Tag Archives: featured

Honda e:N1 2025 – Tempahan kini dibuka, pelancaran Q2 tahun ini

Berita baik buat mereka yang sedang mencari sebuah kenderaan elektrik jenama Jepun.

Honda Malaysia kini membuka tempahan bagi model SUV elektrik pertama mereka, iaitu Honda e:N1 yang bakal dilancarkan secara rasmi pada suku kedua (Q2) 2025.

Dibina berdasarkan platform e:N Architecture F, Honda e:N1 dikuasakan oleh motor elektrik pacuan roda depan 201 hp dan 310 Nm.

Pek bateri lithium-ion 68.8 kWh pula membenarkan jarak pandu sejauh 500 km untuk sekali cas penuh (data NEDC).

Ia membawakan ukuran sepanjang 4,380 mm, tinggi 1,592 mm, dengan jarak antara roda sepanjang 2,610 mm, menyamai saiz HR-V versi petrol.

Antara ciri yang dimuatkan pada e:N1 termasuklah rim aloi dua tona 18 inci, unit lampu LED depan dan belakang, slot pengecasan pada jeriji hadapan, lencana Honda berwarna putih dan emblem perkataan ‘Honda’ di belakang.

Tidak ketinggalan, ciri keselamatan termasuklah informasi titik buta (BSI), sistem pemantauan trafik lintang (CTM), berserta sembilan fungsi keselamatan termaju Honda SENSING.

Para pelanggan Honda boleh membuat tempahan e:N1 di laman web https://prebook.honda.com.my/ atau menerusi aplikasi HondaTouch.

Honda Malaysia turut melantik lapan pusat pengedar sah untuk mengendalikan sebarang urusan berkenaan e:N1 seperti berikut:

Generasi ketiga Nissan LEAF kini berbentuk crossover dengan jarak pandu cecah 600 km

Kereta elektrik bateri Nissan LEAF telah pun berada di pasaran dunia sejak tahun 2010 lagi, dan telah pun bertahan selama dua generasi membawakan bentuk badan hatchback.

Namun untuk generasi ketiga, Nissan LEAF diberikan bentuk badan crossover selari dengan permintaan pasaran yang lebih cenderung ke arah model-model berbadan besar.

Dibina berdasarkan platform CMF-EV yang dimiliki oleh pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi, LEAF baharu membawakan ukuran dimensi yang lebih tinggi, namun sedikit pendek berbanding LEAF sedia ada.

Berdasarkan rekaan yang dipamerkan, tidak syak lagi LEAF banyak meminjam elemen penggayaan yang wujud pada Ariya EV, selain mempunyai bentuk badan aerodinamik dengan kadar pekali seretan 0.25.

Nissan tidak mendedahkan spesifikasi LEAF dengan lebih lanjut.

Namun, menurut ketua produk Nissan Eropah Francois Bailly menjelaskan model LEAF baharu ini mampu menawarkan jarak gerak dunia sebenar melebihi 598 km.

Beliau menambah, LEAF akan turut mendapat sistem infohibur terkini berasaskan Google, dibantu dengan sistem bantuan pemandu termaju.

 

Nombor plat “1M” harga RM6 juta ini dimiliki Kedutaan Malaysia di UK

Penggunaan nombor plat kustom pada kereta-kereta mewah bukanlah satu perkara baharu, ia juga satu pemandangan yang biasa di Malaysia.

Namun, tahukah anda, terdapat satu nombor pendaftaran khas yang hanya wujud di UK, dengan nilai mencecah jutaan ringgit?

Inilah dia nombor plat “1M” milik Kedutaan Malaysia.

Berdasarkan video @numberplatehistory di TikTok, nombor plat dalam format tanpa tarikh ini dikeluarkan khas oleh kerajaan UK untuk Kedutaan Malaysia.

 

@numberplatehistory £1M Plate You will never be able to buy! This number plate, with a dateless format, was especially issued to the Malaysian Embassy. As it an embassy plate, it is non transferable outside of their vehicles. Over the years, it has been on a variety of vehicles from London Taxis to Mercedes Benz S Classes, currently sitting on an S450. Although it is impossible to say when the registration was issued, documents tell us it was already in use by 1974 through the amazing researcher late Noel Woodall. If this registration ever came to market, not that it can, it would likely sell for over seven figures – or a million pound number plate! It’s value comes inherently from it’s initial, number, and character length. Number Plates / Registration value can be established by a few factors: 🔴 Popularity of Initials 🔴 Number of Characters 🔴 Quality of Numbers As it is impossible in the United Kingdom to have a two digit number plate, this is the shortest possible M alongside the privately owned M1. If you would like to find out more about number plates, check out my other videos! I am not associated nor apart of this plates sale, this video is a showcase of a unique plate. #foryoupage #fyp #cars #privatenumberplate #privateplate #licenseplates #numberplate #licenseplatetok #carcontent #numberplates ♬ Paris – Else

Nilai nombor pendaftaran ini – sekiranya boleh dijual – mampu mencecah angka £1 juta (RM5.71 juta).

“Memandangkan ia sebuah nombor pendaftaran kedutaan, ia tidak boleh dipindah milik,” jelasnya.

Tidak dapat dipastikan bilakah nombor khas ini dikeluarkan, namun berdasarkan dokumen penyelidikan Car Numbers oleh Noel Woodall, nombor 1M ini sudah digunakan sejak tahun 1974 lagi.

Di UK, penggunaan nombor pendaftaran khas melambangkan simbol status dan pelaburan bernilai tinggi.

Selain daripada 1M, terdapat juga nombor plat khas yang didaftarkan di UK dengan nilai yang cukup tinggi melebihi lima angka seperti M1, F1, S1, 1D dan juga VIP 1.

Proton eMAS 7 tembus pasaran antarabangsa, Nepal destinasi pertama

Proton telah membuat debut dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) antarabangsa menerusi pelancaran Proton eMAS 7 di Nepal.

Menurut syarikat itu, pelancaran ini adalah susulan prestasi kukuh model tersebut di Malaysia sejak kemunculannya pada 16 Disember dan membantu membuka jalan kepada strategi antarabangsa yang lebih luas.

Untuk pasaran Nepal, eMAS 7 diedarkan oleh rakan pengedar rasmi Proton sedia ada iaitu Jagdamba Motors. Sama seperti di Malaysia, ia boleh didapati varian Prime dan Premium, masing-masing dijual pada harga NPR5,699,000 (RM183k) dan NPR6,799,000 (RM218k).

Terdapat enam warna untuk dipilih iaitu Platinum Silver, Turquoise Green, Slate Grey, Quarts Rose, Moyu Black, dan Lithium White. Untuk pengetahuan anda, warna Moyu Black tidak ditawarkan di Malaysia.

Selain penambahan warna hitam, spesifikasi eMAS 7 untuk pasaran Nepal sama dengan pasaran Malaysia. Varian Prime didatangkan dengan bateri Aegis Short Blade berkapasiti 49.52 kWj yang menjanjikan jarak gerak WLTP sejauh 345 km, manakala varian Premium yang dilengkapi dengan bateri 60.22 kWj menawarkan jarak 410 km.

Menurut Proton, eMAS 7 telah membuat kemunculannya di Nepal lebih awal daripada pelancaran menerusi siri jelajah yang berlangsung dari 21 Februari hingga 14 Mac, melintasi semua tujuh wilayah dengan 18 lokasi berhenti termasuk Janakpur, Birtamod dan Itahari.

Tambah syarikat itu lagi, kemasukannya ke negara itu adalah tepat pada masanya dan selaras dengan Visi Mobiliti Hijau Nepal. Sepanjang empat tahun lalu, kadar penembusan EV di Nepal meningkat dari 6% jumlah keseluruhan industri (TIV) pada 2021 kepada 73% pada 2024, iaitu peningkatan sembilan kali ganda dari 1,138 unit ke 10,794 unit.

Jagdamba Motors buat masa ini mempunyai tiga pengedar, dengan rancangan untuk memuktamadkan perjanjian dengan 12 pengedar di seluruh negara menjelang akhir 2025. Ia juga merancang untuk membangunkan infrastruktur pengecasan dan membina jaringan pusat servis yang mantap di seluruh negara.

“Nepal hanyalah permulaan. Rancangan sedang berjalan untuk memperkenalkan Proton e.MAS 7 ke pasaran antarabangsa lain bagi menyokong cita-cita pertumbuhan global jenama tersebut,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

“Pada masa akan datang, kami akan memperkenalkan model EV kami ke Trinidad & Tobago, Mauritius dan juga Singapura,” tambahnya.

KAMAX Cub X sah masuk Malaysia, jangkaan Ogos atau September, harga bawah RM10k

Pengedar sah jenama Kamax, KTNS Holdings Sdn Bhd dijangka akan menawarkan sebuah lagi model kapcai untuk pasaran Malaysia, iaitu KAMAX Cub X 150.

Perkara tersebut diumumkan sewaktu lawatan media automotif Malaysia ke pusat pameran KAMAX yang terletak di Jiulongpo, Chongqing, baru-baru ini.

Berbeza dengan kapcai Super Pro yang telah dilancarkan sebelum ini, Cub X membawakan enjin dengan sesaran 150 cc menghasilkan kuasa 9.1 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 10.5 Nm @ 5,000 rpm.

Untuk sebuah jentera cubcross, Cub X ini membawakan spesifikasi yang lebih agresif, seperti tayar off-road tanpa tiub, rim lidi 17 inci, tempat duduk tunggal balutan kulit serta rak barang menggantikan tempat duduk pembonceng.

Sistem suspensi Cub X terdiri daripada fork teleskopik 26 mm di depan, diikuti dengan penyerap hentak berkembar di belakang, masing-masing menawarkan jarak pergerakan tayar 88.9 mm dan 91.4 mm.

Antara ciri lain termasuklah:
-sistem pencahayaan LED
-skrin kluster LCD
-tangki bahan api sebesar 3.8 liter
-cermin sisi krom
-pelindung enjin
-sistem ABS dua saluran
-tinggi pelana 790 mm
-sistem kunci pintar

Menurut pihak KTNS, model ini dijangka masuk pasaran Malaysia sekitar bulan Ogos atau September, membawakan tanda harga bawah RM10,000.

Ini menjadikan KAMAX Cub X mampu memberikan saingan kepada model-model di dalam kelasnya, seperti Yamaha PG-1 dan Aveta Ranger Max 130.

Info lanjut boleh didapati menerusi laman web www.kamaxgroup.com.

Kami pandu uji Denza Z9 GT, super wagon China yang bakal tiba di Malaysia

Semasa pelancaran Denza D9 di Kuala Lumpur, Denza, yang diedarkan secara rasmi oleh BYD Malaysia, membuat kejutan apabila menggunakan sebuah Z9 GT untuk membawa pengurus besar BYD Asia-Pacific Auto Sales Division Liu Xueliang ke atas pentas.

Tidak cukup dengan itu, kereta itu turut mempamerkan salah satu kelebihannya dengan melakukan tank turn iaitu pusingan 360 darjah setempat. Bayangkan sebuah kereta drift melakukan aksi donut, cuma pada kelajuan yang jauh lebih perlahan, tanpa sebarang asap dan bunyi.

Adakah demonstrasi ringkas ini satu petanda yang Z9 GT akan memasuki pasaran Malaysia tidak lama lagi?

Apabila ditanya mengenai perkara itu, pengarah urusan BYD Malaysia iaitu Eagle Zhao berkata, “Tidak lama lagi, kami akan memperkenalkan lebih banyak model untuk Malaysia, termasuk Z9 GT.”

Kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa Denza serius tentang kehadirannya di Malaysia. Ini kerana, tidak seperti D9, Z9 GT masih belum mempunyai versi pemanduan kanan (RHD).

Dengan menyatakan bahawa model itu akan diperkenalkan di sini, Denza secara tidak langsung mengatakan yang ia sedia untuk membuat pelaburan yang signifikan untuk memasuki pasaran-pasaran RHD seperti Malaysia.

Namun adakah Z9 GT mampu menarik perhatian pembeli di Malaysia, lebih-lebih lagi dengan saingan sengit daripada jenama-jenama lain yang lebih terkemuka?

Sudah tentu, masih terlalu awal untuk meramalkan nasibnya di sini namun semasa lawatan ke Shenzhen, China lewat tahun lalu, kami berpeluang merasai sendiri kehebatan kereta tersebut.

Walaupun sesi pandu uji tersebut dilakukan di dalam kawasan yang agak kecil dan masa yang diberikan juga terhad, penulis boleh merumuskan yang Z9 GT memang sebuah kereta yang sangat mengujakan bukan sahaja dalam aspek prestasi tetapi juga dari segi reka bentuk dan ciri yang ditawarkan.

Seperti yang boleh dilihat, Z9 GT merupakan sebuah wagon/shooting brake dengan profil sisi yang kelihatan seperti dihasilkan menggunakan acuan yang sama dengan Porsche Panamera Sport Turismo.

Rekaan keseluruhannya mungkin tak segah kereta Jerman itu namun bagi mereka yang inginkan sebuah shooting brake bergaya tanpa perlu berbelanja besar, Z9 GT sudah cukup bagus.

Seperti yang dijangka, ruang dalaman kereta ini tidak lekang dengan kemewahan dan pelbagai kelengkapan canggih bagi memikat hati pembeli dalam segmen premium.

Perlu diingat yang model ini bukan sahaja direka untuk pasaran China, malah ia juga bakal dipasarkan di negara-negara Eropah, di mana ia akan bersaing dengan pengeluar-pengeluar legasi seperti BMW, Mercedes-Benz dan Audi. Maka, lebih banyak kelengkapan yang disumbat, lebih baik.

Antara ciri menarik termasuk upholsteri kulit Nappa, bumbung kaca panoramik, pencahayaan ambien, dua peti sejuk (satu di bawah perehat tangan hadapan, satu lagi tersembunyi di antara penyandar kerusi belakang), dan pintu automatik yang boleh dibuka dengan hanya menekan butang – tidak ubah seperti i7.

Sistem infohibur juga cukup mengagumkan. Selain panel instrumen digital untuk pemandu dan skrin sentuh tengah yang cukup besar, kereta ini juga didatangkan dengan paparan untuk penumpang hadapan.

Selain itu, terdapat juga sistem audio Devialet (syarikat teknologi audio Perancis) dengan 26 pembesar suara dan dua pengecas tanpa wayar pada konsol tengah.

Bagaimana pula dengan praktikaliti? Pemain golf pastinya menggemari Z9 GT kerana ruang butnya cukup besar untuk memuatkan dua buah beg golf jika kerusi belakang dibaringkan.

Memasukkan barang ke dalam ruang but juga mudah kerana kereta ini mempunyai pintu hatch yang memberikan bukaan yang luas.

Berbalik kepada sesi pandu uji yang disebutkan tadi, unit-unit yang disediakan untuk media adalah varian PHEV yang menampilkan enjin petrol 2.0-liter turbo yang bertindak sebagai penjana jntuk tiga motor elektrik – satu pada gandar hadapan, manakala dua lagi pada gandar belakang.

Gandingan ini menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 870 PS, membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.6 saat sahaja.

Juga sebahagian daripada sistem hibrid DM generasi kelima ini adalah bateri LFP Blade berkapasiti 38.5 kWj yang memberikan mod pemanduan elektrik dengan jarak sejauh 201 km (kitaran CLTC) dan jarak keseluruhan sejauh 1,100 km.

Ya, tidak dinafikan lagi Z9 GT memang boleh memecut seperti roket beroda namun ketika berhadapan dengan selekoh ketat, kereta ini tidaklah selincah yang diharapkan walaupun dilengkapi dengan kawalan stereng roda belakang dan sistem suspensi udara.

Faktor utama yang menyumbang kepada kelemahan ini tidak lain tidak bukan adalah saiz dan berat Z9 GT. Dengan ukuran panjang 5,180 mm, lebar 1,990 mm dan tapak roda 3,125 mm, kereta ini memang besar. Beratnya pula mencecah 2.9 tan, jadi tidak hairanlah ia bergelut dengan ujian slalom yang disediakan.

Walau bagaimanapun, untuk berlaku adil, tapak pandu uji pada hari itu agak kecil untuk sebuah kereta berkuasa tinggi seperti Z9 GT. Mungkin ujian di jalan raya dan litar lumba yang besar seperti Sepang dapat menyerlahkan karakter sebenarnya.

Untuk pengetahuan, selain PHEV, model ini juga boleh didapati dalam versi EV yang menampilkan tiga motor elektrik dan bateri 100 kWj. Versi ini mempunyai output keseluruhan mencecah 963 PS, boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.4 saat dan dipandu sejauh 630 km dengan satu cas penuh.

Versi mana yang akan dibawa masuk ke Malaysia masih belum diketahui namun apa yang pasti, kehadiran Z9 GT boleh membuatkan jenama-jenama mewah lain sedikit tergugat.

Proton eMAS 7 model EV paling laris di Malaysia bagi Januari 2025

Dilancarkan pada Disember tahun lalu, EV nasional pertama iaitu Proton eMAS 7 mendapat sambutan hangat dengan 421 unit diserahkan kepada pelanggan dalam bulan pertama operasinya.

Menurut Proton, pencapaian ini meletakkan model tersebut sebagai EV paling laris di Malaysia dengan penguasaan 25% pasaran EV keseluruhan bagi bulan Januari.

“Dalam masa sebulan sahaja, Proton eMAS 7 telah memimpin jualan EV, membuktikan bahawa rakyat Malaysia sedia beralih kepada kenderaan elektrik sekiranya produk dan harga yang ditawarkan menarik,” kata Zhang Qiang, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

Tempahan semasa eMAS 7 telah melebihi 4,000 unit, menyebabkan Proton menambah lagi 3,000 unit pakej Power Pack yang ditawarkan semasa pelancaran.

Menurut syarikat itu lagi, lebih 80% daripada tempahan yang diterima adalah bagi model Premium dan angka ini dijangkakan akan terus meningkat dalam beberapa bulan akan datang seiring dengan ketibaan lebih banyak unit dan pembukaan cawangan-cawangan baru.

Dalam pada itu, Proton turut mengumumkan prestasi jualannya bagi Januari 2025, di mana syarikat itu menjual 9,914 unit kenderaan bagi pasaran domestik dan eksport, termasuk EV jenama eMAS dan smart.

Ini berbanding dengan 12,882 unit (kereta ICE sahaja) yang dicatatkan pada Januari 2024. Berdasarkan anggaran TIV, bahagian pasaran diramalkan 19.7%, meningkat daripada 18.7% pada tahun lepas.

Perodua pengeluar kedua terbesar di ASEAN sepanjang tahun 2024

Tahun 2024 menyaksikan Perodua bukan sahaja mencatatkan rekod pendaftaran kenderaan tertinggi bagi pasaran tempatan, malah pengeluar itu kini berjaya menduduki tangga kedua dalam carta jualan kenderaan penumpang pasaran ASEAN tahun yang sama.

Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh Perodua kepada para pengamal media bersempena dengan acara ‘Up-Close & Casual With Perodua’, semalam.

Berdasarkan data jualan kenderaan penumpang ASEAN 2024, Perodua berjaya merekodkan angka jualan sebanyak 358 ribu unit, memintas Honda yang kini berada di tempat ketiga (303 ribu unit).

Untuk rekod, pada tahun 2023 Perodua menduduki tangga ketiga dengan jumlah jualan kenderaan sebanyak 330 ribu unit di belakang Honda di tangga kedua (351 ribu unit) dan Toyota di tangga pertama (752 ribu unit).

Sejak mula ditubuhkan sehingga kini, Perodua kini mencatatkan jumlah kenderaan sebanyak 5.1 juta unit di atas jalan raya.

Daripada jumlah tersebut, Myvi masih lagi menerajui carta sebagai raja jalanan dengan jumlah kenderaan sebanyak 1.487  juta unit, diikuti Perodua Axia (746 ribu unit), Perodua Kancil (709 ribu unit), dan Perodua Alza (503 ribu unit).

Selain daripada itu, tahun 2024 juga menyaksikan Perodua melepasi kapasiti pengeluaran asal sebanyak 320,000 unit, di mana sebanyak 368,100 kenderaan dikeluarkan pada tahun itu.

Menurut Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua berkata, “rekod 368,100 unit itu dicapai dengan meminimumkan masa henti (downtime) mengikut jadual penyelenggaraan, koordinasi dan perancangan dinamik dengan pembekal dan pengedar, serta tangkas menangani cabaran.”

Untuk tahun 2025, Perodua memperuntukkan sejumlah RM1.6 bilion perbelanjaan model di mana sebahagian besar pelaburannya akan dikhaskan untuk penambahbaikan kilang, peningkatan kapasiti stamping, serta pembangunan model baharu dan perkakasan.

Dalam pada itu, Perodua menjangkakan jumlah pengeluaran 2025 akan merosot 4.9 peratus kepada 350,000 unit, serta pengurangan jumlah pendaftaran sebanyak 3.7 peratus kepada 345,000 unit.

“Walau bagaimanapun, permintaan terhadap kenderaan kami kekal sihat dengan tempahan tunggakan semasa kini mencecah 68,000 unit, di mana 28,000 tempahan mempunyai surat aku janji yang dikeluarkan tanpa stok,” jelasnya lagi.

Dari segi perniagaan selepas jualan, Dato’ Sri Zainal berkata syarikat itu menyasar untuk meningkatkan jumlah penyelenggaraan kenderaan tahun ini kepada 3.7 juta, atau peningkatan sebanyak 7.6 peratus.

Perodua juga akan terus menyokong ekosistem automotif negara dengan pembelian komponen tempatan yang dianggarkan berjumlah RM10.8 bilion daripada pembekal di negara ini.

“Tahun 2025 akan menjadi tahun yang mengujakan buat Perodua kerana kami sedang mempersiapkan syarikat dan rakan strategiknya untuk sebarang perubahan yang bakal berlaku. Kami percaya apabila perubahan ini sudah lengkap, kami mampu mengukuhkan kedudukan kami di negara ini serta rantau ini,” katanya.

MG4 XPower memang laju tetapi adakah ia pilihan terbaik? – Pandu Uji

MG4 XPower dilancarkan ke pasaran Malaysia hampir 12 bulan yang lalu sebagai kenderaan paling murah yang boleh membawa anda dari kelajuan 0 hingga 100 km/j dalam hanya 3.8 saat.

Anda boleh kata macam-macam tentang EV tetapi anda tidak boleh nafikan yang prestasi berkenaan sangat mengagumkan kerana 10 atau 15 tahun dahulu, prestasi seperti itu hanya boleh dicapai oleh kereta sport dan supercar yang bernilai ratusan malah jutaan ringgit.

Kini, terima kasih kepada kemajuan teknologi EV, anda boleh merasakan sensasi yang sama pada harga kurang dari RM160,000.

Sudah tentu, ada beberapa model EV lain yang boleh mencapai kelajuan 100 km/j lebih cepat seperti Volvo EX30 Ultra Twin Performance (3.6 saat) dan Smart #3 Brabus (3.7 saat) tetapi kedua-dua model ini berharga lebih RM200,000.

Namun adakah kelebihan MG4 XPower terletak pada kelajuan semata-mata? Bagaimana pula dengan aspek-aspek lain seperti reka bentuk, keselesaan, jarak gerak, teknologi dan sebagainya? Teruskan membaca.

Reka bentuk

MG4 adalah sebuah hatchback lima pintu dengan perkadaran yang agak unik. Pada mata penulis, ia nampak agak besar tetapi ia sebenarnya 3 mm lebih pendek berbanding BYD Dolphin yang comel itu. Jika dibandingkan dengan smart #1 pula, ia 17 mm lebih panjang namun ukuran tapak rodanya 45 mm lebih pendek.

Namun apa yang jelas, MG4 lebih rendah dan lebar berbanding kedua-dua model berkenaan, memberikannya stance yang lebih agresif dan kelebihan dari segi prestasi aerodinamik.

Penampilannya yang sporty diperkayakan lagi dengan elemen-elemen seperti bahagian depan yang tajam, spoiler bumbung berkembar dan pelindung angkup brek berwarna oren lengkap dengan tulisan ‘XPower’.

Cuma agak pelik kerana tidak ada bahagian lain yang menampilkan logo XPower kecuali angkup brek tersebut. Jika kereta ini dibuat oleh BMW atau Mercedes-Benz, anda pasti akan menjumpai logo M dan AMG di serata badan.

Ruang dalaman

Tidak seperti bahagian luarannya, reka bentuk ruang kabin MG4 lebih ringkas dan bersahaja. Mereka yang mengharapkan rekaan moden dan futuristik pasti akan kecewa kerana tiada satu elemen pun yang boleh dikatakan sebagai canggih.

Tetapi ini bukanlah sesuatu yang tidak bagus. Walaupun secara keseluruhannya ia tidak menonjol, rekaan yang ringkas seperti ini sebenarnya memudahkan peralihan dari kereta ICE ke EV.

Apa yang ada adalah apa yang anda perlu untuk pemanduan seharian – skrin sentuh dengan barisan butang fizikal di bawahnya, konsol tengah terapung yang menempatkan tombol gear dan pengecas tanpa wayar, butang kawalan pada bahagian kiri dan kanan stereng dan panel instrumen digital.

Seperti EV lain di pasaran, banyak benda perlu diakses menerusi skrin sentuh namun anda tidak perlu risau kerana stereng MG4 didatangkan dengan butang shortcut dengan logo bintang yang boleh ditetapkan untuk pelbagai fungsi seperti pendingin hawa, pemulihan tenaga dan mod pemanduan.

Apa yang penulis kurang gemar adalah penggunaan kemasan plastik keras pada papan pemuka dan panel pintu. Bukan itu sahaja, tombol gear tersebut juga terasa agak longgar namun ia jauh lebih baik dari perlu memilih gear menerusi skrin sentuh.

Praktikaliti dan keselesaan

Hatchback secara umumnya menawarkan ruang kabin yang agak terhad namun dengan MG4, anda tidak perlu risau jika anda membawa lebih daripada seorang penumpang kerana ruang kabin terasa agak luas dan lapang.

Ia juga mempunyai ruang storan yang cukup besar pada konsol tengah dan setiap pintu, manakala ruang butnya juga tidak terlalu kecil iaitu 363 liter. Kerusi belakang boleh dibaringkan rata jika but tidak cukup besar.

Bercakap tentang kerusi belakang, penulis mendapat ia agak selesa dan tidak terlalu tegak. Ruang kaki dan kepala dirasakan sudah mencukupi untuk mereka yang berbadan sederhana namun alangkah baiknya jika MG meletakkan corong pendingin hawa khusus untuk penumpang belakang.

Prestasi

Seperti yang dikatakan, MG4 memang cemerlang dari segi pecutan. Ini sesuatu yang dialu-alukan jika anda dicabar oleh kereta sebelah di hentian lampu isyarat namun sejujurnya, prestasi yang ‘gila’ ini boleh menjadi agak memenatkan.

Ini kerana kereta ini boleh memecut laju dengan cukup mudah, tanpa sebarang drama seperti kereta ICE. Di lebuh raya, ini bukanlah satu masalah namun di dalam bandar, pergerakan badan akibat inersia ketika memecut (dan membrek) lama kelamaan membuatkan penulis mudah penat.

Untuk mengatasi isu ini, penulis menggunakan mod ECO untuk mendapatkan pecutan yang lebih terkawal.

Mengenai jarak pula, varian XPower bukanlah pilihan terbaik jika jarak pandu menjadi keutamaan anda. Varian ini didatangkan dengan bateri 64 kWj yang menawarkan jarak WLTP sejauh 385 km dengan satu cas penuh.

Angka ini sebenarnya okay sahaja untuk pemanduan di kawasan bandar namun harus diingat yang jarak juga bergantung kepada gaya pemanduan dan faktor-faktor lain. Jika anda mempunyai kaki kanan yang berat, angka tersebut akan jatuh dengan dramatik.

Untuk lebih selamat, anda boleh dapatkan varian Lux Extended Range yang didatangkan dengan bateri 77 kWj yang menjanjikan jarak sejauh 520 km. Ini sepatutnya cukup untuk empat hingga lima hari, bergantung kepada penggunaan.


Konklusi

Secara ringkasnya, MG4 XPower menawarkan nilai wang terbaik bagi peminat EV yang mahukan prestasi semata-mata tanpa ingin berbelanja besar.

Namun secara peribadinya, penulis melihat varian Lux Extended Range sebagai pilihan yang lebih masuk akal secara keseluruhannya. Ia RM10,000 lebih murah, dan dengan pecutan 0-100 km/j dalam 6.1 saat, ia sebenarnya sudah cukup pantas untuk kebanyakan pemandu di luar sana. Dan dengan bateri yang lebih besar, jarak bukanlah sesuatu yang perlu dirisaukan.

Spesifikasi MG4 XPower

Harga: RM159,629
Kuasa: 435 PS (320 kW)
Tork: 600 Nm
Bateri: 64 kWj
Jarak gerak: 385 km (WLTP)

Moda Sporter S, ini ulasan dan pandangan awal kami – Tunggang Uji

Bulan ini sahaja, kita sudah dihidangkan dengan beberapa buah model skuter yang agak menarik untuk pasaran tempatan.

Salah satu daripadanya ialah Moda Sporter S, sebuah skuter yang membawakan penampilan yang diinspirasikan daripada superbike ternama.

Berharga RM17,888, Moda Sporter S ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 250 cc menghasilkan 24.8 hp dan 22.5 Nm.

Pertengahan bulan Januari yang lalu, kami telah dijemput oleh pihak Moda Malaysia untuk merasai sendiri tunggangan skuter maxi Moda Sporter S.

Laluan sepanjang lebih 30 km di sekitar Litar Antarabangsa Sepang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu menyediakan lokasi yang mencukupi untuk kami menilai sendiri prestasi skuter buatan anak tempatan.

Adakah ia berbaloi untuk dibeli dan dimiliki?

Dari sudut pandang pertama, Moda Sporter S sememangnya membawakan penampilan yang lebih sporti berbanding pesaing yang ada di pasaran, ditambah pula dengan elemen yang diinspirasikan daripada superbike idaman jenama Itali.

Lihat saja pada lampu hadapan berkembar LED, diikuti dengan brek cakera berkembar pada roda hadapan, liveri perlumbaan yang agresif, diikuti dengan bentuk ekor belakang yang nampak tajam itu.

Ia didatangkan dengan skrin paparan TFT 6.2 inci yang mudah untuk dibaca di bawah sinaran matahari yang terik, sementara pelana pula diberikan kusyen yang agak empuk.

Penghadang angin juga boleh dilaras ketinggiannya secara manual.

Memulakan perjalanan, enjin 250 cc silinder tunggal itu tidak memberikan sebarang masalah untuk menghamburkan kuasanya mengikut pulasan hendal di mana respons yang diberikan cukup baik terutama untuk geng pulas habis.

Posisi tunggangan juga cukup selesa, di mana ruang kaki yang disediakan agak luas, memudahkan penunggang melaraskan kedudukan kaki mengikut keperluan.

Ada beberapa rakan media mengadu balutan bahan pada pelana itu sedikit licin, namun penulis tidak berdepan dengan masalah tersebut, mungkin sekali fabrik seluar yang digunakan itu tidak mudah menyebabkan penunggang rasa tergelincir.

Selain tayar yang mencengkam, talaan suspensinya juga cukup baik untuk membolehkan kami menikmati tunggangan yang lebih agresif terutama di kawasan berselekoh.

Cuma, anda perlu bersabar sekiranya terpaksa menempuh laluan yang ada banyak lubang dan jalan yang tidak rata, disebabkan talaan suspensinya yang agak sporti itu.

Ada di kalangan rakan media melaporkan mereka berjaya mencapai kelajuan purata melebihi had laju kebangsaan, dan penulis sememangnya mengakui perkara tersebut.

Yang penulis risaukan ialah bar hendal yang dirasakan agak ringan dan tunggangan dirasakan tidak stabil apabila mencapai kelajuan tiga angka, walaupun skuter ini sebenarnya agak berat.

Pada kelajuan yang tinggi itu juga, cermin sisi dilihat bergegar dengan agak kuat, jadi sukar untuk kami yang pentingkan keselamatan ini untuk melihat kehadiran kenderaan dari arah belakang.

Satu perkara positif yang harus penulis tekankan ialah operasi sistem brek hadapan cakera berkembar yang cukup padu untuk memastikan skuter ini berhenti dengan selamat.

Selain itu, skuter ini didatangkan dengan ciri keselamatan seperti sistem brek anti-kunci (ABS) dua saluran dan kawalan cengkaman (TCS) secara standard.

Ulasan tunggang uji yang lebih mendalam akan kami kongsikan sekiranya diberikan peluang untuk membawa pulang skuter ini untuk tempoh masa yang lebih panjang.

 

Empat skuter menarik yang sudah mendarat di Malaysia

Belum pun sempat bulan Januari melabuhkan tirainya, pasaran Malaysia kini sudah dibanjiri dengan beberapa buah model skuter yang cukup mencuri perhatian netizen.

Dengan spesifikasi yang lebih menyeluruh serta harga yang mampu milik, ia akan membuatkan golongan pembeli berpotensi pening kepala seketika untuk memilih mana satu yang terbaik.

Tanpa membuang masa, ini adalah senarai skuter baharu yang telah dilancarkan di pasaran Malaysia pada bulan ini:

 

1. Zontes 368G ADV

Zontes 368G ADV ini membawakan spesifikasi yang mampu memalukan pesaing dari Jepun.

Selain daripada enjin 368 cc berkuasa 38 hp/40 Nm, fork hadapan USD, dan sistem brek J.Juan, 368G ADV turut didatangkan dengan pelbagai ciri standard termasuklah crash bar, kamera perakam tunggangan, sistem pemantauan tekanan tayar dan pemanas bar hendal!

Harga: RM28,800

 

2. MODA Sporter S

Jenama motosikal tempatan baharu membuat kemunculan pada awal tahun ini dengan skuter maxi Sporter S.

Skuter 250 cc ini mampu menjana kuasa setinggi 24.8 hp, selain memiliki rupa paras agak sporti yang mampu membuatkan ramai tertoleh di atas jalan raya.

Harga: RM17,888

 

3. SYM Husky ADV 300

MForce membawakan skuter terbaharu SYM Husky ADV 300, dengan enjin 278 cc menghasilkan 25.8 hp dan 26 Nm, tidak ketinggalan rekaan badan yang agresif.

Ciri menarik termasuklah skrin paparan digital, sistem kunci pintar, pelindung tangan, serta kehadiran port pengecasan USB-A dan USB-C.

Harga: RM23,888

 

4. Aveta Vanguard 250

Mahukan yang lebih mampu milik? Aveta baru sahaja melancarkan skuter kembara Vanguard 250 dengan membawakan ciri-ciri yang tidak kurang hebatnya.

Selain enjin 244 cc berkuasa 24.8 hp dan 22.5 Nm, Vanguard 250 hadir dengan ciri seperti penghadang angin boleh laras, bar hendal boleh laras, kamera perakam tunggangan, serta skrin paparan digital TFT.

Harga: RM14,888

 

SYM Husky ADV 300 dilancarkan di Malaysia – RM23,888

MForce Bike Holdings memperluaskan penawaran motosikalnya di negara ini menerusi pelancaran SYM Husky ADV 300 baharu.

Hadir dengan gaya adventure seperti Husky 150 yang dilancarkan pada April tahun lalu, Husky ADV 300 dijual pada harga RM23,888 tidak termasuk insurans.

Ia dikuasakan oleh enjin 278.3 cc silinder tunggal yang menghasilkan 25.8 hp pada 8,000 rpm dan 26 Nm pada 6,000 rpm. Enjin berkenaan menggunakan teknologi suntikan bahan api elektronik dan penyejukan cecair.

Untuk pengetahuan, skuter ini mempunyai ukuran panjang 2,185 mm, lebar 810 mm, tinggi 1,325 mm dan jarak roda 1,510 mm. Beratnya pula adalah sekitar 138 kg.

Ia dilengkapi dengan fork teleskopik pada bahagian depan dan penyerap hentak berkembar boleh laras pada bahagian belakang.

Rim berukuran 15 inci di depan dan 14 inci di belakang, manakala untuk brek pula, ia menggunakan cakera tunggal pada bahagian depan dan belakang, lengkap dengan ABS dwi saluran. Turut disertakan adalah Traction Control.

Selain itu, Husky ADV 300 juga didatangkan dengan lampu LED, port USB Type A dan Type C, pelindung tangan, sistem kunci pintar, meter digital, ruang storan di bawah tempat duduk dan tangki bahan api 16 liter.

Terdapat tiga warna untuk dipilih iaitu Space Grey, White dan Matte Black.

Honda Civic FE facelift dilancarkan – 4 varian, banyak ciri baharu, dari RM134k

Honda Malaysia telah melancarkan Honda Civic generasi ke-11 versi facelift, kira-kira sebulan selepas sedan itu dibuka untuk tempahan.

Seperti sebelum ini, Civic ditawarkan dalam empat varian iaitu E, V, RS dan e:HEV RS. Harga (OTR tanpa insurans) adalah seperti berikut:

  • E – RM133,900
  • V – RM144,900
  • RS – RM149,900
  • e:HEV RS – RM167,900

Dari segi penampilan, Civic facelift tampil dengan bampar hadapan baharu yang lebih agresif dan gril yang lebih besar. Bampar baharu ini juga menjadikan sedan segmen C ini 3 mm lebih panjang berbanding sebelum ini.

Tiada sebarang perubahan pada bahagian belakang kecuali pada bahagian lampu yang kini menampilkan efek smoked.

Untuk rim, varian e:HEV RS mendapat rim 18 inci rekaan baharu manakala varian-varian lain kekal dengan rim seperti sebelum ini.

Rekaan dan susun atur bahagian dalaman tidak berubah, namun terdapat beberapa kemas kini dari segi kelengkapan.

Sebagai contoh, paparan audio berukuran 9 inci kini disertakan secara standard pada semua varian. Apa yang menarik, ia kini dilengkapi dengan sistem Google yang membolehkan pengguna mengakses perkhidmatan seperti Assistant, Maps dan Play Store.

Selain itu, ciri-ciri seperti Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, port USB Type C depan dan belakang, sistem telematik Honda Connect dan filem solar juga dilengkapkan pada keempat-empat varian Civic. Dua varian teratas iaitu RS dan e:HEV RS turut mendapat pengecas tanpa wayar.

Tiada sebarang perubahan di bawah bonet. Varian-varian petrol iaitu E, V dan RS masih dikuasakan oleh enjin 1.5-liter VTEC Turbo yang menghasilkan 182 PS dan 240 Nm, disalurkan ke roda depan menerusi transmisi jenis CVT.

Civic e:HEV RS pula kekal dengan ‘nadi’ hibrid yang terdiri daripada enjin 2.0-liter kitaran Atkinson dengan 143 PS/184 Nm, dan sebuah motor elektrik yang menjana 184 PS dan 315 Nm.

Di samping mod pemanduan Econ, Normal dan Sport, varian hibrid itu turut mendapat mod baharu iaitu Individual.

Bukan itu sahaja, ia juga menggabungkan Active Noise Control (ANC) dengan Active Sound Control (ASC) untuk mengurangkan bunyi bising dari luar sambil menyerlahkan lagi deruman enjin.

Sistem Honda Sensing, yang disertakan secara standard pada semua varian, menawarkan ciri-ciri seperti Low Speed Follow (LSF), Lead Car Departure Notification System (LCDN), Adaptive Cruise Control (ACC), Forward Collision Warning (FCW), Collision Mitigation Braking System (CMBS), Lane Keep Assist System (LKAS), Road Departure Mitigation (RDM), Lane Departure Warning (LDW) dan Auto High Beam (AHB).

CMBS kini boleh mengesan pejalan kaki dan penunggang basikal, manakala ACC kini beroperasi dengan lebih lancar. Turut ditambah baik adalah LKAS, yang kini memberikan kawalan lebih baik ketika memandu lurus dan membelok.

UMW Toyota lancar Toyota GR Yaris, GR Corolla, Corolla GR Sport 2025

Bersempena dengan penganjuran majlis penutup Toyota Gazoo Racing musim ketujuh, UMW Toyota Motor melancarkan tiga model berprestasi tinggi untuk pasaran Malaysia, iaitu GR Yaris 2025, GR Corolla 2025 dan sedan Corolla GR Sport 2025.

Menurut Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K berkata, “Pemanduan bukan sekadar bergerak dari satu destinasi ke destinasi lain, tetapi satu pengalaman penuh emosi yang menghubungkan jiwa dengan jalan raya, dan menghidupkan rasa gembira dalam setiap perjalanan.

“Dengan pelancaran model GR dan GR Sport, Toyota meneruskan legasinya dengan mengangkat pengalaman memandu ke tahap yang luar biasa. Dibangunkan dengan semangat prestasi, model ini direka khas untuk memberi inspirasi dan keterujaan kepada setiap rakyat Malaysia.”

 

Toyota GR Yaris 2025 facelift

Hot hatch yang lahir dari penglibatan Toyota di dalam sukan WRC ini masih lagi dikuasakan oleh enjin tiga silinder sebaris 1.6 liter turbo yang mampu menjana kuasa 300 PS dan 400 Nm.

Untuk pasaran Malaysia, ia masih lagi ditawarkan dalam versi manual enam nisbah kelajuan serta sistem pacuan semua roda GR-Four.

Prestasi enjin ditambah baik dengan kehadiran sub-radiator dan sistem semburan intercooler untuk operasi optimum di bawah tekanan ekstrem.

Difahamkan, GR Yaris versi transmisi automatik lapan nisbah kelajuan (DAT) dijangka akan menyusul kemudian.

Perubahan pada bahagian luaran melibatkan struktur bampar hadapan serba baharu lengkap dengan jeriji Functional Matrix Ver. 2 yang mampu memaksimumkan aliran udara dan penyejukan, diikuti dengan unit lampu belakang baharu, sistem ekzos serta diffuser.

Sementara untuk ruang kabin, susun atur papan pemuka diberikan nafas baharu sepenuhnya yang menerapkan eleman daripada sukan perlumbaan rali dan Super Taikyu Series.

Berbanding GR Yaris yang terdahulu, panel kawalan dan skrin paparan telah diposisikan pada sudut 15 darjah yang mampu memudahkan pemandu mencapai fungsi yang diinginkan.

Bukan itu sahaja, posisi pemanduan telah ditambah baik, di mana pemandu kini duduk 25 mm lebih rendah serta cermin pandang belakang telah ditinggikan.

Selain itu, terdapat juga skrin kluster digital penuh TFT bersaiz 12.3 inci.

GR Yaris 2025 facelift dijual pada harga RM315,600.

 

Toyota GR Corolla 2025 facelift

Sama seperti hot hatch GR Yaris, GR Corolla facelift juga dikuasakan oleh enjin tiga silinder G16E-GTS menghasilkan kuasa 300 PS dan 400 Nm, dipadankan dengan kotak gear manual 6-kelajuan dan sistem pacuan semua roda GR-Four.

Aspek pemanduan GR Corolla dipertingkatkan dengan sistem gantungan yang telah dinaiktaraf – memberikan manfaat dari segi kadar cengkaman, ketangkasan dan kestabilan yang lebih baik.

Dari segi aerodinamik pula, GR Corolla telah diberikan rekaan bampar serba baharu untuk aliran udara yang lebih optimum, sementara gerbang roda juga dilebarkan untuk imej yang lebih berani.

Imej hot hatch yang diinspirasikan daripada sukan rali ini disempurnakan dengan kemasan dalaman yang turut dikemas kini dengan tempat duduk khusus untuk pemanduan berprestasi, kemasan gun-metallic, skrin paparan tengah 9 inci, serta skrin kluster digital 12.3 inci.

Terdapat beberapa pilihan warna menarik seperti Platinum White Pearl Mica, Precious Black, Precious Metal dan Emotional Red 2.

Toyota GR Corolla 2025 dijual pada harga bermula RM367,000.

 

Toyota Corolla GR Sport 2025

Sebuah lagi model yang dilancarkan ialah sedan Corolla GR Sport 2025, pilihan yang lebih praktikal dan sporti dalam masa yang sama.

Sedan segmen C ini masih lagi dikuasakan oleh enjin 1.8 liter menghasilkan 139 PS dan 172 Nm, namun dengan transmisi CVT Sport Sequential Shiftmatic 10-kelajuan maya.

Dari segi penampilan, Corolla GR Sport membawakan skema warna dua tona, diikuti dengan jeriji khas GR Sport berserta corak heksagon, aksen aerodinamik pada bampar, rim aloi GR Sport 18 inci, diikuti dengan spoiler belakang.

Masuk ke dalam ruang kabin, Corolla GR Sport membawakan tempat duduk balutan suede dan kulit premium, roda stereng GR, skrin tengah bersaiz 10 inci lengkap dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

Sedan ini tersedia dalam beberapa pilihan warna dua tona termasuklah Platinum White Pearl Mica, Red Mica Metallic dan Attitude Black Mica.

Toyota Corolla GR Sport 2025 dijual pada harga bermula RM149,800.

Bila Lamborghini Miura dapat sentuhan Liberty Walk….

Apa akan jadi bila supercar yang paling cantik di dunia diberikan sentuhan magis oleh Liberty Walk?

Anda tidak perlu pun untuk membayangkan hasilnya, ini kerana penala terkenal Jepun itu sudah pun mendedahkan imej janaan komputer hasil kerja terbaharu mereka pada Lamborghini Miura.

Bakal didedahkan secara rasmi di Tokyo Auto Salon 2025, LB-Silhouette Works GT Lamborghini Miura itu tampil dengan rupa paras yang lebih agresif dan berani dalam masa yang sama.

Anda boleh melihat padanan kit badan agresif berserta dengan fender flare yang serba lebar, serta set rim aftermarket pada keempat-empat sudut gerbang roda.

Tidak ketinggalan, sayap bersaiz besar dan diffuser yang agresif pada bahagian belakang sebelum jentera ini dilayangkan dengan warna putih yang lengkap dengan liveri penaja serta logo Liberty Walk berwarna merah di bahagian sisi.

Buat masa ini, Liberty Walk tidak mendedahkan sebarang naik taraf yang dibuat pada enjin asal bentangan V12 4.0 liter berkuasa 345 hp/355 Nm pada Miura ini.

Kit badan yang khas untuk Lamborghini Miura ini akan mula dijual secara rasmi pada tahun hadapan, yang pasti harganya tidaklah semurah yang anda sangka.

Chery Tiggo 7 Pro mesra poket tetapi cukup lengkap – Pandu Uji

Tiggo 7 Pro merupakan model keempat yang dilancarkan oleh Chery Malaysia selepas Omoda 5, Tiggo 8 Pro dan Omoda E5.

Seperti tiga model yang hadir sebelumnya, Tiggo 7 Pro dilihat mempunyai peranan besar dalam usaha Chery untuk memperkukuhkan kehadiran jenamanya di negara ini buat kali kedua.

Ini kerana ia bersaing dalam segmen yang cukup sengit iaitu SUV segmen C, bersama-sama dengan jenama-jenama yang lebih kukuh seperti Proton dengan X70 dan Honda dengan CR-V yang cukup popular.

Sebagai pendatang baharu, Tiggo 7 Pro berdepan cabaran besar kerana pesaing-pesaing terdekatnya diakui memang hebat-hebat belaka namun penulis mendapati SUV dari China ini terbukti mampu memberikan saingan sengit dalam segmennya.

Maksud penulis, dengan harga bawah RM130,000, Tiggo 7 Pro menawarkan nilai hebat terutamanya dari segi kelengkapan, prestasi dan keselamatan. Ia adalah alternatif yang cukup berbaloi bagi mereka yang tidak mahu berbelanja terlalu tinggi.

Penampilan Tiggo 7 Pro tidaklah terlalu menonjol jika dibandingkan dengan X70 2025 atau CR-V tetapi ia masih kelihatan cukup bergaya dengan imej matang dan segak yang sesuai untuk golongan profesional.

Seperti yang dikatakan, model ini tidak flashy tetapi ia mampu menarik perhatian dengan perincian seperti kemasan berlian ala Mercedes-Benz pada gril, lampu belakang melintang penuh dan kemasan berwarna biru pada bampar hadapan.

Ia memakai rim aloi berukuran 18 inci dengan rekaan yang cantik. Terselindung di sebaliknya adalah angkup brek berwarna merah – sesuatu yang agak janggal untuk SUV keluarga seperti ini namun mereka yang berjiwa sporty mungkin menyukainya.

Dari segi saiz, ia mempunyai ukuran panjang 4,513 mm, lebar 1,862 mm dan tinggi 1,696 mm. Ini menjadikannya lebih pendek berbanding X70 dan CR-V tetapi lebih tinggi berbanding kedua-dua model tersebut.

Sementara itu, dengan ukuran 2,670 mm, tapak rodanya sama panjang dengan tapak roda X70 tetapi 30 mm lebih pendek berbanding tapak roda CR-V.

Walaupun lebih kecil daripada pesaingnya, ruang kabin Tiggo 7 Pro dirasakan cukup besar dan luas untuk lima sekeluarga. Gabungan bahan yang digunakan pula tidak rasa murah dan membuatkan tanda harganya nampak cukup berbaloi.

Anda akan menemui upholsteri kulit (bukan tulen) membaluti sebahagian besar papan pemuka, tempat duduk dan stereng, serta sedikit trim kayu dan perincian aluminium dan hitam berkilat.

Apa yang menarik, papan pemukanya juga dihiasi dengan kemasan gentian karbon palsu, sekali gus melengkapkan imej sporty yang dicetuskan oleh angkup brek merah tadi.

Dari segi kelengkapan, boleh dikatakan pembeli mendapat segalanya yang sepatutnya ada untuk kenderaan dalam pasaran ini.

Sebagai contoh, sistem infohibur dan semua maklumat penting kenderaan boleh diakses menerusi paparan besar berukuran 24.6 inci. Ia sebenarnya merangkumi dua paparan berasingan, masing-masing sebesar 12.3 inci.

Turut disertakan adalah Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, sistem audio Sony dengan lapan pembesar suara, pengecas tanpa wayar 50W dan pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna.

Sementara itu, ciri-ciri seperti sistem pendingin hawa dua zon, pelarasan kuasa enam hala untuk pemandu dan empat hala untuk penumpang hadapan, bumbung panoramik dan Keyless Entry dengan Walk-Away Auto Lock memberikan keselesaan dan kemudahan kepada pemandu dan penumpang.

Jangan terpedaya dengan ukuran badannya yang agak kecil kerana Tiggo 7 Pro cukup luas untuk dijadikan sebagai kereta keluarga.

Tempat duduk belakang cukup besar, menawarkan sokongan peha yang mencukup dan tidak terlalu tegak. Bentuk badan konvensionalnya juga bermakna ruang kepala belakang luas dan sesuai untuk penumpang yang tinggi.

Ruang butnya, walaupun lebih kecil daripada but X70 dan CR-V dengan kapasiti 475 liter, sebenarnya masih cukup besar dan luas. Jika anda perlukan ruang yang lebih besar, lipat kerusi belakang dan anda akan mendapat ruang sebesar 1,672 liter.

Untuk sistem keselamatan pula, anda tidak perlu risau kerana Chery melengkapkan SUV ini dengan pelbagai ciri aktif dan pasif seperti Autonomous Emergency Braking, Multi Collision Brake, Blind Spot Detection, Traffic Jam Assist, Adaptive Cruise Control, Lane Change Assist dan pelbagai lagi.

Jika ini tidak mencukupi, ia juga didatangkan dengan tujuh beg udara serta sistem kamera 540 darjah lengkap dengan penanda bagi memudahkan lagi pemandu mengemudi di kawasan-kawasan sempit.

Biarpun berstatus kereta China, tiada soal dari segi kualiti kerana paparan daripada kamera cukup terang dan tajam, mengalahkan sesetengah SUV lain yang lebih mahal.

Reka bentuknya cukup segak, manakala kelengkapan yang disertakan lebih daripada mencukupi, tetapi bagaimanakah prestasi Tiggo 7 Pro di jalan raya?

Buka bonet dan anda tidak akan nampak apa-apa kerana enjin turbo 1.6-liter dan semua komponen berkaitan disembunyikan dengan baik oleh penutup plastik yang besar.

Enjin empat silinder itu menghasilkan 197 PS dan 290 Nm, lebih tinggi berbanding apa yang ditawarkan oleh enjin-enjin tiga silinder Proton dan Honda pada X70 dan CR-V.

Dengan transmisi DCT tujuh kelajuan yang memacu roda hadapan, SUV ini dikatakan boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 8.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 205 km/j.

Tidak dinafikan, gabungan enjin dan transmisi itu memberikan Tiggo 7 Pro kuasa pecutan yang agak kuat yang menjadikannya begitu seronok dipandu di lebuh raya yang terbentang luas.

Walau bagaimanapun, apabila memasuki jalan-jalan sibuk di dalam kawasan bandar, penulis mendapati trenkuasa ini kurang lancar dan ada kalanya ia tersengguk-sengguk sedikit ketika hendak mula bergerak.

Chery berkata trenkuasa ini mampu memberikan bacaan penggunaan bahan api sekitar 7 l/100 km (14.2 km/l). Penulis mendapat bacaan sekitar 8.9 l/100 km (11.2 km/l) dengan pemanduan bercampur lebuh raya dan bandar. Boleh tahan juga untuk gaya pemanduan yang sedikit agresif.

Sistem suspensinya boleh dikatakan tipikal untuk sebuah kereta jenama China. Ia lembut dan selesa, manakala serapan hentakannya juga memuaskan, membuatkan penulis lebih yakin ketika melalui jalan kurang rata.

Namun begitu, kelembutan sistem suspensinya membuatkan Tiggo 7 Pro terasa sedikit goyah jika dipandu terlalu laju. Ia masih boleh mengendalikan selekoh dengan baik cuma jika terlalu dipaksa, ia akan mula bergelut.

Dalam erti kata lain, penulis merasakan yang Tiggo 7 Pro lebih sesuai untuk pemanduan santai dan bersahaja, walaupun memiliki enjin yang berkuasa dan elemen-elemen reka bentuk agresif seperti angkup brek merah dan trim gentian karbon.

Konklusi

Jika anda sedang mencari sebuah SUV segmen C yang serba boleh, Chery Tiggo 7 Pro mungkin pilihan yang paling tepat.

Reka bentuknya bukanlah yang paling menonjol dalam segmennya namun model ini mampu menarik perhatian pembeli dengan senarai kelengkapan yang cukup panjang dan prestasi yang memuaskan.

Risau tentang selepas jualan? Bertenang kerana Chery Malaysia menawarkan waranti selama tujuh tahun/150,000 km, khidmat trak tunda percuma 24/7 dan pakej servis percuma selama lima tahun untuk Tiggo 7 Pro.

Spesifikasi Chery Tiggo 7 Pro

Harga: RM123,800
Enjin: Petrol turbo 1.6-liter, empat silinder
Kotak gear: DCT tujuh kelajuan
Kuasa: 197 PS
Tork: 290 Nm

Leapmotor C10, ada ruang untuk segalanya – Pandu uji ringkas

Sebagai sebuah nama besar yang menaungi jenama-jenama popular seperti Alfa Romeo, Citroen, Maserati dan Peugeot, pastinya kedengaran agak pelik apabila jenama Leapmotor duduk di bawah naungan Stellantis.

Untuk makluman, Leapmotor (atau Ling Pao) sebenarnya merupakan sebuah syarikat automotif China yang ditubuhkan pada tahun 2015.

Hanya pada tahun 2023, Stellantis memperoleh 20 peratus pegangan dalam Leapmotor untuk meletakkannya sama baris dengan jenama-jenama Eropah yang disebutkan tadi.

Tidak perlu menunggu dengan lebih lama, Stellantis Malaysia pada April 2024 mengumumkan kehadiran Leapmotor untuk pasaran tempatan, diposisikan sebagai jenama EV mampu milik.

Model pertama yang dijual ialah sebuah SUV segmen D, Leapmotor C10 yang telah dilancarkan secara rasmi enam bulan selepas itu, dengan harga jualan RM159,000.

Baru-baru ini pihak Stellantis Malaysia mengajak para pengamal media automotif untuk merasai sendiri pemanduan Leapmotor C10 menuju ke Gambang, Pahang.

Berikut merupakan catatan ringkas kami selepas memandu SUV ini selama dua hari:

 

1. Dimensi

Tidak seperti model-model EV (rata-rata hatchback, SUV atau sedan) yang ada di pasaran, Leapmotor C10 lebih sesuai dikategorikan sebagai kenderaan elektrik untuk kegunaan keluarga.

Saiznya yang agak besar, dengan ukuran sepanjang 4,739 mm, lebar 1,900 mm, tinggi 1,680 mm dan jarak antara roda 2,825 mm.

Dalam julat harga yang sama, Leapmotor C10 bersaing dengan model berenjin pembakaran seperti Chery Tiggo 8 Pro dan Proton X90.

Saiz yang hampir sama namun C10 didatangkan dengan konfigurasi lima tempat duduk, berbanding tujuh pada dua model yang disebutkan tadi.

2. Kuasa

Hanya ada satu varian sahaja ditawarkan di Malaysia, dengan motor elektrik tunggal pacuan roda belakang berkuasa 215 hp dan 320 Nm.

Nampak macam tinggi, tapi selepas kami memandu uji SUV elektrik ini, pecutan yang diberikan tidaklah seagresif mana-mana EV yang ada di pasaran.

Namun, ia bukanlah bermakna C10 ini sebuah ‘anak gajah’ yang malas untuk bergerak, cuma anda boleh jangkakan hamburan kuasa yang lebih lancar untuk memastikan tiada seorang pun ahli keluarga mengadu sakit leher semasa memulakan perjalanan.

Bahkan di atas lebuh raya, penulis tidak mempunyai masalah untuk memastikan SUV elektrik ini mampu memintas mana-mana lori treler yang perlahan di lorong kiri dengan selamat tanpa menyebabkan kereta yang laju di belakang menyalakan lampu suluhan tinggi – walaupun sarat dengan penumpang.

Dengan pek bateri 69.9 kWh, Leapmotor C10 boleh bergerak sejauh 420 km untuk sekali cas penuh.

Berdasarkan pemanduan yang dibuat, kami berjaya sampai ke destinasi dengan jarak gerak tersisa sekitar 112 km dan purata penggunaan tenaga sekitar 20.1 kWh/100 km, tinggi sedikit berbanding angka rasmi 19.8 kWh/100 km.

 

3. Pemanduan

Kami mengambil kesempatan untuk menguji tahap pengendalian SUV ini semasa merentasi laluan lebuh raya KL-Karak dan Genting Highlands.

Mengejutkan apabila penulis dapati SUV bersaiz besar ini juga boleh dikendalikan dengan baik di setiap selekoh dan laluan mendaki di jalan yang sangat popular itu.

Untuk kembali semula ke kelajuan yang diinginkan juga tidak mendatangkan masalah tanpa menyebabkan penumpang rasa pening dengan pecutan yang mendadak.

Cuma, walaupun C10 dilengkapi dengan sistem suspensi yang bekerja baik menyerap segala hentakan dengan cemerlang dan tayar Dunlop e-Sport Maxx yang memastikan SUV ini melekat sepanjang masa di selekoh, ia tidak diseimbangkan dengan respons stereng yang memuaskan.

Kebanyakan masa ia mampu patuh kepada setiap arahan yang diberikan oleh pemandu, namun keadaan menjadi kurang menyenangkan apabila sistem ADAS seperti bantuan pengekalan lorong kecemasan (ELKA) dan kawalan pemusatan lorong (LCC) cuba masuk campur.

Sistem yang disebutkan itu tadi akan bertindak agresif untuk membetulkan arah putaran stereng sekiranya mendapati pemandu tidak memandu kereta dengan betul.

‘Gangguan’ yang berterusan itu akan membuatkan pemandu lebih penat berbanding kebiasaan disebabkan perlu untuk melawan apa yang cuba dibetulkan oleh sistem.

Jadi, lebih senang untuk penulis matikan sahaja fungsi tersebut sejak dari awal, dan membiarkan fungsi yang lebih penting terus bekerja untuk memastikan SUV ini selamat atas jalan raya.

Penulis lebih gemar sekiranya sistem mengingati tetapan yang telah dibuat sejak dari awal, di mana pemandu tidak perlu untuk membuang masa lebih lama menatap menu di skrin setiap kali perlu memandu C10 ini keluar.

Satu perkara yang membuatkan pemanduan C10 kurang meyakinkan ialah respons pedal brek yang rasa kosong.

Perkara tersebut tidak begitu dirasai ketika pemanduan berkelajuan tinggi, di mana sistem brek beroperasi dengan baik, namun pada kelajuan rendah, ada ketikanya SUV ini rasa seperti tidak mahu berhenti biarpun pedal brek ditekan rapat ke lantai.

Seolah-olah tiada titik gigit brek dirasakan, kosong. Takkan lah setiap kali nak berhenti perlu bergantung kepada sistem brek kecemasan, kan?

4. Dalaman

Untuk sesi pandu uji kali ini, penulis memulakan perjalanan dengan duduk sebagai penumpang di baris kedua.

Kebiasaannya, penulis akan rasa cepat rasa pening dan mual apabila tidak bertugas memegang roda stereng namun kali ini penulis mampu berehat (dan tidur sebentar) dengan selesa sepanjang perjalanan.

Ini kerana penumpang boleh melaraskan sudut sandaran bagi tempat duduk belakang (ada dua sudut) supaya lebih selesa sepanjang perjalanan.

Mungkin sekali penggunaan upholsteri kulit silikon yang dinamakan sebagai Oeko-Tex banyak menyumbang kepada perjalanan yang lebih selesa, disebabkan struktur bahan yang lembut dan mesra punggung.

Ia juga mempunyai ciri kalis air dan tidak mengandungi bahan toksik yang berbahaya kepada golongan bayi – satu ciri yang sangat berguna untuk kebanyakan keluarga di Malaysia yang mempunyai anak kecil.

Selain ruang kaki yang cukup besar, penumpang di belakang juga tidak rasa lemas kerana ia menawarkan ruang kepala yang cukup besar, terima kasih kepada bumbung panorama yang cukup luas dan mempunyai tirai untuk menghalang sinaran mentari panas tengah hari.

Upholsteri berwarna hitam mungkin kedengaran sudah agak biasa, jadi terdapat opsyen untuk mendapatkan kemasan warna Criollo Brown yang lebih cerah, itu pun jika anda berminat dengan warna Glazed Green yang cukup cantik itu.

Aspek NVH juga memuaskan, boleh dikatakan bunyi bising angin daripada luar ditapis dengan baik, bunyi bising tayar juga kurang kedengaran dari dalam kabin.

Kelebihan lain yang wujud ialah ruang kargo sebesar 435 liter yang boleh ditingkatkan kepada 1,410 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat rata.

 

5. Papan pemuka terlalu minimalis

Untuk seorang yang sudah terbiasa dengan kewujudan pelbagai jenis butang dan tombol fungsi pada sesebuah kenderaan, masuk ke dalam Leapmotor C10 mewujudkan satu perasaan yang kurang senang.

Ini kerana susun atur papan pemuka yang terlalu ringkas dan minimalis, selain banyak bergantung sepenuhnya kepada menu yang tertanam pada skrin paparan akan membuatkan tumpuan pemandu lebih mudah terganggu di atas jalan.

Jadi, jika anda berminat dengan C10, cuba elakkan memandu seorang diri, dan anda akan hargai setiap bantuan yang diberikan ketika anda mahu sesebuah tetapan diubah.

Seperti contoh, arah tiupan angin sejuk, larasan suhu, mahu mematikan suluhan lampu utama, atau sekadar mahu mematikan fungsi tertentu dalam sistem ADAS.

Lebih menyedihkan apabila tetapan cermin sisi juga perlu diakses menerusi skrin utama.

Mujur Leapmotor tidak meniru perangai Tesla dengan menghilangkan terus tuil lampu isyarat membelok dan menggantikannya dengan butang di stereng.

Lagi satu, jika anda sudah terbiasa dengan menekan butang pandu mula, anda perlu pelajari cara baharu pada C10 dengan mengimbas kunci berbentuk kad pada bahagian konsol tengah sebelum menarik tuil transmisi ke arah posisi D.

Ya, setiap kali sebelum anda memulakan perjalanan.

Satu lagi kelemahan yang kami sukar untuk terima ialah ketiadaan sokongan Apple CarPlay/Android Auto.

 

6. Ada mod ‘healing’

Satu fungsi menarik yang boleh dimanfaatkan oleh pemandu selepas setiap kali pemanduan ialah Nap Mode.

Apabila mod ini diaktifkan, anda boleh menikmati bunyi-bunyi persekitaran seperti hujan, aliran air sungai, cengkerik dan pukulan ombak di persisiran pantai semasa sedang berehat.

Anda juga boleh menetapkan tempoh masa tidur yang diperlukan, dan sistem akan mengejutkan anda setelah sesi tersebut tamat.

Dengan fungsi pengudaraan pada tempat duduk, ia akan menjadikan sesi tidur sebentar anda lebih selesa sementara menunggu masuk waktu solat atau isteri anda selesai membeli belah.

Di penghujung hari, dalam pasaran yang sudah dibanjiri dengan pelbagai jenis model EV, Leapmotor C10 nyata boleh lebih menonjol dengan kelebihan ruang yang ditawarkan, sesuai untuk kegunaan keluarga setiap hari.

Itu pun jika anda tidak kisah dengan rekaan papan pemuka yang terlalu minimalis, serta rutin yang perlu dibuat setiap hari, setiap kali sebelum memulakan perjalanan.

Dengan harga jualan bawah RM160,000, bolehkah Leapmotor C10 ini jadi satu pembelian yang berbaloi? Mungkin sekali ya.

 

Spesifikasi Leapmotor C10

Motor elektrik: Tunggal, pacuan roda belakang (RWD)
Kuasa: 215 hp, 320 Nm
Pecutan: 7.5 saat (0-100 km/j)
Kelajuan maksimum: 170 km/j
Bateri: LFP 69.9 kWh
Jarak gerak: 424 km (data WLTP)
Suspensi: MacPherson/Multi-Link
Jarak kelegaan tanah: 180 mm
Kargo: 435 liter/1,410 liter

 

Leapmotor C10 warna Glazed Green

Perodua eMO-II debut di KLIMS 2024, harga anggaran bawah RM90k

Bertempat di acara pameran Kuala Lumpur International Mobility Show 2024 (KLIMS 2024), Perodua mengambil kesempatan dengan mempamerkan model prototaip elektrik eMO-II siang tadi.

Menurut Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad, Presiden dan CEO Perodua berkata, unit prototaip ini merupakan kesinambungan kepada model prototaip terdahulu dan telah ditambah baik dari segi penggayaan dan ciri-ciri yang dimuatkan.

Seperti yang didedahkan menerusi video acah sebelum ini, ternyata Perodua eMO-II membawakan penggayaan yang jauh lebih sporti berbanding model eMO.

Dari sudut hadapan, eMO-II tampil dengan rekaan bampar yang agak agresif, bar lampu LED melintang penuh, logo Perodua bercahaya pada hud hadapan, serta penjenamaan eMO-II pada bawah bampar.

Untuk bahagian sisi, terdapat liang udara yang agak tajam, diikuti rim rekaan aerodinamik serta kamera sisi yang biasanya akan digantikan dengan cermin sisi untuk model produksi sebenar.

Tema sporti diteruskan pada bahagian belakang, di mana komponen bampar dihiasi dengan rekaan diffuser yang agak besar, lampu brek tunggal di tengah bampar, bar lampu LED melintang serta kehadiran grafik LED seakan corak songket.

Reka bentuk dalaman eMO-II tidak seperti tipikal rekaan yang anda akan jumpa pada kereta-kereta produksi Perodua.

Selain tempat duduk yang sporti, eMO-II diberikan rekaan roda stereng yang lebih moden, skrin kluster digital lebar, butang PRND pada bahagian atas skrin tengah, serta grafik geometri pada bahagian konsol tengah.

Buat masa ini, Perodua masih belum mendedahkan spesifikasi penuh eMO-II, namun berdasarkan info awal, EV ini dikuasakan oleh motor elektrik tunggal pacuan roda depan berkuasa 68 PS/220 Nm dengan jarak gerak sejauh 450 km untuk sekali cas penuh.

Namun, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad mengesahkan EV pertama Perodua ini akan dijual pada julat harga tidak melebihi RM90,000.

Porsche Macan EV, 4 varian, jarak gerak cecah 641 km, dari RM430k

Sime Darby Auto Performance (SDAP) selaku pengedar tunggal kenderaan Porsche di Malaysia melancarkan model generasi kedua SUV Porsche Macan untuk pasaran tempatan.

Tidak seperti model generasi pertama, Macan generasi kedua kini hanya ditawarkan dalam versi elektrik sepenuh masa.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang anda perlu tahu tentang Porsche Macan EV 2025:

 

1. Empat varian

Porsche Macan EV boleh didapati dalam empat varian utama, iaitu:

Macan – RM430,000
Macan 4 – RM445,000
Macan 4S – RM525,000
Macan Turbo – RM635,000

Dengan insentif khas untuk EV pada ketika ini, Macan EV membawakan harga yang lebih murah berbanding Macan generasi pertama.

 

2. Pilihan RWD atau AWD

Bergantung kepada spesifikasi, Macan EV dilengkapi dengan motor elektrik tunggal pacuan roda belakang untuk varian asas atau versi motor berkembar dengan sistem pacuan semua roda untuk tiga varian tertinggi.

 

3. Kuasa

Macan
• 340 PS/563 Nm (boost 350 PS)
• 0-100 km/j 5.7 saat
• Kelajuan maksimum 220 km/j

Macan 4
• 387 PS/650 Nm (boost 408 PS)
• 0-100 km/j 5.2 saat
• Kelajuan maksimum 220 km/j

Macan 4S
• 448 PS/820 Nm (boost 516 PS)
• 0-100 km/j 4.1 saat
• Kelajuan maksimum 240 km/j

Macan Turbo
• 584 PS/1,130 Nm (boost 639 PS)
• 0-100 km/j 3.3 saat
• Kelajuan maksimum 260 km/j

 

4. Jarak gerak

Kesemua varian Macan datang standard dengan pek bateri NMC (nickel manganese cobalt) berkapasiti 100 kWh.

Mengikut Porsche, Macan EV boleh mencecah jarak gerak sejauh 641 km untuk varian asas, 613 km untuk Macan 4, 606 km untuk Macan 4S dan 591 km untuk Macan Turbo.

 

5. Pengecasan

Macan EV mampu menyokong pengecasan AC 11 kW di mana pek bateri boleh dicas dari 0-100 peratus SoC dalam tempoh 10 jam.

Pengecasan pantas DC sehingga 270 kW pula membolehkan pengguna mengecas bateri 10-80 peratus sepantas 21 minit.

 

6. Dimensi

Berbanding model terdahulu, Porsche Macan EV membawakan ukuran sepanjang 4,784 mm (+58 mm), lebar 1,938 mm (+11 mm), tinggi 1,622 mm (+26 mm) dengan jarak antara roda sepanjang 2,893 mm (+86 mm).

 

7. Rekaan luaran

Sebagai sebuah EV, rekaan luaran Porsche Macan banyak diinspirasikan daripada sedan elektrik Taycan.

Ia membawakan ciri seperti lampu utama terpisah di mana struktur kluster lampu di bahagian atas bertindak sebagai unit lampu nyalaan siang (DRL), manakala lampu suluhan utama diposisikan pada bahagian bampar.

Bahagian belakang mendapat bar lampu LED melintang penuh, diikuti dengan komponen spoiler adaptif yang berjaya disembunyikan dengan baik.

Keempat-empat pintu didatangkan dengan rekaan tanpa bingkai tingkap.

Selain itu, Porsche Macan EV turut didatangkan dengan sistem yang dinamakan sebagai Porsche Active Aerodynamics (PAA) yang merangkumi komponen termasuklah kepak penyejukan aktif, tirai udara bawah lampu utama, kepak Gurney dan bilah diffuser yang membolehkan SUV ini mencapai angka kadar pekali seretan serendah 0.25.

 

8. Kelengkapan kabin

Sama seperti bahagian luar, ruang kabin Macan juga turut diinspirasikan daripada kabin Taycan.

Terdapat skrin kluster digital 12.6 inci, skrin tengah 10.9 inci serta pilihan untuk menambah skrin di hadapan penumpang juga sebesar 10.9 inci.

Sistem infohibur Porsche Macan bergantung kepada sistem operasi Android Automotive OS, selain menyediakan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

Di bahagian konsol tengah, masih wujud gugusan butang fungsi fizikal yang diperlukan untuk kawalan iklim kabin.

 

9. Praktikaliti

Porsche Macan menyediakan ruang kargo sebesar 540 liter di belakang tempat duduk baris kedua, dan boleh mencapai kapasiti 1,348 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat sepenuhnya.

Terdapat ruang tambahan sebesar 84 liter pada bahagian frunk.

Kia Carnival adalah alternatif kepada Alphard/Vellfire yang berbaloi – Pandu Uji

Di Malaysia, jika bercakap tentang MPV mewah, suka atau tidak suka model-model yang akan terlintas di fikiran adalah Toyota Alphard dan Vellfire.

Sekali sekala, Mercedes-Benz Vito dan Lexus LM akan meniti di bibir mereka yang bercitarasa kayangan tetapi selain daripada itu, memang Alphard dan Vellfire sentiasa menjadi sebutan.

Tiada salahnya kerana penulis pasti kedua-dua model berkenaan memang hebat dan berbaloi untuk dibeli tetapi jika anda inginkan kelainan, pesaing terdekat mereka iaitu Kia Carnival memang berbaloi untuk dimiliki.

Kenapa?

Pertama sekali, saiz. Penulis berpendapat mereka yang membeli MPV biasanya meletakkan ‘saiz’ sebagai antara kriteria tertinggi sebelum membuat keputusan.

Oleh itu jika anda inginkan sebuah kenderaan yang cukup besar dan luas, dapatkan Carnival kerana ia sebenarnya lebih besar berbanding Alphard/Vellfire.

Sebagai perbandingan, Carnival mempunyai ukuran panjang 5,155 mm, lebar 1,995 mm, tinggi 1,740 mm dan jarak roda 3,090 mm.

Kembar Alphard/Vellfire pula berukuran panjang 5,010 mm (5,005 mm untuk Vellfire), lebar 1,850 mm, dan tinggi 1,950 mm, dengan jarak roda 3,000 mm.

Dari segi reka bentuk pula, Carnival membawakan rekaan lebih sporty yang nampak lebih seperti sebuah wagon panjang kerana badannya yang rendah dan lebar. Ini diserlahkan lagi dengan rim aloi 19 inci berwarna hitam, yang menggantikan rim 18 inci sebelum ini.

MPV-MPV Toyota itu pula tidaklah hodoh tetapi rekaan berkotaknya membuatkan kedua-duanya nampak sedikit konvensional jika diletakkan bersebelahan lawannya dari Korea itu.

Untuk ruang dalaman, penulis boleh katakan yang kualiti dan ciri-ciri yang ditawarkan oleh Carnival setanding dengan model-model Jepun itu walaupun hakikatnya perbezaan harga antara model-model ini mencecah hampir RM300,000!

Ya, harus diakui bahawa Alphard/Vellfire terasa lebih mewah sedikit memandangkan ia menampilkan sentuhan Lexus dan material lebih premium seperti balutan kulit Nappa, namun Carnival juga tidak kurang hebatnya.

Material yang membaluti tempat duduk, papan pemuka dan panel pintu dirasakan cukup berkualiti, begitu juga dengan segala butang fizikal yang ada.

Kelengkapan yang ada juga cukup banyak. Antaranya termasuk kluster instrumen digital 12.3 inci, skrin sentuh 12.3 inci, Apple CarPlay dan Android Auto, sistem pendingin hawa tiga zon, fungsi pemanas dan ventilasi tempat duduk pemandu dan penumpang depan, serta sistem audio Bose dengan 12 pembesar suara.

Bukan itu sahaja, Carnival varian High juga mendapat sistem Blind Spot View Monitor (BVM) yang berfungsi untuk memaparkan paparan video dari kamera cermin sisi pada kluster instrumen digital. Ciri ini boleh diaktifkan dengan menggunakan lampu isyarat membelok.

Secara ringkasnya, penulis boleh katakan kualiti dan kelengkapan yang ditawarkan oleh Carnival berbaloi dengan harganya yang hampir mencecah RM250,000.

Unit yang penulis pandu uji baru-baru ini adalah varian 8 tempat duduk yang mempunyai konfigurasi 2-3-3. Kerusi tengah pada tempat duduk barisan kedua cukup besar untuk penumpang dewasa tetapi jika ia tidak digunakan, ia boleh dilipat menjadi meja kecil, lengkap dengan dua pemegang cawan.

Apa yang lebih menarik, kerusi itu juga boleh dipusingkan ke belakang bagi menghadap tempat duduk barisan ketiga atau ditanggalkan terus.

Bagi mana-mana MPV pun, tempat terbaik untuk duduk adalah di belakang sebagai penumpang. Sama sahaja dengan Carnival, di mana keselesaan penumpang terjamin dengan adanya kawalan pendingin hawa sendiri pada bahagian bumbung, penghadang cahaya matahari dan bumbung suria.

Tidak cukup dengan itu, anak-anak juga tidak perlu berebut port untuk mengecas gajet masing-masing kerana di dalam Carnival, setiap tempat duduk mempunyai port USB masing-masing.

Menjadi perkara lazim bagi mana-mana kenderaan tiga barisan tempat duduk mempunyai ruang kargo yang terhad apabila semua kerusi dinaikkan. Dengan Carnival, ini bukan satu masalah kerana di bawah tempat duduk barisan ketiga adalah ruang storan yang besar dan dalam.

Bagaimana dengan prestasi pemanduannya?

Carnival dikuasakan oleh enjin turbodiesel Smartstream 2.2-liter empat silinder yang dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan yang ditugaskan untuk menggerakkan roda depan.

Enjin ini menghasilkan 202 PS pada 3,800 rpm dan 440 Nm yang boleh diakses sepenuhnya seawal 1,750 rpm. Jika dibandingkan dengan enjin turbo 2.4-liter pada Alphard, kuasa kudanya lebih rendah namun jumlah torknya lebih tinggi sedikit sebanyak 10 Nm.

Seperti yang boleh dijangka dari enjin diesel, ketersediaan tork pada julat rpm rendah membuatkan Carnival terasa lancar sewaktu mula bergerak. Malah cara ia memecut langsung bukan seperti sebuah kenderaan dengan berat melebihi dua tan.

Ketika menyusuri lebuh raya, enjin terasa begitu senyap. Jika anda perlu memotong, jangan risau tentang kuasa kerana ia sentiasa terasa cukup walaupun dalam mod Normal.

Kotak gear agak responsif, bermakna anda boleh tekan pedal bila-bila masa sahaja dan ia akan segera menurunkan gear bagi memberikan hamburan kuasa yang diperlukan bagi membolehkan Carnival memotong dengan mudah.

Dengan penyelarasan harga diesel, mungkin ada di antara anda yang khuatir tentang kadar penggunaan bahan api Carnival.

Untuk pengetahuan anda, penulis mencatat penggunaan bahan api sekitar 15 km/l atau 6.7 l/100 km untuk pemanduan bercampur iaitu di bandar dan lebuh raya.

Carnival mempunyai tangki bahan api sebesar 72 liter, bermakna secara teorinya, penulis boleh memandu sejauh kira-kira 1,080 km sebelum perlu membuat pengisian semula.

Sekiranya anda membayar harga diesel tanpa subsidi iaitu RM3.35 seliter, anda perlu membelanjakan sebanyak RM241.20 untuk isian penuh. Adakah berbaloi membayar RM241.20 untuk jarak pemanduan melebihi 1,000 km? Terpulang kepada anda.

Akhir sekali, talaan suspensi dan NVH Carnival juga patut dipuji. Suspensinya agak lembut, bermakna anda boleh melalui permukaan tidak rata dengan yakin dan tanpa perlu menekan brek dengan terlalu kerap.

Walaupun begitu, ada sesuatu pada talaan suspensi yang membuatkan ia Carnival terasa cukup kukuh dan stabil pada kelajuan tinggi. Ini sebenarnya yang membuatkan MPV ini sedap untuk dilenjan.

Aspek NVH dijaga rapi dan sebagai penumpang, anda pastinya akan mengalami perjalanan yang selesa kerana bunyi angin dan tayar diminimumkan dengan cemerlang. Bunyi enjin diesel itu juga jarang kedengaran, kecuali jika anda berdiri di luar.

Konklusi?

Tidak banyak perkara yang penulis boleh katakan tentang Carnival kecuali ia cukup bagus, seronok untuk dipandu dan ada segalanya untuk memenuhi keperluan pembeli. Dan yang paling bagus, harganya yang kompetitif bermakna ia lebih mudah diakses oleh lebih ramai pembeli dalam segmen MPV.

Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan yang penyelarasan harga diesel mungkin membuatkan sesetengah pihak berfikir dua kali untuk mendapatkan kereta ini.

Tetapi bagi penulis, jika anda boleh berkira-kira untuk membeli sebuah MPV besar dengan harga melebihi RM200,000, anda sebenarnya sudah mampu untuk membayar bahan api tanpa subsidi.

Spesifikasi Kia Carnival 8-Seater High

Harga: RM245,888
Enjin: Smartstream 2.2-liter, empat silinder turbodiesel
Kotak gear: Automatik lapan kelajuan
Kuasa: 202 PS @ 3,800 rpm
Tork: 440 Nm @ 1,750 rpm