Category Archives: Elektrik

Porsche Macan EV, sebuah Taycan yang lebih praktikal – Pandu uji ringkas

Porsche Macan sudah pun masuk generasi kedua apabila SUV kompak ini dilancarkan pada awal tahun 2024.

Suka ataupun tidak, sekiranya anda berminat untuk mendapatkan sebuah SUV aras mula daripada Porsche, anda hanya akan dihidangkan dengan barisan Macan berkuasa elektrik sahaja.

Ia merupakan satu langkah yang cukup berani daripada Porsche, memandangkan Macan itu sendiri sebelum ini merupakan model Porsche yang paling laris terjual, mengalahkan abangnya Cayenne di peringkat global.

Porsche Macan EV, adakah ia sebuah lagi EV yang sama seperti mana-mana EV yang menjalar di atas jalan raya? Atau ia masih lagi mempunyai identiti Porsche?

Baru-baru ini, kami dijemput oleh pihak Porsche Malaysia untuk merasai sendiri pengalaman pemanduan di dalam Macan EV, lebih tepat lagi varian Macan 4 yang mempunyai tanda harga RM445,000.

 

Spesifikasi

Porsche Macan 4 dijana dengan dua motor elektrik, menghasilkan 387 PS dan daya kilas 650 Nm untuk pecutan 0-100 km/j dalam tempoh 5.2 saat.

Kelajuan maksimum pula dihadkan kepada 220 km/j. Cukup pantas untuk sebuah EV.

Dengan pek bateri nickel manganese cobalt (NMC) berkapasiti 100 kWh, Macan 4 berupaya bergerak sejauh 613 km untuk sekali cas penuh.

Macan EV turut menyokong pengecasan AC 11 kW, atau DC sehingga 270 kW di mana pemilik boleh mengecas bateri SUV ini dalam tempoh 21 minit (10-80 peratus).

 

Luaran

Berbanding Macan generasi pertama, Macan EV membawakan dimensi yang lebih besar (+58 mm panjang, +11 mm lebar, +26 mm tinggi), diikuti dengan jarak antara roda yang lebih panjang (+86 mm).

Perubahan ini sedikit sebanyak menyumbang kepada penampilan yang lebih gagah, serta kabin yang lebih luas dan selesa (hal ini akan kami sentuh kemudian).

Bukan itu sahaja, rekaan luaran Macan EV ini kami boleh sifatkan sebagai sebuah Taycan yang lebih besar, dengan unit lampu nyalaan siang LED yang amat bergaya, garis bumbung yang sporti, diikuti dengan lampu belakang berbentuk bar LED melintang penuh.

Tidak seperti Taycan, urusan keluar masuk ke dalam ruang kabin Macan adalah lebih mudah, dibantu dengan bukaan pintu tanpa bingkai tingkap yang cukup besar.

 

Kabin

Jika luar macam Taycan, susun atur ruang kabin Macan EV juga tidak banyak jauh beza jika dibandingkan dengan sedan elektrik Porsche tersebut.

Untuk varian Macan 4 yang kami uji ini, ia dilengkapi dengan skrin kluster digital melengkung 12.6 inci, skrin tengah sebesar 10.9 inci dan tidak ketinggalan skrin paparan head-up dengan teknologi realiti terimbuh.

Apa yang kami suka pada kabin Macan EV ini ialah pengalaman pemanduan yang hampir sama didapati daripada sedan Taycan.

Roda stereng yang masih berbentuk bulat lengkap dengan tombol rotari penukaran mod pemanduan, tombol gear kecil bersebelahan dengan skrin tengah, serta butang kawalan iklim kabin berasingan yang terletak pada konsol tengah.

Bermakna, anda tidak lagi perlu menyelam dan menyelongkar menu pada skrin infohibur hanya semata-mata untuk menurunkan suhu atau melajukan tiupan angin sejuk.

Satu ciri unik wujud pada Porsche Macan EV ini ialah kehadiran jam analog digital yang bertenggek atas papan pemuka – perkara yang sudah tidak lagi dipandang oleh mana-mana pengeluar kereta mewah.

 

Praktikaliti

Seperti yang kami sebutkan tadi, praktikaliti merupakan sorotan utama pada Macan EV – itupun jika anda bandingkan dengan sedan Taycan.

Selain daripada urusan keluar masuk yang lebih mudah, tempat duduk yang disediakan juga cukup selesa dan memegang erat pemandu dan penumpang hadapan terutama saat jentera elektrik ini dikerah sedikit agresif.

Dimensi yang besar juga menyumbang kepada ruang kabin yang lebih besar dan selesa, di mana anda masih lagi mampu menikmati ruang kepala dan kaki yang lebih luas.

Cuma sayang sekali, penumpang belakang mungkin terpaksa duduk sedikit menegak.

Paling penting, Macan EV masih lagi mampu menyediakan ruang kargo sebesar 540 liter, atau sehingga 1,348 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

Cukup besar untuk memuatkan barangan sekiranya perlu membeli-belah di awal bulan.

Ketiadaan enjin pembakaran dalaman di hadapan menyediakan ruang frunk sebesar 84 liter – ada ruang ekstra untuk anda manfaatkan sekiranya ruang kargo di belakang sudah dipenuhi barangan.

 

Pemanduan

Macan 4 didatangkan dengan dua motor elektrik, bermakna ia hadir dengan sistem pacuan semua roda (AWD).

Dengan respons pendikit yang tepat dan pantas, kuasa 387 PS/650 Nm itu berjaya mengaburi pemandu bahawa mereka sebenarnya sedang mengendalikan sebuah SUV seberat 2 tan lebih.

Apa yang membuatkan Macan EV ini jauh lebih baik ialah aspek pengendalian yang lebih tajam dan jitu, menawarkan lebih banyak maklum balas dan berkomunikasi secara terus dengan pemandu, membuatkan pemanduan rasa lebih meyakinkan.

Pemanduan Macan EV ini banyak mengingatkan penulis akan pengalaman mengendalikan Taycan dan Taycan Cross suatu ketika dahulu.

Akhir sekali, sistem gantungan Macan 4 – walaupun tidak mempunyai suspensi udara adaptif macam Macan 4S dan Macan Turbo – akan tetapi masih lagi mampu menawarkan keseimbangan antara pengendalian yang sporti, dan keselesaan untuk kegunaan seharian.

Stabil di atas lebuh raya yang lurus, dan tidak membuatkan pemandu bersilat gelabah semasa berjumpa jalan berselekoh.

 

Ekstra: Pengalaman hilang kawalan di Sepang

Setelah selesai menikmati pemanduan merentas beberapa lebuh raya, kami dibawa pula ke Pusat Pengalaman Memandu (DEC) yang terletak betul-betul sebelah Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang.

Di sini, terdapat dua sesi yang disediakan, iaitu sesi slalom dan pengendalian berkelajuan tinggi, dan satu lagi sesi menguji kecekapan pemandu di plat gelincir hidraulik.

Untuk sebuah kenderaan berjenama Porsche, tidak sukar untuk kami mengendalikan SUV Macan EV ini di laluan slalom.

Maklum balas stereng yang tepat dan tajam, dibantu pula kecekapan pedal pendikit mengawal aliran kuasa dari bateri ke roda, serta keberkesanan sistem gantungan untuk memastikan SUV ini melekat dengan baik dengan olengan badan yang minima walaupun dipandu secara agresif.

Namun, pada sesi kedua inilah kali pertama kami merasai sendiri pengalaman hilang kawalan di dalam sebuah Porsche berharga bawah setengah juta.

Disinilah tempat untuk Porsche Macan EV membuktikan kecekapan sistem kawalan kestabilan ketika berdepan dengan situasi kehilangan cengkaman secara tiba-tiba.

Untuk cubaan kali pertama, penulis mampu untuk mengawal pergerakan SUV yang hilang kawalan ini secara tiba-tiba pada kelajuan yang rendah, namun gagal dalam cubaan kali kedua yang dibuat pada kelajuan yang lebih tinggi.

Kenapa gagal? Ini kerana Macan EV yang dikendalikan oleh penulis terlanggar ‘tembok penghadang’ yang diwakili oleh barisan air pancut.

Walaupun rasa tidak puas hati, ini merupakan satu pengalaman yang cukup berharga untuk diambil pengajaran.

Bagi mereka yang memandu secara berhemah seperti penulis, kebarangkalian untuk merasai pengalaman hilang kawalan semasa di atas jalan raya adalah hampir sifar.

Namun perkara tersebut tidak mustahil untuk berlaku terutama ketika berdepan dengan cuaca hujan lebat dan jalan yang agak basah.

Jadi, disinilah perlunya setiap pemandu untuk mempunyai ilmu dan kemahiran untuk mengendalikan kenderaan semasa berada di dalam situasi kecemasan.

 

Porsche Macan 4: sesuai untuk siapa?

Dalam empat varian utama Macan yang ditawarkan di Malaysia, kami berpendapat Macan 4 lebih sesuai untuk dipertimbangkan bagi mereka yang mahu mula berjinak-jinak dengan SUV jenama Porsche.

Walaupun hadir dengan tetapan dua motor elektrik, kuasa 387 PS/650 Nm itu tidak terlalu tinggi, masih lagi munasabah dan mudah untuk dikawal bagi sebuah kenderaan kegunaan harian.

Selain itu, sistem AWD yang dibekalkan standard itu bukan sahaja menyumbang kepada pengendalian dan kestabilan pada kelajuan tinggi, ia juga turut memastikan kadar cengkaman yang diperlukan oleh keempat-empat roda dalam apa jua keadaan cuaca dan permukaan jalan.

Dengan jarak gerak sejauh 613 km, dibantu dengan kaki kanan yang tidak terlalu berat, anda tidak perlu kerap berhenti untuk mengecas Macan 4 ini sekiranya perlu melakukan perjalanan melebihi dua marhalah.

Paling penting, untuk sebuah SUV elektrik Macan 4 ini masih lagi berupaya menawarkan elemen keseimbangan antara pemanduan yang dinamik dan sporti, dalam masa yang sama tidak mengorbankan aspek keselesaan dan praktikaliti untuk kegunaan seharian.

 

Spesifikasi Porsche Macan 4


Konfigurasi: Dua motor elektrik
Kuasa: 387 PS/650 Nm
Pecutan: 0-100 km/j dalam 5.2 saat
Kelajuan maksimum: 220 km/j
Pek bateri: NMC 100 kWh
Jarak pandu: 613 km
Pengecasan DC: 270 kW, 10-80 peratus 21 minit
Pengecasan AC: 11 kW, 0-100 peratus 10 jam
Harga: RM445,000

 

Kami pandu uji Denza Z9 GT, super wagon China yang bakal tiba di Malaysia

Semasa pelancaran Denza D9 di Kuala Lumpur, Denza, yang diedarkan secara rasmi oleh BYD Malaysia, membuat kejutan apabila menggunakan sebuah Z9 GT untuk membawa pengurus besar BYD Asia-Pacific Auto Sales Division Liu Xueliang ke atas pentas.

Tidak cukup dengan itu, kereta itu turut mempamerkan salah satu kelebihannya dengan melakukan tank turn iaitu pusingan 360 darjah setempat. Bayangkan sebuah kereta drift melakukan aksi donut, cuma pada kelajuan yang jauh lebih perlahan, tanpa sebarang asap dan bunyi.

Adakah demonstrasi ringkas ini satu petanda yang Z9 GT akan memasuki pasaran Malaysia tidak lama lagi?

Apabila ditanya mengenai perkara itu, pengarah urusan BYD Malaysia iaitu Eagle Zhao berkata, “Tidak lama lagi, kami akan memperkenalkan lebih banyak model untuk Malaysia, termasuk Z9 GT.”

Kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa Denza serius tentang kehadirannya di Malaysia. Ini kerana, tidak seperti D9, Z9 GT masih belum mempunyai versi pemanduan kanan (RHD).

Dengan menyatakan bahawa model itu akan diperkenalkan di sini, Denza secara tidak langsung mengatakan yang ia sedia untuk membuat pelaburan yang signifikan untuk memasuki pasaran-pasaran RHD seperti Malaysia.

Namun adakah Z9 GT mampu menarik perhatian pembeli di Malaysia, lebih-lebih lagi dengan saingan sengit daripada jenama-jenama lain yang lebih terkemuka?

Sudah tentu, masih terlalu awal untuk meramalkan nasibnya di sini namun semasa lawatan ke Shenzhen, China lewat tahun lalu, kami berpeluang merasai sendiri kehebatan kereta tersebut.

Walaupun sesi pandu uji tersebut dilakukan di dalam kawasan yang agak kecil dan masa yang diberikan juga terhad, penulis boleh merumuskan yang Z9 GT memang sebuah kereta yang sangat mengujakan bukan sahaja dalam aspek prestasi tetapi juga dari segi reka bentuk dan ciri yang ditawarkan.

Seperti yang boleh dilihat, Z9 GT merupakan sebuah wagon/shooting brake dengan profil sisi yang kelihatan seperti dihasilkan menggunakan acuan yang sama dengan Porsche Panamera Sport Turismo.

Rekaan keseluruhannya mungkin tak segah kereta Jerman itu namun bagi mereka yang inginkan sebuah shooting brake bergaya tanpa perlu berbelanja besar, Z9 GT sudah cukup bagus.

Seperti yang dijangka, ruang dalaman kereta ini tidak lekang dengan kemewahan dan pelbagai kelengkapan canggih bagi memikat hati pembeli dalam segmen premium.

Perlu diingat yang model ini bukan sahaja direka untuk pasaran China, malah ia juga bakal dipasarkan di negara-negara Eropah, di mana ia akan bersaing dengan pengeluar-pengeluar legasi seperti BMW, Mercedes-Benz dan Audi. Maka, lebih banyak kelengkapan yang disumbat, lebih baik.

Antara ciri menarik termasuk upholsteri kulit Nappa, bumbung kaca panoramik, pencahayaan ambien, dua peti sejuk (satu di bawah perehat tangan hadapan, satu lagi tersembunyi di antara penyandar kerusi belakang), dan pintu automatik yang boleh dibuka dengan hanya menekan butang – tidak ubah seperti i7.

Sistem infohibur juga cukup mengagumkan. Selain panel instrumen digital untuk pemandu dan skrin sentuh tengah yang cukup besar, kereta ini juga didatangkan dengan paparan untuk penumpang hadapan.

Selain itu, terdapat juga sistem audio Devialet (syarikat teknologi audio Perancis) dengan 26 pembesar suara dan dua pengecas tanpa wayar pada konsol tengah.

Bagaimana pula dengan praktikaliti? Pemain golf pastinya menggemari Z9 GT kerana ruang butnya cukup besar untuk memuatkan dua buah beg golf jika kerusi belakang dibaringkan.

Memasukkan barang ke dalam ruang but juga mudah kerana kereta ini mempunyai pintu hatch yang memberikan bukaan yang luas.

Berbalik kepada sesi pandu uji yang disebutkan tadi, unit-unit yang disediakan untuk media adalah varian PHEV yang menampilkan enjin petrol 2.0-liter turbo yang bertindak sebagai penjana jntuk tiga motor elektrik – satu pada gandar hadapan, manakala dua lagi pada gandar belakang.

Gandingan ini menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 870 PS, membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.6 saat sahaja.

Juga sebahagian daripada sistem hibrid DM generasi kelima ini adalah bateri LFP Blade berkapasiti 38.5 kWj yang memberikan mod pemanduan elektrik dengan jarak sejauh 201 km (kitaran CLTC) dan jarak keseluruhan sejauh 1,100 km.

Ya, tidak dinafikan lagi Z9 GT memang boleh memecut seperti roket beroda namun ketika berhadapan dengan selekoh ketat, kereta ini tidaklah selincah yang diharapkan walaupun dilengkapi dengan kawalan stereng roda belakang dan sistem suspensi udara.

Faktor utama yang menyumbang kepada kelemahan ini tidak lain tidak bukan adalah saiz dan berat Z9 GT. Dengan ukuran panjang 5,180 mm, lebar 1,990 mm dan tapak roda 3,125 mm, kereta ini memang besar. Beratnya pula mencecah 2.9 tan, jadi tidak hairanlah ia bergelut dengan ujian slalom yang disediakan.

Walau bagaimanapun, untuk berlaku adil, tapak pandu uji pada hari itu agak kecil untuk sebuah kereta berkuasa tinggi seperti Z9 GT. Mungkin ujian di jalan raya dan litar lumba yang besar seperti Sepang dapat menyerlahkan karakter sebenarnya.

Untuk pengetahuan, selain PHEV, model ini juga boleh didapati dalam versi EV yang menampilkan tiga motor elektrik dan bateri 100 kWj. Versi ini mempunyai output keseluruhan mencecah 963 PS, boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.4 saat dan dipandu sejauh 630 km dengan satu cas penuh.

Versi mana yang akan dibawa masuk ke Malaysia masih belum diketahui namun apa yang pasti, kehadiran Z9 GT boleh membuatkan jenama-jenama mewah lain sedikit tergugat.

Beli Proton eMAS 7 jika anda tidak kisah tentang jarak – Pandu Uji

Pada September tahun lalu, penulis berpeluang memandu kembar kepada Proton eMAS 7 iaitu Geely Galaxy E5.

Sesi pandu uji tersebut tidak dibuat di litar ujian Proton Centre of Excellence (COE), sebaliknya ia dilakukan di jalan raya sekitar Puncak Alam untuk pengalaman yang lebih realistik.

Apa yang penulis katakan, sistem suspensi Galaxy E5 memang tidak sesuai untuk keadaan jalan raya di negara kita. Ia terlalu lembut dan mempunyai kecenderungan untuk melantun dan membuai di jalan-jalan beralun.

Talaan ini mungkin menjadi pilihan pelanggan di China namun untuk Malaysia, Proton perlu memanfaatkan kepakaran mereka bagi memastikan yang eMAS 7 sesuai untuk keadaan jalan negara kita yang lebih ‘mencabar’.

Jadi sebab itulah penulis agak teruja apabila dijemput untuk memandu uji eMAS 7 dari Shah Alam ke Melaka. Selain tidak sabar merasai sendiri sentuhan magis Proton, ini sebenarnya kali pertama penulis berpeluang memandu EV nasional pertama ini.

Reka bentuk luaran

Rasanya ramai yang sudah tahu yang penampilan luaran eMAS 7 tidak banyak berubah jika dibandingkan dengan Galaxy E5. Kedua-duanya berkongsi rekaan lampu depan dan belakang, lampu DRL berbentuk L, dan bampar yang sama.

Sudah tentu, bampar depan Proton menampilkan logo Proton eMAS (yang sebenarnya sedikit berbeza berbanding logo Proton), manakala tulisan ‘PROTON’ di bawah lampu belakang dan logo ‘eMAS 7’ pada tailgate mengukuhkan identiti EV itu pada bahagian belakang.

Penulis tidak sebarang masalah dengan ini kerana eMAS 7 kelihatan segak dan tegap di depan mata. Lampu depan yang langsing dan lampu belakang yang lebar membuatkan ia nampak lebih mahal daripada harga sebenarnya.

Ruang dalaman

Tidak mengejutkan yang susun atur bahagian dalaman eMAS 7 sangat mirip dengan Galaxy E5. Walau bagaimanapun, Proton memilih untuk menggunakan skema warna gelap berbanding warna putih seperti yang terdapat pada kembarnya.

Ya, warna cerah membuatkan ruang kabin terasa lebih lapang namun penggunaan warna gelap memberikan eMAS 7 mood yang lebih sofistikated. Bukan itu sahaja, warna ini juga lebih popular dalam kalangan pembeli di Malaysia memandangkan ia lebih mudah untuk dijaga.

Tetapi dari segi kualiti material, tidak ada perbezaan yang ketara. Upholsteri kulit yang membaluti sebahagian besar papan pemuka, kerusi dan stereng terasa begitu lembut pada sentuhan.

Cuma penulis agak kecewa yang perehat kaki pada kerusi penumpang hadapan tidak disertakan mungkin atas sebab pengurangan kos.

Kelengkapan

Namun selain itu, eMAS 7 dapat apa yang ditawarkan pada Galaxy E5. Ini termasuk skrin sentuh 15.4 inci, panel instrument 10.2 inci untuk pemandu dan sistem audio Wanos dengan 16 pembesar suara dari Flyme Sound.

Angka tersebut termasuk pembesar suara pada perehat kepala kerusi pemandu, yang berfungsi untuk menghalakan arahan dari sistem navigasi terus ke telinga pemandu.

Walau bagaimanapun, sistem Apple CarPlay dan Android Auto masih belum tersedia. Ia dijangka akan ditawarkan pada tahun ini menerusi kemas kini udara (OTA).

Tidak mengapa kerana navigasi terbina dalam eMAS 7 mudah digunakan, walaupun penampilan keseluruhannya masih boleh diperbaiki.

Bagi penulis, apa yang menarik mengenai sistem tersebut adalah ia boleh digunakan untuk mencari stesen pengecas yang berada berdekatan dengan anda.

Menurut Proton, sistem ini boleh mengesan lebih 1,700 titik pengecasan di seluruh negara menerusi kerjasama dengan pengendali titik pengecasan termasuk Gentari, JomCharge, chargEV, and DC Handal, Carput Zap dan ChargeSini.

Sistem ini sangat terperinci kerana ia akan memaparkan pelbagai informasi mengenai stesen pengecasan yang dipilih seperti pengendali, jenis, bilangan dan kapasiti pengecas yang tersedia, kadar dan pelbagai lagi.

Prestasi

Kedua-dua varian eMAS 7 iaitu Prime dan Premium didatangkan dengan motor elektrik tunggal pada gandar depan yang menjana 218 PS (160 kW) dan 320 Nm.

Perbezaan di antara kedua varian berkenaan terletak pada kapasiti bateri iaitu 49.52 kWj untuk Prime dan 60.22 Premium. Prime menawarkan jarak pandu WLTP sejauh 375 km manakala Premium pula 65 km lebih jauh.

Memandu dari Shah Alam ke Melaka, kerisauan jarak bukanlah satu masalah kerana jaraknya sekitar 160 km sahaja, tidak sampai separuh daripada jarak yang ditawarkan oleh varian Premium.

Namun untuk mengetahui sejauh mana kecekapan trenkuasa ‘12-dalam-1’ ini, penulis memandu dengan santai pada kelajuan sekitar 90 hingga 100 km/j. Setibanya di destinasi, penggunaan tenaga elektrik menunjukkan bacaan sekitar 10 hingga 11 kWj bagi setiap 100 km, bermakna penulis menggunakan kurang 30% tenaga bateri untuk perjalanan ini.

Pengendalian

Penglibatan Proton dalam projek eMAS 7/Galaxy E5 ini dapat dirasakan dengan jelas menerusi prestasi sistem suspensi eMAS 7 di dunia sebenar.

Perbezaan antara kedua model ini boleh dikatakan agak ketara, di mana eMAS 7 mendemonstrasikan ride and handling yang lebih mantap.

Peredam yang ditala semula membuatkan ia terasa lebih stabil dan tenang pada kelajuan tinggi namun pada masa yang sama, keselesaan pada kelajuan rendah juga dikekalkan.

Feel stereng boleh dikatakan agak baik untuk sebuah EV manakala kadar NVH juga patut dipuji kerana bunyi dari luar dihalang dengan baik. Bunyi dari tayar tidak ketara walaupun varian ini memakai rim 19 inci.

Konklusi

Penulis secara peribadi agak tertarik dengan eMAS 7. Pada harga dari RM109,800 hingga RM129,800, ia memberikan nilai untuk wang yang baik untuk mereka yang ingin menerokai dunia EV.

Tidak dinafikan, jarak gerak yang agak pendek agak merisaukan untuk mereka yang kerap melakukan perjalanan jauh namun jika anda bukan dari golongan ini, eMAS 7 wajar dipertimbangkan.

Spesifikasi Proton eMAS 7 Premium

Harga: RM129,800
Kuasa: 218 PS (160 kW)
Tork: 320 Nm
Bateri: 60.22 kWj
Jarak gerak: 410 km (WLTP)

MG4 XPower memang laju tetapi adakah ia pilihan terbaik? – Pandu Uji

MG4 XPower dilancarkan ke pasaran Malaysia hampir 12 bulan yang lalu sebagai kenderaan paling murah yang boleh membawa anda dari kelajuan 0 hingga 100 km/j dalam hanya 3.8 saat.

Anda boleh kata macam-macam tentang EV tetapi anda tidak boleh nafikan yang prestasi berkenaan sangat mengagumkan kerana 10 atau 15 tahun dahulu, prestasi seperti itu hanya boleh dicapai oleh kereta sport dan supercar yang bernilai ratusan malah jutaan ringgit.

Kini, terima kasih kepada kemajuan teknologi EV, anda boleh merasakan sensasi yang sama pada harga kurang dari RM160,000.

Sudah tentu, ada beberapa model EV lain yang boleh mencapai kelajuan 100 km/j lebih cepat seperti Volvo EX30 Ultra Twin Performance (3.6 saat) dan Smart #3 Brabus (3.7 saat) tetapi kedua-dua model ini berharga lebih RM200,000.

Namun adakah kelebihan MG4 XPower terletak pada kelajuan semata-mata? Bagaimana pula dengan aspek-aspek lain seperti reka bentuk, keselesaan, jarak gerak, teknologi dan sebagainya? Teruskan membaca.

Reka bentuk

MG4 adalah sebuah hatchback lima pintu dengan perkadaran yang agak unik. Pada mata penulis, ia nampak agak besar tetapi ia sebenarnya 3 mm lebih pendek berbanding BYD Dolphin yang comel itu. Jika dibandingkan dengan smart #1 pula, ia 17 mm lebih panjang namun ukuran tapak rodanya 45 mm lebih pendek.

Namun apa yang jelas, MG4 lebih rendah dan lebar berbanding kedua-dua model berkenaan, memberikannya stance yang lebih agresif dan kelebihan dari segi prestasi aerodinamik.

Penampilannya yang sporty diperkayakan lagi dengan elemen-elemen seperti bahagian depan yang tajam, spoiler bumbung berkembar dan pelindung angkup brek berwarna oren lengkap dengan tulisan ‘XPower’.

Cuma agak pelik kerana tidak ada bahagian lain yang menampilkan logo XPower kecuali angkup brek tersebut. Jika kereta ini dibuat oleh BMW atau Mercedes-Benz, anda pasti akan menjumpai logo M dan AMG di serata badan.

Ruang dalaman

Tidak seperti bahagian luarannya, reka bentuk ruang kabin MG4 lebih ringkas dan bersahaja. Mereka yang mengharapkan rekaan moden dan futuristik pasti akan kecewa kerana tiada satu elemen pun yang boleh dikatakan sebagai canggih.

Tetapi ini bukanlah sesuatu yang tidak bagus. Walaupun secara keseluruhannya ia tidak menonjol, rekaan yang ringkas seperti ini sebenarnya memudahkan peralihan dari kereta ICE ke EV.

Apa yang ada adalah apa yang anda perlu untuk pemanduan seharian – skrin sentuh dengan barisan butang fizikal di bawahnya, konsol tengah terapung yang menempatkan tombol gear dan pengecas tanpa wayar, butang kawalan pada bahagian kiri dan kanan stereng dan panel instrumen digital.

Seperti EV lain di pasaran, banyak benda perlu diakses menerusi skrin sentuh namun anda tidak perlu risau kerana stereng MG4 didatangkan dengan butang shortcut dengan logo bintang yang boleh ditetapkan untuk pelbagai fungsi seperti pendingin hawa, pemulihan tenaga dan mod pemanduan.

Apa yang penulis kurang gemar adalah penggunaan kemasan plastik keras pada papan pemuka dan panel pintu. Bukan itu sahaja, tombol gear tersebut juga terasa agak longgar namun ia jauh lebih baik dari perlu memilih gear menerusi skrin sentuh.

Praktikaliti dan keselesaan

Hatchback secara umumnya menawarkan ruang kabin yang agak terhad namun dengan MG4, anda tidak perlu risau jika anda membawa lebih daripada seorang penumpang kerana ruang kabin terasa agak luas dan lapang.

Ia juga mempunyai ruang storan yang cukup besar pada konsol tengah dan setiap pintu, manakala ruang butnya juga tidak terlalu kecil iaitu 363 liter. Kerusi belakang boleh dibaringkan rata jika but tidak cukup besar.

Bercakap tentang kerusi belakang, penulis mendapat ia agak selesa dan tidak terlalu tegak. Ruang kaki dan kepala dirasakan sudah mencukupi untuk mereka yang berbadan sederhana namun alangkah baiknya jika MG meletakkan corong pendingin hawa khusus untuk penumpang belakang.

Prestasi

Seperti yang dikatakan, MG4 memang cemerlang dari segi pecutan. Ini sesuatu yang dialu-alukan jika anda dicabar oleh kereta sebelah di hentian lampu isyarat namun sejujurnya, prestasi yang ‘gila’ ini boleh menjadi agak memenatkan.

Ini kerana kereta ini boleh memecut laju dengan cukup mudah, tanpa sebarang drama seperti kereta ICE. Di lebuh raya, ini bukanlah satu masalah namun di dalam bandar, pergerakan badan akibat inersia ketika memecut (dan membrek) lama kelamaan membuatkan penulis mudah penat.

Untuk mengatasi isu ini, penulis menggunakan mod ECO untuk mendapatkan pecutan yang lebih terkawal.

Mengenai jarak pula, varian XPower bukanlah pilihan terbaik jika jarak pandu menjadi keutamaan anda. Varian ini didatangkan dengan bateri 64 kWj yang menawarkan jarak WLTP sejauh 385 km dengan satu cas penuh.

Angka ini sebenarnya okay sahaja untuk pemanduan di kawasan bandar namun harus diingat yang jarak juga bergantung kepada gaya pemanduan dan faktor-faktor lain. Jika anda mempunyai kaki kanan yang berat, angka tersebut akan jatuh dengan dramatik.

Untuk lebih selamat, anda boleh dapatkan varian Lux Extended Range yang didatangkan dengan bateri 77 kWj yang menjanjikan jarak sejauh 520 km. Ini sepatutnya cukup untuk empat hingga lima hari, bergantung kepada penggunaan.


Konklusi

Secara ringkasnya, MG4 XPower menawarkan nilai wang terbaik bagi peminat EV yang mahukan prestasi semata-mata tanpa ingin berbelanja besar.

Namun secara peribadinya, penulis melihat varian Lux Extended Range sebagai pilihan yang lebih masuk akal secara keseluruhannya. Ia RM10,000 lebih murah, dan dengan pecutan 0-100 km/j dalam 6.1 saat, ia sebenarnya sudah cukup pantas untuk kebanyakan pemandu di luar sana. Dan dengan bateri yang lebih besar, jarak bukanlah sesuatu yang perlu dirisaukan.

Spesifikasi MG4 XPower

Harga: RM159,629
Kuasa: 435 PS (320 kW)
Tork: 600 Nm
Bateri: 64 kWj
Jarak gerak: 385 km (WLTP)

Tiga perkara kami kurang suka pada Ora 07 Long Range – Pandu Uji

Sedan elektrik Ora 07, atau nama lainnya Ora Lightning Cat mungkin sekali satu pakej EV yang agak unik di dalam pasaran Malaysia pada ketika ini.

Ia membawakan pakej rupa paras yang diinspirasikan daripada model jutaan ringgit, dalam masa yang sama harga yang cukup mampu beli.

Ulasan pandu uji telah pun kami kongsikan sebelum ini, namun dalam artikel ini kami akan bercerita tiga perkara yang kurang digemari wujud pada model ini.

 

1. Perumah lampu belakang yang ‘terpaling merah’

Rekaan luaran Ora 07 ini memang feminin dan nampak ringkas, siap ada spoiler adaptif lagi.

Namun, perkara yang kurang digemari ialah struktur perumah lampu belakang berwarna merah secara keseluruhannya.

Ketika pemanduan waktu siang, pengguna jalan raya lain mungkin sukar untuk meneka sama ada penulis sudah pun memberikan isyarat membelok atau mungkin masuk simpang menggunakan niat.

 

2. Tiada pilihan tema meter analog

Penulis cukup suka dengan ‘gugusan’ meter stail Porsche 911 yang wujud pada ruang kabin Ora 07 ini.

Nampak klasik dan moden dalam masa yang sama.

Cuma kekurangannya, ia tidak menawarkan pilihan tema meter analog untuk disesuaikan dengan jiwa pemanduan maskulin Ora 07 ini.

Namun sejujurnya penulis akui paparan grafik meter ini jauh lebih kemas berbanding sedan buatan China lain yang wujud di pasaran.

 

3. Kemudahan yang mudah namun rumit untuk digunakan

Sebagai seorang yang tidak mahu tumpuan pemanduan terganggu di atas jalan, penulis amat menghargai kewujudan tombol larasan manual pada bahagian konsol tengah untuk sistem pendingin hawa.

Bermakna, amat mudah untuk melaraskan suhu serta kelajuan tiupan angin sejuk dalam ruang kabin.

Cuma, itu sahaja.

Fungsi lain seperti arah tiupan angin perlu dilaraskan menerusi menu yang tersorok dalam skrin infohibur, dan tiada sebarang tombol manual yang tersedia pada corong angin pun!

Laporan penuh pandu uji Ora 07 anda boleh baca pada pautan di bawah:

Ora 07 Long Range, penampilan feminin tapi pemanduan maskulin – Pandu Uji

Kami pandu uji kembar Proton e.MAS 7, Geely Galaxy E5 – Pandu Uji Ringkas

Minggu lalu, Proton Centre of Excellence (COE) menjadi destinasi penamat bagi siri jelajah dunia Geely Galaxy E5 yang bermula dari China.

Walaupun digelar sebagai ‘siri jelajah dunia’, konvoi yang terdiri daripada beberapa unit Galaxy E5 pemanduan sebelah kiri itu sebenarnya hanya merentasi tiga negara Asia Tenggara iaitu Laos, Thailand dan Malaysia.

Biar pun begitu, perjalanan sejauh 3,700 km itu dilihat sudah cukup untuk membuktikan kemampuan dan ketahanan Galaxy E5 dalam dunia sebenar.

Menurut wakil dari Geely, konvoi tersebut berjaya melengkapkan perjalanan yang panjang itu tanpa sebarang masalah dan setiap unit berjaya tiba di COE dalam keadaan elok walaupun berhadapan dengan banjir di Laos yang diakibatkan oleh Taufan Yagi.

Mengambil kesempatan yang ada, Proton telah menjemput pihak media untuk memandu uji kembar kepada Proton e.MAS 7 itu di litar ujiannya di COE. Bukan itu sahaja, beberapa media terpilih juga berpeluang untuk memandu EV itu di jalan raya untuk pengalaman pemanduan yang lebih realistik.

Apa yang penulis boleh katakan, sesi pandu uji ini memberikan bayangan yang agak jelas mengenai reka bentuk, teknologi dan prestasi e.MAS 7 yang akan dilancarkan ke pasaran tempatan tidak lama lagi.

Reka bentuk luaran sama sahaja?

Proton sebelum ini menekankan bahawa e.MAS 7 bukanlah model rebadge Galaxy E5. Dari sudut teknikal, dakwaan ini benar kerana e.MAS 7 sememangnya dibangunkan serentak dengan Galaxy E5. Menurut Proton, lebih 100 jurutera mereka terlibat dalam projek ini.

Walau bagaimanapun, dari segi reka bentuk luaran, kami tidak rasa Proton boleh membuat terlalu banyak perubahan pada e.MAS 7 kecuali menukar logo dan lencana asal. Elemen Infinite Weave seperti yang digunakan pada model-model lain juga tidak boleh diterapkan kerana e.MAS 7 tidak mempunyai gril.

Cuma, apa yang penulis nampak, e.MAS 7 menggunakan rim satu inci lebih kecil iaitu 18 inci berbanding Galaxy E5 yang didatangkan dengan rim 19 inci.

Ruang dalaman minimalis tetapi mewah

Seperti bahagian luaran, rekaan ruang kabin e.MAS 7 juga dijangka tidak jauh berbeza dengan Galaxy E5. Tetapi ini adalah benda bagus kerana rekaan ruang dalaman EV dari China ini agak mengagumkan, sama ada dari segi susun atur atau bahan yang digunakan.

Upholsteri kulit yang digunakan kelihatan begitu mewah dan terasa cukup lembut pada sentuhan. Paling penting, ia diaplikasikan secara meluas bukan sahaja pada tempat duduk, tetapi bahan itu juga membaluti sebahagian besar papan pemuka dan panel pintu.

Selain daripada warna putih, Geely turut menawarkan pilihan warna merah perang dan biru gelap. Adakah Proton akan menawarkan pilihan warna yang sama? Sama-sama kita nantikan.

Luas dan praktikal, sesuai untuk rakyat Malaysia

Dengan tapak roda berukuran 2,750 mm, Galaxy E5 menawarkan ruang kabin yang luas dan selesa. Penulis amat kagum dengan ruang kaki penumpang belakang yang setanding dengan kereta segmen D walaupun ini merupakan SUV segmen C.

Tempat duduk belakang menawarkan sokongan peha yang mencukupi tetapi apa yang lebih menarik adalah kerusi penumpang hadapan yang didatangkan dengan fungsi Ottoman – satu ciri yang biasanya terdapat pada MPV mewah sahaja.

Bagi mereka yang sering membawa barangan yang banyak, jangan gusar kerana Galaxy E5 mempunyai 33 ruang storan termasuk laci di bawah kerusi belakang. Untuk sebuah SUV, ruang butnya tidaklah begitu besar (461 liter) namun terdapat ruang simpanan tambahan sebesar 51 liter di bawah lantai but.

Sarat dengan teknologi

Galaxy E5 dan e.MAS 7 menggunakan sistem operasi yang sama iaitu Flyme Auto yang dikuasakan oleh cip Longying One Chip 7 nm yang didakwa sebagai cip kokpit pintar pertama dari China. Selain integrasi telefon pintar, sistem operasi ini juga menawarkan ciri arahan suara untuk melakukan pelbagai perkara. Anggap sahaja ia seperti pembantu peribadi anda.

EV ini juga menggunakan sistem audio Flyme Sound berkapasiti 1,000 watt dengan 16 pembesar suara, termasuk pada perehat kepala. Bukan itu sahaja, terdapat juga pembesar suara pada bahagian luar yang berguna jika anda mahu memainkan muzik ketika berparti.

Anda juga boleh menggunakan pembesar suara luaran tersebut untuk membunyikan amaran kepada pejalan kaki atau pengguna jalan raya yang lain. Yang menariknya, pilihan bunyi yang disediakan boleh dikatakan sangat tidak konvensional. Ia termasuk bunyi “Hi”, ngauman harimau, kucing mengiau, deruman enjin supercar dan pelbagai lagi.

Galaxy E5 jelas ditala untuk keselesaan, bagaimana pula dengan e.MAS 7?

Biarpun agak singkat, sesi pemanduan di litar ujian Proton dan di jalan raya berjaya mendedahkan karakter Galaxy E5. Penulis dapat merasakan yang EV ini memang ditala untuk pemanduan yang lebih santai, berbeza dengan EV China lain yang penulis pernah cuba seperti smart #1.

Galaxy E5 didatangkan dengan motor elektrik tunggal pada gandar depan yang menjana 218 PS dan 320 Nm, membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.8 saat dan mencapai kelajuan maksimum 184 km/j.

Pada zaman kini, di mana EV sudah mampu menandingi supercar dengan mudah, angka ini tidaklah begitu mengagumkan namun penulis merasakan yang Galaxy E5 sebenarnya sudah cukup pantas untuk kebanyakan pemandu di luar sana. Cuma, tindak balas pendikitnya tenang dan tidak terburu-buru, walaupun ditekan dengan agresif.

Selain itu, sistem suspensi Galaxy E5 juga boleh dikatakan sangat lembut. Dalam perjalanan menuju ke Puncak Alam, kereta ini membuktikan yang ia mampu menyerap hentakan dari permukaan berlubang dengan cukup baik sehinggakan ia hampir tidak terasa di dalam kabin. Walau bagaimanapun, penulis dapat merasakan ada sedikit lantunan ketika bergerak pada kelajuan tinggi atau melalui jalan yang beralun.

Konklusi

Seperti yang dikatakan, sesi pandu uji ini sangat berharga kerana ia dapat memberikan sedikit sebanyak gambaran mengenai Proton e.MAS 7.

Dari segi reka bentuk luaran dan dalaman, serta sistem infotainment dan teknologi, penulis tidak mengharapkan perubahan yang terlalu ketara kerana pakej yang dibawakan oleh Galaxy E5 sudah cukup menarik.

Bagaimanapun, dari segi pemanduan terutamanya tindak balas pendikit dan talaan suspensi, Proton pastinya akan menggunakan kepakaran mereka bagi memastikan e.MAS 7 sesuai dengan keadaan permukaan jalan raya di Malaysia, selain dapat memenuhi permintaan pembeli EV tempatan.

Ora 07 Long Range, penampilan feminin tapi pemanduan maskulin – Pandu Uji

Kali pertama model ini menerjah dalam kotak ingatan ialah semasa menghadiri acara Auto Shanghai 2023 pada tahun lepas.

Ora 07, atau lebih dikenali dengan nama Ora Lightning Cat di pasaran luar sememangnya membawakan rekaan yang kontroversi, mengingatkan kita pada model sedan Porsche Panamera dan Porsche 911.

Untuk meletakkannya sama aras dengan model harga jutaan ringgit itu mungkin satu perkara yang tidak adil.

Ora 07 merupakan model kenderaan elektrik (EV) kedua yang dibawa masuk oleh pihak GWM Malaysia selepas hatchback comel Ora Good Cat, dengan penawaran harga bawah RM200 ribu (RM169,800).

Berbanding pesaing terdekat seperti BYD Seal dan Tesla Model 3, adakah Ora 07 ini sebuah EV yang biasa-biasa?

Berdasarkan pengalaman pandu uji yang dibuat tempoh hari, jawapan muktamad yang kami boleh bagi, “Tidak!”.

 

1. Reka bentuk feminin

BYD Seal dan Tesla Model 3 membawakan bentuk badan sedan yang lebih tradisional.

Ora 07 pula lebih mengingatkan kita pada bentuk badan Porsche Panamera, dengan garis bumbung yang lebih melandai ke belakang, diikuti dimensi badan yang agak panjang.

Bahagian belakang pula menampilkan spoiler adaptif berkuasa elektrik yang boleh dinaikkan atau diturunkan mengikut keperluan, lampu depan pula kalau dilihat daripada mana-mana sudut pun, macam 911.

Secara keseluruhan, ia bukanlah satu perkara yang negatif pun pada Ora 07 ini. Sesuai untuk mereka yang berjiwa feminin dan individu yang mahukan kelainan dalam segmen sedan elektrik.

Cuma, rekaan perumah lampu belakang yang serba merah itu mungkin akan membuatkan pengguna jalan raya keliru dan sukar untuk menentukan sama ada penulis bagi isyarat membelok atau isyarat kecemasan.

 

2. Dalaman inspirasi daripada Bugatti, Porsche

Tidak cukup dengan bahagian luar, susun atur ruang kabin juga banyak mengambil ilham daripada model ternama.

Konsol tengah yang tinggi itu dilihat mengambil inspirasi daripada Bugatti, sementara skrin kluster digital hadapan pemandu pula memang terang-terang membawakan elemen Porsche.

Setidak-tidaknya, susun atur yang ditunjukkan pada ruang ini jauh lebih baik dan senonoh berbanding kereta yang hanya sekadar menenggekkan skrin iPad pada papan pemuka semasa proses pembangunan dan terus menjualnya kepada umum.

Penulis cukup suka dengan rekaan skrin kluster digital Ora 07 ini, nampak lebih segar.

Cuma, kekurangannya, ia tidak didatangkan dengan pilihan tema yang bersesuaian dengan reka bentuk bulat itu. Malah, tiada opsyen untuk grafik meter analog tersedia pun!

 

3. Mudah dioperasikan, tapi masih menyusahkan

Satu perkara yang penulis hargai pada Ora 07 selain daripada sokongan Apple CarPlay/Android Auto ialah kewujudan tombol larasan manual pada bahagian tengah untuk sistem pendingin hawa.

Ia menawarkan larasan untuk kelajuan tiupan angin sejuk serta suhu kabin. Mudah untuk dioperasikan menggunakan ingatan otot tangan. Namun, itu sahaja manfaat yang diberikan.

Tiada tuil larasan tiupan angin fizikal disertakan pada corong pendingin hawa. Bermakna, jika anda rasa rimas dengan tiupan angin sejuk yang mencucuk hidung, anda perlu menyelongkar menu tambahan bagi sistem kawalan iklim dalam skrin infohibur.

Ya, Ora 07 menyertakan beberapa jenis mod tiupan angin dalam skrin tersebut untuk digunakan semasa musim panas, namun ia bukanlah satu ciri yang mampu menyenangkan pemanduan seharian.

Mujur juga Ora 07 dilengkapi dengan sistem audio 11 pembesar suara Infinity yang mengasyikkan, jadi bolehlah layan lagu kegemaran selepas puas menggodek tetapan kawalan iklim.

 

4. Kabin selesa, tapi…

Penggunaan bahan bersifat premium banyak menguasai ruang kabin Ora 07. Nampak mewah juga.

Tempat duduk sports yang disertakan standard dari kilang turut membantu dari segi aspek keselesaan, sama juga halnya dengan tempat duduk belakang yang agak empuk itu.

Selain jarak antara roda panjang, satu perkara yang membuatkan ruang tersebut nampak lebih luas ialah bumbung kaca panorama yang agak luas dan memanjang ke belakang.

Disebabkan itu, penumpang belakang dapat menikmati ruang kepala yang lebih luas. Cuma elakkan daripada membuat perjalanan jarak jauh untuk tempoh yang lama semasa matahari tegak di atas kepala.

Tiada suis tersedia untuk membuka struktur panel kaca tersebut, dan tiada penghadang cahaya disertakan pada bahagian tersebut untuk menapis sinaran mentari yang mampu membakar rambut anda.

 

5. Akses ruang kargo sedikit terhad

Sedan ini menyediakan ruang kargo sebesar 333 liter, cukup besar untuk kegunaan seharian.

Walaupun Ora 07 secara standard membawakan bentuk badan sedan fastback, ia tidak memberi makna bahagian belakang boleh dibuka dengan luas seperti mana-mana model aeroback yang lain.

Bukaan yang agak terhad mungkin menyukarkan anda untuk memuatkan barangan yang lebih besar.

Mujur juga tempat duduk baris kedua boleh dilipat, jadi anda boleh meletakkan barangan yang jauh lebih panjang pada bahagian belakang.

Tidak cukup dengan itu, terdapat juga beberapa ruang storan kecil tersedia dalam ruang kabin, menambahkan lagi aspek praktikaliti Ora 07.

 

6. Pemanduan maskulin

Secara standard, Ora 07 hadir dengan tetapan motor elektrik tunggal berkuasa 201 hp dan 340 Nm yang memacu roda depan.

Kuasa yang mencukupi untuk menggerakkan sedan elektrik di laluan urban, tiada masalah kekurangan tenaga.

Pecutan agresif juga boleh dibuat dalam keadaan yang cukup lembut dan lancar, tanpa mengakibatkan efek sentakan kuasa yang biasa dialami pada mana-mana kereta elektrik lain.

Apa yang membuatkan penulis rasa teruja dengan sedan elektrik ini ialah pakej pengalaman pemanduan mengujakan yang sukar didapati pada mana-mana kereta elektrik lain.

Walaupun hadir dengan pelbagai ciri-ciri bersifat feminin, aspek pemanduan Ora 07 bersifat lebih jantan. Ibarat sebuah kereta dua alam.

Untuk seketika, penulis langsung terlupa Ora 07 merupakan sebuah sedan elektrik yang berat (2.5 tan) ketika menguji pengendalian kereta ini di laluan yang berliku-liku.

Respons stereng yang cukup bagus untuk memastikan kereta ini berada di landasan yang tepat, selain talaan casis dan sistem gantungan yang membuatkan pemanduan sedan elektrik ini dirasakan cukup seronok ketika meratah jalan-jalan lama di Negeri Sembilan.

Olengan badan juga dirasakan pada tahap minimum, membuatkan penulis lebih ghairah untuk terus menekan pedal pendikit setiap kali jalan lurus dihubungkan dengan selekoh.

Penggunaan tayar Hankook Ventus S1 Evo3 juga turut membantu sedan ini melekat dengan baik atas permukaan aspal.

Menjadikan pemanduan Ora 07 lebih ‘hidup’ ialah iringan simulasi bunyi enjin palsu yang boleh diaktifkan menerusi skrin infohibur.

Setidak-tidaknya, ia dapat mengubati kerinduan anda terhadap kereta enjin, dan penulis kira ciri ini jauh lebih baik jika dibandingkan dengan bunyi kapal angkasa yang wujud pada model EV yang lebih mahal harganya.

Terdapat beberapa mod pemanduan disertakan yang boleh diakses menerusi tombol manual tengah, termasuklah mod Well Being di mana ia akan menyahaktifkan fungsi brek regeneratif dan membolehkan kereta tersebut kekal meluncur pada saat kaki dialihkan daripada pedal pendikit.

Macam kereta ICE, tak begitu?

 

7. Masalah bimbang jarak dipadamkan

Kami menguji varian Long Range yang dipadankan dengan pek bateri 83.5 kWh.

Mengikut data NEDC, sedan ini boleh bergerak sejauh 640 km untuk sekali cas penuh, satu angka yang mungkin sukar tapi tidak mustahil untuk dicapai.

Berdasarkan penggunaan, kami berjaya merekodkan jarak pemanduan sejauh 470 km sebelum bateri mencatatkan baki 15 peratus SoC dengan anggaran jarak tersisa sekitar 102 km.

Pada pendapat kami, Ora 07 sesuai untuk dijadikan sebagai kereta belasahan harian, atau sekali sekala digunakan untuk merentas negeri melebihi dua marhalah.

Pengecasan DC sehingga 88 kW membolehkan bateri dicas 80 peratus dalam tempoh setengah jam sahaja, bermakna anda tidak perlu menunggu lama sekiranya terpaksa melakukan perjalanan jauh dalam Ora 07.

 

8. Keselamatan

Secara standard, Ora 07 hadir dengan ciri keselamatan termaju (ADAS) Tahap 2 yang merangkumi beberapa fungsi penting termasuklah kawalan jelajah adaptif, sistem pemantauan titik buta, brek kecemasan autonomi, sistem pengelakan pintar serta bantuan pengekalan lorong.

Ciri kawalan jelajah adaptif terbukti berkesan semasa berada di atas lebuh raya untuk mengekalkan jarak pemanduan yang selamat.

Cuma cara bantuan pengekalan lorong beroperasi mungkin dirasakan sedikit agresif terutama bagi mereka yang sudah yakin dengan pemanduan masing-masing.

 

Kesimpulan

Dengan harga bermula dari RM169,800, Ora 07 Long Range ini boleh jadi satu alternatif sedan elektrik yang dapat memenuhi cita rasa golongan pembeli yang mahukan kelainan, dan mahu lebih menonjol daripada kebiasaan.

Biarpun ia mempunyai beberapa kekurangan, namun segala permasalahan itu mungkin akan terpadam apabila anda berupaya menikmati pemanduan yang cukup mengujakan dalam sedan ini.

Tak percaya? Sehingga sekarang pun penulis masih tak percaya!

Spesifikasi:

Motor elektrik: Tunggal, pacuan roda depan
Kuasa: 201 hp, 340 Nm
Pecutan: 0-100 km/j 7.9 saat
Kelajuan maksimum: 170 km/j
Bateri: 83.5 kWh
Jarak gerak: 640 km (data NEDC)

Volvo EX30 kecil-kecil cili padi – Pandu Uji Ringkas

Dibangunkan menggunakan platform SEA milik Geely yang turut digunakan oleh smart #1 dan Zeekr X, EX30 merupakan kenderaan Volvo yang paling kecil setakat ini.

Namun ia tidak boleh sekali-kali dipandang remeh kerana walaupun mempunyai saiz yang kompak, EX30 menawarkan semua yang pembeli dalam segmen ini inginkan – rupa, teknologi, praktikaliti dan sudah tentu, prestasi.

Terima kasih kepada aktiviti-aktiviti menarik yang disediakan semasa sesi pandu uji media yang dianjurkan oleh Volvo Car Malaysia baru-baru ini, kami berjaya mendapat gambaran jelas mengenai kemampuan sebenar EX30 dan kenapa ia sangat menarik.

Tetapi sebelum itu, mari kita lihat dulu bahagian luaran dan dalaman EV dari jenama Sweden ini. Dengan ukuran panjang 4,223 mm, lebar 1,837 mm, dan tinggi 1,555 mm, ia sebenarnya lebih kecil berbanding kedua-dua kembarnya iaitu #1 dan X.

Namun bagi penulis EX30 mempunyai perkadaran (proportion) yang cukup seimbang dan sporty, dengan overhang depan dan belakang yang sama panjang, tapak roda yang panjang (2,650 mm) dan rim yang besar.

Walaupun unit-unit pandu uji ini masih dibalut pelekat penyamaran, sekali pandang anda sudah tahu ia sebuah kereta Volvo terima kasih kepada lampu nyalaan siang LED berbentuk tukul Thor yang menonjol. Sudah tentu, logo jenama itu juga terpampang jelas pada bahagian hadapan kereta ini.

Seperti yang boleh dijangka dari jenama ini, ruang dalaman EX30 tampil kemas dan rapi. Selari dengan konsep kelestarian, Volvo memilih untuk menggunakan bahan-bahan yang boleh diperbaharui dan kitar semula di hampir setiap ceruk kabin kereta ini.

Selain butang cermin tingkap pada konsol tengah, anda tidak akan menemui sebarang butang fizikal di dalam EX30. Malah, panel instrumen digital pun tidak ada di dalam kereta ini. Semua fungsi serta maklumat seperti kelajuan kenderaan dan kedudukan gear perlu diakses menerusi skrin sentuh berukuran 12.3 inci.

Pendekatan ini berkesan dalam menghasilkan ruang kabin yang minimalis namun mereka yang old school akan memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri. Manakan tidaknya, untuk mengubah cermin sisi dan membuka glove box juga perlu dilakukan menerusi skrin sentuh berkenaan.

Tidak boleh dinafikan yang ruang dalaman EX30 memang kecil tetapi penulis tidak rasa kebanyakan pengguna akan mempunyai masalah untuk menyimpan barangan mereka.

Ini kerana Volvo telah berfikir di luar kotak untuk menghasilkan sebanyak mungkin ruang penyimpanan barang. Pertama sekali, Volvo menggunakan sound bar Harman Kardon yang diletakkan pada papan pemuka bagi memastikan terdapat ruang yang cukup besar pada panel pintu.

Selain itu, pemegang cawan pada konsol tengah boleh digelongsorkan ke dalam manakala di bawahnya terdapat satu lagi ruang penyimpanan yang agak besar di mana anda boleh meletakkan barang-barang seperti dompet atau tas tangan.

Apa yang menarik, lantai ruang ini boleh dibuka untuk menghasilkan kompartmen yang lebih dalam. Terletak betul-betul di belakang kompartmen ini adalah bekas kecil yang boleh dikeluarkan.

Sekarang, berbalik kepada sesi pandu uji media yang dikatakan tadi. Dari ibu pejabat Volvo Malaysia di Petaling Jaya, kami bertolak ke lapangan terbang lama di Sungai Besi untuk dua aktiviti pemanduan yang menyeronokkan iaitu drag race dan slalom.

Aktiviti slalom bukanlah bukan benda baru untuk penulis tetapi kali ini ia sedikit berlainan kerana kami perlu melakukannya secara mengundur. Imej dari kamera yang cukup terang dan jelas banyak membantu penulis mengelak daripada terlanggar kon.

Seterusnya, aktiviti drag racing dengan Volvo V60 T8 berjaya merungkai kemampuan sebenar EX30 pada laluan lurus. Varian Ultra Twin Performance yang kami pandu mempunyai mod ‘rahsia’ yang perlu diaktifkan bagi membolehkan ia menghasilkan kuasa maksimum 428 PS dan 543 Nm.

Dengan semudah itu sahaja, EX30 boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.6 saat bagi mengalahkan wagon PHEV yang sebenarnya jauh lebih berkuasa itu.

Usai berlumba di Sungai Besi, kami bergerak ke Bamboo Hills untuk demonstrasi ciri Park Pilot Assist. Ciri ini cukup mudah untuk digunakan dan boleh mengesan ruang parkir kosong dengan serta merta. Anda hanya perlu memilih ruang yang dikehendaki dan kereta ini akan melakukan segalanya untuk anda.

Kemudian, kami ke Ikea Damansara untuk aktiviti yang lain dari yang lain iaitu membeli-belah. Setiap pasukan yang terdiri daripada enam media diberikan bajet bernilai RM2,000 untuk membeli sebanyak mungkin barang untuk dimuatkan ke dalam EX30.

Terima kasih kepada ruang but yang mempunyai kapasiti maksimum 904 liter (jika tempat duduk belakang dibaringkan), kompartmen di bawah lantai but sebesar 61 liter, dan frunk sebesar 7 liter, pasukan penulis berjaya menyumbat beberapa buah kerusi, tilam futon, bantal dan banyak lagi barangan lain tanpa sebarang masalah.

Aktiviti ini menunjukkan bahawa walaupun EX30 bersaiz kompak, ruang dalamannya yang cukup versatil dan sesuai digunakan untuk ke destinasi percutian hujung minggu di Lembah Klang dan kawasan sekitar.

Dari Kuala Lumpur, kami kemudiannya menuju ke Janda Baik sebagai hentian terakhir sesi pandu uji ini. Perjalanan dari ibu kota ke pusat peranginan terkenal itu cukup seronok terutamanya ketika menyusuri Lebuhraya Karak memandangkan EX30 mempunyai pengendalian yang stabil dan mantap.

Walaupun dipandu dengan agresif sepanjang hari, ditambah pula dengan perlumbaan drag tersebut, penulis berjaya tiba ke Janda Baik dengan kuasa bateri berbaki sekitar 45%. Bayangkan jika ia dipandu dengan lebih cermat?

Untuk pengetahuan, varian Ultra Twin Performance didatangkan dengan bateri Nickel Manganese Cobalt (NMC) berkapasiti 69 kWj yang menjanjikan jarak pandu sekitar 450 km berdasarkan kitaran WLTP.

Bateri berkenaan boleh dicas dari 10% hingga 80% dalam hanya 28 minit menggunakan pengecas pantas DC 175 kW. Pengecasan AC 11 kW pula memerlukan kira-kira 7.5 jam untuk pengecasan penuh.

Konklusi

Untuk sebuah EV, Volvo EX30 menawarkan banyak kelebihan. Rekaan bahagian luaran dan dalamannya cukup moden dan sangat menarik perhatian tetapi dalam cara yang tidak keterlaluan.

Bercakap tentang ruang dalaman, kekurangan butang fizikal mungkin akan membuatkan sesetengah pelanggan berfikir dua kali sebelum membelinya namun berdasarkan pengalaman penulis, semua fungsi dan ciri yang ada boleh diakses dengan mudah. Anda hanya perlu mengambil sedikit masa untuk belajar menggunakannya.

Bagi penulis, kekuatan utama model ini terletak pada prestasi dan praktikaliti, menjadikannya pilihan yang sesuai untuk golongan muda yang mempunyai gaya hidup aktif.

MINI Countryman S Electric 2024 lebih moden dan mesra alam, kekal bergaya dan sporti

JIKA anda seorang yang mementingkan gaya dan mencari sebuah kereta sebagai ekspresi diri anda, maka MINI antara kenderaan sesuai yang boleh dipertimbangkan.

Ini kerana warisan MINI sejak dahulu lagi terkenal dengan gaya yang ranggi, selain pemanduan sporti yang sepadan dengan imej yang dibawa.

Elemen ini dibawakan dalam barisan model-model terkini MINI seperti Countryman S Electric ini. Ia kekal ranggi dan mempunyai pemanduan sporti seperti go-kart, tetapi dikemaskini menjadi lebih moden.

Bahan mesra alam

Menariknya untuk generasi terbaharu, MINI Countryman S Electric menampilkan fabrik dari bahan-bahan kitar semula yang berkualiti tinggi, seperti boleh dilihat pada papan pemuka dan panel pintu. Fabrik ini juga dijahit dengan teknik 2D yang unik.

Hasilnya, permukaan fabrik ini tampil berbeza, tetapi bergaya, dengan rasa yang unik bila disentuh. Kesemua ini menyumbang kepada pengalaman tersendiri bila berada dalam MINI Countryman.

Bercakap mengenai pengalaman, permukaan fabrik di papan pemuka juga menjadi ‘kanvas’ untuk nyalaan lampu berbeza apabila anda menukar MINI Experience Modes yang berbeza.

Jika anda rasa fabrik bergaya ini susah dijaga, jangan risau kerana menurut MINI, bahan ini mudah dicuci. Jadi, anda tidak perlu risau membawa penumpang kanak-kanak bersama MINI Countryman.

Teknologi moden dengan rupa klasik

MINI Countryman S Electric telah dimodenkan dengan paparan OLED Display bulat yang pertama dalam mana-mana kereta.

Skrin resolusi tinggi ini bukan sahaja berfungsi memaparkan pelbagai maklumat dan informasi dengan jelas, tetapi penampilannya merupakan gandingan sempurna untuk gaya ranggi keseluruhan MINI.

Selain itu, paparan OLED ini mengandungi MINI Experience Modes yang terdiri dari pelbagai tema seperti Vivid, Core, Go-Kart, Timeless, Balance, Trail, dan Personal. Setiap tema ini memberikan anda suasana dan pemanduan berbeza untuk disesuaikan dengan mood anda.

Sebagai contoh jika anda penat balik bekerja, anda masuk mod Balance untuk merelakskan diri. Atau bila anda mahu feeling vintaj dan retro, anda boleh guna mod Timeless dan terdapat paparan meter dari MINI Cooper klasik zaman Mr. Bean. Malah, terdapat juga bunyi MINI klasik itu dikeluarkan dari sistem audio!

Lincah seperti go-kart

Tidak sah untuk sebuah MINI jika tidak mempunyai pengendalian dan rasa stereng seperti go-kart. Begitu juga dengan MINI Countryman S Electric baharu ini, walaupun ia lebih besar dari model sebelumnya, malah merupakan model MINI paling besar pernah dihasilkan, ciri pemanduan go-kart tidak dilupakan.

Sistem suspensi dan stereng telah dikalibrasi untuk memberikan respon yang lincah dan tepat. Dipadankan dengan rim stereng yang tebal, seolah-olah mengajak anda untuk memandu Countryman S ini.

Ditambah pula dengan output 313PS dan 494Nm tork dari dua motor elektrik (satu di gandar depan, dan satu di belakang), pacuan semua roda ALL4 menjanjikan pecutan serta-merta dan mengujakan. Prestasi 0-100 boleh dicapai dalam 5.6 saat sahaja, membuatkan anda tersenyum setiap kali memecut dari lampu isyarat atau plaza tol.

Secara keseluruhan, pecutan super-responsif dari sistem janakuasa elektrik dan talaan stereng serta suspensi menjadikan MINI Countryman S seperti sebuah go-kart lima tempat duduk yang anda boleh kongsikan dengan keluarga dan rakan-rakan.

Anda tidak sabar untuk mencari selekoh untuk memastikan sistem regenerative memperlahankan kenderaan kemudian menikmati pengendalian sporti, sebelum memecut semula keluar selekoh dengan bersahaja.

Seperti kenderaan elektrik lain, pek bateri 66.5kWh pada Countryman S Electric ini terletak di bawah casis, jadi ini merendahkan pusat graviti seterusnya menambahkan kestabilannya dalam semua situasi pemanduan.

Bergaya, seronok dipandu, dari RM2,777 sahaja sebulan

Secara keseluruhan, penulis memang senang hati meluangkan masa memandu uji MINi Countryman S Electric baharu ini. Ia bergaya dan menarik perhatian, kemudian senang pula dipandu sama ada dalam kesesakan trafik atau di lebuh raya.

Oh ya, mahu masuk ke tapak perkhemahan atau pantai pun tiada masalah, memandangkan Countryman mempunyai jarak kelegaan tanah lebih tinggi selain gaya rugged di bampar dan skirt sisi.

Countryman juga mampu menjadi sebuah kenderaan yang menambahkan keceriaan dan kegembiraan anda dalam kehidupan seharian. Memandu tidak semestinya membosankan dan memenatkan.

Dengan bahan-bahan lestari dalam kabin dan sistem kuasa elektrik yang mampu pergi sehingga 433km setiap cas, anda tahu bahawa anda membantu menjaga alam sekitar secara tidak langsung.

Berminat memandu uji MINI Countryman S Electric baharu? Anda boleh lawati mana-mana bilik pameran MINI seluruh negara. Countryman ini boleh menjadi milik anda dengan Easy Drive Financing dari RM2,777 sahaja sebulan. Untuk masa terhad, anda juga layak mendapat pengecas Wallbox percuma.

MINI Cooper Electric juga boleh dimiliki dengan Easy Drive Financing dari RM2,021 sebulan berserta pemasangan Wallbox percuma.

Sebarang maklumat lanjut mengenai MINI di Malaysia, anda boleh ikuti laman sosial mereka seperti berikut:

Instagram: mini_malaysia
FB: https://www.facebook.com/MINImalaysia
Youtube: https://www.youtube.com/@minimalaysia/featured

Tekan di sini untuk tempah sesi pandu uji anda sekarang.

Ini 5 benda kami tak suka tentang BYD Seal

Pasaran kenderaan elektrik (EV) di Malaysia semakin lama semakin hangat dengan kehadiran pelbagai model menarik dari serata dunia.

Pada pengamatan penulis, dua jenama EV yang sering menjadi topik bualan ketika ini adalah Tesla dan BYD. Tesla menandakan kemasukannya ke pasaran tempatan menerusi pelancaran Model 3 facelift pada Oktober tahun lalu.

Sementara itu, BYD pula telah membawa masuk tiga model EV setakat ini, dengan Seal sebagai penawaran terbaru yang akan bersaing secara terus dengan Model 3 yang cukup popular itu.

Ketika memandu ujinya tempoh hari, penulis mendapati Seal mempunyai ramuan yang tepat untuk memberikan saingan sengit kepada lawannya itu namun seperti kebanyakan kereta lain, ia masih mempunyai beberapa kelemahan.

Berikut adalah lima perkara yang penulis tidak suka tentang Seal:

Terlalu banyak lencana

Rasanya tidak keterlaluan jika penulis katakan yang Seal adalah kereta yang paling segak dalam segmennya, dengan bentuk sedan empat pintu sporty yang diserlahkan lagi dengan garisan karakter yang kuat, rim 19 inci dan diffuser belakang.

Bagaimanapun, mungkin kerana inginkan orang tahu yang kereta ini adalah buatan BYD, syarikat itu meletakkan dua tulisan ‘BYD’ pada tailgate. Bukan itu sahaja, terdapat juga tulisan ‘3.8s’ di bawah ‘BYD Seal’, iaitu masa yang diambil untuk pecutan 0-100 km/j. Ini sebenarnya tidak perlu kerana entah bagaimana ia membuatkan Seal nampak murah.

Bumbung panoramik besar tapi…

Seal didatangkan standard dengan bumbung suria panoramik yang besar. Ia memberikan pemandangan yang cantik pada waktu malam namun pada waktu siang ketika matahari berada tegak di atas kepala, ruang kabin boleh menjadi agak panas. Terasa seperti tiada sebarang perlindungan UV atau filem penebat haba langsung.

Lebih pelik lagi, kereta ini tidak mempunyai penghadang cahaya matahari automatik seperti kebanyakan kereta yang mempunyai sunroof. Sebaliknya, BYD memberikan dua pelapik yang perlu dipasang secara manual. Untuk kereta yang berharga hampir RM200,000, ini sesuatu yang menjengkelkan.

Canggih sangat pun susah juga

Penulis faham, bagi menghasilkan rekaan ruang kabin yang kemas dan teratur, pengeluar cuba untuk mengurangkan bilangan butang dan tombol fizikal sebanyak mungkin, dan mengintegrasikan fungsi-fungsi tersebut ke dalam sistem infotainmen.

Namun pengeluar perlu tahu bahawa tidak semua benda perlu didigitalkan. Sebagai contoh, sistem pendingin hawa. Di dalam Seal, bukan suhu dan kelajuan kipas sahaja yang perlu dikawal menerusi skrin sentuh, malah corong juga perlu dilaras menggunakan kaedah yang sama.

Pengecasan tak cukup pantas

Seal dibangunkan menggunakan seni bina 800V yang biasa digunakan pada model-model EV mewah namun entah mengapa ia hanya mendapat pengecas pantas sehingga 150 kW sahaja.

Untuk pengecasan AC pula, ia hanya mampu menyokong sehingga 7 kW yang mengambil masa kira-kira 15 jam untuk pengecasan penuh. Sedangkan di Eropah model ini didatangkan dengan pengecas AC 11 kW.

Ruang but yang agak kecil

Seal mempunyai ukuran yang lebih panjang dan lebar berbanding kebanyakan sedan segmen C namun ruang butnya agak kecil iaitu 400 liter sahaja. Ada ruang simpanan tambahan sebesar 53 liter pada bahagian depan namun ia tidaklah seluas mana.

Untuk perbandingan, ruang but Model 3 adalah sebesar 682 liter manakala sedan segmen B iaitu Honda City pula mempunyai but sebesar 519 liter.

BMW iX2 xDrive30 M Sport ranggi dan mengujakan – Pandu Uji

Seperti seteru utamanya dari Stuttgart, BMW secara aktifnya telah meluaskan penawaran kenderaan elektrik di Malaysia.

Selepas melancarkan model-model seperti i5, i7 dan ix1, BMW Malaysia pada Mei lalu memperkenalkan ahli terbaru barisan i iaitu iX2. Ia ditawarkan dalam varian tunggal xDrive30 M Sport pada harga RM297,000.

Apakah sebenarnya iX2?

Seperti mana iX1 adalah versi elektrik kepada X1, iX2 secara asasnya adalah X2 yang dipacu oleh elektrik. Perbezaan utama antara iX1 dan iX2 terletak pada reka bentuk, di mana iX2 tampil lebih ranggi dengan rekaan lebih bersegi dan bumbung ala coupe.

Bukan itu sahaja, ia juga mempunyai gril bercahaya Iconic Glow, rim lebih besar (20 vs 19 inci inci) dan pakej M High-Gloss Shadowline dengan extended content yang membawakan kemasan hitam pada gril radiator, logo tailgate dan cermin sisi.

Namun di sebalik imej luaran yang lebih menonjol itu, iX2 xDrive30 mempunyai trenkuasa elektrik dengan motor berkembar yang sama dengan iX1 xDrive30 yang menjana output keseluruhan sebanyak 313 PS (dengan fungsi boost) dan 494 Nm.

Di atas kertas, prestasi kedua-dua model ini tidak jauh berbeza di mana iX2 memerlukan 5.6 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j, manakala iX1 pula mengikut di belakang dengan masa 5.7 saat.

Walaupun menggunakan bateri 66.5 kWj yang sama, iX2 menawarkan jarak gerak WLTP yang lebih jauh iaitu 449 km berbanding 438 km oleh iX1. 11 km mungkin tidak kedengaran banyak namun ia boleh memberikan perbezaan besar terutamanya ketika hampir kehabisan bateri.

Jadi, untuk perbezaan harga sebanyak hampir RM12,000, anda mendapat sebuah EV yang lebih bergaya dan jarak gerak yang lebih jauh. Berbaloi atau tidak untuk berbelanja lebih untuk iX2?

Bagi penulis, ia bergantung kepada citarasa individu itu sendiri. Mereka yang lebih konvensional dan bukan jenis yang mengambil risiko akan memilih iX1, manakala mereka yang suka menonjol akan lebih tertarik kepada iX2.

Mereka yang memilih iX2 bukan sahaja akan menggemari rekaan luarannya, malah juga akan berpuas hati dengan ruang kabinnya yang nampak dan rasa moden serta canggih. Hampir setiap inci permukaan yang boleh disentuh terasa mewah dan premium.

Benda pertama yang menarik perhatian adalah paparan melengkung besar yang memuatkan dua paparan iaitu kluster instrument digital 10.25 inci dan skrin sentuh sistem infohibur 10.7 inci.

Sistem operasi BMW OS 9 memberikan grafik yang terang dan jalas serta antaramuka yang intuitif dan lebih mesra pengguna, namun ada beberapa fungsi yang perlu ‘dikorek’ dari menu untuk diakses. Ia layak dipuji namun penulis secara peribadi lebih menggemari MBUX.

Dari segi keselesaan dan praktikaliti, ruang kabin Sport Activity Coupe cukup selesa untuk empat penumpang. Kerusi depan boleh dilaras dan mempunyai sokongan peha, manakala tempat duduk belakang tidak terlalu tegak dan menawarkan ruang kepala dan kaki yang cukup luas.

Ada ruang untuk penumpang kelima namun dia tidak akan berasa begitu selesa terutamanya ketika perjalanan jauh kerana kerusi tengah agak kecil.

Ruang storan boleh tahan banyak. Setiap pintu mempunyai ruang storan dan pemegang gelas yang cukup besar, manakala di bawah konsol tengah terdapat satu lagi ruang di mana anda boleh menyimpan barang seperti dompet.

Di bawah perehat tangan juga ada ruang simpanan tetapi ia tidak cukup dalam, bermakna ia hanya sesuai untuk objek leper seperti kad.

Selain menerusi port pengecas USB Type C yang disediakan, telefon boleh dicas di atas pad pengecas tanpa wayar yang mempunyai seakan bar pengapit untuk menahan telefon daripada bergerak.

Di belakang, iX2 menawarkan ruang but yang lebih besar berbanding iX1 dengan kapasiti 525 liter, namun disebabkan rekaan bumbung coupe-nya, memuatkan barangan yang tinggi boleh menjadi agak sukar.

Tetapi untuk trip hujung minggu bersama keluarga, ruang but ini boleh memuatkan sekurang-kurangnya tiga atau empat bagasi dengan mudah. Kereta ini juga sesuai untuk sesi membeli-belah di Ikea kerana tempat duduk belakangnya boleh dibaringkan rata secara 40:20:40.

Karakter pemanduan yang ditunjukkan oleh iX2 adalah seperti yang boleh dijangka dari sebuah EV bertaraf premium – laju, selesa di atas jalan yang rata dan senyap.

Mungkin tidaklah terlalu senyap kerana setiap pecutan ditemani dengan bunyi efek (digelar Iconic Sound) yang dibangunkan dengan kerjasama komposer terkemuka, Hans Zimmer. Namun dari segi NVH, amat memuaskan.

Lebih menarik lagi, kereta ini didatangkan dengan pedal boost yang memberikan kuasa tambahan selama 10 saat namun output yang dibekalkan sebenarnya sudah cukup untuk kebanyakan situasi pemanduan harian.

Selain itu, iX2 boleh membantu mengurangkan beban pemandu menerusi sistem Driving Assistant Plus yang didatangkan standard dengan ciri-ciri seperti Lane Control Assistant, Automatic Speed Limit Assist, Autonomous Emergency Braking dan bermacam lagi.

Sepanjang empat hari memandunya, penulis merekodkan tahap penggunaan tenaga sekitar 15 hingga 16 kWh bagi setiap 100 km dengan gaya pemanduan normal, melibatkan 70% jalan bandar dan selebihnya lebuh raya.

Sudah tentu, mendapatkan jarak gerak seperti yang diiklankan oleh pengeluar boleh dikatakan sesuatu yang hampir mustahil namun dengan iX2, anda boleh memanjangkan jarak dengan menggunakan sistem brek janaan semula yang menawarkan empat tahap termasuk Adaptive.

Jalan bersimpang-siur tidak menjadi masalah untuk kereta ini kerana sistem suspensinya agak keras, bermakna ia cemerlang dalam bab mengurangkan olengan badan. Cuma, kadang-kala anda boleh merasakan yang berat bateri sedikit sebanyak menjejaskan pengendaliannya.

Walaupun keras, sistem suspensinya boleh dikatakan agak selesa untuk pemanduan di lebuh raya. Namun ketika melalui jalan-jalan di kawasan bandar yang berlubang dan tidak rata, setiap hentakan boleh dirasakan dengan jelas di dalam kabin.

Di bandar, iX2 secara keseluruhannya mudah dipandu cuma apabila mengundur, pandangan menerusi cermin pandang belakang sedikit terjejas disebabkan cermin belakang yang agak kecil. Nasib baik ada kamera 360 darjah yang sangat terang.

Kalau ini tidak mencukupi, anda juga boleh menggunakan Reversing Assistant dan Lateral Parking Aid untuk parkir dengan lebih mudah.

Konklusi

Adakah iX2 xDrive30 M Sport masuk akal dalam pasaran sekarang? Sejujurnya, pada harga hampir RM300,000, anda sebenarnya boleh mendapat sebuah EV lain yang menawarkan kuasa yang tinggi dan jarak yang lebih jauh iaitu Volvo C40.

Namun bagi penulis, iX2 ada tarikannya sendiri. Ia kelihatan jauh lebih menarik dan pengendaliannya juga cukup mengujakan, sesuatu yang tidak ada pada EV dari Sweden itu. Kadang kala, itu sudah cukup memadai.

Spesifikasi BMW iX2 xDrive30 M Sport

Harga: RM297,000
Kuasa: 313 PS (dengan boost)
Tork: 494 Nm
Bateri: 66.5kWj
Jarak gerak: 449 km (WLTP)

5 benda tak best tentang Mercedes-Benz EQS 500 4Matic

Untuk pasaran Malaysia, Mercedes-Benz EQS 500 4Matic, bersama dengan versi SUV, merupakan penawaran flagship dalam barisan kenderaan elektrik jenama itu.

Ia dilancarkan buat pertama kali di Malaysia pada Julai 2022 dalam versi EQS 450+ yang diimport sepenuhnya. Tidak sampai setahun selepas itu, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) memperkenalkan EQS 500 yang dipasang secara tempatan di Pekan, Pahang.

Tidak boleh dinafikan, sebagai varian tertinggi dalam barisannya, EQS 500 menawarkan kemewahan dan teknologi terbaik buat pelanggannya namun bagi penulis, ia masih mempunyai beberapa kekurangan.

Ia bukan S-Class

Ada yang menyangka bahawa EQS adalah S-Class versi elektrik. Ini tidak tepat kerana EQS adalah berasaskan platform Electric Vehicle Architecture (EVA) yang khusus untuk EV, manakala S-Class pula menggunakan platform Modular Rear Architecture (MRA2).

Ini memberikan EQS dimensi yang sedikit lebih kecil daripada S-Class dengan ukuran panjang 5,216 mm, lebar 1,926 mm dan tinggi 1,512 mm. Ukuran tapak rodanya juga lebih pendek sebanyak 6 mm pada 3,210 mm. Ruang dalamannya boleh dikatakan luas tetapi tidak seluas S-Class.

Reka bentuk tidak konvensional

Tidak seperti S-Class yang kelihatan segak dalam bentuk ‘tiga kotak’ tradisionalnya, penampilan EQS jauh lebih unik dengan bentuk yang bujur dan permukaan yang lembut. Menurut Mercedes, bentuk itu memainkan peranan penting dalam membantu EQS mencapai pekali seretan 0.20, menjadikannya antara kereta paling aerodinamik di dunia.

Ketika memandu uji kereta ini, rata-rata tertarik dengan penampilan futuristiknya namun bagi penulis, bentuknya tidak ubah seperti telur dengan empat roda.

MBUX Hyperscreen canggih tetapi…

Tarikan utama di dalam kabin EQS adalah sistem MBUX Hyperscreen yang menggabungkan tiga skrin iaitu kluster instrumen digital pemandu berukuran 12.3 inci, skrin sentuh OLED 17.1 inci pada bahagian tengah dan skrin sentuh OLED 12.3 inci untuk penumpang depan.

Ya, sekali imbas memang kokpit EQS nampak canggih dan futuristik namun lapisan kaca pada Hyperscreen cepat kotor dengan kesan cap jari.

Bye-bye butang fizikal

Kecuali butang penghidup dan butang lampu kecemasan, majoriti fungsi kenderaan, termasuk sistem pendingin hawa, hanya boleh diakses menerusi skrin sentuh tengah. Ini sudah tentu akan menjejaskan tumpuan pemandu.

Bukan itu sahaja, panel sentuh pada stereng juga tidak begitu mesra pengguna dan anda akan memerlukan masa untuk membiasakan diri.

Suspensi terlalu lembut

Di lebuh raya, EQS menunjukkan kenapa sistem suspensi udara Mercedes-Benz adalah antara yang terbaik dalam pasaran. Setiap permukaan yang beralun diserap dengan begitu lembut sekali sehinggakan perjalanan yang jauh tidak begitu terasa.

Namun di jalan biasa, penulis perlu berhati-hati kerana suspensinya agak lembut sehingga boleh menyebabkan bahagian bawah terhentak jika terlalu laju ketika melalui bonggol. Anda sebenarnya boleh meninggikan lagi sistem suspensi namun siapa yang ada masa untuk mengakses menu ketika sedang memandu?

BYD Seal Performance AWD mengujakan tetapi tidak sempurna – Pandu Uji

BAGI anda yang terlepas, penulis sebenarnya sudah pernah memandu uji BYD Seal beberapa bulan sebelum sedan elektrik itu dilancarkan di Malaysia.

Ketika itu, penulis bersama-sama dengan beberapa penerbitan yang lain dijemput oleh pihak BYD Malaysia untuk merasai sendiri kehebatan Seal di Litar Antarabangsa Zhuhai di China.

Walaupun sesi pandu uji yang dijalankan boleh dikatakan agak pendek, pengalaman memandu Seal di litar tersebut sudah cukup untuk penulis mengatakan yang ia memang sebuah sedan yang berjiwa sporty.

Baru-baru ini, penulis sekali lagi diberi peluang untuk memandu uji Seal tetapi kali ini untuk tempoh yang lebih lama dan dalam persekitaran yang lebih familiar iaitu jalan raya di Malaysia.

Sejujurnya, penulis sebenarnya tidak begitu meminati reka bentuk kereta dari China kerana rata-rata pengeluar dari negara itu gemar ‘meminjam’ elemen-elemen dari model-model lain.

Namun dengan Seal, ia berbeza. Ia tidak nampak seperti mana-mana kereta lain dalam pasaran dan sebagai sebuah sedan sport, ia mempunyai bentuk yang atletik dan nampak laju walaupun tidak bergerak.

Ini kerana Seal direka oleh ketua rekaan BYD yang merupakan warga Jerman iaitu Wolfgang Egger. Beliau bukanlah nama yang asing dalam industri automotif, dengan pengalaman yang cukup luas dalam bidang reka bentuk bersama dengan nama-nama besar seperti Alfa Romeo, Lamborghini dan Audi.

Hasil sentuhan Egger memberikan Seal pekali seretan yang rendah iaitu 0.219, lebih rendah dari Porsche Taycan. Ini penting kerana bentuk yang aerodinamik akan memberikan impak yang besar terhadap jarak gerak sesebuah EV.

Cuma, ada beberapa benda kecil yang kurang cantik di mata penulis. Pertama, terdapat dua tulisan ‘BYD’ pada pintu but. Satu sebenarnya sudah memadai.

Kedua, terdapat tulisan ‘3.8s’ di bawah ‘BYD Seal’. Angka tersebut merujuk kepada prestasi pecutan 0-100 km/j kereta ini tetapi ini juga tidak perlu.

Jika anda seorang yang tradisional seperti penulis, anda pasti akan menyukai ruang dalaman Seal. Ia masih mempunyai butang fizikal, malah pemilihan gear perlu dilakukan menggunakan tombol sebenar dan bukannya menerusi skrin atau butang bodoh seperti sesetengah EV.

Sesetengah orang mungkin akan mengatakan yang ruang kabin Seal kolot atau ketinggalan zaman namun dengan pendekatan yang lebih konvensional ini, ia sebenarnya memudahkan pengguna untuk beralih dari ICE ke EV.

Dari segi kualiti, penulis berpuas hati dengan apa yang ditawarkan oleh Seal. Binaan papan pemuka dan konsol tengah terasa cukup solid, manakala kehadiran upholsteri ala suede dan juga kulit membuatkan penulis terasa seperti berada di dalam kereta conti yang lebih mahal.

Kelengkapan yang diberikan dilihat amat berbaloi dengan harga. Anda mendapat panel instrumen digital, skrin sentuh berputar, Apple CarPlay dan Android Auto, sistem audio Dynaudio dengan 12 pembesar suara, dua pengecas wayarles, bumbung panoramik, NFC dan pendingin hawa dua zon.

Praktikaliti juga boleh dikatakan amat baik untuk sebuah kereta sport. Terdapat ruang simpanan yang agak besar di bawah konsol tengah dan perehat tangan, manakala bahagian belakang tempat duduk hadapan didatangkan dengan poket berkembar.

Tetapi sayangnya, kapasiti ruang but agak kecil iaitu 400 liter namun terdapat ruang simpanan tambahan di bawah lantai but. Jika ini masih tidak mencukupi, terdapat frunk sebesar 53 liter di depan.

Tempat duduk depan sangat selesa dan empuk, selain menawarkan sokongan yang baik untuk pemanduan agresif. Malah, rasanya tidak keterlaluan jika penulis katakan yang ia lebih baik berbanding kerusi Mercedes-Benz EQS.

Di belakang, tempat duduk agak rendah dan anda masih mempunyai ruang kepala yang luas walaupun bumbung kereta ini agak rendah. Ruang kaki juga agak luas, lebih-lebih lagi dengan ketiadaan terowong tengah, cuma anda tidak boleh melunjurkan kaki ke depan kerana kerusi depan diletakkan betul-betul di atas lantai.

Penulis amat menggemari Seal tetapi kereta ini mempunyai beberapa kelemahan yang agak ketara. Pertama sekali, pelarasan corong udara pendingin hawa hanya boleh dilakukan menerusi skrin sentuh, sesuatu yang penulis tidak pernah lihat sebelum ini.

Secara ringkasnya, ia menyusahkan dan tidak praktikal.

Kedua, Seal didatangkan dengan bumbung suria yang besar namun ia tidak disertakan dengan filem penebat cahaya, jadi ruang kabin boleh menjadi agak panas ketika matahari berada tegak di atas kepala.

Lebih pelik lagi, kereta ini tidak mempunyai pelapik cahaya matahari automatik seperti kebanyakan kereta yang mempunyai sunroof. Sebaliknya, BYD memberikan dua pelapik yang perlu dipasang secara manual.

Selain itu, sistem operasi sistem infotainment Seal mudah digunakan tetapi tidak selancar MBUX atau iDrive. Untuk menggunakan Apple CarPlay, anda perlu menyambungkan iPhone anda menggunakan kabel Type A kerana kabel Type C hanya menyokong fungsi pengecasan.

Varian Performance AWD yang penulis pandu uji didatangkan dua motor elektrik. Motor hadapan menjana 215 hp dan 310 Nm manakala motor belakang pula menjana 308 hp dan 360 Nm.

Gabungan ini memberikan kuasa keseluruhan sebanyak 523 hp dan 670 Nm, membolehkan Seal memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.8 saat.

Kali ini, penulis tidak membuat ujian pecutan kerana kereta di Zhuhai, kereta ini telah membuktikan yang ia mampu melakukannya walaupun dalam keadaan permukaan basah dan dengan tayar biasa.

Jadi, jika prestasi pecutan garis lurus adalah keutamaan anda, anda tidak perlu risau kerana Seal Performance AWD mampu mengalahkan atau sekurang-kurangnya mencabar kebanyakan kereta berprestasi tinggi yang ada dalam pasaran.

Cuma, ketika menekan pendikit, penulis dapat merasakan ada sedikit kelambatan atau delay. Walau bagaimanapun, ia tidaklah begitu ketara, malah kebanyakan pemandu mungkin tidak akan perasan. Ini mungkin sesuatu yang disengajakan sama ada untuk menjaga motor elektrik atau sebagai ciri keselamatan.

Pengendalian adalah satu lagi kelebihan yang ada pada Seal, terima kasih kepada sistem suspensi semi-aktif yang digelar sebagai FSD (Frequency Selective Damping). Secara asasnya, ia bertindak untuk melaraskan kekerasan dan kelembutan peredam mengikut keadaan jalan raya.

Di jalan yang rata, ia terasa lebih keras bagi menjadikan kereta lebih stabil dan responsif manakala di jalan yang beralun, ia menjadi lebih lembut bagi menyerap hentakan dengan lebih baik, sekaligus membuatkan kereta lebih selesa.

Berdasarkan pengalaman penulis, amatlah sukar untuk mendapatkan jarak gerak seperti yang dicanang oleh mana-mana pengeluar EV. Perkara yang sama juga penulis hadapi dengan Seal.

Seal Performance AWD didatangkan dengan bateri LFP berkapasiti 82.5 kWj yang menjanjikan jarak gerak sejauh 520 km mengikut kitaran WLTP. Ketika diambil di Ara Damansara, bateri berada pada tahap 98% dengan baki jarak 550 km.

Namun dengan gaya pemanduan yang agak agresif, penulis hanya mendapat jarak gerak sekitar 400 km. Ya, jauh lebih rendah berbanding apa yang ditulis dalam brosur tetapi seperti yang diperkatakan, penulis tidak begitu berhemah ketika memandu uji kereta ini.

Dengan gaya pemanduan yang lebih santai, penulis yakin ia boleh mencapai jarak hampir 500 km yang mana bagi penulis, sudah cukup bagus untuk kebanyakan pemandu di luar sana.

Seal didatangkan dengan pengecasan pantas DC sehingga 150 kW yang boleh mengisi semula tenaga bateri dari 10 hingga 80% dalam 37 minit sahaja.

Bagaimanapun, untuk pengecasan AC, ia hanya mampu menyokong sehingga 7 kW yang mengambil masa kira-kira 15 jam untuk pengecasan penuh.

Namun satu kelebihan yang ada pada bateri Blade adalah anda sentiasa boleh mengecasnya sehingga 100% tanpa perlu risaukan tentang isu kemerosotan prestasi seperti yang sering berlaku pada bateri litium ion.

Spesifikasi BYD Seal Performance AWD

Harga: RM199,800
Kuasa: 523 hp
Tork: 650 Nm
Bateri: 82.5 kWj
Jarak gerak: 520 km (WLTP)

Pandu uji awal smart #3 sebelum kemunculan rasmi pada 21 Mei, ini pendapat kami

SMART Malaysia baru-baru ini mengadakan sesi pratonton bagi model terbaharunya, smart #3 secara eksklusif di ibu pejabat Pro-Net.

Kami juga sempat melihat dengan lebih dekat malah memandu uji smart #3 ini di litar ujian Proton, Shah Alam. Sebelum itu, sedikit latar belakang.

Latar belakang smart #3

Untuk yang belum tahu, smart kini dimiliki oleh Geely dan Mercedes-Benz, mereka hanya memfokus menghasilkan kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) buat masa ini.

Smart #3 bukanlah sekadar versi coupe lebih sporti dari #1. Banyak juga perbezaan teknikal. Pertamanya, ia dibina pada pelantar Sustainable Experience Architecture (SEA) yang dikongsi dengan #1 dan beberapa model di bawah kumpulan Geely.

Secara kasar, smart #3 lebih panjang dan lebar berbanding #1, tetapi lebih rendah. Perbezaan kira-kira 80mm antara keduanya. Jadi secara teori, smart #3 mempunyai pengendalian lebih mantap, betul? Nanti kami ceritakan.

Ciri unik smart #3 ialah bumbung melengkung coupe padanya, berbeza dari bumbung #1 yang lebih lurus. Bumbung smart #3 ini mempunyai permainan warna khas pada tiang-A dan tiang-C, memberikannya kesan ‘bumbung terapung’.

Ciri lain termasuklah lampu LED depan dan belakang, pemegang pintu flush, tingkap tanpa bingkai, dan logo menyala. smart #3 juga lebih aerodinamik berbanding #1, dengan pekali seretan 0.27 (0.29 untuk #1).

Perincian spesifikasi

Penawaran varian adalah mirip dengan smart #1, iaitu Pro, Premium dan Brabus. Varian Pro mempunyai bateri berkapasiti 49kWh manakala Premium dan Brabus adalah 66kWh.

Varian Pro dan Premium mempunyai motor elektrik tunggal di belakang dengan output 272hp dan 343Nm tork, memberikan pecutan 0-100 dalam 5.8 saat.

smart #3 Brabus pula mendapat dua motor di gandar depan dan belakang, dengan kuasa keseluruhan 428hp dan 543Nm tork. Disebabkan #3 Brabus menjadi jentera AWD, pecutan 0-100 adalah jauh lebih pantas, sekitar 3.7 saat sahaja.

Kelajuan maksima kesemua varian adalah 180km/j. Jarak pemanduan pula sekitar 455km untuk Pro dan Premium, dan 415km untuk Brabus.

Tanggapan pertama

Jadi, bagaimana pemanduan awal smart #3 ini? Apa yang boleh kami simpulkan, di litar bujur kelajuan separa-tinggi milik Proton ini, smart #3 memecut dengan bersahaja.

Varian Premium dengan pecutan ke 100km/j dalam 5.8 saat lebih dari mencukupi. Penulis membayangkan kita memandu smart #3 ini memasuki susur lebuh raya. Pecutan mantap bermakna susur masuk lebih mudah, dan aliran trafik lorong utama lebih lancar. Setuju?

Kami juga sempat menguji di bahagian dinamik yang disediakan oleh pihak Pro-Net seperti figure-8, slalom, dan pecutan jalan lurus.

Jelas terasa casis smart #3 ini lebih tegar dan lincah. Ini kerana #3 menggunakan spring, penyerap hentak, dan bar anti-oleng lebih keras berbanding #1, memberikan karakter lebih sporti. Penulis juga rasakan perubahan teknikal ini sangat penting dan sepadan dengan rupa luaran sporti #3 ini.

Menukar arah di figure-8 terasa stabil, malah pengeluaran tork juga lancar di kelajuan rendah. Ini pasti menjadikannya sesuai dipandu oleh pemandu biasa di dalam bandar.

Penulis paling suka di slalom kerana dapat menguji kestabilan casis, had cengkaman tayar, dan penghantaran kuasa.

smart #3 mudah mencapai had cengkaman kerana torknya yang cepat sepantas kilat. Ia mengikut terus kaki kanan anda. Tetapi segala sistem keselamatan dan pembinaan casis lebih tegar memastikan kereta dalam kawalan dan membantu kita sebagai pemandu mengemudi kenderaan melepasi laluan.

Body roll atau olengan badan juga jelas berkurang, menjadikan smart #3 lebih tangkas dan lincah menukar haluan sambil memecut dan membrek.

Secara keseluruhan, jelas smart #3 menunjukkan perbezaan karakternya berbanding #1 dan penulis rasa ia sesuai untuk pembeli muda yang mahukan sebuah EV mengujakan untuk dipandu secara harian.

Nantikan laporan pandu uji penuh kami secara harian dalam bandar dan jarak jauh bila kami mendapat unit pandu uji smart #3 tidak lama lagi.

Sementara itu, anda boleh berkunjung ke Malaysia Autoshow 2024, yang akan berlangsung dari 22 hingga 26 Mei 2024 kerana smart #3 akan membuat penampilan sulung di situ. Wakil smart Malaysia akan berada di Dewan A2 (Dewan Premium), MAEPS, Serdang.

smart #1 Brabus EV paling sporti dalam kelasnya – Pandu uji

SEBELUM pelancaran smart #1 untuk pasaran Malaysia, penulis telah hadir ke setiap sesi pratonton dan pandu uji eksklusif. Kiranya, penulis sudah cukup membelek spesifikasi kenderaan elektrik (EV) ini.

Masalahnya, penulis pada masa itu belum nampak apa keunikan sebenar smart #1. Yang penulis nampak hanyalah ciri seperti mod parti dimana ia memainkan muzik kuat di luar lengkap dengan kelipan lampu, selain avatar musang comel yang menjadi pembantu dalam infotainment, semua ini lebih kepada gimik.

Apakah ciri yang boleh membuatkan seseorang memilih smart #1 dengan lambakan pilihan yang ada dalam pasaran sekarang. Ya, seperti anda lihat, pasaran EV dengan julat harga RM150,000 hingga RM250,000 memang kompetitif buat masa sekarang.

Tetapi selepas memandu uji sendiri smart #1 Brabus yang berharga RM249,000 selama beberapa hari, penulis mula faham.

EV paling sporti dalam kelasnya

Perkara ini penulis hanya sedari pada hari terakhir meminjam smart #1 Brabus. Penulis terdetik dalam hati, “Eh betullah, mana ada EV lain dalam pasaran dengan warna seakan-akan matte grey, bumbung merah menyerlah, tempat duduk sports dengan balutan kulit suede, dan juga stereng balutan suede.”

Warna kelabu ini ialah Atom Grey dengan bumbung Radiant Red, hanya boleh didapati pada varian Brabus. Tema warna sebegini seperti throwback kepada zaman smart dan Brabus yang dulu.

smart Fortwo dulu pernah dikeluarkan dalam versi Brabus, jadi ini suatu sentuhan menarik untuk mereka yang masih ingat.

Selain dari kemasan luaran berimej sporti seperi logo dan emblem hitam (varian Pro dan Premium mendapat emblem krom biasa) dan merah-merah pada beberapa bahagian lain di badan, penulis cukup suka dengan kemasan dalam kabin.

Tempat duduk sportsnya tetap selesa dan tidak keras atau terlalu ‘memeluk’, dan kemasan kelabu pada papan pemuka dan balutan suede pada stereng memberikan kelainan untuk EV yang ada hari ini. Kebanyakan EV dalam pasaran lebih kepada minimalistik atau ke arah premium.

Tali pinggang keledar juga berwarna merah, ini memang wajib.

Dan sudah tentu dengan dua motor yang mampu menjana 422hp dan 543Nm tork, pecutan untuk smart #1 Brabus ini cukup mengujakan. Walaupun mempunyai berat 1,900kg, ia masih mampu mencapai 100km/j dalam 3.9 saat sahaja.

Ditambah dengan bunyi yang digarap oleh pembesar suara, ia sepadan dengan prestasi Brabus ini kerana bunyinya mirip enjin V8 AMG. Bila dalam pecutan laju dan ditemani bunyi sebegini, kadang-kadang anda sudah tidak peduli sama ada ia bunyi sebenar atau hanyalah palsu.

Di selekoh, getah hitam Dunlop SportMAxx bersaiz 235/46/R19 di setiap penjuru memastikan anda berada dalam kawalan dan cengkaman dengan tahap tinggi setiap masa.

Tetapi jika anda gelojoh menekan pedal ‘minyak’ semasa keluar selekoh, smart #1 ini masih boleh understeer dan sedikit terasar ke luar; sebuah karakter yang masih selamat, lebih baik dari oversteer.

Stereng tidak terlalu berat atau ringan, sesedap rasa walaupun kurang maklum balas. Tetapi pengendalian smart #1 Brabus ini tetap menyeronokkan kerana ada sedikit berat yang akan mengolengkan badan di selekoh, dan anda ada lambakan kuasa jika perlu.

Jika anda mahukan konteks, pengendalian smart #1 Brabus ini ada rasa SUV prestasi tinggi seperti Porsche Macan, Mercedes GLA250 AMG Line atau Mazda CX-5 2.5T turbo.

Kualiti binaan solid

Dari jarak-jarak panel badan kenderaan, papan pemuka, hinggalah kepada rasa dan feel setiap butang kawalan, anda dapat rasakan smart #1 ini satu tahap lebih atas berbanding EV lain yang berlumba-lumba untuk menarik pelanggan dengan harga paling mampu milik.

Kemudian cermin tanpa bingkai, bumbung panoramik, dan lampu logo smart yang menyala di tiang-C menambah kepada kecantikan dan rasa premium EV ini.

Praktikal dan seronok dipandu setiap hari

Walaupun smart #1 Brabus membawakan imej sporti dan prestasi tinggi, ia praktikal digunakan setiap hari. Bukaan pintu depan dan belakang adalah luas, dari segi ketinggian juga ideal untuk penumpang keluar dan masuk.

Ruang depan terasa lapang di kaki dan kepala, tetapi sedikit sempit di konsol tengah. Tetapi seperti biasa, konsol tengahnya menempatkan ruang-ruang simpanan, pad pengecasan tanpa-wayar.

Malah terdapat selapis lagi ruang di bahagian bawah. Inilah kelebihan EV, tiada transmisi, maka ada lebih ruang simpanan.

Ruang belakang terasa lebih lapang dengan bukaan tingkap yang luas. Walaupun tempat duduknya masih nampak sporti, ia sebenarnya agak empuk dan selesa untuk perjalanan jauh. Terdapat dua soket USB berdekatan corong pendingin hawa belakang, satu jenis Type-A dan satu lagi Type-C.

Penulis seronok memandu #1 Brabus ini untuk urusan seharian seperti menghantar anak ke sekolah dan pergi ke kedai runcit. Selain penampilan unik dan sporti, ia mudah dikendalikan di jalan-jalan sempit dan memasuki parkir.

Jika anda mahu mengetahui bagaimana pemanduan smart #1 ini untuk jarak jauh, boleh baca laporan rakan sekerja penulis semasa beliau memandunya ke Pulau Pinang.

Tetapi dari pengalaman penulis memandu dalam trafik dan lebuh raya sekitar Lembah Klang, penulis boleh katakan jarak yang dipaparkan pada kereta ini cukup realistik. Baterinya bertahan cukup baik walaupun kita memandu pada kelajuan tiga digit di lebuh raya.

Pengecasan mudah

Seperti biasa untuk sebuah EV, kita perlu sentuh bab pengecasan. smart #1 Brabus boleh dicas dari 10 hingga 80 peratus dalam masa 30 saat sahaja menggunaka DC kerana ia menyokong sehingga 150kW.

Yang menariknya ialah pengecasan AC kereta ini, yang boleh dibuat pada kadar 22kW. Kebanyakan EV dalam pasaran hanya boleh dicas pada 11kW. Jadi ini satu kelebihan besar buat smart kerana pengecasan AC dari 10 hingga 80 peratus hanya mengambil masa kira-kira tiga jam.

Sudah tentu kebanyakan pemilik akan ada pengecas AC sendiri di rumah, dan tidak perlu bergegas. Kereta boleh dicas pada waktu malam sebaik anda pulang dari bekerja, dan bateri sudah penuh menjelang tengah malam.

Tetapi apa salahnya jika boleh dicas lebih pantas, masih bagus, manalah tahu ada situasi luar jangkaan yang memerlukan kita memandu kereta ini, bukan?

Aplikasi Hello smart juga membantu dalam pengecasan sekiranya anda mahu mencari stesen pengecas awam, seperti dari pengalaman penulis.

Terdapat banyak maklumat seperti lokasi, jarak, kekosongan, dan harga dipaparkan. Kemudian semasa mengecas, anda boleh memantau status bateri dan kenderaan dari jauh melalui telefon pintar sahaja.

Padat dengan teknologi

Seperti kebanyakan EV lain, smart #1 Brabus juga padat dengan teknologi. Skrin infotainment 12.8-inci menyimpan pelbagai fungsi. Tetapi yang menariknya ialah sistem dalam smart #1 ini mempunyai paparan unik dan agak ceria.

Di menu utama terdapat imej seperti glob yang menyusun fungsi-fungsi dan terdapat avatar musang yang akan menyahut bila anda memberikan arahan suara. Sistem ini nampak agak berserabut dan sukar pada mulanya tetapi bila anda sudah biasa, sebenarnya mudah dan agak membantu.

Sudah tentu satu lagi teknologi yang menjadi keunikan untuk smart #1 ialah sistem audio Beats, jika anda masih ingat headphone Beats by Dr Dre yang pernah popular suatu ketika dulu.

Sistem audio ini hanya terdapat pada varian Premium dan Brabus. Penulis tidaklah begitu pandai menilai kualiti bunyi, tetapi untuk penulis, sistem ini memang sedap bunyinya dan menepati jangkaan anda. Padan dengan namanya.

Kemudian, sistem keselamatan juga penuh dan lengkap untuk smart #1 Brabus ini. Dari ESC, tujuh beg udara, hinggalah sistem ADAS seperti Adaptive Cruise Control, Lane Keep Assist, Lane Departure Warning dan Blind Spot Monitoring, semuanya ada. Cuma kadang-kala bunyi amarannya terlalu pelik atau kuat.

Tetapi anda boleh sahaja tukar tetapan ini dalam menu skrin.

Ada kelemahan?

Menyebut menu skrin, ini sedikit kelemahan untuk smart #1 Brabus. Kami faham jika kebanyakan fungsi yang jarang digunakan ‘disimpan’ dan disorok dalam menu skrin.

Tetapi untuk fungsi seperti pendingin hawa, anda masih perlu tekan 2-3 langkah untuk melaras suhu atau kipas, sesuatu yang sangat tidak praktikal.

Malah, pelarasan cermin sisi juga dibuat melalui skrin. Tetapi ini agak cool juga bila difikirkan, tidak begitu menjengkelkan kerana jarang untuk kita buat.

Kesimpulan

Akhir sekali, penulis mempunyai masa dan pengalaman cukup menyenangkan selama beberapa hari memandu uji smart #1 Brabus. Ia bergaya, praktikal, moden, unik, dan seronok dipandu.

Penulis juga sempat mematikan Traction Control sepenuhnya di kawasan lapang off-road, dan smart #1 Brabus ini boleh menjadi liar! Kesemua 543Nm tork dihamburkan tanpa sebarang tapisan, membuatkan penulis terasa seperti memandu jentera Rally Dakar elektrik!

smart #1 Brabus boleh menjadi calon sesuai jika anda golongan muda atau dengan keluarga kecil yang ingin mencari EV pertama.

Spesifikasi smart #1 Brabus

Harga: RM249,000
Bateri: 66kWh
Kuasa: 422hp
Tork: 543Nm

Mercedes-Benz EQS 500 4Matic – S-Class versi elektrik? – Pandu Uji

Mercedes-Benz mempunyai portfolio produk yang luas, dari sekecil-kecil hatchback hinggalah sebesar-besar SUV. Seperti yang anda tahu, S-Class atau Sonderklasse merupakan penawaran tertinggi syarikat itu dalam barisan model enjin pembakaran dalamannya (ICE).

Dalam segmen elektrik, status model flagship Mercedes-Benz dipegang oleh EQS. Huruf ‘S’ pada hujung namanya mungkin membuatkan anda menyangka yang ia adalah S-Class versi elektrik. Ini ada benarnya tetapi ia tidak semudah itu.

Pertama sekali, kedua-dua model berkenaan menggunakan platform yang berbeza. S-Class dibina di atas platform Modular Rear Architecture (MRA2) manakala EQS pula menggunakan platform Electric Vehicle Architecture (EVA) yang dibangunkan khusus untuk EV.

Kesan dari penggunaan platform yang berbeza boleh dilihat dari ukuran dimensi, di mana EQS sedikit lebih kecil daripada S-Class dengan ukuran panjang 5,216 mm, lebar 1,926 mm dan tinggi 1,512 mm. Ukuran tapak rodanya juga lebih pendek sebanyak 6 mm pada 3,210 mm.

Tidak seperti BMW 7 Series dan i7 yang kelihatan hampir 100% sama, reka bentuk luaran S-Class dan EQS juga sangat jauh berbeza – bagai langit dengan bumi, bak kata orang lama.

Tidak perlu diperkatakan lagi yang S-Class masih mengekalkan bentuk “tiga kotak” tradisional yang meletakkan model itu di peta dunia sejak ia diperkenalkan buat kali pertama.

Sementara itu, EQS pula tampil lebih futuristik dengan bentuk badan yang bujur dan garisan-garisan lembut yang mendominasi keseluruhan bahagian luarannya.

Perlu diingat yang ia merupakan sebuah EV, jadi kecekapan aerodinamik menjadi fokus utama dalam proses reka bentuk. Salah satu cara untuk mencapainya adalah dengan menutup semua lubang yang ada – sebab inilah ia mempunyai ‘wajah’ yang bulat dan licin.

Sejujurnya, saya tidak begitu menggemari rekaan luaran EQS kerana ia nampak agak pelik. Bagaimanapun, rata-rata orang yang saya temui menyatakan mereka menyukai penampilan futuristik dan uniknya.

Bahagian luaran kereta ini mungkin tidak begitu menarik bagi saya namun ruang dalamannya cukup mengagumkan. Memang menjadi kepakaran Mercedes-Benz dalam menggabungkan teknologi dan kemewahan, dan ini dapat dirasakan sendiri sebaik sahaja saya masuk ke dalam EQS.

Seperti yang anda boleh lihat, tarikan utama di sini adalah paparan yang terlindung di sebalik panel kaca selebar 141 cm yang meliputi keseluruhan papan pemuka.

Digelar sebagai MBUX Hyperscreen, ia sebenarnya adalah gabungan tiga skrin kluster instrumen digital untuk pemandu berukuran 12.3 inci, skrin sentuh tengah OLED berukuran 17.1 inci dan sebuah lagi skrin sentuh OLED 17.1 inci untuk penumpang hadapan.

Seperti yang boleh dijangka dengan sistem MBUX, grafik yang dipaparkan sangat tajam dan jelas, manakala operasinya lancar tanpa sebarang isu lag. Skrin penumpang hadapan membuatkan kokpit tampak canggih namun ia tidak lebih dari sekadar gimik.

Cuma, dengan penggunaan skrin yang besar ini, majoriti fungsi kenderaan hanya boleh diakses menerusi skrin sentuh tengah tersebut. Ini sedikit sebanyak menjejaskan tumpuan ketika memandu tetapi untuk pendingin hawa, terdapat ruang khas yang disediakan jadi pemandu boleh mengawalnya tanpa perlu memasuki menu.

Perkara yang sama juga boleh dikatakan mengenai stereng, di mana Mercedes memilih untuk menggunakan panel sesentuh. Memang tidak dapat dinafikan yang ia nampak cantik dan mewah anda mungkin memerlukan sedikit membiasakan diri dengannya.

Seperti S-Class, keselesaan penumpang belakang juga menjadi keutamaan. Di samping tempat duduk empuk berserta perehat kepala yang lembut, mereka juga mendapat skrin tersendiri serta tablet yang boleh digunakan untuk mengawal fungsi kenderaan atau bermain permainan yang disediakan.

Selain itu, EQS didatangkan dengan banyak ciri-ciri keselesaan lain termasuk sistem pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna, sistem pendingin hawa empat zon, dan sistem audio Burmester 3D lengkap dengan fon kepala untuk penumpang belakang.

Bagaimanapun, saya perasan kereta ini tidak mempunyai tirai pada pintu belakang dan cermin belakang. Agak pelik kerana saya pasti privasi adalah salah satu sebab utama kereta-kereta limosin Mercedes popular dalam kalangan golongan kaya.

 

EQS 500 yang penulis berpeluang memandu uji baru-baru ini merupakan model pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di Pekan, Pahang.  Ia menggantikan varian pertama EQS yang dilancarkan di Malaysia iaitu EQS 450+ yang dibawa masuk sebagai model CBU.

Varian ini lebih berkuasa namun penampilannya tidak segarang EQS 450+ yang didatangkan dengan kit AMG Line dan rim aloi AMG berukuran 21 inci. Entah kenapa, EQS 500 hanya diberikan kit Electric Art Line dan rim 20 inci dengan rekaan yang agak konservatif.

EQS 500 dikuasakan oleh dua motor elektrik yang menjana kuasa keseluruhan sebanyak 449 PS dan 828 Nm, 116 PS dan 260 Nm lebih tinggi berbanding EQS 450+ yang mempunyai motor elektrik tunggal pada gandar belakang.

 

Walaupun mempunyai berat sekitar 2.4 tan, limosin elektrik ini mencapai kelajuan 100 km/j dengan begitu mudah. Atas kertas, ia mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam hanya 4.8 saat namun kadang-kala ia terasa lebih pantas daripada itu, walaupun ketika saya memandu dalam mod Comfort.

Dari segi kuasa, memang tidak dinafikan model ini mampu bersaing dengan kebanyakan kereta sport yang ada dalam pasaran namun bagaimana pula dari segi pemanduan?

Terima kasih kepada sistem suspensi udaranya, EQS sememangnya antara kereta yang paling selesa untuk dinaiki – tidak kira sama ada sebagai pemandu atau pun penumpang. Di lebuh raya, setiap permukaan yang beralun diserap dengan begitu lembut sekali sehinggakan perjalanan yang jauh tidak begitu terasa.

Namun ketika melalui bonggol had laju, saya sentiasa perlu berhati-hati kerana suspensi yang agak lembut akan menyebabkan bahagian bawah kenderaan terhentak jika terlalu laju.

Menariknya, walaupun mempunyai karakter yang agak matang, EQS boleh dikatakan agak lincah di selekoh. Mungkin kerana pek baterinya diletakkan pada kedudukan yang agak rendah, sedan ini bagaikan melekap di jalan setiap kali ia dipandu dengan agresif.

Selain talaan casis, satu lagi faktor penyumbang adalah sistem stereng roda belakang. Ia membolehkan roda belakang dipusing sehingga 10 darjah untuk mengecilkan radius putaran, sekali gus memberikan pengendalian yang lebih tajam.

Mengenai jarak pemanduan pula, bateri berkapasiti 108.4 kWj menjanjikan jarak gerak sejauh 696 km dengan satu cas penuh berdasarkan kitaran WLTP yang lebih tepat.

Walaupun kitaran WLTP boleh dikatakan agak tepat, saya sudah mengetahui yang agak sukar untuk mencapai angka tersebut di dalam situasi dunia sebenar. Sangkaan saya terbukti tepat apabila saya hanya berjaya mencapai jarak kira-kira 600 km sebelum cas bateri turun ke tahap yang membimbangkan.

Bagi saya, 600 km untuk satu cas penuh sudah cukup memadai untuk kebanyakan pemandu. Melainkan anda sering keluar outstation, anda mungkin perlu mengecas EQS beberapa kali sahaja sebulan.

Jika difikirkan balik, EQS dan S-Class secara asasnya memang dua model yang berbeza namun kedua-duanya menawarkan benda yang sama iaitu kemewahan, keselesaan dan prestasi yang terbaik dalam kelasnya.

Cuma, EQS sebagai sebuah EV tampil dengan pakej yang lebih unik dan futuristik, sesuatu yang dilihat akan menarik perhatian golongan pembeli yang lebih muda.

Spesifikasi Mercedes-Benz EQS 500 4Matic

Harga: RM648,888
Kuasa: 449 PS
Tork: 828 Nm
Bateri: 93.4 kWj
Jarak gerak: 696 km (WLTP)

Volvo Safety Driving Experience beri peluang tangani situasi kecemasan, rasai sistem keselamatan termaju

JIKA ditanya apa yang anda fikirkan dengan Volvo, pastinya keselamatan. Pengeluar Sweden itu begitu sinonim dengan keselamatan dan berbangga dengannya.

Baru-baru ini, Volvo Car Malaysia menganjurkan Volvo Safety Driving Experience yang pertama mereka di pangkalan udara pertama negara ini (bekas), di Bandar Malaysia, Sungai Besi.

Acara yang diadakan pada Sabtu beberapa minggu lepas itu menyaksikan lebih 240 pemilik dan peminat Volvo mempelajari kemahiran-kemahiran memandu melalui latihan seperti membrek, mengemudi stereng, dan menukar lorong dengan pantas.

Bagi kami pengamal media, tidaklah begitu asing dengan aktiviti sebegini, tetapi ia kali pertama dengan Volvo, jadi ia tetap sesuatu yang menarik untuk dilihat.

Aktiviti pemanduan pertama yang dibuat adalah menukar lorong ke kiri atau kanan diikuti dengan brek maksima sehingga kenderaan berhenti. Menggunakan Volvo C40 Recharge dan XC40 Recharge, aktiviti ini dilakukan pada kelajuan 60 atau 70km/j.

Walau pada kelajuan ini, dapat dilihat ia boleh terasa agresif untuk penumpang meskipun kereta kekal stabil. Bayangkan situasi kecemasa ini perlu dibuat semasa anda memandu pada kelajuan 110km/j di lebuh raya…

Seterusnya kami dibawa ke aktiviti membrek dengan jalan lurus dan sambil mengelak halangan. Di sini, dapat dilihat ABS membolehkan kereta masih boleh dikawal walaupun membrek dengan kuat.

Paling penting adalah kemampuan pemandu untuk bertindak balas dan fokus semasa pemanduan bagi mengurangkan risiko perlanggaran semasa situasi kecemasan.

Seterusnya kami dibawa ke demonstrasi sistem-sistem keselamatan yang ada pada model-model Volvo terkini.

Antaranya adalah Cross Traffic Alert yang memberi amaran kepada pemandu akan trafik di belakang semasa mahu mengundur keluar dari parker. Amaran yang diberi adalah tepat bergantung kepada arah dan jarak trafik itu.

Kami juga sempat mencuba sistem Pilot Assist dengan Volvo V60 yang membantu pemandu mengawal kelajuan dalam trafik berserta bantuan stereng.

@engear.tv #Volvo haritu jemput kita untuk join Safety Driving Experience untuk tambah ilmu memandu. #safety #engeartv #malaysia #fyp #carsoftiktok ♬ original sound – Engear TV

Paling penting, Pilot Assist juga mampu membrek secara automatik sekiranya trafik di depan semakin perlahan, dan ia melakukannya dengan lembut dan semulajadi, seperti pemandu sebenar. Ini pastinya dapat mengurangkan beban dan keletihan pemandu dalam situasi seharian.

Aktiviti terakhir adalah slalom course dan pecutan pada kelajuan tinggi. Di slalom, kami dapat merasai kelincahan Volvo S90, V60, XC60 dan XC90 dikemudi di laluan sempit dengan tangkas, tetapi dalam keadaan selamat.

Walaupun kebanyakan model-model ini mempunyai berat sekitar dua tan, ia masih stabil dan lincah malah mempunyai prestasi brek yang begitu meyakinkan.

Akhir sekali untuk aktiviti pemanduan kelajuan tinggi, kami diberi peluang memecut di landasan Lapangan Terbang Sungai Besi sepanjang 1.8km, cumanya kami bukan juruterbang yang hendak berlepas.

Sebaliknya kami memecut model-model Volvo plug-in hybrid ini hingga ke kelajuan maksima 180km/j dan terbukti kestabilan model-model ini apabila membrek dari kelajuan tinggi. Kelajuan maksima ini juga boleh dicapai begitu pantas, kira-kira 20 saat sahaja.

Secara keseluruhan, Volvo Safety Driving Experience memberikan peluang kepada peserta mengalami dan menguji sendiri kemampuan model-model Volvo dalam situasi yang membabitkan keselamatan. Semua peserta termasuk pengamal media juga diberikan sijil penyertaan.

Selain itu, di ruangan hangar, terdapat pameran semua barisan model-model Volvo, pameran oleh Pirelli iaitu penaja utama tayar, dan aktiviti-aktiviti untuk keluarga iaitu Småland untuk kanak-kanak, dan pameran oleh PURAS.

smart #1 lulus ujian perjalanan jarak jauh KL-Pulau Pinang – Pandu Uji

BEBERAPA tahun yang lalu, Mercedes-Benz menerusi Daimler AG telah menandatangani perjanjian bersama Geely untuk pemilikan 50:50 jenama smart.

Dengan termeterainya perjanjian tersebut, smart telah memasuki era kenderaan elektrik (EV) di mana setiap produk keluarannya akan menggunakan teknologi Geely dan reka bentuk Mercedes-Benz.

Model pertama yang terhasil daripada gabungan unik Jerman-China ini adalah smart #1. Ia telah dilancarkan di Malaysia pada November 2023 dengan anak syarikat Proton iaitu Pro-Net (smart Malaysia) sebagai pengedar rasmi.

Baru-baru ini, saya telah dijemput oleh pihak smart Malaysia untuk merasai sendiri pengalaman memandu uji EV berkenaan dari Selangor ke Pulau Pinang.

Secara ringkasnya, terdapat dua varian yang disediakan iaitu Premium dan Brabus dengan pihak media berpeluang memandu kedua-dua varian berkenaan secara bergilir-gilir. Berikut adalah pendapat saya mengenai smart #1:

Ia mungkin antara EV tercantik dalam segmennya

Jika anda inginkan sebuah EV yang rendah dan kelihatan agresif seperti sebuah kereta sport, #1 bukan untuk anda. Ini kerana ia merupakan sebuah SUV dengan bumbung yang agak tinggi dan garisan-garisan badannya juga agak lembut.

Bagaimanapun, terima kasih kepada Mercedes-Benz, ada beberapa elemen reka bentuk yang berjaya menarik perhatian saya. Ini termasuk lampu depan dan belakang yang mempunyai bentuk ‘X’, efek bumbung terapung dan tingkap sisi tidak berbingkai.

Bukan itu sahaja, #1 juga mempunyai party trick yang boleh digunakan untuk menarik perhatian orang. Apa yang saya maksudkan adalah logo pada bahagian sisi akan bercahaya apabila kereta dicas, manakala lampu hadapan akan memainkan welcome sequence setiap kali butang unlock ditekan.

Rekaan kabin minimalis dan futuristik

Jika anda suka rekaan luaran #1, ruang dalamannya yang ringkas tetapi bergaya pasti akan membuatkan anda teruja. Pemandu dan penumpang hadapan dipisahkan oleh papan pemuka berbentuk T yang menampilkan warna hitam pada bahagian bawah dan putih pada bahagian atas.

Anda tidak akan menemui banyak butang di sini kerana majoriti fungsi yang ada boleh diakses menerusi skrin sentuh 12.8 inci yang terletak di atas corong pendingin hawa tengah. Untuk pemandu, terdapat paparan 9.2 inci yang sebenarnya agak nipis namun mujurlah ada head-up display 10 inci yang sangat membantu.

Selain itu, terdapat pelbagai ciri premium yang bagi penulis membuatkan tanda harga #1 rasa lebih berbaloi. Antaranya adalah sistem pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna, pengecas wayarles, empat port USB, bumbung panoramic, penyejuk tempat duduk hadapan dan yang paling menarik, sistem audio Beats dengan 13 pembesar suara.

 Ruang dalamannya luas dan praktikal tetapi…

Dengan ukuran tapak roda 2,750 mm (lebih panjang berbanding Kia Niro EV dan Mercedes-Benz EQA), serta ditambah pula dengan bumbung yang agak tinggi, tidak dinafikan ruang kabin #1 memang terasa cukup luas dan selesa untuk perjalanan jauh.

Tidak cukup dengan itu, anda juga mendapat banyak ruang storan. Kereta ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan pemegang cawan dan di bawah papan pemuka, terdapat ruang storan yang cukup luas untuk menyimpan beg kecil dan sebagainya. Masih tidak mencukupi? Terdapat satu lagi ruang storan di bawah perehat tangan.

Bagaimanapun, jika anda ingin membawa seisi keluarga bercuti, anda mungkin perlu fikir dua kali kerana kapasiti but #1 agak kecil iaitu 411 liter sahaja. Di bawah hud, terdapat frunk 15 liter yang cukup-cukup untuk memuatkan kabel pengecas.

Kuasa dan pengendalian? #1 tak kurang hebatnya

Sebelum bertolak ke Pulau Pinang, kami sempat mencuba keupayaan dinamik #1 di litar go-kart Pinnacle Kart USJ. Litar ini agak mencabar kerana laluannya agak sempit dan terdapat banyak selekoh tajam atau hairpin turn.

Di laluan lurus, varian Premium menunjukkan yang ia mempunyai prestasi pecutan setanding kebanyakan hot hatch dengan enjin pembakaran dalaman. Bagaimanapun, ia tidak begitu mengujakan seperti varian Brabus.

Ini kerana varian berkenaan mempunyai output yang jauh lebih tinggi dan ini sudah tentu menjadikan pecutan lebih pantas dan sedikit menakutkan. Bukan itu sahaja, bunyi enjin palsu juga akan disalurkan ke dalam kabin setiap pendikit ditekan dengan agresif bagi menjadikan pemanduan lebih seronok.

Dari segi pengendalian pula, jelas sekali yang #1 tidak direka untuk pemanduan agresif kerana saya dapat merasakan olengan badan yang ketara terutamanya apabila ia ‘dipaksa’ di selekoh-selekoh tajam yang ada di litar go-kart tersebut.

Di sini, #1 Brabus lebih cemerlang kerana ia mempunyai peredam yang lebih keras, menjadikan badan lebih stabil. Kehadiran motor elektrik pada setiap gandar pula memberikan varian ini kelebihan dari segi cengkaman.

Tiada lagi ‘range anxiety’

Dengan #1, penyakit range anxiety yang tidak asing lagi dalam kalangan pemandu EV sedikit sebanyak dapat diubati dengan adanya ciri Charging Map yang membolehkan anda mencari stesen pengecas terdekat dengan mudah.

Menurut smart Malaysia, ciri ini memberikan akses kepada 70% stesen pengecasan awam yang terdapat di seluruh negara.

Bukan itu sahaja, ciri ini juga boleh memaparkan peta yang menunjukkan sejauh mana #1 boleh dipandu dengan tenaga bateri yang masih ada, serta baki tenaga yang akan tinggal setelah sampai di destinasi. Pendek kata, perancangan perjalanan menjadi lebih mudah dengan adanya ciri ini.

Infrastruktur pengecasan EV kita masih belum bersedia

Secara keseluruhannya, perjalanan dari USJ ke Hotel Angsana pada hari itu lancar sahaja walaupun pemanduan dimulakan dengan kapasiti bateri sekitar 85% dengan jarak pandu kira-kira 360 km sahaja.

Kami berhenti di stesen pengecas pantas (DC) 100 kW Gentari di Sunway X Park, Ipoh dengan kapasiti bateri berbaki 30%. Walaupun terdapat sebuah lagi #1 yang sedang menggunakan pengecas tersebut ketika itu, bateri berjaya dicas sehingga 80% dalam masa kurang 30 minit.

Seperti yang dikatakan, semuanya berjalan lancar bagi pihak kami. Namun, ada rakan media lain yang menghadapi masalah teknikal dengan pengecas sehingga mereka terpaksa mencari stesen lain dengan kapasiti bateri berada pada tahap membimbangkan.

Bagaimanapun ketika dalam perjalanan pulang, giliran kereta kami pula berdepan dengan isu pengecasan. Pengecas pantas yang sepatutnya boleh menyalurkan kuasa sehingga 40 kW hanya mampu ‘menyuntik’ 8 hingga 10 kW walaupun tiada EV lain ketika itu.

Ini menyebabkan kami terpaksa menunggu lebih lama dari yang sepatutnya. Dengan kuasa bateri berbaki kurang 50%, kami tekad untuk meneruskan perjalanan ke ibu pejabat Proton di Shah Alam. Kami tiba ke destinasi dengan bateri berbaki 8% dan jarak pandu pula hanya tinggal 32 km.

Kesimpulannya…

Apa yang saya ingin sampaikan di sini adalah kebanyakan yang ada EV di pasaran ketika ini tidak mempunyai masalah untuk melakukan perjalanan jarak jauh. Dengan sedikit perancangan dan gaya pemanduan yang berhemah, perjalanan dari ibu kota ke Utara atau Selatan dengan satu cas penuh bukanlah sesuatu yang mustahil.

Isu utama di sini adalah infrastrukur pengecasan. Di samping bilangannya yang masih rendah, saya berpendapat bahawa penyedia solusi pengecasan EV perlu lebih proaktif dalam memastikan kemudahan mereka sentiasa berada dalam keadaan yang baik bagi memastikan kelancaran kepada pengguna.

BYD Seal sedia bersaing dengan Model 3 – Pandu Uji

RASANYA adil jika dikatakan bahawa setahun yang lalu, tidak ramai orang Malaysia yang pernah mendengar nama BYD.

Namun selepas pelancaran Atto 3 pada Disember 2022, pengeluar kenderaan dari China itu semakin menjadi sebutan ramai terutamanya dalam kalangan peminat kenderaan elektrik (EV).

Berikutan sambutan yang begitu menggalakkan, BYD memperkembangkan portfolionya menerusi pelancaran model EV yang kedua iaitu Dolphin.

Jika anda fikir yang dua model sudah cukup untuk sebuah jenama yang baru hendak mula bertapak, sangkaan anda sebenarnya salah.

Melihat pasaran EV negara ini yang sedang rancak berkembang, BYD berniat untuk mengambil langkah ofensif dengan membawa masuk satu lagi model yang menarik.

Kali ini, ia adalah sebuah sedan dengan perwatakan sporty yang akan memberi saingan secara terus kepada Tesla Model 3 iaitu Seal.

Walaupun masih belum diumumkan secara rasmi, Seal dijangka akan memasuki pasaran Malaysia dalam suku pertama 2024.

Dan sementara menunggu ketibaannya, baru-baru ini kami telah dijemput ke Zhuhai, China untuk melihat dengan lebih dekat Seal dan menguji kehebatan sedan elektrik itu di Litar Antarabangsa Zhuhai.

Bagi yang anda belum tahu, Seal merupakan salah satu model Ocean Series yang juga termasuk Dolphin. Seperti hatchback kecil itu, ia juga dibina menggunakan e-platform 3.0 namun seperti yang boleh dilihat, rekaannya jauh lebih menggoda.

Bagi mereka yang sudah bosan dengan SUV dan crossover, Seal pastinya menarik perhatian kerana ia sebuah sedan empat pintu yang mempunyai elemen reka bentuk yang selalunya terdapat kereta berjenama mewah.

Ini termasuk bumbung ala coupe, pemegang pintu tersembunyi, batang cermin sisi yang nipis dan sirip diffuser yang menonjol. Tidak dilupakan signatur lampu LED depan dan belakang yang begitu menyerlah.

Jika dibandingkan dengan Atto 3 dan Dolphin, ruang dalaman model ini kelihatan lebih serius dan matang dengan tema warna gelap dan rekaan papan pemuka yang lebih konvensional.

Ia juga terasa lebih premium berbanding dua model tersebut, dengan gabungan kulit berkualiti tinggi dan material ala suede, dan tombol gear seperti kristal pada konsol tengah.

Dari segi kelengkapan, kereta ini mempunyai segalanya yang diperlukan oleh pengguna masa kini seperti panel instrument digital, skrin sentuh berputar, Apple CarPlay dan Android Auto, sistem audio Dynaudio, dua pengecas wayarles, bumbung panoramik, NFC dan pendingin hawa dua zon.

Kereta ini juga cemerlang dari segi keselesaan dan praktikaliti. Walaupun mempunyai garisan bumbung yang agak rendah, ruang kepala dirasakan cukup luas. Ruang kaki juga agak besar, lebih-lebih lagi dengan ketiadaan terowong tengah pada bahagian belakang.

Kapasiti ruang but tidaklah begitu besar iaitu 400 liter namun sekiranya ini tidak mencukupi, terdapat ruang storan tambahan di bawah lantai but dan frunk sebesar 53 liter di depan.

“Sporty”, “pecutan” dan “prestasi tinggi” adalah antara perkataan-perkataan yang sering digunakan oleh BYD untuk menggambarkan Seal, jadi Litar Antarabangsa Zhuhai dilihat sebagai lokasi yang paling tepat untuk menguji kemampuan sedan ini.

Sesi pandu uji pada hari itu dibahagikan kepada empat sesi iaitu pecutan, slalom, S-curve dan pemanduan trek penuh. Hujan yang dibawa oleh taufan sedikit sebanyak menjejaskan aktiviti pada hari itu namun secara keseluruhannya, objektif kami dengan Seal tercapai.

Untuk ujian pecutan, kami diberikan varian Performance AWD yang mempunyai 530 PS dan 670 Nm yang dibekalkan oleh sepasang motor elektrik. Atas kertas, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.8 saat, 0.4 lebih pantas berbanding Model 3 Long Range Dual Motor.

Angka tersebut bukanlah sesuatu yang luar biasa untuk sebuah EV dengan dua motor elektrik namun agak mengagumkan yang ia berjaya melakukannya beberapa kali walaupun dalam keadaan permukaan basah, dengan tayar biasa.

Dalam mod Sport, tindak balas yang ditunjukkan oleh pendikit sangat memuaskan dan apa yang paling penting, stereng kekal dalam keadaan lurus dan terkawal dari mula pedal ditekan hinggalah ia dilepaskan.

Sesi slalom dan S-curve memberi peluang kepada saya untuk merasai kelebihan Seal dari segi pengendalian namun kedua-dua sesi itu tidak begitu mengujakan jika dibandingkan dengan sesi pemanduan penuh di litar.

Ini kerana Litar Antarabangsa Zhuhai mempunyai beberapa selekoh berkelajuan tinggi dan laluan lurus sepanjang 900 meter – elemen yang sangat sesuai untuk menguji kuasa dan juga casis Seal.

Seperti yang dikatakan, Seal boleh memecut seperti sebuah kereta sport sebenar namun apa yang lebih mengagumkan adalah talaan casis dan suspensi yang telah dilakukan oleh BYD.

Dengan pek bateri yang agak besar, Seal sebenarnya agak berat dengan berat keseluruhan mencecah 2,185 kg namun pergerakan badannya ketika mula memasuki selekoh boleh dikatakan agak responsif dan tepat dengan input stereng.

Bercakap tentang stereng, talaannya agak seimbang atau dalam erti kata lain, tidak terlalu ringan dan tidak terlalu berat. Mungkin bukan yang terbaik untuk pemanduan agresif di litar namun di jalan raya, rasanya ia sudah cukup memadai.

Namun dengan tork yang agak tinggi, Seal dirasakan agak cenderung untuk ‘membuang’ terutamanya jika pendikit ditekan semasa stereng sedang membelok. Bagaimanapun, harus diingat bahawa tayar yang digunakan bukan jenis UHP dan permukaan litar basah ketika itu.

Sesi pandu uji di Zhuhai ini agak pendek tetapi sudah cukup untuk saya mendapat sedikit idea mengenai apa yang boleh ditawarkan oleh Seal. Dari segi reka bentuk, kelengkapan dan prestasi, ia sudah cukup bersedia untuk menandingi pesaing terdekatnya.

Untuk faktor-faktor lain seperti kebolehgunaan, terutamanya dari segi jarak pandu dan pengecasan, kita perlu menunggu pelancarannya untuk pandu uji yang lebih komprehensif.

Bolehkah Seal menyaingi Model 3 yang mendapat sambutan hangat di sini? Ia bukan satu misi mustahil namun Sime Darby Motors selaku pengedar rasmi BYD perlu menetapkan harga yang kompetitif kerana pada pendapat saya, hargalah yang akan menjadi faktor penentu terbesar untuk kejayaan Seal di Malaysia.

Audi e-tron GT tiada masalah beraksi di litar – Pandu Uji

Jika anda seorang yang kaya dan ingin memiliki kenderaan elektrik (EV), anda sebenarnya mempunyai banyak pilihan yang akan menarik perhatian anda namun berani penulis katakan bahawa tidak ada satu pun yang boleh menangkap jiwa anda seperti Audi e-tron GT.

Sekali pandang sahaja, anda tahu bawa e-tron GT adalah sebuah EV yang direka khusus untuk individu yang bergaya dan berjaya seperti anda.

Ya, mungkin akan ada orang di sekeliling anda yang akan berkata “Baik beli Porsche Taycan, lagi laju”. Benar, atas kertas, kembarnya dari Zuffenhausen itu lebih pantas tetapi ia tidak akan membuatkan anda terasa seperti Tony Stark.

Sebagai sebuah sedan empat pintu dengan jarak pandu sejauh 458 km dengan satu cas penuh, e-tron GT boleh dijadikan sebagai kereta untuk rutian harian, tidak kira jika anda masih bujang atau pun sudah berkeluarga.

Namun, anda juga perlu tahu bahawa kereta ini juga sentiasa bersedia untuk beraksi di litar. Baru-baru ini, penulis dijemput oleh Audi Malaysia untuk merasai sendiri kehebatan e-tron GT quattro dan RS e-tron GT di Litar Antarabangsa Sepang.

Untuk pengetahuan, acara Audi Driving Experience itu dijalankan di bahagian selatan litar (South Paddock) sahaja. Aktiviti pemanduan terbahagi kepada dua bahagian iaitu sesi pandu uji di litar dan ujian pecutan di laluan lurus selepas selekoh 14.

Untuk pusingan pertama, penulis diberikan e-tron GT quattro, varian entry-level yang dilengkapi dengan dua motor elektrik yang menghasilkan output keseluruhan sebanyak 476 PS dan 630 Nm.

Sebaik sahaja keluar dari pit, tujahan keras pada pedal pendikit membuatkan kereta ini terus ‘hidup’ dan memecut bagai tiada hari esok. Kepala tertolak sedikit ke belakang dan tangan mula menggenggam stereng dengan lebih kuat, menandakan kuasa pecutan yang tinggi.

Berdasarkan spesifikasi, model ini hanya memerlukan 4.5 saat untuk mencapai kelajuan 100 km/j dari keadaan pegun namun apabila memecut ketika sedang bergerak, ia boleh mencapai kelajuan 150 km/j sebelum penulis sempat menghembuskan nafas.

Salah satu kelebihan memandu EV adalah tork sentiasa tersedia. Di litar berkelajuan tinggi seperti Sepang, ini amat berguna kerana ia membolehkan anda keluar dari selekoh sepantas kilat. Dan apa yang mengagumkan, ini boleh dilakukan berulang kali.

Bukan itu sahaja, sistem pacuan semua roda quattro yang merupakan trademark Audi juga memainkan peranan penting dalam memberikan cengkaman tinggi, terutamanya ketika menghadapi chicane di selekoh 12 dan 13.

Seterusnya, penulis berpeluang mencuba RS e-tron GT yang secara asasnya merupakan varian yang lebih berkuasa dan mempunyai tahap kelengkapan yang lebih tinggi.

Seperti versi asas, ia juga mempunyai sebuah motor elektrik pada setiap gandar namun kuasa yang dihasilkan lebih tinggi iaitu 598 PS dan 830 Nm. Perbezaan kuasa ini memang boleh dirasakan dengan jelas dan bagi penulis, varian ini terasa lebih ‘liar’ ketika beraksi.

Walau bagaimanapun, ia didatangkan dengan beberapa kelengkapan tambahan yang membuatkan ia lebih hebat berbanding versi asas dari segi dinamik.

Yang pertama adalah sistem suspensi udara. Dengan peredam adaptif pada gandar hadapan dan belakang, sistem ini boleh mengurangkan ketinggian sebanyak 10 mm pada kelajuan 90 km/j dan 12 mm lagi ketika kereta bergerak pada kelajuan 180 km/j ke atas.

Bukan itu sahaja, RS e-tron GT juga dilengkapi dengan sistem stereng roda belakang (rear-wheel steering). Pada kelajuan sekitar 50 km/j, sistem ini akan memusingkan roda belakang berlawanan arah dengan roda hadapan bagi memberikan radius putaran yang lebih kecil.

Pada kelajuan 80 km/j pula, roda belakang akan dipusing mengikut arah roda hadapan. Ini secara tidak langsung akan menjadikan kereta lebih stabil terutamanya ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi.

Satu lagi kelebihan versi RS adalah differential lock pada gandar belakang. Dalam konteks pemanduan di litar, komponen ini menggunakan pemvektoran tork untuk menjadikan kereta lebih lincah ketika memasuki selekoh tajam dan meningkatkan cengkaman ketika keluar.

Untuk sesi ujian pecutan, penulis melakukannya dengan RS e-tron GT sahaja. Di sini, fungsi overboost memainkan peranan penting kerana ia akan meningkatkan kuasa kepada 646 PS untuk sementara waktu bagi membolehkan kereta memecut sepantas yang boleh.

Atas kertas, model RS ini hanya memerlukan 3.3 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j namun penulis berjaya melakukannya dalam masa 3.2 saat, berdasarkan pengukur pecutan yang terpapar pada panel instrumen.

Malah, ada pihak media yang berjaya melakukan pecutan tersebut dalam masa 3.1 saat sahaja. Ini menunjukkan bahawa dalam keadaan tertentu, RS e-tron GT sebenarnya lebih pantas dari yang diperkatakan.

Konklusi

Sejujurnya, penulis tidak rasa bahawa ingin memandu di litar adalah sebab utama kenapa orang membeli EV. Apa yang penulis ingin sampaikan di sini adalah, Audi e-tron GT dan RS e-tron GT adalah EV yang cukup versatil dan sekiranya suatu hari anda ingin melepas gian untuk memandu laju, ia boleh melakukannya tanpa sebarang isu.

Anda mungkin tertanya-tanya jika jarak pandu akan menjadi penghalang untuk pemanduan di litar lumba. Untuk sebuah EV yang boleh dipandu sejauh lebih 400 km dengan satu cas penuh, penulis tidak rasa ada sebarang masalah kerana jika diambil kira jarak Litar Antarabangsa Sepang iaitu 5.543 km, anda sebenarnya boleh memandu e-tron GT berpuluh-puluh pusingan sebelum kuasa bateri turun ke tahap yang boleh dianggap ‘membimbangkan’.

Spesifikasi Audi e-tron GT quattro

Harga: RM588,790
Kuasa: 476 PS (530 PS dengan overboost)
Tork: 630 Nm (64o Nm dengan overboost)
Bateri: 93.4 kWj

Spesifikasi Audi RS e-tron GT

Harga: RM793,790
Kuasa: 598 PS (646 PS dengan overboost)
Tork: 830 Nm
Bateri: 93.4 kWj