Category Archives: MOTOSIKAL

Terokai kehebatan motosikal: prestasi cemerlang, rekaan elegan, dan gaya hidup, semuanya untuk peminat sejati motosikal.

Moda Sporter S, skuter 250 cc terpaling sporti – tunggang uji

Biarpun kita baru sahaja memasuki bulan keempat tahun 2025, para peminat skuter mungkin sudah rambang mata dengan kehadiran pelbagai jenis model yang ada di pasaran.

Lebih-lebih lagi, segmen skuter 250 cc kini sangat meriah dengan skuter buatan Jepun, China, dan tidak ketinggalan jenama tempatan seperti Modenas.

Salah satu daripadanya ialah Moda Sporter S.

Ya, Moda Sporter S merupakan antara skuter yang cukup mencuri tumpuan di atas jalan raya.

Untuk pengetahuan, Moda merupakan jenama tempatan yang dimiliki oleh AFY Mobility Industries, syarikat sama yang memegang hak jenama motosikal Suzuki di sini

Dilancarkan sejak beberapa bulan lepas, Moda Sporter S nyata mampu menjadi satu alternatif skuter yang terpaling sporti rakyat Malaysia boleh beli.

Kami diberikan peluang untuk membawa pulang skuter ini untuk tempoh masa yang agak lama, dan berikut merupakan ulasan kami:

 

1. Rupa paras

Reka bentuk skuter Sporter S ini mengingatkan penulis pada superbike jenama ternama di pasaran yang sememangnya mempunyai golongan pengikut yang agak besar dan tersendiri.

Bukti yang paling jelas, terang dan nyata sudah tentu sekali muka depan yang menampilkan unit lampu berkembar.

Jika dilihat dari jarak jauh, anda mungkin akan menyangka Sporter S ini sebuah superbike yang bisu.

Lampu LED tersebut memberikan prestasi pencahayaan yang agak terang untuk tunggangan pada waktu malam, cuma penulis rasa bahagian belakang skuter ini boleh dikemaskan dengan pendekatan yang lebih baik dan senonoh

Posisi lampu membelok belakang agak pelik, dan penulis dapati nyalaan lampu belakang juga malap ketika tunggangan pada waktu siang.

Mujur skuter ini dilengkapi dengan lampu nyalaan siang (DRL) jenis LED yang cukup terang dan lampu membelok hadapan yang agak tinggi menjadikannya mudah untuk dikesan oleh pengguna jalan raya yang lain.

Skrin penghadang angin juga boleh dilaraskan ketinggiannya secara manual.

Selain itu, rekaan lantai skuter ini juga agak luas untuk memudahkan penunggang memposisikan kaki mengikut keperluan.

Sejujurnya, kami rasakan paparan meter 6.2 inci itu amat jelas dan mudah untuk dibaca, lengkap dengan dua pilihan paparan sama ada mod gelap ataupun cerah.

Cuma ada beberapa info penting dipaparkan menggunakan saiz fon huruf yang agak kecil yang sukar untuk dibaca terutama ketika sedang menunggang.

Beberapa ikon notifikasi penting diletakkan pada skrin berasingan, jadi meter digital itu tadi tidaklah jadi terlalu serabut.

Untuk pasaran Malaysia, terdapat dua pilihan warna dua tona ditawarkan, iaitu merah/putih dan juga kelabu/hijau.

 

2. Kuasa

Moda Sporter S ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 244 cc menghasilkan 24.8 hp @ 8,500rpm dan 22.5 Nm @6,500 rpm

Dalam banyak-banyak skuter mesra lesen B2 yang pernah diuji sebelum ini, Moda Sporter S merupakan antara skuter yang cukup lincah dan pantas bergerak dari keadaan pegun.

Pecutannya lancar, boleh dirasai dan dinikmati dengan baik, sangat sesuai untuk golongan rider yang gemar memulas pendikit sehingga habis saat lampu merah bertukar hijau.

Dipadankan pula dengan tangki bahan api 13 liter, skuter ini dengan senang boleh cecah jarak tunggangan melebihi 250 km.

Ya, tidak dapat dinafikan ia sebuah skuter yang sporti, dan dalam masa yang sama menawarkan kadar penggunaan bahan api yang cukup baik

 

3. Pengalaman menunggang

Pada hemat penulis, skuter ini boleh saja ditunggang dengan santai, namun boleh berubah watak menjadi skuter yang terpaling sporti.

Anda harus berterima kasih kepada pendikit yang cukup responsif terhadap arahan tangan kanan, diikuti tetapan suspensi fork hadapan jenis terbalik, dan penyerap hentak berkembar dengan larasan pra-beban.

Berdasarkan tunggangan awal di Sepang tempoh hari, penulis mendapati tetapan sistem suspensi belakang agak keras.

Tetapan tersebut sememangnya sesuai untuk meleper di selekoh, namun boleh mendatangkan kesakitan punggung apabila berdepan dengan jalan yang tidak rata.

Untuk tunggangan kali kedua, penulis mengubah tetapan suspensi belakang supaya rasa lebih selesa, terutama ketika membawa pembonceng (isteri tersayang) di belakang.

Ya, walaupun dengan tetapan yang lebih lembut, pembonceng belakang masih lagi mengadu rasa tidak selesa – mungkin sebab sudah terbiasa dengan tetapan gantungan yang lebih lembut.

Namun untuk tunggangan bersendirian, penulis kira ia sudah lebih daripada memadai untuk menikmati tunggangan yang seronok di laluan berselekoh, dan dalam masa yang sama menyerap segala kekasaran untuk memberikan perlindungan sewajarnya kepada otot punggung dan tulang belakang.

Sebut pasal pelana, penulis harus berterima kasih kepada Moda kerana menawarkan kusyen yang cukup empuk dan selesa untuk tempoh tunggangan yang sederhana lama.

Akhir sekali, Moda Sporter S ini didatangkan dengan tetapan brek cakera depan berkembar saiz 260 mm dan belakang 240 mm.

Penulis kira, tetapan brek yang wujud pada Sporter S ini cukup sesuai untuk kegunaan di Malaysia, terutama ketika berdepan dengan situasi kecemasan.

Dibantu pula dengan sistem brek ABS dua saluran, sistem brek standard ini memberikan lebih keyakinan kepada penunggang untuk memberhentikan pergerakan skuter ini dalam keadaan yang lebih terkawal.

 

4. Ciri yang amat dihargai

Selain daripada apa yang disebutkan di atas, skuter Moda Sporter S ini ada membawakan ciri canggih yang memudahkan urusan.

Seperti contoh, terdapat sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS) terbina, jadi penunggang akan lebih sentiasa berwaspada dengan perubahan yang tidak dijangka sepanjang perjalanan.

Ruang storan bawah pelana cuma sebesar 10 liter, jadi ia hanya sesuai untuk meletakkan barangan penting seperti baju hujan dan dokumen penting.

Sayang sekali, helmet saiz penuh tidak sesuai untuk dimuatkan dan anda mungkin perlu memasang kotak storan tambahan di belakang.

Terdapat juga dua ruang storan kecil di bahagian hadapan untuk meletakkan peranti pintar, siap dengan slot pengecasan jenis USB.

Penulis amat hargai susunan butang fungsi yang mudah dioperasikan dan lengkap dengan bantuan pencahayaan yang  menampakkan skuter ini lebih mahal dan rasa premium.

Seperkara yang penulis rasakan Moda Sporter S ini sesuai dipertimbangkan ialah saiznya yang tidak terlalu lebar, sangat sesuai untuk kegunaan di dalam bandar yang sibuk, seperti Kuala Lumpur.

Terima kasih kepada cermin sisi yang diposisikan lebih tinggi, penulis juga tidak perlu risau kemungkinan tercalarkan kereta lain ketika sedang mencelah di tengah-tengah trafik

Ia juga boleh dilipat untuk memudahkan urusan ketika sedang memasuki kawasan parkir motosikal di pusat membeli belah yang rata-ratanya kecil dan sempit.

Tayar standard Timsun yang dibekalkan dari kilang itu memberikan cengkaman yang diperlukan baik di atas jalan lurus mahupun di laluan yang berliku.

Prestasi di atas jalan basah juga tidak mengecewakan, dan kami kira untuk tunggangan agresif di dalam litar juga tidak memberikan sebarang masalah.

 

5. Kekurangan

Ada beberapa perkara yang kami rasa boleh ditambah baik oleh pihak Moda untuk skuter Sporter S ini

Yang pertama ialah cermin sisi yang bergegar teruk walaupun pada kelajuan bawah 100 km/j yang menyukarkan kami untuk melihat kelibat kenderaan yang datang dari arah belakang.

Selain itu, sudut larasan cermin ini juga tidak terlalu besar.

Yang kedua, walaupun diberikan tempat pemijak kaki yang luas, ia tidak diseimbangkan dengan sudut tempat meletak kaki depan yang lebih selesa.

Ia dirasakan terlalu tegak, jadi agak sukar untuk mencapai kedudukan tunggangan yang lebih selesa terutama untuk mereka yang gemar melakukan tunggangan jarak jauh.

Yang ketiga, skuter ini memang boleh pergi dengan lebih laju, cuma pada kelajuan melebihi had lebuh raya kebangsaan penulis dapat rasakan tunggangan yang tidak stabil, disebabkan bar hendal yang rasa agak ringan.

 

Kesimpulan

Moda Sporter S merupakan sebuah skuter terpaling sporti yang boleh dibeli di pasaran pada ketika ini.

Dengan harga jualan cuma dari RM17,888, ia menawarkan satu pakej yang hampir sempurna untuk para peminat skuter bergaya dan pantas tanpa memberikan kesan besar kepada bajet bulanan.

Syabas kepada pihak Moda Malaysia kerana menghasilkan sebuah produk yang mampu membuatkan penulis tersenyum gembira.

 

Spesifikasi Moda Sporter S

Enjin: 244 cc silinder tunggal, sejukan cecair
Kuasa: 24.8 hp @ 8,500rpm dan 22.5 Nm @6,500 rpm
Suspensi: Fork hadapan jenis terbalik (USD), penyerap hentak berkembar dengan larasan pra-beban
Brek: Rotor berkembar 260 mm depan, rotor tunggal 240 mm belakang, ABS dua-saluran
Tangki bahan api: 13 liter
Ciri keselamatan: Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS)

Moda Sporter S, ini ulasan dan pandangan awal kami – Tunggang Uji

Bulan ini sahaja, kita sudah dihidangkan dengan beberapa buah model skuter yang agak menarik untuk pasaran tempatan.

Salah satu daripadanya ialah Moda Sporter S, sebuah skuter yang membawakan penampilan yang diinspirasikan daripada superbike ternama.

Berharga RM17,888, Moda Sporter S ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 250 cc menghasilkan 24.8 hp dan 22.5 Nm.

Pertengahan bulan Januari yang lalu, kami telah dijemput oleh pihak Moda Malaysia untuk merasai sendiri tunggangan skuter maxi Moda Sporter S.

Laluan sepanjang lebih 30 km di sekitar Litar Antarabangsa Sepang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu menyediakan lokasi yang mencukupi untuk kami menilai sendiri prestasi skuter buatan anak tempatan.

Adakah ia berbaloi untuk dibeli dan dimiliki?

Dari sudut pandang pertama, Moda Sporter S sememangnya membawakan penampilan yang lebih sporti berbanding pesaing yang ada di pasaran, ditambah pula dengan elemen yang diinspirasikan daripada superbike idaman jenama Itali.

Lihat saja pada lampu hadapan berkembar LED, diikuti dengan brek cakera berkembar pada roda hadapan, liveri perlumbaan yang agresif, diikuti dengan bentuk ekor belakang yang nampak tajam itu.

Ia didatangkan dengan skrin paparan TFT 6.2 inci yang mudah untuk dibaca di bawah sinaran matahari yang terik, sementara pelana pula diberikan kusyen yang agak empuk.

Penghadang angin juga boleh dilaras ketinggiannya secara manual.

Memulakan perjalanan, enjin 250 cc silinder tunggal itu tidak memberikan sebarang masalah untuk menghamburkan kuasanya mengikut pulasan hendal di mana respons yang diberikan cukup baik terutama untuk geng pulas habis.

Posisi tunggangan juga cukup selesa, di mana ruang kaki yang disediakan agak luas, memudahkan penunggang melaraskan kedudukan kaki mengikut keperluan.

Ada beberapa rakan media mengadu balutan bahan pada pelana itu sedikit licin, namun penulis tidak berdepan dengan masalah tersebut, mungkin sekali fabrik seluar yang digunakan itu tidak mudah menyebabkan penunggang rasa tergelincir.

Selain tayar yang mencengkam, talaan suspensinya juga cukup baik untuk membolehkan kami menikmati tunggangan yang lebih agresif terutama di kawasan berselekoh.

Cuma, anda perlu bersabar sekiranya terpaksa menempuh laluan yang ada banyak lubang dan jalan yang tidak rata, disebabkan talaan suspensinya yang agak sporti itu.

Ada di kalangan rakan media melaporkan mereka berjaya mencapai kelajuan purata melebihi had laju kebangsaan, dan penulis sememangnya mengakui perkara tersebut.

Yang penulis risaukan ialah bar hendal yang dirasakan agak ringan dan tunggangan dirasakan tidak stabil apabila mencapai kelajuan tiga angka, walaupun skuter ini sebenarnya agak berat.

Pada kelajuan yang tinggi itu juga, cermin sisi dilihat bergegar dengan agak kuat, jadi sukar untuk kami yang pentingkan keselamatan ini untuk melihat kehadiran kenderaan dari arah belakang.

Satu perkara positif yang harus penulis tekankan ialah operasi sistem brek hadapan cakera berkembar yang cukup padu untuk memastikan skuter ini berhenti dengan selamat.

Selain itu, skuter ini didatangkan dengan ciri keselamatan seperti sistem brek anti-kunci (ABS) dua saluran dan kawalan cengkaman (TCS) secara standard.

Ulasan tunggang uji yang lebih mendalam akan kami kongsikan sekiranya diberikan peluang untuk membawa pulang skuter ini untuk tempoh masa yang lebih panjang.

 

Suzuki Gixxer 250, jentera ringkas untuk berseronok – Tunggang Uji

Pemilihan jentera streetfighter mampu milik yang bertepatan dengan jiwa merupakan satu perkara yang tidak boleh dipandang enteng.

Silap haribulan, anda mungkin terpaksa menjual kembali motosikal tersebut disebabkan ia tidak menetapi cita rasa peribadi.

Untungnya bagi para pemegang lesen B2 di Malaysia, kita disajikan dengan bermacam-macam jenis model motosikal di bawah sesaran 250 cc, baik dari negara Jepun, Sweden, India malah motosikal buatan China pun ada!

Suzuki Gixxer 250 telah pun memasuki pasaran Malaysia pada penghujung tahun lepas, dengan tag harga yang agak mencuri tumpuan – sekitar RM14,500.

Mungkin ketibaannya agak lewat, namun penulis berpendapat Suzuki Gixxer 250 mampu menjadi pencabar sengit kepada model-model 250 cc yang ada di luar sana.

Berikut merupakan ulasan ringkas kami setelah beberapa hari bercinta dengan jentera Suzuki Gixxer 250 ini:

 

1. Gaya streetfighter yang.. biasa-biasa je

Jika dibandingkan dengan pesaing lain dalam pasaran, Gixxer 250 tidaklah mempunyai rupa paras yang agresif.

Lampu utama LED berbentuk oval dengan pencahayaan tiga lapis itu memang nampak moden, cuma ia tidak diseimbangkan dengan lampu membelok LED, hanya guna mentol sahaja.

Samalah juga halnya dengan bahagian belakang.

Namun begitu, aspek pencahayaan motosikal ini cukup cemerlang ketika ditunggang pada waktu malam.

 

2. Posisi tunggangan yang lebih asli

Satu perkara yang penulis gemar pada mana-mana motosikal naked ialah posisi tunggangan yang lebih mesra tulang belakang.

Almaklumlah, usia dah masuk 30 siri, jadi posisi tunggangan yang sporti bukanlah satu pilihan untuk perjalanan merentas daerah dan negeri.

Jadi dengan Gixxer 250, ia menawarkan postur tunggangan yang lebih natural terima kasih kepada bar hendal yang lebih tegak, ditambah pula dengan tinggi pelana 795 mm yang lebih mesra individu kurang inci dan dimensi kusyen yang agak lebar.

Kesannya, lebih selesa untuk tunggangan jarak jauh.

Posisi tempat pemijak kaki juga memuaskan, cuma kedudukannya yang hampir dengan topang sisi membuatkan kaki kiri rasa terganggu saat mahu mengeluarkan topang sisi.

 

3. Kuasa kuda yang seronok untuk diperah

Secara standard, Suzuki Gixxer 250 dibekalkan dengan enjin 249 cc silinder tunggal yang mampu menjana kuasa 26.7 hp @ 9,300 rpm dan daya kilas 22.2 Nm @ 7,300 rpm.

Bunyi dia mungkin tidak seagresif pesaing-pesaing lain, namun berdasarkan pengalaman, Gixxer 250 ini mampu menawarkan tunggangan yang agak lincah dan bertenaga, terutama apabila memasuki julat pertengahan putaran enjin.

Untuk kegunaan dalam bandar memang tidak menjadi sebarang masalah, malah penulis juga seronok menunggang jentera ini merentas daerah untuk menghirup angin Selat Melaka.

Kotak gear enam nisbah kelajuan itu sayang sekali tidak diberikan ciri klac assist & slipper, namun usah risau kerana setiap penukaran gear dirasakan begitu lancar sepanjang perjalanan.

Gixxer 250 juga didatangkan dengan lampu indikasi penukaran gear yang akan memberikan peringatan kepada penunggang.

 

4. Jentera mesra selekoh

Tidak tergerak di hati untuk menguji kelajuan tertinggi jentera ini, memandangkan Gixxer 250 ini sebenarnya lebih seronok ditunggang di laluan-laluan yang jauh dari lebuh raya.

Walaupun datang dengan tetapan standard fork teleskopik konvensional dan penyerap hentak tunggal, akan tetapi tetapan inilah yang membuatkan Gixxer 250 sesuai dengan keadaan jalan raya di Malaysia.

Segala gegaran dan ketidakrataan jalan diserap dengan baik, dan masih lagi mampu mengekalkan kestabilan pergerakan sewaktu melayan selekoh-selekoh.

Tayar standard saiz 110/70 depan dan 150/60 di belakang juga sedikit sebanyak membantu Gixxer 250 ini melekat baik pada lapisan aspal jalan, diikuti dengan sistem brek ABS dua saluran yang membantu aspek pemberhentian jentera ini dengan lebih berkesan.

Atas kertas memang boleh nampak kekurangan yang wujud pada jentera ini, namun tidak saat anda membawanya keluar dari garaj untuk menikmati laluan yang sebenar.

 

5. Selesa? Ya!

Salah satu perkara yang membuatkan penulis berpuas hati dengan Gixxer 250 ialah keberkesanan sistem penyejukan enjin itu sendiri.

Secara standard, Gixxer 250 datang dengan sistem sejukan minyak/udara Suzuki Oil Cooling System (SOCS) untuk memastikan kaki kiri dan kanan kekal rasa selesa sepanjang perjalanan.

Sangat berbeza dengan sebuah lagi jentera 250 cc yang penulis pernah tunggang uji sebelum ini, di mana tenaga haba yang terhasil itu boleh membuatkan kaki rasa terbakar walaupun sekadar menempuh perjalanan jarak dekat.

Tapi tidak pada Gixxer 250, di mana penulis dapat membuat perjalanan yang lebih jauh berbanding kebiasaan tanpa perlu berhenti dengan kerap semata-mata untuk menyejukkan kaki.

 

6. Tidak banyak jajan tambahan

Dengan harga jualan sekitar RM14,500, Suzuki Gixxer 250 memang mempunyai beberapa kekurangan yang nyata.

Ciri yang anda mahukan seperti fork hadapan jenis terbalik, ciri penukaran gear pantas, lampu membelok LED, skrin paparan TFT berwarna dan sistem mula tanpa kunci memang tiada langsung dalam senarai spesifikasi jentera ini.

Apa yang anda akan dapat ialah sebuah jentera 250 cc mesra lesen B2 yang agak ringkas, namun masih lagi boleh digunakan untuk berseronok ketika ulang alik ke tempat kerja, atau menikmati oksigen segar bersama rakan-rakan di hujung minggu menuju ke kedai Lemang To’ Ki.

Dengan tangki bahan api sebesar 12 liter, ia sudah mencukupi untuk memastikan anda mencapai jarak tunggangan sejauh 400 km sebelum perlu singgah ke stesen minyak berikutnya.

Kesimpulannya, Suzuki Gixxer 250 mampu menawarkan pengalaman tunggangan dan pengendalian yang baik, dan dalam masa yang sama mengekalkan aspek keselesaan pada julat harga yang lebih mampu milik.

Baik beli motor lain? Itu terpulang kepada pendapat peribadi. Yang pasti, ini antara jentera 250 cc yang sangat seronok untuk ditunggang.

 

Spesifikasi ringkas Suzuki Gixxer 250

Enjin: silinder tunggal 249 cc sejukan udara/minyak
Kuasa: 26.7 hp @ 9,300 rpm
Daya kilas: 22.2 Nm @ 7,300 rpm
Transmisi: Enam nisbah kelajuan
Tangki bahan api: 12 liter
Tinggi pelana: 795 mm

 

Suzuki Burgman Street 125EX: Bukan untuk jiwa kelajuan – Tunggang Uji

Apabila kita berbicara soal skuter kecil di bawah 150 cc, agak sukar untuk mencari sebuah model yang mampu menawarkan ciri-ciri yang premium.

Premium yang penulis maksudkan itu bukanlah ciri mewah seperti pelana balutan baldu, ada sistem bunyi yang bingit, lampu tambahan LED acah masuk off-road dan sebagainya.

Akan tetapi, ia adalah berkenaan ciri yang membuatkan tunggangan seharian rasa lebih selesa dan puas.

Rata-rata model skuter dalam segmen 125 cc di pasaran kita mempunyai keupayaan yang agak lincah di dalam bandar, namun sayang sekali hampir kesemua model mempunyai satu persamaan yang ketara – ruang kaki yang tidak cukup besar.

Kami diberikan peluang untuk menunggang uji sebuah pendatang baharu dalam segmen 125 cc, iaitu Suzuki Burgman Street 125 EX yang baru dilancarkan oleh Suzuki Malaysia bulan lepas.

Apa kelebihan yang ada pada skuter ini? Adakah ia sebuah skuter yang sangat berbaloi-baloi untuk dimiliki?

Ini adalah lima perkara yang kami suka pasal Burgman Street 125 EX:

 

1. Rupa paras premium

Tidak seperti sebuah lagi model skuter Suzuki Avenis 125, Suzuki Burgman Street 125 EX ini hanya ditawarkan dalam dua pilihan warna dua tona yang kusam.

Disebabkan warna tersebut, ia menjadikan penampilan Burgman Street EX ini nampak lebih premium, ditambah pula dengan kekemasan pemasangan setiap sudut panel skuter ini.

Ciri lain termasuklah unit lampu LED bergaya yang agak cerah terutama untuk tunggangan malam, lampu belakang LED, serta kokpit LCD yang ringkas dan mudah untuk dibaca.

 

2. Enjin yang senyap

Secara standard, Suzuki Burgman Street EX ini dikuasakan oleh nadi silinder tunggal 124 cc menghasilkan 8.7 PS dan daya kilas 10 Nm.

Operasi enjin yang agak senyap, ditambah pula dengan sistem bantuan mula Suzuki Easy Start yang membuatkan tunggangan mula rasa agak mahal di situ.

Untuk makluman, Suzuki Burgman ini mempunyai kelebihan yang tersendiri berbanding Avenis, iaitu Suzuki Eco Performance Alpha (SEP-a) untuk tunggangan yang lebih jimat bahan api, diikuti dengan fungsi Auto Start-Stop.

Fungsi Auto Start-Stop itu akan mematikan enjin sewaktu berhenti seketika di persimpangan lampu isyarat, dan hanya dengan sekali pulas enjin akan dihidupkan semula untuk bergerak, dan membolehkan penunggang belakang menikmati sisa-sisa asap yang keluar daripada ekzos yang tidak bising langsung itu.

 

3. Posisi tunggangan yang ergonomik

Satu perkara yang membuatkan penulis rasa kagum dengan Burgman Street EX ini ialah posisi tunggangan yang lebih asli, tidak terlalu menunduk, ditambah pula dengan rekaan lantai yang lebih luas.

Ini membolehkan penunggang melaraskan kedudukan kaki sesuka hati semasa di atas jalan bagi menghilangkan kepenatan.

Pun begitu, skuter Burgman ini sebenarnya masih lagi menawarkan tunggangan yang lincah, dan boleh dikawal semasa mencelah di dalam kesesakan trafik.

 

 

Dimensi yang tidak begitu lebar membuatkan aksi-aksi mencilok boleh dilakukan dengan lebih yakin tanpa perlu risau badan skuter tercalar.

Dalam situasi kecemasan, anda boleh percaya pada aspek kecekapan sistem brek yang didatangkan pada Burgman ini.

Walaupun tiada sistem ABS, Burgman Street EX didatangkan dengan sistem brek gandingan, atau Combined Brake System (CBS) di mana tuil brek di sebelah kiri boleh digunakan untuk mengawal brek roda depan dan belakang.

 

Berdasarkan tunggang uji, sistem brek ini berfungsi dengan cemerlang di mana tiada aksi-aksi yang mampu membuatkan jantung berdegup dengan kencang.

Tayar standard MRF bersaiz 90/90 depan dan 100/80 belakang juga menawarkan kadar cengkaman yang bagus baik di atas jalan kering atau jalan basah.

Layan selekoh pun asyik!

 

4. Jimat bahan api

Berbanding Avenis, Suzuki Burgman Street 125 EX ini didatangkan dengan tangki bahan api yang lebih besar, sekitar 5.5 liter.

Dengan corak tunggangan yang bersesuaian, anda sebenarnya boleh mencapai jarak perjalanan sehingga 200 km untuk setangki bahan api penuh.

Kalaulah skuter ini wujud di zaman penulis sedang belajar dulu, mungkin sekali perjalanan Kuantan-Bahau boleh diselesaikan tanpa perlu singgah stesen minyak.

 

5. Harga yang mampu milik

Ini merupakan poin tambahan yang perlu anda tahu, walaupun skuter 125 cc ini ada bermacam-macam teknologi, akan tetapi ia boleh dimiliki pada harga serendah RM7,500 sahaja.

Satu pakej yang cukup berpatutan untuk sebuah skuter gaya premium, selesa dan senang untuk dikendalikan setiap hari.

Itu antara perkara yang positif yang membuatkan penulis rasakan pembelian skuter ini amat berbaloi.

Tapi, adakah ia bebas daripada kekurangan? Tidak juga.

 

1. Ruang storan besar, tapi terhad

Seperkara yang membuatkan Avenis sebuah skuter yang sesuai untuk kegunaan seharian ialah ruang storan.

Terdapat tempat untuk meletakkan barangan kecil, lengkap dengan soket USB pada bahagian hadapan, sementara bawah pelana pula ada ruang sebesar 21.5 liter.

Memang besar, tapi tidak mampu untuk memuatkan saiz helmet yang biasa penulis gunakan untuk tunggangan rentas daerah.

 

2. Suspensi belakang tidak mesra kebanyakan lorong motosikal di lebuh raya

Usah salah sangka, penulis masih lagi beranggapan talaan suspensi yang ditawarkan oleh Burgman Street EX ini cukup sesuai untuk kegunaan seharian.

Suspensi belakang Burgman Street EX ini memang ditala sedikit keras untuk keseronokan tunggangan di selekoh, namun ia bukanlah senjata yang ampuh bila memasuki lorong motosikal kebanyakan lebuh raya.

Ini kerana tidak seperti laluan utama, kebanyakan pengendali lebuh raya tidak langsung mementingkan turapan yang berkualiti untuk lorong motosikal.

Seperti contoh di Lebuhraya KESAS, ada seksyen tertentu mempunyai bonggol-bonggol kecil yang membuatkan tunggangan seumpama menaiki seekor kuda liar yang mampu menjadikan punggung ada lebih sakit jika duduk berbanding berdiri.

Ada juga kawasan di mana besi penutup longkang sudah melendur ke bawah, bagi mereka yang tidak biasa lalu di kawasan tersebut mungkin akan menyumpah seranah dengan lebih kerap.

 

3. Bukan untuk jiwa kelajuan

Di penghujung hari, Suzuki Burgman Street EX hanyalah sebuah skuter bersesaran kecil.

Sesuai untuk tunggangan dalam bandar, namun ia bukanlah satu calon yang sesuai untuk memenuhi jiwa kelajuan anda.

Bagi penulis, kuasa yang dihamburkan itu cukuplah sekadar untuk memecut pantas saat lampu bertukar hijau, dan kekalkan corak tunggangan pada kelajuan yang selesa.

 

 

Kalaulah skuter ini mampu bergerak laju sekalipun, ia akan membuatkan badan rasa tidak selesa kerana terpaksa menampan pukulan angin dari arah hadapan, disebabkan kedudukan penghadang angin yang terlalu rendah.

Jika kelajuan yang anda inginkan, skuter Burgman Street EX ini bukanlah satu calon yang sesuai. Mungkin anda perlukan skuter maxi yang lebih besar sesarannya.

 

Spesifikasi ringkas Suzuki Burgman Street 125EX 2024


Enjin silinder tunggal 124 cc, sejukan minyak, SOHC
8.7 PS @ 6,750 rpm, 10 Nm @ 7,300 rpm
Fork hadapan teleskopik
Lengan ayun, penyerap hentak tunggal belakang
Sistem brek CBS
Tayar 90/90-12 depan, 100/80-12 belakang
Tangki bahan api 5.5 liter
Tinggi pelana 780 mm
Berat 110 kg
Harga: RM7,500

Kami bina sendiri Lego Technic Yamaha MT-10 SP skala 1:5 ini! – Pasang Engear

KAMI di Engear sama juga seperti anda, sukakan jentera-jentera seperti kereta dan motosikal. Jadi bila dapat tawaran dari pihak Lego Malaysia untuk mengalami sendiri pengalaman memasang model terbaharu mereka iaitu Yamaha MT-10 SP, kami cukup teruja.

Oleh itu, video dan artikel reviu kali ini menggunakan subjek sedikit berbeza dari kebiasaan, iaitu sebuah motosikal dalam skala 1:5.

Lego mempunyai banyak barisan produk seperti Classic, City, Creators, dan DC Comic Super Heroes, meliputi pelbagai peringkat umur. Lego Technic ialah siri yang lebih kompleks, realistik, teknikal, dan sesuai untuk mereka yang berumur mungkin 14 tahun ke atas.

Set Lego Technic Yamaha MT-10 SP terdiri dari 1,478 keping Lego dan apabila siap, akan mempunyai ukuran 25cm tinggi, 44cm panjang, dan 15cm lebar.

Ia menampilkan ciri utama dari motosikal Hyper Naked itu yang sebenar seperti enjin 4-silinder dan kotak gear yang berfungsi. Komponen kotak gear seperti dram penukar, fork, gegelung, dan racet semuanya dihasilkan dengan realistik dan teliti.

Buka kotak

Di dalam kotak set ini terdapat sampul berisi manual dan pelekat, serta bungkusan plastik berisi blok-blok dan komponen Lego.

Manualnya seperti biasa dari buku tebal jenis kertas berkilat, dan sudah tentu berwarna. Buku ini menampilkan gambar-gambar motosikal sebenar, model siap, dan cara pemasangan. Ia juga berbaloi disimpan dijadikan koleksi atau untuk diletakkan di meja kopi.

Bungkusan plastik agak banyak, dan setiap satu dikumpulkan dalam enam kumpulan. Jadi setiap kumpulan dari satu hingga enam ini menunjukkan segmen dan langkah pemasangan. Sebagai contoh beberapa beg 1 untuk komponen rangka, dan beberapa beg 3 untuk enjin.

Mari ‘main’ Lego

Kami pun memulakan proses pemasangan, melalui kesemua 307 muka surat dari buku manual. Beg-beg berlabel nombor 1 paling panjang prosesnya, iaitu 89 muka surat.

Selebihnya adalah beg 2 hingga 6. Dan kami mengambil masa lebih kurang lapan jam keseluruhan, gabungan dari dua hari penggambaran.

Hasilnya, sebuah replika Yamaha MT-10 SP dalam skala 1:5 yang cukup cantik. Ia juga nampak realistik, yang mana kami rasa jika tiada logo Yamaha pun, peminat motosikal pasti boleh cam model ini.

Ciri paling menarik pada Lego Technic Yamaha MT-10 SP bagi penulis ialah enjin dan kotak gear 3-kelajuan yang berfungsi. Anda boleh masuk gear 1, neutral, 2, dan 3 dengan menekan penukar gear seperti motosikal sebenar. Cuma Lego tidak buatlah kotak gear 6-kelajuan, nanti tak muat pula. Cukup 3-kelajuan untuk kita nampak asas binaan transmisi itu.

Ia disambungkan kepada rantai yang menggerakkan roda belakang. Anda dapat lihat empat silinder dalam enjin bergerak jika anda dalam gear dan memusingkan roda belakang, dan begitu juga sebaliknya.

Terdapat juga perincian komponen lain seperti suspensi depan dan belakang yang berfungsi, cermin sisi yang boleh digerakkan, hos brek depan dan belakang, serta hos radiator.

Susah? Berbaloi?

Susah atau senang untuk bina model ini, bergantung kepada pengalaman anda. Macam penulis sendiri, tidak pernah memasang sebarang model Lego Technic bersaiz besar, dan sebarang model motosikal. Tetapi penulis pernah memasang banyak set Lego sebelum ini.

Anda perlu membiasakan diri dan mengenal blok serta komponen yang banyak digunakan di awal pembinaan, kemudian bila masuk beg 2 dan seterusnya, jadi lebih lancar.

Anda perlu teliti di beg 2 dan 3 kerana di sini kita membina blok enjin dan kotak gear. Semua komponen perlu betul, termasuklah jajaran drum penukar gear. Betul semua ini, maka kotak gear anda berfungsi dengan sempurna.

Bagi penulis, set ini sememangnya berbaloi dibeli kerana anda dapat sebuah build yang memuaskan. Anda dapat belajar banyak mengenai mekanikal dan kejuruteraan motosikal khasnya Yamaha MT-10 SP ini. Bila siap, model ini juga pasti gah menghiasi ruang tamu atau ruang pejabat anda. Jangan biarkan anak buah yang masih kecil sentuh!

Oh ya, set Lego Technic ini juga datang dengan fungsi AR (augmented reality) dimana anda boleh muat turun aplikasinya dan berinteraksi dengan model ini dengan cara unik di telefon pintar anda.

Jemput tonton video kami berseronok memasang model ini di bawah. Jika anda berminat membelinya, boleh terus ke pautan ini.

Suzuki SV650 – “Monster” yang kurang diberi perhatian

SUZUKI SV650 merupakan salah satu daripada enam motosikal baharu yang dibawa masuk oleh pengedar baharu jenama itu (Suzuki Malaysia Sdn Bhd) pada Ogos tahun lalu.

Dalam video tunggang uji terbaharu, Mr Rocket mendakwa bahawa model naked itu kurang diberi perhatian jika dibandingkan dengan dua model saiz pertengahan Suzuki yang lain iaitu GSX-S750 dan V-Strom 650XT. Agak-agak kenapa ya?

Tidak pasti kenapa, namun SV650 tidak wajar dipandang rendah kerana ia mempunyai beberapa kelebihan untuk membolehkannya bersaing dalam pasaran Malaysia. Pertama sekali, ia merupakan antara model paling mampu milik dalam segmennya dengan harga bermula dari RM37,289.

Bukan itu sahaja, Mr Rocket juga mendakwa ia membuatkan penunggang kelihatan lebih kacak. Malah, dengan bingkai dan rim berwarna merah, tidak mustahil ada yang menyangka bahawa ia adalah Ducati Monster.

Dalam erti kata lain, SV650 sesuai untuk mereka yang inginkan Monster tetapi tidak mampu untuk mengeluarkan belanja yang besar untuk memiliki jentera dari Itali itu. Bak kata orang, ada gaya pun sudah memadai.

Tambah penunggang uji Engear itu, sifat SV650 yang “basic” dan “raw” secara tidak langsung membuka ruang kepada pemilik untuk memodifikasi jentera ini mengikut selera masing-masing. Sebagai contoh, fork teleskopik depan boleh ditukarkan dengan fork daripada GSX untuk prestasi redaman yang lebih mantap.

Selain itu, sistem ekzos juga boleh ditukar dengan unit aftermarket yang sudah tentu akan menghasilkan ‘ngauman’ yang akan menjadi halwa telinga. Namun, Mr Rocket menganggap bahawa bunyi yang dihasilkan oleh sistem ekzos standard itu sudah cukup bagus.

Sebaik sahaja mula menunggangnya, motosikal ini tidak selebar yang disangka, dengan rekaan ergonomik yang membuatkan penunggang terasa lebih santai dan selesa. Ini, menurut Mr Rocket, memudahkan penunggang untuk menyelit antara kenderaan lain dan mengambil selekoh.

Mengenai enjin V-twin-nya pula, kuasa yang dihamburkan disifatkan lain dari yang lain. Ini kerana penghantaran tork pada julat rendah membuatkan SV650 terasa begitu berkuasa dan responsif. Disebabkan ini, model ini mungkin tidak begitu sesuai untuk dikategorikan sebagai motosikal pemula atau “beginner’s bike”.

Ini ada benarnya kerana ramai penunggang, terutamanya mereka yang baru mendapat Lesen B, menyangka bahawa motosikal kapasiti pertengahan boleh dijadikan sebagai motosikal pemula. Pada pendapat penulis, lebih baik bermula dengan motosikal 250 cc dan apabila sudah cukup berpengalaman, barulah naik taraf kepada model berkapsiti lebih besar.

Nak dengar ulasan lanjut Mr Rocket mengenai SV650? Jom tonton video di bawah:

Suzuki GSX-R1000R jentera spesifikasi MotoGP, harga mesra rakyat – Tunggang uji

ORANG biasa mengatakan superbike Ducati menawarkan spesifikasi paling dekat dengan jentera MotoGP, tetapi orang tidak pernah mengatakan tentang motosikal di tempat kedua. Menurut Mr Rocket kita, di tempat kedua sebenarnya ialah Suzuki.

Kali ini dalam sesi tunggang uji Suzuki GSX-R1000R, Mr Rocket berpendapat bahawa ia sebuah superbike yang sangat underrated, dan tidak begitu dipandang. Padahal ia menawarkan teknologi dan spesifikasi yang ‘bukan biasa-biasa’.

Memandangkan ini ialah GSX-R1000R dan bukan GSX-R1000, ia mendapat komponen-komponen yang dinaiktaraf. Antaranya adalah suspensi, alat bantuan elektronik, dan enjin.

Bak kata Mr Rocket, “Lebih banyak R pada nama dia, lebih laju.”

Di sini adalah beberapa ‘jajan’ tahap MotoGP pada Suzuki GSX-R1000R ini:

Fork depan Showa dengan external canister, boleh laras sepenuhnya – compression, rebound, preload
Suspensi belakang Showa dengan pelarasan compression, rebound dan preload
Brembo 4-piston floating disc
Valve boleh-laras pada header ekzos
Top Feed Injector
Quickshifter dan auto-blipper
Electronic steering damper Kayaba
Hos brek steel-braided
Shift Indicator boleh-laras
Launch Control

Seterusnya, mari kita dengarkan ulasan penuh Mr Rocket dalam video di bawah. Selain komen mengenai prestasi, pengendalian dan rasa GSX-R1000R, dia juga sempat mahu menguji kelajuan maksima superbike ini.

Tapi sempat tarik maksima dalam gear 4 sahaja!

Honda CBR150R kacak tapi kurang laju? Ini review jujur Engear!

HONDA CBR150R yang dilancarkan sejak tahun lalu tidak dinafikan menerima pelbagai pujian daripada penggemar roda dua.

Rata-rata menyifatkan model Honda ini antara sport bike paling kacak pernah dihasilkan Honda.

Namun, bagaimana pula dengan prestasi enjin?

Adakah prestasi enjin yang dimiliki sepadan dengan rupa parasnya?

Nak tahu apakah jawapannya, jom ikuti review daripada Engear!

Pengalaman pandu uji Honda CBR150R

Foto ihsan Honda

Sebelum ini, Engear diberi kesempatan menguji jentera 150cc keluaran Honda yang dilancarkan tahun lalu.

Secara asas, pengalaman menguji CBR150R sangat memuaskan walaupun jentera ini hanya memiliki 16 kuasa kuda pada 9,000 rpm dan 13.7 Nm tork pada 7,000 rpm.

Walaupun jentera ini hanya menggunakan sama enjin seperti Honda RS150 namun, apa yang membezakan adalah corak tunggangan.

Paling mengujakan adalah ketika mengambil selekoh yang membuatkan penunggang berasa sangat confident.

Foto ihsan Honda

Selain itu, cara ‘kerja’ enjin jentera ini juga boleh dikatakan hampir sempurna kerana tidak terlalu ‘kasar’ sekaligus memberi keseronokan menunggang.

Bagaimanapun, tidak dinafikan jentera ini mengalami sedikit gegaran apabila kelajuan mencecah 130 km/j sehingga 140 km/j.

Namun, perlu adil kepada jentera ini kerana apa yang anda harapkan pada sebuah motosikal 150cc bukan?

Rekaan Honda CBR150R yang memukau

Foto ihsan Honda

Model ini didatangkan dengan dua warna iaitu Candy Scintillate Red dan Matte Charcoal Grey Metallic.

Ia dilengkapi unit digital dengan pelbagai informasi termasuk kedudukan gear dan tahap rpm.

Secara jujur, Engear sukakan panel meter yang dihasilkan Honda ini kerana sangat interaktif dan cantik berbanding pesaingnya daripada jenama lain.

Sementara itu, jentera seberat 139 kilogram ini juga didatangkan dengan tangki bahan api berkapasiti 12 liter.

Foto ihsan Honda

Berikut beberapa ciri menarik lain terdapat pada Honda CBR150R:

  • Suspensi unit fork Showa USD berwarna emas
  • Monoshock pelarasan pra beban di belakang
  • Brek cakera ABS two-channel
  • Rim 17 inci
  • Tayar IRC 100/80 (hadapan) dan 130/70 (belakang)

Untuk review lebih menyeluruh mengenai CBR150R, saksikan video yang telah kami sediakan.

Chiow!

Yamaha NVX 2021, skuter idaman untuk kaum wanita?

HAMPIR setahun keberadaan Yamaha NVX 2021 di pasaran Malaysia, permintaan terhadap model ini tidak kurang hebatnya.

Dijual pada harga RM8,998 sehingga RM10,998 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan), NVX 2021 mempunyai pelbagai kelebihan tersendiri.

Jadi, Apakah kelebihan NVX 2021 ini? Jom kita check it out!

Foto ihsan Yamaha

Sistem keyless ignition

Menarik mengenai NVX 2021, model ini mempunyai sistem keyless ignition.

Ini bermaksud, pengguna tidak perlu menggunakan kunci seperti kebanyakan motosikal lain sekaligus memberi sentuhan ‘moden’ dan canggih.

Foto ihsan Yamaha

Sistem Yamaha Y-Connect

Yamaha NVX 2021 juga didatangkan dengan dengan panel instrumen digital LCD yang boleh disambungkan dengan sistem Y-Connect.

Y-Connect membolehkan motosikal disambung dengan aplikasi dalam telefon bimbit dan memberikan beberapa informasi penting.

Antara informasi diperoleh menerusi sistem Y-Connect termasuk maklumat tahap minyak enjin, peringatan waktu servis, kedudukan lokasi terakhir motosikal dan penggunaan bahan api.

Selain itu, ia juga memberikan notifikasi panggilan dan mesej yang dipaparkan di panel instrumen.

Foto ihsan Yamaha

Apa kelebihan lain NVX?

Yamaha NVX 2021 masih menggunakan unit enjin satu silinder SOHC suntikan bahan api 155 cc dengan sistem VVA.

Bagaimanapun, kuasa model baharu ini bertambah sedikit menjadi 15.4 PS pada 8,000 rpm dan 13.9 Nm tork pada 6,500 rpm.

Berikut kelebihan lain ada pada Yamaha NVX 2021:

  • Tangki 5.5 liter 
  • Brek hadapan jenis cakera
  • Brek belakang dram
  • Soket pengecas USB 
  • Fork teleskopik
  • Dua penyerap hentak di belakang

Sementara itu, versi ABS mendapat kelebihan brek ABS one-channel di hadapan, sistem start dan stop serta suspensi belakang dengan subtank.

Pada masa sama, Yamaha NVX 2021 sangat ringan dan pastinya sesuai untuk kegunaan kaum wanita.

Foto ihsan Yamaha

Untuk informasi lebih lanjut saksikan review yang telah kami sediakan

Chiow!

Ingin berjinak dengan superbike? Cuba dulu Honda CBR250RR

MOTOSIKAL jenis sport bike semakin mendapat permintaan tinggi dalam pasaran negara ini.

Terdapat pelbagai sebab sport bike menjadi pilihan sama ada ia pratikal untuk kegunaan di kawasan bandar atau setidak-tidaknya sebagai ‘mukadimah’ kepada rider yang ingin berjinak memiliki super bike.

Antara sport bike terdapat di pasaran adalah Honda CBR250RR yang sememangnya menjadi pesaing hebat dengan motosikal keluaran syarikat lain.

Melihat spesifikasi terdapat pada motosikal ini, tidak dinafikan ia cukup untuk memberi kepuasan kepada si penunggang.

Memiliki enjin silinder berkembar 250 cc, CBR250RR menjana 40 kuasa kuda @ 13,000 rpm dan daya kilas 25 Nm @ 11,000 rpm.

Selain itu, motosikal ini juga didatangkan dengan fungsi Quick Shifter, fork hadapan USD dan sistem ABS dua saluran.

Berdasarkan pengalaman tunggangan team Engear, ternyata CBR250RR mempunyai keistimewaan tersendiri.

Perkara pertama yang menarik perhatian kami adalah fungsi clutch yang sangat ringan sekaligus memudahkan penukaran gear.

Pada masa sama, CBR250RR juga mudah untuk dikendalikan dan ini membantu penunggang mengawal pergerakan motosikal dengan lebih yakin.

Persoalannya, adakah motosikal ini sesuai untuk kegunaan harian?

Mungkin bagi individu yang tidak mempunyai pengalaman menunggang motosikal ‘tangki’ atau sport bike akan merasa sedikit lenguh di bahagian lengan.

Namun, ia bukan suatu masalah besar jika penunggang mulai menyesuaikan diri dengan kedudukan tunggangan motosikal ini.

Jika anda ingin tahu lebih lanjut mengenai pengalaman tunggangan team Engear bersama CBR250RR, saksikan video yang telah disediakan.

Enjoy!

Dominar 400, ada rahsia Modenas lupa maklum kepada pengguna?

NAMA Modenas Dominar 400 makin dikenali dalam kalangan ‘kaki motor’ sejak ia diperkenalkan pada tahun 2018.

Tahun lalu, Modenas telah melakukan penambahbaikan terhadap beberapa fungsi pada model ini sekaligus menjadikan ia bertambah ‘mantul’.

Baru-baru ini Engear berpeluang menunggang uji motosikal keluaran Modenas tersebut dan ternyata prestasi yang dipersembahkan amat luar biasa!

Nak tahu apa yang menarik tentang motosikal ini? Jom check it out!

Menarik tentang Modenas Dominar 400

Foto ihsan Modenas

Tidak dinafikan sudah terlalu banyak review dilakukan membabitkan model Modenas Dominar 400.

Namun, kali ini bukan kuasa atau ketahanan enjin yang Engear ingin huraikan tetapi lebih tertumpu kepada fungsi elektronik.

Apa yang kami maksudkan adalah mengenai satu fungsi menarik pada instrument panel yang tidak dihebahkan oleh Modenas kepada pelanggannya.

Boleh disifatkan agak teliti mengenai keselamatan, Modenas mewujudkan satu sistem yang memberi maklumat mengenai kedudukan tongkat motosikal berkenaan.

Contohnya, jika tongkat motosikal terlupa dinaikkan, akan terdapat tanda amaran pada instrument panel yang jelas boleh dilihat oleh penunggang.

Hal ini secara tidak langsung mampu mengelak sebarang kemalangan akibat tidak menaikkan tongkat motosikal.

Sementara itu, Modenas turut memperkenalkan sistem yang memberi maklumat kepada penunggang mengenai kedudukan sistem kill switch.

Apa yang dimaksudkan adalah penunggang akan dimaklumkan sama ada sistem kill switch berada pada kedudukan “on” atau ‘off”.

Mungkin kedengaran agak biasa namun, perlu diingat bahawa tidak banyak syarikat pengeluar motosikal yang peka mengenai fungsi yang diperkenalkan oleh Modenas ini.

Spesifikasi lain pada Dominar 400

Foto ihsan Modenas

Model baharu Dominar 400 mempunyai dua pilihan warna baharu iaitu Savanna Green dan Charcoal Black.

Dijual pada harga kurang RM14,00 (tidak termasuk cukai dan insuran), motosikal ini sangat ekonomi dan mampu milik bagi kebanyakan individu.

Antara ciri naik taraf menarik Dominar kali ini adalah komponen fork dengan penyerap hadapan terbalik yang menggantikan fork teleskopik konvensional pada model terdahulu.

Berikut antara ciri menarik lain terdapat pada Dominar 400:-

  • Dua paparan meter LCD memaparkan maklumat gear, kelajuan, jarak perjalanan, jam, rpm dan tahap minyak
  • Lampu hadapan automatik “LED mosaic”
  • Sistem klac Assist and Slipper
  • Brek ABS two-channel

Terdapat banyak lagi maklumat yang kami ingin sampaikan kepada anda.

Untuk informasi lanjut sila tonton video yang kami sediakan ini…chiow!

Tunggang uji: Modenas NS200 sebuah naked bike dengan nilai terbaik?

MODENAS Pulsar NS200 bukanlah motosikal baharu dalam pasaran, tetapi ia telah menerima facelift untuk 2021.

Dan baru-baru ini Engear dijemput untuk mengujinya di litar. Walaupun sesi tunggang uji itu agak singkat, namun kami dapat belajar banyak mengenai naked bike ini dan memperoleh beberapa input penting.

Pulsar NS200 2021 dijual pada harga RM9,655 dan mendapat tiga warna baharu iaitu Plasma Blue, Burnt Red dan Pewter Grey.

Dengan lebih 8,000 unit terjual, ia antara yang paling popular dalam segmennya. Memang berbaloi sangatkah Pulsar NS200 ini pada harga bawah RM10k?

Semasa tunggang uji di litar, Mr Rocket mulanya tidak berapa gemar idea naked bike di litar. Tambahan pula litar di HB Karting di Batu 3, Shah Alam agak kecil, kurang sesuai dengan naked bike yang mempunyai bar hendal lebar.

Namun selepas memecut keluar selekoh, Mr Rocket mula seronok, “Ada pickup,” katanya.

Tork pada rpm rendah tidaklah begitu kuat, tapi jika ditukar tayar kepada yang lebih agresif, mungkin akan lebih seronok ditunggang.

Tetapi pada masa yang sama, Mr Rocket kata walaupun gearnya agak sporti dengan nisbah pendek, tayar belakang masih bertahan dan tiada tanda-tanda slip atau tergelincir semasa memecut dan menukar gear.

Oh ya, paling penting pada NS200 sekarang ialah ia dilengkapi ABS, jadi pasti memberikan kita lebih keyakinan untuk menunggang dan ‘push’ ke had dinamiknya.

Dari segi spesifikasi, Modenas Pulsar NS200 dikuasakan oleh enjin 199.5cc SOHC dengan teknologi Triple Spark yang mempunyai tiga palam pencucuh.

Ia menjana 24hp dan 18.6Nm tork, serta dipadankan bersama kotak gear 5-kelajuan.

Untuk mengetahui ulasan penuh Mr Rocket, jemput tonton video di bawah:

Harga RM44k, Suzuki GSX S750 ABS memang sangat berbaloi!

SUZUKI tidak dinafikan merupakan sebuah syarikat pengeluar motosikal amat disegani dalam industri permotoran.

Ini kerana kebanyakan jentera dihasilkan Suzuki bukan sahaja memiliki trademark tersendiri malah, mempunyai ketahanan luar biasa.

Memperkatakan mengenai produk Suzuki, salah sebuah jentera menarik perhatian Engear adalah model GSX S750 ABS.

Foto ihsan Suzuki

Pertama kali krew Engear menguji jentera ini ternyata segala kehebatan teknologi yang diperkatakan mengenai Suzuki adalah benar belaka.

Mempunyai enjin 4-stroke (liquid-cooled, 4-cylinder, DOHC) dengan 749cc, motosikal ini mampu mencapai lebih 114 kuasa kuda pada 10,500 rpm dan 81 Nm torque pada 9,000 rpm.

Kuasa pick up dan pecutan tidak keterlaluan jika dikatakan setanding dengan kebanyakan jentera 1000cc lain yang berada di pasaran.

Ciri-Ciri GSX S750 ABS

Model GSX S750 ABS didatangkan dengan tayar depan 120mm dan belakang 180mm.

Ia mempunyai berat lebih 213 kilogram dan ketinggian (seat height) 820mm.

Apa yang menarik jentera ini mempunyai saiz radiator yang agak kecil namun, mampu melakukan ‘kerja’ penyejukkan yang sangat efisyen.

Bagaimana pula dengan saiz tank? Ya, saiz tank juga tidak begitu mengecewakan kerana ia mampu menampung lebih 16 liter petrol.

Selain itu, GSX S750 ABS ini mempunyai sistem Suzuki’s Advanced Traction Control System.

Foto ihsan Suzuki

Sistem ini menawarkan tiga mod tunggangan seperti berikut:

Mod 1

Mod ini sesuai kepada individu yang inginkan kepada tunggangan sport

Mod 2

Mod ini sesuai untuk permukaan jalan raya biasa seperti di jalan Persekutuan atau lebuhraya

Mod 3

Mod ini sesuai untuk permukaan jalan yang tidak sekata seperti menaiki bukit atau jalan berbatu

Setakat ini, terdapat empat warna pilihan bagi model GSX S750 ABS iaitu metallic Triton Blue, Metallic Matte Black, Pearl Glacier White and Pearl Glacier White/Glass
Sparkle Black.

Harga di pasaran pula bermula RM44,000 sahaja!

Foto ihsan Suzuki

Skor rating GSX S750 ABS

Berikut pula adalah skor rating Engear terhadap jentera GSX S750 ABS.

Hujung Minggu

Gaya 6.5/10

Pecutan 8.5/10

Pengendalian 7/10

Fun 7/10

Cool 6.5/10

Tunggangan Harian

Ciri 7.5/10

Keselesaan 7/10

Keselamatan 7/10

Praktikaliti 5/10

Saiz 5/10

Nak tahu lebih lanjut review  jentera GSX S750 ABS ini jangan lupa saksikan video bersama hos Mr. Rocket di platform YouTube EnGear!

Chiow!

Harley-Davidson Sportster S jentera kruiser terbaharu dengan 121hp dan 125Nm

DIPERKENALKAN buat kali pertama pada 1957, Sportster merupakan model yang paling lama dihasilkan oleh Harley-Davidson.

Namanya juga cukup sinonim dengan pengeluar motosikal yang berasal dari Milwaukee itu, terutamanya bagi mereka yang baru ingin berjinak dalam dunia motosikal kustom.

Kini, barisan Sportster telah mendapat model serba baharu yang dikenali sebagai Sportster S.

Tidak seperti model terdahulu yang dikuasakan oleh enjin V-berkembar ‘Evolution’, jentera ini tampil dengan enjin 1250 Revolution Max baharu seperti yang digunakan pada model Pan America.

Foto oleh Harley Davidson

Kuasa dan Enjin

Dilengkapi dengan teknologi penyejukan cecair dan Variable Valve Timing (VVT), enjin 1,250 cc berkenaan mampu menghasilkan kuasa sebanyak 121 hp dan 125 Nm tork, dengan rev maksimum mencecah 9,500 rpm.

Ia digandingkan dengan transmisi enam kelajuan yang dilengkapi dengan klac slipper.

Angka tersebut sedikit lebih rendah jika dibandingkan dengan Pan America namun enjin Sportster S didatangkan dengan beberapa penambahbaikan bagi mendapatkan hamburan tork yang lebih tinggi pada julat pertengahan.

Ini termasuk saiz injap dan port yang lebih kecil, bentuk kebuk pembakaran yang berbeza serta piston baharu.

Selain modifikasi berkenaan, enjin tersebut juga dipasang terus pada kerangka hadapan, tengah dan belakang, sekaligus menjadikan ia sebahagian daripada elemen struktur casis.

Cara ini bukan sahaja dapat mengurangkan berat keseluruhan motosikal, malah menjadikan casis lebih tegar dan pengendalian lebih mantap.

Kerangka tersebut dipadankan dengan sistem suspensi boleh laras yang terdiri daripada fork terbalik bersaiz 43 mm pada bahagian hadapan dan penyerap hentak dengan tabung Showa Piggyback pada bahagian belakang.

Sementara itu, rim pula diperbuat daripada aluminium tuangan dan tayar yang digunakan adalah Dunlop GT503.

Bagi memastikan ia mempunyai kuasa membrek yang secukupnya, Harley-Davidson menggunakan angkup Brembo monobloc empat piston dan cakera 320 mm di hadapan, dan angkup Brembo dua piston dan cakera 260 mm di belakang.

Walaupun sebelum ini Sportster dilihat agak konvensional dari segi teknologi, kelengkapan elektronik yang ada pada model terbaharu ini boleh dikatakan cukup serba-serbi.

5 Mod Tunggangan

Antara yang disertakan adalah lima mod tunggangan (Sport, Road, Rain dan dua mod kustom), Traction Control, ABS, sistem pemantau tekanan tayar (TPMS), paparan TFT berukuran empat inci dengan fungsi Bluetooth serta port USB-C untuk pengecasan telefon.

Di Amerika Syarikat, Sportster S dijual pada harga bermula dari $14,999 (kira-kira RM63,300).

Ia boleh didapati dalam tiga warna iaitu Vivid Black, Stoned Wash White Pearl dan Midnight Crimson.

Sudah tentu, pelanggan boleh mendapatkan pelbagai aksesori rasmi Harley-Davidson seperti pelana solo, cermin penghadang angin kompak yang boleh dicabut, tail bag dan pelbagai lagi.

Kredit oleh Harley Davidson

WMoto Xtreme 150i skuter jimat minyak, harga bermula RM9,588

SKUTER WMoto Xtreme 150i secara rasmi dilancarkan di pasaran Malaysia.

Tampil dengan ciri keselamatan tinggi, ia menerima penarafan lima bintang dalam ujian Motorcycle Assessment Program in Malaysia (MyMAP).

Model WMoto Xtreme 150i didatangkan dengan enjin silinder tunggal SOHC 149.3 cc.

Ia mampu menghasilkan 12.1 kuasa kuda pada 8,500 rpm dan daya kilas 11.8 Nm 5,000 rpm.

Sementara itu, model WMoto Xtreme 150i turut memenuhi piawaian Euro 4.

Model WMoto Xtreme 150i didatangkan dengan saiz rim 14 inci. – Foto ihsan WMotor

Spesifikasi WMoto Xtreme 150i

Spesifikasi menarik model WMoto Xtreme 150i termasuk dilengkapi suspensi USD dan penyerap hentak tunggal di bahagian belakang.

Pada masa sama, ia didatangkan dengan rim tayar bersaiz 14 inci.

Berikut antara ciri istimewa lain terdapat pada WMoto Xtreme 150i:-

  • Berat keseluruhan 143 kilogram
  • Kapasiti tangki sebesar 11 liter
  • Jarak tunggangan sehingga 400 kilometer untuk full tank
  • Unit lampu nyalaan siang diod pemancar cahaya (LED)
  • Paparan digital LCD
  • Ruang storan besar di bawah tempat duduk (mampu memuatkan helmet fullface)
  • Slot pengecasan USB
  • Soket 12 V serta pelindung angin hadapan dilaras secara manual

Model WMoto Xtreme 150i boleh didapati dalam dua warna iaitu merah dan kelabu.

Harga jualan bermula dari RM9,588 tidak termasuk cukai jalan, insurans serta pendaftaran.

Sekali pengecasan, BMW CE 04 2022 mampu capai jarak 128 kilometer

BMW dijangka memasarkan model skuter elektrik terbaharu menjelang tahun hadapan dikenali sebagai CE 04.

Berdasarkan spesifikasi model ini, ia didatangkan dengan motor elektrik tunggal yang menghasilkan 42 kuasa kuda dan 60 Nm.

Walaupun kelajuan tertinggi skuter ini dihadkan 120 km/j sahaja namun, ia hanya mengambil masa kurang 10 saat untuk mencapai pecutan 0-100 km/j.

Selain itu, pecutan 0-48 km/j pula hanya mengambil masa sekitar 2.6 saat!

Keistimewaan enjin BMW CE 04

BMW CE 04 mampu bergerak sejauh 128.7 kilometer dengan sekali pengecasan penuh.

Ini kerana ia menggunakan pek bateri berkapasiti 8.9 kWh dengan dibantu sistem penyejukan udara agar bateri kekal di tahap optimum.

Masa pengecasan pula sekitar 1 jam 40 minit dari tahap bateri sifar hingga 100 peratus.

Rekaan garang skuter BMW CE 04. – Foto ihsan BMW

Ciri pengendalian memukau

Terdapat beberapa ciri lain menarik terdapat pada BMW CE 04.

Antara ciri tersebut termasuk:

  • Sistem keselamatan ABS
  • Kawalan gelinciran ASC
  • Dynamic Traction Control
  • ABS Pro

BMW turut memuatkan paparan skrin high-definition (HD) bersaiz 10.25 inci untuk kepuasan penglihatan penunggang.

Skrin ini bukan sahaja boleh disambungkan kepada peranti pintar malah mempunyai sistem navigasi canggih.

Paparan panel meter canggih high-definition (HD). – Foto ihsan BMW

Pada masa sama, BMW CE 04 turut ditawarkan dengan pakej premium dengan sistem DTC dan ABS Pro.

Terdapat juga sistem lampu utama diod pemancar cahaya (LED) adaptif, tempat duduk dengan pemanas dan mod dynamic bagi pengendalian sempurna.

Berdasarkan harga didedahkan BMW, ia dijangka dijual sekitar $11,795 atau bersamaan RM49,221.

Harley-Davidson tease model baharu, enjin 1250cc!

JENAMA Harley-Davidson bukan suatu yang asing dalam industri permotoran dunia.

Memiliki branding yang kukuh, Harley-Davidson tidak pernah berhenti daripada menghasilkan produk bermutu tinggi.

Terbaharu, syarikat asal negara ‘Uncle Sam’ itu mengeluarkan teaser model baharu di platform internet.

Tidak memperincikan lebih lanjut, Harley-Davidson sekadar memberi bayangan dengan mempamerkan perkataan “Revolution Max” pada bahagian enjin.

Ia sudah pasti merujuk kepada enjin v-twin iaitu sama seperti model Pan America 1250.

Berdasarkan ciri terdapat pada Pan America, ia didatangkan dengan enjin 1252cc dengan sistem penyejukan cecair yang menghasilkan kuasa 150 kuasa kuda!

Namun, ramai juga menjangkakan model baharu cruiser ini mempunyai talaan yang sedikit berbeza.

Berikut antara ramalan ciri-ciri terdapat pada model baharu yang bakal diperkenalkan Harley-Davidson.

• Model baharu Harley-Davidson mempunyai bentuk rendah dan panjang
• Hanya memilki satu tempat duduk yang leper
• Dua ekzos yang terletak tinggi seperti motosikal tracker
• Brek cakera tunggal di hadapan
• Angkup Brembo di belakang
• Tayar tebal di hadapan
• Pemegang yang lebar

Pelancaran model baharu Harley-Davidson dijangka berlangsung pada Julai nanti.

Ketika ini, Harley-Davidson amat proaktif di bawah pengurusan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu mereka.

Jochen Zeitz dikatakan akan memperkuatkan barisan model sedia ada dan memberi fokus kepada penjualan cruiser serta touring v-twin berkapasiti tinggi.

 

Cantiknya Honda Super Cub 125 2022!

MODEL Honda Super Cub 125 baharu dijangka dipasarkan tahun hadapan.

Meniti usia lebih 64 tahun, tidak terdapat banyak perubahan dilakukan pada bahagian mekanikal model baharu ini.

Berdasarkan maklumat awal diperoleh, Super Cub 125 2022 masih menggunakan enjin unit satu silinder 124cc penyejukan cecair dengan sistem suntikan bahan api.

Ia mampu menghasilkan 9.65hp pada 7,500 rpm dan 10.4 Nm tork pada 6,250 rpm.

Honda Super Cub 125 2020 didatangkan dengan gabungan reka bentuk retro dan moden. – Foto ihsan Facebook/Autoevolution

Berikut antara spesifikasi lain terdapat pada Super 125 baharu.

  • Menggunakan transmisi empat kelajuan
  • Fork teleskopik 26mm hadapan
  • Dua penyerap hentak di belakang
  • Sistem brek ABS
  • Cakera tunggal 220mm berserta angkup satu piston
  • Satu unit ekzos catalytic converter
  • Lampu diod pemancar cahaya (LED)

Selain itu, Super Cub 125 2022 turut didatangkan dengan rim 17 inci dengan tayar 70/90 (hadapan) dan 80/90 (belakang).

Apa yang menarik, model ini juga menggunakan sistem tanpa kunci.

Anggaran berat Super Cub 125 2022 adalah 110 kilogram dan mempunyai tangki 3.7 liter.

Gaya retro moden Yamaha FZ-X yang ‘mencairkan’

YAMAHA India terus mengembangkan perniagaan mereka di pasaran negara itu dengan pengenalan model terbaharu FZ-X.

Berada dalam ‘keluarga’ naked bike, FZ-X memiliki gaya retro sama seperti model XSR 155.

FZ-X didatangkan dengan enjin satu silinder SOHC penyejukan udara berkapasiti 149 cc.

Sama seperti model FZS-FI, ia juga dikatakan dapat menghasilkan kuasa 12.4 PS pada 7,250 rpm dan 13.3 Nm tork pada 5,500 rpm.

Bagaimanapun, FZ-X hanya mempunyai transmisi lima kelajuan dan tidak didatangkan dengan sistem Variable Valve Actuation (VVA).

Memiliki look and feel retro, FZ-X masih mempunyai beberapa sentuhan moden.

Ia termasuk penggunaan lampu diod pemancar cahaya (LED) dengan DRL, brek ABS serta panel meter LCD yang mempunyai sistem Y-Connect.

Secara tidak langsung, ia dapat disambungkan kepada telefon pintar dan memaparkan fungsi seperti penggunaan bahan api, waktu servis serta notifikasi mesej atau panggilan.

Model Yamaha FZ-X mempunyai rekaan retro yang ‘disulami’ teknologi moden. – Foto ihsan Facebook/Maxabout.com

Berikut antara ciri-ciri menarik lain terdapat pada FZ-X:

• Tangki bahan api 10 liter
• Fork teleskopik 41 mm
• Monoshock di belakang
• Tempat dengan ketinggian 810 mm bagi penunggang utama
• Berat keseluruhan 139 kilogram
• Brek cakera depan dan belakang
• Rim 17 inci

Setakat ini, harga model FZ-X di pasaran India sekitar Rs1,19,800 atau bersamaan RM6,702.

Namun, persoalan paling penting yang perlu dijawab adalah, “adakah model ini akan memasuki pasaran Malaysia?”

Itu kita kena tunggu dan lihat ya!

Ketahui mengapa lima motosikal ini sering tarik perhatian polis?

AKTIVITI lumba haram sering kali mendapat ‘perhatian’ media sama ada secara dalam talian, televisyen atau di dada akhbar.

Dikaitkan dengan masalah moral, lumba haram bukan sahaja dikecam masyarakat malah dianggap sebagai satu ‘pembaziran’ bakat negara.

Penulis masih teringat ketika zaman persekolahan yang mana baru berjinak dengan ‘dunia’ motosikal.

Walaupun, bukan hardcore ‘Mat Rempit’ tetapi disebabkan penulis menunggang motosikal jenis Yamaha Y125Z maka, kerap kali ditahan polis dalam sekatan jalan raya.

Tidak berniat untuk mengaitkan mana-mana model motosikal dengan gejala lumba haram, tetapi itulah realitinya.

Bagaimanapun, adakah benar kebanyakan pemilik Y125Z adalah ‘Mat Rempit’? Bagaimana pula dengan motosikal jenama lain?

Untuk itu, jom kita semak antara beberapa motosikal yang sering dikaitkan dengan gejala ‘rempit’ sejak 90-an sehingga kini.

Senarai motosikal pilihan ‘Mat Rempit’

Terdapat lima motosikal yang penulis dapati sering kali diguna untuk tujuan lumba haram.

Motosikal ini akan diubahsuai pada bahagian enjin agar menghasilkan kelajuan luar biasa berbanding model asal keluaran kilang.

Jom kita semak satu per satu!

Suzuki Panther ‘Jerung’

Model Suzuki TXR150R atau dikenali sebagai ‘Panther Jerung’ antara yang popular suatu ketika dahulu dalam kalangan ‘kaki’ motor.

Mempunyai kapasiti enjin 150cc, motosikal ini tidak dinafikan mempunyai kelajuan luar biasa berbanding kebanyakan model setarafnya.

Apa yang menarik, kebanyakan anggota polis juga sering menggunakan motosikal ini untuk menahan ‘Mat Rempit’!

‘Panther Jerung’ telah ditamatkan pengeluaran sejak tahun 1997 atau bersamaan 24 tahun lalu.

Yamaha SS Two Racing Spirit

Motosikal Yamaha SS Two Racing Spirit dihentikan pengeluaran pada tahun 1998.

Desas-desus mengatakan model ini dihentikan pengeluaran kerana ia mempunyai spesifikasi ‘racing’ yang tidak sesuai untuk kegunaan di Malaysia.

Namun, tidak dapat dipastikan sejauh mana kebenaran dakwaan ini.

Harga jualan motosikal ini adalah di antara RM 5,705 sehingga RM 6,020.

Maka, tidak hairan motosikal ini dianggap ‘kayangan’!

Yamaha Y125Z

Pengeluaran Yamaha Y125Z adalah kesinambungan bagi model Yamaha SS Two Racing Spirit yang dihentikan pengeluarannya.

Reka bentuk yang ‘garang’ dengan kelajuan super padu membuatkan ramai yang menggemari model ini.

Penulis sendiri memiliki sebuah Y125Z pada usia 16 tahun dan menggemari aktiviti modifikasi terhadap jentera ini.

Percaya atau tidak sehingga kini Y125Z masih banyak di atas jalan raya dan harganya masih maintain bro!

Suzuki RGV250

Pada tahun 1987 sehingga 1998, Suzuki RGV250 atau ‘Gamma’ antara model ‘laku keras’ di pasaran negara ini.

Melihat kepada kapasiti enjinnya, maka sudah boleh diagak sejauh mana kelajuan jentera ini.

Tambah gempak, motosikal ini semakin laju dengan beberapa modifikasi enjin meliputi komponen tertentu seperti carburettors, ekzos dan sebagainya.

Kelajuan maksima sebuah ‘Gamma’ standard boleh mencapai 209 km/j!

Yamaha RX-Z 135

Mempunyai kapasiti enjin 135, jangan dipertikai ‘kemampuan’ jentera Yamaha ini.

Ia bukan sahaja laju ‘membelah’ jalan raya namun, sering menjadi ‘barang panas’ jika tidak dijaga rapi.

Kebiasaannya, RX-Z yang dicuri akan dileraikan dan komponen tersebut akan dijual di pasaran gelap.

Sehingga ke hari ini, RX-Z masih mempunyai nilai tinggi sehingga mencecah RM70,000!

Tak percaya? Google la sendiri…

Berdasarkan kesemua motosikal disenaraikan, sekali lagi penulis ingatkan bahawa ia tidak bermaksud mengaitkan mana-mana motosikal dengan gejala lumba haram.

Mungkin secara kebetulan, model yang disenaraikan sering kali disalahgunakan bagi tujuan lumba haram.

Apa pun ingatlah, lumba haram tidak memberi sebarang faedah.

Hidup hanya sekali dan jika berminat sangat dengan sukan lumba, gunakan saluran sebetulnya.

#MajulahPermotoranDemiNegara