Category Archives: PANDU

Saga…boleh melayang RM40,000!

Ia merupakan kereta pertama Malaysia yang dihasilkan oleh Proton dengan menggunakan teknologi dari Jepun.

Disebabkan itu, kereta Proton Saga sangat tahan lasak dan buktinya sehingga hari ini masih ramai menggunakan kenderaan model generasi pertama, lebih mengagumkan ada yang tetap menggunakan enjin asal!

Tentu juga ramai rakyat Malaysia berbangga apabila menonton salah satu episod drama komedi ‘Mr Bean’ yang pernah menampilkan Proton Saga atau nama lain untuk model tersebut, Proton Iswara.

Saya sendiri merupakan peminat Proton Saga generasi lama kerana ia mengimbau banyak memori semasa zaman persekolahan yang mana ibu saya pernah memiliki sebuah Proton Iswara aeroback suatu ketika dahulu.

Apa tidaknya, saya masih teringat yang mana speedometer gagal berfungsi, tingkap sering jatuh apabila dibuka dan dashboard bergegar.

Namun, apa yang membanggakan setiap kali menghidupkan enjin, tidak pernah gagal. Sebuah kereta yang tahan lasak!

Model selepas itu kebanyakannya masih menggunakan ‘ramuan’ yang sama dengan sedikit perubahan.

Proton mengeluarkan model seterusnya menggunakan enjin lebih baharu yang sepatutnya tampil lebih canggih.

Malang sekali, ramai juga memberikan maklum balas negatif tentang kereta tersebut.

Untuk lebih adil, saya sendiri pernah cuba memandu uji Proton saga FLX CVT yang mana diakui ia berpotensi tinggi namun, ada beberapa faktor membuatkan kereta itu menjadi kurang ‘umph.’

 

Penambahbaikan dilakukan pada model terbaharu Proton Saga sekaligus menjadikan ia tampil lebih ‘garang’. – Foto oleh EnGear
Pada tahun 2019, apabila Proton mengeluarkan Proton Saga dengan kerjasama Geely, ada beberapa kemaskini yang dilakukan untuk menampakkan kereta ini lebih menarik.

Rupa luaran kereta ini masih lebih kurang sama tetapi dengan penambahan Lampu DRL (Day Running Light) menampakkan kereta ini jauh lebih menarik perhatian, perubahan minimal tetapi impak yang banyak.

 

Proton Saga FLX CVT mempunyai reka bentuk lebih kemas, sporty dan menarik. – Foto oleh EnGear

Apabila masuk ke dalam kabin kereta ini, saya begitu teruja dengan perubahan yang begitu banyak.

Meter kluster yang begitu cantik disertakan tujuh inci Floating screenyang menampakkan kereta ini lebih ekslusif.

Proton berjaya membuat kereta berharga bawah RM40,000 untuk menerima dalaman yang begitu cantik. Syabas saya ucapakan kerana akhirnya sebuah kereta ekonomi tidak lagi membosankan!

 

Speedometer Proton Saga FLX CVT kelihatan minimalis tetapi tetap bergaya. – Foto oleh EnGear
Selain itu, perubahan kotak gear baharu yang digunakan oleh Proton Saga ini amat mengujakan. Menerusi kerja sama Geely, Proton dibenarkan untuk menggunakan kotak gear dihasilkan oleh Hyundai.

Ternyata Proton telah melakukan satu tindakan bijak untuk menggantikan kotak gear CVT yang lama kepada kotak gear empat kelajuan yang baharu ini.

Dari segi pemanduan pula, Proton Saga ini sangat ‘lincah’ terutama sekali apabila ‘melayan’ selekoh. Sangat responsif!

Sebelum ini, saya pernah menerima kecaman daripada peminat Proton kerana mengeluarkan video mengenai penggunaan minyak yang tidak efisyen.

Ramai yang marah dan ada juga yang menyokong saya. Untuk pengetahuan pembaca, review diberi berdasarkan pengalaman saya dan rakan sepasukan lain ketika melakukan ujian.

Tidak kurang ramai peminat Proton melabel saya sebagai pembenci kenderaan nasional itu.

Kelakar pun ada kerana apabila saya memberikan kelemahan kenderaan jenis BMW, tiada yang tampil mendakwa saya membenci jenama itu.

Berbalik kepada Proton Saga, saya mula menyedari di mana Proton Saga ini sebenarnya membuatkan saya tertanya-tanya jika saya hendak membeli kereta seperti Toyota Vios atau Honda City.

 

Ruang kabin Proton Saga FLX CVT ditampilkan dengan gaya cukup eksklusif. – Foto ihsan Facebook/Proton

Adakah kereta Proton Saga ini boleh menjadi alternatif?

Mungkin ramai yang berkata di mana logiknya untuk membandingkan dengan Proton Saga, namun, jika anda hendak menggunakan kereta hanya untuk pergi kerja dan pulang ke kampung sesekali, ini kereta yang boleh dipertimbangkan.

Secara rumusnya untuk kereta berharga di bawah RM40,000 dengan pemanduan selesa dan interior yang menarik sudah pasti ia amat berbaloi.

Apa yang penting, tepuk dada tanya selera!

 

Rim aloi buat kereta nampak garang? Kaji dulu sebelum tukar…

Rata-rata pemilik kereta memilih rim aloi untuk dipadankan dengan tayar. Trend ini juga menyebabkan kebanyakan pengeluar kereta menggunakan rim aloi sebagai ciri standard bagi kenderaan masing-masing.

Sebenarnya kelebihan yang dimiliki pada rim aloi ialah reka bentuk menarik dan kelihatan lebih ‘garang’. Pilihan rim aloi juga lebih banyak yang didatangkan dalam pelbagai jenama, reka bentuk dan warna hingga boleh rambang mata dibuatnya!

 

Ramai peminat kereta memilih menggunakan rim aloi untuk kenderaan mereka. – Foto ihsan Top Wheel

 

Namun, rim aloi ini sebenarnya bukan sahaja untuk kosmetik. Rim aloi sebenarnya berkemampuan membebaskan haba lebih baik ketika kenderaan diberhentikan. Hal ini kerana ruang jejari yang dimiliki berbentuk besar dan jarang, sekaligus dapat memudahkan pengaliran udara keluar. Pada masa sama memanjangkan jangka hayat sistem brek.

Selain itu, memang tidak dapat dinafikan bahawa rim aloi jauh lebih ringan berbanding rim besi, dan ia mempengaruhi berat kereta. Percaya atau tidak, dengan menukar rim kepada jenis aloi akan membuatkan kereta lebih ringan dan memudahkan pengendalian, serta menjimatkan bahan api termasuk memanjangkan jangka hayat komponen seperti sistem brek dan suspensi.

Rim aloi memerlukan penjagaan rapi. – Foto ihsan Facebook/Top Wheel
Walaupun begitu, penjagaan rim aloi memerlukan penelitian. Ia lebih mudah bengkok jika terlanggar bonggol atau lopak jalan. Tambahan pula jika anda sudah meningkatkan size rim anda, secara tak langsung profile tayar akan menjadi rendah.

Jadi, demikian sedikit sebanyak tentang kebaikan dan keburukan rim aloi. Terpulang kepada anda untuk memilikinya atau tidak. Akhirnya, semua berbalik kepada kemampuan. Tepuk dada tanya…poket!

Triumph kekal teguh, Bonneville Bobber idaman pencinta motosikal klasik

JUMLAH pengguna motosikal seluruh dunia yang kian bertambah saban tahun menjadikan setiap syarikat pengeluar kenderaan dua roda semakin kompetitif dengan menawarkan pelbagai model menarik untuk kegunaan ramai.

Selain itu, tidak dinafikan mereka yang ‘berjiwa custom’ juga semakin bertambah apatah lagi sumber kewangan dan barangan aksesori bukan menjadi masalah besar.

Sedar akan perkara ini, syarikat pengeluar motosikal Triumph terus kreatif dengan mengeluarkan pelbagai modul dengan performance luar biasa malah, memiliki reka bentuk yang mampu ‘mencairkan’ hati setiap individu memandang!

Gaya klasik model Bonneville Bobber tidak dinafikan mampu mencairkan mana-mana peminat motosikal. – Foto ihsan Facebook/BikeBound

Triumph – Perjalanan membina empayar yang luar biasa

Triumph merupakan satu jenama lama yang masih ‘segar’ di pasaran dengan menawarkan motosikal unik ala British berstatus mewah pada harga mampu milik.

Menggabungkan elemen moden dan rekaan klasik, ia menjadikan motosikal syarikat itu memiliki teknologi enjin terkini dan mudah diselenggara oleh si pemilik.

Untuk memenuhi kehendak dunia custom yang semakin berkembang seluruh dunia, Triumph memperkenalkan kembali motosikal pasca Perang Dunia Kedua yang mana ia menjadi simbol counter-culture.

Motosikal pra perang dunia kedua boleh dikatakan sebagai pendahulu kepada dunia permotoran dua roda ketika ini.

Menggunakan design seakan basikal, ia memiliki kerangka mengelilingi enjin dan kotak gear, seterusnya membentuk segi tiga akhir yang memegang gandar roda belakang.

Seperti basikal, ia tidak mempunyai sistem suspensionkecuali spring dan penyerap hentakan untuk roda depan. Kerangka jenis ini dipanggil hard tail.

Apabila motosikal ini kembali ke Amerika Syarikat dari Eropah, bekas anggota tentera membelinya untuk kegunaan harian.

Di sinilah bermula dunia custom secara meluas di mana antara modifikasi paling awal ialah pembuangan gad lumpur depan dan belakang yang kemudian digantikan dengan aksesori lebih minimalis.

Asal usul model Bonneville Bobber

Pemotongan gad lumpur belakang motosikal keluaran Triumph digelar bobbing. Ia  digunakan secara meluas sebelum terma baharu diguna pakai iaitu Bobber.

Sedar dengan permintaan luar biasa sehingga kini, Triumph menghasilkan modul ‘laku keras’ mereka iaitu Bonneville Bobber.

Bermula pada harga RM75,000 menjadikan ia lebih murah dan mampu milik berbanding motosikal cruiser berenjin V-twin 1200cc dari Amerika Syarikat atau mana-mana syarikat pengeluar lain.

Maka tidak hairan, Triumph semakin terkenal selain angka jualan seluruh dunia melonjak selepas ‘kelahiran’ Bonneville Bobber.

Justeru, apakah ramuan istimewa di sebalik kejayaan syarikat ini membina empayar seluruh dunia? Nak tahu lebih lanjut, berikut video review yang kami sediakan buat tatapan anda.