Tag Archives: Boon Siew Honda

Honda RS-X dapat dua warna baharu untuk 2023 – harga dari RM9,698

DILANCARKAN buat pertama kali di Malaysia pada 2021, Honda RS-X kini tampil dengan dua pilihan warna baharu untuk model tahun 2023 iaitu Lemon Ice Yellow dan Candy Caribbean Blue Sea.

Bukan itu sahaja, moped itu juga boleh didapati dalam versi Trico yang menampilkan kombinasi warna ikonik merah, biru dan putih, serta rim berwarna emas yang lebih menonjol.

Selain pilihan warna baharu, ciri-ciri lain RS-X masih kekal sama. Ia dikuasakan oleh enjin sejukan cecair DOHC empat lejang bersesaran 149 cc yang menghasilkan 15.8 hp pada 9,000 rpm dan 13.6 Nm pada 7,000 rpm. Enjin berkenaan digandingkan dengan transmisi enam kelajuan.

RS-X menggunakan kerangka tiub berkembar yang dipadankan dengan fork teleskopik dan lengan ayun, serta rim 17 inci dengan tayar tanpa tiub bersaiz 90/80 di depan dan 120/70 di belakang. Sistem brek pula terdiri daripada cakera hidraulik pada bahagian depan dan belakang, berserta ABS.

Selain itu, RS-X juga dilengkapi dengan lampu LED, panel meter digital dan tangki bahan api 4.5 liter. Menurut Boon Siew Honda, berat keseluruhan model ini adalah 122 kg.

Harga jualan untuk warna Lemon Ice Yellow dan Candy Caribbean Blue Sea bermula dari RM9,698, manakala edisi Trico pula berharga RM9,748. Ia boleh didapati di semua pengedar sah Honda menjelang 4 Januari 2023.

Honda Vario 160 kini dengan kerangka baharu, enjin lebih besar – RM10k

BOON Siew Honda hari ini melancarkan skuter “sporty premium” Honda Vario 160 baharu yang tampil bagi menggantikan model terdahulu iaitu Vario 150.

Seperti yang tertera pada namanya, Vario 160 mempunyai enjin baharu dengan kapasiti lebih tinggi. Enjin 157 cc, silinder tunggal itu menghasilkan 15.1 hp pada 8,500 rpm dan 13.8 Nm tork pada 7,000 rpm.

Enjin berkenaan dilengkapi dengan teknologi enhanced Smart Power Plus (eSP+) yang direka untuk meningkatkan kecekapan bahan api dan mengurangkan geseran tanpa menjejaskan output.

Selain ‘nadi’ baharu, Vario 160 juga dibina menggunakan kerangka enhandced Smart Architecture Frame (eSAF) yang dikatakan lebih lincah dan senang dikendalikan. Ia dipadankan dengan tayar bersaiz 180/80 di depan dan 120/70 di belakang, serta roda tempaan 14 inci yang menampilkan rekaan terkini.

Sistem brek pula terdiri daripada cakera tunggal pada bahagian depan dan belakang. Bagaimanapun, ABS hanya terdapat pada brek depan.

Ciri-ciri lain yang terdapat pada model ini termasuklah sistem kunci pintar yang dilengkapi dengan penggera, lampu LED depan dan belakang, lampu isyarat membelok LED dan panel meter digital yang memaparkan penunjuk kunci pintar, jam, kadar kecekapan bahan api dan ABS.

Tidak cukup dengan itu, ia juga dilengkapi dengan pengecas USB Type A dan ruang storan 18 liter di bawah pelana.

Vario 160 boleh didapati dalam empat warna iaitu Vivacity Red, Pearl Nightfall Blue, Sword Silver Metallic dan Matte Charcoal Grey Metallic.

Harga (tidak termasuk cukai jalan pendaftaran dan insurans) bermula dari RM9,998, namun pelanggan yang memilih warna Matte Charcoal Grey Metallic dikenakan bayaran tambahan sebanyak RM300.

Seperti model-model lain, Boon Siew Honda menawarkan waranti pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km.

Honda CRF1100L Africa Twin Adventure Sports ditambah baik – RM117,888

EMPAT tahun selepas dilancarkan di Malaysia, Honda CRF1100L Africa Twin Adventure Sports kini diberi penambahbaikan yang melibatkan aspek mekanikal dan juga kelengkapan.

Model ini boleh didapati dalam satu warna sahaja iaitu Pearl White Glare Tricolour dan dijual pada harga RM117,888 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran. Boon Siew Honda menawarkan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km.

Untuk model tahun 2022, transmisi klac berkembar (DCT) pada CRF1100L Africa Twin Adventure Sports telah ditala semula dengan tetapan yang diperhalusi untuk penukaran gear 1 dan 2 yang lebih lancar.

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan skrin penghadang angin lebih pendek berukuran 110 mm yang mempunyai lima tahap pelarasan. Menurut Boon Siew Honda, skrin ini meningkatkan keterlihatan penunggang dan pada masa yang sama menawarkan perlindungan dari angin.

Akhir sekali, badannya kini dihiasi dengan grafik ‘Cracked Terrain’ yang memberikan penampilan yang lebih menarik.

Seperti sebelum ini, CRF1100L Africa Twin Adventure Sports dikuasakan oleh enjin 1,084 cc silinder berkembar sebaris yang menghasilkan 100.5 hp pada 7,500 rpm dan 105 Nm pada 6,250 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi DCT enam kelajuan.

Jentera ini menggunakan sistem suspensi elektronik Showa yang berupaya untuk menguruskan daya redaman bergantung kepada mod yang dipilih iaitu Soft, Mid, Hard dan Off-Road.

Selain itu, terdapat juga ciri Intertial Measurement Unit (IMU) enam paksi yang ditugaskan untuk mengawal Honda Selectable Torque Control (HSTC), Wheelie Control, Cornering ABS, Rear Lift Control dan transmisi.

Penunggang boleh memilih daripada empat mod tunggangan yang disediakan iaitu Urban, Tour, Gravel dan Off-Road. Turut disertakan adalah dua mod User yang boleh disesuaikan mengikut kehendak penunggang.

Semuanya boleh diakses menerusi paparan sentuh multi-info TFT berukuran 6.5 inci yang turut menyokong Apple CarPlay, Android Auto dan ketersambungan Bluetooth. Penunggang tidak perlu risau tentang bateri telefon pintar kerana motosikal ini didatangkan dengan port pengecas USB.

Honda CBR250R kini dengan fork terbalik Showa – harga dari RM23,999

SELEPAS tiga tahun ‘terbiar’, Honda CBR250R akhirnya menerima kemaskini yang menyaksikan model itu hadir dengan sistem suspensi dan kelengkapan baharu.

Bagi model tahun 2022, jentera yang diberi jolokan ‘Neo Sports Cafe’ ini dijual pada harga RM23,999 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran. Boon Siew Honda selaku pengedar rasmi menawarkan waranti selama dua tahun atau 20,000 km.

Ia boleh didapati dalam dua pilihan warna, iaitu Matte Gun Powder Black Metallic dan Candy Chromosphere Red.

CBR250R kini dilengkapi dengan fork depan terbalik Separate Function Big Piston (SFF-BP) keluaran Showa bersaiz 41 mm. Peredam pemisahan tekanan di dalam satu tabung fork dan mekanisme spring di dalam tabung satu lagi menawarkan prestasi redaman yang lebih tinggi.

Sementara itu, suspensi jenis monoshock pada bahagian belakang pula mempunyai lima tahap pelarasan untuk pra-muat spring.

Seperti sebelum ini, CBR250R dikuasakan oleh enjin silinder tunggal DOHC bersesaran 250 cc dengan output 27.2 hp pada 9,500 rpm dan 23.4 Nm pada 7,750 rpm. Enjin sejukan cecair itu dipadankan dengan transmisi enam kelajuan yang dilengkapi dengan klac Assist/Slipper untuk penukaran gear yang lebih lancar.

Selain itu, model ini juga didatangkan dengan ABS dwi-saluran yang diuruskan secara dinamik oleh sistem Internatial Measurement Unit (IMU) bagi memastikan daya brek diagihkan sama rata antara roda depan dan belakang.

Ciri ini juga berupaya untuk meminimumkan lonjakan roda belakang, sekaligus menjadikan penunggang lebih yakin di jalan raya.

Satu lagi ciri baharu adalah paparan meter LCD yang menampilkan grafik lebih moden dengan penunjuk kedudukan gear yang lebih jelas dan mudah dilihat. Turut disertakan adalah lampu LED pada bahagian depan dan belakang.

Honda CBR150R kini dengan livery ikonik Repsol – 800 unit sahaja, RM13,499

Sejak dilancarkan ke pasaran pada September 2021, Honda CBR150R telah memperoleh reputasi dalam segmen supersports dengan keseimbangan prestasi dan gaya yang tersendiri.

Bagi mengukuhkan lagi popularitinya, Boon Siew Honda telah melancarkan Honda CBR150R Edisi Repsol yang hadir dengan livery ikonik Repsol yang menampilkan adunan warna oren, hitam dan putih. Penampilan jentera ini diserlahkan lagi menerusi rim berwarna oren yang sporty.

Seperti versi standard, model ini juga didatangkan dengan lampu LED penuh, brek cakera beralun dengan ABS dwi saluran serta panel meter digital yang memaparkan pelbagai maklumat penting kepada penunggang.

CBR150R dikuasakan oleh enjin sejukan cecair DOHC silinder tunggal bersesaran 150cc yang menghasilkan 16hp pada 9,000 rpm dan 13.7Nm pada 7,000 rpm. Enjin ini dilengkapi dengan sistem suntikan bahan api Programmed Fuel Injection (PGM-Fi).

Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi enam kelajuan dengan klac jenis ‘slipper’ yang dikatakan mempunyai operasi yang lebih mudah dan selesa.

Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik terbalik dan lengan ayun monoshock Pro-Link, manakala tayar yang digunakan adalah berukuran 100/80 di depan dan 130/70 di belakang. Rim pula didatangkan dalam saiz 17 inci.

Menurut Boon Siew Honda, hanya 800 unit CBR150R Edisi Repsol akan ditawarkan dan setiap satu dijual pada harga RM13,499 tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans. Ia didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000km.

 

Honda RS150R 2022 dengan warna baharu, enjin lebih berkuasa

BOON Siew Honda telah memperkenalkan Honda RS150R bagi tahun 2022. Perubahan ini dapat dilihat melalui pengenalan tiga warna baharu iaitu Vivacity Red, Pearl Nightafall Blue dan Radiate Grey Metallic.

Untuk model tahun 2022, enjinnya kini mematuhi piawaian pelepasan Euro 4 di samping penambahan muffler baharu.

RS150R ini dikuasakan oleh enjin sejukan cecair 4-lejang DOHC 149.2cc yang menghasilkan kuasa sebanyak 15.8hp dan 13.6Nm tork. Enjin ini dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan, klac manual serta pemacu rantai.

Selain dari prestasi tunggangan yang praktikal, Honda RS150R ini turut mempunyai pelbagai ciri menarik seperti meter kelajuan digital dengan paparan pelbagai maklumat, lampu utama LED serta sistem brek cakera di bahagian roda depan dan belakang.

Harga yang ditawarkan untuk model ini adalah RM8,299 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

Boon Siew Honda juga menawarkan dua tahun waranti atau 20,000km bagi setiap pembelian motosikal ini.

Honda Beat 2022 terima warna baharu, harga RM5,765

BOON Siew Honda memperkenalkan Honda Beat yang kini menerima warna dan kemasan grafik baharu.

Warna baharu itu hadir dengan empat pilihan iaitu Clipper Yellow, Pearl Magellanic Black, Vivacity Red dan Pearl Nightfall Blue.

Tiada perubahan dari segi mekanikal, Honda Beat masih dikuasakan enjin eSP dengan 109.5cc yang menjana 8.7hp pada 7,500rpm dan 9.53Nm tork pada 6,000rpm.

Enjin PGM-FI dengan piawaian Euro 4 ini dikatakan cukup cekap dengan penggunaan bahan api serendah 59.1km per liter (mengikut WMTC).

Honda Beat dibina pada rangka Smart Architecture Frame (eSAF) dan mempunyai kapasiti bahan api 4.2 liter serta ruang simpanan 11.7 liter di bawah tempat duduk.

Sistem brek adalah jenis kombi (CBS) dimana tuil brek belakang disambung kepada kedua-dua brek depan dan belakang dan akan mengagihkan tekanan secara optimum untuk jarak brek selamat.

Ciri lain pada Honda Beat adalah lampu depan LED, kunci brek parkir, dan Side Stand Switch yang akan mematikan enjin secara automatik apabila tongkat sisi diturunkan.

Honda Beat 2022 ditawarkan pada harga RM5,765 dan hadir dengan jaminan dua tahun atau 20,000km (yang mana dahulu).

Honda Rebel 500 terima warna baharu Pearl Organic Green, harga RM33k

SERENTAK dengan pengenalan CBR250RR dan Gold Wing GL1800, Boon Siew Honda juga melancarkan Rebel 500 untuk tahun 2022. Motosikal ini ditawarkan pada harga RM32,899 tanpa cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

Apa yang baharu? Rebel 500 2022 mendapat warna baharu Pearl Organic Green sebagai penambahan kepada Matte Jeans Blue Metallic dan Graphite Black sedia ada.

Honda Rebel 500 dikuasakan oleh enjin 471cc parallel-twin dengan sistem PGM-Fi yang mampu menjana 45.59hp pada 8,500rpm dan 43.3Nm tork pada 6,000rpm. Enjin ini – menurut Honda – telah ditala untuk lebih tork pada julat rpm rendah. Kuasa disalurkan ke roda dengan transmisi 6-kelajuan dan klac slipper.

Rebel 500 mendapat lampu LED depan dan belakang, serta kluster instrumen berdiameter 100mm yang ringkas serta memberikan paparan jelas. Ia mampu memaparkan maklumat seperti gear dan penggunaan bahan api.

Rebel 500 menggunakan fork teleskopik di depan berserta penyerap hentak Showa dengan nitrogen untuk keselesaan tunggangan. Brek pula terdiri dari cakera tunggal di depan, manakala rim bersaiz 16-inci dengan tayar 130/90 (depan) dan 150/80 (belakang).

Tempat duduk Rebel 500 ini cukup mesra penunggang dengan ketinggian 690mm, dan mempunyai berat 190kg serta tangki minyak berkapasiti 11.2-liter.

Honda Rebel 500 kini boleh didapati di cawangan Honda BigWing seluruh negara.

Honda CBR150R dilancar di Malaysia – 16hp, ABS, dua warna, RM12,499

BOON Siew telah melancarkan motosikal sport yang dinanti ramai, iaitu Honda CBR150R baharu. Pelancarannya dibuat secara maya dan disiarkan melalui laman Facebook Honda Motorcycle Malaysia.

Honda CBR150R dibangunkan dengan konsep CBR Total Control, menampilkan rupa motosikal sporti dan agresif dengan prestasi dengan ciri-ciri canggih terkini.

CBR150R hadir dengan dua pilihan warna di Malaysia, iaitu Mat Charcoal Grey Metallic dan Candy Scintillate Red dan ditawarkan pada harga RM12,499.

Motosikal sport ini dikuasakan oleh unit 150cc DOHC dengan sejukan cecair yang mampu menjana 12kW (16hp) pada 9,000rpm dan 13.7Nm tork pada 7,000rpm. Enjin ini digabungkan dengan kotak gear 6-kelajuan.

CBR150R juga dilengkapi dengan ABS (Anti-lock Braking System) dua saluran serta klac Assist & Slipper yang mengelakkan gelinciran tayar belakang semasa tunggangan sporti dan menurunkan gear.

Dari segi rupa, Honda CBR150R mendapat lampu depan LED dan rekabentuk badan yang sporti yang pasti membuatkannya nampak serasi di litar.

Suspensi depan terbalik bersama dengan posisi menunggang ‘racy’ ke depan dan fairing penuh menyerlahkan gaya perlumbaannya.

Selain itu, suspensi ini menjadikan pengendalian lincah dan memberikan kestabilan menunggang terutama ketika menunggang pada kelajuan yang lebih tinggi.

Ciri-ciri lain yang turut dilengkapi adalah seperti brek cakera beralun yang menekankan penampilan sporti, papara instrumen digital dan Emergency Stop Signal (ESS).

Tunggangan agresif, santai dengan Honda ADV 150

GABUNGAN ‘motocross’ dan skuter mungkin kedengaran pelik di atas kertas.

Bagaimana ‘motocross’ yang terkenal dengan cara tunggangan lasak boleh digabungkan dengan skuter?

Namun, Honda membuktikan tidak mustahil konsep ‘motocross’ boleh dipadankan dengan skuter.

Honda ADV 150 diperkenal baru-baru ini menjawab segala persoalan terbuku.

Jom kita semak apa yang istimewa dengan ADV 150 ini?

Honda ADV150 menjadi 'buruan' kebanyakan anak muda.

Honda ADV 150

Sebenarnya ini bukan kali pertama Honda menampilkan jentera bercirikan skuter dan motocross.

Tahun lalu, Honda telah melancarkan model X-ADV 750 dengan harga sekitar RM64,000.

Menyedari ramai meminati konsep jentera skuter off-road, Honda tampil dengan ADV 150 tahun ini dengan harga mampu milik.

Sesuai dengan kapasiti enjin 150cc, ADV 150 dijual pada harga sekitar RM12,000 sahaja.

Spesifikasi ADV 150

Honda ADV 150 sesuai untuk kegunaan mereka yang gemar tunggangan secara lasak.

Ia merupakan sebuah skuter yang boleh melalui permukaan jalan gravel mahupun tunggangan dalam bandar.

Justeru, apakah yang membuatkan ADV 150 ini begitu berkuasa?

ADV 150 digerakkan oleh enjin satu silinder suntikan bahan api PGM-Fi SOHC 149.3cc.

Ia juga dipadan dengan transmisi automatik V-Matic bagi menghasilkan kuasa 14.6 hp pada 8,500 rpm dan 13.9 Nm tork pada 6,500 rpm.

Enjin ini turut didatangkan dengan fungsi Idling Sto System (ISS) yang memudahkan penunggang ketika berhenti di lampu isyarat.

Selain itu, ADV 150 juga didatangkan dengan tangki bahan api 8.0 liter dan fork teleskopik hadapan.

Berikut antara ciri menarik lain yang ada pada ADV 150:

  • Sistem kunci pintar,
  • Brek cakera depan dan belakang
  • ABS two-channel
  • Lampu LED penuh depan dan belakang
  • Suspensi belakang Showa dengan tabung
  • Rim 14 inci di hadapan dan 13 inci di belakang
  • Ruang simpanan 28 liter di bawah tempat duduk

Baru-baru ini EnGear juga berkesempatan menunggang ADV 150. Nak tahu apa yang istimewa?

Saksikan video bersama Anuar Norick yang berpeluang ‘melenjan’ ADV 150.