Category Archives: Elektrik

iX3 sebuah EV BMW ‘tradisional’ kerana ia RWD – Pandu uji

BMW merupakan antara pengeluar di Malaysia yang banyak menawarkan model elektrik (EV), antaranya i4, i7, iX1, iX3, dan iX. Kali ini, Engear diberi peluang oleh BMW Malaysia untuk meluangkan hujung minggu bersama iX3.

Ada satu rahsia, walaupun iX3 ialah model EV yang boleh dikatakan sebagai baharu, futuristik dan terkini, ia mempunyai sifat sebuah BMW tradisional. Kenapa? Kerana ianya sebuah jentera RWD sejati.

Ya, BMW M3 pun kini sudah pacuan semua-roda dengan sistem xDrive, tetapi iX3 sebuah SUV EV pula RWD. Memang dunia yang pelik kita hidup sekarang.

Konfigurasi RWD

BMW iX3 mempunyai konfigurasi RWD kerana ia dipacu motor elektrik tunggal yang dipasang di gandar belakang, dengan output 282hp dan 400Nm tork. Motor ini mendapat kuasanya dari bateri 73.8kWh yang mampu memberikan iX3 jarak pemanduan sehingga 453km.

 

Kami beriya-iya cakap mengenai RWD, apa yang penting sangat? Mungkin kebanyakan pemandu tidak kisah pun. Ia satu fakta menarik kerana apabila tayar depan tidak perlu menghantar kuasa dan hanya menggalas tugas membelok, ia akan menyebabkan stereng rasa begitu telus dan tepat.

Jadi adakah ia bermakna kereta ini laju? Tidak semestinya. Ini cuma bermakna iX3 mempunyai ‘feel’ atau rasa seperti kereta sports sejati; kuasa 100 peratus di tayar belakang, stereng 100 peratus oleh tayar depan. Bila kali terakhir anda pandu kereta sebegini?

Tetapi nak kata BMW iX3 ini perlahan, tidak juga. Prestasi masih mantap. Walaupun mempunyai berat 2,200kg, ia masih mampu memecut ke 100km/j dalam masa 6.8 saat, lebih pantas dari kebanyakan kereta. Cuma kelajuan maksima dihadkan kepada 180km/j ‘sahaja’, biasalah EV.

Tetapi memang benar, sepanjang penulis pandu BMW iX3 ini, pengendalian di selekoh cukup seimbang dan memuaskan. Beratnya tertumpu di tengah, stereng yang banyak maklum balas, dan tork 400Nm boleh diakses kebanyakan masa.

Pemanduan waktu malam ditemani dengan lampu BMW Laser Light yang bukan sahaja nampak canggih, tetapi memberikan penglihatan mantap untuk pemandu. Secara tidak langsung, ini juga menambahkan aspek keselamatan.

Mewah dan praktikal untuk kegunaan seharian

 

BMW iX3 yang kami pandu merupakan varian M Sport Impressive, jadi ia mendapat kemasan badan yang sporti walaupun terdapat klu EV dari elemen-elemen biru.

Elemen biru dapat dilihat pada gril bertutup, kemasukan udara di bampar depan, dan diffuser belakang. Tetapi elemen sporti mendominasi rekaan luar iX3 M Sport ini, seperti rim 20-inci, bampar sisi yang agresif, dan rekaan diffuser belakang yang menyerlah, selain spoiler bumbung.

Profil sisi BMW iX3 ini masih klasik SUV, dan mirip X3. Menunjukkan aspek kekeluargaannya dengan model-model lain. Harus diketahui juga lantai bawah iX3 ini hampir rata seperti kereta sports, dan ia berfungsi bersama diffuser belakang.

Cuma bahagian kabin secara keseluruhan terasa biasa dan tidak terlalu istimewa. Papan pemukanya menampilkan rekaan yang sudah kita kenali, tidaklah buruk, cuma mungkin agak berusia.

Walaubagaimanapun, jika anda rajin ‘mengorek’ ke dalam skrin tengahnya, terdapat banyak kandungan yang khas pada model elektrik. Antarnya adalah menu-menu agihan kuasa, mod regenerative, dan perancangan untuk mengecas.

Penulis cukup suka dengan sistem audio Harman Kardon 464 watt pada iX3 ini yang mampu membuatkan anda rajin memandu kereta ini kerana dapat memainkan lagu kegemaran dengan alunan cukup enak. Isteri suruh beli gula sepaket pun anda akan rajin memandu BMW iX3 ini walaupun jarak dekat.

Keluasan tiada masalah untuk iX3, cukup lapang dengan kelegaan kaki dan kepala yang lebih dari mencukupi untuk lima orang dewasa.

Data perjalanan

Baik, sekarang kita jangan lupa hakikat bahawa BMW iX3 ini sebuah EV, jadi macam mana prestasi dan praktikaliti penggunaan hariannya? Cukup 453km? Sebenarnya, jujur cakap, semasa kami dapat kereta ini, baterinya pada tahap 95 peratus dengan hanya 313km jarak pemanduan. Aduh! Macam mana tu?

Harus diketahui bacaan jarak kereta EV dikira berdasarkan cara pemanduan sebelumnya. Mungkin pemandu sebelum itu melenjan iX3 ini tidak ingat dunia, seronok dengan tork 400Nm yang dibekalkan.

Dari pengalaman penulis pula, walaupun jarak dipaparkan 313km, penulis dapat pandu lebih dari 350km dengan baki 25km semasa memulangkan iX3 ini. Bagaimana?

Penulis banyak memandu dalam bandar dengan kelajuan kurang 120km/j, banyak melakukan stop and go. Jadi berat kereta 2.2 tan itu memberikan momentum untuk sistem regenerative mengembalikan semula tenaga ke dalam bateri setiap kali penulis memperlahankan kereta.

Boleh dikatakan 90 peratus situasi pemanduan penulis tidak menekan pedal brek, cukup sekadar mengangkat kaki dari pedal ‘minyak’, dan iX3 menggunakan regen untuk berhenti, bukannya brek cakera.

Sistem regen padanya juga boleh dilaras pada beberapa tahap, mengikut keadaan dan kesesuaian. Dari pengalaman penulis, anda boleh gunakan regen maksima dalam bandar dan pemanduan perlahan, manakala regen minima untuk pemanduan lebih laju seperti di lebuh raya.

Jadi, penulis tidak sempat menghabiskan bateri sepanjang beberapa hari memandu iX3 di sekitar Kuala Lumpur, satu perkara yang bagus juga lah kan?

Tetapi untuk pengetahuan anda, iX3 akan memerlukan tujuh jam setengah untuk cas penuh jika menggunakan AC. Jika menggunakan pengecasan pantas DC, ia menyokong sehingga 150kW, bermakna 80 peratus bateri dapat dicapai dalam hanya 32 minit.

Boleh beli?

Pasaran EV di Malaysia sememangnya ‘dikacau’ oleh kehadiran Tesla yang menawarkan model dengan jarak pemanduan lebih 500km pada harga bawah RM200,000.

Jadi, bagaimana dengan BMW iX3? Varian M Sport Inspiring bermula pada RM307,160 manakala varian M Sport Impressive yang kami uji ini berharga RM328,160.

Pada pendapat penulis, peminat kereta sejati tidak kisah akan semua itu, terutamanya peminat BMW. iX3 sesuai untuk pemilik BMW yang mahu teknologi EV setelah mereka ada sebuah 5-Series atau X3 di rumah.

iX3 akan menjadi EV yang praktikal untuk kegunaan bandar, di samping mengekalkan imej sporti dan ‘petrolhead’. Malah, ia juga tidak terus nampak seperti sebuah EV sekali lihat, jika itu yang anda gemarkan.

@engear.tv 3 Rahsia Pasal SUV BMW iX3 #engeartv #rahsia #bmw #ix3 #bmwix3 #suv #tiktokmalaysia #malaysia #review #fyp #reels ♬ original sound – Engear TV

Spesifikasi BMW iX3 M Sport Impressive

Harga: RM328,160
Bateri: 73.8kWh
Kuasa: 282hp
Tork: 400Nm

MINI Electric Resolute Edition yang terpaling go-kart – Pandu uji

TANYA sesiapa sahaja yang memiliki atau pernah memandu kereta MINI, pasti akan berkata pengendaliannya seperti go-kart. Atau go-kart dengan bumbung, cermin, pendingin hawa, lampu, dan nombor plat.

Walaupun MINI sekarang tidak begitu ‘mini’ lagi, jika kita tengok model Countryman atau Clubman pun sudah agak besar, sama saiz dengan BMW X1, Mercedes GLA atau Proton X50 sebagai perbandingan. Kita tak panggil Proton X50 sebagai kereta yang ‘mini’ atau kompak, bukan?

Tetapi talaan suspensi, stereng, dan cara penghantaran kuasa dapat menjadikan MINI yang besar ini masih mempunyai pengendalian lincah.

Untuk hari ini, kita akan lihatkan MINI Electric dan kami ingin katakan, inilah MINI yang terpaling go-kart, terpaling, bak kata budak-budak muda sekarang. Mengapa? Jom.

Elektrik, pantas, lincah

Baik, jadi jika anda buka hud depan, tiada enjin, sebaliknya di bawah penutup plastik itu terdapat motor elektrik yang dikuasakan oleh bateri 28.9kWh. Motor elektrik ini memberikan 181hp dan 270Nm tork, angka yang okey untuk hatchback seberat 1,440kg ini.

Menariknya, pecutan dan pemanduan MINI Electric ini terasa seperti ia lebih berkuasa, mungkin seperti kereta petrol dengan output 250hp dan 350Nm. Boleh dibandingkan seperti MINI atau BMW dengan enjin 2.0-liter 4-silinder turbo.

Memandangkan ini sebuah EV, kuasa dan tork maksima dapat diakses sebaik kereta mula bergerak. Tekan sahaja pedal selepas lampu isyarat bertukar hijau, anda terus dapat kuasa penuh.

Anda ingat lagi kereta Tamiya atau kereta kawalan radio (RC)? Tekan ON sahaja, terus motor berpusing laju, begitulah pecutan MINI Electric ini. Dipadankan dengan respon stereng yang laju dan tepat serta suspensi sporti, inilah MINI yang terpaling go-kart.

Malah, penulis terfikir go-kart hari ini pun sudah banyak beralih dari enjin dua-lejang dan empat-lejang kepada go-kart jenis elektrik untuk litar indoor (dalaman), jadi ini menjadikan kedua-dua jenis jentera (MINI Electric dan go-kart elektrik) lebih serupa.

MINI Electric juga tiada gear, jadi motor terus sahaja memecut dan ‘menarik’ kereta ini ke kelajuan maksima dalam satu pecutan terus-menerus, hingga ke kelajuan maksima 150km/j. Tak cukup laju? Bergantung.

Dalam kebanyakan keadaan, pemanduan dalam bandar, anda mungkin tidak akan memandu melebihi 130km/j pun. Yang penting berapa cepat untuk sampai ke kelajuan tiga angka. 100km/j boleh dicapai dalam 7.3 saat sahaja, lebih pantas dari kebanyakan sedan atau SUV segmen-B.

Talaan suspensi juga cukup seimbang, tidak terlalu keras yang anda jangkakan. Ia berada dalam ‘sweet spot’ antara sporti dan keselesaan. Semasa penulis bawa penumpang di tempat duduk belakang juga, mereka tidak merungut kata tidak selesa, sebaliknya sama seronok dan teruja dengan pemanduan EV ini.

Serius, anda pasti tidak lekang dengan senyuman bila pandu MINI Electric ini. Penulis juga rasakan MINI Electric antara kereta paling menyeronokkan penulis pandu dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Anda juga akan dahagakan selekoh. Selepas pecut, anda mahu cari selekoh untuk brek menggunakan regenerative braking, masuk selekoh dengan tepat dan lancar, ‘pegang’ di situ, kemudian berdesup tekan semula pedal kanan sebaik jalan mulai melurus. Dan ulang lagi di selekoh seterusnya.

150km je, cukup?

Tetapi masalah terbesar MINI Electric ini ialah jarak pemanduannya. Jika dilihat pada risalah rasmi, ia mempunyai jarak 232km setiap cas penuh, menurut kitaran WLTP. Ya betul, 232km sahaja.

Dalam dunia sebenar, ia jauh lebih rendah dari ini. Semasa kami ambil kereta ini dengan bateri melebihi 95 peratus, jarak pemanduannya hanya sekitar 160km. Masa untuk panik?

Jangan panik dulu. Sebenarnya ia tidak seteruk yang disangkakan. Jika anda tidak tekan pedal ‘minyak’ lebih dari separuh sepanjang masa – yang sebenarnya cara pemanduan harian – anda boleh dapat lebih dari 160km.

Tetapi jika anda ‘nakal’ dan nak berseronok, sebenarnya motor elektrik MINI ini masih agak cekap. Jaraknya tidak turun terlalu mendadak, melainkan anda pandu di lebuhraya pada kelajuan melebihi 130km/j secara berterusan.

Meluncur pada 110-120km/j, jaraknya berkurang dengan kadar yang sama dengan pergerakan anda.

MINI Electric ini juga sentiasa menggunakan regenerative braking, dengan dua tetapan; kuat atau sederhana. Jadi ini juga membantu mengembalikan sedikit tenaga kinetik kembali ke bateri semasa anda memperlahankan kereta.

Dalam pemanduan bandar pasti berpuluh kali anda membrek dan memperlahankan kereta sama ada untuk melalui bonggol, masuk simpang, atau berhenti di lampu isyarat. Bila tenaga disalurkan dan dikumpul ke bateri, anda boleh guna semula semasa memecut nanti.

Inilah situasi paling ideal untuk MINI Electric; ke sana ke sini dalam bandar melakukan tugas harian. Sudah tentu paling bagus adalah bila anda mempunyai pengecas di rumah, balik petang terus cas beberapa jam hingga malam. Esoknya bateri penuh, dengan jarak 150-160km.

Kebanyakan kita tidak pandu melebihi 100km sehari, bukan?

Tak boleh dipandu jauh? Jujur kata, anda tak mahu cuba pandu ke luar negeri dengan MINI Electric ini. Ianya praktikal dan sempurna untuk pemanduan dalam bandar, tetapi lebih seronok dari kereta lain.

Boleh sahaja MINI sumbat bateri lebih besar pada kereta ini untuk berikan lebih jarak, tetapi ada faktor berat. Bila terlalu berat, kereta tidak akan seronok dipandu, defeat the purpose, bak kata orang putih.

Gaya mesti ada!

Sebagai sebuah MINI, gaya mesti ada! Ia masih mendapat bentuk ikonik hatchback British, bumbung putih untuk warna dwi-tona, lampu belakang LED dengan nyalaan grafik Union Jack, dan beberapa kemasan untuk menunjukkan ianya bukan MINI biasa.

Anda lihat rim empat-bilah, bentuk unik seperti soket elektrik pada penutup ‘tangki minyak’, dan warna kuning-hijau fluorescent pada tulisan-tulisan dan lencana sekeliling kereta, anda akan tahu ini sebuah MINI EV.

Dan dengan Resolute Edition, ia memberikan kemasan lebih unik pada kereta ini, seperti warna khas Resolute Bronze pada gril, lampu belakang, dan hendal pintu. Kemudian bingkai gril, logo dan lencana model pula berwarna hitam.

Paling penulis suka ialah tempat duduk dengan balutan fabrik/kulit Black Pearl Light Chequered, seperti tikar atau kain pelikat. Cukup cantik, trendy, dan sesuai dengan imej serta jiwa MINI ini. Kalau anda berusia 45 tahun, automatik terasa 10 tahun lebih muda dengan MINI Electric Resolute Edition ini.

Ciri lain adalah standard seperti kluster instrumen digital, sambungan Apple Carplay, pengecas tanpa-wayar, sistem audio Harman Kardon, dan paparan Head Up Display, kesemuanya anda dapat pada MINI lain yang terkini.

Secara keseluruhan, MINI Electric Resolute Edition ini sesuai untuk anda yang mencari kereta kedua atau ketiga dalam rumah.

Anda mahu sebuah EV untuk kegunaan harian, ada pengecas di rumah, dan mahukan sesuatu yang menyeronokkan untuk dipandu mengharungi trafik sesak atau selekoh lebuh raya DASH, ini kereta yang boleh dilihat. Paling penting, ia boleh menjadi sebahagian dari outfit anda sekiranya anda jenis yang mementingkan gaya.

Spesifikasi MINI Electric Resolute Edition

Harga: RM211,164
Bateri: 28.9kWh
Kuasa: 181hp
Tork: 250Nm

BYD Dolphin bakal laku keras di pasaran? – Pandangan Awal

SEBELUM ini, nama BYD mungkin tidak pernah didengari oleh rakyat Malaysia. Namun sejak pelancaran Atto 3 pada Disember 2022, pengeluar kenderaan elektrik (EV) dari China itu semakin lama semakin dikenali terutamanya dalam kalangan peminat dan pembeli EV.

Ketibaan BYD ke negara ini bermula dengan amat positif apabila pengedar rasminya iaitu Sime Darby Motors berjaya menyerahkan sebanyak 1,000 unit Atto 3 dalam tempoh 100 hari pelancaran.

Kini, BYD ingin meneruskan momentum mereka dengan penawaran EV kedua yang dikenali sebagai Dolphin. Ia merupakan model hatchback segmen B yang ditawarkan pada harga bermula dari RM100,530 untuk varian Dynamic Standard Range dan RM125,530 untuk Premium Extended range.

Sebelum anda bertanya kenapa, model ini menggunakan nama hidupan laut kerana ia merupakan sebahagian daripada barisan Ocean Series. Satu lagi model daripada siri ini adalah Seal yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Dari segi reka bentuk, sejujurnya saya merasakan Dolphin tidak memberikan sebarang impak yang signifikan. Tidak dinafikan, grafik lampu belakang dan permukaan bertekstur pada tiang C dan gril memang cantik tetapi selain daripada itu, tiada apa yang benar-benar menarik perhatian saya.

Jika anda memilih varian Extended Range, anda akan mendapat warna dua tona dan rim berukuran 17 inci, juga dalam warna dua tona yang sama dengan badan. Lampu LED depan dan belakang disertakan secara standard pada kedua-dua varian.

Ruang dalamannya begitu mempesonakan, dengan rekaan papan pemuka seakan sayap dan corong berbentuk bulat yang mengingatkan saya terhadap jenama dari Jerman. Oh ya, segenap ruang juga dihiasi warna dua tona seperti bahagian luaran.

Apa yang lebih penting, ruang kabin Dolphin bukan sahaja cantik malah antara yang paling selesa dalam segmennya. Ia terasa cukup luas dan tempat duduk hadapan pula terasa begitu lembut, selain mempunyai sokongan yang secukupnya pada bahagian abdomen dan peha.

Material yang digunakan juga sangat memuaskan terutamanya pada bahagian papan pemuka, kerusi dan pintu. Cuma, butang-butang fizikal pada konsol tengah terasa agak longgar apabila digunakan. Ia mungkin akan terasa lebih longgar apabila digunakan secara kerap dalam tempoh masa yang lama.

Dari segi kelengkapan, Dolphin didatangkan standard dengan panel instrumen digital lima inci dan skrin sentuh 12.8 inci yang boleh dipusingkan. Turut disertakan adalah sistem navigasi satelit, Apple CarPlay serta port USB Type A dan Type C.

Aspek praktikaliti juga agak memuaskan. Terdapat beberapa ruang penyimpanan barang pada bahagian konsol tengah dan setiap panel pintu. But belakang juga agak luas dengan kapasiti 345 liter, manakala tempat duduk belakang boleh dilipat sepenuhnya untuk memuatkan kargo panjang.

Semasa sesi pandu uji media tempoh hari, saya berpeluang memandu varian Standard Range dari Kuala Lumpur ke Putrajaya. Varian ini mempunyai 95 PS dan 180 Nm, dan boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 12.3 saat.

Angka ini memang tidak mengagumkan jika dibandingkan dengan kereta-kereta segmen B dengan enjin pembakaran dalaman yang lain namun bagi saya, prestasi pecutan yang ditunjukkan sudah memadai untuk pemanduan di dalam bandar.

Sudah tentu, anda boleh menekan pedal dengan lebih agresif atau menggunakan mod Sport namun ini pastinya akan menjejaskan jarak pandu. Dan berdasarkan pengalaman saya memandu dalam keadaan trafik yang normal, mod Sport sebenarnya tidak diperlukan pun.

Bercakap tentang jarak pandu, varian Standard Range menggunakan bateri jenis Blade berkapasiti 44.9 kWk yang boleh memberikan jarak pandu sehingga 410 km mengikut kitaran NEDC. Dengan gaya pemanduan bercampur, saya hanya menggunakan kira-kira 15 hingga 20 peratus kuasa bateri dari Kuala Lumpur ke Putrajaya.

Dalam perjalanan pulang, saya berkesempatan memandu varian Extended Range yang mempunyai 204 PS dan 310 Nm. Perbezaan kuasa dan tork antara kedua-dua varian ini boleh dirasakan dengan begitu jelas, di mana varian ini memecut laju seperti sebuah kereta hot hatch yang sebenar.

Manakan tidaknya, menurut BYD, Dolphin Extended Range hanya memerlukan 7.0 saat untuk melakukan pecutan 0-100 km/j, hanya 0.6 saat lebih perlahan berbanding Volkswagen Golf GTI Mk8.

Untuk jarak gerak, varian ini dikatakan boleh dipandu sejauh 490 km dengan satu cas penuh dari bateri berkapasiti 60.48 kWj. Sama seperti varian Standard Range tadi, saya menggunakan tidak lebih 20 peratus kuasa bateri untuk perjalanan sepanjang kira-kira 50 km. Itu pun dengan gaya pemanduan yang agak agresif di lebuh raya.

Satu lagi perkara yang membuatkan saya suka dengan Dolphin adalah keselesaannya. Selain tempat duduk yang empuk tadi, saya merasakan sistem suspensinya cukup lembut dan seimbang, serta sesuai untuk mereka yang lebih suka memandu secara santai.

Untuk pengetahuan anda, kedua-dua varian menggunakan topang MacPherson pada bahagian hadapan, namun untuk suspensi belakang, Standard Range mendapat torsion beam manakala Extended Range menggunakan multi-link.

Apa yang menarik tentang kereta ini, ia akan mengeluarkan bunyi lembut seakan lori atau motosikal aiskrim. Sekiranya radio atau muzik tidak dimainkan, bunyi ini boleh didengari dengan agak jelas dari dalam kabin namun tidaklah sehingga mengganggu tumpuan.

Untuk pengetahuan anda, bunyi ini dianggap sebagai salah satu ciri keselamatan kerana ia berfungsi untuk memberi amaran kepada jalan kaki dan penunggang basikal.

Jika anda mementingkan ciri bantuan pemandu, jangan risau untuk membuat pilihan kerana kedua-dua varian Dolphin dilengkapi dengan Adaptive Cruise Control, Automatic Emergency Braking, Lane Departure Warning, Lane Keeping Support, Predictive Collision Warning, Blind Spot Detection, Rear Cross Traffic Alert dan sebagainya.

Adakah Dolphin akan mendapat sambutan yang sama seperti Atto 3? Tidak mustahil model ini boleh laku keras kerana ia mempunyai segalanya untuk menarik minat pembeli terutamanya mereka yang ingin beralih ke arah EV. Harganya cukup kompetitif, manakala senarai kelengkapan dan prestasinya amat memuaskan. Sejujurnya, saya gagal menahan diri daripada impressed dengan Dolphin.

Spesifikasi BYD Dolphin Dynamic Standard Range

Harga: RM100,530
Bateri: BYD Blade 44.9 kWj
Kuasa: 95 PS
Tork: 180 Nm

Spesifikasi BYD Dolphin Premium Extended Range

Harga: RM125,530
Bateri: BYD Blade 60.48 kWj
Kuasa: 204 PS
Tork: 310 Nm

Kia EV6 GT-Line AWD memang hebat, bukan sekadar hype – Pandu Uji

RASANYA anda semua sudah sedia maklum bahawa jenama Kia sudah jauh ke hadapan dalam industri automotif. Jenama itu yang dahulunya sering dipandang rendah kerana menghasilkan kereta yang buruk dan tidak berkualiti, kini mempunyai barisan produk yang mampu bersaing dengan pengeluar-pengeluar dari Eropah.

Malah, Kia telah mula mengorak langkah dalam segmen kenderaan elektrik (EV) sejak 2016 dengan Niro EV. Pada 2021, Kia memperkenalkan model EV kedua mereka iaitu EV6. Rata-rata reaksi yang diberikan adalah sangat positif dan kemuncaknya, ia merangkul dua gelaran berprestij iaitu European Car of the Year dan Car of the Year.

Kira-kira setahun selepas pelancarannya di peringkat global, EV6 akhirnya tiba di Malaysia menerusi Dinamikjaya Motors selaku pengedar rasmi Kia di negara ini. Saya akhirnya berpeluang untuk mencuba model ini dan menyiasat sama ada ia benar-benar mengagumkan atau sekadar hype.

Untuk pasaran Malaysia, EV6 ditawarkan dalam satu varian sahaja iaitu GT-Line AWD, pada harga RM300,668 (on-the-road tidak termasuk insurans). Ya, memang mahal namun saya boleh katakan pada harga ini, anda sebenarnya mendapat sebuah EV bertaraf premium dari segi reka bentuk, kelengkapan dan prestasi.

Apa yang anda perlu tahu, EV6 dibangunkan menggunakan platform E-GMP (Electric-Global Modular Platform) yang dibangunkan khusus untuk EV. Ini bermakna tidak ada model Kia berenjin petrol atau diesel yang dibina di atas platform yang sama.

Platform ini turut digunakan oleh Hyundai Ioniq 5 namun tidak seperti model itu yang tampil dengan tema retro futuristik, EV6 mempunyai reka bentuk yang 100 peratus moden dan futuristik. Saya secara peribadi merasakan ia adalah model Kia yang paling menarik pernah dihasilkan setakat ini.

Buat pengetahuan anda, Ioniq 5 dan EV6 kedua-duanya adalah crossover namun EV6 kelihatan lebih sleek kerana ukurannya 97 mm lebih pendek dan 55 mm lebih rendah berbanding Ioniq 5. Tapak rodanya juga lebih pendek dengan perbezaan sebanyak 10 mm.

Dari sisi, imej EV6 diserlahkan lagi menerusi rim berukuran 20 inci, manakala dari belakang pula rekaan lampu yang merentangi sepanjang bahagian tailgate dan fender membuatkan ia tampak lebar seperti sebuah kereta sport yang sebenar.

Berbeza dengan bahagian luarannya, saya mendapati ruang dalaman EV6 kekurangan ‘faktor wow’ – mungkin kerana penggunaan warna hitam dengan sedikit perincian berwarna putih pada tempat duduk dan stereng terasa agak basic untuk sebuah EV yang berharga RM300,000.

Walau bagaimanapun, setelah diamati dan disentuh, setiap permukaan terasa begitu kemas dan berkualiti tinggi. Lebih penting lagi, tiada bunyi menjengkelkan kedengaran apabila panel-panel ditekan. Tempat duduk pula dibalut dengan upholsteri suede yang terasa begitu lembut pada sentuhan.

Dari segi kelengkapan, sebenarnya banyak yang anda dapat. Ada dua skrin berukuran 12.3 inci, satu sebagai panel instrumen digital dan satu lagi sebagai skrin infohibur, Apple CarPlay dan Android Auto, sistem audio Meridian dengan 14 pembesar suara, pengecas wayarles, empat port USB-C dan dua soket 12 volt.

Satu lagi ciri yang bagi saya cukup berguna adalah Vehicle-to-Load (V2L) yang secara asasnya menjadikan EV6 sebuah power bank gergasi yang boleh digunakan untuk mengecas pelbagai perkakasan elektrik menerusi penyambung tiga poin yang disediakan.

Anda juga tidak perlu risau jika anjung kereta di rumah anda sempit kerana EV6 juga mempunyai ciri Remote Smart Parking Assist yang membolehkan anda menggerakkannya ke hadapan atau belakang dengan menggunakan kunci, tanpa perlu berada di dalam.

Ciri bantuan pemandu yang disertakan juga cukup lengkap. Selain ciri-ciri seperti Forward Collision-Avoidance Assist, High Beam Assist, Blind Spot Monitor dan sebagainya, EV6 turut didatangkan dengan Smart Cruise Control dengan Stop & Go, Lane Following Assist dan Lane Keeping Assist yang membolehkan ia dipandu secara separa autonomi.

Aspek keselesaan tidak dilupakan, dengan adanya ciri-ciri seperti sistem pendingin hawa dua zon lengkap dengan corong udara belakang, pencahayaan ambien, stereng tilt dan teleskopik serta perehat tangan. Lebih menarik lagi, tempat duduk hadapan mempunyai ciri Premium Relaxation yang membolehkan ia dibaringkan dengan sekali tekan sahaja.

Dari segi ruang dan praktikaliti, EV6 boleh memuatkan sehingga empat penumpang dewasa dengan cukup selesa. Ruang kaki belakang cukup luas tetapi ruang kepala mungkin agak terhad untuk mereka yang tinggi. Namun sekurang-sekurangnya penyandar belakang tidak terlalu tegak, bermakna perjalanan jauh selesa dan tidak memenatkan.

Memuatkan bagasi untuk trip hujung minggu tidak akan menjadi masalah kerana EV6 menyediakan ruang but sebesar 520 liter serta ruang storan tambahan sebesar 20 liter di bawah penutup bonet. Kereta ini juga sesuai untuk membawa muatan panjang kerana kerusi belakang boleh dilipat sepenuhnya.

‘AWD’ pada namanya bermakna EV6 GT-Line ini mempunyai dua motor elektrik iaitu satu pada setiap gandar. Dengan kuasa keseluruhan mencecah 325 PS dan 605 Nm, EV6 tidak syak lagi memang sebuah EV yang pantas walaupun mempunyai berat sekitar dua tan. Malah, kepala saya ditolak ke belakang setiap kali memecut dari persimpangan lampu isyarat.

Sudah tentu, setiap kali berbicara tentang EV, jarak gerak lebih penting dari prestasi pecutan. Dengan bateri Long Range berkapasiti 77.4 kWj, model ini sepatutnya boleh dipandu sejauh 506 km dengan satu cas penuh. Namun anda perlu tahu bahawa angka tersebut dicapai menerusi ujian yang dilakukan dalam persekitaran yang paling ideal.

Dalam dunia sebenar, saya boleh katakan memang mustahil untuk mendapatkan jarak seperti yang dikatakan oleh pengeluar. Ini kerana ia bergantung kepada beberapa faktor termasuk gaya pemanduan. Dalam erti kata lain, lebih agresif pedal ditekan, lebih pendek jarak yang anda akan dapat.

Namun sebagai pemandu, anda boleh memaksimumkan jarak gerak dengan memandu secara lebih ekonomik. Dengan EV6, anda juga boleh memanfaatkan teknologi brek janaan semula yang berfungsi untuk menyalur semula tenaga ke bateri setiap kali pedal brek ditekan. Terdapat tiga tahap kekuatan janaan semula yang boleh dipilih menerusi paddle shifter.

Sistem suspensi EV6 terasa sedikit keras. Ini sudah tentu memberikannya kelebihan dari segi kestabilan terutamanya ketika di selekoh. Dan dengan kuasa pecutan yang hebat, ia mampu keluar dari selekoh dengan pantas tanpa sebarang masalah.

Namun, ini secara tidak langsung menjejaskan aspek keselesaannya. Setiap lubang kecil serta bonggol boleh dirasakan dengan jelas di dalam kabin. Malah, kereta ini juga terasa melantun jika dipandu di atas jalan yang beralun.

Secara ringkasnya, saya amat berpuas hati dengan apa yang ditawarkan oleh EV6. Ia mempunyai rupa yang sangat menarik, ruang dalamannya cukup luas dan lengkap dengan segala teknologi yang sepatutnya ada, dan jarak gerak yang ditawarkan juga cukup memuaskan. Jika anda mencari sebuah EV untuk pemanduan harian dengan bajet RM300,000, ini adalah pilihan yang tepat.

Benar, harganya diakui memang tidak murah tetapi seperti yang saya katakan, anda mendapat sebuah EV yang premium. Malah, saya juga berani katakan yang EV6 lebih baik dari segala aspek dari pesaing terdekatnya dari Jerman iaitu Mercedes-Benz EQA.

Spesifikasi Kia EV6 GT-Line AWD

Harga: RM300,668
Motor elektrik: Dua, Permanent Magnet Synchronous Motor (PMSM)
Kuasa: 325 PS
Tork: 605 Nm
Bateri: 77.4 kWj

Hyundai Kona Electric Max: Yang tahu je tahu! – Pandu uji

DALAM memilih barang berjenama contohnya baju, ada terbahagi kepada dua jenis golongan. Yang pertama; mahu logo jenama besar-besar ditulis pada baju, biar semua orang tahu.

Yang kedua; mahu sorok sedikit jenama, biar ditulis kecil-kecil sahaja. Ibaratnya, hanya yang tahu je tahu!

Hyundai Kona Electric ini boleh dikatakan ibarat golongan kedua. Ini kerana rupa dan rekabentuknya yang sangat serupa dengan versi petrol menampakkannya begitu ‘normal’. Hanya sedikit perbezaan tidak begitu ketara yang membolehkan anda mengenal pasti ianya versi Electric.

Kami telah pandu uji Hyundai Kona 2.0 petrol dan 1.6 turbo sebelum ini, dan untuk versi terkini, kami cuba pula Kona Electric Max. Ia ditawarkan pada harga bermula RM149,888 untuk Kona Electric Lite, RM169,888 untuk Plus, dan RM199,888 untuk Max.

Dah macam nama telefon pintar, bukan?

Hyundai Kona Electric Max mendapat pakej bateri terbesar dan jarak pemanduan paling jauh. Ia dibekalkan dengan bateri 64kWh dengan output 204hp dan 395Nm tork, serta jarak maksima 484km.

Sebagai konteks, kuasanya boleh dikatakan lebih kurang kereta berenjin 2.0-liter NA, manakala torknya boleh dibandingkan dengan kereta 2.5-liter petrol turbo. Tetapi memandangkan ini sebuah EV, ia lebih dari sekadar angka.

Rupa ‘fly under the radar’

Jika dilihat pada rupa luaran, perbezaan pada Kona EV ini tidak banyak. Antaranya tempat mengecas di kawasan bampar depan (ke kiri sedikit) dan bampar yang kelihatan kosong kerana tiada gril.

Logo Hyundai di depan ini juga seperti ‘mendongak’ di bahagian atas bampar, tidak seperti versi petrol dimana logonya di dalam gril. Akhir sekali adalah lencana “electric” di pintu but belakang. Dari jauh, nampak seperti Hyundai Kona biasa.

Bab ini, pilihan masing-masing. Ada orang mahu kereta EV mereka nampak futuristik dan menyerlah, biar semua tahu dia pandu EV. Tetapi yang memilih Hyundai Kona, mereka mahu ‘fly under the radar’.

Perkara sama dapat dilihat di bahagian kabin, dimana binaannya 97 peratus serupa dengan versi petrol. Stereng, rekaan papan pemuka, susunan butang, skrin, semuanya sama. Dan tiada salah pun, kerana Hyundai secara umumnya mempunyai kabin yang kemas dan terasa berkualiti.

Satu perbezaan untuk Kona Electric ialah ketiadaan tombol gear, tetapi diganti dengan butang-butang P, R, N, D. Sebenarnya ada Hyundai lain yang bukan EV juga menggunakan gear butang sebegini, contohnya Sonata dan Staria.

Oh ya, sebelum penulis terlupa, dimensi luar Hyundai Kona Electric ini memang sama dengan versi petrol, tetapi lantainya lebih rendah kerana terdapat penutup bateri yang terletak di bawah kabin.

Pemanduan EV harian

Baik, seperti yang dinyatakan di atas, Kona Electric ini mampu pergi sejauh lebih 480km setiap cas, dan jarak ini pastinya bergantung kepada cara pemanduan kita. Sebagai contoh dalam satu situasi, penulis telah memandu 120km tetapi baki pada skrin instrumen bertulis 320km.

Jadi dengan cara pemanduan itu, penulis hanya akan dapat 440km. Alah, sama juga dengan kereta petrol.

Sebagai contoh Perodua Bezza diiklankan mampu mencatat lebih 20km/liter, dan kapasiti tangki petrolnya kira-kira 36 liter. Berapa ramai antara kita yang dapat lebih 700km setangki? Rata-rata mungkin mendapat 14km hingga 15km seliter, bersamaan antara 490km hingga 520km setangki.

Menariknya, segala sistem dalam kereta ini reaktif terus dengan jarak pemanduan. Sebagai contoh bila anda menurunkan suhu pendingin hawa untuk lebih sejuk, anda akan nampak baki jarak pemanduan sedikit berkurang. Begitu juga bila melaras mod pemanduan, jarak boleh bertambah bila anda tukar dari Sport kepada Normal atau Eco.

Ini secara tidak langsung memberikan rasa canggih dan sofistikated terdahap Kona Electric ini. Anda dapat rasa yang semua sistemnya bersepadu dengan baik, dan bukanlah sekadar cabut enjin petrol dan sumbat motor elektrik.

Bercakap mengenai motor elektrik, memandu Hyundai Kona EV ini tidaklah terlalu luar biasa. Jika anda ada kereta petrol lain di rumah, bila selalu bertukar-tukar kenderaan, anda akan mudah menyesuaikan diri dengan Kona Electric.

Ini kerana segala butang kawalan, panel-panel, dan suis mirip dengan Kona petrol. Jadi kereta ini sesuai untuk anda yang mahu sebuah kenderaan yang tidak terlalu ‘alien’ di jalan raya.

Hyundai Kona Electric ini juga mempunyai paddle-shifter di belakang stereng, tetapi memandangkan ini sebuah EV yang tiada kotak gear, ianya tidak digunakan untuk menukar gear. Sebaliknya paddle-shifter ini digunakan untuk melaras tahap regenerative braking.

Semakin kuat regenerative braking yang digunakan, semakin mudah untuk anda amalkan one-pedal driving. Sebaliknya jika tiada regenerative braking, ia akan rasa seperti kereta petrol yang meluncur.

Pengendalian mantap

Satu perkara umum mengenai EV ialah pengendalian mereka hampir sama kerana konfigurasi serupa digunakan iaitu bateri yang berat dan leper di bawah kabin. Berat tertumpu di tengah, dan pengendalian menjadi neutral.

Yang bagusnya, neutral ini bermakna kereta EV lincah dan stabil. Tetapi yang kurang bagusnya, ia membuatkan EV agak bosan dan terlalu mudah dijangka. Yang paling memberikan beza mungkin hanya dari segi pacuan sama ada FWD, RWD atau AWD.

Hyundai Kona mendapat output dari motor yang dihantar ke roda depan, dan jumlah kuasa adalah lebih dari mencukupi untuk pemanduan harian. Tetapi dengan tork hampir 400Nm, anda dapat baki kuasa lebih untuk kegunaan ketika memotong, keluar simpang, atau susur masuk ke lebuh raya.

Aspek stereng dan brek rata-ratanya adalah natural dan ditala dengan baik agar menyerupai kereta biasa.

Ok ke pakai Hyundai Kona Electric?

Inilah soalan yang kami dapat bila kami muat naik gambar kereta EV di media sosial Engear dan penulis sendiri. “Ok ke pakai EV?”, atau “Macam mana cas?”.

Secara umumnya, ok sangat kerana produk EV itu sendiri sudah dikira cukup matang. Satu isu ialah kemudahan mengecas. Jika anda tinggal di rumah banglo atau teres (landed), mudah untuk anda mengecas menggunakan AC setiap hari.

Tetapi jika anda tinggal di apartmen atau kondominium, mungkin menjadi halangan. Begitu juga bab pengecasan semasa jarak jauh, fasiliti DC masih terhad buat masa ini. Tetapi sama-sama kita lihat berapa banyak pertambahannya dalam masa beberapa tahun akan datang.

Hyundai Kona Electric menjadi satu calon yang sesuai jika anda mencari EV pada harga bawah RM200,000 yang penulis rasa akan menjadi satu segmen hangat tidak lama lagi.

Spesifikasi Hyundai Kona Electric Max

Harga: RM199,888
Bateri: 64kWh
Kuasa: 204hp
Tork: 395Nm

Ora Good Cat: EV bandar paling ‘ngam’? – Pandu uji

KAMI tahu kenderaan bateri elektrik (BEV) atau lebih dikenali sebagai EV kian mendapat perhatian dalam kalangan anda rakyat Malaysia dan peminat automotif khususnya.

Tetapi menurut komen dari tulisan-tulisan kami di Facebook, ada beberapa faktor yang menjadi penghalang rakyat Malaysia membeli EV buat masa ini; rangkaian pengecas dan harga. Izinkan penulis tolak ke tepi dahulu bab pengecas.

Soal harga, kebanyakan EV ‘sedap’ seperti Porsche Taycan dan Mercedes EQE berharga lebih dari setengah juta Ringgit, lebih mahal dari rumah-rumah kita. Harus difahamkan, semua teknologi pun begitu.

Mula-mula mahal, makin lama makin murah. Dan kita perlu berterima kasih kepada pembeli-pembeli awal kerana merekalah yang membantu menurunkan harga teknologi baharu ini. Anda masih ingat awal tahun 2000 dulu telefon bimbit dengan kamera berharga lebih RM1,000? Hari ini telefon RM500 pun sudah mempunyai kamera dan skrin dengan warna yang jelas.

Untuk EV, walaupun kebanyakannya masih berharga premium, tetap ada penawaran yang lebih mesra poket, bawah RM200,000. Amacam?

Kita lihatkan GWM Ora Good Cat. Varian yang kami uji ini merupakan Ora Good Cat 500 Ultra yang berharga RM169,800. Satu lagi varian ialah Good Cat 400 Pro, dengan harga RM139,800. Nama pada varian menunjukkan jarak maksima, iaitu 500km bagi Ultra.

Tak rasa macam RM170k!

Menarik mengenai Ora Good Cat ini ialah, walaupun boleh dikatakan sebagai EV permulaan atau mampu-milik, ia langsung tidak nampak murah.

Malahan jika anda telitikan perincian pada bampar depan, lampu utama, jahitan tempat duduk, kemasan papan pemukan, dan sentuhan tombol serta butang-butang di dalamnya, terasa seperti kereta yang berharga lebih RM200k. Jika Good Cat ini dari Mercedes atau BMW, senang-senang saja harganya RM250,000.

Paparan pada skrin melintang panjang bagi instrumen dan infotainmen juga cukup jelas dan beresolusi tinggi. Kereta-kereta jenama China hari ini sangat mementingkan aspek ini, mereka juga sukakan kamera. Jadi Ora Good Cat mendapat kamera 360-darjah yang sungguh jelas dan besar, walaupun kereta ini tidak begitu memerlukannya.

Pilihan warna luar dan dalam kereta ini juga menjadikannya antara model paling comel yang memasuki pasaran kita hari ini. Tidak cukup dengan rupa funky tetapi retro, warnanya jika tersilap pilih, nampak begitu feminin. Mujurlah penulis dapat warna Verdant Green ini, masih nampak maskulin.

Oh ya, memandu Ora Good Cat ini juga membuatkan anda mudah menjadi perhatian. Pandu di kawasan-kawasan kedai yang padat dengan orang, pasti ada yang menoleh lama pada kereta ini, kebanyakannya memandang pada logo di depan untuk mengenal pasti makhluk apa yang mereka sedang lihat.

Kanak-kanak pun suka dengan Good Cat ini. Semasa penulis memandu, kanak-kanak yang berjalan dengan ibunya di kaki lima menuding jarinya ke arah kereta ini sambil tersenyum, seperti mahu menunjukkan pada ibunya.

Go-kart elektrik

Jika ditanya bagaimana rasa pemanduan Ora Good Cat ini, dalam kata mudah ialah ibarat go-kart elektrik. Ini mungkin kedengaran cliché, MINI Cooper atau hot hatch biasanya dikatakan seperti go-kart.

Tetapi Ora Good Cat ini dengan motor yang responsif, terasa ringan, senyap, dan berat bateri di bawah casis menjadikannya seimbang, memang benar-benar seperti go-kart. Bezanya cuma Good Cat ini pacuan roda-depan.

Unit ini mempunyai bateri 63kWh dengan output 143hp dan 210Nm tork, lebih kurang seperti kereta 1.6-liter NA atau 1.5-liter turbo. Tetapi dengan sifat elektrik, anda tidak perlu tunggu rpm tertentu atau kotak gear pergi ke gear tertentu, tekan sahaja, sekelip mata anda ‘dilastik’ ke depan.

Ini menjadikan pemanduan Ora Good Cat cukup menyeronokkan walaupun ia tidak mempunyai bunyi dramatik seperti sebuah Golf GTi atau Civic Type-R. Ora Good Cat cukup bersahaja untuk memecut keluar simpang, malah sebaik lampu isyarat bertukar hijau, dia akan ‘makan’ kebanyakan kereta yang anda jumpa secara kebiasaan.

Kereta-kereta petrol semua makan asap sahaja. Eh sekejap, Ora Good Cat ni mana ada keluarkan asap…

Motor dan sistem eletriknya juga agak cekap menggunakan tenaga pada kelajuan dalam bandar walaupun anda memecut dan menekan minyak membabi buta. Bila memandu Good Cat ini, anda akan mengekalkan kelancaran trafik kerana kereta di jalan utama tidak perlu brek bila anda susur masuk.

Di selekoh, ia kekal menyeronokkan kerana seperti dikatakan tadi, baterinya di bawah lantai, tengah-tengah antara tayar depan dan belakang. Ini bermakna ia mampu mengambil selekoh seperti hot hatch, malah pertukaran arah di selekoh S juga cukup meyakinkan pemandu.

Cuma penumpang di belakang mungkin kurang selesa dari aspek suspensi. Mungkin kerana belakang Good Cat ini ringan, jadi mudah terasa melantun di jalan tidak rata. Tetapi ini mungkin bukan salah kereta, kerana jalan raya kita yang ‘terlalu cantik’. Jika di negara lain yang permukaan jalannya sempurna, tiada masalah. Tetapi harus diberitahu, Ora Good Cat ini begitu luas kabinnya.

Bagaimana dengan lebuh raya? Seperti anda mungkin ketahui, lebuh raya ialah salah satu musuh utama EV. Disebabkan kebanyakan EV tidak mempunyai kotak gear, kelajuan motor adalah berkadar terus dengan kelajuan kereta.

Semakin laju kereta, semakin laju juga motor bekerja, bermakna tidak begitu cekap di kelajuan tinggi. Range atau jarak pemanduan pada Ora Good Cat ini menurun dengan normal dalam pemanduan bandar, tetapi apabila anda meluncur di lebuh raya lebih 100km/j, angkanya menurun drastik.

Bagaimana dengan pengecasan?

Dari segi pengecasan, varian 500 Ultra dengan bateri 63kWh memerlukan kira-kira 10 jam untuk dicas penuh menggunakan pengecas AC. Tetapi dengan pengecasan pantas DC, hanya 40 minit diperlukan untuk mengecas dari 10 hingga 80 peratus.

Menurut pengalaman penulis, sempat penulis cas Good Cat ini menggunakan DC 60kW, dan masa diambil adalah kira-kira sejam untuk ‘mengisi’ jus bateri dari kurang 10 peratus hingga 85 peratus. Baki mulanya 88km dan penulis isi sehingga 410km dengan 85 peratus.

Masa yang diambil lebih lama sedikit, bergantung kepada pelbagai faktor seperti suhu persekitaran dan suhu jentera pengecas.

Bayaran yang dikenakan pula adalah kira-kira RM79 untuk pertambahan kira-kira 330km. Jika dibandingkan dengan petrol, tidak berbaloi. Tetapi pemilikan kereta EV adalah lebih dari sekadar penjimatan petrol. Jauh lebih besar dari itu.

Anda harus ingat, pemilik EV tidak akan mengecas menggunakan DC di tempat awam setiap hari, sebaliknya menggunakan pengecas AC di rumah. Ia lebih perlahan, boleh dicas sepanjang malam, dan cara ini lebih ‘menyihatkan’ untuk bateri.

Kadar bayaran juga bergantung kepada pengeluar, kerana ia masih pasaran terbuka, tidak dikawal seperti petrol. Mentaliti memandu EV adalah berbeza. Dan kebanyakan pemilik juga memiliki EV untuk kereta kedua atau ketiga.

Untuk itu, Ora Good Cat sebuah model yang sangat-sangat sesuai dan ideal. Kereta kedua untuk pemanduan dalam bandar setiap hari. Dan anda tidak semestinya perlu cas setiap hari. Jarak dibekalkan adalah lebih 400km, dan jika berulang-alik ke tempat kerja, jarang antara kita yang memandu lebih 100km setiap hari, bukan?

Jadi, anda mungkin cas seminggu sekali sahaja, atau dua kali maksimum. Sama seperti isi petrol, bezanya bahan yang diisi.

Secara kesimpulan, Ora Good Cat menawarkan pakej menarik dengan gaya unik, sistem dan spesifikasi lengkap, selain pengalaman pemanduan EV yang bagus, setaraf dengan jenama-jenama lain pada julat harga ini.

Spesifikasi GWM Ora Good Cat

Harga: RM169,800
Bateri: 63kWh
Kuasa: 143hp
Tork: 210Nm

Balik beraya dengan EV? Kami cuba sendiri dengan Volvo C40 Recharge

DUA benda yang diketahui umum mengenai kenderaan elektrik bateri (BEV atau EV); pecutan luar biasa oleh respon motor elektrik, dan jarak pemanduan terhad kerana lokasi mengecas yang belum menyeluruh.

Kali ini kami akan fokuskan perkara kedua iaitu jarak pemanduan terhad, atau benarkah begitu? Dan untuk itu, kami uji sendiri dengan memandu Volvo C40 Recharge Pure Electric pulang ke kampung menyambut Hari Raya.

Mahu tahu juga bab pecutan? Baiklah, Volvo C40 EV dibekalkan dengan struktur bateri 400-volt berkapasiti 78kWh. Pakej ini menghasilkan 402hp dan 660Nm tork, dihantar ke semua roda melalui dua motor elektrik.

Disebabkan C40 EV ini telah menjadi sebuah SUV pacuan semua-roda (AWD), tork setinggi 660Nm itu mampu ‘melontarnya’ ke depan mencapai 100km/j dalam hanya 4.9 saat walaupun ia mempunyai berat hampir 2.2 tan termasuk pemandu.

Bagaimana rasanya? Ada sedikit rasa seperti kapal terbang hendak berlepas, malah pecutan maksima ini mampu membuatkan penumpang anda rasa sedikit pening. Itu yang dikomen oleh rakan penulis semasa beliau ‘dibelanja’ dengan tork jentera EV.

Baik, cukup setakat itu. Seterusnya, mari penulis kongsikan ‘pengembaraan’ memandu EV di musim perayaan. Kita akan lihat segalanya dari kerisauan jarak (range anxiety), pemanduan lebuh raya, kesesakan trafik, hinggalah pengecasan.

Pengembaraan (atau cabaran?) EV di musim perayaan

Sebenarnya semasa mula ditawarkan oleh Volvo Car Malaysia untuk memandu uji C40 EV ini semasa cuti Hari Raya, penulis agak keberatan memandangkan isu-isu yang bakal dihadapi. Penulis hampir memilih model PHEV sahaja, kemudian penulis terfikir, apa kata ambil saja C40 ini. Anggap ia sebagai cabaran.

Dengan bateri penuh 100%, penulis bergerak dari ibu pejabat Volvo Malaysia menuju ke rumah. Setelah menyelesaikan beberapa urusan, petang itu penulis memulakan perjalanan balik kampung dengan bateri 89%. Penulis turut membawa isteri, dua anak kecil, dan barangan penuh.

Anda semua tahu kan macam mana orang rumah angkut barang semasa balik kampung beraya.

Ini bukan kali pertama penulis memandu jarak jauh dengan EV, tetapi ini kali pertama bersendirian. Sebelum ini dengan sesi media, jadi perancangan mengecas diatur oleh penganjur.

Kali ini, semuanya terserah kepada penulis. Volvo C40 dilengkapi dengan Google Maps binaan dalam yang diintegrasikan dengan fungsi kereta. Menurut Google Maps, penulis akan sampai ke Kuantan dengan bateri berbaki kurang 10%. Ok, gementar juga.

Di lebuh raya, penulis cuba tetapkan Adaptive Cruise Control pada 110km/j kerana lebih dari itu, ia tidak begitu cekap. Kebanyakan EV kurang efisyen di kelajuan tinggi memandangkan tiada kotak gear, maka motor elektrik beroperasi dalam keadaan ‘direct drive’.

Sangat ideal di kelajuan rendah, sangat tidak ideal di kelajuan tinggi. Walaupun anda keluarkan semua 402hp dan 660Nm sebaik lampu isyarat bertukar hijau, ia masih jimat, asalkan kelajuan tidak terlalu tinggi dalam bandar. Jadi, drag race di lampu isyarat memang makanan EV seperti Volvo C40 ini.

Berbalik kepada perjalanan penulis tadi, hanya beberapa ketika penulis pergi ke kelajuan sehingga 125km/j untuk memotong, kemudian kembali ke 110km/j.

Akhirnya penulis sampai ke bandar Kuantan dengan bateri berbaki 11%. Bila difikirkan semula, tidaklah teruk mana. Hanya 78% bateri digunakan untuk jarak kira-kira 280km tanpa perlu berhenti mengecas dalam perjalanan.

Perjalanan pulang dari Kuantan ke Shah Alam juga tidak seteruk yang disangkakan. Mulanya Google Maps menunjukkan bateri akan berbaki 8% semasa sampai, tetapi disebabkan penulis hanya tetapkan Cruise Control pada 105km/j, anggaran baki bateri perlahan-lahan meningkat kepada 15%.

Akhirnya sampai ke Shah Alam dengan bateri berbaki 16%.

Secara kasar, pemanduan EV adalah terbalik dengan kereta petrol. EV tidak risau jika tersekat dalam kesesakan berjam-jam kerana motor elektrik tidak bergerak jika kereta tidak bergerak, berbanding kereta petrol yang tetap membakar bahan api semasa kereta tidak bergerak.

Bila meluncur di lebuhraya, kereta petrol akan lebih jimat jika memandu di kelajuan tinggi kerana adanya kotak gear yang membolehkan rpm enjin beroperasi pada kelajuan optimum, berbanding motor elektrik EV yang terpaksa berpusing di kelajuan tinggi selaras dengan kelajuan kenderaan.

Di dalam bandar, tiada langsung isu kerisauan jarak. Penulis sempat menyelesaikan urusan persiapan akhir menjelang raya, menyambut raya, dan bersiar-siar tanpa gelisah. Berhenti lama di lampu isyarat atau pecut laju untuk tukar lorong dan memotong, bacaan baki bateri tidak turun mendadak.

Bila bateri dicas sehingga 90% mengikut saranan komputer Volvo untuk menjaga ‘tahap kesihatan’ bateri, ia masih berbaki kira-kira 40% selepas dipandu beberapa hari untuk perjalanan jarak dekat.

Kebanyakan masa penulis mengecas C40 di pengecas pantas DC berkapasiti 60kW di tengah bandar Kuantan, kerana lokasi pengecasan yang lain hanya menawarkan kapasiti sekitar 20kW atau 30kW sahaja.

Kadar bayaran pengecas bergantung kepada operator penyedia mesin pengecas itu sendiri. Ada yang sekitar RM0.80 setiap minit, RM1.20 hingga RM1.60 seminit. Seingat penulis, ada juga pengecas yang menawarkan kadar mengikut kW. Apa pun, pengecas EV masih mengamalkan pasaran terbuka.

Berikut disenaraikan nota setiap sesi pengecasan sepanjang lebih seminggu dan lebih 1,600km penulis memandu Volvo C40 Recharge EV ini:

1.
Baki bateri dan jarak: 9%, 45km
Kapasiti mengecas: 58kW
Tempoh masa: 64 minit
Peratus bateri dan jarak baharu: 87%, 340km

2.
Baki bateri dan jarak: 33%, 120km
Kapasiti mengecas: 58kW
Tempoh masa: –
Peratus bateri dan jarak baharu: 90%, 350km

3.
Baki bateri dan jarak: 69%, 260km
Kapasiti mengecas: 58kW
Tempoh: 18 minit
Peratus bateri dan jarak baharu: 90%, 330km

4.
Baki bateri dan jarak: 13%, 60km
Kapasiti mengecas: 89kW
Tempoh: 27 minit
Peratus bateri dan jarak baharu: 65%, 250km

5.
Baki bateri dan jarak: 12%, 55km
Kapasiti mengecas: 57kW
Tempoh: 65 minit
Peratus bateri dan jarak baharu: 90%, 380km

6.
Baki bateri dan jarak: 28%, 110km
Kapasiti mengecas: 58kW
Tempoh: 40 minit
Peratus bateri dan jarak baharu: 93%, 410km

7.
Baki bateri dan jarak: 10%, 44km
Kapasiti mengecas: 58kW
Tempoh: 16 minit
Peratus bateri dan jarak baharu: 32%, 120km

Sepanjang tujuh kali penulis sampai ke tempat mengecas, mujurlah kebanyakannya kosong dan tiada kereta yang sedang dicas sebelum itu. Cuma sekali sahaja terdapat sebuah BMW iX, itupun ia sudah melebihi 97%, dan telah penuh beberapa minit selepas itu.

Hanya sekali sahaja penulis berdepan dengan mentaliti tipikal rakyat Malaysia, semasa di R&R Gambang Arah Timur. Masa itu Hari Raya kedua, penulis dalam perjalanan balik ke Kuantan selepas beraya di Temerloh dan Jengka di hari sebelumnya.

Hari Raya kedua biasalah kereta sudah banyak di jalan raya kerana orang mula keluar berziarah, stesen minyak pun penuh. Sesampainya penulis di pengecas Gentari di Petronas itu, terdapat sebuah kereta petrol biasa parkir di depan tempat mengecas. Bukan di dalam petak, tetapi ia tetap menghalang penulis dari memasuki tempat mengecas.

Terpaksalah penulis membunyikan satu hon pendek mesra di situ. Dia malu atau marah, penulis tak mahu ambil tahu.

EV lebih jimat berbanding petrol?

Ini satu topik yang luas, sebenarnya perlukan satu artikel lain untuk dikupas. Tetapi untuk pendekkan cerita, boleh jadi jimat dan tidak jimat berbanding petrol.

Paling penting ialah, untuk hari ini, April 2023, mentaliti pemilikan EV di Malaysia ialah, “Aku beli untuk cuba teknologi baharu, untuk memahami dan mempelajarai mobiliti elektrik, dan untuk mengurangkan pelepasan karbon ke alam sekitar.”

Bukan untuk jimat belanja petrol ya. Dan penulis ingin tekankan, mentaliti ini akan berubah bergantung kepada rangkaian pengecasan di negara ini, harga purata model-model EV, dan jarak pemanduan yang ditawarkan.

Pemanduan premium, rupa unik

Secara keseluruhan, C40 Recharge EV masih sebuah kenderaan yang selesa dan nyaman dipandu, seperti model-model Volvo lain. Ianya diasaskan dari XC40 iaitu SUV kompak mereka yang cukup popular, tetapi C40 hanya hadir sebagai model EV, dan tidak ditawarkan dengan pilihan petrol atau PHEV.

C40 menampilkan rekaan lebih sporti dengan rupa SUV coupe. Walaupun harganya RM288,888 iaitu sedikit lebih mahal berbanding XC40 EV (RM278,888), C40 sebenarnya mempunyai saiz kabin lebih kecil sedikit, tetapi itulah pengorbanan yang perlu kita bayar untuk rupa yang lebih unik, bukan?

Volvo XC40 masih sebuah SUV yang sangat segak di mata penulis, tetapi C40 jauh lebih ‘segar’. Dengan lampu depan yang lebih sepet, panel gril flat yang menunjukkan ia sebuah EV, bumbung yang menurun ke belakang lebih sporti, spoiler bumbung dan spoiler di hujung but, serta rekaan lampu belakang berbeza yang cukup cantik, membuatkan ia mudah menjadi perhatian orang.

Semasa mengecas, orang merenung C40 ini kerana melihat kenderaan EV sedang dicas bukanlah suatu pandangan yang begitu biasa lebih-lebih lagi di Pantai Timur buat masa ini. Semasa dipandu perlahan di kawasan perumahan dan kampung juga orang cenderung memandang ke gril depan untuk mengenalpasti kereta apa yang mereka sedang lihat.

Mujurlah penulis pandu C40 dengan warna Crystal White yang dikira agak biasa. Jika penulis dapat unit dengan warna Thunder Grey atau Sage Green, mungkin lebih menyerlah.

Khas untuk Volvo C40 Recharge EV ialah kemasan topografi di papan pemuka yang begitu cantik, lebih-lebih lagi bila menyala di waktu malam. Ia hanya panel plastik keras, tetapi rupa dan rasa padanya cukup unik, tak pernah penulis lihat di kereta lain.

Ini sedikit sebanyak menunjukkan pereka Volvo kreatif dan membezakan kemasan kabin kenderaan mereka yang kelihatan hampir sama. Ia tidak membosankan, tetapi tidak seperti terlalu menunjuk.

Kualiti pemanduan Volvo C40 Recharge EV ini juga berada di tahap yang tinggi. Ia disumbangkan oleh gabungan seperti tempat duduk selesa, pendingin hawa nyaman CleanZone dengan sistem penapis udara PM2.5, dan sistem audio Harman Kardon 600W.

Ditambah pula dengan segala butang kawalan yang sedap dipegang dan digunakan, stereng dengan berat yang secukup rasa, semuanya membuatkan pemanduan jauh langsung tidak memenatkan.

Cuma anda jangan harapkan pemanduan sporti dari C40 ini, kerana rata-rata kenderaan Volvo bukan direka untuk mengejar catatan masa di litar atau mengacah Volkswagen Golf GTi. Ia cuma menawarkan pemanduan selesa, laju jika anda mahu, dan tetap terkawal.

Saya akan beli satu?

Soalan bonus, adakah penulis akan beli sebuah Volvo C40? Jika mampu, tetapi hanya ada dua kereta di rumah, mungkin penulis tak akan jadikan ia kereta kedua. Tetapi jika garaj lebih besar dan mampu memuatkan empat kereta, mungkin penulis akan ‘sumbat’ C40 ini.

Akhir sekali, sebagai menjawab semula tajuk artikel ini, ya, boleh pandu kenderaan EV untuk balik kampung, asalkan anda rajin merancang. Tiada perjalanan tiba-tiba di saat akhir.

Adakah penulis akan lakukannya lagi? Mungkin tidak untuk Raya Haji tahun ini. Tetapi untuk Raya tahun depan, mungkin ya. Kerana dapat dilihat semakin banyak lokasi pusat pengecasan sedang dalam pembinaan dan akan ditambah.

Spesifikasi Volvo C40 Recharge Pure Electric

Harga: RM288,888
Bateri: 400 volt, 78kWh
Sokongan pengecasan: Sehingga 150kW
Kuasa: 402hp
Tork: 660Nm