Tag Archives: featured

Mitsubishi Xpander vs Alza, Aruz & Veloz: Mana satu MPV 7-tempat duduk paling berbaloi?

Mitsubishi Xpander – biarpun tiba agak lewat di pasaran – masih lagi mampu mengungguli carta sebagai model MPV bukan nasional paling laris terjual.

Dengan kemunculan model facelift yang baharu sahaja dilancarkan bulan beberapa bulan lepas, ia dilihat akan terus mengukuhkan lagi pengaruh Xpander, terutama di kalangan golongan ‘daddy cool’.

Untuk mereka yang mencari kereta keluarga, MPV 7-tempat duduk merupakan antara calon yang sesuai di Malaysia.

Selain Xpander, model MPV mana lagi yang boleh dipertimbangkan?

Di sini, Xpander bersaing secara terus dengan tiga lagi model MPV, iaitu Perodua Alza, Perodua Aruz dan Toyota Veloz di dalam julat harga sekitar RM100,000 setelah model seperti Honda BR-V, Nissan Grand Livina dan Proton Exora ditamatkan penjualannya.

Apa beza Xpander dengan tiga model pesaingnya itu?

 

1. Harga

Berikut merupakan perbandingan harga jualan bagi Xpander, Alza, Aruz dan Veloz:

Mitsubishi Xpander: RM99,980
Toyota Veloz: RM95,000
Perodua Aruz: RM72,900
Perodua Alza: RM62,500

 

2. Dimensi

Dari segi saiz, Xpander memiliki kelebihan saiz yang lebih besar berbanding model pesaingnya.

Berikut merupakan perbandingan ukuran dimensi bagi empat model MPV tersebut:

Xpander: 4,475 mm x 1,750 mm x 1,720 mm (WB: 2,775 mm)
Veloz: 4,475 mm x 1,750 mm x 1,700 mm (WB: 2,750 mm)
Aruz: 4,435 mm x 1,695 mm x 1,705 mm (WB: 2,685 mm)
Alza: 4,425 mm x 1,730 mm x 1,670 mm (WB 2,750 mm)

Berdasarkan perbandingan, Xpander memiliki kelebihan dari segi kelebaran dan ketinggian, serta jarak antara roda yang lebih panjang – menyumbang kepada ruang kabin yang lebih lapang.

 

3. Ruang kargo

Kesemua model MPV hadir dengan tetapan tiga baris tempat duduk, di mana ruang kargo yang disediakan di belakang agak terhad, dan anda
mungkin perlu melipat tempat duduk baris ketiga.

Secara standard, Xpander menawarkan ruang belakang sebesar 495 liter, manakala pesaingnya lain seperti Aruz menyediakan ruang sebesar 213 liter sahaja.

Alza dan Veloz masing-masing berkongsi ruang kargo yang sama besar, iaitu 137 liter.

 

4. Enjin

Dari segi kuasa, kesemua empat model dilengkapi dengan enjin 1.5 liter aspirasi semula jadi.

Kecuali Aruz yang hadir dengan tetapan pacuan roda belakang (RWD), tiga lagi model menggunakan tetapan pacuan roda depan (FWD).

Yang mana satu lagi berkuasa?

Xpander: 105 PS/141 Nm, transmisi auto 4-kelajuan
Veloz: 106 PS/138 Nm, transmisi CVT
Aruz: 102 PS/133 Nm, transmisi auto 4-kelajuan
Alza: 106 PS/138 Nm, transmisi D-CVT

 

5. Keselamatan

Tiga model MPV yang disenaraikan itu tadi memiliki kelebihan di dalam aspek keselamatan, meninggalkan jurang yang agak besar untuk mengenepikan Xpander di belakang.

Secara standard, Aruz, Alza dan Veloz dilengkapi dengan enam beg udara, tidak ketinggalan ciri keselamatan termaju seperti brek kecemasan autonomi (AEB), amaran pelanggaran, serta peringatan tali pinggang keledar.

Alza dan Veloz pula didatangkan dengan tambahan ciri pembetulan stereng, amaran pergerakan kenderaan hadapan, kawalan salah operasi pedal, dan amaran lintasan trafik belakang, menjadikan dua model tersebut antara pilihan yang berbaloi.

Sebagai perbandingan, Xpander mengekalkan penawaran ciri keselamatan seperti dua beg udara tanpa sebarang ciri keselamatan termaju.

Apa pun kelebihan dan kekurangan yang wujud pada setiap model, kami pasti anda ada sebab tersendiri untuk membuat pemilihan yang bertepatan dengan poket dan keperluan masing-masing.

 

Mitsubishi Xpander 2024 facelift, 5 perkara yang perlu anda tahu – Pandu Uji Ringkas

Mitsubishi Xpander 2024 facelift, 3 benda kami kurang gemar – Pandu Uji

Peugeot 408 Premium adalah untuk mereka yang dahagakan kelainan – Pandu Uji

Sejak dahulu lagi, banyak kereta dari jenama Perancis mempunyai reka bentuk yang pelik. Lihat sahaja model-model lama seperti Citroen DS, Panhard Dyna Z dan Renault Megane generasi kedua – memang lain dari yang lain.

Perkara yang sama boleh dikatakan tentang Peugeot 408 baharu, yang menggabungkan tiga bentuk kereta dalam satu iaitu sedan, fastback dan crossover.

Hasilnya agak ganjil berbanding apa yang kita sudah biasa lihat dalam pasaran tetapi pada masa yang sama, ia juga kelihatan cukup menarik.

Penulis boleh katakan sepanjang memandu uji 408, kereta ini mendapat jelingan daripada pengguna jalan raya yang lain ke mana sahaja ia pergi. Malah, ada yang mengatakan ia nampak seperti Lamborghini Urus.

Agak melampau untuk bandingkan sebuah Peugeot dengan Lamborghini namun tidak boleh disalahkan mereka di luar sana kerana sekilas pandang, 408 memang ada iras-iras Super SUV dari Itali itu.

Bentuknya yang unik itu diserlahkan lagi dengan elemen-elemen reka bentuk yang menonjol seperti lampu LED berbentuk taring singa dan spoiler bumbung yang tajam.

Tidak seperti varian tertinggi iaitu GT, lampu belakang 408 Premium tidak mempunyai cakaran efek cakaran 3D namun ini tidak menjejaskan penampilannya.

Bukan itu sahaja, ia juga didatangkan dengan rim lebih kecil berukuran 18 inci namun bagi penulis, rekaannya lebih menarik berbanding rim Monolithe 20 inci pada GT.

408 merupakan kereta segmen C tetapi jika dibandingkan dengan pesaing-pesaing terdekatnya seperti Honda Civic, Mazda 3 dan Toyota Corolla Altis, ukurannya lebih besar iaitu panjang 4,687 mm, lebar 1,859 mm dan tinggi 1,487 mm.

Jarak lega tanahnya juga agak tinggi iaitu 189 mm, jadi pemandu tidak perlu risau sangat jika berhadapan dengan banjir kecil.

Di dalam, varian Premium didatangkan dengan upholsteri kulit, pelarasan elektrik untuk kerusi pemandu dan penumpang depan, dan sistem audio standard dengan enam pembesar suara.

Kelengkapan lain boleh dikatakan sama sahaja seperti GT iaitu skrin sentuh berukuran 10 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, panel instrumen digital 10 inci dan pengecas tanpa wayar.

Jika sekarang anda tertanya-tanya varian mana yang anda patut pilih, jawapannya bergantung kepada bajet anda sendiri.

Varian GT dijual pada harga RM196,055, manakala varian Premium pula berharga RM166,055. Dari satu sudut, RM196k untuk sebuah kereta segmen C memang tidak masuk akal namun untuk perbezaan sebanyak RM30,000, anda mendapat banyak kelengkapan tambahan.

Ini termasuk lampu Matrix LED, rim 20 inci, upholsteri kulit Nappa yang lembut, fungsi urutan dan memori untuk kerusi pemandu, sistem audio Focal dengan 10 pembesar suara termasuk subwoofer, paparan 3D quartz pada panel instrumen digital dan sistem pembersih udara kabin.

Dari sudut lain, jika anda rasa perbezaan harga tersebut terlalu besar, varian Premium sebenarnya sudah memadai kerana bagi penulis, kelengkapan yang disertakan sudah mampu memenuhi keperluan pembeli di dalam segmen ini.

Malah, dengan membeli varian Premium, anda mungkin membantu menyelamatkan akaun bank anda pada masa depan kerana menukar tayar 20 inci bukannya murah.

Satu lagi kelebihan varian Premium berbanding GT adalah ruang butnya yang boleh dibesarkan dari 536 liter kepada 1,611 liter (berbanding 1,583 liter pada GT), memandangkan ia tidak mempunyai subwoofer.

Bukan itu sahaja, ia juga didatangkan dengan tayar ganti space saver berbanding kit pembaikan tayar yang disertakan pada GT.

Cuma agak mengecewakan kerana Premium tidak dilengkapi dengan kamera 360 darjah. Bagi penulis, ini satu kehilangan yang agak besar untuk sebuah kereta yang berharga lebih RM150k.

Namun tidak kira varian apa yang anda pilih, ruang kabin 408 sangat selesa. Kerusinya empuk dan tidak terlalu keras, menjadikan perjalanan jarak jauh selesa dan tidak memenatkan.

Terima kasih kepada ukuran tapak roda yang agak panjang iaitu 2,787 mm, ruang kaki belakang boleh dikatakan sangat luas. Kerusi juga cukup besar, tidak terlalu tegak dan menawarkan sokongan peha yang mencukupi.

Di bawah bonet, semua varian 408 dikuasakan oleh enjin yang sama iaitu enjin 1.6-liter empat silinder turbo yang menghasilkan 215 PS dan 300 Nm. Kuasa disalurkan ke roda depan menerusi transmisi automatik lapan kelajuan.

Jika anda memandu pada kelajuan tinggi, trenkuasa ini sebenarnya sangat lancar dan cukup berkuasa namun ketika sedang merangkak di dalam trafik sesak, kotak gear akan terasa sedikit tersengguk-sengguk.

Pengendaliannya pula boleh dikatakan seimbang – tidak terlalu sporty tetapi tidaklah mengecewakan. Anda masih boleh melayan selekoh dengan tetapi jangan menaruh harapan yang tinggi ia tidaklah selincah kereta sport – mungkin kerana disebabkan kedudukannya yang agak tinggi dan ukuran tapak roda yang panjang.

Walaupun begitu, kadar NVH 408 perlu diberi pujian kerana sepanjang memandunya, penulis mendapati ia mampu menghalang bunyi daripada luar daripada meresap masuk ke dalam kabin dengan baik sekali.

Konklusi

Secara jujurnya, Peugeot 408 mungkin tenggelam dalam pasaran yang kini sarat dengan SUV dan crossover dari China tetapi bagi individu yang dahagakan kelainan, kereta dari jenama Perancis ini nampak seperti pilihan yang tepat.

Spesifikasi Peugeot 408 Premium

Harga: RM166,055
Enjin: Puretech 1.6-liter, empat silinder turbo
Kotak gear: Automatik lapan kelajuan
Kuasa: 218 PS @ 5,750 rpm
Tork: 300 Nm @ 2,000 rpm

Denza D9 sah masuk pasaran Malaysia suku pertama 2025

Pada Oktober lalu, sub-jenama premium di bawah naungan BYD iaitu Denza telah disahkan bakal memasuki pasaran Malaysia, dengan Sime Darby Auto Imports sebagai pengimport rasmi dan BYD Malaysia sebagai pengedar rasmi.

Model pertama yang akan ditawarkan adalah Denza D9, yang akan tiba ke pasaran tempatan sekitar suku pertama 2025. Ia akan bersaing dengan model-model seperti Zeekr 009, Maxus Mifa 9 dan juga duo Toyota Alphard/Vellfire.

Spesifikasi untuk pasaran Malaysia masih belum diketahui namun kami boleh sahkan yang BYD Malaysia akan membawa masuk versi elektrik-bateri (BEV) memandangkan setakat ini hanya model itu yang boleh didapati dalam versi pemanduan sebelah kanan.

Di China, selain versi BEV, D9 juga boleh didapati dalam versi PHEV yang menampilkan enjin 1.5-liter.

Untuk versi BEV, terdapat dua konfigurasi trenkuasa iaitu pacuan roda depan (FWD) dan pacuan semua roda (AWD). Varian FWD menampilkan motor elektrik tunggal yang menghasilkan 313 PS (230 kW) dan 360 Nm, dan boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 9.5 saat.

Sementara itu, varian AWD dengan motor elektrik berkembar mempunyai 374 PS (275 kW) dan 470 Nm, membolehkan ia melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 6.9 saat sahaja.

Kedua-dua varian dilengkapi dengan bateri LFP berkapasiti 103 kWj yang menawarkan jarak gerak WLTP sejauh 520 km untuk FWD dan 480 km untuk AWD.

Dari segi saiz, D9 mempunyai ukuran panjang 5,250 mm, lebar 1,960 mm, tinggi 1,920 mm dan tapak roda 3,110 mm. Ini menjadikannya lebih panjang berbanding Zeekr 009 tetapi tapak rodanya 95 mm lebih pendek berbanding pesaing terdekatnya itu.

MPV elektrik itu mampu memuatkan sehingga tujuh orang penumpang (dengan ketinggian sehingga 180 cm) dengan konfigurasi tempat duduk 2-2-3 yang menampilkan kerusi kapten yang boleh digelongsor di barisan kedua.

Ruang kargonya pula dikatakan boleh memuatkan tujuh beg pakaian berukuran 20 inci dan tujuh beg galas.

Sesuai dengan statusnya sebagai MPV premium, D9 menampilkan pelbagai ciri mewah seperti upholsteri kulit Nappa, fungsi penyejuk dan pemanas, fungsi urut, bumbung kaca panoramik, dan peti sejuk kecil berkapasiti 7.5 liter.

Untuk sistem infohibur pula, terdapat panel instrumen digital 10.25 inci, skrin sentuh 15.6 inci, sistem Dynaudio dengan 14 pembesar suara dan tiga pengecas tanpa wayar 50W.

Harga untuk pasaran Malaysia juga belum diumumkan. Di China, D9 BEV dijual pada harga antara 379,800 yuan dan 469,800 yuan (RM233,648 hingga RM289,015).

Proton e.MAS 7 – spesifikasi didedahkan, harga anggaran RM120k

Pro-Net akhirnya mendedahkan perincian dan spesifikasi bagi kenderaan elektrik nasional pertama iaitu Proton e.MAS 7.

Kita sudah tahu bahawa e.MAS 7 dibangunkan menggunakan platform Global Modular Architecture (GMA) dan mempunyai ukuran panjang 4,615 mm, lebar 1,901 mm, tinggi 1,670 mm, dan jarak roda 2,750 mm.

Hasil ujian yang dilakukan baru-baru ini menunjukkan yang e.MAS 7 mampu meredah air dengan kedalaman sehingga 400 mm, lebih tinggi berbanding Geely Galaxy E5.

Kini, Pro-Net telah mengesahkan terdapat dua varian e.MAS 7 yang akan ditawarkan iaitu Prime dan Premium. Kedua-duanya didatangkan dengan motor elektrik yang sama namun dengan kapasiti bateri dan kelengkapan yang sedikit berbeza.

e.MAS 7 dipacu oleh motor elektrik “12 dalam 1” pada gandar depan yang menghasilkan 218 PS (160 kW) dan 320 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.9 saat dan mencapai kelajuan maksimum 175 km/j.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, e.MAS 7 dilengkapi dengan bateri Aegis short blade yang dikatakan mempunyai ketumpatan tenaga lebih tinggi, lebih selamat dan tahan lebih lama.

Varian Prime dilengkapi dengan versi 49.52 kWj yang menawarkan jarak gerak sejauh 345 km, manakala Premium mendapat pek 60.22 kWj dengan jarak mencecah 410 km. Kedua-dua angka ini adalah mengikut piawaian WLTP.

Untuk pengecasan, e.MAS 7 menyokong pengecasan pantas DC sehingga 80 kW untuk Prime dan 100 kW untuk Premium – kedua-duanya memerlukan 20 minit untuk pengecasan dari 30% hingga 80%.

Terdapat juga pengecasan AC 11 kW yang boleh mengecas bateri dari 30% hingga 80% dalam 4.9 jam untuk Prime dan 6.1 jam untuk Premium.

Senarai kelengkapan bagi kedua-dua varian boleh dikatakan hampir sama. e.MAS 7 didatangkan standard dengan lampu LED dengan ciri Follow-me Home dan Active High Beam Control, rel bumbung, tingkap kuasa dengan ciri anti-trap, sensor hujan, cermin sisi elektrik dengan pelarasan elektrik dan pemanas.

Saiz roda berbeza, di mana varian Prime didatangkan dengan rim 18 inci dengan tayar Giti bersaiz 225/55, manakala Premium dilengkapi dengan rim 19 inci dan tayar Goodyear 235/50. Selain itu, bumbung panoramik, tailgate kuasa dan Active Grille Shutter hanya terdapat pada varian Premium.

Di dalam, kluster instruman LCD 10.2 inci, stereng multifungsi, upholsteri leatherette, pelarasan kuasa enam hala untuk kerusi pemandu didatangkan standard pada kedua-dua varian.

Varian Premium mendapat beberapa ciri tambahan berbentuk cermin pandang belakang auto dimming, fungsi memori untuk kerusi pemandu, pelarasan kuasa empat hala untuk kerusi penumpang depan, fungsi ventilasi untuk kerusi depan dan pencahayaan ambien 256 warna.

Fungsi-fungsi kemudahan yang disertakan termasuk Intelligent Keyless Entry and Start, Walk Away Auto Lock, pengecas tanpa wayar, pendingin hawa automatik dengan penapis N95 dan Vehicle-to-Load (V2L).

Untuk sistem infohibur, e.MAS 7 didatangkan standard dengan sistem Flyme Auto bersama skrin sentuh 15.4 inci dengan resolusi 2.5K, namun hanya Premium yang mendapat head-up display (HUD) dan sistem audio Wanos dengan 16 pembesar suara.

Dari segi keselamatan pula, ADAS adalah ciri standard pada e.MAS 7. Ia merangkumi ciri-ciri seperti berikut:

  • Intelligent Cruise Control (ICC)
  • Adaptive Cruise Control (ACC)
  • Automatic Emergency Braking (AEB)
  • Forward Collision Warning (FCW)
  • Dynamic Brake Support (DBS)
  • Lane Departure Warning (LDW)
  • Lane Departure Prevention (LDP)
  • Emergency Lane Keeping Assist (ELKA)
  • Rear Collision Warning (RCB)
  • Rear Cross Traffic Alert (RCTA)
  • Rear Cross Traffic Braking (RCTB)
  • Lane Change Assist (LCA)
  • Blind Spot Detection (BSD)
  • Door Open Warning (DOW)
  • Traffic Sign Identification (TSI)

Turut disertakan pada kedua-dua varian adalah kamera 360 darjah dan radar belakang. Radar depan hanya terdapat pada varian Premium.

Proton e.MAS 7 bakal dilancarkan ke pasaran pada suku keempat tahun ini. Ia kini dibuka untuk tempahan dengan harga anggaran RM120,000. Pelanggan terawal yang membuat tempahan akan menikmati potongan harga sebanyak RM500 dan pakej hadiah bernilai RM1,000.

JAC T9 2025 versi 2.0L diesel dan BEV diperlihatkan, harga dari RM120k, pelancaran Jan 2025

Evolvelectric Motors selaku pengedar rasmi kenderaan JAC Motors di Malaysia hari ini mempertontonkan model trak pikap saiz pertengahan JAC T9 2025 yang bakal dilancarkan pada Januari tahun depan.

Untuk pasaran tempatan, ada dua pilihan rangkaian kuasa yang ditawarkan, iaitu versi 2.0L diesel turbo serta varian elektrik (BEV).

Kedua-dua versi T9 membawakan ukuran dimensi yang sama, panjang 5,330 mm, lebar 1,965 mm, tinggi 1,920 mm dengan jarak antara roda sepanjang 3,110 mm.

Jarak kelegaan tanah adalah setinggi 210 mm, diikuti sudut pendekatan 27 darjah, sudut pelepasan 23 darjah dan keupayaan untuk meredah air sedalam 800 mm.

JAC T9 Grand-ES menggunakan nadi empat silinder sebaris diesel turbo 2.0 liter dengan kuasa 167 hp @ 3,600 rpm dan daya kilas 410 Nm @ 1,500-2,500 rpm.

Enjin diesel itu tadi dipadankan dengan sistem pacuan empat roda (4WD) dan transmisi automatik ZF lapan-kelajuan.

Sementara JAC T9 Grand-BEV pula dibekalkan dengan gandingan dua motor elektrik.

Motor pada gandar hadapan berkuasa 94 hp/176 Nm manakala motor gandar belakang pula menghasilkan 215 hp/342 Nm, dengan kuasa keseluruhan mampu mencecah 516 Nm.

Pek bateri LFP buatan CATL berkapasiti 88 kWh membenarkan jarak gerak sejauh 340 km (data WLTP).

JAC T9 Grand-BEV juga menyokong pengecasan AC 11 kW (pengecasan 15-100 peratus dalam 6 jam 50 minit), serta pengecasan pantas DC 88 kW di mana bateri boleh dicas 30-80 peratus dalam tempoh 35 minit sahaja.

Untuk bahagian luar, JAC T9 datang dengan ciri seperti lampu utama LED, lampu nyalaan siang DRL LED, lampu belakang LED, tempat pemijak sisi, sports bar belakang, serta rel bumbung.

Masuk ke dalam ruang kabin, JAC T9 menyediakan kelengkapan seperti skrin kluster tujuh inci, skrin tengah 10.4 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, tempat duduk hadapan larasan enam tahap, sistem pencahayaan ambien, pengecasan peranti tanpa wayar dan enam pembesar suara.

Untuk penumpang belakang pula disediakan corong pendingin hawa baris kedua, slot USB tambahan serta soket kuasa untuk perkakasan elektronik.

Ciri keselamatan yang dimuatkan termasuklah tujuh beg udara, kamera keliling 360 darjah, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), brek kecemasan autonomi (AEB), amaran keluar lorong (LDW), bantuan kekal lorong (LKS), kawalan jelajah adaptif (ACC) dan sistem pengecaman papan tanda trafik (TSRS).

Tidak menghairankan apabila kedua-dua versi trak pikap JAC T9 ini turut mendapat penarafan lima bintang dalam ujian penilaian kenderaan baharu Australasian NCAP (ANCAP).

Harga jualan anggaran untuk trak pikap JAC T9 2025 bermula bawah RM120,000 untuk versi diesel, sah sehingga 31 Disember ini untuk 300 orang pelanggan pertama, dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan.

Sementara JAC T9 Grand-BEV pula dijual dengan harga anggaran bawah RM200,000 dan hadir dengan jaminan pengeluar selama enam tahun atau had perbatuan 200,000 km, sah untuk 100 orang pelanggan pertama yang menempah sebelum 31 Disember 2024.

JAC T9 Grand-ES

 

JAC T9 Grand-BEV

Mitsubishi Triton 2025, platform & enjin baharu, lima varian, dari RM102k

Mitsubishi Motors Malaysia selesai melancarkan trak pikap generasi baharu Mitsubishi Triton untuk pasaran tempatan.

Ia boleh didapati dalam lima varian utama, terdiri daripada empat varian kabin berkembar dan satu varian kabin tunggal yang dikhaskan untuk kerja-kerja berat.

Menggunakan platform serba baharu yang lebih tegar, Triton 2025 menawarkan ukuran dimensi yang lebih besar, dengan panjang 5,360 mm (+55 mm), lebar 1,930 mm (+115 mm), tinggi 1,815 mm (+35 mm) dan jarak antara roda 3,130 mm (+130 mm).

Secara standard, Triton didatangkan dengan suspensi jenis double wishbone di depan, diikuti spring dedaun di belakang yang dibantu dengan talaan untuk aspek pengendalian dan keselesaan yang lebih baik.

Selain platform baharu, Triton juga hadir dengan enjin diesel baharu MIVEC kod 4N16, dengan kuasa 181 hp @ 3,500 rpm dan daya kilas 430 Nm @ 2,250-2,500 rpm.

Varian tertinggi Athlete mendapat tetapan turbo dua tahap dengan piawaian Euro 5, dengan kuasa setinggi 204 PS @ 3,500 rpm dan daya kilas 470 Nm @ 1,500-2,750 rpm.

Selain itu, varian Athlete turut mendapat sistem stereng elektronik (EPS) dan juga sistem 4WD Super Selec II yang menawarkan sehingga tujuh mod pemanduan (Normal, Eco, Gravel, Sand, Mud, Snow, Rock).

Hanya dua varian terendah (termasuk varian kabin tunggal) dilengkapi dengan kotak gear manual enam kelajuan, manakala selebihnya hadir dengan kotak gear automatik 6-kelajuan.

Triton baharu kini menampilkan bahasa rekaan Dynamic Shield yang dipertingkatkan dengan pendekatan “Beast Mode”.

Ciri luaran termasuklah lampu utama LED, lampu nyalaan siang (DRL) LED, rim 18 inci (16 inci untuk varian rendah), diikuti dengan grafik berbentuk T pada lampu belakang.

Ruang kabin pula menggunakan konsep Horizontal Axis yang lebih moden, menampilkan meter analog, skrin MID LCD tujuh inci, skrin sentuh tengah dengan sokongan Apple CarPlay/Android Auto, enam pembesar suara kawalan iklim dua zon, corong penyejuk udara untuk penumpang baris kedua, tempat duduk balutan leatherette premium, roda stereng balutan kulit, serta tombol gear balutan kulit.

Varian asas mendapat sistem audio yang lebih ringkas dengan 4 pembesar suara, tempat duduk fabrik, diikuti dengan roda stereng dan tombol gear urethane.

Dari segi keselamatan, Mitsubishi Triton mendapat sehingga tujuh beg udara, ABS, EBD, Bantuan Mula Mendaki, Kawalan Kestabilan Aktif, Bantuan Menurun Cerun (HDC), serta kelengkapan keselamatan termaju seperti Sistem Mitigasi Pelanggaran Hadapan, Kawalan Jelajah Adaptif (ACC), Amaran Titik Buta (BSM), Amaran Penukaran Lorong (LCA), Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA) dan Bantuan Suluhan Tinggi (AHB).

Untuk pasaran tempatan, harga jualan Mitsubishi Triton 2025 adalah seperti berikut:
Triton Single Cab (MT) – RM101,980
Triton GL (MT) – RM114,980
Triton GL (AT) – RM116,980
Triton Premium (AT) – RM145,980
Triton Athlete (AT) – RM165,980

Secara standard, Mitsubishi Triton 2025 datang dengan jaminan pengeluar selama lima tahun atau had perbatuan 200,000 km (yang mana tiba dahulu), kecuali Mitsubishi Triton Athlete yang hadir dengan jaminan tanpa had perbatuan selama lima tahun, sah untuk pendaftaran sehingga 31 Disember 2024 sahaja.

Mitsubishi Triton Single Cab 2025

BYD M6 dilancarkan secara rasmi – 2 varian, harga dari RM109,800

Sime Darby Motors telah melancarkan kenderaan elektrik BYD yang keempat untuk pasaran Malaysia iaitu BYD M6.

M6 yang merupakan model jenis MPV ditawarkan dalam konfigurasi tujuh tempat duduk dengan dua pilihan varian iaitu Standard dan Extended.

Kedua-dua varian dilengkapi dengan motor elektrik tunggal yang memacu roda depan.

Varian Standard mempunyai 161 hp (120 kW) dan 310 Nm, membolehkannya memecut dari 0-100 km/j dalam 10.1 saat.

Sementara itu, dengan 201 hp (150 kW) dan jumlah tork yang sama, M6 Extended boleh memecut dari 0-100 km/j dalam 8.6 saat.

Selain kuasa, kapasiti bateri antara dua varian ini juga berbeza.

M6 Standard didatangkan dengan bateri Blade berkapasiti 55.4 kWj yang menawarkan jarak gerak sejauh 420 km berdasarkan kitaran NEDC.

Varian Extended pula dilengkapi dengan bateri lebih besar dengan kapasiti 71.8 kWj, memberikan jarak pandu sejauh 530 km dengan satu cas penuh.


Kadar maksimum pengecasan pantas juga berbeza iaitu 89 kW untuk Standard dan 115 kW untuk Extended, yang memerlukan 40 minit untuk pengecasan 10-80%.

Bagaimanapun, ciri Vehicle-to-Load disertakan secara standard pada kedua-dua varian.

Dari segi kelengkapan, M6 didatangkan dengan lampu LED depan dan belakang, rim aloi 17 inci, skrin sentuh 12.8 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem karaoke dan kunci digital NFC.

Bumbung panoramik, pengecas tanpa wayar 15W dan tailgate elektrik turut disertakan.

Dari segi keselamatan, M6 didatangkan standard dengan enam beg udara, Tyre Pressure Monitoring System, Isofix, ABS, Electric Parking Brake, Electronic Stability Control, Traction Control dan 360 View Monitor.

Varian Extended mendapat ciri ADAS iaitu Autonomous Emergency Braking, Intelligent Cruise Control, Front and Rear Collision Warning, Blind Spot Detection dan Lane Departure Assist.

Harga jualan bermula dari RM109,800 untuk M6 Standard dan RM123,800 untuk M6 Extended.

Ia didatangkan dengan waranti enam tahun/150,000 km untuk kenderaan, lapan tahun/160,000 km untuk bateri dan lapan tahun/150,000 km untuk unit pacuan.

5 EV terbaik berharga antara RM150,000 hingga RM200,000

Kalau anda ingat pada Ogos lalu, kami telah menyenaraikan lima kenderaan elektrik terbaik yang anda boleh beli pada harga antara RM100,000 hingga RM150,000.

Jika anda perasan, kelima-lima EV yang disenaraikan adalah daripada jenama China. Tetapi itu bukanlah benda yang tidak bagus kerana kebanyakan EV dari negara itu menawarkan prestasi, teknologi dan senarai kelengkapan yang baik pada harga mampu milik.

Untuk senarai lima EV terbaik yang berharga antara RM150,000 hingga RM200,000, masih terdapat ‘calon-calon’ daripada jenama China tetapi kali ini ada berita baik untuk mereka yang ingin mencuba EV daripada jenama Eropah kerana terdapat tiga model yang mungkin dapat memenuhi citarasa mereka:

Volvo EX30 Plus (RM188,888)

Baru sahaja dilancarkan di pasaran Malaysia, Volvo EX30 mungkin bukan 100% Eropah kerana ia menggunakan platform buatan Geely yang turut digunakan oleh smart #1 dan Zeekr X, serta dipasang di China, tetapi tidak dapat dinafikan lagi yang ia adalah kereta Volvo yang sebenar.

Lampu LED tukul Thor menunjukkan yang ia adalah sebuah Volvo, begitu juga dengan ruang dalaman yang minimalis yang menampilkan pelbagai jenis bahan lestari. Jika anda mementingkan prestasi, jangan risau kerana varian Plus boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.3 saat sahaja. Ingin lebih pantas? Anda boleh mendapatkan varian Ultra Twin Performance tetapi ia berharga lebih RM200,000.

BYD Seal (RM163,800-RM199,800)

Bagi penulis, mana-mana senarai EV tidak akan lengkap tanpa BYD. Untuk julat harga RM150,000 hingga RM200,000, anda boleh mendapatkan sedan flagship Seal yang ditawarkan dalam tiga varian iaitu Dynamic, Premium dan Performance.

Ketiga-tiga ini berbeza dari segi prestasi (Performance paling laju dengan pecutan 0-100 km/j dalam 3.8 saat) dan jarak (Premium boleh pergi paling jauh iaitu 570 km) namun apa yang menariknya, tidak kira varian apa yang dipilih, anda mendapat senarai kelengkapan dan ciri yang hampir sama.

XPeng G6 (RM165,000-RM185,000)

XPeng merupakan jenama EV baharu dari China yang dibawa masuk oleh Bermaz, jadi anda tidak perlu risau tentang aftersales kerana Bermaz sememangnya berpengalaman dalam hal itu.

G6 adalah model pertama XPeng yang ditawarkan di Malaysia, menawarkan reka bentuk SUV coupe yang premium serta pelbagai teknologi canggih seperti Smart Electric Platform Architecture 2.0 dengan senibina 800V, sistem bunyi keliling XOpera dan fungsi keselamatan XPILOT 2.5 pada harga bawah RM200,000.

smart #3 Pro (RM175,000)

Seperti Volvo EX30, smart #3 boleh dikatakan sebagai anak campuran Eurasia kerana ia menggabungkan teknologi daripada syarikat Asia (Geely) dan reka bentuk Eropah (dalam kes #3, Jerman kerana ia direka oleh Mercedes-Benz).

Pro adalah varian pemula dalam barisan #3, dan pada harga RM175,000, ia menawarkan nilai untuk wang yang baik untuk mereka yang meminati jenama smart. Ia mempunyai 272 PS dan 343 Nm, boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.8 saat dan boleh dipandu sejauh 325 km dengan satu cas penuh, 10 km lebih jauh berbanding #1 Pro.

MINI Electric Cooper SE (RM193,888)

Penulis yakin ramai dalam kalangan pembaca Engear TV adalah peminat MINI. Untuk generasi kedua, MINI Cooper elektrik dilihat lebih berbaloi untuk dimiliki kerana ia bukan sahaja tampil dengan penggayaan lebih moden, malah lebih berkuasa dan jarak geraknya juga bertambah sekali ganda berbanding sebelum ini.

Dilancarkan di Malaysia pada Julai lalu, Cooper SE baharu dikuasakan oleh motor elektrik tunggal pada gandar depan yang menghasilkan 218 PS dan 330 Nm (34 PS dan 60 Nm lebih tinggi), membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.7 saat. Bateri dengan kapasiti lebih besar iaitu 54.2 kWj pula memberikannya jarak gerak sejauh 402 km dengan satu cas penuh.

 

MPV elektrik BYD M6 sah masuk pasaran Malaysia

Nampaknya barisan kenderaan elektrik BYD di Malaysia bakal diperluaskan lagi menerusi model baharu yang dikenali sebagai M6.

Dalam satu sesi soal jawab bersama media di Changsha, China baru-baru ini, Pengurus Besar Bahagian Jualan Auto BYD Asia Pasifik, Liu Xueliang mengesahkan bahawa MPV elektrik itu akan memasuki pasaran Malaysia tahun ini.

Walau bagaimanapun, tarikh sebenar pelancarannya masih belum diketahui, begitu juga dengan spesifikasi dan varian yang akan ditawarkan.

Namun penulis menjangkakan yang spesifikasi untuk pasaran Malaysia tidak jauh berbeza dengan apa yang pasaran Indonesia dan Thailand dapat.

Di Indonesia, M6 ditawarkan dengan konfigurasi enam atau tujuh tempat duduk, manakala di Thailand, ia hanya boleh didapati dalam versi enam tempat duduk.

Dari segi trenkuasa pula, kedua-dua pasaran itu menawarkan dua varian dengan kuasa yang berbeza. Varian asas yang dipacu oleh motor elektrik gandar depan mempunyai 163 PS/310 Nm, manakala varian lebih berkuasa (dikenali sebagai Superior di Indonesia dan Extended di Thailand) mempunyai 204 PS/310 Nm.

Seperti EV BYD yang lain, kuasa elektrik dibekalkan oleh pek bateri LFP dengan kapasiti 55.4 kWj untuk varian asas, dan 71.8 kWj untuk Superior/Extended. Ini memberikan jarak gerak NEDC sejauh 420 km untuk varian asas dan 530 km untuk varian Superior/Extended.

Varian asas M6 menyokong pengecasan pantas DC 85 kW, manakala varian Superior/Extended pula boleh menampung sehingga 115 kW, sekali gus membolehkan tenaga bateri dipulihkan dari 10% hingga 80% dalam masa 40 minit. Sementara itu, pengecasan AC pula terhad kepada 7 kW sahaja untuk kedua-dua varian.

Untuk pengetahuan anda, M6 boleh dikatakan sebagai pengganti e6 yang sepatutnya dilancarkan ke Malaysia selepas Atto 3. Jika dibandingkan dengan e6, rekaan bahagian hadapan M6 lebih selaras dengan model-model semasa BYD, dengan kemasan berwarna perak bertindak sebagai penghubung kepada lampu projektor LED.

Pada bahagian sisi, trim krom digunakan secara meluas pada bingkai tingkap dan skirt sisi, manakala di belakang, terdapat lampu yang melintang sepenuhnya yang ditemani jalur krom. Tidak seperti Atto 3, M6 menggunakan lencana ‘BYD’ yang lebih ringkas.

Ruang dalamannya lebih konvensional jika dibandingkan dengan Atto 3 atau Dolphin, namun M6 menawarkan senarai kelengkapan yang cukup meluas dengan ciri-ciri seperti skrin berputar 12.8 inci, pengecas tanpa wayar berkembar, kemasukan tanpa kunci, bumbung kaca panoramik, pendingin hawa automatik dan pelbagai lagi.

Dari segi keselamatan, terdapat enam beg udara serta ciri ADAS yang merangkumi Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control, Lane Centring Assist, Emergency Lane Keeping Assist dan Blind Spot Monitoring.

Bagaimana pula dengan harga? Di Indonesia, M6 dijual pada harga 379 juta rupiah hingga 429 juta rupiah (RM102,968-RM116,481), manakala di Thailand pula, harganya bermula dari 829,900 baht hingga 929,900 baht (RM106,014-RM118,788).

Mitsubishi Xpander 2024 facelift, 5 perkara yang perlu anda tahu – Pandu Uji Ringkas

Biarpun Mitsubishi Xpander mendarat agak lewat di pasaran Malaysia, keadaan tersebut tidak menghalangnya daripada terus menjadi model MPV bukan nasional paling laris, dengan lebih 40,000 unit telah terjual.

Kami berpendapat pengaruh Xpander akan menjadi lebih kukuh di sini menerusi kehadiran model Xpander 2024 facelift yang telah dilancarkan pada bulan lepas.

Terutama untuk golongan bapa yang sedang mencari kenderaan yang sesuai untuk kegunaan keluarga.

Minggu lalu Mitsubishi Motors Malaysia telah menjemput para pengamal media untuk merasai sendiri pengalaman pemanduan Xpander facelift menuju ke Melaka Darul Traffic Light.

Berdasarkan pemanduan, apa yang kami boleh simpulkan ialah Xpander facelift masih lagi boleh menjadi sebuah kenderaan yang ideal untuk kegunaan keluarga masa kini.

Berikut merupakan catatan ringkas selepas kami memandu Xpander facelift:

 

1. Rupa luaran lebih moden


Secara keseluruhan, reka bentuk Xpander tidak banyak berubah, melainkan muka hadapan yang kini menggunakan elemen Dynamic Shield yang lebih moden dan lebih kemas.

Unit lampu LED berbentuk T itu dikemaskan dengan gugusan lampu LED yang menggandingkan fungsi lampu nyalaan siang (DRL) dan lampu membelok.

Rekaan jeriji juga nampak lebih kemas pada model facelift.

Untuk bahagian belakang, reka bentuk lampu kini menampilkan grafik berbentuk huruf T yang turut menyumbang kepada perubahan bentuk cermin belakang.

Mereka yang memilih varian Xpander Plus akan mendapat tambahan ciri seperti visor tingkap serta spoiler belakang hitam yang tidak terlalu agresif, namun masih lagi mampu memberikan imej yang sporti.

Akhir sekali, keempat-empat sudut gerbang roda dipasangkan dengan rim bersaiz 17 inci diikuti dengan balutan getah Bridgestone Ecopia.

 

2. Ruang kabin lebih kemas

Perubahan besar dibawakan pada ruang kabin, di mana susun atur papan pemuka kini lebih kemas.

Secara standard, Xpander facelift masih lagi menawarkan skrin infohibur sebesar 9 inci, skrin kluster TFT 4.2 inci dengan paparan meter analog, kawalan iklim dengan paparan digital, dan roda stereng yang diinspirasikan daripada sedan Evo X.

Walaupun datang dengan fungsi asas, tempat duduk balutan leatherette itu tetap selesa untuk digunakan, terutama untuk perjalanan jauh.

Perkara yang paling digemari penulis ialah ruang yang tersedia apabila Xpander facelift baharu ini menggunakan butang brek elektronik bagi menggantikan brek tangan fizikal.

Nampak lebih teratur, dan dalam masa yang sama tidak menjadikan pemanduan Xpander ini kurang praktikal.

Harus anda tahu Xpander facelift juga kini didatangkan dengan beberapa fungsi canggih seperti slot pengecasan peranti pintar Qi tanpa wayar, kamera perakam pemanduan depan dan belakang dan paling penting kamera 360 darjah.

Penggunaan bahan sentuh lembut pada bahagian tertentu juga menjadikan pengalaman pemanduan yang rasa lebih premium.

 

3. Praktikaliti untuk seisi keluarga

Jika dibandingkan dengan model pesaing, Xpander facelift mempunyai kelebihan yang tersendiri, iaitu ruang kabin yang lebih luas disebabkan oleh dimensi yang lebih besar.

Tiada masalah untuk memuatkan penumpang pada tempat duduk baris ketiga kerana ia memang cukup selesa untuk digunakan.

Sekiranya tiada penumpang tambahan, tempat duduk tersebut boleh dilipat untuk menyediakan ruang sebesar 837 liter, selain terdapat tiga ruang tambahan yang boleh disorok pada bahagian kargo.

Tidak cukup dengan itu, terdapat banyak ruang barangan kecil yang disediakan di sekitar kabin, terutama di bahagian panel pintu, dulang kecil pada papan pemuka, laci di bawah tempat duduk penumpang hadapan, dan poket-poket kecil di belakang tempat duduk hadapan.

 

4. Pemanduan Xpander, berubah?


Apa yang tidak berubah pada Xpander facelift ialah unit enjin empat silinder sebaris 1.5 liter berkuasa 105 PS dan 141 Nm yang dipadankan dengan transmisi automatik 4-kelajuan.

Ya, kedengaran agak ketinggalan zaman di situ, memandangkan rata-rata pesaing sudah pun dilengkapi dengan transmisi CVT atau DCT.

Ia bukanlah kotak gear yang paling moden, tapi ia terus dikekalkan supaya pemilik tidak perlu risau akan ketahanan dan kelasakan komponen ini.

Disebabkan itu, boleh dikatakan pemanduan Xpander tidak banyak berubah dari segi hamburan kuasa dan pecutan yang ditawarkan.


Ia masih mampu membuat penukaran gear yang lancar, dan dalam masa yang sama isu ‘gear hunting’ tidak menghantui pemandu semasa downshift atau pemanduan mendaki bukit.

Perkara tersebut dapat kami rasai semasa melalui jalan-jalan berliku di sekitar Hulu Langat, namun untuk pemanduan yang biasa di atas lebuh raya, gandingan enjin dan kotak gear tersebut sudah lebih daripada memadai.

Dalam masa yang sama, kami dapat merasakan aspek kebisingan, gegaran dan kekasaran (NVH) dalam kabin Xpander facelift naik satu tahap yang lebih baik berbanding model terdahulu.

Bunyi enjin ditapis dengan berkesan, manakala bunyi bising angin hanya kedengaran masuk setelah meter kelajuan melepasi paras 160 km/j.

 

5. Pengendalian Xpander, tak padan tinggi!

Satu lagi perkara yang membuatkan penulis kini faham kenapa Xpander menjadi pilihan utama ialah keselesaan yang ditawarkan.

Jika Xpander terdahulu membuktikan keselesaan yang tersendiri untuk perjalanan jauh, Xpander facelift ini naik satu lagi anak tangga lebih baik.

Menurut Mitsubishi, suspensi belakang MPV ini telah ditala semula dengan penyerap hentak yang lebih besar bertujuan untuk memastikan pemanduan yang lebih selesa.

Tidak menghairankan apabila kami sukar untuk merasai sebarang kekasaran yang ketara tatkala tayar bertemu dengan permukaan jalan yang tidak rata.

Nak kata pengendalian macam Evo X, bohong sama sekali. Tapi Xpander facelift nyata boleh dikendalikan dengan baik di atas jalan lurus mahupun di jalan-jalan yang berliku tanpa mengganggu keselesaan penumpang di belakang.

Cuma, disebabkan jarak kelegaan tanah yang lebih tinggi (225 mm), aspek kestabilan dirasakan sedikit kurang terutama ketika menempuh kawasan angin lintang di lebuh raya.

Mungkin juga disebabkan oleh faktor penggunaan tayar Bridgestone Ecopia yang dirasakan tidak cukup mencengkam berbanding tayar Toyo Proxes CR1 yang digunakan pada model terdahulu, walaupun nyata ia lebih senyap.

Satu perkara yang pasti, anda sebagai pemandu Xpander facelift tidak perlu risau untuk meredah laluan yang tidak rata di kawasan kampung dan luar bandar, disebabkan pakej jarak kelegaan tanah yang tinggi berbanding pesaing lain.


Berdasarkan pandu uji ringkas yang dibuat tempoh hari, Mitsubishi Xpander 2024 facelift ini dilihat mampu untuk menjadi pilihan utama keluarga di Malaysia, terutama bagi mereka yang mementingkan aspek keselesaan dan praktikaliti.

Spesifikasi Mitsubishi Xpander 2024 (facelift)
Enjin: empat silinder sebaris 1.5 liter MIVEC
Kuasa: 105 PS @ 6,000 rpm
Daya kilas: 141 Nm @ 4,000 rpm
Transmisi: Automatik 4-kelajuan
Pacuan: Roda depan
Harga: dari RM99,980

Mitsubishi Xpander 2024 facelift, dua varian, harga dari RM99,980

Lima sebab kenapa Toyota Yaris masih lagi relevan untuk anak muda

Untuk golongan muda atau mereka yang baru memulakan hidup berkeluarga yang sedang mencari kereta baharu, apakah ciri yang anda mahukan untuk sebuah kereta kegunaan harian?

Saiz kompak? Praktikal? Jimat bahan api? Ciri keselamatan menyeluruh?

Jawapan kepada soalan tersebut anda boleh dapatkan pada Toyota Yaris di mana ia merupakan contoh kereta yang sangat relevan untuk kegunaan golongan muda di Malaysia.

Biarpun wujud lambakan pelbagai jenis model kereta yang menarik dalam pasaran, tidak ramai anak muda yang tahu Yaris masih lagi ada kelebihan yang tersendiri.

1. Hatchback dengan pemanduan sporti

Dengan enjin empat silinder sebaris 1.5 liter berkuasa 107 hp dan 140 Nm yang dipadankan dengan kotak gear CVT, Toyota Yaris menawarkan pemanduan yang senyap dan lancar, serta menjimatkan bahan api.

Ditambah pula dengan ciri brek cakera depan dan belakang, paddle shifter serta mod Sport tersedia, orang muda harus tahu Yaris juga mampu menjadi sebuah hatchback yang sporti pemanduannya.

 

2. Yaris sesuai jadi kereta pertama

Walaupun memiliki saiz kompak, Toyota Yaris masih lagi mampu menyediakan susun atur ruang kabin yang praktikal, serta ruang kaki yang cukup selesa untuk penumpang belakang.

Aspek NVH turut ditambah baik dengan penggunaan kaca akustik untuk mengurangkan bunyi bising. Alunan bunyi muzik juga akan diperlahankan lantunannya semasa anda menggunakan gear undur.

Ruang kargo sebesar 286 liter itu sudah cukup memadai untuk memuatkan barangan peribadi. Pendek kata, Yaris memang ideal untuk jadi kereta pertama anak muda.

 

3. Kelengkapan keselamatan yang menyeluruh

Untuk sebuah kereta bawah julat harga RM100 ribu, Toyota Yaris didatangkan dengan kelengkapan keselamatan yang terbaik, sesuai untuk anak muda yang mahu melindungi keluarga mereka.

Seperti contoh, bantuan mula mendaki (HAC), sistem kamera keliling 360 darjah (PVM), amaran lintasan trafik belakang (RCTA) dan sistem pemantauan titik buta (BSM) di mana skrin akan memaparkan imej apabila lampu isyarat membelok dinyalakan.

Toyota Yaris juga ada Toyota Safety Sense yang merangkumi Sistem Pra-Pelanggaran (PCS) dan Amaran Keluar Lorong (LDA), memadai untuk menjadikan pemanduan anda yang lebih selamat daripada sebarang kemungkinan.

Dengan tujuh beg udara dan enam unit penderia parkir (2 depan, 4 belakang), Toyota Yaris ternyata tidak kedekut dari segi keselamatan jika dibandingkan dengan model kenderaan yang lebih mahal harganya.

 

4. Ciri yang amat dihargai kaum wanita

Pakej sporti tidak membawa makna jika sesebuah kereta itu tidak hadir dengan fungsi yang menyenangkan urusan pemanduan.

Selain daripada penawaran fungsi Apple CarPlay dan Android Auto, terdapat juga cermin pandang belakang dengan fungsi auto kelam, cermin sisi boleh lipat automatik, dan tayar simpanan saiz penuh.

Tidak ketinggalan, Toyota Yaris juga kini didatangkan dengan kamera papan pemuka perakam pemanduan untuk depan dan juga belakang!

Untuk kaum wanita yang gemar memandu seorang diri atau mereka yang kerap pulang pada waktu malam, anda akan lebih menghargai fungsi fungsi pencahayaan follow me home yang wujud pada Toyota Yaris.

5. Sokongan penuh selepas jualan Toyota yang terunggul

Kereta dengan spesifikasi yang panjang lebar bukanlah penentu tahap kesetiaan pengguna.

Apa yang membuatkan orang muda lebih yakin dengan Toyota Yaris adalah kehadiran jaringan sokongan penuh selepas jualan Toyota yang lebih menyeluruh dan bernilai tinggi, merangkumi aspek pembelian, pemilikan serta servis dan penyelenggaraan.

Toyota Yaris boleh didapati pada harga bermula dari RM88,000, di mana dengan promosi bernilai sehingga RM9,500 anda boleh menikmati bayaran ansuran serendah RM658/bulan.

Dapatkan maklumat lanjut dengan berkunjung ke pusat pameran Toyota berhampiran, atau klik sahaja pautan INI.

 

Kenapa skor ASEAN NCAP penting untuk pilih kereta keluarga yang selamat?

Di sekolah, markah ujian dalam sesebuah peperiksaan merupakan penentu prestasi yang dicapai oleh seseorang pelajar.

Samalah juga halnya dengan skor yang diperoleh menerusi Program Penilaian Kenderaan Baharu (NCAP).

Dalam ASEAN NCAP, sesebuah kereta moden dinilai menerusi empat skop utama, iaitu Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP), Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP), Bantuan Keselamatan (SA) dan Keselamatan Penunggang Motosikal (MS).

Ini bermakna, selain daripada aspek keselamatan melibatkan casis kenderaan, pihak ASEAN NCAP juga turut menilai tahap keberkesanan sistem bantuan keselamatan termaju yang turut dimuatkan.

Markah yang lebih tinggi menunjukkan tahap keselamatan yang lebih menyeluruh ditawarkan oleh sesebuah pengeluar.

Skor yang dikeluarkan oleh ASEAN NCAP boleh dijadikan sebagai petunjuk oleh golongan pengguna untuk menentukan model kenderaan yang lebih bernilai untuk setiap wang ringgit yang dibelanjakan.

Apatah lagi pada masa kini, golongan pembeli sudah mula menunjukkan tahap kesedaran yang cukup tinggi untuk mempertimbangkan pembelian kereta yang lebih selamat.

Tahukah anda, salah satu kereta bertaraf lima bintang ASEAN NCAP yang sangat berbaloi untuk dimiliki ialah Chery Omoda 5?

Sejak diperkenalkan pada Julai 2023, Omoda 5 merupakan model Chery yang paling laris terjual di pasaran Malaysia.

Dengan pakej spesifikasi lengkap berserta harga yang lebih mampu milik (dari RM108,800), Chery Omoda 5 turut menawarkan senarai ciri keselamatan yang lebih menyeluruh secara standard untuk semua varian.

Ciri keselamatan pasif dimuatkan seperti ABS, EBD, Bantuan Brek, Program Kestabilan Elektronik (ESP), Kawalan Cengkaman (TC), Bantuan Mula Mendaki (HAC), Bantuan Menurun Cerun (HDC) serta tidak ketinggalan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS).

Lebih menarik, kedua-dua varian juga dilengkapi dengan sistem ADAS Tahap 2, merangkumi fungsi berikut:
• Amaran Keluar Lorong (LDW)
• Pemantauan Titik Buta (BSD)
• Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
• Kawalan Jelajah Adaptif (ACC) dengan fungsi Low Speed Follow (LSF)
• Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW)
• Pengelakan Keluar Lorong (LDP)
• Bantuan Kesesakan Trafik (TJA)

Dengan ciri keselamatan termaju yang disebutkan itu tadi, tidak menghairankan apabila SUV pilihan ramai ini berjaya meraih penarafan lima bintang ASEAN NCAP seperti yang diumumkan baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, Chery Omoda 5 juga meraih skor yang tertinggi di dalam segmennya, dengan markah terkumpul 88.64 mata merangkumi empat skop penilaian iaitu:
• Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP) – 36.77/40.00
• Perlindungan Kanak-Kanak (COP) – 17.36/20.00
• Bantuan Keselamatan (SA) – 19.51/20.00
• Keselamatan Penunggang Motosikal (MS) – 15.00/20.00

Chery Omoda 5 menunjukkan prestasi cemerlang dalam ujian impak pelanggaran hadapan dan sisi bagi memastikan tahap keselamatan penumpang dewasa dan kanak-kanak.

Ciri keselamatan termaju yang wujud pada SUV ini juga terbukti dapat menjamin keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

Selain daripada ASEAN NCAP, Chery Omoda 5 juga turut diterima baik dengan penarafan lima bintang daripada Euro NCAP dan Australia NCAP.

Ini membuktikan komitmen Chery dalam menghasilkan sebuah kenderaan yang lebih selamat, boleh dipercayai dan dalam masa yang sama lebih mampu milik untuk kegunaan harian.

Mulakan langkah pertama untuk melindungi keselamatan diri dan keluarga anda dengan melayari laman web Chery Omoda 5 di https://www.chery.my/model/omoda-5/

 

Leapmotor C10 dipertonton di Malaysia, dijangka dilancarkan pada Oktober ini

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Stellantis Malaysia, syarikat yang mengendalikan jenama Peugeot, DS dan Citroen, akan membawa masuk jenama EV dari China iaitu Leapmotor ke pasaran tempatan.

Model Leapmotor pertama yang akan dibawa masuk adalah C10, yang telah dipertontonkan kepada pihak media hari ini.

C10 merupakan SUV elektrik bateri lima tempat duduk yang mempunyai ukuran panjang 4,739 mm, lebar 1,900 mm, tinggi 1,680 mm dan tapak roda 2,825 mm.

Seperti yang boleh dilihat, ia menampilkan rekaan minimalis yang digabungkan dengan elemen-elemen moden dan premium seperti jalur lampu LED melintang pada bahagian depan dan belakang, rim 20 inci serta pemegang pintu jenis flush.

Konsep minimalis diteruskan pada bahagian dalam, di mana anda akan menemui roda stereng dua jejari, panel instrumen digital 10.25 inci dan skrin sentuh sistem infotainment 14.6 inci yang dikuasakan oleh cip Qualcomm Snapdragon.

Bagaimanapun, kami difahamkan yang C10 tidak akan didatangkan dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

Selain itu, unit yang dipertontonkan ini juga menampilkan upholsteri kulit silikon Oeko-Tex, pengecas tanpa wayar, pendingin hawa dua zon, sistem pencahayaan ambien, fungsi pemanas/penyejuk tempat duduk dan bumbung suria panoramik.

Untuk keselamatan, C10 dilengkapi dengan ADAS Tahap 2 dengan 16 ciri serta kamera 360 darjah.

Spesifikasi trenkuasa untuk pasaran tempatan masih belum didedahkan tetapi untuk pasaran global, C10 mempunyai motor elektrik tunggal pada gandar belakang yang menjana 218 PS.

Ia dilengkapi dengan bateri jenis Lithium Iron Phosphate (LFP) berkapasiti 69.9 kWj yang mampu memberikan jarak pandu sejauh 420 km berdasarkan kitaran WLTP.

Perincian mengenai pengecasan tidak diketahui namun laman web global Leapmotor menyatakan bahawa bateri itu boleh dicas dari 30% hingga 80% dalam masa 30 minit.

Pelancaran rasmi Leapmotor C10 dijangka berlaku pada bulan Oktober ini. Harga masih menjadi tanda tanya tetapi ia sepatutnya tidak jauh berbeza dengan pesaing-pesaing terdekatnya seperti BYD Atto 3 dan Chery Omoda E5.

Haval H6 HEV, SUV hibrid paling berbaloi? – Pandu Uji Ringkas

Beberapa hari lepas, pihak GWM Malaysia telah menjemput kami untuk merasai sendiri pengalaman memandu sebuah SUV hibrid yang bakal dilancarkan kelak, iaitu Haval H6 HEV.

Dengan harga anggaran sekitar RM145,000, ia mungkin sekali satu pembelian yang sangat berbaloi untuk mereka yang mahu mencari SUV yang jimat minyak, besar, dan juga selesa untuk seisi keluarga.

Kita bercerita serba sedikit berkenaan spesifikasi SUV Haval H6 HEV ini.

Dimulakan dengan unit rangkaian kuasa, Haval H6 HEV dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 1.5 liter turbo, dipadankan dengan motor elektrik tunggal dan kotak gear DHT (Dedicated Hybrid Transmission) dua nisbah kelajuan.

Enjin tersebut berupaya menghasilkan 150 PS/230 Nm, sementara motor elektrik pula mampu menjana kuasa tambahan 130 PS/300 Nm.

Secara keseluruhan, Haval H6 HEV ini berkuasa 243 PS dan daya kilas 530 Nm, antara yang paling bertenaga dalam kelasnya.

Berdasarkan pemanduan ringkas selama dua hari merentasi sempadan yang tidak memerlukan buku merah, penulis dapati kuasa yang dihamburkan oleh SUV ini tidak putus-putus terutama saat kita memerlukan kuasa ektra untuk memotong lori balak di hadapan.

Atas kertas, angka 530 Nm itu mungkin agak tinggi, namun sepanjang pemanduan kami tidak merasakan sentakan kuasa yang mampu menyebabkan kesakitan leher.

Ini kerana kuasa yang dihasilkan saat pedal pendikit ditekan itu masuk dengan cara yang lebih lembut dan lancar, tidak agresif seperti kebanyakan kereta elektrik.

Sistem hibrid ini juga sangat cekap, di mana boleh dikatakan penulis dan rakan-rakan langsung tidak merasai bila masa operasi enjin dimulakan.

Tiada gegaran enjin ketara yang dapat dirasakan, malah bunyi bising enjin juga ditapis dengan baik daripada memasuki ruang kabin.

Dengan kadar penggunaan bahan api sekitar 5.8 liter/100 km, GWM mendakwa Haval H6 HEV ini mampu mencapai jarak sejauh 1,000 km untuk setangki penuh.

Perkara ini mungkin kami boleh uji dengan lebih mendalam sekiranya ada peluang untuk memandu SUV ini kelak.

Aspek NVH juga berada di tahap memuaskan, di mana sepanjang masa kami dapat berborak dengan rancak di dalam kabin tanpa perlu meninggikan suara atau menggunakan mikrofon.

Bunyi bising angin yang cuba menerjah masuk kabin tidak berjaya mengganggu tumpuan, cuma bunyi bising tayar sahaja.

Itupun sebab kualiti tar yang digunakan adalah tidak memuaskan di sesetengah tempat.

Dengan sistem gantungan terdiri daripada topang MacPherson di depan dan tetapan multilink di belakang, SUV ini tidak membawakan sebarang masalah besar dari segi pengendalian dan keselesaan.

Untuk jaringan jalan raya di Malaysia, ia menawarkan talaan suspensi yang seimbang untuk pemanduan yang sedikit agresif dan dalam masa yang sama mengekalkan aspek keselesaan untuk seisi keluarga.

Malah, olengan badan yang dihasilkan sewaktu meratah selekoh-selekoh juga berada pada tahap yang boleh diterima, tidak membuatkan badan SUV ini berbuai-buai.

Dari segi dimensi, Haval H6 HEV membawakan saiz yang jauh lebih besar berbanding SUV popular segmen C, iaitu Honda CR-V dan Proton X70.

Jarak antara roda yang panjang juga menyumbang kepada ruang kabin yang lebih luas untuk memuatkan lima orang pada satu-satu masa.

Tidak cukup dengan itu, Haval H6 HEV menyediakan ruang kargo sebesar 560 liter, atau sehingga 1,485 liter apabila tempat duduk baris kedua nisbah 60:40 itu dilipat.

Susun atur papan pemuka juga agak kemas, namun kombinasi tiga warna (hitam, putih dan rose gold) itu mungkin kurang digemari oleh sesetengah pihak.

Terdapat skrin kluster sebesar 10.25 inci (dengan pilihan tema yang agak terhad), diikuti skrin infohibur sebesar 12.3 inci yang turut menyokong Apple CarPlay dan Android Auto.

Dengan pakej spesifikasi serta harga jualan bermula bawah RM145,000, Haval H6 HEV mungkin sekali mampu menjadi satu pembelian yang cukup berbaloi, terutama bagi mereka yang tidak memiliki bajet untuk membeli SUV hibrid harga cecah RM200,000.

Lebih banyak perincian dan pandangan bakal kami kongsikan sekiranya ada peluang untuk memandu uji Haval H6 HEV ini dengan lebih mendalam pada masa akan datang.

Spesifikasi Haval H6 HEV:

Enjin: empat silinder sebaris, 1.5 liter turbo
Kuasa: 150 PS/230 Nm
Motor elektrik: 130 PS/300 Nm
Kuasa keseluruhan: 243 PS/530 Nm
Kotak gear: Dedicated Hybrid Transmission (DHT) dua-kelajuan
Pecutan 0-100 km/j: 7.7 saat
Kelajuan maksimum: 175 km/j

Proton X70 2025 jelas lebih baik berbanding sebelum ini – Pandu Uji Ringkas

Ia bukanlah model bread and butter seperti Saga tetapi X70 akan selamanya dikenang sebagai model yang memainkan peranan terbesar dalam transformasi Proton.

Seperti yang anda tahu, X70 merupakan model pertama yang ‘dilahirkan’ menerusi kerjasama antara Proton dan Geely yang terjalin pada 2017.

Selain itu, ia juga bertanggungjawab membawa Proton meneroka segmen pasaran SUV yang sangat mencabar. Jadi penulis boleh katakan yang X70 sememangnya mempunyai tempat dalam lipatan sejarah pengeluar kenderaan nasional itu.

Dalam sedar tak sedar, sudah enam tahun X70 berada dalam pasaran Malaysia dan dalam tempoh itu, SUV segmen C itu pernah dikemas kini sekali iaitu pada 2022, di mana ia mendapat enjin tiga silinder X50 dan beberapa ciri baharu lain.

Kini, setelah hampir dua tahun berlalu, X70 sekali lagi diberikan penambahbaikan namun kali ini, perubahan yang ditampilkan lebih bersifat menyeluruh kerana turut melibatkan aspek estetik luaran dan dalaman.

Secara ringkasnya, X70 versi facelift ini tampil dengan ‘wajah’ yang diambil daripada Geely Boyue facelift yang dikeluarkan dua tahun lalu. Rupanya sudah dua tahun berlalu tetapi bagi penulis, ia masih nampak segar di mata.

Dengan lampu LED yang lebih tajam dan langsing, ditemani dengan gril lebih lebar yang dihiasi krom pin ala Mercedes-Benz, X70 kini kelihatan jauh lebih tampan berbanding sebelum ini.

Pendek kata, anda tidak akan mempunyai sebarang masalah mengenal pasti model facelift ini di jalan raya. Namun ia mungkin sedikit sukar jika anda melihatnya dari belakang kerana selain bamparnya yang diubah sedikit, bahagian belakang X70 baharu tidak banyak berubah.

Ruang dalaman turut diberikan penampilan lebih segar. Perkara pertama yang anda akan perasan adalah upholsteri kulit Nappa berwarna kelabu Stone Grey pada tempat duduk, panel pintu dan perehat tangan.

Ia tidak semewah warna coklat sebelum ini namun sekurang-kurangnya penggunaan warna lebih cerah membuatkan ruang kabin terasa seolah-olah lebih luas.

Selain itu, terdapat juga pencahayaan ambien dengan 72 pilihan warna yang boleh berubah mengikut rentak muzik yang dimainkan. Cuma sayangnya, X70 kini tidak lagi menggunakan sistem audio Kenwood sembilan pembesar suara.

Perubahan paling besar bagi penulis adalah ketibaan sistem Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, menjadikan X70 kereta Proton pertama yang mempunyai sistem berkenaan.

Walau bagaimanapun, ciri ini masih belum tersedia atas sebab-sebab tertentu. Proton berkata ia akan dimasukkan ke dalam skrin sentuh 12.3 inci menerusi kemas kini atas udara (OTA) kelak.

Sebenarnya banyak penambahbaikan lain yang diterapkan ke dalam model facelift ini. Menurut Proton, SUV ini mempunyai 360 bahagian baharu, manakala proses R&D pula mengambil masa 290,000 jam.

Penulis rasanya inilah sebabnya kenapa syarikat itu mengadakan sesi pandu uji media di Kota Kinabalu. Kepelbagaian bentuk muka bumi dan keadaan jalan raya yang kononnya tidak sebaik di Semenanjung menjadikan KK ‘lapangan’ terbaik untuk menguji prestasi keseluruhan X70.

Pertama sekali, penulis boleh mengatakan dengan yakin yang X70 adalah sebuah SUV yang selesa. Sistem suspensi terasa sedikit lebih keras dari versi CBU asal namun ketika melalui jalan berlubang-lubang dalam perjalanan menuju ke Kundasang, hentakan yang terhasil tidaklah terlalu kuat.

Pengendaliannya juga dirasakan lebih responsif berbanding sebelum ini tetapi agak mengecewakan kerana stereng masih agak ringan bagi penulis. Menukar mod EPS dari Comfort kepada Sport juga tidak memberikan sebarang perubahan ketara dari segi rasa.

Namun penulis agak berpuas hati dengan aspek NVH. Bukan sahaja deruman enjin tiga silinder pada kelajuan rendah tidak sejelas sebelum ini, malah bunyi lori dan trak pikap yang banyak di jalan raya di sekitar KK juga dihalang dengan baik.

Mereka yang mengharapkan kuasa lebih tinggi akan kecewa kerana enjin TGDI 1.5-liter tiga silinder itu masih menghasilkan kuasa yang sama iaitu 177 PS pada 5,500 rpm dan 255 Nm dari 1,500 hingga 4,000 rpm.

Namun ini tidak bermakna enjin itu tidak disentuh langsung. Menurut Proton, ia telah menambahbaik beberapa aspek seperti kecekapan pembakaran, pengurusan termal dan pengurangan geseran.

Hasilnya, enjin itu mampu memberikan bacaan penggunaan bahan api 4% lebih rendah berbanding sebelum ini iaitu 7.3 liter/100 km. 4% adalah angka yang sangat kecil tetapi lebih baik daripada tak ada langsung kan?

Dari segi kuasa, X70 membuktikan yang ia tidak ada masalah memecut dan memotong kenderaan lain walaupun sedang mendaki bukit dengan empat orang penumpagn dewasa.

Masih tiada paddle shifter, jadi untuk menukar gear secara manual, anda perlu menggunakan tuil cuma anda perlu membiasakan diri menggerakkan tuil ke kiri dan ke kanan dan bukannya ke atas dan ke bawah seperti kebanyakan kereta lain.

Bagi penulis, X70 jauh dari sempurna namun rekaan lebih menonjol, serta pelbagai ciri baharu yang dibawakan menerusi kemas kini terbaru ini menjadikannya satu penawaran yang lebih baik dalam segmen yang sengit.

Spesifikasi Proton X70 2025

Harga: RM98,800-RM126,800
Enjin: TGDI 1.5-liter, tiga silinder
Kotak gear: Automatik tujuh kelajuan
Kuasa: 177 PS @ 5,500 rpm
Tork: 255 Nm @ 1,500-4,000 rpm

Peugeot 408 GT, sang singa untuk sang pemberani – Pandu Uji

Satu fakta perit yang perlu kita hadam pada masa kini ialah semua orang sekarang mahukan kereta spesifikasi redah banjir.

SUV. Crossover. Atau apa jua akronim tiga huruf yang diperkenalkan oleh setiap pengeluar bagi membezakan produk mereka dengan produk lain.

Disebabkan itu, kita sekarang boleh lihat pelbagai jenis model crossover SUV yang wujud di pasaran tempatan, dan yang menjadi mangsa, sudah tentu model sedan.

Peugeot 408 terbaharu yang ada di pasaran Malaysia ini tidak terkecuali daripada menjadi mangsa peng-SUV-an ini.

Adakah ia satu model yang terbaik untuk dibeli? Jemput baca ulasan ringkas kami sampai habis.

 

Reka bentuk luaran

Jika dua generasi terdahulu menampilkan bentuk badan sedan, generasi baharu Peugeot 408 kini merupakan sebuah kereta rojak moden yang dibina untuk mereka yang rasa berani untuk memandunya atas jalan.

Secara asasnya 408 masih lagi mengekalkan bentuk badan sedan, namun dengan rekaan belakang jenis liftback sebelum diserikan dengan elemen crossover keliling badan.

Ia bukanlah satu perkara yang baharu, memandangkan beberapa pengeluar lain juga menggunakan format rekaan yang sama, seperti contoh Citroen dengan C3X, serta Toyota menerusi model Crown Crossover.

Tidak semua orang suka akan format sebegini, namun ia boleh jadi satu model yang sesuai untuk mereka yang inginkan kelainan.

Atas jalan, Peugeot 408 GT memang nampak agresif dengan rekaan lampu utama berbentuk taring singa, lampu belakang dengan grafik kuku singa, serta rim 20 inci Monolithe berwarna hitam dengan rekaan yang sedikit.. aneh.

Dengan dimensi yang sedikit tinggi berbanding sedan dalam segmennya, diikuti dengan jarak kelegaan tanah 189 mm, susah untuk mengklasifikasikan Peugeot 408 ini sebagai sebuah crossover SUV. Penulis lebih senang menggelarkannya sebagai crossover sedan.

Seperti yang telah ditekankan, rekaan yang dibawakan oleh Peugeot 408 ini memang bukan untuk semua orang, hanya untuk sang pemberani sahaja.

 

Kabin serba moden, tapi…

Peugeot 408 GT membawakan susun atur Peugeot i-Cockpit tiga dimensi yang jauh lebih moden berbanding 408 yang terdahulu.

Terdapat roda stereng jenis atas dan bawah rata, skrin kluster digital 10 inci dengan paparan grafik tiga dimensi, skrin infohibur sebesar 10 inci, serta skrin i-Toggles di mana pemandu boleh menetapkan sehingga lima fungsi pintas yang berbeza mengikut keperluan peribadi.

Secara standard, varian Peugeot 408 GT yang kami pandu uji ini turut dilengkapi dengan tempat duduk balutan kulit Nappa yang telah mendapat pengiktirafan daripada badan bebas Aktion Gesunder Rücken (AGR) yang mempromosikan kesihatan tulang belakang.

Ada juga fungsi urut terbina dengan beberapa mod yang diinspirasikan oleh haiwan seperti kucing dan ular yang tersedia untuk pemandu dan penumpang hadapan.

Dengan ciri moden yang disebutkan itu tadi, aspek keselesaan sememangnya bukanlah satu masalah utama.

Biarpun dengan kehadiran panel butang fungsi pintas yang boleh dikustom, penulis tetap berpendapat fungsi-fungsi yang kerap digunakan seperti kawalan iklim tidak perlu disumbatkan ke dalam skrin utama.

Skrin infohibur yang dibekalkan dari kilang itu menawarkan paparan grafik yang agak jelas dan tajam, cuma boleh ditambahbaik dengan pergerakan grafik yang lebih cepat dan lancar.

Agak menjengkelkan apabila kita mahu cepat untuk menurunkan suhu kabin, akan tetapi anda perlu menunggu dalam masa beberapa saat sehingga grafik ‘loading’ tersebut habis dimainkan.

Mujur juga Peugeot 408 datang standard dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto secara nirwayar, jadi kebanyakan masa mata hanya perlu memerhati paparan peta nagivasi serta pemilihan muzik yang bersesuaian dialunkan oleh sistem Audio Focal dengan 10 pembesar suara itu.

 

Enjin bertenaga

Untuk pasaran Malaysia, Peugeot 408 hanya didatangkan dengan satu pilihan enjin sahaja, iaitu nadi empat silinder sebaris 1.6 liter turbo PureTech.

Ia mampu menghamburkan kuasa setinggi 218 hp @ 5,750 rpm dan daya kilas 300 Nm @ 2,000 rpm yang disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi automatik lapan-kelajuan.

Pecutan di persimpangan lampu isyarat bukanlah satu kelemahan bagi crossover sedan ini, malah atas lebuh raya Peugeot 408 ini mampu untuk memalukan mana-mana sedan berenjin aspirasi semula jadi.

Untuk setangki penuh, penulis berjaya mencatatkan angka perbatuan sejauh 510 km.

 

Pemanduan

Dari tempat duduk pemandu, penulis sebenarnya perlu mengambil masa untuk membiasakan diri dengan susun atur i-Cockpit 3D Peugeot 408 GT ini.

Ini kerana berbanding kereta-kereta lain, anda perlu membaca skrin kluster digital daripada atas roda stereng. Jika ditetapkan terlalu tinggi posisinya, anda mungkin sukar melihat panel meter tersebut.

Sama seperti skrin infohibur, skrin kluster digital ini juga memaparkan pergerakan grafik yang agak lambat untuk sebuah kereta moden.

Ia masih lagi menawarkan paparan meter stail analog, namun dengan antara muka yang lebih ringkas.

Biarpun datang dengan rekaan roda stereng yang tidak simetri, Peugeot 408 masih lagi menawarkan respons pengendalian yang secukup rasa, tidaklah terlalu sporti namun masih lagi sedap untuk dinikmati terutama apabila bertembung dengan selekoh.

Aspek gantungan Peugeot 408 yang terdiri daripada topang MacPherson dan multilink di belakang itu memadai apabila kereta ini dipandu pada permukaan jalan yang mahal buatannya di mana olengan badan dirasakan pada tahap yang boleh diterima. Almaklumlah, kereta tinggi.

Musuh utama Peugeot 408 ialah permukaan jalan raya yang tidak rata, terutama apabila bertembung dengan lubang jalan serta tahi simen.

Lebih menjengkelkan apabila kita sedang sedap layan selekoh, ada lubang atau tahi simen bertompok di atas jalan di mana sedan ini amat senang untuk meloncat dan ‘keluar dari landasan’ yang ditetapkan oleh pemandu.

Tidak semua perkara negatif dirasakan pada Peugeot 408 ini.

Yang paling dihargai ialah aspek NVH ruang kabin yang agak baik, di mana sebarang kekasaran dan bunyi bising enjin berjaya ditapis dengan baik supaya tidak mengganggu ketenteraman pemandu dan penumpang sepanjang perjalanan.

 

Praktikal

Peugeot 408 GT masih lagi menawarkan ruang kabin yang praktikal untuk seisi keluarga, biarpun kini dengan bentuk badan crossover sedan yang agak berani itu.

Seperti contoh pada konsol tengah, terdapat slot khas untuk pengecasan peranti pintar tanpa wayar, diikuti ruang di bawah untuk meletakkan peranti pintar lain dan ada lubang khas yang boleh digunakan untuk meletakkan peranti SmartTag.

Tuil transmisi yang comel itu turut menyumbang kepada ruang kabin yang lebih luas.

Terdapat juga ruang storan di bawah tempat merehatkan tangan di tengah dengan bukaan terpisah, sementara untuk keselesaan penumpang belakang terdapat corong pendingin hawa baris kedua disediakan.

Walaupun dari luar nampak macam sempit, ruang kabin Peugeot 408 sebenarnya menyediakan ruang kepala dan ruang kaki yang cukup selesa untuk penumpang dewasa.

Cuma, struktur cermin belakang yang agak kecil itu menyukarkan mana-mana pemandu olskool untuk memandang ke belakang sewaktu meletakkan kereta dalam kotak parkir.

Mujur juga Peugeot 408 ini ada kamera keliling 360 darjah yang cukup jelas untuk kita memerhatikan kehadiran bendasing yang wujud di persekitaran.

Tidak cukup dengan itu, Peugeot 408 menawarkan kapasiti ruang kargo sebesar 536 liter, dan boleh mencapai sehingga 1,538 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

 

Harga yang… agak mahal

Disebalik rupa paras yang berani dan ciri-ciri yang serba moden disebutkan tadi, seperkara yang membuatkan Peugeot 408 ini nampak tidak menyelerakan ialah tanda harga yang ditetapkan.

Untuk pasaran Malaysia, anda boleh dapatkan Peugeot 408 versi asas Allure dengan harga jualan bermula dari RM146,055.

Kedengaran munasabah bukan?

Cuma, untuk varian GT yang dilengkapi dengan tambahan ciri yang lebih premium, harga jualan yang ditetapkan ialah bermula dari RM196,055.

Geng baik beli mungkin akan mencadangkan supaya lebih baik tambah duit sikit dan beli sedan segmen D yang jauh lebih besar dan selesa.

Sebab itu penulis lebih gemar untuk mengulangi hujah yang disebutkan di awal penulisan, “Peugeot 408: Sebuah ‘Singa Perancis’ untuk Sang Pemberani”.

 

Spesifikasi Peugeot 408 GT

Enjin: empat silinder sebaris 1.6 liter turbo
Kuasa: 218 hp @ 5,750 rpm, 300 Nm @ 2,000 rpm
Transmisi: Automatik 8-kelajuan
Pacuan: Roda depan
Suspensi: Topang MacPherson/Multilink
Saiz tayar: 245/40 R20
Harga: RM196,555 OTR

MINI Countryman S Electric 2024 lebih moden dan mesra alam, kekal bergaya dan sporti

JIKA anda seorang yang mementingkan gaya dan mencari sebuah kereta sebagai ekspresi diri anda, maka MINI antara kenderaan sesuai yang boleh dipertimbangkan.

Ini kerana warisan MINI sejak dahulu lagi terkenal dengan gaya yang ranggi, selain pemanduan sporti yang sepadan dengan imej yang dibawa.

Elemen ini dibawakan dalam barisan model-model terkini MINI seperti Countryman S Electric ini. Ia kekal ranggi dan mempunyai pemanduan sporti seperti go-kart, tetapi dikemaskini menjadi lebih moden.

Bahan mesra alam

Menariknya untuk generasi terbaharu, MINI Countryman S Electric menampilkan fabrik dari bahan-bahan kitar semula yang berkualiti tinggi, seperti boleh dilihat pada papan pemuka dan panel pintu. Fabrik ini juga dijahit dengan teknik 2D yang unik.

Hasilnya, permukaan fabrik ini tampil berbeza, tetapi bergaya, dengan rasa yang unik bila disentuh. Kesemua ini menyumbang kepada pengalaman tersendiri bila berada dalam MINI Countryman.

Bercakap mengenai pengalaman, permukaan fabrik di papan pemuka juga menjadi ‘kanvas’ untuk nyalaan lampu berbeza apabila anda menukar MINI Experience Modes yang berbeza.

Jika anda rasa fabrik bergaya ini susah dijaga, jangan risau kerana menurut MINI, bahan ini mudah dicuci. Jadi, anda tidak perlu risau membawa penumpang kanak-kanak bersama MINI Countryman.

Teknologi moden dengan rupa klasik

MINI Countryman S Electric telah dimodenkan dengan paparan OLED Display bulat yang pertama dalam mana-mana kereta.

Skrin resolusi tinggi ini bukan sahaja berfungsi memaparkan pelbagai maklumat dan informasi dengan jelas, tetapi penampilannya merupakan gandingan sempurna untuk gaya ranggi keseluruhan MINI.

Selain itu, paparan OLED ini mengandungi MINI Experience Modes yang terdiri dari pelbagai tema seperti Vivid, Core, Go-Kart, Timeless, Balance, Trail, dan Personal. Setiap tema ini memberikan anda suasana dan pemanduan berbeza untuk disesuaikan dengan mood anda.

Sebagai contoh jika anda penat balik bekerja, anda masuk mod Balance untuk merelakskan diri. Atau bila anda mahu feeling vintaj dan retro, anda boleh guna mod Timeless dan terdapat paparan meter dari MINI Cooper klasik zaman Mr. Bean. Malah, terdapat juga bunyi MINI klasik itu dikeluarkan dari sistem audio!

Lincah seperti go-kart

Tidak sah untuk sebuah MINI jika tidak mempunyai pengendalian dan rasa stereng seperti go-kart. Begitu juga dengan MINI Countryman S Electric baharu ini, walaupun ia lebih besar dari model sebelumnya, malah merupakan model MINI paling besar pernah dihasilkan, ciri pemanduan go-kart tidak dilupakan.

Sistem suspensi dan stereng telah dikalibrasi untuk memberikan respon yang lincah dan tepat. Dipadankan dengan rim stereng yang tebal, seolah-olah mengajak anda untuk memandu Countryman S ini.

Ditambah pula dengan output 313PS dan 494Nm tork dari dua motor elektrik (satu di gandar depan, dan satu di belakang), pacuan semua roda ALL4 menjanjikan pecutan serta-merta dan mengujakan. Prestasi 0-100 boleh dicapai dalam 5.6 saat sahaja, membuatkan anda tersenyum setiap kali memecut dari lampu isyarat atau plaza tol.

Secara keseluruhan, pecutan super-responsif dari sistem janakuasa elektrik dan talaan stereng serta suspensi menjadikan MINI Countryman S seperti sebuah go-kart lima tempat duduk yang anda boleh kongsikan dengan keluarga dan rakan-rakan.

Anda tidak sabar untuk mencari selekoh untuk memastikan sistem regenerative memperlahankan kenderaan kemudian menikmati pengendalian sporti, sebelum memecut semula keluar selekoh dengan bersahaja.

Seperti kenderaan elektrik lain, pek bateri 66.5kWh pada Countryman S Electric ini terletak di bawah casis, jadi ini merendahkan pusat graviti seterusnya menambahkan kestabilannya dalam semua situasi pemanduan.

Bergaya, seronok dipandu, dari RM2,777 sahaja sebulan

Secara keseluruhan, penulis memang senang hati meluangkan masa memandu uji MINi Countryman S Electric baharu ini. Ia bergaya dan menarik perhatian, kemudian senang pula dipandu sama ada dalam kesesakan trafik atau di lebuh raya.

Oh ya, mahu masuk ke tapak perkhemahan atau pantai pun tiada masalah, memandangkan Countryman mempunyai jarak kelegaan tanah lebih tinggi selain gaya rugged di bampar dan skirt sisi.

Countryman juga mampu menjadi sebuah kenderaan yang menambahkan keceriaan dan kegembiraan anda dalam kehidupan seharian. Memandu tidak semestinya membosankan dan memenatkan.

Dengan bahan-bahan lestari dalam kabin dan sistem kuasa elektrik yang mampu pergi sehingga 433km setiap cas, anda tahu bahawa anda membantu menjaga alam sekitar secara tidak langsung.

Berminat memandu uji MINI Countryman S Electric baharu? Anda boleh lawati mana-mana bilik pameran MINI seluruh negara. Countryman ini boleh menjadi milik anda dengan Easy Drive Financing dari RM2,777 sahaja sebulan. Untuk masa terhad, anda juga layak mendapat pengecas Wallbox percuma.

MINI Cooper Electric juga boleh dimiliki dengan Easy Drive Financing dari RM2,021 sebulan berserta pemasangan Wallbox percuma.

Sebarang maklumat lanjut mengenai MINI di Malaysia, anda boleh ikuti laman sosial mereka seperti berikut:

Instagram: mini_malaysia
FB: https://www.facebook.com/MINImalaysia
Youtube: https://www.youtube.com/@minimalaysia/featured

Tekan di sini untuk tempah sesi pandu uji anda sekarang.

3 benda kurang ngam dengan Honda WR-V RS – Pandu uji

HONDA WR-V bukanlah model yang baharu, malah sudah hampir dua tahun dalam pasaran Malaysia. Ia menjadi pengganti Honda BR-V walaupun bukan model dalam segmen yang sama.

Tetapi dari barisan Honda Malaysia, selepas ketiadaan BR-V yang merupakan crossover/MPV tujuh tempat duduk, slot ini diisi oleh WR-V yang merupakan crossover kompak lima tempat duduk. Ini sekaligus meletakkan Honda sebagai pesaing kepada Perodua Ativa.

Kami telah pun memandu uji WR-V RS sebelum ini, tetapi artikel kali ini lebih kepada menyenaraikan perkara yang kami kurang sukai mengenainya. Jom lihatkan tiga perkara utama kurang ngam berkenaan WR-V RS.

1. Kabin potong ‘stim’

Jika dilihat dari rupa luaran Honda WR-V ini, nampak sporti dan premium terutamanya dengan varian RS. Tetapi bila mula-mula masuk ke dalam, rasa sedikit kecewa. Entah kenapa, tapi kabinnya seperti ‘kosong’.

Bila diteliti balik, sebenarnya okay sahaja untuk harga ini. Cuma mungkin penulis terbawa-bawa dengan kecantikan badan luaran, jadi penulis dapat harapan tinggi untuk bahagian dalaman.

Banyak plastik keras pada papan pemuka dan panel pintu, tetapi terdapat elemen hitam glos dan merah dengan balutan kulit lembut di papan pemuka bahagian kiri, sedikit sebanyak menyerikan pemandangan.

Jelas kabin WR-V ini setaraf dengan City walaupun tidak serupa sepenuhnya. Jika dibandingkan, kabin HR-V lebih mempunyai rasa ‘wow’, setaraf dengan Civic. Tetapi harga pun dah jauh berbeza, bukan.

2. Pemanduan tak sepadan nama RS

Apa yang anda bayangkan bila terlihat nama RS pada sesebuah kereta? Racing? Sporti? Ya, penulis pun sama.

Tetapi pemanduan Honda WR-V ini tidak menggambarkan lencana RS yang dipakainya. Bukanlah penulis mengharapkan pemanduan seperti Civic Type R, cuma mungkin boleh tala suspensi dan sterengnya untuk lebih tepat dan jitu.

Atau mungkin maksud RS bagi Honda Malaysia berbeza untuk WR-V ini, bukannya ke arah mutorseport… Jika dilihat pada rupa paras dan kemasan, boleh dikira sepadan dengan nama RS.

Malah, kami juga faham kepada siapa WR-V RS ini disasarkan. Lebih kepada keluarga kecil yang mahukan kenderaan praktikal dan selesa, tetapi disulami elemen dan imej sporti.

Enjin 1.5-liter i-VTEC membekalkan 119hp dan 145Nm tork, lebih dari mencukupi untuk kegunaan harian. Kotak gear CVT pula cukup cekap dan responsif, masih antara yang terbaik dalam segmennya.

Kombinasi enjin 1.5 i-VTEC dengan CVT ini memberikan penjimatan bahan api yang cukup baik, sekitar 13.5km per liter mengikut ujian penulis.

3. Skrin infotainment jimat kos

Yang ketiga dan terakhir ialah skrin infotainment Honda WR-V RS ini yang seperti jimat kos. Entah mengapa, penulis rasa pada harga antara RM89,999 hingga RM107,900 untuk RS ini, skrinnya patut mempunyai resolusi dan paparan lebih baik.

Penulis tidak pasti apa sebenarnya yang perlu ditambah baik, penulis bukannya jurutera bahagian ini. Tetapi seolah-olah kurang nilai di sini. Sebagai contoh, paparan undur sekadar cukup-cukup sahaja, hanya dengan garisan statik untuk panduan.

Tiada masalah dari segi saiz skrin, boleh dikatakan memadai. Kelengkapan juga cukup baik, ia didatangkan dengan sambungan Apple Carplay dan Android Auto, dua soket USB, dan barisan ciri keselamatan Honda Sensing.

Baiklah, cukup rasanya tiga perkara utama berkenaan Honda WR-V RS ini. Jika kita senaraikan lebih-lebih perkara tidak disukai, nanti marah pula geng-geng H di sini.

Di bahagian lain, banyak lagi perkara yang WR-V ini cemerlang seperti kabin yang luas untuk segmen ini dan kelengkapan keselamatan yang cukup lengkap. Pakej pada WR-V menunjukkan Honda Malaysia sangat memahami pasaran dan keperluan pasaran negara ini.

Anda boleh baca laporan penuh pandu uji kami di sini.

Segalanya tentang Recaro, bukan setakat tempat duduk kereta, untuk gaming dan kapal terbang pun ada!

RECARO Automotive baru-baru ini memfailkan bankrap dengan Local Court of Esslingen. Menurut pengeluar tempat duduk Jerman itu, insolvensi ini disebabkan masalah kewangan kerana kenaikan harga yang mendadak beberapa tahun kebelakangan dan kehilangan kontrak-kontrak utama.

Adakah ini bermakna kita tidak boleh lagi membeli tempat duduk Recaro? Adakah barangan Recaro akan menjadi rare dan harga mencanak naik? Tidak juga.

Terma-terma korporat sedikit kompleks untuk orang biasa seperti kita.

Senang cerita, Recaro Holdings yang menghasilkan tempat duduk pesawat dan kereta api tidak terkesan. Recaro Automotive USA dan Recaro Automotive Japan juga tiada masalah.

Hanya Recaro Automotive Germany yang memberi lesen jenama kepada Recaro Holdings yang diisytiharkan bankrap.

Apa pun, memandangkan kita sudah menyentuh nama Recaro, apa kata kita lihatkan sedikit sejarah jenama tersohor ini. Tahukah anda Recaro juga mengeluarkan tempat duduk kanak-kanak dan untuk permainan video?

Diasaskan sejak 1906

Recaro mempunyai sejarah yang panjang dan kukuh dalam dunia automotif. Hari ini, Recaro juga merupakan pemain dalam industri penerbangan, permainan video, dan tempat duduk kanak-kanak serta stroller.

Warisan Recaro bermula di Stuttgard Body and Wheel Factory sejak 117 tahun lepas. Selepas menukar nama kepada Stuttgarter Karosseriewerk Reutter & Co., pengasasnya Wilhelm Reutter dan adiknya, Albert menghasilkan badan kereta untuk syarikat-syarikat ternama termasuklah dengan jurutera Ferdinand Porsche.

Pada 1963, Reutter menjual kilang pembuatan badan mereka kepada Porsche dan memfokuskan kepada tempat duduk sahaja. REutter CAROsserie menjadi pakar tempat duduk dengan nama Recaro.

Selepas 60 tahun, Recaro terkenal dengan tempat duduk untuk pelbagai industri, seperti disenaraikan di bawah.

Recaro Automotive “Sportsitz” (1965)

Recaro Sportsitz dilancarkan pada 1965 yang telah merevolusikan tempat duduk automotif. Berbanding tempat duduk kereta sebelum itu dengan kusyen lembut, kontur ringkas dengan spring besi di dalam, Recaro Sportsitz menggunakan binaan ringan, bahagian belakang ergonomik, sokongan sisi, dan kusyen busa (foam).

Sportsitz menjadi tempat duduk pertama yang boleh dipasang pada hampir semua kereta. Ia juga kemudian didatangkan standard untuk Porsche 911 S, dan pilihan tambahan untuk 911 biasa pada masa itu.

Recaro Aircraft Seating “9777” (1972)

Hanya beberapa bulan selepas menubuhkan Recaro Aircraft Seating pada 1972, mereka mengeluarkan tempat duduk 9777 di kilang.

Tempat duduk pesawat pertama dari Recaro ini direka untuk memaksimakan ruang dan berat yang rendah. Ia juga mementingkan fungsi dan kualiti, selain menepati pelbagai standard keselamatan. Antara pelanggan pertama tempat duduk ini adalah Lufthansa dan Korean Air.

Recaro Automotive “Idealsitz C” (1981)

Idealsitz C dilancarkan pada 1981, merupakan revolusi kerana menawarkan banyak pelarasan yang tidak terdapat pada kereta-kereta sebelumnya. Pelarasan juga boleh dibuat menggunakan panel yang nampak futuristik.

Untuk pertama kali juga, tempat duduk ini dibina sepenuhnya menggunakan struktur besi kukuh yang direka dari komputer. Balutannya pula mengelakkan kelesuan semasa pemanduan jarak jauh, hasil kajian ergonomik yang meningkatkan keselesaan dan prestasi pemandu.

Recaro Kids “Start” (1998)

Pada 1998, Recaro memfokus kepada penumpang cilik pula dengan memperkenalkan tempat duduk kanak-kanak pertama. Dinamakan Start, ia juga tempat duduk pertama yang direka untuk membesar bersama kanak-kanak dan memberikan ergonomik dan keselamatan sempurna.

Hari ini, rangkaian tempat duduk kanak-kanak dan stroller ditawarkan oleh Recaro untuk pelbagai peringkat umur dan memberikan solusi inovatif untuk generasi akan datang.

Recaro Aircraft Seating “BL3520” (2010)

Pada 2010, BL3520 menjadi tempat duduk pesawat bidaan dari Lufthansa yang mahu meningkatkan jumlah penumpang tanpa mengorbankan ruang kaki. Konsep tempat duduk ini adalah keringkasan, pengurangan berat, lebih ruang, dan rekaan menarik.

BL3520 telah memenangi pelbagai anugerah rekaan antaranya Crystal Cabin Award, Gold Focus Open Award, dan Red Dot Design Award.

Recaro Gaming “EXO” (2018)

Pada 2018, Recaro memasuki pula industri permainan video dengan memperkenalkan tempat duduk khas Exo. Tempat duduk ini dihasilkan berdasarkan analisis terperinci dan kerjasama dengan pemain-pemain.

Ini digandingkan pula dengan pengalaman Recaro dalam bidang-bidang lain seperti automotif, penerbangan, dan tempat duduk kanak-kanak.

Recaro Aircraft Seating “CL6720” (2021)

Terbaharu, pada 2021, Recaro memperkenalkan variasi terbaharu dalam tempat duduk pesawat mereka. Kali ini, fokusnya ialah strutktur ringan dengan susunan tempat duduk optima, kesemua ini mampu menimatkan ribuan dollar kos bahan api untuk syarikat penerbangan.

Pelanggan pertama adalah Air China dan tempat duduk ini mendapat Special Mention Focus Open Award.

Itulah serba sedikit sejarah Recaro dalam pelbagai bidang. Di Malaysia, Recaro tidak pernah membuka kilang tetapi mereka mempunyai pengedar rasmi di Petaling Jaya, Selangor.

Untuk pengetahuan anda, Recaro juga mempunyai kaitan dengan Proton, dimana Satria GTI hadir dengan tempat duduk jenama ini, standard dari kilang.

Menggunakan tempat duduk berjenama dunia menunjukkan betapa Proton serius pada masa itu dengan model Satria GTI.

Proton X70 2025 dilancar dengan 4 varian bermula RM99k, dah ada Apple Carplay dan Android Auto!

AKHIRNYA Proton X70 2025 facelift dilancarkan secara rasmi hari ini. Ia ditawarkan dengan empat varian dan harga seperti berikut:

X70 Standard: RM98,800
X70 Executive: RM110,800
X70 Premium: RM123,800
X70 Premium X: RM126,800

Setiap pembelian X70 2025 juga didatangkan dengan jaminan 5-tahun tanpa had perbatuan, pakej data 5-tahun berkapasiti 1GB/bulan, enam kali upah percuma, faedah pembiayaan serendah 2.4 peratus, dan program insurans Proton.

Selain itu, terdapat pakej Early Birds berupa rebat tunai RM7,000, sokongan trade-in overtrade bernilai RM2,800, dan program insurans Proton yang dinaik taraf. Kesemua ini sah untuk 3,000 pelanggan pertama yang mendaftar kenderaan mereka.

Menurut Proton, X70 facelift ini mempunyai 360 bahagian baharu, dan proses R&D mengambil masa 290,000 jam. Ujian jalan raya telah dijalankan melibatkan jarak sejauh 4.2 juta km.

Proton X70 2025 mendapat wajah lebih segar yang diambil dari Geely Boyue facelift 2022. Selain lampu LED baharu, ia tampil dengan gril lebih besar dengan perincian ala berlian, serta bonet, bampar dan dapra yang direka semula.

Untuk belakang, terdapat bampar baharu dengan pemantul melintang. Rim aloi juga diberi rekaan terkini, dengan saiz 18-inci untuk Executive dan 19-inci.

Lima warna boleh dipilih untuk X70 baharu ini iaitu Snow White, Armous Silver, Jet Grey, Ruby Red dan warna baharu Marine Blue.

Papan pemuka direka semula, kini menampilkan trim berwarna hitam piano dan pencahayaan ambien dengan 72 pilihan warna yang berubah mengikut muzik.

Di bahagian tengah papan pemuka adalah skrin infotainmen 12.3-inci baharu. Buat pertama kalinya untuk Proton, Apple CarPlay dan Android Auto disertakan.

Selain itu, X70 2025 mendapat stereng baharu, paparan baharu pada panel meter LCD dan upholsteri kulit Nappa dalam warna Stone Grey.

Dari segi kelengkapan, X70 kini tampil dengan Walk Away Auto Lock, manakala pintu but kuasanya kini mempunyai fungsi Nearby Auto Open untuk operasi bebas tangan.

ADAS tersedia pada varian Premium dan Premium X. Ia merangkumi beberapa ciri baharu iaitu Adaptive Cruise Control dengan Stop & Go, Intelligent Cruise Control, Lane Departure Warning, Lane Departure Prevention, Lane Centering Control, Traffic Sign Information dan Rear Collision Warning.

Semua varian dikuasakan oleh enjin 1.5-liter TGDI tiga silinder yang menghasilkan 175hp pada 5,500rpm dan 255Nm dari 1,500-4,000 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi DCT tujuh kelajuan.

Dengan penambahbaikan yang melibatkan aspek kecekapan pembakaran, pengurusan termal dan pengurangan geseran, enjin ini mencatat penggunaan bahan api 7.3 liter/100 km, iaitu 4 peratus lebih baik berbanding X70 2022.