Tag Archives: Boon Siew Honda

Honda ADV160 2024 dengan dua warna baharu, RM13,249

Boon Siew Honda mengumumkan dua warna baharu yang boleh dipilih oleh pembeli skuter Honda ADV160 2024.

Warna baharu yang dimaksudkan itu ialah kelabu dan putih, di mana ia boleh didapati di semua pengedar sah Honda dan Impian X bermula 18 Julai 2024 dengan harga jualan RM13,249.

Honda ADV160 2024 masih lagi mengekalkan enjin silinder tunggal 157 cc eSP+ yang mampu menghasilkan kuasa 15.8 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 14.7 Nm @ 6,500 rpm.

 

 

Sistem Honda Selectable Torque Control (HSTC) akan mengoptimasikan kuasa enjin dan kadar cengkaman, dibantu dengan Idling Stop System (ISS) untuk tahap kecekapan yang dipertingkatkan.

Antara ciri yang tersedia termasuklah sistem kekunci pintar dengan fungsi anti-kecurian, pengecas USB, storan 30 liter di bawah pelana, serta cermin penghadang angin boleh laras ketinggian dua tahap.

Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik di depan, diikuti dengan penyerap hentak dengan subtangki berkembar di bahagian belakang, sementara sistem brek cakera depan dan belakang turut dibantu dengan sistem ABS saluran tunggal.

 

 

Selain itu, Honda ADV160 menawarkan ketinggian pelana sekitar 780 mm, diikuti kapasiti tangki bahan api sebesar 8.1 liter.

Boon Siew Honda menawarkan jaminan pengeluar selama dua tahun atau had perbatuan sejauh 20,000 km yang mana tiba dahulu.

 

 

Honda CRF250 Rally 2024 dikemaskini, dari RM28,599

Satu lagi model dilancarkan oleh Boon Siew Honda ialah jentera adventure rali Honda CRF250 Rally 2024, dengan harga jualan bermula dari RM28,599 tidak termasuk insurans, cukai jalan dan pendaftaran.

Membawakan tema Extreme Red yang diinspirasikan daripada jentera CRF450 Rally Dakar HRC, Honda CRF250 Rally dikuasakan oleh nadi silinder tunggal 250 cc berkuasa 24 hp @ 9,000 rpm dan daya kilas 23 Nm @ 6,500 rpm.

 

 

Spesifikasi asas lain masih lagi kekal tidak berubah, di mana ia didatangkan dengan unit lampu LED berkembar yang tidak simetri, cermin penghadang angin terapung, fork hadapan USD Showa 43 mm, sistem klac assist & slipper dan sistem brek anti-kunci (ABS) yang boleh dimatikan fungsinya.

Honda CRF250 Rally turut membawakan panel meter digital, tangki bahan api sebesar 12.8 liter, dengan ketinggian pelana sekitar 885 mm.

Struktur lengan ayun yang lebih ringan menyumbang kepada pengurangan berat badan sehingga 5 kg berbanding model terdahulu.

 

 

Sistem brek terdiri daripada rotor terapung 296 mm dengan angkup omboh berkembar, diikuti rotor tunggal 220 mm dengan angkup omboh tunggal di belakang.

Honda CRF250 Rally 2024 boleh didapati di semua pengedar sah Honda BigWing bermula 16 Julai ini.

 

Honda Dash 125 terima warna baharu – RM6,599

Boon Siew Honda (BSH) telah mengemas kini kapcai popular Dash 125 bagi pasaran tempatan dengan pilihan warna baharu bagi tahun 2024. 

Menurut BSH, Dash 125 kinihadir dengan tiga warna baharu; Red, Blue dan Silver dengan model 2024 ini boleh didapati di semua rangkaian pengedar Impian X bermula 28 Jun 2024. 

Selain grafik baharu, Honda Dash 125 ini masih lagi dikuasakan enjin satu silinder 124cc SOHC dengan sistem penyejuk udara yang berupaya menjana 9.8hp pada 8,000rpm dan 9.54Nm pada 6,500rpm. 

Antara ciri lain ditawarkan termasuk:

  • tangki 4L
  • berat 105kg
  • fork teleskopik depan
  • penyerap hentak berkembar belakang
  • rim 17-inci
  • cakera brek depan dan belakang

Bagi pasaran tempatan, Honda Dash 125 yang dikemas kini ini dijual pada harga RM6,599 dan disertakan dengan waranti dua tahun atau 20,000km.

Boon Siew Honda lancar CB350RS di Malaysia – RM20,500

Boon Siew Honda dengan rasminya melancarkan Honda CB350RS untuk pasaran tempatan dengan harga jualan rasmi RM20,500. 

Hadir dengan dua warna pilihan, Mat Massive Gray Metallic dan Athletic Blue Metallic, Honda CB350RS ini pastinya akan menarik minat penggemar motosikal retro di Malaysia. 

Walaupun gaya klasik namun CB350RS ini dipacu enjin moden serba baharu yang menawarkan 21.8hp dan 30Nm. Tork pula hadir seawal 3,000rpm sekaligus membenarkan penunggang menikmati kadar pecutan yang efisien. 

Antara kelengkapan moden ditawarkan termasuk Honda Selectable Torque Control (HSTC) yang boleh dipadamkan dan ABS dwi-saluran. 

Sementara itu, CB350RS turut dilengkapi sistem PGM-Fi (Programmed Fuel Injection), yang menawarkan penjimatan yang lebih baik. 

Honda CRF1100L Africa Twin Adventure Sports ES dilancarkan – RM119,338

SELAIN CBR250RR, Boon Siew Honda turut mengumumkan pelancaran motosikal Honda CRF1100L Africa Twin Adventure Sports ES atau lebih dikenali sebagai Africa Twin.

Untuk model baharu ini, tork yang dijana oleh enjin DOHC silinder berkembar bersesaran 1,084 cc kini meningkat sebanyak 7% kepada 112 Nm pada 5,500 rpm, sementara kuasa kekal 100.5 hp (75 kW) pada 7,500 rpm.

Selain tork yang lebih tinggi, transmisi klac berkembar (DCT) model ini juga telah ditambah baik untuk feel yang lebih natural semasa motosikal mula bergerak dan antara gear pertama dan kedua.

Dalam mod manual, terdapat tiga mod yang membolehkan penunggang menukar gear menggunakan butang pada bar hendal. Mod Automatic D sesuai untuk tunggangan di bandar dan lebuh raya, manakala Automatic S memberikan karakter yang lebih agresif.

Selain itu, terdapat suis G yang boleh diakses menerusi skrin sentuh TFT yang boleh digunakan semasa menunggang dalam persekitaran off-road.

Ciri elektronik lain yang turut disertakan termasuk Throttle-by-Wire (TBW) dan Inertial Measurement Unit (IMU) enam paksi. IMU telah ditambah baik, menawarkan empat tahap kuasa dan tiga tahap brek enjin.

Sementara itu, Honda Selectable Torque Control (HSTC) memberikan tujuh tahap intervensi untuk tunggangan off-road. Sistem ini boleh dipadam untuk mereka yang inginkan kawalan manual sepenuhnya.

Tidak cukup dengan itu, motosikal ini juga mempunyai ABS dan Wheelie Control dengan tiga tahap input dan empat mod tunggangan iaitu Tour, Urban, Gravel dan Off-Road.

Sebagai tambahan, terdapat dua mod User yang boleh dilaras mengikut keperluan spesifik penunggang.

Sistem suspensi Showa Electronically Equipped Ride Adjustment (Showa EERATM) yang sebelum ini ditawarkan sebagai opsyen kini dibekalkan secara standard pada Africa Twin Adventure Sports ES.

Ia didatangkan dengan mod Mid, Hard, Soft, Off-Road dan User untuk prestasi optimum sama ada ketika menunggang secara solo, dengan pembonceng, dengan bagasi atau off-road.

Africa Twin Adventure Sports ES mempunyai fairing baharu yang direka untuk memberikan perlindungan angin yang lebih baik. Ia juga dilengkapi dengan tayar depan berukuran 19 inci yang meningkatkan kestabilan ketika menunggang.

Selain itu, kusyen busa urethane kini 8% lebih besar dan 15 mm lebih tebal berbanding sebelum ini. Ketinggiannya boleh dilaras antara 820 mm dan 840 mm untuk memberikan keselesaan dan mengurangkan keletihan.

Ditawarkan dalam warna Mat Ballistic Black Metallic dan Pearl Glare White, CRF1100L Africa Twin Adventure Sports ES dijual pada harga RM119,338.

Honda CBR250RR kini dengan enjin lebih berkuasa, reka bentuk lebih aerodinamik

BOON Siew Honda hari ini melancarkan Honda CBR250RR baharu yang dipertingkatkan dengan enjin lebih berkuasa dan skema warna lebih segar.

Untuk model tahun 2024, enjin 250 cc silinder berkembar DOHC itu kini menghasilkan 42 PS (31 kW) pada 13,000 rpm dan 25 Nm pada 11,000 rpm. Jumlah ini menunjukkan peningkatan kuasa sebanyak 1.36 PS (1 kW) lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Menurut Honda, peningkatan kuasa itu dicapai dengan mengurangkan isipadu kebuk pembakaran dari 7.55 kepada 7.00 sentimeter padu, sekali gus mengubah nisbah mampatan dari 12.1 kepada 12.5.

Selain itu, diameter inlet port turut diperbesarkan dari 21.4 kepada 21.6 mm untuk meningkatkan kapasiti kemasukan, manakala omboh dan oil ring tension dioptimumkan untuk mengurangkan geseran.

Satu lagi pembaharuan yang dibawa adalah fork terbalik Separate Function Fork – Big Piston (SFF-BP) Showa yang bertindak untuk menstabilkan daya redaman serta memberikan pengalihan beban yang lebih bebas semasa tunggangan agresif.

Sementara itu, ciri-ciri seperti klac Assist & Slipper, ABS dwi saluran dan sistem Throttle-by-Wire dengan mod Sport, Sport+ dan Comfort dikekalkan.

CBR250RR direka berdasarkan konsep ‘bentuk pantas yang agresif’, dengan postur condong ke depan, sudut-sudut tajam dan struktur badan yang tidak ubah seperti motosikal berkapasiti tinggi.

Model ini didatangkan dengan fairing baharu dengan ciri aerodinamik termaju yang mampu mengurangkan rintangan udara sebanyak 6%.

Untuk warna, CBR250RR ditawarkan dalam dua warna iaitu Mat Zodica Blue Metallic dan Honda Tricolor. Harga jualan bermula dari RM27,999 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

Boon Siew Honda menawarkan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km.

Malaysia Autoshow 2024: BSH lancar Honda ADV350, NX500, CB750 Hornet & XL750 Transalp

Boon Siew Honda memeriahkan acara Malaysia Autoshow 2024 yang berlangsung di MAEPS, Serdang dengan melancarkan empat buah motosikal baharu, iaitu skuter ADV350, crossover bike NX500, motosikal naked CB750 Hornet dan jentera adventure XL750 Transalp.

 

Honda ADV350

 

Enjin silinder tunggal 330 cc, sejukan cecair, SOHC, eSP+
Kuasa 28.8 hp @ 7,500 rpm, 31.8 Nm @ 5,250 rpm
Fork hadapan 37 mm jenis terbalik, jarak gerak 125 mm
Penyerap hentak berkembar belakang, jarak gerak 130 mm
Rim 15 inci hadapan, 14 inci belakang
Tayar 120/70-15 hadapan, 140/70-14 belakang
Sistem brek cakera, rotor 256 mm depan, 240 mm belakang
Sistem ABS dua saluran, Honda Selectable Torque Control (HSTC) dua tahap
Tinggi pelana 795 mm
Ruang storan bawah pelana 48 liter
Harga: RM33,999

 

Honda NX500

 

Enjin 2 silinder selari 471 cc, sejukan cecair, DOHC
49.6 hp @ 8,500 rpm, 45 Nm @ 6,500 rpm
Fork hadapan 41 mm jenis terbalik SFF-BP Showa
Penyerap hentak belakang tunggal, larasan pra-beban
Rim 19 inci hadapan, 17 inci belakang
Tayar 110/80-19 hadapan, 160/60-17 belakang
Sistem brek cakera berkembar 296 mm, angkup dua omboh depan/cakera tunggal 240 mm, angkup omboh tunggal belakang
Sistem ABS, Honda Selectable Torque Control (HSTC), Honda RoadSync
Tinggi pelana 830 mm
Harga: RM37,099

 

 

Honda CB750 Hornet

 

Enjin 2 silinder selari 755 cc, sejukan cecair, OHC
90.6 hp @ 9,500 rpm, 74.4 Nm @ 7,000 rpm
Fork hadapan 41 mm jenis terbalik SFF-BP Showa
Penyerap hentak belakang tunggal Pro-Link, larasan pra-beban
Rim 17 inci
Tayar 120/70-17 depan, 160/60-17 belakang
Sistem brek cakera berkembar 296 mm, angkup empat omboh depan/cakera tunggal 240 mm, angkup omboh tunggal belakang
Sistem ABS dua saluran, Honda Selectable Torque Control (HSTC), Engine Power (EP), Engine Brake (EB), Wheelie Control, Honda RoadSync, Throttle-by-Wire
Tiga mod tunggangan (Rain, Sport, Standard)
Tinggi pelana 795 mm
Harga: RM50,800

 

Honda XL750 Transalp

 

Enjin 2 silinder selari 755 cc, sejukan cecair, OHC
90.5 hp @ 9,500 rpm, 75 Nm @ 7,000 rpm
Fork hadapan 43 mm SFF-CATM Showa, jarak gerak 200 mm
Penyerap hentak tunggal belakang, jarak gerak 190 mm
Rim 21 inci hadapan, 18 inci belakang
Tayar 90/90-21 hadapan, 150/70-18 belakang
Sistem brek cakera berkembar 310 mm, angkup dua omboh hadapan/cakera tunggal 265 mm, angkup omboh tunggal belakang
Sistem ABS dua saluran (dua tahap), Honda Selectable Torque Control (5 tahap) Engine Power (4 tahap), Engine Brake (3 tahap), Throttle-by-Wire, Honda RoadSync
Empat mod tunggangan (Sport, Standard, Rain, Gravel)
Tinggi pelana 850 mm
Harga: RM56,800

 

 

Selain daripada pelancaran empat model yang disebutkan di atas, BSH turut membawakan Honda Technology Corner di mana pelbagai teknologi terkini Honda dipamerkan termasuklah ABS, HSTC, transmisi klac berkembar (DCT), Honda RoadSync, enhanced Smart Power Plus (eSP+), serta teknologi E-Clutch yang bakal dibawakan pada jentera CB650R dan CBR650R kelak.

Terdapat juga ruang khas Pro Honda, satu jenama pelincir global yang direka untuk motosikal dan produk kuasa yang ditubuhkan oleh Honda Motor di mana ia memfokuskan kepada tiga aspek utama, iaitu kecekapan bahan api, ketahanan dan keberkesanan kos.

 

Honda RS-X kini dalam warna Mat Ion Blue Metallic

SELEPAS mengumumkan barisan warna baharu untuk Honda RS-X pada Januari lalu, Boon Siew Honda (BSH) hari ini mengumumkan satu lagi pilihan warna untuk kapcai itu iaitu Mat Ion Blue Metallic.

Menurut BSH, warna tersebut akan tersedia di semua pengedar sah Honda di seluruh negara mulai esok, 22 Februari 2024, dengan harga bermula dari RM9,798 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

Tiada sebarang perubahan mekanikal, bermakna ia masih dikuasakan oleh enjin 150 cc DOHC bertaraf Euro 4 yang menghasilkan 15.8 hp pada 9,000 rpm dan 13.6 Nm pada 7,000 rpm. Enjin itu dipadankan dengan transmisi enam kelajuan.

Untuk casis, RS-X menggunakan kerangka tiub berkembar yang dipadankan dengan fork teleskopik dan lengan ayun. Set roda pula merangkumi rim 17 inci yang dibalut tayar tanpa tiub bersaiz 90/80 di depan dan 120/70 di belakang.

Sistem brek pula terdiri daripada cakera hidraulik pada bahagian depan dan belakang, berserta ABS. Model ini juga didatangkan dengan lampu LED, panel meter digital dan tangki bahan api berkapasiti 4.5 liter.

Honda RS-X terima empat warna baharu – dari RM9,698

Kapcai popular, Honda RS-X telah dikemas kini dengan pilihan warna baharu bagi tahun 2024. 

Menurut Boon Siew Honda (BSH), RS-X kini hadir dengan empat pilihan warna, bermula dengan Mat Charcoal Grey Metallic (Gold) yang boleh didapati di pasaran bermula 4 Januari diikuti  Candy Scintillate Red, Force Silver Metallic (Red) dan Force Silver Metallic (Blue) yang akan ditawarkan bermula 18 Januari.

Dalam pada itu, Mat Charcoal Grey Metallic (Gold) boleh didapati pada harga RM9,848 manakala Candy Scintillate Red, Force Silver Metallic (Red) dan Force Silver Metallic (Blue) pula akan dijual pada harga RM9,698.

Bagaimanapun, tiada perubahan terhadap spesifikasi enjin dengan model 2024 ini masih lagi dikuasakan enjin satu silinder 150cc DOHC dengan 6-kelajuan yang menawarkan 16hp dan 13.6Nm. 

Honda RS-X kini dalam warna Trico White Edition, Radiate Gray Metallic

SELEPAS melancarkan Repsol Edition pada Oktober, Boon Siew Honda kini memperkenalkan dua lagi pilihan warna baharu untuk Honda RS-X iaitu Trico White Edition dan Radiate Gray Metallic.

Walaupun tampil lebih segar dengan skema warna baharu, aspek mekanikal RS-X kekal buat masa ini. Ia masih dikuasakan oleh enjin 150 cc DOHC bertaraf Euro 4 yang memberikan kuasa maksimum 15.8 hp pada 9,000 rpm dan 13.6 Nm pada 7,000 rpm.

RS-X menggunakan kerangka tiub berkembar yang dipadankan dengan fork teleskopik di hadapan dan lengan ayun di belakang.

Kapcai ini didatangkan dengan rim 17 inci bersama tayar tanpa tiub bersaiz 90/80 di depan dan 120/70 di belakang. Sistem brek pula terdiri daripada cakera hidraulik pada bahagian depan dan belakang, berserta ABS.

Selain itu, RS-X juga dilengkapi dengan lampu LED, panel meter digital dan tangki bahan api 4.5 liter. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 122 kg.

RS-X dalam dua warna baharu akan tersedia di semua pengedar sah Honda di seluruh negara mulai hari ini (24 November 2023), pada harga RM9,748 bagi Trico White Edition dan RM9,698 bagi Radiate Gray Metallic.

Honda CB650R, CBR650R dapat pilihan warna baharu, harga dari RM45k

BOON Siew Honda baru-baru ini mengumumkan pilihan warna baharu bagi dua model kelas pertengahan yang ditawarkannya iaitu Honda CB650R dan CBR650R.

Bermula bulan ini, CB650R boleh didapati dalam tiga warna menarik iaitu Mat Jeans Blue Metallic, Candy Chromosphere Red dan Mat Gunpowder Black Metallic.

Ketiga-tiga warna berkenaan dipadankan dengan perincian berwarna hitam pada pelindung camfork, pelindung sisi, tuil dan pemijak kaki.

Sementara itu, CBR650R pula tampil dengan dua skema warna dan grafik baharu iaitu Grand Prix Red dan Mat Gunpowder Black Metallic, kedua-duanya dengan spring berwarna merah.

Warna Grand Prix Red menampilkan mudguard hitam pada bahagian hadapan belly pan dalam warna yang sama, manakala Mat Gunpowder Black Metallic pula dihiasi dengan perincian berwarna biru pada tangki, ekor dan badan.

Tiada sebarang perubahan mekanikal, di mana kedua-dua CB650R dan CBR650R dipacu enjin 649 cc, DOHC empat silinder yang menghasilkan 93.8 hp pada 12,000 rpm dan 64 Nm pada 8,500 rpm.

Sistem suspensi juga sama iaitu fork terbalik Showa Separate Function-Big Piston (SSF-BP) 41 mm pada bahagian hadapan dan lengan ayun aluminium pada bahagian belakang.

Turut disertakan adalah Honda Selectable Torque Control (HSTC), ABS dwi saluran dan port pengecas USB Type-C di bawah pelana.

Harga jualan CB650R bermula dari RM44,499 sementara CBR650R pula bermula dari RM46,499. Kedua-dua model ini didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km.

Honda Rebel kini boleh didapati dalam tiga warna baharu, harga RM33,899

HONDA Rebel, yang dilancarkan di Malaysia pada 2017, kini boleh didapati dalam tiga warna baharu untuk model tahun 2023.

Warna yang dimaksudkan adalah Mat Gunpowder Black Metallic, Candy Diesel Red dan Pearl Smoky Gray.

Harga jualannya bermula dari RM33,899, tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran. Boon Siew Honda menawarkan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km.

Dari segi mekanikal, motosikal cruiser dengan penggayaan jenis bobber ini masih kekal dengan enjin sejukan cecair, dua silinder selari bersesaran 471 cc yang menghasilkan 46 PS pada 8,500 rpm dan 43.3 Nm pada 6,000 rpm.

Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi enam kelajuan dengan klac jenis slipper. Menurut Honda, klac tersebut mengurangkan berat tuil sebanyak kira-kira 30 peratus.

Untuk casis, Rebel menggunakan fork teleskopik 41 mm pada bahagian hadapan dan penyerap hentak berkembar pada bahagian belakang.

Sistem brek pula merangkumi cakera tunggal pada bahagian hadapan dan belakang, serta ABS dwi saluran.

Reka bentuk yang langsing, digabungkan dengan ketinggian pelana 690 mm dan berat keseluruhan sekitar 190 kg menawarkan posisi tunggangan yang mudah dan selesa.

Selai itu, Rebel turut dilengkapi dengan lampu LED hadapan dan belakang, serta kluster instrumen digital yang memaparkan pelbagai maklumat penting termasuk posisi gear dan tahap kecekapan bahan api.

Honda RS-X Repsol Edition terima warna baharu – Terhad 5,000 unit, harga RM9,998

BOON Siew Honda hari ini mengumumkan warna baharu untuk RS-X Repsol Edition. Ia ditawarkan pada harga RM9,998 tidak termasuk cukai jalan, insurans, dan pendaftaran. Hanya 5,000 unit akan dikeluarkan, boleh mula didapati bermula 28 Oktober 2023.

Repsol Edition membawakan grafik ikonik yang menggabungkan warna putih, oren, merah, dan hitam seperti pasukan MotoGP.

Selain dari skema warna ini, spesifikasi lain adalah sama dengan RS-X biasa. Motosikal ini dipacu enjin 150cc DOHC Euro 4 dengan output 15.8hp pada 9,000rpm dan 13.6Nm tork pada 7,000rpm. Enjin ini digandingkan dengan kotak gear 6-kelajuan dan klac jenis basah.

Honda RS-X Repsol Edition juga dilengkapi dengan brek cakera untuk depan dan belakang, sementara ABS adalah satu saluran (depan sahaja).

Sistem suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik di depan, dengan monoshock di belakang berserta pelarasan pra-beban. RS-X ini menggunakan rim 17-inci dengan profail 90/80 di depan dan 120/70 di belakang.

Ciri lain termasuklah tangki bahan api 4.5 liter, berat 1222kg, paparan meter digital dengan penunjuk gear, serta lampu LED depan dan belakang.

Seperti dinyatakan tadi, Honda RS-X Repsol Edition boleh mula didapati esok, 28 Oktober 2023. Ia hadir dengan jaminan dua-tahun atau 20,000km (yang mana dahulu).

Beli Honda Vario dan menangi tiket tayangan perdana Malbatt: Misi Bakara

BOON Siew Honda (BSH) kini sedang mengadakan kempen ‘Beli Honda Vario dan Menang’ yang berlangsung dari 13 hingga 31 Julai 2023.

Menerusi kempen ini, pelanggan yang membeli Vario 160 atau Vario 125 di mana-mana cawangan Honda Impian X semasa tempoh kempen akan berpeluang memenangi dua tiket tayangan perdana filem MALBATT : Misi Bakara yang dibintangi oleh Hairul Azreen.

Pemenang bertuah akan dapat menyertai majlis tayangan perdana filem itu yang akan berlangsung pada 8 Ogos 2023 di IOI City Mall, Putrajaya. Pemenang akan diumumkan pada 2 Ogos ini.

Dilancarkan pada November tahun lalu, Vario 160 tampil dengan enjin 157 cc, silinder tunggal yang menghasilkan 15.1 hp pada 8,500 rpm dan 13.8 Nm tork pada 7,000 rpm.

Model ini juga dibina menggunakan kerangka enhandced Smart Architecture Frame (eSAF) yang dikatakan lebih lincah dan senang dikendalikan. Ia dijual pada harga bermula dari RM9,998.

Sementara itu, Vario 125 pula dilancarkan ke pasaran tempatan pada Mac lalu, dengan harga jualan yang bermula dari RM7,080.

Ia dikuasakan oleh enjin sejukan cecair bersesaran 124.9 cc yang mampu menghasilkan 11.5 hp pada 8,500 rpm dan 11.74 Nm tork pada 5,000 rpm. Enjin ini dilengkapi dengan teknologi Enhanced Smart Power (eSP) yang memberikan geseran minimum.

Honda Vario 160 Edisi Repsol mula dijual – 2,000 unit sahaja, RM10,498

HONDA Vario 160, yang dilancarkan ke pasaran Malaysia pada November tahun lalu, kini boleh didapati dalam Edisi Repsol pada harga bermula dari RM10,498.

Menurut Boon Siew Honda, model ini boleh didapati di semua pengedar Honda sah dan terpilih di seluruh negara mulai 20 Julai 2023. Mereka yang berminat perlu segera mendapatkannya kerana hanya 2,000 unit akan ditawarkan.

Rasanya tidak perlu diperkatakan lagi yang ia tampil dengan livery ikonik Repsol yang menggabungkan warna putih, oren, merah dan hitam.

Sebagai pelengkap, terdapat tulisan ‘Honda’ berwarna merah pada bahagian bawah, serta rim 14 inci berwarna oren.

Selain itu, semuanya sama seperti versi standard. Vario 160 menggunakan kerangka enhanced Smart Architecture Frame (eSAF), tayar bersaiz 180/80 pada bahagian depan dan 120/70 pada bahagian belakang.

Sistem brek pula terdiri daripada cakera tunggal pada bahagian depan dan belakang, serta ABS pada brek depan sahaja. Satu lagi ciri keselamatan yang ada ialah sistem kunci pintar dengan penggera.

Ciri-ciri lain termasuk lampu LED depan dan belakang, lampu isyarat membelok LED dan panel meter digital yang memaparkan penunjuk kunci pintar, jam, kadar kecekapan bahan api dan ABS.

Kuasa masih dibekalkan oleh enjin 157 cc silinder tunggal dengan teknologi enhanced Smart Power Plus (eSP+) yang menghasilkan 15.1 hp pada 8,500 rpm dan 13.8 Nm tork pada 7,000 rpm.

Honda CBR1000RR-R Fireblade SP 30th Anniversary Edition – RM209k

BOON Siew Honda telah melancarkan model flagship CBR1000RR-R Fireblade SP 30th Anniversary Edition ke pasaran Malaysia.

Jentera istimewa ini boleh didapati dalam satu warna sahaja iaitu Pearl Glare White dan dijual pada harga RM208,800 tidak termasuk insurans.

Secara asasnya, CBR1000RR-R Fireblade SP adalah model yang dibangunkan untuk prestasi semata-mata menggunakan teknologi enjin dan casis RC213V-S, yang secara asasnya merupakan jentera MotoGP jalanan.

Ia dikuasakan oleh enjin 999 cc empat silinder sebaris yang menghasilkan 214 hp pada 14,500 rpm dan 113 Nm pada 12,500 rpm. Enjin ini dilengkapi dengan semi-cam gear train dan con-rod titanium bagi mengurangkan geseran dalaman.

Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi enam kelajuan yang dilengkapi dengan teknologi quickshifter dan klac jenis Slipper & Assist.

Selain itu, bilangan gigi sprocket belakang bertambah dari 40 ke 43 untuk mendapatkan prestasi pecutan yang lebih baik. Kotak udara dan saluran intake juga direka semula untuk aliran udara yang lebih lancar.

Satu lagi penambahbaikan yang telah dilakukan oleh Honda adalah mengurangkan beban spring Throttle-by-Wire bagi meningkatkan respon pendikit. Honda Selectable Torque Control (HSTC) juga telah ditala semula mengikut maklum balas dari pelumba dari seluruh dunia.

Seperti sebelum ini, terdapat tiga mod tunggangan yang membolehkan penunggang melaraskan aspek kuasa, brek enjin, kawalan wheelie dan HSTC. Pakej elektronik motosikal ini turut merangkumi Start Mode.

Untuk aspek casis pula, CBR1000RR-R Fireblade SP 30th Anniversary Edition kekal dengan kerangka aluminium diamond-style, lengan ayun RC213V-S, Inertial Measurement Unit (IMU) dan Honda Electronic Steering Damper (HESD) dengan tiga peringkat pelarasan.

Suspensi yang digunakan adalah daripada Ohlins yang terdiri daripada fork NPX 43 mm di depan dan penyerap hentak tunggal TTX36 di belakang. Sistem brek pula dibekalkan oleh Brembo.

Bukan itu sahaja, model ini juga mempunyai winglet untuk meningkatkan downforce dan menambah baik kestabilan ketika membrek, skrin TFT lima inci dengan animasi ‘Ring of Fire’, ukiran laser nombor siri produksi pada bar hendal, serta logo ulang tahun pada tangki, kunci dan ekzos Akrapovic.

Honda BeAT 2023 – empat warna cun, harga dari RM5,990

BOON Siew Honda hari ini mengumumkan pilihan warna baharu untuk Honda BeAT, skuter bersaiz kecil yang dilancarkan di Malaysia pada 2015.

Untuk model 2023, BeAT akan ditawarkan dengan empat pilihan warna menarik iaitu merah, biru, hitam dan kuning. Setiap warna dipadankan dengan grafik bertemakan ‘abstrak moden’ yang direka untuk menarik minat pembeli dari kalangan golongan muda.

Model ini akan tersedia di semua pengedar sah Honda bermula 30 Jun 2023. Harga jualannya bermula dari RM5,990 dan ia didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km.

Tiada sebarang perubahan dari segi mekanikal. BeAT masih dikuasakan oleh enjin 109.5 cc silinder tunggal dengan teknologi suntikan bahan api PGM-FI yang menghasilkan 8.7 hp pada 7,500 rpm dan 9.5 Nm pada 6,000 rpm.

 

Enjin ini mematuhi piawaian emisi Euro 4 ini dan mampu menawarkan penggunaan bahan api serendah 59.1 km per liter.

BeAT mempunyai rangka Smart Architecture Frame (eSAF) dan menggunakan suspensi jenis fork teleskopik dan penyerap hentak tunggal.

Sistem brek adalah jenis kombi (CBS) di mana tuil brek belakang disambung kepada kedua-dua brek depan dan belakang dan akan mengagihkan tekanan secara optimum untuk jarak brek selamat.

Selain itu, BeAT didatangkan dengan ruang simpanan 11.7 liter di bawah tempat duduk, lampu depan LED, kunci brek parkir dan Side Stand Switch yang akan mematikan enjin secara automatik apabila tongkat sisi diturunkan.

Honda CBR150R kini dalam warna Pearl Nightfall Blue, harga RM13,299

BOON Siew Honda (BSH) telah mengumumkan pilihan warna baharu untuk Honda CBR150R iaitu Pearl Nightfall Blue.

Menurut syarikat itu, CBR150R dengan skema warna biru kuning itu akan tersedia di semua pengedar sah Honda di seluruh negara bermula 22 Jun 2023. Harga jualan bermula dari RM13,299 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

Spesifikasi tidak berubah, bermakna ia masih dilengkapi dengan lampu LED penuh, panel meter digital yang memaparkan pelbagai informasi penting dan brek cakera beralun dengan ABS dwi saluran.

‘Nadi’ jentera ini adalah enjin sejukan cecair DOHC silinder tunggal bersesaran 150cc yang menghasilkan 16 hp pada 9,000 rpm dan 13.7 Nm pada 7,000 rpm. Enjin ini dilengkapi dengan sistem suntikan bahan api Programmed Fuel Injection (PGM-Fi).

Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi enam kelajuan dengan klac jenis ‘slipper’ yang dikatakan mempunyai operasi yang lebih mudah dan selesa.

Untuk sistem suspensi, CBR150R dilengkapi dengan fork teleskopik terbalik dan penyerap hentak Pro-Link. Rim yang digunakan adalah berukuran 17 inci, dibalut tayar bersaiz 100/80 di depan dan 130/70 di belakang.

Bagi model ini, Boon Siew Honda menawarkan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km.

Honda RS150R kini dalam warna Mat Charcoal Gray Metallic – RM8,299

BOON Siew Honda baru-baru ini memperkenalkan pilihan warna baharu untuk Honda RS150R iaitu Mat Charcoal Gray Metallic.

Menurut syarikat itu, RS150R dalam warna baharu itu akan tersedia di semua pengedar Honda sah dan terpilih di seluruh negara mulai 3 Jun 2023, dengan harga bermula RM8,299 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

Dilancarkan ke pasaran Malaysia pada Januari 2020, RS150R versi facelift dikuasakan oleh enjin sejukan cecair, silinder tunggal bersesaran 149.2 cc yang mampu menghasilkan 15.8 hp pada 9,000 rpm dan 13.6 Nm tork pada 7,000 rpm.

Enjin itu digandingkan dengan kotak gear enam kelajuan, klac manual dan pacuan rantai untuk prestasi tunggangan yang baik sama ada di lebuh raya atau di kawasan bandar.

Untuk model berwarna Charcoal Gray Metallic ini, ciri-ciri lain masih sama iaitu lampu depan LED, panel meter digital dan brek cakera pada bahagian depan dan belakang.

Seperti sebelum ini, RS150R didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua  tahun atau 20,000 km.

Honda Vario 125 dilancarkan pada harga RM7,080

SELEPAS melancarkan ADV 160 dan X-ADV 2023 tempoh hari, Boon Siew Honda kini memperkenalkan pula model Vario 125 baharu ke pasaran tempatan.

Menurut syarikat itu, model ini disasarkan kepada penunggang yang mencari skuter mampu milik dengan ciri-ciri moden dan canggih yang turut terdapat pada skuter premium.

Ia dikuasakan oleh enjin sejukan cecair bersesaran 124.9 cc yang mampu menghasilkan 11.5 hp pada 8,500 rpm dan 11.74 Nm tork pada 5,000 rpm.

Enjin berkenaan dilengkapi dengan teknologi Enhanced Smart Power (eSP) yang memberikan geseran minimum serta ciri Idling Stop System (ISS) untuk kecekapan bahan api.

Apa yang menarik, Vario 125 dikatakan model pertama dalam kategori 125 cc yang didatangkan dengan ciri Honda SMART Key System.

Turut disertakan adalah sistem penggera anti-kecurian yang akan menghidupkan bunyi penggera dan isyarat berkelip apabila motosikal mengesan getaran atau pergerakan.

Sistem jawab balik (Answer Back) pula berfungsi untuk mengesan kedudukan motosikal apabila diletakkan dan pemilik akan dimaklumkan apabila fungsi immobiliser dihidupkan.

Untuk kemudahan penunggang, Vario 125 didatangkan dengan pengecas USB di dalam kotak konsol, serta dua ruang simpanan terbuka yang boleh memuatkan botol air dan barangan lain seperti sarung tangan.

Selain itu, terdapat juga penyimpanan sebesar 18 liter di bawah tempat duduk untuk menyimpan topi keledar serta barangan lain. Ia dikatakan ruang penyimpanan terbesar bagi motosikal kategori 125 cc.

Bagi menarik minat golongan muda, Vario 125 bukan sahaja mempunyai reka bentuk dan grafik yang sporty, malah dilengkapi dengan sistem lampu LED dan panel meter digital yang memaparkan semua maklumat penting.

Ia menggunakan tayar berukuran 90/80-14 di hadapan dan 100/80-14 di belakang. Sistem brek pula terdiri daripada cakera tunggal pada kedua-dua bahagian, tetapi ABS tidak disertakan.

Honda Vario 125 boleh didapati dalam tiga warna iaitu merah, biru dan kuning. Harga jualan (tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans) adalah RM7,080.