.

Dari sudut pandang pemandu, cermin hadapan Jaecoo J7 ini menawarkan medan penglihatan yang luas, dibantu dengan cermin sisi yang lebih praktikal untuk sebuah SUV bersaiz besar ini.

Jadi kebanyakan masa, penulis lebih gemar bergantung sepenuhnya kepada ciri fizikal ini, dan hanya menggunakan paparan kamera keliling untuk memastikan tiada sebarang objek di sekeliling kenderaan semasa memposisikan kereta di dalam kotak parkir.

 

6. Praktikaliti

Selain daripada kabin yang menawarkan ruang kaki dan kepala yang cukup luas untuk penumpang hadapan dan belakang, Jaecoo J7 menyediakan ruang kargo yang cukup besar.

Ruang sebesar 412 liter itu sudah cukup memadai untuk memuatkan apa jua barangan keperluan, dan boleh dibesarkan sehingga 1,349 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

Tidak cukup dengan itu, Jaecoo J7 juga masih lagi mempunyai ruang untuk memuatkan tayar simpanan saiz penuh!

 

7. Ciri keselamatan menyeluruh

Dari segi keselamatan pula, Jaecoo J7 tidak lokek dengan bermacam fungsi termasuklah sistem brek kecemasan autonomi, amaran pelanggaran hadapan, amaran keluar lorong, pengelakan keluar lorong, sistem amaran pergerakan kenderaan hadapan, serta kawalan jelajah adaptif.

Terdapat juga amaran pelanggaran belakang, amaran lintasan trafik belakang, sistem pemantauan titik buta, serta tidak ketinggalan sistem pemantauan keliling dengan sudut sehingga 540 darjah.

Untuk memastikan pemanduan anda sentiasa selamat, Jaecoo J7 dilengkapi dengan peringatan had kelajuan, serta sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS) yang sangat berguna itu.

Secara kesimpulannya, Jaecoo J7 boleh menjadi satu alternatif kenderaan pemanduan seharian jika anda sudah bosan dengan penawaran SUV yang ada di pasaran, dan mahukan sebuah kereta dengan imej premium yang boleh menarik perhatian ramai umat.

Harganya juga tidaklah begitu keras sehingga mampu membuatkan poket anda rasa kosong setiap bulan.

Tidak salah rasanya untuk berubah fikiran dan memandu pulang model ini, apatah lagi dengan pakej rupa dan spesifikasi lengkap yang ditawarkan untuk pasaran kita.

 

Spesifikasi Jaecoo J7 2WD (RM138,800)
Enjin: Empat silinder sebaris 1.6 liter turbo
Kuasa: 194 hp, 290 Nm
Transmisi: klac berkembar automatik, tujuh-kelajuan
Pacuan: Roda hadapan
Pecutan: 9.2 saat (0-100 km/j)

Hyundai Santa Fe Hybrid, pilihan SUV keluarga ideal yang kerap dilupakan – Pandu Uji

Sebagai seorang ketua keluarga yang mahu mencari sebuah kereta/SUV yang selesa dan sarat dengan bermacam kelengkapan moden, sudah pasti beberapa model buatan Jepun dan China sudah tersenarai untuk dipertimbangkan.

Selain daripada SUV daripada jenama Jepun yang cukup terkenal dengan tahap kebolehpercayaan yang baik, kita juga kini mempunyai pilihan SUV keluarga buatan China yang jauh lebih murah dan menawarkan spesifikasi keselamatan yang lebih moden.

Namun, mungkin ramai yang terlupa kita juga sebenarnya mempunyai sebuah lagi model SUV keluarga yang datang daripada jenama negara Korea Selatan – Hyundai Santa Fe Hybrid.

Diperkenalkan secara rasmi (dan senyap) pada bulan September tahun lepas, Hyundai Santa Fe Hybrid versi facelift boleh diposisikan sebagai satu alternatif untuk mereka yang mahukan kelainan dan lari daripada kebiasaan pilihan pengguna di Malaysia.

Dengan harga jualan RM215,800, adakah Hyundai Santa Fe Hybrid ini jauh lebih baik berbanding model pesaing? Berikut merupakan ulasan pemanduan ringkas kami setelah memandunya untuk tempoh yang singkat:

 

1. Facelift – bukan sekadar perubahan rupa paras

Untuk makluman, Santa Fe Hybrid ‘baru’ yang dilancarkan beberapa bulan lepas bukanlah sebuah model generasi baharu.

Ia berstatus model facelift, dengan rupa hadapan yang telah dikemaskini dengan struktur jeriji yang lebih lebar, serta unit lampu LED seakan grafik tukul besi yang sinonim dengan model Volvo yang mampu membuatkan banyak kepala tertoleh setelah melihat kelibat model ini di atas jalan raya.

Di bahagian belakang, unit lampu LED diberikan nafas baharu dengan corak geometri yang lebih elegan, diikuti dengan kehadiran bar LED melintang yang menghubungkan kedua-dua perumah lampu itu tadi.

Ya, Santa Fe ini merupakan sebuah model facelift, namun perubahan besar sebenarnya tersembunyi di sebalik rupa paras yang elegan itu, di mana ia menggunakan platform serba baharu yang telah dipertingkatkan aspek keselamatan, pengendalian, penggunaan bahan api, serta NVH yang jauh lebih baik.

Sangat jarang ya untuk sesebuah model facelift hadir dengan platform baharu sepenuhnya.

 

2. Kelengkapan ruang kabin

Salah satu perkara penting yang amat diperlukan untuk sebuah kereta keluarga yang selesa ialah ruang kabin yang luas dan selesa.

Santa Fe Hybrid ini mampu memenuhi keperluan dengan penawaran tempat duduk yang selesa untuk baris kedua dan ketiga, serta ruang kargo yang boleh dimaksimumkan kapasitinya untuk pelbagai jenis kegunaan.

Ciri yang paling kami suka ialah tempat duduk baris ketiga yang boleh dilipat dengan hanya menekan butang fungsi yang disediakan, serta kehadiran corong pendingin hawa berasingan untuk memastikan penumpang baris belakang kekal selesa sepanjang perjalanan.

Bukan itu sahaja, terdapat juga kemudahan port pengecasan USB serta soket kuasa yang boleh digunakan untuk mengecas perkakasan elektronik serta peranti pintar.

Untuk pemandu pula, Santa Fe Hybrid menyediakan skrin kluster digital dengan pilihan paparan grafik meter analog yang mudah untuk dibaca, serta skrin infohibur sebesar lapan inci yang lengkap dengan sokongan Apple CarPlay/Android Auto tanpa wayar.

Konsol tengah pula telah ditinggikan supaya ia boleh berfungsi sebagai tempat rehat tangan yang lebih selesa selain menyediakan ruang barangan tersembunyi di bahagian kaki.

Selain itu, penggunaan butang PRND yang lebih ringkas bagi menggantikan tombol penukaran gear transmisi menjadikan ruang kokpit nampak lebih lapang.

Gugusan butang fungsi bersaiz besar pula memudahkan urusan untuk mengubah tetapan seperti sistem pendingin hawa, mod pemanduan, atau sekadar memastikan penumpang hadapan tidur dengan lebih selesa dengan adanya fungsi pemanas dan pengudaraan terbina untuk tempat duduk.

Ya, susun atur kabin Santa Fe tidaklah seminimalis kereta-kereta moden yang lebih muda usianya, namun ia tidak membuatkan kami untuk merungut dengan lebih panjang terutama ketika sedang mencari atau mengubah fungsi yang diinginkan.

 

3. Enjin hibrid yang sangat jimat minyak

Santa Fe Hybrid yang kami pandu uji ini dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris Smartstream G1.6 T-GDI menghasilkan 180 PS @ 5,500 rpm dan daya kilas 265 Nm @ 1,500-4,400 rpm.

Enjin ini dipadankan dengan motor elektrik berkuasa 60 PS dan 264 Nm, menjadikan kuasa keseluruhan mencecah 230 PS dan 350 Nm.

Bukanlah SUV yang paling berkuasa macam kereta sports, akan tetapi ia sudah cukup baik untuk menggerakkan badannya yang agak besar ini.

Dari segi pemanduan, Santa Fe Hybrid menawarkan pecutan awal yang cukup bertenaga untuk memalukan kereta acah sports di sebelah, dan dalam masa yang sama turut memberikan pulangan bacaan penggunaan bahan api yang cukup jimat.

Kami tidak sempat untuk menghabiskan satu tangki penuh 67 liter RON95 Santa Fe Hybrid ini disebabkan oleh kekangan masa yang terlalu singkat, namun menurut Hyundai SUV ini boleh bergerak sejauh 1,000 km sebelum perlu membuat pengisian semula.

Pemanduan singkat kami hampir mencecah jarak 300 km, tapi jarum tolok minyak hanya turun sedikit sahaja.

 

4. Pemanduan dan keselesaan

Salah satu kelebihan yang wujud pada Santa Fe Hybrid ialah keupayaan untuk bergerak di dalam mod pemanduan elektrik pada kelajuan yang rendah, dan untuk jumlah jarak yang agak jauh juga sebenarnya.

Ini merupakan salah satu faktor di mana SUV ini sangat menjimatkan bahan api, di mana kebanyakan masa di dalam bandar hanya motor elektrik sahaja yang bekerja dan sekali sekala enjin 1.6 liter turbo itu beroperasi hanya untuk memastikan bateri 1.49 kWh itu mempunyai tenaga yang mencukupi.

Selain itu, di dalam mod EV Santa Fe Hybrid ini tidak bergerak dalam keadaan senyap sepenuhnya, di mana ia menghasilkan satu bunyi amaran yang futuristik untuk memberitahu pejalan kaki tentang kewujudannya di atas jalan raya.

Apa yang kami boleh puji pada SUV hibrid ini ialah aspek pemanduan dan pengendalian yang jauh lebih baik berbanding SUV buatan China.

Kenapa kerap kami tekankan tentang talaan sistem stereng dan suspensi yang baik? Semuanya ini akan memberikan kesan kepada keselesaan pemandu dan juga penumpang.

Dengan sistem stereng yang cukup responsif dan tidak terlalu palsu operasinya, pemandu tidak akan rasa terlalu penat setelah menempuh jarak perjalanan yang jauh.

Talaan suspensi yang sedikit keras menjadikan pengendalian di selekoh lebih meyakinkan, namun dalam masa yang sama ia masih lagi bekerja dengan baik untuk ‘menapis’ segala kekasaran yang wujud di jalan raya Malaysia yang tercinta ini. Hasilnya, perjalanan yang cukup selesa tanpa mengira apa jua kualiti jalan yang ditempuh.

Yang paling ketara ialah aspek NVH, di mana sukar untuk kami rasakan sebarang kekasaran, gegaran serta bunyi bising yang wujud di dalam ruang kabin.

Walaupun enjin turbo itu beroperasi sekali sekala terutama ketika kaki kanan menekan rapat ke lantai, bunyi enjin tersebut tidaklah ketara memasuki ruang kabin. Penukaran antara operasi enjin dan motor elektrik juga sangat lancar, dan ada kalanya sukar untuk kami mengesannya.

 

5. Ciri keselamatan

Secara standard, Hyundai Santa Fe Hybrid dilengkapi dengan sistem bantuan keselamatan termaju (ADAS) Hyundai SmartSense Tahap 2, menawarkan sokongan pemanduan semi-autonomi untuk memastikan pemanduan yang lebih selamat dan meyakinkan.

Ciri unik yang kami suka pada Hyundai Santa Fe Hybrid ini sudah pasti paparan informasi titik buta (BVM), di mana paparan titik buta sebelah kiri atau kanan akan dipaparkan pada skrin kluster digital untuk membantu membuat penukaran lorong dengan selamat.

Apa yang kami hargai sangat tentang fungsi ini ialah ia hanya memberikan paparan informasi yang diperlukan oleh pemandu untuk mengesan kehadiran objek dari arah belakang dan bukannya pandangan perspektif mata burung yang sangat tidak membantu.

Satu lagi ciri penting yang wujud untuk pengguna yang berkeluarga ialah Rear Occupant Alert untuk memastikan anda tidak terlupa anak-anak yang kecil duduk di belakang sewaktu hendak meninggalkan kenderaan di tempat parkir, terutama di bawah keadaan cuaca yang panas terik.

 

6. Harga yang mungkin di luar bajet

Biarpun hadir dengan bermacam-macam kelebihan berbanding model pesaing, satu kelemahan ketara yang ada pada Santa Fe Hybrid ini ialah harga jualannya yang mungkin di luar kemampuan sesetengah pihak.

Dengan harga RM215,800, tidak ramai yang fikir ia satu pembelian yang kena dengan bajet semasa.

Bahkan dengan harga yang lebih murah, anda sebenarnya boleh mendapatkan model SUV tiga baris tempat duduk bukan hibrid seperti Mazda CX-8 atau Chery Tiggo 8 Pro, ataupun SUV hibrid ringan seperti Proton X90.

Untuk mereka yang mempunyai ahli keluarga yang kecil, masih lagi wujud pilihan SUV hibrid dengan konfigurasi lima tempat duduk seperti Toyota Corolla Cross HEV, Haval H6 HEV ataupun Honda CR-V e:HEV.

Namun untuk mereka yang berkeupayaan dan mahukan kelainan, Hyundai Santa Fe Hybrid ini masih lagi mampu menjadi satu pembelian yang boleh buatkan anda tersenyum, dan dihargai oleh seisi keluarga.

 

Spesifikasi Hyundai Santa Fe Hybrid
Enjin: Smartstream G1.6 T-GDI
Kuasa: 180 PS @ 5,500 rpm, 265 Nm @ 1,500-4,400 rpm
Motor elektrik: 60 PS, 264 Nm
Kuasa keseluruhan: 230 PS, 350 Nm
Transmisi: Automatik 6-kelajuan

Peugeot 408: Kenapa varian Premium lebih baik berbanding GT

Peugeot 408 dilancarkan ke pasaran Malaysia pada April tahun lalu dengan tiga pilihan varian iaitu Allure, Premium dan GT, masing-masing dijual pada harga RM146,055, RM166,055 dan RM196,055.

Ketiga-tiga varian dikuasakan oleh enjin PureTech 1.6-liter empat silinder turbo yang menghasilkan 218 PS dan 300 Nm. Enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan yang memacu roda hadapan.

Sudah tentu, apa yang membezakan antara ketiga-tiga varian ini adalah senarai kelengkapan. Dalam artikel ini, kita akan lihat perbandingan antara Premium dan GT, dan kenapa Premium lebih baik berbanding GT.

1. Ia lebih mampu milik

Tidak kira apa yang anda kata, RM196,055 untuk sebuah kereta segmen C memang tidak masuk akal. Di sini, varian Premium nampak seperti sebuah pelaburan yang lebih bijak dan wajar.

Ya, dengan varian GT, anda mendapat banyak kelengkapan tambahan seperti lampu Matrix LED, rim 20 inci, upholsteri kulit Nappa, fungsi urutan dan memori untuk kerusi pemandu, sistem audio Focal 10 pembesar suara dan banyak lagi, namun bagi penulis, kelengkapan yang disertakan pada Premium sudah memadai dan mampu memenuhi keperluan pembeli di dalam segmen ini.

2. Ia lebih murah untuk diselenggara

Semua varian 408 dikuasakan oleh enjin yang sama namun dengan membeli varian Premium, anda mungkin membantu menyelamatkan akaun bank anda pada masa depan kerana ia didatangkan dengan rim berukuran 18 inci dan bukannya 20 inci seperti GT.

Sudah tentu, tayar bukanlah sesuatu yang perlu ditukar setahun sekali namun perbezaan harga antara tayar 18 dan 20 inci agak besar, dan boleh ini boleh dilihat sebagai satu penjimatan yang berbaloi dalam tempoh jangka masa panjang. Lagi pun, rim Premium nampak jauh lebih cantik rim GT.

3. Ia lebih praktikal

Satu lagi kelebihan varian Premium berbanding GT adalah ruang butnya yang boleh dibesarkan dari 536 liter kepada 1,611 liter (berbanding 1,583 liter pada GT), memandangkan ia tidak mempunyai subwoofer.

Bukan itu sahaja, ia juga didatangkan dengan tayar ganti space saver berbanding kit pembaikan tayar yang disertakan pada GT.

Sekarang anda boleh lihat yang varian tertinggi tidak semestinya bermakna ia pilihan terbaik. Apa-apa pun, pilihan terletak di tangan anda.

Tiga kelemahan yang ada pada Nissan Kicks e-Power

Baru-baru ini di Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2024, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) menandakan kebangkitan semulanya menerusi pelancaran Nissan Kicks e-Power.

Kicks e-Power untuk pasaran Malaysia akan diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand. Ini bermakna kita akan mendapat model generasi pertama versi facelift yang sebenarnya telah dilancarkan di negara itu empat tahun lalu.

Walaupun ia bukan produk paling segar dalam pasaran, Kicks menawarkan sesuatu yang baharu iaitu trenkuasa e-Power. Trenkuasa ini mempunyai enjin pembakaran dalaman namun tidak seperti hibrid konvensional, ia bertindak sebagai penjana sahaja.

Tayar dipacu 100% oleh motor elektrik pada setiap masa, bermakna anda dapat menikmati pemanduan yang boleh dikatakan hampir sama seperti EV tanpa perlu risau tentang pengecasan.

Ini memang menarik dan sudah tentu dapat membantu meningkatkan kecekapakan bahan api namun semasa pandu uji media baru-baru ini, penulis mendapati mempunyai tiga kekurangan.

Reka bentuk luaran berusia

Seperti yang dikatakan, Kicks e-Power sebenarnya produk yang sudah agak berusia. Ini boleh dilihat menerusi reka bentuk luarannya yang sudah jelas agak berusia jika dibandingkan dengan pesaing-pesaing terdekatnya.

Jangan salah sangka, penampilannya bukan tidak menarik tetapi ia tidak mempunyai sebarang elemen yang boleh membuatkannya kelihatan lebih menonjol di bilik pameran.

Namun seperti yang anda sedia maklum, penampilan, reka bentuk dan hal-hal yang sewaktu dengannya adalah subjektif. Tidak semua mahukan kereta yang terlampau flashy – ada yang lebih gemar tampil lebih kasual dan bersahaja.

Ruang dalaman yang kurang mengujakan

Ruang dalaman Kicks tampil kemas dan ringkas tetapi seperti bahagian luarannya, ia sudah mula menampakkan usianya.

Ini kerana susun aturnya boleh dikatakan 95% hampir sama dengan ruang kabin Almera cuma Kicks mempunyai tombol gear yang nampak lebih canggih tetapi terasa agak janggal digunakan.

Selain itu, penggunaan kemasan plastik keras pada papan pemuka dan panel pintu sedikit sebanyak mencacatkan seri kereta ini. Ruang penumpang belakang juga dirasakan agak sempit, walaupun ukuran jarak rodanya 5 mm lebih panjang berbanding HR-V.

Ruang but agak besar tetapi…

Kicks e-Power mempunyai ruang but yang boleh tahan besar dengan keluasan 423 liter. Cuma sayangnya ia tidak didatangkan dengan tayar simpanan. Sebaliknya, anda akan mendapat kit pembaikan tayar.

Adakah keputusan untuk tidak menyertakan tayar simpanan dibuat atas dasar kos atau teknikal? Tidak mustahil jika ia disebabkan oleh faktor kos kerana pasaran kereta di Malaysia secara umumnya agak sensitif kepada harga.

Faktor teknikal juga masuk akal kerana trenkuasa hibrid seperti e-Power melibatkan penggunaan lebih banyak komponen dan mungkin ada di antara komponen berkenaan yang perlu diletakkan di bawah lantai but.

Chery Tiggo 7 Pro mesra poket tetapi cukup lengkap – Pandu Uji

Tiggo 7 Pro merupakan model keempat yang dilancarkan oleh Chery Malaysia selepas Omoda 5, Tiggo 8 Pro dan Omoda E5.

Seperti tiga model yang hadir sebelumnya, Tiggo 7 Pro dilihat mempunyai peranan besar dalam usaha Chery untuk memperkukuhkan kehadiran jenamanya di negara ini buat kali kedua.

Ini kerana ia bersaing dalam segmen yang cukup sengit iaitu SUV segmen C, bersama-sama dengan jenama-jenama yang lebih kukuh seperti Proton dengan X70 dan Honda dengan CR-V yang cukup popular.

Sebagai pendatang baharu, Tiggo 7 Pro berdepan cabaran besar kerana pesaing-pesaing terdekatnya diakui memang hebat-hebat belaka namun penulis mendapati SUV dari China ini terbukti mampu memberikan saingan sengit dalam segmennya.

Maksud penulis, dengan harga bawah RM130,000, Tiggo 7 Pro menawarkan nilai hebat terutamanya dari segi kelengkapan, prestasi dan keselamatan. Ia adalah alternatif yang cukup berbaloi bagi mereka yang tidak mahu berbelanja terlalu tinggi.

Penampilan Tiggo 7 Pro tidaklah terlalu menonjol jika dibandingkan dengan X70 2025 atau CR-V tetapi ia masih kelihatan cukup bergaya dengan imej matang dan segak yang sesuai untuk golongan profesional.

Seperti yang dikatakan, model ini tidak flashy tetapi ia mampu menarik perhatian dengan perincian seperti kemasan berlian ala Mercedes-Benz pada gril, lampu belakang melintang penuh dan kemasan berwarna biru pada bampar hadapan.

Ia memakai rim aloi berukuran 18 inci dengan rekaan yang cantik. Terselindung di sebaliknya adalah angkup brek berwarna merah – sesuatu yang agak janggal untuk SUV keluarga seperti ini namun mereka yang berjiwa sporty mungkin menyukainya.

Dari segi saiz, ia mempunyai ukuran panjang 4,513 mm, lebar 1,862 mm dan tinggi 1,696 mm. Ini menjadikannya lebih pendek berbanding X70 dan CR-V tetapi lebih tinggi berbanding kedua-dua model tersebut.

Sementara itu, dengan ukuran 2,670 mm, tapak rodanya sama panjang dengan tapak roda X70 tetapi 30 mm lebih pendek berbanding tapak roda CR-V.

Walaupun lebih kecil daripada pesaingnya, ruang kabin Tiggo 7 Pro dirasakan cukup besar dan luas untuk lima sekeluarga. Gabungan bahan yang digunakan pula tidak rasa murah dan membuatkan tanda harganya nampak cukup berbaloi.

Anda akan menemui upholsteri kulit (bukan tulen) membaluti sebahagian besar papan pemuka, tempat duduk dan stereng, serta sedikit trim kayu dan perincian aluminium dan hitam berkilat.

Apa yang menarik, papan pemukanya juga dihiasi dengan kemasan gentian karbon palsu, sekali gus melengkapkan imej sporty yang dicetuskan oleh angkup brek merah tadi.

Dari segi kelengkapan, boleh dikatakan pembeli mendapat segalanya yang sepatutnya ada untuk kenderaan dalam pasaran ini.

Sebagai contoh, sistem infohibur dan semua maklumat penting kenderaan boleh diakses menerusi paparan besar berukuran 24.6 inci. Ia sebenarnya merangkumi dua paparan berasingan, masing-masing sebesar 12.3 inci.

Turut disertakan adalah Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, sistem audio Sony dengan lapan pembesar suara, pengecas tanpa wayar 50W dan pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna.

Sementara itu, ciri-ciri seperti sistem pendingin hawa dua zon, pelarasan kuasa enam hala untuk pemandu dan empat hala untuk penumpang hadapan, bumbung panoramik dan Keyless Entry dengan Walk-Away Auto Lock memberikan keselesaan dan kemudahan kepada pemandu dan penumpang.

Jangan terpedaya dengan ukuran badannya yang agak kecil kerana Tiggo 7 Pro cukup luas untuk dijadikan sebagai kereta keluarga.

Tempat duduk belakang cukup besar, menawarkan sokongan peha yang mencukup dan tidak terlalu tegak. Bentuk badan konvensionalnya juga bermakna ruang kepala belakang luas dan sesuai untuk penumpang yang tinggi.

Ruang butnya, walaupun lebih kecil daripada but X70 dan CR-V dengan kapasiti 475 liter, sebenarnya masih cukup besar dan luas. Jika anda perlukan ruang yang lebih besar, lipat kerusi belakang dan anda akan mendapat ruang sebesar 1,672 liter.

Untuk sistem keselamatan pula, anda tidak perlu risau kerana Chery melengkapkan SUV ini dengan pelbagai ciri aktif dan pasif seperti Autonomous Emergency Braking, Multi Collision Brake, Blind Spot Detection, Traffic Jam Assist, Adaptive Cruise Control, Lane Change Assist dan pelbagai lagi.

Jika ini tidak mencukupi, ia juga didatangkan dengan tujuh beg udara serta sistem kamera 540 darjah lengkap dengan penanda bagi memudahkan lagi pemandu mengemudi di kawasan-kawasan sempit.

Biarpun berstatus kereta China, tiada soal dari segi kualiti kerana paparan daripada kamera cukup terang dan tajam, mengalahkan sesetengah SUV lain yang lebih mahal.

Reka bentuknya cukup segak, manakala kelengkapan yang disertakan lebih daripada mencukupi, tetapi bagaimanakah prestasi Tiggo 7 Pro di jalan raya?

Buka bonet dan anda tidak akan nampak apa-apa kerana enjin turbo 1.6-liter dan semua komponen berkaitan disembunyikan dengan baik oleh penutup plastik yang besar.

Enjin empat silinder itu menghasilkan 197 PS dan 290 Nm, lebih tinggi berbanding apa yang ditawarkan oleh enjin-enjin tiga silinder Proton dan Honda pada X70 dan CR-V.

Dengan transmisi DCT tujuh kelajuan yang memacu roda hadapan, SUV ini dikatakan boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 8.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 205 km/j.

Tidak dinafikan, gabungan enjin dan transmisi itu memberikan Tiggo 7 Pro kuasa pecutan yang agak kuat yang menjadikannya begitu seronok dipandu di lebuh raya yang terbentang luas.

Walau bagaimanapun, apabila memasuki jalan-jalan sibuk di dalam kawasan bandar, penulis mendapati trenkuasa ini kurang lancar dan ada kalanya ia tersengguk-sengguk sedikit ketika hendak mula bergerak.

Chery berkata trenkuasa ini mampu memberikan bacaan penggunaan bahan api sekitar 7 l/100 km (14.2 km/l). Penulis mendapat bacaan sekitar 8.9 l/100 km (11.2 km/l) dengan pemanduan bercampur lebuh raya dan bandar. Boleh tahan juga untuk gaya pemanduan yang sedikit agresif.

Sistem suspensinya boleh dikatakan tipikal untuk sebuah kereta jenama China. Ia lembut dan selesa, manakala serapan hentakannya juga memuaskan, membuatkan penulis lebih yakin ketika melalui jalan kurang rata.

Namun begitu, kelembutan sistem suspensinya membuatkan Tiggo 7 Pro terasa sedikit goyah jika dipandu terlalu laju. Ia masih boleh mengendalikan selekoh dengan baik cuma jika terlalu dipaksa, ia akan mula bergelut.

Dalam erti kata lain, penulis merasakan yang Tiggo 7 Pro lebih sesuai untuk pemanduan santai dan bersahaja, walaupun memiliki enjin yang berkuasa dan elemen-elemen reka bentuk agresif seperti angkup brek merah dan trim gentian karbon.

Konklusi

Jika anda sedang mencari sebuah SUV segmen C yang serba boleh, Chery Tiggo 7 Pro mungkin pilihan yang paling tepat.

Reka bentuknya bukanlah yang paling menonjol dalam segmennya namun model ini mampu menarik perhatian pembeli dengan senarai kelengkapan yang cukup panjang dan prestasi yang memuaskan.

Risau tentang selepas jualan? Bertenang kerana Chery Malaysia menawarkan waranti selama tujuh tahun/150,000 km, khidmat trak tunda percuma 24/7 dan pakej servis percuma selama lima tahun untuk Tiggo 7 Pro.

Spesifikasi Chery Tiggo 7 Pro

Harga: RM123,800
Enjin: Petrol turbo 1.6-liter, empat silinder
Kotak gear: DCT tujuh kelajuan
Kuasa: 197 PS
Tork: 290 Nm

Leapmotor C10, ada ruang untuk segalanya – Pandu uji ringkas

Sebagai sebuah nama besar yang menaungi jenama-jenama popular seperti Alfa Romeo, Citroen, Maserati dan Peugeot, pastinya kedengaran agak pelik apabila jenama Leapmotor duduk di bawah naungan Stellantis.

Untuk makluman, Leapmotor (atau Ling Pao) sebenarnya merupakan sebuah syarikat automotif China yang ditubuhkan pada tahun 2015.

Hanya pada tahun 2023, Stellantis memperoleh 20 peratus pegangan dalam Leapmotor untuk meletakkannya sama baris dengan jenama-jenama Eropah yang disebutkan tadi.

Tidak perlu menunggu dengan lebih lama, Stellantis Malaysia pada April 2024 mengumumkan kehadiran Leapmotor untuk pasaran tempatan, diposisikan sebagai jenama EV mampu milik.

Model pertama yang dijual ialah sebuah SUV segmen D, Leapmotor C10 yang telah dilancarkan secara rasmi enam bulan selepas itu, dengan harga jualan RM159,000.

Baru-baru ini pihak Stellantis Malaysia mengajak para pengamal media automotif untuk merasai sendiri pemanduan Leapmotor C10 menuju ke Gambang, Pahang.

Berikut merupakan catatan ringkas kami selepas memandu SUV ini selama dua hari:

 

1. Dimensi

Tidak seperti model-model EV (rata-rata hatchback, SUV atau sedan) yang ada di pasaran, Leapmotor C10 lebih sesuai dikategorikan sebagai kenderaan elektrik untuk kegunaan keluarga.

Saiznya yang agak besar, dengan ukuran sepanjang 4,739 mm, lebar 1,900 mm, tinggi 1,680 mm dan jarak antara roda 2,825 mm.

Dalam julat harga yang sama, Leapmotor C10 bersaing dengan model berenjin pembakaran seperti Chery Tiggo 8 Pro dan Proton X90.

Saiz yang hampir sama namun C10 didatangkan dengan konfigurasi lima tempat duduk, berbanding tujuh pada dua model yang disebutkan tadi.

2. Kuasa

Hanya ada satu varian sahaja ditawarkan di Malaysia, dengan motor elektrik tunggal pacuan roda belakang berkuasa 215 hp dan 320 Nm.

Nampak macam tinggi, tapi selepas kami memandu uji SUV elektrik ini, pecutan yang diberikan tidaklah seagresif mana-mana EV yang ada di pasaran.

Namun, ia bukanlah bermakna C10 ini sebuah ‘anak gajah’ yang malas untuk bergerak, cuma anda boleh jangkakan hamburan kuasa yang lebih lancar untuk memastikan tiada seorang pun ahli keluarga mengadu sakit leher semasa memulakan perjalanan.

Bahkan di atas lebuh raya, penulis tidak mempunyai masalah untuk memastikan SUV elektrik ini mampu memintas mana-mana lori treler yang perlahan di lorong kiri dengan selamat tanpa menyebabkan kereta yang laju di belakang menyalakan lampu suluhan tinggi – walaupun sarat dengan penumpang.

Dengan pek bateri 69.9 kWh, Leapmotor C10 boleh bergerak sejauh 420 km untuk sekali cas penuh.

Berdasarkan pemanduan yang dibuat, kami berjaya sampai ke destinasi dengan jarak gerak tersisa sekitar 112 km dan purata penggunaan tenaga sekitar 20.1 kWh/100 km, tinggi sedikit berbanding angka rasmi 19.8 kWh/100 km.

 

3. Pemanduan

Kami mengambil kesempatan untuk menguji tahap pengendalian SUV ini semasa merentasi laluan lebuh raya KL-Karak dan Genting Highlands.

Mengejutkan apabila penulis dapati SUV bersaiz besar ini juga boleh dikendalikan dengan baik di setiap selekoh dan laluan mendaki di jalan yang sangat popular itu.

Untuk kembali semula ke kelajuan yang diinginkan juga tidak mendatangkan masalah tanpa menyebabkan penumpang rasa pening dengan pecutan yang mendadak.

Cuma, walaupun C10 dilengkapi dengan sistem suspensi yang bekerja baik menyerap segala hentakan dengan cemerlang dan tayar Dunlop e-Sport Maxx yang memastikan SUV ini melekat sepanjang masa di selekoh, ia tidak diseimbangkan dengan respons stereng yang memuaskan.

Kebanyakan masa ia mampu patuh kepada setiap arahan yang diberikan oleh pemandu, namun keadaan menjadi kurang menyenangkan apabila sistem ADAS seperti bantuan pengekalan lorong kecemasan (ELKA) dan kawalan pemusatan lorong (LCC) cuba masuk campur.

Sistem yang disebutkan itu tadi akan bertindak agresif untuk membetulkan arah putaran stereng sekiranya mendapati pemandu tidak memandu kereta dengan betul.

‘Gangguan’ yang berterusan itu akan membuatkan pemandu lebih penat berbanding kebiasaan disebabkan perlu untuk melawan apa yang cuba dibetulkan oleh sistem.

Jadi, lebih senang untuk penulis matikan sahaja fungsi tersebut sejak dari awal, dan membiarkan fungsi yang lebih penting terus bekerja untuk memastikan SUV ini selamat atas jalan raya.

Penulis lebih gemar sekiranya sistem mengingati tetapan yang telah dibuat sejak dari awal, di mana pemandu tidak perlu untuk membuang masa lebih lama menatap menu di skrin setiap kali perlu memandu C10 ini keluar.

Satu perkara yang membuatkan pemanduan C10 kurang meyakinkan ialah respons pedal brek yang rasa kosong.

Perkara tersebut tidak begitu dirasai ketika pemanduan berkelajuan tinggi, di mana sistem brek beroperasi dengan baik, namun pada kelajuan rendah, ada ketikanya SUV ini rasa seperti tidak mahu berhenti biarpun pedal brek ditekan rapat ke lantai.

Seolah-olah tiada titik gigit brek dirasakan, kosong. Takkan lah setiap kali nak berhenti perlu bergantung kepada sistem brek kecemasan, kan?

4. Dalaman

Untuk sesi pandu uji kali ini, penulis memulakan perjalanan dengan duduk sebagai penumpang di baris kedua.

Kebiasaannya, penulis akan rasa cepat rasa pening dan mual apabila tidak bertugas memegang roda stereng namun kali ini penulis mampu berehat (dan tidur sebentar) dengan selesa sepanjang perjalanan.

Ini kerana penumpang boleh melaraskan sudut sandaran bagi tempat duduk belakang (ada dua sudut) supaya lebih selesa sepanjang perjalanan.

Mungkin sekali penggunaan upholsteri kulit silikon yang dinamakan sebagai Oeko-Tex banyak menyumbang kepada perjalanan yang lebih selesa, disebabkan struktur bahan yang lembut dan mesra punggung.

Ia juga mempunyai ciri kalis air dan tidak mengandungi bahan toksik yang berbahaya kepada golongan bayi – satu ciri yang sangat berguna untuk kebanyakan keluarga di Malaysia yang mempunyai anak kecil.

Selain ruang kaki yang cukup besar, penumpang di belakang juga tidak rasa lemas kerana ia menawarkan ruang kepala yang cukup besar, terima kasih kepada bumbung panorama yang cukup luas dan mempunyai tirai untuk menghalang sinaran mentari panas tengah hari.

Upholsteri berwarna hitam mungkin kedengaran sudah agak biasa, jadi terdapat opsyen untuk mendapatkan kemasan warna Criollo Brown yang lebih cerah, itu pun jika anda berminat dengan warna Glazed Green yang cukup cantik itu.

Aspek NVH juga memuaskan, boleh dikatakan bunyi bising angin daripada luar ditapis dengan baik, bunyi bising tayar juga kurang kedengaran dari dalam kabin.

Kelebihan lain yang wujud ialah ruang kargo sebesar 435 liter yang boleh ditingkatkan kepada 1,410 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat rata.

 

5. Papan pemuka terlalu minimalis

Untuk seorang yang sudah terbiasa dengan kewujudan pelbagai jenis butang dan tombol fungsi pada sesebuah kenderaan, masuk ke dalam Leapmotor C10 mewujudkan satu perasaan yang kurang senang.

Ini kerana susun atur papan pemuka yang terlalu ringkas dan minimalis, selain banyak bergantung sepenuhnya kepada menu yang tertanam pada skrin paparan akan membuatkan tumpuan pemandu lebih mudah terganggu di atas jalan.

Jadi, jika anda berminat dengan C10, cuba elakkan memandu seorang diri, dan anda akan hargai setiap bantuan yang diberikan ketika anda mahu sesebuah tetapan diubah.

Seperti contoh, arah tiupan angin sejuk, larasan suhu, mahu mematikan suluhan lampu utama, atau sekadar mahu mematikan fungsi tertentu dalam sistem ADAS.

Lebih menyedihkan apabila tetapan cermin sisi juga perlu diakses menerusi skrin utama.

Mujur Leapmotor tidak meniru perangai Tesla dengan menghilangkan terus tuil lampu isyarat membelok dan menggantikannya dengan butang di stereng.

Lagi satu, jika anda sudah terbiasa dengan menekan butang pandu mula, anda perlu pelajari cara baharu pada C10 dengan mengimbas kunci berbentuk kad pada bahagian konsol tengah sebelum menarik tuil transmisi ke arah posisi D.

Ya, setiap kali sebelum anda memulakan perjalanan.

Satu lagi kelemahan yang kami sukar untuk terima ialah ketiadaan sokongan Apple CarPlay/Android Auto.

 

6. Ada mod ‘healing’

Satu fungsi menarik yang boleh dimanfaatkan oleh pemandu selepas setiap kali pemanduan ialah Nap Mode.

Apabila mod ini diaktifkan, anda boleh menikmati bunyi-bunyi persekitaran seperti hujan, aliran air sungai, cengkerik dan pukulan ombak di persisiran pantai semasa sedang berehat.

Anda juga boleh menetapkan tempoh masa tidur yang diperlukan, dan sistem akan mengejutkan anda setelah sesi tersebut tamat.

Dengan fungsi pengudaraan pada tempat duduk, ia akan menjadikan sesi tidur sebentar anda lebih selesa sementara menunggu masuk waktu solat atau isteri anda selesai membeli belah.

Di penghujung hari, dalam pasaran yang sudah dibanjiri dengan pelbagai jenis model EV, Leapmotor C10 nyata boleh lebih menonjol dengan kelebihan ruang yang ditawarkan, sesuai untuk kegunaan keluarga setiap hari.

Itu pun jika anda tidak kisah dengan rekaan papan pemuka yang terlalu minimalis, serta rutin yang perlu dibuat setiap hari, setiap kali sebelum memulakan perjalanan.

Dengan harga jualan bawah RM160,000, bolehkah Leapmotor C10 ini jadi satu pembelian yang berbaloi? Mungkin sekali ya.

 

Spesifikasi Leapmotor C10

Motor elektrik: Tunggal, pacuan roda belakang (RWD)
Kuasa: 215 hp, 320 Nm
Pecutan: 7.5 saat (0-100 km/j)
Kelajuan maksimum: 170 km/j
Bateri: LFP 69.9 kWh
Jarak gerak: 424 km (data WLTP)
Suspensi: MacPherson/Multi-Link
Jarak kelegaan tanah: 180 mm
Kargo: 435 liter/1,410 liter

 

Leapmotor C10 warna Glazed Green