Tag Archives: crossover

Lima perkara anda perlu tahu pasal Jetour Dashing – Pandu Uji Ringkas

Tanggal 9 April 2025 menyaksikan sebuah lagi jenama automotif dari Tanah Besar China membuat kemunculan rasmi di pasaran Malaysia, iaitu Jetour.

Untuk makluman para pembaca, Jetour merupakan salah satu jenama yang bernaung di bawah kumpulan besar Chery, dengan fokus ditumpukan kepada model crossover dan SUV untuk disasarkan kepada keluarga kecil serta golongan pembeli muda.

Namun begitu, Jetour Malaysia dikendalikan oleh entiti yang berbeza, jadi jenama baharu ini secara tidak langsung turut memberikan cabaran kepada Chery dan juga sub-jenama premiumnya – Jaecoo.

Model pertama yang dilancarkan untuk pasaran Malaysia ialah Jetour Dashing, sebuah SUV segmen C dengan rupa paras yang cukup menarik serta memiliki tanda harga yang agak kompetitif.

Di Malaysia, Dashing, ataupun Dàshèng membawa maksud ‘monkey king‘ ini bakal bersaing dengan SUV segmen C yang terkenal seperti Honda CR-V, Proton X70 dan juga Toyota Corolla Cross.

Dengan harga jualan di bawah julat RM120,000, adakah Jetour Dashing ini mampu menjadi satu alternatif yang lebih baik?

Berikut merupakan ulasan awal kami berdasarkan pemanduan ringkas yang dibuat tempoh hari dari Ara Damansara menuju ke Sekinchan.

 

Luaran

Tatkala rata-rata model di dalam kategori SUV segmen C di sini mempunyai rekaan yang agak selamat namun membosankan, Jetour Dashing tiba untuk memecahkan tradisi tersebut dengan rekaan yang lebih ranggi dan menonjol.

Atau patutkah kami gelarkannya sebagai rojak?

Ini kerana Dashing menampilkan gabungan imej yang wujud daripada SUV mewah Lamborghini Urus, dengan lampu nyalaan siang DRL seakan mata adiwira Iron Man, profil sisi SUV coupe yang sporti dan belakang pula ada elemen bendera berkotak-kotak (chequered flag).

Pada kami, untuk melengkapkan lagi imej sporti SUV ini, elemen krom pada bahagian sisi boleh digelapkan, selain tidak menjadikan tip ekzos tersembunyi di sebalik diffuser yang garang itu.

Mungkin ada yang berpendapat, Jetour Dashing ada unsur elemen SUV jenama Porsche.

Pandangan anda itu ada benarnya.

Ini kerana reka bentuk Jetour Dashing ini merupakan hasil kerja tangan Hakan Saracoglu, seorang bekas pereka Porsche yang sebelum ini bertanggungjawab hasilkan model-model penting seperti 918 Spyder, Boxster dan Cayman.

Hasilnya, sebuah SUV segmen C dengan rekaan yang cukup mencuri tumpuan di atas jalan raya, dan nyata berbeza jika dibandingkan dengan model-model pesaing yang mempunyai imej SUV keluarga.

 

Dalaman

Susun atur papan pemuka Jetour Dashing ini merupakan tetapan tipikal yang wujud pada mana-mana SUV buatan China, terutama dari keluarga besar Chery.

Menurut Jetour, Dashing ini menggunakan pendekatan ‘wrap-around‘ yang diadaptasikan daripada reka bentuk rumah tradisional China, diikuti dengan elemen kereta mewah buatan Jerman turut menguasai bahagian tersebut, seperti yang terdapat pada roda stereng dan butang menghidupkan enjin.

Terdapat panel skrin memanjang yang menempatkan paparan kluster digital 10.25 inci dan skrin infohibur sebesar 10.25 inci, dan panel kawalan khusus untuk sistem pendingin hawa yang terletak di bawah corong tengah.

Untuk pemandu dan penumpang baris depan disediakan tempat duduk gaya bucket yang nampak sesuai dengan tema sporti yang cuba dibawakan.

Binaan kerusi depan ini mampu memegang erat badan manusia daripada tergelongsor ke tepi cuma rekaannya mungkin agak sempit terutama untuk mereka yang berjisim besar.

Satu pujian harus diberikan pada Dashing kerana menawarkan tempat duduk baris kedua yang cukup empuk dan selesa, dalam masa yang sama tidak menawarkan sudut sandaran yang terlalu menegak.

Walaupun daripada sudut luaran SUV coupe ini nampak kecil, namun masih ada ruang kepala yang cukup besar, serta struktur lantai rata untuk ruang kaki yang lebih luas.

Ternyata, duduk di belakang rasa lebih selesa dan memuaskan hati (dan perut yang kekenyangan) sewaktu perjalanan pulang ke Ara Damansara, dengan keadaan kabin yang senyap tanpa gangguan bunyi bising daripada luar.

Cuma anda perlu sedikit bersabar untuk menikmati tiupan angin sejuk daripada corong baris kedua yang agak sukar untuk ditetapkan sudut arah tiupan anginnya.

Untuk kemudahan penumpang, terdapat beberapa slot pengecasan jenis USB tersedia serta slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar 50W yang tersedia pada konsol tengah.

Di dalam kabin Dashing juga anda boleh merasai pengalaman menyimpan payung kecil pada ruang khas yang terdapat pada setiap panel pintu – ibarat macam kereta Rolls-Royce!

Berbalik semula kepada tempat duduk pemandu, kami dapati skrin kluster digital tersebut mudah untuk dibaca, namun dilengkapi dengan respons grafik yang agak perlahan.

Perkara ini anda boleh perasan sewaktu fasa pecutan, di mana ia dipaparkan dengan pergerakan jarum rpm yang tidak lancar, dan tidak selaras dengan ngauman bunyi enjin sewaktu pedal pendikit ditekan.

Selain itu, anda perlu mengakses pilihan mod pemanduan (Eco/Sport) daripada skrin tengah kerana tiada butang fungsi khas disediakan untuk itu.

 

Pemanduan tidak seagresif rupa

Jetour Dashing dijana dengan enjin empat silinder sebaris 1.5 liter turbo yang mampu menghasilkan kuasa 154 hp dan daya kilas 230 Nm. Ya, ia merupakan enjin yang sama digunakan pada SUV segmen B Chery Omoda 5.

Kuasa itu disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi klac berkembar enam-kelajuan.

Atas kertas memang nampak berkuasa, cuma di dalam dunia yang sebenar sukar untuk kami dapatkan respons yang mengujakan untuk menggerakkan SUV ini dengan lancar daripada pegun.

Malah dalam ujian pecutan Jetour Dashing ini sukar untuk menyaingi kehebatan prestasi yang ditunjukkan oleh SUV segmen B yang kerap menguasai lorong kanan lebuh raya.

Jadi, untuk siapa Jetour Dashing ini?

Bagi kami, Jetour Dashing dengan rupa paras seakan Urus ini lebih sesuai untuk dinikmati oleh mereka yang mahukan pemanduan lebih santai dan tidak terburu-buru untuk mengejar lampu isyarat bertukar merah. Ia tidak perlu dipandu laju pun untuk menarik tumpuan orang ramai.

Aspek pemberhentian juga tidak mengecewakan, cuma dari sudut pengendalian Dashing mungkin sekali akan mengecewakan sesetengah pihak yang mengharapkan pemanduan mengujakan daripada SUV yang nampak sporti ini.

Ini kerana talaan suspensi topang MacPherson dan Multilink pada Dashing ini lebih cenderung untuk membuatkan perjalanan yang lebih selesa sepanjang masa, dengan segala bentuk hentakan dan ketidakrataan jalan berjaya diserap tanpa menyebabkan gegaran ketara.

Senang cerita, ia tidak direka untuk pemanduan yang agresif.

Respons sistem stereng ringan dan mudah untuk dikawal, cuma ia kekurangan maklum balas dan input yang anda cuba dapatkan terutama ketika sedang melayan selekoh.

Apa yang kami suka tentang Jetour Dashing ini ialah tahap kebisingan, gegaran dan kekasaran (NVH) yang cukup baik, di mana bunyi bising daripada aliran angin dan ngauman enjin berjaya ditapis dengan baik untuk memastikan ruang kabin kekal senyap sepanjang perjalanan.

 

Ciri keselamatan boleh ditambah baik

Secara standard, Jetour Dashing dilengkapi dengan empat beg udara, sistem brek anti-kunci (ABS), Agihan Daya Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) serta Sistem Kawalan Cengkaman (TCS).

Beralih kepada varian Prime yang kami pandu uji tempoh hari, anda akan mendapat ciri ekstra termasuklah tambahan dua beg udara (kepada enam unit), serta ciri bantuan pemandu (ADAS) yang asas seperti amaran penukaran lorong, sistem pemantauan titik buta (BSM), amaran lintasan trafik belakang (RCTA) serta sistem kamera keliling.

Sayang sekali, varian Prime ini tidak dilengkapi dengan fungsi brek kecemasan autonomi (AEB) secara standard, satu kekurangan ketara untuk model baharu yang dijual pada tahun 2025.

 

Jetour Dashing: Untuk siapa?

Dalam pasaran yang sudah dibanjiri dengan bermacam-macam model SUV keluarga, kami berpendapat Jetour Dashing ini lebih sesuai untuk mereka yang mahukan sebuah SUV yang cukup bergaya pada harga yang lebih mampu milik.

Ia bukan sahaja mempunyai reka bentuk yang cukup ranggi, ada ruang kabin yang selesa untuk seisi keluarga, praktikal dan sarat dengan ciri-ciri yang moden.

Yang paling penting, dengan harga jualan RM116,800, anda mungkin akan berfikir dua tiga kali jika sebelum ini pernah terfikir untuk mendapatkan model pesaing yang lebih mahal harganya.

 

Spesifikasi Jetour Dashing 2025


Enjin: Empat silinder sebaris 1.5 liter turbo
Kuasa: 154 hp, 230 Nm
Transmisi: Klac berkembar enam-kelajuan
Pacuan: Roda depan
Suspensi: Topang MacPherson, tetapan Multilink belakang
Ruang kargo: 486 liter, atau sehingga 977 liter

 

Generasi ketujuh Subaru Outback 2026 tampil lebih lasak, rekaan lebih petak

Sejak beberapa generasi terdahulu, Subaru Outback dikenali sebagai sebuah station wagon yang sedia untuk dibawa masuk ke jalan off-road.

Untuk model generasi ketujuh yang baru sahaja dilancarkan di peringkat global dan bersempena dengan sambutan ulang tahun yang ke-30, Subaru Outback kembali dengan penampilan yang lebih berani.

Tiada sebarang perincian berkenaan dimensi wagon off-road baharu ini.

Namun, Subaru Outback bakal menawarkan jarak kelegaan tanah setinggi 220 mm, dan reka bentuk yang lebih berkotak bertujuan untuk memaksimumkan penawaran ruang kabin.

Dengan garis bumbung 50.8 mm lebih tinggi dan bukaan yang lebih lebar, ruang kargo Outback kini mencecah sehingga 991 liter.

Muka depan Outback menampilkan rekaan lampu utama bertindih, struktur jeriji yang lebih besar, sementara bahagian sisi pula membawakan gerbang roda yang lebih berisi.

Rel bumbung Outback ini mampu menampung beban statik seberat 363 kg.

Untuk ruang kabin pula, terdapat skrin tengah sebesar 12.1 inci, serta skrin kluster digital 12.3 inci yang turut menyokong Apple CarPlay dan Android Auto secara nirwayar.

Butang kawalan HVAC (pemanas, ventilasi dan pendingin hawa) masih lagi format fizikal yang ditempatkan di bawah skrin tengah.

Dari segi kuasa, Subaru Outback 2026 mengekalkan enjin 2.4 liter turbo yang kini menghasilkan kuasa 260 hp, atau pilihan enjin 2.5 liter aspirasi semula jadi menghasilkan 180 hp.

Kedua-dua enjin dipadankan dengan transmisi CVT dan sistem pacuan semua roda Symmetrical All-Wheel Drive secara standard.

Mahukan yang lebih lasak?

Subaru Outback boleh didapati dalam varian Wilderness, di mana ia hadir dengan beberapa ciri unik.

Seperti contoh, ia hadir dengan bampar hadapan yang lebih agresif lengkap dengan perkataan SUBARU, plastik pelindung badan hitam kusam, aksen spesifik Wilderness, perlindungan bawah badan tambahan, rim 17 inci, tayar all-terrain, dan sistem peredam suspensi kawalan elektronik.

Sudut penting untuk pemanduan off-road bagi model Wilderness ini turut ditambah baik berbanding dengan Outback standard, seperti contoh sudut pendekatan 20 darjah, sudut pelepasan 22.5 darjah dan sudut breakover 21.2 darjah.

Ia juga berupaya menunda beban sehingga 1,500 kg yang dibantu dengan bampar belakang yang telah disemak semula dan perkakasan cangkuk trailer yang dinaik taraf.

Untuk ruang kabin, Outback Wilderness didatangkan bahan upholsteri kalis air secara standard, atau opsyen untuk bahan kulit Nappa berventilasi.

 

Continental UltraContact UX7 khas untuk SUV kini di Malaysia – saiz 15 hingga 22 inci

Bagi memenuhi keperluan praktikal pemandu SUV di kawasan bandar, Continental Tyres kini memperkenalkan tayar khusus untuk SUV, iaitu UltraContact UX7 yang bakal dipasarkan bermula suku kedua tahun ini.

UltraContact UX7 baharu ini diperkasakan dengan teknologi SUV Confidence+ dengan penekanan pada tiga aspek utama, iaitu keselamatan, ketahanan dan pemanduan yang lebih senyap.

Ciri X-Force Macroblocks pada UX7 ini mampu memaksimumkan kawasan sentuhan dengan jalan untuk menghasilkan jejak yang lebih lebar demi pengendalian dan kesetabilan atas apa jua permukaan jalan.

Ia juga dibantu dengan formulasi Adaptive Diamond Compound untuk jarak brek yang lebih pendek atas jalan basah dan kering, serta saluran unik Aqua Channel untuk mempertingkatkan proses aliran air keluar.

Binaan tayar UltraContact UX7 diperkukuh dengan rekaan Robust360 Construction yang merangkumi tali pinggang keluli bertetulang untuk menyerap hentakan, serta reka bentuk struktur karkas yang lebih kukuh untuk mengurangkan risiko kerosakan tayar.

Rantai polimer dalam Diamond Compound pula dapat meningkatkan prestasi ketahanan dan mengelakkan kerosakan seperti rekaan dan serpihan – ciri penting untuk menjamin ketahanan yang lebih tinggi dan jangka hayat yang lebih lama.

Akhir sekali, UltraContact UX7 mempunyai rekaan bunga tayar yang dapat meminimumkan getaran dan mengurangkan penghasilan bunyi, serta teknologi Noisebreaker 3.0 untuk memastikan suasana ruang kabin yang lebih tenang dan senyap.

Tayar UltraContact UX7 boleh didapati dalam saiz 15 hingga 22 inci, sesuai untuk kebanyakan kenderaan crossover, SUV saiz sederhana dan premium.

Ia boleh didapati di semua outlet jenama Continental, atau kedai rasmi Continental di Shopee, Touch ‘n Go (TnG) e-Wallet atau Lazada.

Generasi ketiga Nissan LEAF kini berbentuk crossover dengan jarak pandu cecah 600 km

Kereta elektrik bateri Nissan LEAF telah pun berada di pasaran dunia sejak tahun 2010 lagi, dan telah pun bertahan selama dua generasi membawakan bentuk badan hatchback.

Namun untuk generasi ketiga, Nissan LEAF diberikan bentuk badan crossover selari dengan permintaan pasaran yang lebih cenderung ke arah model-model berbadan besar.

Dibina berdasarkan platform CMF-EV yang dimiliki oleh pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi, LEAF baharu membawakan ukuran dimensi yang lebih tinggi, namun sedikit pendek berbanding LEAF sedia ada.

Berdasarkan rekaan yang dipamerkan, tidak syak lagi LEAF banyak meminjam elemen penggayaan yang wujud pada Ariya EV, selain mempunyai bentuk badan aerodinamik dengan kadar pekali seretan 0.25.

Nissan tidak mendedahkan spesifikasi LEAF dengan lebih lanjut.

Namun, menurut ketua produk Nissan Eropah Francois Bailly menjelaskan model LEAF baharu ini mampu menawarkan jarak gerak dunia sebenar melebihi 598 km.

Beliau menambah, LEAF akan turut mendapat sistem infohibur terkini berasaskan Google, dibantu dengan sistem bantuan pemandu termaju.

 

Jaecoo J8 dipertontonkan untuk pasaran Malaysia – harga anggaran dari RM195k

Tahun ini, Jaecoo Malaysia tidak menang tangan.

Dalam tempoh kurang sebulan selepas pelancaran model terbaharu Jaecoo J7 PHEV, kini sebuah lagi model akan dilancarkan tidak lama lagi – Jaecoo J8.

Telah pun diperlihatkan sebelum ini pada awal tahun 2024, Jaecoo J8 kini dipertontonkan kepada umum di One Utama Shopping Centre, Petaling Jaya bermula 27 hingga 30 Mac ini.

Dari segi spesifikasi, Jaecoo J8 membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,820 mm, lebar 1,930 mm, tinggi 1,699 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,820 mm.

Dengan dimensi yang agak panjang, Jaecoo J8 boleh didapati dalam versi dua baris (lima tempat duduk) atau tiga baris (enam tempat duduk).

SUV ini dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbo, menghasilkan 249 PS dan 385 Nm yang dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan, serta pilihan pacuan roda depan atau pacuan semua roda (AWD).

Aspek pemanduan turut dibantu dengan ciri Continuous Damping Control (CDC) yang dikhususkan untuk varian AWD, selain keupayaan untuk mengharung air sedalam 450 mm.

Ciri luaran termasuklah sistem pencahayaan LED penuh, rim aloi 20 inci, pemegang pintu tertanam, struktur jeriji stail Panamericana Mercedes, serta rekaan bumbung terapung.

Untuk ruang kabin pula, ia didatangkan dengan susun atur papan pemuka yang mengingatkan kita pada jentera Mercedes-Benz E-Class, diikuti dengan skrin berkembar 12.3 inci, serta bumbung panorama.

Jaecoo J8 2WD turut mendapat ciri seperti sistem kamera 540 darjah sistem audio Sony dengan 12 pembesar suara, serta ruang kargo sebesar 738 liter.

Versi AWD pula mendapat ciri seperti sistem audio Sony dengan 14 pembesar suara, 10 beg udara, sistem pewangi automatik, 10 beg udara, sistem kunci berasaskan NFC, tempat duduk baris pertama dan kedua boleh laras elektrik, fungsi ventilasi untuk pemandu, kemasan kulit serta suede pada ruang kabin.

Tidak seperti versi 2WD, J8 AWD hanya menawarkan ruang kargo sebesar 200 liter.

Harga jualan anggaran bermula dari RM195,000 untuk versi 2WD, dan mencecah sehingga RM220,000 untuk versi AWD.

Rakyat Malaysia yang berminat boleh melihat dengan lebih dekat SUV Jaecoo J8 ini di One Utama Shopping Centre (GF Luxe) bermula 27 hingga 31 Mac, diikuti Queensbay Mall (9-13 April) dan Malaysia Autoshow 2025 (8-15 Mei).

Nota: Unit Jaecoo J8 yang diparkir di luar merupakan unit pra-produksi, dan tidak menggambarkan spesifikasi akhir J8 yang akan dilancarkan kelak.

Saingan sengit bukan halangan bagi Proton X-Series

Walaupun menghadapi persaingan sengit daripada jenama lain, Proton berkata barisan SUV-nya yang dikenali sebagai X-Series kekal teguh dalam pasaran.

X50

Menurut syarikat itu, X50 muncul sebagai SUV terlarisnya dengan jumlah jualan sebanyak 23,647 unit pada tahun lepas. Versi 2024 yang dilancarkan pada 4 Jun tahun lalu menerima sambutan memberangsangkan dengan lebih 8,000 unit tempahan diterima dalam bulan pertama. Sebanyak 13,780 unit X50 2024 terjual pada tahun lalu, iaitu 58.3% daripada jumlah keseluruhan jualan model ini.

Sementara itu, X50 Sport Edition pula menerima 941 tempahan dan 299 unit telah didaftarkan dalam masa kurang daripada sebulan selepas dilancarkan.

Kajian terbaru terhadap lebih 1,300 pelanggan mendedahkan bahawa pemilik Proton X50 tertarik kepada gabungan ciri-ciri, prestasi enjin, serta ruang kabin yang luas.

X70

SUV pertama Proton iaitu X70 pula mencatatkan jualan sebanyak 5,628 unit bagi versi 2025. Jumlah ini mewakili 62.6% daripada keseluruhan jualan sebanyak 8,992 unit pada tahun 2024.

Berdasarkan tinjauan terbaru yang sama, antara faktor penting yang mempengaruhi keputusan pembelian adalah kecekapan penggunaan bahan api, ciri-ciri yang ditawarkan, dan prestasi enjin.

Dilancarkan pada Ogos tahun lalu, X70 2025 menawarkan pelbagai peningkatan berbanding model sebelumnya, merangkumi gaya luaran yang diperbaharui, kelengkapan dalaman yang terkini, dan teknologi keselamatan ADAS Tahap 2 yang dinaik taraf.

X90

 

SUV segmen D iaitu X90 terus mendominasi pasaran sejak dilancarkan dua tahun lalu, dengan 3,553 unit diserahkan pada tahun 2024.

Proton berkata, pembeli tertarik dengan kombinasi prestasi pemanduan yang baik, ruang penyimpanan yang luas, dan nilai yang berbaloi dengan wang yang dibelanjakan.

Sekitar 30% daripada pembeli memilih kereta ini kerana prestasi pemanduan yang menyakinkan, sementara 27% lagi tertarik dengan ruang penyimpanan yang luas, nilai yang berbaloi dengan wang, serta jumlah ciri yang ditawarkan berbanding pesaing. Pemilik X90 mempunyai keluarga dan anak-anak dengan profil pembelian yang serupa dengan X50.

“Respons positif pasaran terhadap barisan model kami adalah bukti jelas kepercayaan dan kesetiaan yang telah kami raih daripada pelanggan. Kami terus berdedikasi untuk menghasilkan kenderaan yang memberikan prestasi cemerlang, ciri-ciri menarik, dan nilai yang berbaloi, untuk masa yang akan datang,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

ETCM umum Nissan Kicks e-Power akan dihantar dalam tempoh beberapa minggu

Edaran Tan Chong Motor (ETCM) mengumumkan crossover baharu Nissan Kicks e-Power akan dihantar kepada para pelanggannya dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Menurut Khoo Cheng Pah, Ketua Pegawai Eksekutif Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd berkata, “kami teruja untuk berkongsi bahawa Nissan Kicks e-Power kini berada di landasan untuk penghantaran dalam beberapa minggu akan datang.

“Pasukan kami komited mempercepatkan proses ini untuk memastikan pelanggan kami dapat merasai teknologi e-Power secepat mungkin.”

Dilancarkan secara rasmi di Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2024, Nissan Kicks e-Power ini dilengkapi dengan sistem e-Power generasi kedua yang menawarkan penggunaan bahan api yang lebih cekap (21.7 km/liter), serta jarak pemanduan sejauh 900 km untuk setangki penuh.

Sistem e-Power itu terdiri daripada motor elektrik 129 PS/280 Nm, enjin 1.2 liter HR12DE (82 PS/103 Nm) yang bertindak sebagai unit penjana kuasa dan pek bateri 2.06 kWh.

Nissan Kicks e-Power serba baharu ini sudah boleh ditempah dalam dua varian, iaitu VL dan VLT dengan harga jualan bermula dari RM113,800 sahaja.

Nissan Kicks e-Power mampu pacu kebangkitan Tan Chong? – Pandu uji ringkas

Subaru Crosstrek Hybrid 2026 kini dengan nadi hibrid generasi baharu, 194 hp

Subaru Crosstrek 2026 generasi ketiga kini tampil dengan varian yang dilengkapi dengan unit rangkaian kuasa hibrid generasi baharu.

Seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini, Crosstrek Hybrid 2026 didatangkan dengan unit hibrid yang terdiri daripada enjin boxer 2.5 liter (158 hp, 209 Nm), dua motor elektrik dan pek bateri lithium-ion berkapasiti 1.1 kWh, menghasilkan kuasa keseluruhan 194 hp.

Menariknya, Crosstrek Hybrid masih lagi kekal dengan sistem pacuan semua roda Subaru Symmetrical AWD yang tulen, bermakna kehadiran sistem hibrid itu tidak langsung mengorbankan keupayaan pemanduan atas jalan mahupun off-road yang responsif.

Dari sudut luaran, tidak banyak perbezaan yang dibawakan pada model hibrid ini jika dibandingkan dengan model standard, kecuali dengan emblem Hybrid yang membawakan logo enjin bentangan mendatar serta rim aloi kelabu gelap bersaiz 18 inci.

Jarak kelegaan tanah Subaru Crosstrek Hybrid masih lagi kekal pada angka 220 mm.

Untuk ruang kabin, crossover ini dilengkapi dengan skrin kluster digital 12.3 inci, diikuti dengan skrin infohibur tengah sebesar 11.6 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto secara nirwayar.

Kesemua varian Subaru Crosstrek Hybrid 2026 akan dilengkapi dengan ciri keselamatan termaju EyeSight yang menawarkan fungsi seperti sistem pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal dan kawalan jelajah adaptif termaju serta ciri keselamatan aktif lain seperti sistem brek mengundur automatik, pengesanan titik buta, dan amaran lintasan trafik belakang.

Terdapat dua warna baharu untuk Subaru Crosstrek Hybrid, iaitu Sand Dune Pearl dan Citron Yellow Pearl.

Lebih banyak perincian bakal diumumkan menjelang pelancaran rasmi yang dijadualkan berlangsung pada musim luruh tahun ini.

MINI Aceman rasmi, crossover elektrik 218 hp/330 Nm, jarak gerak 406 km, dari RM213,888

MINI Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan model crossover elektrik terbaharu, MINI Aceman untuk pasaran tempatan.

Dari segi saiz, MINI Aceman diposisikan di tengah-tengah antara model MINI Cooper dan MINI Countryman, namun masih mengekalkan ciri pengendalian ala go-kart, terima kasih kepada titik graviti yang rendah.

Ia dikuasakan oleh motor elektrik tunggal berkuasa 218 hp/330 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.1 saat.

Pek bateri 54.2 kWh pula membenarkan jarak gerak sejauh 406 km untuk sekali cas penuh (data WLTP), menjadikannya sesuai untuk kegunaan dalam bandar dan pemanduan hujung minggu.

MINI Aceman menyokong pengecasan AC 11 kW, serta pengecasan pantas DC sehingga 95 kW di mana bateri boleh dicas 10-80 peratus dalam masa 30 minit sahaja.

Crossover elektrik ini turut dilengkapi dengan sistem automatic battery preconditioning untuk memastikan prestasi pengecasan yang optimum dan membolehkan pengguna menetapkan masa pengecasan mengikut keperluan.

Dari segi luaran, MINI Aceman tampil dengan struktur jeriji oktagon, lampu utama LED bersegi, rim bersaiz 19 inci, rel bumbung, serta plastik pelindung badan yang menghiasi gerbang roda.

Masuk ke dalam kabin, MINI Aceman membawakan skrin bulat OLED 240 mm yang dikuasakan oleh MINI Operating System 9, penggunaan bahan upholsteri kitar semula, skrin paparan head-up, dan sistem bunyi keliling Harman Kardon.

MINI Aceman turut menyediakan mod pemanduan GO-KART, di mana pendikit menjadi lebih responsif untuk pemanduan yang lebih sporti.

Ciri keselamatan yang dimuatkan termasuklah Amaran Penukaran Lorong, Informasi Halaju, Amaran Pelanggaran Hadapan dengan intervensi brek, serta ciri Parking Assistant Plus yang merangkumi fungsi seperti Active Park Distance Control, Reversing Assist Camera dan Remote 3D View.

Harga jualan MINI Aceman bermula dari RM213,888 dengan ansuran bulanan serendah RM2,311 menerusi pembiayaan Easy Drive berdasarkan pinjaman 75 peratus untuk tempoh lima tahun.

MINI Aceman ini akan turut dipamerkan dalam siri jelajah MINI Roadshows di seluruh negara, bermula di The Exchange TRX dari 9 hingga 13 Oktober ini.

 

Peugeot 408 GT, sang singa untuk sang pemberani – Pandu Uji

Satu fakta perit yang perlu kita hadam pada masa kini ialah semua orang sekarang mahukan kereta spesifikasi redah banjir.

SUV. Crossover. Atau apa jua akronim tiga huruf yang diperkenalkan oleh setiap pengeluar bagi membezakan produk mereka dengan produk lain.

Disebabkan itu, kita sekarang boleh lihat pelbagai jenis model crossover SUV yang wujud di pasaran tempatan, dan yang menjadi mangsa, sudah tentu model sedan.

Peugeot 408 terbaharu yang ada di pasaran Malaysia ini tidak terkecuali daripada menjadi mangsa peng-SUV-an ini.

Adakah ia satu model yang terbaik untuk dibeli? Jemput baca ulasan ringkas kami sampai habis.

 

Reka bentuk luaran

Jika dua generasi terdahulu menampilkan bentuk badan sedan, generasi baharu Peugeot 408 kini merupakan sebuah kereta rojak moden yang dibina untuk mereka yang rasa berani untuk memandunya atas jalan.

Secara asasnya 408 masih lagi mengekalkan bentuk badan sedan, namun dengan rekaan belakang jenis liftback sebelum diserikan dengan elemen crossover keliling badan.

Ia bukanlah satu perkara yang baharu, memandangkan beberapa pengeluar lain juga menggunakan format rekaan yang sama, seperti contoh Citroen dengan C3X, serta Toyota menerusi model Crown Crossover.

Tidak semua orang suka akan format sebegini, namun ia boleh jadi satu model yang sesuai untuk mereka yang inginkan kelainan.

Atas jalan, Peugeot 408 GT memang nampak agresif dengan rekaan lampu utama berbentuk taring singa, lampu belakang dengan grafik kuku singa, serta rim 20 inci Monolithe berwarna hitam dengan rekaan yang sedikit.. aneh.

Dengan dimensi yang sedikit tinggi berbanding sedan dalam segmennya, diikuti dengan jarak kelegaan tanah 189 mm, susah untuk mengklasifikasikan Peugeot 408 ini sebagai sebuah crossover SUV. Penulis lebih senang menggelarkannya sebagai crossover sedan.

Seperti yang telah ditekankan, rekaan yang dibawakan oleh Peugeot 408 ini memang bukan untuk semua orang, hanya untuk sang pemberani sahaja.

 

Kabin serba moden, tapi…

Peugeot 408 GT membawakan susun atur Peugeot i-Cockpit tiga dimensi yang jauh lebih moden berbanding 408 yang terdahulu.

Terdapat roda stereng jenis atas dan bawah rata, skrin kluster digital 10 inci dengan paparan grafik tiga dimensi, skrin infohibur sebesar 10 inci, serta skrin i-Toggles di mana pemandu boleh menetapkan sehingga lima fungsi pintas yang berbeza mengikut keperluan peribadi.

Secara standard, varian Peugeot 408 GT yang kami pandu uji ini turut dilengkapi dengan tempat duduk balutan kulit Nappa yang telah mendapat pengiktirafan daripada badan bebas Aktion Gesunder Rücken (AGR) yang mempromosikan kesihatan tulang belakang.

Ada juga fungsi urut terbina dengan beberapa mod yang diinspirasikan oleh haiwan seperti kucing dan ular yang tersedia untuk pemandu dan penumpang hadapan.

Dengan ciri moden yang disebutkan itu tadi, aspek keselesaan sememangnya bukanlah satu masalah utama.

Biarpun dengan kehadiran panel butang fungsi pintas yang boleh dikustom, penulis tetap berpendapat fungsi-fungsi yang kerap digunakan seperti kawalan iklim tidak perlu disumbatkan ke dalam skrin utama.

Skrin infohibur yang dibekalkan dari kilang itu menawarkan paparan grafik yang agak jelas dan tajam, cuma boleh ditambahbaik dengan pergerakan grafik yang lebih cepat dan lancar.

Agak menjengkelkan apabila kita mahu cepat untuk menurunkan suhu kabin, akan tetapi anda perlu menunggu dalam masa beberapa saat sehingga grafik ‘loading’ tersebut habis dimainkan.

Mujur juga Peugeot 408 datang standard dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto secara nirwayar, jadi kebanyakan masa mata hanya perlu memerhati paparan peta nagivasi serta pemilihan muzik yang bersesuaian dialunkan oleh sistem Audio Focal dengan 10 pembesar suara itu.

 

Enjin bertenaga

Untuk pasaran Malaysia, Peugeot 408 hanya didatangkan dengan satu pilihan enjin sahaja, iaitu nadi empat silinder sebaris 1.6 liter turbo PureTech.

Ia mampu menghamburkan kuasa setinggi 218 hp @ 5,750 rpm dan daya kilas 300 Nm @ 2,000 rpm yang disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi automatik lapan-kelajuan.

Pecutan di persimpangan lampu isyarat bukanlah satu kelemahan bagi crossover sedan ini, malah atas lebuh raya Peugeot 408 ini mampu untuk memalukan mana-mana sedan berenjin aspirasi semula jadi.

Untuk setangki penuh, penulis berjaya mencatatkan angka perbatuan sejauh 510 km.

 

Pemanduan

Dari tempat duduk pemandu, penulis sebenarnya perlu mengambil masa untuk membiasakan diri dengan susun atur i-Cockpit 3D Peugeot 408 GT ini.

Ini kerana berbanding kereta-kereta lain, anda perlu membaca skrin kluster digital daripada atas roda stereng. Jika ditetapkan terlalu tinggi posisinya, anda mungkin sukar melihat panel meter tersebut.

Sama seperti skrin infohibur, skrin kluster digital ini juga memaparkan pergerakan grafik yang agak lambat untuk sebuah kereta moden.

Ia masih lagi menawarkan paparan meter stail analog, namun dengan antara muka yang lebih ringkas.

Biarpun datang dengan rekaan roda stereng yang tidak simetri, Peugeot 408 masih lagi menawarkan respons pengendalian yang secukup rasa, tidaklah terlalu sporti namun masih lagi sedap untuk dinikmati terutama apabila bertembung dengan selekoh.

Aspek gantungan Peugeot 408 yang terdiri daripada topang MacPherson dan multilink di belakang itu memadai apabila kereta ini dipandu pada permukaan jalan yang mahal buatannya di mana olengan badan dirasakan pada tahap yang boleh diterima. Almaklumlah, kereta tinggi.

Musuh utama Peugeot 408 ialah permukaan jalan raya yang tidak rata, terutama apabila bertembung dengan lubang jalan serta tahi simen.

Lebih menjengkelkan apabila kita sedang sedap layan selekoh, ada lubang atau tahi simen bertompok di atas jalan di mana sedan ini amat senang untuk meloncat dan ‘keluar dari landasan’ yang ditetapkan oleh pemandu.

Tidak semua perkara negatif dirasakan pada Peugeot 408 ini.

Yang paling dihargai ialah aspek NVH ruang kabin yang agak baik, di mana sebarang kekasaran dan bunyi bising enjin berjaya ditapis dengan baik supaya tidak mengganggu ketenteraman pemandu dan penumpang sepanjang perjalanan.

 

Praktikal

Peugeot 408 GT masih lagi menawarkan ruang kabin yang praktikal untuk seisi keluarga, biarpun kini dengan bentuk badan crossover sedan yang agak berani itu.

Seperti contoh pada konsol tengah, terdapat slot khas untuk pengecasan peranti pintar tanpa wayar, diikuti ruang di bawah untuk meletakkan peranti pintar lain dan ada lubang khas yang boleh digunakan untuk meletakkan peranti SmartTag.

Tuil transmisi yang comel itu turut menyumbang kepada ruang kabin yang lebih luas.

Terdapat juga ruang storan di bawah tempat merehatkan tangan di tengah dengan bukaan terpisah, sementara untuk keselesaan penumpang belakang terdapat corong pendingin hawa baris kedua disediakan.

Walaupun dari luar nampak macam sempit, ruang kabin Peugeot 408 sebenarnya menyediakan ruang kepala dan ruang kaki yang cukup selesa untuk penumpang dewasa.

Cuma, struktur cermin belakang yang agak kecil itu menyukarkan mana-mana pemandu olskool untuk memandang ke belakang sewaktu meletakkan kereta dalam kotak parkir.

Mujur juga Peugeot 408 ini ada kamera keliling 360 darjah yang cukup jelas untuk kita memerhatikan kehadiran bendasing yang wujud di persekitaran.

Tidak cukup dengan itu, Peugeot 408 menawarkan kapasiti ruang kargo sebesar 536 liter, dan boleh mencapai sehingga 1,538 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

 

Harga yang… agak mahal

Disebalik rupa paras yang berani dan ciri-ciri yang serba moden disebutkan tadi, seperkara yang membuatkan Peugeot 408 ini nampak tidak menyelerakan ialah tanda harga yang ditetapkan.

Untuk pasaran Malaysia, anda boleh dapatkan Peugeot 408 versi asas Allure dengan harga jualan bermula dari RM146,055.

Kedengaran munasabah bukan?

Cuma, untuk varian GT yang dilengkapi dengan tambahan ciri yang lebih premium, harga jualan yang ditetapkan ialah bermula dari RM196,055.

Geng baik beli mungkin akan mencadangkan supaya lebih baik tambah duit sikit dan beli sedan segmen D yang jauh lebih besar dan selesa.

Sebab itu penulis lebih gemar untuk mengulangi hujah yang disebutkan di awal penulisan, “Peugeot 408: Sebuah ‘Singa Perancis’ untuk Sang Pemberani”.

 

Spesifikasi Peugeot 408 GT

Enjin: empat silinder sebaris 1.6 liter turbo
Kuasa: 218 hp @ 5,750 rpm, 300 Nm @ 2,000 rpm
Transmisi: Automatik 8-kelajuan
Pacuan: Roda depan
Suspensi: Topang MacPherson/Multilink
Saiz tayar: 245/40 R20
Harga: RM196,555 OTR

Crossover elektrik smart #5 2025 debut, tawar jarak pemanduan sejauh 740 km

Beberapa bulan selepas model Concept #5 diperlihatkan, smart akhirnya memperkenalkan model crossover baharu #5 2025.

smart #5 secara asasnya merupakan sebuah SUV saiz pertengahan premium yang membawakan bentuk badan berkotak dengan saiz yang menyamai sebuah SUV GLC-Class.

Berikut merupakan informasi yang perlu anda tahu tentang smart #5:

 

1. Dimensi

smart #5 berukuran 4,705 mm panjang, 1,920 mm lebar, 1,705 mm tinggi dengan jarak antara roda sepanjang 2,900 mm.

Sebagai perbandingan, smart #5 membawakan saiz yang lebih besar berbanding Mercedes-Benz GLB-Class, namun kecil sedikit berbanding GLC-Class.

 

2. Ruang storan

Disebabkan saiz yang lebih besar berbanding smart #1 dan #3, smart #5 mampu menawarkan lebih banyak ruang storan dalam ruang kabin, dengan kapasiti kargo mampu mencecah sehingga 1,530 liter.

Tidak cukup dengan itu, terdapat juga ruang ‘frunk’ di hadapan yang lebih sesuai digunakan untuk meletakkan barangan yang lebih kecil saiznya.

 

3. Kabin premium

Antara ciri mewah yang dimuatkan pada ruang kabin termasuklah tempat duduk graviti sifar, balutan kulit premium, trim kayu oak, sistem audio Sennheiser dengan 21 pembesar suara serta sistem pencahayaan ambien dengan 256 pilihan warna tersedia.

Papan pemuka menempatkan skrin kluster digital 10.3 inci, diikuti dua skrin sebesar 13 inci yang turut menampilkan avatar AI Leo, dan paparan head-up realiti terimbuh sebesar 25.6 inci.

Selain itu, terdapat juga tempat duduk baris belakang dengan fungsi pemanasan dan sudut sandaran boleh laras, penghadang cahaya matahari berkuasa elektrik, lampu bacaan LED ala kabin kelas pertama, dan mod selesa khas yang menyediakan lebih banyak ruang kaki.

Tempat duduk baris belakang juga boleh dilipat untuk menyediakan ruang tidur yang selesa.

 

4. Boleh gerak sejauh 740 km

smart #5 dibekalkan dengan pek bateri berkapasiti 100 kWh dengan jarak pemanduan sejauh 740 km (data CTLC).

Teknologi pengecasan 800 voltan juga membolehkan pengecasan pantas DC di mana bateri boleh dicas dari 10-80 peratus dalam tempoh 15 minit.

Berdasarkan info daripada laman web kementerian China, smart #5 bakal ditawarkan dengan versi RWD berkuasa 335 hp atau 358 hp, sementara versi pacuan semua roda (AWD) pula menggandingkan motor elektrik gandar depan berkuasa 221 hp dengan pilihan motor elektrik 358 hp atau 416 hp pada gandar belakang.

 

5. Ciri luaran

Tidak seperti smart #1 dan #3 yang nampak lebih bulat, smart #5 pula membawakan penampilan yang lebih gagah dan lasak.

Unit lampu utama membawakan bentuk yang lebih bersegi, diikuti padanan plastik pelindung keliling badan, pemegang pintu tertanam dalam badan, serta rim aerodinamik dengan penutup tengah jenis terapung.

Pemilik yang mahukan versi lebih lasak boleh mendapatkan varian Summit Edition yang menambah bar lampu pada bumbung, tempat pemijak sisi, tangga, perlindungan bawah badan, rim lebih agresif, cangkuk trailer serta kotak storan yang boleh dipasangkan pada tiang C/D.

Pandu Uji Lexus LBX 2024 Kali Pertama – Lima Perkara Yang Perlu Anda Tahu

Ini mungkin sekali kereta Lexus yang paling kecil pernah ditawarkan dan paling murah untuk sebuah kereta Lexus baharu yang wujud di pasaran.

Biarpun dengan ciri yang biasanya dikaitkan dengan kereta marhaen, namun Lexus LBX 2024 ini tetap menawarkan identiti yang tersendiri bagi menjadikannya sebahagian daripada keluarga kenderaan mewah Jepun yang ternama.

 

 

Baru-baru ini kami telah diberikan peluang untuk merasai sendiri pengalaman pertama memandu LBX merentas sempadan negeri Selangor-Pahang.

Walaupun jarak yang diberikan itu agak singkat, namun laluan yang telah ditetapkan itu merangkumi resepi yang diperlukan untuk kami menilai tahap pemanduan Lexus LBX atas jalan raya yang sebenar, bukan sekadar pusing-pusing mengelilingi pusat pameran semata-mata.

Berikut merupakan lima penemuan kami:

 

1. Platform Toyota, tapi dengan rekaan luaran identikal Lexus

 

Ini merupakan model Lexus pertama yang menggunapakai platform TNGA-B, menjadikan Lexus LBX model ‘kembar tidak seiras’ kepada model crossover Toyota Yaris Cross pasaran Eropah.

Dimensi ukuran LBX tidak jauh beza dengan ukuran Yaris Cross, namun LBX nampak lebih gagah duduk di atas jalan raya dengan struktur bahu yang lebih menonjol, diikuti dengan jeriji spindle tanpa rangka yang aerodinamik itu.

 

 

 

Malah, penampilan LBX lebih elegan dan ringkas di mana plastik pelindung gerbang roda lebih berbentuk bulat berbanding rekaan bersegi pada Yaris Cross.

Untuk rekaan belakang pula, LBX membawakan struktur lampu yang lebih ringkas yang dihubungkan dengan bar LED melintang. Logo L Lexus telah digantikan dengan perkataan L E X U S.

Bentuk cermin sisi LBX ini sebenarnya mengingatkan penulis pada sebuah lagi model Lexus yang lebih mahal dan berkongsi format nama tiga huruf, iaitu Lexus LFA.

 

2. Enjin hibrid tetapan tiga silinder sebaris

 

Secara standard, Lexus LBX hanya dilengkapi dengan enjin tiga silinder sebaris (kod M15A-FXS) yang dipadankan dengan sistem hibrid.

Enjin itu sahaja berupaya menjana kuasa 90 hp dan 120 Nm, sementara motor elektrik menyumbang 93 hp dan 185 Nm, dengan output keseluruhan dicatatkan sekitar 136 hp.

Mesti ramai yang skeptikal dengan enjin tiga dapur bukan? Geng Proton X50 mungkin dah lama buang perasaan tersebut jauh-jauh. Tak percaya, tengoklah model apa yang paling kerap kuasai laluan kanan lebuh raya pada ketika ini selain daripada model berkuasa rendah Perodua.

 

 

Walaupun dengan hanya enjin tiga silinder sebaris, tetapi bagi kami yang sudah merasai sendiri pemanduan LBX tempoh hari, boleh dikatakan respons yang diberikan sangat memuaskan hati.

Anda boleh menikmati pecutan yang menyeronokkan saat kereta beredar dari plaza tol atau lampu merah bertukar hijau di persimpangan lampu isyarat.

Kuasa yang dihamburkan itu sentiasa ada bila diperlukan pada kelajuan rendah, dibantu dengan kecekapan transmisi eCVT lapan kelajuan yang memastikan roda hadapan bergerak mengikut arahan pemandu.

Sama seperti mana-mana model hibrid Toyota (dan Lexus), Lexus LBX turut mempunyai mod EV bagi membolehkan crossover ini bergerak tanpa setitik minyak pada kelajuan yang rendah.

 

3. Tetapan suspensi ringkas, tapi sesuai dengan jalan raya Malaysia

 

Secara standard, Lexus LBX dipasangkan dengan topang MacPherson di hadapan, diikuti dengan torsion beam di bahagian belakang.

Nampak ringkas, dan sama saja macam model crossover segmen B yang ada di pasaran.

Namun, talaan yang diberikan pada sistem gantungan LBX ini menjadikannya seronok untuk dibelasah di laluan yang berliku, seperti contoh ‘litar kelajuan tinggi kegemaran ramai’ Lebuhraya KL-Karak.

 

 

Sepanjang pemanduan, SUV kecil ini rasa stabil dan melekat di setiap selekoh, dengan olengan badan yang terhasil apabila ia dipaksa secara agresif.

Untuk pemanduan yang biasa-biasa, olengan badan yang terhasil agak minimum, cukup sesuai dan selesa untuk kegunaan mereka yang tidak menggemari pemanduan yang bersemangat.

Paling penting, respons stereng itu sendiri yang sangat patuh pada setiap arahan pemandu, dan ia juga merupakan apa yang penulis harapkan pada sebuah Lexus setelah beberapa kali menguji model yang lebih besar dan mahal sebelum ini – Lexus ES, Lexus RX, dan Lexus NX.

 

 

Nak bercerita lebih, kami perlu pinjam LBX ini sekali lagi untuk ulasan yang lebih menyeluruh. Pendek kata, LBX merupakan salah sebuah Lexus yang seronok dipandu!

Dengan casis, enjin, transmisi, dan sistem gantungan yang mampu berkerja dengan harmoni, penulis rasa tidak sabar pula untuk menguji varian MORIZO RR yang datang dengan resipi  yang lebih istimewa – nadi tiga silinder sebaris GR Yaris dan transmisi manual!

Harapnya pihak Lexus Malaysia dapat mempertimbangkan varian ini kelak.

 

4. Konsep Tazuna yang menyenangkan pemandu

 

Sama seperti mana-mana model Lexus dalam pasaran, Lexus LBX turut mengutamakan konsep Tazuna pada rekaan kokpit pemandu.

Pada bahagian tersebut, Lexus telah meminimumkan kehadiran butang fungsi dan hanya mementingkan butang operasi yang penting sahaja, bertujuan untuk memaksimumkan tumpuan pemandu di atas jalan raya.

Skrin kluster digital 12.3 inci itu menawarkan informasi yang mudah untuk dibaca, samalah juga halnya dengan skrin tengah sebesar 9.8 inci yang turut menyokong sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto.

Saat penulis memegang stereng, ia menawarkan perasaan yang sukar untuk diungkapkan, seolah-olah ia memang dicipta untuk mereka yang menghargai dan menikmati pemanduan sebuah Lexus.

 

 

Tempat duduk hadapan juga agak selesa dan mampu memegang erat pemandu sepanjang tempoh pemanduan, dibantu dengan fungsi larasan berkuasa elektrik.

Sayang sekali, tempat duduk penumpang hadapan hanya diberikan larasan manual. Tidak menjadi satu masalah, selesa juga bila duduk di sebelah pemandu.

Aspek NVH crossover ini juga sangat baik, di mana boleh dikatakan kurang gegaran, bunyi bising angin dan ‘nyanyian’ tayar yang terhasil menderu masuk ke dalam ruang kabin.

Bohonglah kalau kami katakan bunyi enjin tidak kedengaran, ia masih lagi wujud, cuma runut yang lebih agresif hanya akan terhasil saat pedal pendikit dipijak rapat ke lantai. Itu pun tidaklah sebising yang disangka.

 

5. Lexus LBX, sesuai untuk siapa?

 

Satu perkara yang membuatkan LBX kurang sesuai untuk kegunaan seisi keluarga ialah tempat duduk belakang yang agak sempit.

Keadaan ini mungkin disumbangkan oleh struktur tempat duduk hadapan itu sendiri yang agak berisi, di mana ruang kaki penumpang belakang yang terhasil itu lebih terhad.

Mungkin sekali sesuai untuk kanak-kanak kecil, atau orang dewasa yang memiliki fizikal remaja belasan tahun.

 

 

Bahagian kargo pula menyediakan ruang sebesar 315 liter, cukup besar untuk memuatkan barangan keperluan harian.

Jadi, kalau LBX ini tidak sesuai untuk kegunaan keluarga, siapa yang lebih sesuai?

Bagi kami, ia mungkin sekali boleh dipertimbangkan sebagai kereta kedua yang digunakan khusus untuk kegunaan dalam bandar oleh golongan yang tidak mementingkan ruang, atau diberikan kepada anak-anak dan isteri muda yang baru mula belajar memandu.

 

 

Fizikalnya yang kecil, selain mudah untuk dipandu menjadikan Lexus LBX salah sebuah kereta mewah yang patut diberikan peluang.

Di penghujung hari, tidak semua orang mahukan kereta spesifikasi mewah bersaiz besar, bukan?

Untuk pasaran Malaysia, Lexus LBX dijual pada harga bermula dari RM238,888, dan boleh didapati dalam dua varian, iaitu Premium dan Luxury.

 

Lexus LBX 2024 rasmi di Malaysia, dua varian, harga dari RM238,888

Ucapkan selamat datang kepada Lexus LBX 2024, sebuah SUV kompak yang baharu sahaja dilancarkan untuk pasaran Malaysia.

Lexus LBX (Lexus Breakthrough X-over) diposisikan sebagai kenderaan Lexus aras mula yang direka untuk golongan yang lebih muda, serta mereka yang mahukan sebuah kenderaan yang dapat memenuhi keperluan gaya hidup aktif.

 

 

Ia merupakan kenderaan Lexus pertama yang dibina berdasarkan platform global TNGA-B, bermakna ia berkongsi pelantar yang sama dengan model Yaris Cross pasaran Eropah.

Lexus LBX direka berdasarkan pendekatan Lexus Next Chapter Design di mana ia masih lagi mengekalkan identiti signatur Lexus namun dengan karakter yang lebih kasual dan relaks.

 

 

Di bahagian hadapan, Lexus LBX menampilkan struktur jeriji spindle tanpa rangka yang lebih aerodinamik, serta unit lampu projektor tunggal dengan fungsi Auto High Beam yang mengintegrasikan lampu membelok berserta lampu nyalaan siang DRL LED.

Penampilan gagah LBX turut disumbangkan oleh struktur bahu yang lebar, diikuti dengan rekaan lampu belakang yang lebih kemas dihubungkan dengan bar LED yang nipis.

 

 

Untuk pasaran Malaysia, Lexus LBX hanya ditawarkan dengan nadi hibrid elektrik 1.5 liter (kod M15A-FXE), menghasilkan kuasa setinggi 136 hp dan 185 Nm yang dipadankan dengan eCVT lapan nisbah kelajuan.

Pecutan 0-100 km/j adalah sekitar 9.2 saat.

 

 

Ruang kabin Lexus LBX turut menerapkan pendekatan konsep Tazuna di mana susun atur papan pemuka telah diringkaskan serta butang kawalan telah diposisikan di sekitar pemandu bagi mewujudkan ruang yang lebih fokus terhadap pemanduan.

Antara kelengkapan yang wujud termasuklah skrin kluster digital sebesar 12.3 inci (7 inci untuk model Premium), skrin tengah sebesar 9.8 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta sistem audio Mark Levinson Premium Surround Sound dengan 13 pembesar suara (6 unit untuk LBX Premium).

 

 

Lexus LBX turut menerima manfaat keselamatan yang menyeluruh, terima kasih kepada kelengkapan Lexus Safety System+ yang merangkumi Amaran Pra-Pelanggaran, Kawalan Jelajauh Dinamik Radar, Bantuan Pengesanan Lorong, Bantuan Pengekalan Lorong, Bantuan Papan Tanda Jalan.

Selain itu, Lexus LBX didatangkan standard dengan sistem bukaan pintu e-latch untuk keempat-empat pintu yang dipadankan dengan sistem keselamatan Safe Exit Assist, Lexus Teammate Advanced Park, Amaran Lintasan Trafik Belakang dan Sistem Pemantauan Titik Buta.

Terdapat dua varian ditawarkan untuk pasaran Malaysia, iaitu Premium dan Luxury, dengan harga jualan bermula dari RM238,888 hingga RM268,888.

 

Mazda CX-50 2025 kini guna teknologi hibrid Toyota

Mazda telah mengemaskini penawaran crossover kompak Mazda CX-50 untuk model tahun 2025, di mana ia kini menggunakan unit rangkaian kuasa yang dipinjamkan daripada Toyota.

Secara spesifiknya, Mazda CX-50 2025 varian hibrid telah dilengkapi dengan Toyota Hybrid System, terdiri daripada nadi empat silinder sebaris 2.5 liter, tiga motor elektrik, pek bateri berkapasiti kecil dan transmisi CVT kawalan elektronik.

 

 

Tetapan yang sama digunapan pada beberapa model Toyota itu kini memberikan kuasa keseluruhan sebanyak 219 hp dan 221 Nm untuk CX-50 2025.

Biarpun sistem tersebut datangnya daripada Toyota, pihak jurutera Mazda telah menala kembali nadi hibrid tersebut bagi menawarkan respons pedal yang lancar serta dinamik pemanduan yang lebih terhubung dengan pemandu.

Selain itu, Mazda CX-50 versi hibrid kini mampu menawarkan keupayaan menunda muatan dengan berat sehingga 680 kg.

 

 

Sementara varian CX-50 yang lain masih lagi mengekalkan nadi Skyactiv 2.5 liter berkuasa 187 hp/251 Nm, serta enjin 2.5 liter turbo yang mampu menghasilkan kuasa setinggi 256 hp dan 433 Nm.

Dari segi luaran, CX-50 2025 telah mendapat bampar hadapan yang telah disemak semula rekaannya, diikuti rim aloi unik bersaiz 17 atau 19 inci.

 

 

Varian hibrid yang disebutkan tadi mendapat ciri eksklusif berupa balutan upholsteri kulit berwarna merah, sementara varian lain mendapat kemaskini seperti integrasi Alexa serta tambahan ciri keselamatan seperti amaran keluar kenderaan dan Smart Brake Support yang kini menyokong ciri pengesanan pejalan kaki waktu malam.

Di Amerika Syarikat, Mazda CX-50 dijual pada harga bermula $30,300 (RM142,046) sementara CX-50 versi hibrid pula bermula dari $33,970 (RM159,251).

 

Spesifikasi smart #5 versi produksi terdedah, kuasa cecah 637 hp, saiz GLC-Class

Beberapa minggu yang lepas, smart telah memperlihatkan model konsep SUV berkotak smart Concept #5 dalam acara Beijing Auto Show 2024.

Kini, spesifikasi model produksi sebenar smart #5 boleh didapati secara rasmi menerusi laman web Kementerian Industri dan Teknologi Informasi (MIIT) China.

Seperti yang dijangka, smart #5 versi produksi sebenar mengurangkan beberapa aspek keterlaluan yang wujud pada model konsep, namun masih lagi mengekalkan bentuk badan yang berkotak.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas berkenaan smart #5:

 

1. Saiz macam Mercedes-Benz GLC-Class

Dari segi ukuran, smart #5 membawakan dimensi sepanjang 4,705 mm, lebar 1,920 mm, tinggi 1,705 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,900 mm.

Secara asasnya, smart #5 merupakan SUV yang jauh lebih besar berbanding smart #3 dan #1.

Sebagai sebuah SUV saiz pertengahan, smart #5 bakal menyaingi model-model seperti BMW X3, Audi Q5, Mercedes-Benz GLC-Class, Tesla Model Y serta Honda CR-V.

 

2. Penampilan yang lebih mesra jalanan

 

Tidak seperti Concept #5, smart #5 mempunyai jarak kelegaan tanah yang lebih rendah, serta tetapan yang lebih konvensional.

Ia juga tidak didatangkan dengan tayar all-terrain, rak bumbung, pintu jenis suicide serta skrin kecil pada fender untuk suspensi.

Namun begitu, ia tetap tampil dengan unit pencahayaan LED yang ranggi, pemegang pintu yang tertanam kemas, serta bentuk badan asal secara keseluruhannya.

 

3. Varian sporti Brabus turut ditawarkan

 

Selain daripada varian standard, smart #5 juga boleh didapati dalam varian Brabus yang lebih sporti.

Ia membawakan kemasan aksen merah, angkup brek berwarna merah, rekaan rim aloi yang berbeza, serta penampilan bampar yang lebih agresif.

 

4. Empat pilihan rangkaian kuasa

smart Concept #5

 

SUV elektrik ini ditawarkan dengan empat pilihan rangkaian kuasa, dimulakan dengan tetapan pacuan roda belakang atau pilihan pacuan semua roda.

Versi RWD mempunyai dua output kuasa, iaitu 335 hp atau 358 hp yang dipadankan dengan pek bateri lithium iron phosphate (LFP).

Versi AWD pula menggandingkan pek bateri nickel manganese cobalt (NMC) dengan dua motor elektrik, terdiri daripada motor hadapan 221 hp dengan pilihan motor elektrik gandar belakang berkuasa 358 hp atau 416 hp.

Versi yang paling berkuasa mampu menghamburkan kuasa keseluruhan berjumlah sehingga 637 hp.

 

5. Jarak gerak 549 km

smart Concept #5

Dengan senibina elektrik 800-voltan yang disumberkan daripada syarikat induk Geely, pek bateri 100 kWh itu boleh dicas 10-80 peratus dalam tempoh masa 15 minit sahaja.

smart turut mendakwa #5 ini mampu bergerak melebihi jarak 549 km mengikut data WLTP.

Syarikat kerjasama antara Mercedes-Benz dan Geely ini turut mengesahkan smart #5 akan dilancarkan secara rasmi pada separuh kedua 2024.

 

smart #5 versi produksi sebenar


smart Concept #5

smart Concept #5, crossover saiz pertengahan yang lebih versatil, lebih luas!

smart Concept #5, crossover saiz pertengahan yang lebih versatil, lebih luas!

Jenama smart biasanya dikaitkan dengan barisan model-model urban bersaiz kecil, namun perkara itu mungkin akan berubah dalam masa terdekat.

Ini kerana smart baharu sahaja memperlihatkan sebuah model konsep yang dinamakan sebagai Concept #5 yang akan bertindak sebagai ‘abang besar’ kepada model #1 dan #3.

Model Concept #5 ini dijangka akan muncul pada acara pameran Beijing Auto Show 2024 bulan ini.

 

1. Crossover premium saiz pertengahan

smart Concept #5 dikategorikan dalam segmen SUV premium saiz pertengahan, namun sayang sekali tiada perincian berhubung ukuran dimensi yang spesifik dinyatakan.

Sebagai perbandingan, model smart #1 diposisikan sebagai model subkompak, manakala smart #3 pula berada dalam kategori segmen C.

 

2. Rekaan berkotak, inspirasi daripada Mercedes EQB/GLB

Sama seperti model smart #1 dan smart #3, rekaan luaran Concept #5 ini dihasilkan oleh studio rekaan Mercedes.

Daripada sudut luaran, smart Concept #5 tampil dengan rekaan badan berkotak dan sekali imbas, ia mengingatkan kita pada model SUV Mercedes-Benz EQB/GLB-Class.

Adakah model Concept #5 ini bakal menyamai saiz SUV berpetak Mercedes-Benz GLB-Class?

 

3. Jarak gerak 549 km

smart mengesahkan model #5 bakal menawarkan jarak gerak sejauh 549 km untuk sekali cas penuh (data WLTP), terima kasih kepada pek bateri berkapasiti melebihi 100 kWh.

Selain itu, ia juga berkemungkinan besar dibina menggunakan platform SEA Geely, dengan motor elektrik berkembar, sistem pacuan semua roda (AWD) dan lima mod pemanduan bagi membolehkan SUV ini menawan laluan urban dan off-road dengan mudah.

Senibina elektrik 800-voltan (berbanding 400-voltan pada smart #1 & #3) membolehkan bateri dicas dalam masa 15 minit dari 10-80 peratus SoC.

 

4. Crossover elektrik dengan elemen off-road

Selain daripada elemen rekaan EQB/GLB-Class, smart Concept #5 turut mempunyai jarak kelegaan tanah yang tinggi, terima kasih kepada suspensi yang dinaiktaraf, tayar all-terrain, skid plate, serta kabel keluli yang biasanya wujud pada model off-road seperti Jeep Wrangler dan Ford Bronco.

Terdapat juga pemasangan plastik pelindung pada gerbang roda, rak bumbung, bar lampu LED, serta lampu LED tambahan pada bahagian jeriji hadapan.

 

5. Susun atur papan pemuka moden

Jika Mercedes-Benz GLB membawakan panel tunggal yang menggandingkan skrin kluster digital dan skrin infohibur, smart Concept #5 pula menggunakan pendekatan yang sama, namun dua skrin dalam panel tunggal tersebut dikhususkan untuk sistem infohibur.

Usah risau kerana masih wujud skrin kluster digital yang berasingan untuk kegunaan pemandu.

Tipikal kereta moden, hampir kesemua fungsi penting kenderaan diintegrasikan ke dalam skrin tersebut, selain menyokong ciri bantuan berasaskan kepintaran buatan (AI).

Ciri lain yang wujud termasuklah sistem pencahayaan ambien pada pintu seakan cahaya bintang, pembesar suara mudah alih, konsol tengah yang tinggi, tetapan empat tempat duduk dan bumbung kaca panorama.

 

6. Model pesaing?

smart Concept #5 versi produksi dijangka akan muncul selepas separuh kedua 2024, diikuti pelancaran rasmi menjelang akhir tahun ini.

Ia kelak bakal menjadi pesaing kepada model-model crossover elektrik seperti MINI Countryman EV, BMW iX1, Audi Q4 e-tron serta Volvo EX40/EC40.

 

smart Concept #5

Nissan Qashqai 2025 facelift, penampilan luaran yang lebih segar

Salah satu model terpenting Nissan di Eropah, iaitu Qashqai generasi ketiga telah pun menerima kemaskini facelift untuk model tahun 2025 dengan membawakan perubahan yang lebih segar dari segi penampilan luaran.

Sekali imbas, muka depan Nissan Qashqai facelift ini mengingatkan kita kepada sebuah lagi model crossover yang dihasilkan oleh Nissan, iaitu Ariya EV.

 

 

Berbanding model terdahulu, Nissan telah mengubah bahagian tersebut dengan membuang elemen jeriji krom V-motion, di mana struktur jeriji utama kini bertambah besar dimensinya dan rekaan jejaring yang diinspirasikan daripada perisai tentera Jepun zaman purba.

Elemen grafik lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk anak panah masih lagi dikekalkan, namun dengan pendekatan yang lebih ‘digital’. Unit lampu utama nampak tersembunyi dengan baik.

 

 

Untuk bahagian belakang, perubahan adalah bersifat minima, dimana Qashqai menampilkan unit lampu dengan grafik LED berbeza, diikuti dengan bampar yang lebih sporti.

Secara standard, Qashqai mendapat set rim bersaiz 18 hingga 19 inci, sementara varian baharu N-Design pula mendapat set rim 20 inci.

Masuk ke dalam ruang kabin, tidak banyak yang berubah, melainkan sistem infohibur berasaskan Android yang kini menawarkan sistem pemetaan Google Maps dan bantuan peribadi Google.

 

 

Sistem pemantauan keliling Around View Monitor pula kini menyokong fungsi paparan tiga dimensi, termasuklah paparan tembus hud enjin dan fungsi memori lokasi parkir kenderaan yang kerap digunakan.

Sayang sekali, tiada sebarang perubahan dibawakan pada bahagian rangkaian kuasa, di mana Nissan Qashqai masih lagi mengekalkan pilihan nadi hibrid ringan 1.3 liter (138 hp) atau enjin hibrid E-Power 1.5 liter (187 hp).

Nissan Qashqai 2025 facelift masih lagi diproduksikan di kilang Nissan Sunderland, UK, dan dijangka tiba di pasaran Eropah dalam masa terdekat.

 

Toyota X-Van Gear Concept mungkin jadi realiti, mampu lawan Mitsubishi Delica D:5?

Acara pameran Japan Mobility Show 2023 yang berlangsung beberapa bulan lepas mempamerkan pelbagai model konsep yang futuristik daripada Toyota, dan salah satu daripadanya dilaporkan sedia untuk memasuki fasa produksi.

Berdasarkan paten yang didaftarkan oleh Toyota Auto Body di Pejabat Pendaftaran Paten dan Tanda Dagang Jepun, pengeluar itu mahu mengubah model X-Van Gear Concept menjadi satu realiti.

Untuk makluman, Toyota Auto Body merupakan satu divisyen khas di bawah Toyota yang bertanggungjawab memasang model lasak seperti keluarga Land Cruiser, minivan Alphard/Vellfire, Noah/Voxy serta van komersial Hiace.

 

 

X-Van Gear Concept merupakan sebuah minivan berbentuk petak yang disuntik elemen crossover bagi menjadikan jarak lega bumi kenderaan tersebut lebih tinggi, selain panel badan yang lebih lasak.

Merujuk kepada imej paten, model yang masih lagi belum dinamakan itu mengekalkan rekaan badan berkotak, struktur plastik pelindung pada bahagian bawah badan, diikuti dengan pintu gelangsar dan jarak lega bumi yang tinggi.

Rekaan X-Van Gear Concept ini sememangnya mengingatkan kita kepada model Honda Element yang pernah dihasilkan dari tahun 2003 hingga 2011.

Dengan ukuran dimensi sepanjang 4,685 mm, lebar 1,820 mm, dan tinggi 1,855 mm, X-Van Gear Concept ini mampu menjadi alternatif yang lebih tahan lasak dan sesuai untuk aktiviti luar berbanding model minivan kembar Noah/Voxy.

Selain itu, kehadiran model X-Van Gear Concept versi produksi ini pada masa depan dilihat mampu merancakkan lagi segmen kenderaan kembara yang kian meningkat di pasaran Jepun, di mana rata-ratanya dikuasai oleh van seperti Delica D:5, serta barisan kei car yang telah diubahsuai menjadi kenderaan pekhemah.

 

Toyota X-Van Gear Concept @ Japan Mobility Show

Paten X-Van Gear versi produksi

Nissan Kicks generasi baharu, kini dengan nadi 2.0L, sistem AWD

Tamat sudah hayat generasi pertama, Nissan kini memperlihatkan model generasi kedua crossover sub-kompak Nissan Kicks untuk pasaran Amerika Syarikat.

Berbanding model terdahulu, Kicks 2025 ini membawakan ukuran dimensi yang lebih besar, diikuti penawaran enjin baharu serta pengenalan ciri pacuan semua roda pertama.

 

 

Rekaan muka depan Nissan Kicks nyata membawakan bahasa rekaan Nissan serba baharu, dengan unit lampu utama berbentuk T, jeriji yang lebih kemas, serta logo korporat Nissan yang minimalis.

Motif bumbung terapung juga turut dikekalkan pada model generasi baharu ini.

Berikut merupakan fakta ringkas berkenaan Nissan Kicks 2025:

 

1. Nadi 2.0L baharu

 

Nissan Kicks 2025 ditawarkan secara eksklusif dengan enjin baharu, empat silinder sebaris 2.0 liter.

Ia menghasilkan 139 hp dan 190 Nm, peningkatan kuasa sebanyak 17 hp dan 36 Nm berbanding nadi 1.6 liter yang digunakan sebelum ini.

Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear CVT Xtronic.

 

2. Sistem pacuan roda depan, atau pacuan semua roda (AWD)

 

Buat pertama kalinya, Nissan Kicks dibekalkan dengan pilihan sistem pacuan semua roda sebagai alternatif kepada sistem pacuan roda depan untuk semua varian.

 

3. Mod pemanduan baharu “Snow”

Nissan Kicks turut dilengkapi dengan pelbagai mod pemanduan, termasuklah mod Snow.

Digandingkan dengan jarak lega bumi setinggi 213 mm, Nissan Kicks berkeupayaan untuk menjadi sebuah crossover off-road ringan.

 

4. Ukuran lebih besar

 

Untuk pasaran US, Nissan Kicks membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,366 mm (+71 mm), lebar 1,801 mm (+ 41 mm), dan tinggi sehingga 1,631 mm (+20 mm).

Menariknya, jarak antara roda bergantung kepada pilihan sistem pacuan, di mana versi FWD mempunyai dimensi lebih pendek (2,657 mm) berbanding model AWD (2,664 mm).

Peningkatan ukuran ini menjadikan ruang kabin juga bertambah luas, dengan ruang bahu mendapat peningkatan ruang sebanyak 38-43 mm, 23 mm untuk ruang kaki, serta ruang storan belakang yang lebih praktikal.

 

5. Ruang kabin gaya moden

 

Masuk ke dalam ruang dalaman, anda boleh melihat susun atur papan pemuka Nissan Kicks yang lebih moden.

Secara standard, ia mendapat skrin paparan berkembar bersaiz tujuh inci setiap satu, sementara varian tertinggi pula mendapat dua skrin sebesar 12.3 inci.

Skrin infohibur itu menyokong sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto secara tanpa wayar, sementara bahagian bawah skrin itu menempatkan panel kawalan iklim berasaskan sentuhan.

Ciri lain termasuklah empat USB-C, pad pengecasan tanpa wayar, sistem audio Bose 10 pembesar suara (termasuklah unit yang terdapat pada perehat kepala), kelengkapan ADAS Nissan Safety Shield 360, serta naik taraf sistem ProPilot Assist.

 

Nissan Kicks 2025

Fiat Abarth 600e – crossover elektrik segmen B, 240 hp!

Ucapkan selamat datang kepada Fiat Abarth 600e, kereta yang paling berkuasa daripada jenama automotif terbesar di Itali.

Fiat Abarth 600e secara asasnya merupakan varian elektrik kepada crossover subkompak (segmen B) yang ditawarkan secara eksklusif untuk pasaran Eropah.

Spesifikasi terperinci crossover talaan Abarth ini tidak didedahkan, melainkan ia mampu menjana kuasa setinggi 240 hp, atau 85 hp lebih berkuasa berbanding model Abarth 500e dan dipadankan dengan pek bateri lithium-ion 54 kWh.

Selain itu, ia juga hanya akan ditawarkan dalam versi Scorpionissima bersempena dengan sambutan ulang tahun yang ke-75, diikuti dengan rim lebar bersaiz 20 inci, jarak kelegaan tanah yang lebih rendah, sistem brek yang dinaiktaraf, LSD mekanikal, layangan warna Hypersonic Purple dan unit terhad 1,949 unit sahaja.

Untuk makluman, Fiat 600e versi standard dilengkapi dengan motor elektrik tunggal pacuan roda depan berkuasa 154 hp, dipadankan dengan pek bateri 54 kWh.

Untuk sekali cas penuh, Fiat 600e mampu bergerak sejauh 400 km, selain menyokong pengecasan pantas DC sehingga 100 kW.