Tag Archives: Eropah

Toyota Corolla Cross GR Sport 2026 untuk pasaran Eropah – lebih garang!

Toyota telah memperkenalkan Corolla Cross versi facelift di beberapa pasaran Asia Tenggara sejak tahun lepas lagi.

Namun untuk pasaran Eropah, SUV tersebut kini hadir dengan rupa yang jauh lebih garang, terutama sekali untuk varian GR Sport yang pertama kali dilancarkan di benua tersebut.

Bermula dengan versi standard, Corolla Cross facelift ini diberikan rekaan bampar berserta struktur jeriji sarang lebah.

Tidak seperti model untuk pasaran lain, Corolla Cross 2026 ini diberikan unit lampu LED utama dengan grafik yang lebih tajam, diikuti kehadiran bar LED melintang.

Lampu belakang juga turut diberikan rekaan grafik baharu, sementara keempat-empat sudut gerbang roda dihiasi rim baharu saiz 18 inci.

Untuk ruang kabin, terdapat skrin tengah sebesar 10.5 inci, skrin kluster digital 12.3 inci, konsol tengah yang lebih besar lengkap dengan tombol gear baharu dan pengecas peranti pintar tanpa wayar yang lebih pantas.

Tidak ketinggalan, sokongan Apple CarPlay turut tersedia.

Toyota menjanjikan perjalanan yang lebih senyap, terima kasih kepada penambahbaikan yang dibuat terhadap aspek tebatan bunyi bagi mengurangkan bunyi bising dan gegaran.

Varian yang paling tinggi akan mendapat sistem pencahayaan ambien, diikuti fungsi pemanas tempat duduk dan roda stereng.

Seperti yang disebut, ini merupakan kali pertama Toyota memperkenalkan varian GR Sport untuk model Corolla Cross di benua Eropah.

Rupa paras yang lebih garang ini banyak diinspirasikan daripada bampar GR Yaris dan GR Corolla versi facelift.

Selain itu, Corolla Cross GR Sport ini turut mendapat rim 19 inci yang lebih sporti, suspensi 10 mm lebih rendah, serta talaan semula kepada sistem stereng kuasa dan penambahan paddle shifter sebagai ciri standard.

Toyota menambah ciri Sport Mode untuk pecutan yang lebih pantas, serta ciri Snow Extra untuk kawalan dan kestabilan yang lebih baik sewaktu musim sejuk.

Di Eropah, Corolla Cross boleh didapati dalam spesifikasi Hybrid 140 atau Hybrid 200.

Versi asas Hybrid 140 menampilkan enjin 1.8 liter hibrid yang mampu menghasilkan 138 hp, sementara versi Hybrid 200 pula membawakan enjin 2.0 liter hibrid dengan kuasa setinggi 194 hp.

 

Toyota Corolla Cross 2026

 

Toyota Corolla Cross GR Sport 2026

Dacia Sandero dinobatkan kereta paling laris di Eropah tahun 2024

Tahukah anda, kereta apakah yang paling laris terjual di Eropah untuk tahun 2024?

Ia bukanlah kereta buatan Jepun, bukan juga kereta rakyat jenama Jerman, tapi sebaliknya ia sebuah kereta daripada negara Romania.

Lebih tepat lagi, Dacia Sandero (good news! bak kata James May).

Menurut data daripada penganalisa industri Jato Dynamics, sebanyak 268,101 unit Dacia Sandero telah didaftarkan di Eropah sepanjang tahun lalu.

Tempat kedua pula disandang oleh Renault Clio, dengan perbezaan melebihi 50,000 unit berbanding Dacia Sandero, diikuti dengan Volkswagen Golf (215,715 unit).

Jualan model paling popular tahun 2023, iaitu Tesla Model Y turun sebanyak 17 peratus kepada 209,214, namun ia masih lagi kekal juara di dalam kategori kenderaan elektrik yang paling popular.

Sebut pasal EV, pegangan pasaran bagi kenderaan sifar emisi tersebut menurun daripada 15.7 peratus (2023) kepada 15.4 peratus untuk tahun lepas, manakala peratusan model berenjin petrol pula meningkat daripada 47.8 peratus kepada 48.4 peratus.

Punca kemerosotan EV adalah disebabkan oleh penarikan insentif serta harga jualan purata yang masih lagi tinggi dan diluar kemampuan, menurut analisis Jato Dynamics.

Sementara itu, permintaan terhadap kenderaan hibrid meningkat daripada 9.9 peratus kepada 11.8 peratus, manakala kenderaan plug-in hybrid (PHEV) pula sekadar menguasai 7.3 peratus (turun daripada 7.7 peratus).

Geely tinjau lokasi dirikan kilang pemasangan di Eropah

Syarikat automotif China Geely sedang meninjau lokasi yang sesuai untuk mendirikan fasiliti produksi yang besar di benua Eropah.

Namun menurut sumber Reuters, naib presiden Geely Auto Group Li Chuanhai mengesahkan perancangan tersebut “tidak 100 peratus” ketika berucap di Frankfurt, Jerman minggu lalu.

Geely sebelum ini mengadakan perbincangan dengan kerajaan Poland, namun pihak berkuasa negara itu tidak melihat Geely sebagai rakan pelaburan yang ideal.

Bertempat di Frankfurt, Geely telah membuka sebuah fasiliti baharu di mana ia akan menjadi lokasi pengujian dan pembangunan 13 buah model tenaga baharu untuk memenuhi piawaian Eropah yang lebih ketat.

Selain Geely, beberapa pengeluar automotif China termasuk Chery dan GWM turut merancang untuk mendirikan kilang pemasangan di Eropah untuk mengelakkan tarif yang lebih tinggi dikenakan terhadap EV yang diimport dari Tanah Besar.

Maxus eTerron 9, trak pikap elektrik untuk pasaran Eropah, jarak pandu 430 km

Syarikat pengeluar automotif China, Maxus baru sahaja melancarkan model terbaharu, iaitu trak pikap elektrik eTerron 9 untuk pasaran Eropah.

Tidak seperti trak pikap elektrik yang sudah wujud di pasaran, Maxus eTerron 9 membawakan binaan casis semi-monocoque yang agak unik.

Ia menjanjikan kelebihan yang wujud pada kedua-dua binaan badan unibodi dan body-on-frame dalam satu casis tunggal.

Maxus eTerron 9 dikuasakan oleh dua motor elektrik yang menawarkan sistem pacuan semua roda, dengan kuasa keseluruhan 436 hp dan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat.

Trak ini menyediakan beberapa mod pemanduan termasuklah Normal, Sand, Mud dan Custom, serta sistem gantungan udara yang boleh dilaraskan ketinggiannya.

Pek bateri lithium iron phosphate 102 kWh pula membolehkan trak ini dipandu sejauh 430 km untuk sekali cas penuh (data WLTP), selain menyokong pengecasan pantas DC 115 kW (20-80 peratus dalam tempoh 40 minit).

Maxus eTerron 9 mempunyai fungsi Vehicle-to-load (V2L) yang menyediakan outlet kuasa 2.2 kW dan 6.6 kW.

Rupa luaran Maxus eTerron 9 ini mengingatkan kita pada model trak pikap yang terkenal, seperti contoh muka depan dengan unit pencahayaan berbentuk C seakan Ford F-150, diikuti profil sisi seakan Hummer EV.

Untuk ruang dalam kabin pula, Maxus eTerron 9 menampilkan rekaan papan pemuka yang ringkas, dengan panel tunggal yang menempatkan skrin berkembar, roda stereng dua jejari, serta kemasan kulit dua tona.

Terdapat sehingga 20 ruang storan untuk meletakkan barangan, diikuti tempat duduk pemandu larasan lapan tahap lengkap dengan fungsi urut dan pengudaraan.

Tempat duduk hadapan juga boleh dibaringkan rata untuk menyediakan ruang rehat sepanjang 1,700 mm.

Dari segi dimensi, trak ini berukuran sepanjang 5,500 mm, atau 140 mm lebih panjang berbanding Ford Ranger.

Ia juga mampu untuk membawa muatan panjang sehingga 2,400 mm pada bahagian bed belakang, terima kasih kepada ciri pintu tailgate automatik serta pintu tengah yang boleh dibuka.

Selain itu, Maxus eTerron 9 ini mampu untuk menunda muatan sehingga 3,500 kg, serta had muatan sekitar 620 kg.

Tidak cukup dengan itu, terdapat ruang kargo hadapan sebesar 236 liter dengan pintu frunk berkuasa elektrik.

Jualan trak pikap Maxus eTerron 9 di Eropah akan bermula pada suku keempat tahun ini.

Buat pertama kalinya BMW atasi jualan EV Tesla di Eropah

Tesla kini bukan lagi kuasa besar dalam segmen kenderaan elektrik, sekurang-kurangnya di benua Eropah.

Berdasarkan data yang diperoleh daripada JATO Dynamics, BMW telah berjaya menjual sebanyak 14,869 unit EV sepanjang Julai 2024.

Untuk perbandingan, Tesla telah menjual sebanyak 14,561 unit untuk tempoh yang sama.

Biarpun dengan perbezaan yang kecil, ini menunjukkan pengeluar Jerman itu kini berjaya mengatasi jualan EV Tesla walaupun dalam masa yang sama masih lagi menawarkan pilihan kenderaan berkuasa petrol serta hibrid kepada pengguna.

Analisis JATO Dynamics menunjukkan prestasi jualan bagi dua model penting Tesla (Model Y dan Model 3) menurun pada bulan lepas, di mana jualan Model Y menurun 16 peratus kepada 9,544 unit manakala Model 3 pula jatuh 17 peratus kepada 4,694 unit.

Tesla mungkin masih boleh berbangga kerana Model Y masih lagi merupakan EV yang paling laris terjual, mengalahkan Volvo EX30 (6,573 unit) dan Volkswagen ID.4 (5,295 unit).

Walaupun berjaya memegang gelaran EV paling laris terjual, angka tersebut sebenarnya masih lagi jauh ketinggalan berbanding prestasi jualan model yang paling laris terjual di Eropah, iaitu Dacia Sandero.

Sepanjang tempoh Julai, Dacia Sandero berjaya menduduki tangga pertama dengan jualan sebanyak 22,398 unit, diikuti Volkswagen T-Roc (19,254 unit) dan Toyota Yaris Cross (17,314 unit).

Dacia Sandero kalahkan Tesla Model Y sebagai kereta paling laris di Eropah Jan-Jun ’24

Kereta elektrik kini bukan lagi satu produk yang diburu ramai, dan trend yang semakin sendu itu kini memeningkan kepala kebanyakan syarikat pengeluar EV.

Penurunan permintaan terhadap EV yang turut melanda benua Eropah menyaksikan Tesla Model Y terpaksa turun takhta dan tidak lagi menjadi kereta yang paling laris terjual.

Data terbaharu daripada Kesatuan Eropah (EU) mendedahkan Dacia Sandero muncul sebagai kereta yang paling laris terjual sepanjang tempoh Januari hingga Jun 2024, di mana sebanyak 143,596 unit telah didaftarkan.

Dacia Sandero menjadi pilihan utama kebanyakan pembeli disebabkan harga jualan yang agak murah, bermula dari €11,500 (RM56 ribu).

Duduk di tempat kedua ialah VW Golf dengan 126,993 unit, diikuti Renault Clio (114,623 unit), VW T-Roc (111,381 unit) dan Peugeot 208 (107,097 unit).

Tesla Model Y pula nampaknya terpaksa berpuas hati di tangga kelapan dengan jumlah jualan sebanyak 101,181 unit untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Berikut merupakan senarai kereta yang paling laris terjual di Eropah sepanjang Januari-Jun 2024.

1. Dacia Sandero (143,596 unit)
2. VW Golf (126,993 unit)
3. Renault Clio (114,623 unit)
4. VW T-Roc (111,381 unit)
5. Peugeot 208 (107,097 unit)
6. Skoda Octavia (102,945 unit)
7. Citroen C3 (102,304 unit)
8. Tesla Model Y (101,181 unit)
9. Toyota Yaris Cross (99,694 unit)
10. Toyota Yaris (93,576 unit)

Honda Prelude lahir semula sebagai coupe sports hibrid, guna platform Civic

Honda sebelum ini telah menghidupkan kembali nama ikonik Integra untuk digunakan di pasaran Amerika Syarikat dan China.

Biarpun membawakan penampilan yang berbeza, ia tetap membawakan satu persamaan yang ketara – menggunakan asas daripada Honda Civic.

Kini, sebuah lagi nama ikonik bakal diberikan nafas baharu, iaitu Honda Prelude di mana kereta sports dua pintu ini dijangka akan ditawarkan di pasaran Eropah menjelang pertengahan dekad ini.

 

 

Sama seperti dua jenis Honda Integra yang disebutkan tadi, Honda Prelude generasi baharu ini juga akan dibangun berdasarkan platform Honda Civic.

Selain ditawarkan dalam versi pemanduan sebelah kiri (LHD) dan pemanduan sebelah kanan (RHD), Honda dijangka akan memasarkan kereta sports Prelude dengan teknologi hibrid e:HEV yang telah wujud pada model Civic masa kini.

Dalam tetapan sedia ada, enjin 2.0 liter hibrid aspirasi semula jadi itu mampu menjana kuasa setinggi 181 hp dan 232 Nm, namun terdapat laporan di mana angka tersebut akan dipertingkatkan kepada 208 hp khusus untuk model Prelude.

 

 

Honda Prelude generasi baharu ini turut menjanjikan pengalaman pemanduan menyeronokkan yang dapat dicapai menerusi keseimbangan yang sempurna antara dinamik pemanduan dan kecekapan penggunaan bahan api.

Apa yang pasti, ketua jurutera Tomoyuki Yamagami sebelum ini telah menegaskan yang Honda Prelude tidak akan menjadi model Honda yang lebih sporti berbanding Honda Civic Type R.

Berdasarkan imej rasmi yang dibekalkan, Honda Prelude berwarna merah ini tidak membawakan perubahan rekaan yang ketara berbanding unit konsep yang dipamerkan semasa Japan Mobility Show 2023 yang lalu.

 

 

Keempat-empat sudut gerbang roda kini dipadankan dengan rim hitam bersaiz 20 inci, diikuti dengan angkup brek berwarna merah dan padanan kit badan yang diperbuat daripada gentian karbon.

Setakat ini, Honda masih belum mendedahkan perincian berkenaan rekaan ruang kabin, namun melihatkan kepada struktur bonet yang rendah serta cermin hadapan yang tinggi itu mampu menawarkan medan penglihatan yang lebih luas.

Berita baiknya, Honda Prelude generasi keenam ini akan dipamerkan kepada umum pada acara Goodwood Festival of Speed yang akan berlangsung pada minggu ini.

 

Stellantis bakal lancar jenama EV Leapmotor di Eropah September ini, Malaysia Q4 2024

Permintaan terhadap kenderaan elektrik (EV) yang agak perlahan di peringkat global pada ketika ini bukanlah penghalang bagi Stellantis untuk memperkenalkan sebuah jenama baharu yang dibawakan dari China untuk pasaran Eropah.

Jenama yang dimaksudkan itu ialah Leapmotor, di mana untuk permulaan Stellantis akan melancarkan dua buah model EV menjelang September ini.

Secara keseluruhan, Stellantis menyasarkan sehingga enam buah model baharu yang akan diperkenalkan untuk pasaran Eropah sebelum tahun 2028.

Model pertama yang bakal dilancarkan ialah sebuah EV bandar, Leapmotor T03.

T03 merupakan sebuah hatchback lima pintu segmen A dengan ukuran dimensi yang sedikit kecil berbanding Mitsubishi Mirage, dipadankan dengan motor elektrik tunggal berkuasa 100 hp dan mampu bergerak sejauh 265 km untuk sekali cas penuh.

Stellantis merancang untuk memasang sendiri model T03 di Poland, sekaligus menjadikan harga jualannya yang jauh lebih murah dan mampu bersaing dengan model-model EV yang ada di pasaran.

Selain T03, Stellantis dijangka akan membawakan pesaing kepada Tesla Model Y, iaitu Leapmotor C10 yang diimport sepenuhnya dari China.

 

Mengikut spesifikasi, C10 merupakan sebuah SUV segmen D yang mampu memuatkan sehingga lima orang pada satu-satu masa, diikuti motor elektrik berkuasa 228 hp dan keupayaan bergerak sejauh 420 km.

Antara pasaran Eropah yang bakal menerima kehadiran jenama Leapmotor ini ialah Belgium, Greece, Itali, Jerman, Netherlands, Perancis, Portugal, Romania dan Sepanyol.

Menjelang suku keempat, Stellantis akan melancarkan jenama Leapmotor di pasaran Timur Tengah, Afrika, India, Asia Pasifik dan Amerika Selatan.

 

 

Sebelum ini, Stellantis Malaysia turut mendedahkan perancangan yang sama untuk memperkenalkan jenama EV Leapmotor di Malaysia pada tahun ini.

Ia bakal diposisikan sebagai sebuah jenama EV yang mampu milik sebagai alternatif kepada beberapa jenama EV yang sudah pun wujud seperti BYD, Neta, dan juga Ora.

 

Leapmotor T03

Leapmotor C10

Citroen, Peugeot ada jual model van berkepala dua di Eropah

Ini bukanlah satu cerita seram yang dipetik daripada majalah Mastika, akan tetapi ia sebenarnya satu amalan yang telah lama dipraktikkan oleh sebilangan pengeluar kenderaan di pasaran Eropah.

Van berkepala dua yang diperlihatkan ini merupakan sebuah (atau dua buah?) Citroen Relay Back to Back, versi ‘rebadge’ daripada model Fiat Ducato.

Nampak pelik. Tapi kebiasaannya, dua kepala van Relay ini akan dipasang pada sebuah struktur casis sementara sebelum dihantar kepada pihak ketiga, seperti syarikat pengeluar motorhome/campervan dan pembina kenderaan kecemasan.

Disebabkan tiada keperluan untuk membina struktur pada bahagian belakang, Citroen dapat menjimatkan kos pengeluaran. Kos penghantaran juga dapat dikurangkan kerana Relay Back to Back ini tidak memerlukan ruang yang besar berbanding sebuah Relay Chassis Cab standard.

Selain itu, van-van komersial ini juga biasanya mempunyai sistem pacuan roda depan, jadi tiada sebarang aci pemacu yang perlu dibuka atau dibuang selepas penghantaran dibuat.

Dengan adanya Relay Back to Back ini juga, syarikat pihak ketiga mempunyai kebebasan untuk menentukan binaan belakang kustom yang tersendiri tanpa perlu bergantung kepada bahagian belakang yang biasanya dibekalkan oleh pengeluar.

Selain daripada Citroen, sebuah lagi jenama di bawah Stellantis, Peugeot juga turut menghasilkan binaan van berkepala dua menerusi model Boxer Back to Back untuk dihantar kepada syarikat pembina campervan/motorhome.

QJMotor lancar MTX150 untuk pasaran global 

QJMotor memperkembangkan tawaran motosikal di pasaran global menerusi skuter kompak, MTX 150.

Untuk rekod, MTX 150 merupakan skuter terbaru dari QJMotor yang bakal menembusi pasaran global setelah versi 125cc berjaya menempah nama di Eropah. 

Mengekalkan reka bentuk yang sama seperti varian 125cc, MTX150 ini dikuasakan enjin 150cc satu silinder yang berupaya menjana 15.8hp dan 13.7Nm. 

Selain itu, antara kelengkapan lain turut ditawarkan termasuk cakera brek tunggal depan dan belakang, pencahayaan LED penuh, panel meter digital, penyerap hentak berkembar di belakang serta tangki bahan api berkapsiti 8L. 

Menariknya, daya tarikan utama MTX150 adalah penggunaan sistem hibrid yang menyumbang kepada tahap pembakaran yang lebih efisien dan mampun mencapai 2.2L/100km atau 45km/liter. 

Buat masa ini belum ada desas-desus sama ada model ini akan turut dilancarkan di Malaysia. 

NIO mahu tawan pasaran massa menerusi jenama mesra famili Onvo

Pengeluar kereta elektrik mewah dari China, NIO adalah satu jenama yang menampilkan barisan sedan dan crossover denga rekaan yang sangat menarik, ditambah pula dengan teknologi penukaran bateri yang sukar ditandingi oleh mana-mana pengeluar.

Jenama itu dilapor bakal hadir dengan sub-jenama baharu yang disasarkan untuk golongan pembeli berkeluarga, dan dengan penawaran harga yang lebih mampu milik.

CEO NIO, William Li mengesahkan nama sub-jenama itu akan dikenali sebagai Onvo (atau Ledao di pasaran China), di mana tanda dagang sub-jenama itu telah pun didaftarkan pada lewat tahun lepas.

 

 

Lebih mencuri tumpuan ialah kelibat unit ujian model pertama Onvo, iaitu Onvo L60 dikesan atas jalan raya China seperti yang tersebar dalam media sosial baru-baru ini.

Onvo L60 membawakan bentuk crossover fastback yang mampu memberikan saingan terus kepada Tesla Model Y.

Li juga turut mengesahkan teknologi penukaran bateri NIO akan dimuatkan pada Onvo L60, menjadikannya sebuah model EV ampuh yang lebih murah berbanding Tesla Model Y, dan dalam masa yang sama mampu mengurangkan perasaan kebimbangan jarak dan keperluan untuk berebut di stesen pengecasan.

 

Selain daripada Onvo, NIO juga bakal melancarkan sebuah lagi sub-jenama yang lebih mampu milik, dinamakan sebagai Firefly.

Jenama Firefly ini akan dipasarkan pada tahun 2025 sebagai sebuah jenama kereta kecil elektrik yang premium, sama seperti apa yang ditawarkan oleh jenama MINI (BMW).

 

Eropah patut pertimbang jual kei car – CEO Renault

Di Jepun, kei car sangat popular disebabkan oleh saiznya yang agak kompak (kurang daripada 3.4 meter) mudah untuk dikendalikan dalam bandar, enjin tiga silinder sebaris bersesaran bawah satu liter (660 cc), dan tidak ketinggalan kadar cukai dan insurans yang lebih murah.

Kelebihan yang ada pada kei car ini turut menarik perhatian CEO Renault, dan dalam satu surat panjang lebar yang diutuskan kepada Parlimen Eropah, Luca de Meo mahukan segmen kei-car bertapak di benua tersebut.

Menurut laporan CarThrottle, De Meo menyalahkan undang-undang ketat yang dilaksanakan kerana menyebabkan angka jualan kenderaan segmen kecil turun mendadak sejak dua dekad yang lalu.

 

Ujarnya, “memandu sebuah kereta elektrik seberat 2.5 tan setiap hari adalah satu perkara yang karut dan tidak memberikan impak kepada alam sekitar.”

“Untuk mencari penyelesaian tersebut, kita seharusnya mengambil inspirasi daripada Jepun, terutama segmen kenderaan kecil urban (kei-car).

“Bermula dari kilang sehinggalah ke akhir hayat, impak kereta kecil terhadap alam sekitar adalah 75 peratus lebih rendah. Ia boleh dijual dengan harga yang lebih murah berbanding model pertengahan.

 

 

“Kita juga boleh mengubah arus trend semasa dengan pantas menerusi pelbagai pendekatan yang lebih murah: pajakan sosial, ruang parkir percuma, kos pengecasan yang lebih murah, kadar faedah pinjaman yang lebih rendah, insentif untuk golongan pembeli muda dan sebagainya.

Dalam surat yang sama, CEO itu turut menekankan potensi bahan api sintetik, serta keperluan untuk mengimbangi semula persaingan dengan melonggarkan regulasi ketat yang membebankan pengeluar Eropah.

Untuk makluman, kei car tidak dijual secara rasmi di Malaysia, dan anda hanya boleh mendapatkan sebuah kei-car (tidak kira model baharu atau model lama) menerusi pengimport persendirian atau pemegang AP.

Ford Ranger MS-RT – varian sporty khas untuk pasaran Eropah

BARISAN Ford Ranger di pasaran Eropah kini diperluaskan lagi dengan kehadiran varian sporty baharu yang dikenali sebagai Ranger MS-RT.

Model terbaru ini dibangunkan dengan kerjasama M-Sport (rakan Ford dalam sukan rali), namun jangan harapkan sebarang tambahan kuasa kerana peningkatan yang diberikan terhad kepada aspek kosmetik sahaja.

Pada bahagian hadapan, Ranger MS-RT tampil dengan gril honeycomb dan splitter yang diinspirasikan daripada trak perlumbaan Ranger yang bertanding di Asia.

Sementara itu, profil sisi tampak lebih rendah dengan skirting yang lebih labuh manakala bahagian belakang pula dihiasi dengan diffuser. Turut diberikan adalah grafik MS-RT pada tailgatecab spoiler dan ducktail spoiler.

Anda mungkin tidak perasan namun Ranger MS-RT sebenarnya 82 mm lebih lebar berbanding versi standard. Fender yang kembang itu ‘diisi’ dengan rim diamond cut berukuran 21 inci yang dibalut tayar profil rendah 275/45 -dikatakan roda paling besar pernah ditawarkan pada Ranger.

Ruang dalaman pula menampilkan tempat duduk baharu yang bukan sahaja nampak lebih sporty namun menawarkan sokongan yang lebih baik. Ia dibalut upholsteri kulit eko dan suede, serta dihiasi corak dan logo MS-RT dan jahitan kontras berwarna biru.

Ciri-ciri lain yang turut disertakan termasuk stereng sport dengan fungsi pemanas dan penanda pukul 12 berwarna biru, skrin sentuh 12 inci dengan sistem infohibur SYNC 4, pendingin hawa automatik dwi zon, Intelligent Adaptive Cruise Control dan Intelligent Speed Limiter.

Di bawah bonet, terdapat enjin turbodiesel 3.0-liter V6 yang menghasilkan 240 PS dan 600 Nm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik 10 kelajuan dan sistem pacuan semua roda e4WD yang turut digunakan pada varian-varian Ranger yang lain.

Walaupun tidak mendapat sebarang tambahan kuasa, varian baharu ini menjanjikan pengendalian yang lebih mantap menerusi peredam yang lebih keras pada bahagian hadapan dan suspensi belakang yang ditala semula. Bukan itu sahaja, ketinggiannya juga dikurangkan sebanyak 40 mm.

Lebih penting lagi, keupayaannya sebagai sebuah trak pikap tidak terjejas. Ia masih boleh mengangkut beban sehingga 1,000 kg dan mempunyai kapasiti menunda sehingga 3,500 kg.

Ford akhiri produksi Focus tahun depan, 3500 pekerja diberikan pampasan lumayan

Seramai 3,500 orang pekerja kilang pemasangan Ford di Saarlouis, Berlin, Jerman akan diberhentikan selepas produksi model Focus tamat tahun depan.

Laman Automotive News Europe melaporkan Ford Focus merupakan satu-satunya model berenjin pembakaran dalaman yang masih lagi dipasang di kilang yang mempunyai kekuatan tenaga kerja seramai 4,500 orang.

Kesatuan pekerja IG Metall dalam satu kenyataan Rabu lepas mendedahkan kira-kira 1,000 pekerjaan akan dikekalkan selepas tahun 2025.

Malah, tidak akan ada pemberhentian secara paksa sehingga tahun 2032 di mana para pekerja akan ditawarkan dengan pampasan yang lumayan.

 

 

Joerg Koehlinger, pengurus daerah IG Metall menyebut, “Kami tidak dapat mencapai penyelesaian terbaik, jadi kami membuat keputusan untuk menggunakan pilihan kedua terbaik: menjadikan pemberhentian pekerja semahal yang mungkin untuk Ford.”

Kilang Saarlouis sebelum ini dilapor akan ditutup buat selamanya apabila Ford membuat keputusan untuk memasang kenderaan elektrik generasi baharu di Sepanyol.

Oktober lepas, pihak Ford gagal untuk mencapai persetujuan dengan pelabur berpotensi untuk menjual kilang tersebut, di mana salah satu daripada syarikat yang berminat adalah BYD.

Ford Mustang 2024 kini ‘hilang’ 52hp untuk pasaran Eropah, ada stereng pemanduan kanan

PIAWAIAN pelepasan yang semakin ketat membuatkan pengeluar-pengeluar kenderaan di Eropah mengambil langkah seperti mengurangkan jumlah silinder atau menambah pengecas turbo.

Ford Mustang untuk pasaran Eropah menariknya masih mengekalkan enjin 5.0-liter V8 naturally-aspirated yang lazat itu, tetapi ada berita buruk pula. Enjinnya dikurangkan jumlah output.

Versi standard mempunyai 440hp dan dikurangkan sebanyak 40hp untuk mematuhi piawaian ketat. Tork pula ‘hanya’ 540Nm, iaitu 28Nm kurang berbanding versi Amerika.

Apa pun, pengguna di Eropah patut bersyukur juga kerana Ford masih mampu menawarkan kereta dengan enjin V8 dalam era masa kini. Kuasa masih cukup baik. Jika anda rasa tidak cukup, ada versi Dark Horse.

Mustang varian tertinggi ini menghasilkan 448hp dan 540Nm tork (kurang 52hp dan 28Nm), malah anda masih boleh memadankannya dengan kotak gear manual 6-kelajuan. Pecutan ke 100km/j boleh dibuat dalam 5.2 saat, dan kelajuan maksima ialah 263km/j.

Jika anda pilih model automatik 10-kelajuan, pecutan 0-100 boleh dicapai dalam 4.4 saat, tetapi kelajuan maksima dihadkan pada 250km/j.

Ford Mustang baharu ini diperkenalkan di Eropah sejak September 2022 lagi, tetapi kini baru ia dijual secara rasmi. Di UK, ia ditawarkan pada harga £55,585 (RM331,842) untuk GT, dan £65,585 (RM391,542) untuk Dark Horse.

Yamaha wujudkan Enyring, tawar perkhidmatan tukar bateri e-bike di Eropah, mula 1H 2025

Yamaha dalam satu kenyataan mengumumkan penubuhan syarikat baharu Enyring yang menawarkan perkhidmatan penukaran bateri berasaskan langganan di Eropah.

Berdasarkan imej rasmi yang dibekalkan, perkhidmatan penukaran bateri Yamaha ini dilihat menggunakan unit bateri yang lebih kecil saiznya berbanding unit bateri Honda Mobile Power Pack e:.

Selain daripada menawarkan pelan langganan penukaran bateri skuter elektrik kepada pengguna, Enyring juga akan bekerjasama dengan peneraju di Eropah untuk mengitar semula bateri yang telah digunakan.

 

 

Dengan cara itu, Yamaha akan mencipta sebuah sistem gelung tertutup yang bergantung sepenuhnya kepada bahan kitar semula untuk menghasilkan produk terbaharu.

Enyring akan berpusat di Berlin, Jerman di mana operasi mereka hanya akan bermula pada separuh pertama tahun 2025.

Untuk permulaan, Enyring akan mendirikan infrastruktur penukaran bateri di dua bandar besar, iaitu Berlin dan Amsterdam.

Pemilihan dua lokasi tersebut dilihat amat bersesuaian di mana penggunaan basikal dan skuter elektrik telah pun menjadi popular di kalangan penduduk setempat.

Kesatuan Eropah setuju dengan cadangan piawaian Euro 7 baharu

NEGARA-negara Kesatuan Eropah (EU) rata-ratanya bersetuju mematuhi cadangan yang dikemukakan oleh Sepanyol berkenaan undang-undang emisi kenderaan baharu.

EU telah sedikit demi sedikit memperketatkan emisi kenderaan mereka sejak piawaian pertama yang dikenali sebagai Euro 1, pada 1992. Piawaian terbaharu Euro 7 mula diperkenalkan pada November tahun lepas, dan ia turut merangkumi pelepasan dari brek dan tayar.

Sekumpulan lapan negara telah memohon untuk undang-undang yang lebih longgar dengan alasan had baharu dari bahan seperti nitrous oxide (N2O) dalam enjin akan mengalih usaha ke arah pelaburan dalam kenderaan elektrik (EV).

Gambar oleh: Scandasia

Jualan kenderaan yang melepaskan karbon akan diharamkan di EU pada 2035. Dalam perkembangan terbaharu Jumaat lepas, perubahan lanjutan untuk penetapan adalah 30 bulan selepas piawaian berkuat kuasa, berbanding 24 bulan sebelum ini (untuk kereta).

Perincian akhir masih perlu diluluskan dalam mesyuarat EU pada Isnin ini sebelum ianya diperdebatkan dalam parlimen.

Toyota Yaris 2023 pasaran Eropah dapat kemaskini baharu, sistem hibrid lebih power

TOYOTA Yaris versi Eropah telah menerima kemaskini pertamanya sejak pengenalan hampir empat tahun lepas. Beberapa penambahbaikan diberikan dari segi penampilan, ciri, dan sistem hibrid padanya. Jom kita lihatkan.

Untuk pengetahuan, Yaris pasaran Eropah (dan Jepun) bukanlah model yang sama seperti pasaran kita, sebaliknya model mereka menggunakan pelantar TNGA.

Penampilan baharu

Toyota menawarkan Yaris 2023 ini dengan trim Premiere Edition, iaitu warna Neptune Blue dwi-tona dengan bumbung hitam serta rim aloi 17-inci.

Warna lain termasuklah Platinum Pearl White dan Silver Metallic. Tema biru ini diteruskan kepada jahitan tempat duduk dan kemasan pada panel dalam kabin.

Hibrid lebih berkuasa

Seterusnya aspek mekanikal, dimana ia kini ditawarkan dengan pakej Hybrid 130 yang merangkumi enjin 1.5-liter petrol NA 3-silinder dengan 91hp dan 120Nm, dan padanan transmisi E-CVT.

Dengan teknologi hibrid terkini dari Toyota, sistem ini menggunakan motor elektrik lebih berkuasa. Ini menjadikan output keseluruhan kini pada 129hp dan 185Nm (penambahan 12 peratus untuk kuasa, dan 30 peratus untuk tork).

Menurut Toyota, kuasa lebih tinggi ini menjadikan Yaris lebih pantas untuk mencapai pecutan 100km/j, kini 7.5 saat berbanding 9.2 saat.

Skrin besar, “Hey Toyota”

Di bahagian kabin, Toyota Yaris 2023 mendapat kluster instrumen 7- atau 12.3-inci dengan empat jenis paparan (Smart, Casual, Sport dan Tough). Pelik juga kenapa perlu ada Tough. Saiz skrin tengah juga kini lebih besar, sama ada 9- atau 10.5-inci, bergantung kepada varian.

Ciri lain yang ditambah adalah fungsi arahan suara “Hey Toyota” dan juga Android Auto/Apple Carplay tanpa-wayar. Yaris 2023 juga kini dilengkapi kunci digital pintar yang dihubungkan dengan aplikasi MyT untuk anda mengawal segala fungsi dari telefon pintar.

Toyota T-Mate

Toyota T-Mate merupakan pakej keselamtan untuk jenama ini dan bagi Yaris 2023, pembaharuannya merangkumi ciri baharu seperti Acceleration Suppression (mengelakkan perlanggaran di kelajuan rendah akibat pecutan mendadak), Emergency Driving Stop System, Road Sign Assist, dan Proactive Driving Assist.

Ciri-ciri di atas ditambah kepada barisan ciri keselamatan sedia ada seperti Autonomous Emergency Braking, Emergency Steering Assist, Adaptive Cruise Control, Lane Departure Alert, Lane Tracing Assist, dan Rear Cross Traffic Alert.

Honda CR-V generasi ke-6 dilancarkan di Eropah dengan enjin hibrid plug-in

HONDA CR-V generasi keenam telah dilancarkan ke pasaran Eropah dalam satu majlis khas yang diadakan di Offenbach, Jerman.

Dari segi reka bentuk, model untuk pasaran Eropah ini sama sahaja seperti versi Amerika Syarikat yang diperkenalkan pada tahun lalu, cuma apa yang membezakan adalah pilihan enjinnya.

Pembeli CR-V di benua itu mempunyai dua pilihan trenkuasa iaitu hibrid penuh e:HEV atau hibrid plug-in e:PHEV. Kedua-duanya dikuasakan oleh enjin petrol 2.0-liter empat silinder kitaran Atkinson yang telah dikemas kini untuk meningkatkan kecekapan dan prestasi dinamik.

Jumlah kuasa tidak didedahkan namun menurut Honda, CR-V e:HEV menggunakan trenkuasa hibrid yang sama dengan Civic e:HEV, bermakna ia mempunyai bateri litium-ion dan sepasang motor elektrik yang membantu enjin bertukar antara mod EV, Hybrid dan Engine Drive dengan lancar.

Sementara itu, versi e:PHEV pula dipacu oleh motor elektrik yang sama dengan versi e:HEV bagi membolehkannya bergerak sejauh 82 km dalam mod elektrik. Apabila suhu bateri berada pada 25 darjah Celsius, ia boleh dicas dari 0 hingga 100 peratus dalam masa 2.5 jam sahaja.

Dari segi penampilan luaran, versi e:HEV dan e:PHEV masing-masing mempunyai rekaan gril yang tersendiri untuk membezakan antara satu sama lain.

Ia mempunyai ukuran dimensi yang lebih lebar, panjang dan tinggi berbanding model generasi kelima. Tapak rodanya lebih panjang sebanyak 40 mm, sekaligus menghasilkan ruang kaki belakang yang lebar (+16 mm) dan ruang but yang lebih besar (+18 peratus).

Untuk kelengkapan pula, CR-V serba baharu ini merupakan model Honda pertama yang dilengkapi dengan Honda Sensing 360 yang mana menurut Honda, “menyingkirkan titik buta di sekeliling kenderaan dan menyumbang kepada pengelakan perlanggaran dengan mengurangkan beban pemandu.”

MOL Lubricants kini di Malaysia, dari RM250 untuk sintetik penuh

KINI terdapat satu jenama baharu untuk minyak pelincir kenderaan anda, iaitu MOL Lubricants. Merupakan satu pengeluar bendalir pelincir dari Hungary dengan lebih 115 tahun pengalaman, MOL Lubricants kini secara rasmi dilancarkan di Malaysia dengan kerjasama pengedarnya, Oily Lubricants Malaysia Sdn. Bhd.

Pelancaran ini adalah sebahagian dari inisiatif MOL untuk mengukuhkan kehadiran mereka di Asia. Dengan kerjasama Oily Lubricants Malaysia, produk-produk premium MOL akan mula ditawarkan bermula September 2022 merangkumi pelincir untuk sektor pengangkutan, servis automotif rasmi dan bebas, sektor pertanian, serta sektor industri.

Menurut Harsanyi Zsolt, Pengurus Jualan Eksport MOL Lubricants, “Kerana formulanya yang maju, produk-produk MOL memberikan prestasi tinggi dan perlindungan ‘wear and tear’ yang baik, yang akan menjanjikan ketahanan serta jangka hayat komponen yang panjang.

“Ia juga akan mengurangkan keperluan penyelenggaraan,” tambahnya.

Sementara itu, Nagy Zsuzsanna, Pakar Jualan Eksport MOL Lubricants semasa dalam pembentangannya berkata, “Portfolio produk MOL merangkumi hampir 800 produk pelincir berkualiti tinggi untuk kenderaan penumpang, motosikal, kenderaan komersial, pertanian, dan industri.”

Khas untuk anda yang mencari rangkaian pelincir kenderaan penumpang, MOL Lubricants mempunyai minyak enjin Botond (gred rendah), Essence (gred sederhana), dan Dynamic (gred tinggi premium).

Minyak enjin sintetik penuh boleh didapati dari rangkaian Essence dan Dynamic, tetapi Dynamic lebih memfokus kepada pelincir OEM bagi jenama-jenama terkemuka Eropah seperti BMW, Renault, Audi, Skoda, SEAT, dan Fiat.

Spesifikasi yang ditawarkan termasuklah 5W-20, 5W-30, 5W-40, dan 10W-40 dan kesemuanya menepati piawaian API SN. Harga adalah antara RM250 hingga RM295 untuk botol 4-liter dan kami difahamkan kesemua minyak enjin ini adalah diimport sepenuhnya.

Bagi pusat servis dan bengkel-bengkel, MOL Lubricants menawarkan ganjaran khas bagi mereka yang mendapatkan bekalan minyak enjin selama enam bulan.

Pengurus Jualan Oily Lubricants Malaysia, Nicholas Oh berkata: “Kami akan menawarkan ganjaran bagi bengkel dan pusat servis yang mendapatkan bekalan selama enam bulan.

“Kami juga mensasarkan untuk melantik 100 bengkel pengedar dalam masa terdekat ini,” tambahnya.

Pelancaran MOL Lubricants itu turut dihadiri oleh wakil-wakil dari kedutaan Hungary di Malaysia.

Untuk maklumat lanjut, layari: https://mollubricants.com.my/en.