Tag Archives: EV

ACM City One EV kompak mampu milik, ruang kargo lebih luas

USAHA menghasilkan kenderaan elektrik (EV) semakin dipergiatkan dengan terbaharu datangnya daripada syarikat Adaptive City Mobility atau ACM.

Kereta dikenali sebagai City One ini mempunyai keistimewaan tersendiri terutama dari segi saiznya yang kompak.

Dihasilkan secara prototaip, ia mempunyai sistem bateri boleh ditukar ganti selain kabin modular serta slot bateri saling-tukar yang mudah diakses.

Foto ihsan ACM

City One memiliki ukuran dimensi 3,600mm panjang, 1,650mm lebar dan 1,670 mm tinggi.

Pada masa sama, ia mempunyai bateri kekal 24 kWh dan empat pek bateri berbentuk beg suitcase dengan kapasiti 2.5 kWh.

Pemandu tidak perlu bimbang jika terpaksa menukar pek bateri kerana ia boleh diakses menerusi pintu belakang dalam hanya masa tiga minit.

Pengecasan penuh membolehkan kereta ini dipandu sehingga 360 kilometer dan lebih menarik, kelajuan maksima boleh mencecah 110 km/j.

Masa pengecasan adalah sekitar lima hingga lapan jam dengan menggunakan plug biasa di rumah.

Ruang dalaman

Prototaip City One ini mempunyai ruang kargo yang agak luas jika dibandingkan dengan model Perodua Axia.

Ini kerana ruang kargo model ini adalah sebesar 400 liter dan Perodua Axia hanya 260 sahaja.

Sementara itu, tempat duduk belakang boleh dilipat bagi membolehkan ruang kargo dibesarkan sehingga 1,450 liter dengan had muatan 380 kilogram.

Foto ihsan ACM

ACM menyasarkan City One dapat dijadikan sebagai kenderaan komersial.

Harga bagi sebuah City One dianggarkan bermula €10,000 atau RM49,277 bergantung kepada spesifikasi.

Setakat ini, ACM mendakwa mereka telah mengumpulkan lebih daripada 208,000 tempahan.

Namun fasa produksi hanya akan bermula pada tahun 2023.

 

 

Pandu: Polestar 2 – Laju seperti bil elektrik anda

UNTUK pandu uji kali ini, kami bawakan satu kereta yang sangat istimewa, lain dari biasa. Sebuah kereta elektrik sepenuhnya, dari jenama Sweden.

Ya, persembahkan Polestar 2. Jadi, kereta apa ni sebenarnya? Ini ialah model kedua dari Polestar, sebuah pengeluar terbitan dari Volvo, tetapi khas untuk kereta elektrik sepenuhnya (EV).

Maka sebab itulah anda dapat lihat gaya luaran dan dalamannya sangat menyerupai Volvo, dengan garisan ringkas yang lurus, tegak, dan rekaan moden minimalistik terutamanya di bahagian dalam.

Sebelum ini model pertama mereka ialah Polestar 1, sebuah EV dengan rekabentuk coupe dua-pintu. Ia nampak seperti Volvo S60 atau S90, hanya kurang dua pintu.

Untuk Polestar 2, mereka mengambil rekaan seperti hatchback 5-pintu, tetapi sedikit tinggi seakan-akan crossover. Boleh dikatakan Polestar 2 ini direka untuk menyaingi Tesla Model 3.

Spesifikasi ringkas Polestar 2

Harga: RM420,000-450,000
Janaan kuasa: Dua motor elektrik, bateri 78kWh
Jarak pemanduan: 400-500km

Kuasa maksima: 300kW (408hp)
Tork maksima: 660Nm
Pecutan 0-100km/j: 4.5 saat
Kelajuan maksima: 204km/j
Berat: 2,200 kg
Sistem keselamatan: Run-off Road Mitigation, Oncoming Lane Mitigation, Lane Keeping Aid, Post Impact Braking, Connected Safety, Slippery Road Alert, Hazard Light Alert, Driver Alert Control, Road Sign Information, Speed Limiter

Disebabkan Polestar dari Volvo, kereta ini berkongsi pelantar dengan XC40. Di sebelah kiri, anda akan nampak penutup seperti tempat mengisi minyak, tetapi disebabkan Polestar 2 ialah EV, di sini sebenarnya tempat ia dicaj.

Polestar 2 boleh dicaj dengan du acara, iaitu DC Fast Charging pada kadar 150kW dan AC Charging pada 11kW.

Bahagian dalam Polestar 2 mendapat vegan interior atau bahan-bahan bebas kulit dan lebih mesra alam. Dapat dilihat rekabentuk papan pemuka, stereng, konsol tengah dan tombol gear mengingatkan kita pada model-model Volvo terkini.

Sama seperti Volvo, ruang kabin Polestar ini cukup selesa, praktikal, mendapat bahan berkualiti, dan nampak ringkas dan tidak terlalu flashy atau menunjuk.

Aspek minimalistik pula ditonjolkan dengan kurangnya butang-butang kawalan, sebaliknya kebanyakan fungsi kenderaan dikawal atau diakses melalui skrin tengah, iaitu unit 11-inci bersaiz potret.

Rupa ‘baik’, prestasi sports car

Dengan kemampuan pecutan 0 ke 100 dalam 4.5 saat, ini meletakkan Polestar 2 dalam liga kereta sports. Sebagai konteks, pecutan ini lebih pantas dari VW Golf GTi MK7.5 dan Honda Civic Type-R FK8.

Pada masa yang sama, Polestar 2 boleh dipandu dengan selesa setiap hari dan tetap praktikal untuk kegunaan keluarga.

Bagaimana pula dengan gaya pemanduan dan proses mengecaj Polestar 2 ini? Jemput tonton video pandu uji kami di bawah untuk ketahui dengan lebih lanjut.

BMW dedah i4 M50, Safety Car untuk MotoE

PADA Mac lepas, MINI mempersembahkan Safety Car (kereta keselamatan) untuk Formula E yang menggantikan BMW i8.

Tetapi kini BMW mendedahkan sebuah Safety Car baharu untuk MotoE iaitu i4 M50. Ia menjadi Safety Car elektrik sepenuhnya (EV) yang pertama dari BMW.

i40 M50 ini akan membuat kemunculan dinamik pertama di litar semasa Motorcycle Grand Prix of Australia pada 15 Ogos ini di litar Red Bull Ring. Sesuai dengan kejuaraan motosikal elektrik, sedan EV ini akan mengetuai perlumbaan MotoE yang menjadi siri sampingan kepada MotoGP.

BMW i40 M50 dikuasakan oleh dua motor elektrik – satu di depan dan satu di belakang – yang memberikan output keseluruhan 544hp (406kW). Konfigurasi ini juga menjadikannya sebuah AWD (pacuan semua-roda).

Terdapat juga tambahan prestasi dari divisyen M, yang merangkumi teknologi casis M khas, brek lebih besar, dan penambahbaikan aerodinamik. Pecutan 0 ke 100km/j boleh dibuat dalam 4 saat.

“Walaupun versi produksi Gran Coupe empat-pintu akan memasuki pasaran pada musim luruh, peminat kami boleh menikmati kemunculannya di litar lumba pada musim panas ini,” kata CEO BMW M, Markus Flasch.

“Tiada lagi kereta keselamatan lebih sesuai untuk MotoE berbanding BMW i40 M50 – penuh prestasi, elektrik sepenuhnya. Kami tak sabar untuk kemunculannya di Spielberg.”

Dari luaran, kereta keselamatan MotoE ini mengenakan kombinasi warna menyerlah dengan kelabu gelap dan disulami hijau elektrik.

Mercedes akan ‘berhijrah’ jadi elektrik sepenuhnya termasuk AMG, Maybach dan G-Class

MERCEDES-BENZ semalam membentangkan strategi mereka untuk masa depan, yang memperlihatkan pengeluar Jerman itu bersedia untuk ke arah elektrik sepenuhnya menjelang akhir dekad ini.

Ini bermakna tiada lagi Mercedes dengan enjin pembakaran dalaman (ICE), tetapi jangan risau, perubahan ini bukanlah mendadak. Ia juga bergantung kepada pasaran.

Mercedes-Benz EQS. Gambar: Mercedes

Ini susulan dari pengenalan strategi Electric First pada Oktober lepas yang menyaksikan mereka melancarkan empat model elektrik berasaskan platform Electric Vehicle Architecture (EVA) – EQS, EQE, EQS SUV, dan EQE SUV.

Sub-jenama AMG, Maybach dan G-Class juga akan menerima teknologi elektrifikasi.

Sebagai permulaan, Mercedes akan menawarkan pilihan elektrik bateri untuk semua segmen menjelang 2022. Langkah ini sudahpun bermula di beberapa pasaran dengan model seperti EQA, EQB, EQC, EQS dan EQV.

Langkah dari ‘EV-first’ kepada ‘EV-only’ akan lebih intensif bermula 2025, dengan kereta-kereta baharu yang menggunakan elektrik sahaja.

Mercedes-Benz EQS. Gambar: Mercedes

Dengan kata lain, tiada lagi model dengan enjin ICE. Mercedes tidak akan menunggu industri, sebaliknya mereka yang akan menjadi pengorak langkah.

Britta Seeger berkata dalam pembentangan: “Hingga akhir-akhir ini, kami menjangkakan pembangunan dalam pasaran EV global. Kini, kami percaya minat pelanggan akan berubah lebih cepat. Kenderaan EV akan menguasai pasaran mewah menjelang 2030.”

Tiga platform EV baharu

Gambar: Mercedes

Dalam pembentangan sama, Mercedes juga mengesahkan tiga platform termasuk MB.EA (Mercedes-Benz Electric Architecture) untuk kereta saiz sederhana hingga besar.

Selain itu, AMG.EA akan turut serta untuk kenderaan prestasi, manakala VAN.EA untuk van dan kenderaan komersial.

Pengeluar itu tidak menyatakan bila ICE akan dihentikan dalam barisan tawaran mereka, tapi pastinya tidak begitu lama. Pembangunan enjin ICE juga akan dikurangkan dengan drastik.

“Pastinya, tiada siapa dapat mengetahui bila enjin ICE terakhir akan dijual, kerana ia bergantung kepada pelanggan dan situasi pasaran mereka,” ulas Seeger.

Mercedes-Benz melabur lebih 40 juta Euro untuk EV antara 2022 hingga 2030. Mereka mensasarkan 50 peratus kenderaan jualan baharu terdiri dari model-model dengan elektrifikasi (hibrid, plug-in hybrid dan EV) menjelang 2025, peningkatan 25 peratus dari sasaran tahun lepas.

Pemandu Malaysia berminat cuba EV dengan pilihan fleksibel – kajian

DUNIA sedang berusaha menggalakkan para pemandu untuk bertukar daripada kereta dengan enjin pembakaran dalaman (ICE) kepada kenderaan elektrik (EV), namun harganya yang agak tinggi menjadi penghalang utama di Malaysia.

Gambar oleh: Volvo Car Malaysia

Satu kajian yang dijalankan baru-baru ini melaporkan bahawa wujud peluang yang ketara bagi SOCAR untuk memberikan rakyat Malaysia akses kepada EV menerusi pilihan mobiliti fleksibel.

Harga EV adalah 30 hingga 40 peratus lebih tinggi berbanding kereta biasa, dan pembeli di Malaysia enggan membayar lebih. Kebanyakan mereka mahukan harga yang sama dengan kereta konvensional (23.88 peratus), manakala hanya segelintir yang sanggup membayar harga sehingga 10 hingga 30 peratus lebih tinggi.

Minat terhadap EV

Di dalam kajian yang dijalankan oleh SOCAR Mobility Asia di kalangan 236 responden, hampir 9 daripada 10 responden (89.9 peratus) menyatakan minat untuk memandu EV menerusi SOCAR.

Ini satu petunjuk positif walaupun hanya 19.9 peratus daripada mereka pernah memandu kenderaan elektrik bateri (BEV) sebelum ini. Sementara itu, hampir separuh (49.6 peratus) pernah cuba memandu kenderaan hibrid.

Sebab tidak mahu memandu EV

Majoriti para responden turut menyatakan halangan penggunaan EV yang sememangnya diketahui umum iaitu harga yang tinggi, dan stesen pengecasan yang terhad (72.5 peratus) sebagai sebab utama kenapa mereka tidak memandu atau memiliki sebuah EV.

Namun begitu, minat mereka yang positif terhadap penggunaan EV berdasarkan impak alam sekitar (74.6 peratus) dan penjimatan kos minyak (74.2 peratus) memberikan petanda baik ke arah penggunaan EV jika halangan kos dan infrastruktur dapat ditangani.

“Di SOCAR, kami mengalu-alukan usaha kerajaan untuk menggalakkan mobiliti yang lebih hijau termasuk komitmen untuk mengembangkan lagi pembiayaan berkaitan kemampanan dalam Belanjawan 2022,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SOCAR Mobiliti Asia, Leon Foong.

“Kami juga tidak sabar untuk melihat apakah yang terkandung di dalam Pelan Tindakan Pembiayaan Mampan dan  mendengar lebih lanjut mengenai rangka kerja insentif cukai untuk pengimportan EV di dalam Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030.”

Beliau turut mencadangkan kolaborasi bagi mewujudkan kedai sehenti digital Kenderaan Elektrik untuk pemandu Malaysia, bagi mempertingkatkan lagi pengalaman pemilikan dan pemanduan EV dengan menyediakan maklumat berkaitan di hujung jari, daripada bimbingan dalam pengiraan penjimatan hasil penggunaan EV dan tuntutan faedah cukai hinggalah kepada membantu mencari titik pengecasan dan bengkel yang bersesuaian.

Memandangkan sokongan penyelenggaraan juga penting bagi menggalakkan penggunaan EV, SOCAR menyasarkan untuk bekerjasama dengan pusat penyelenggaraan dan servis yang diiktiraf serta berkelayakan yang dapat memenuhi keperluan flit yang digunakan sepenuhnya.

BMW i3. Gambar oleh: BMW

Berdasarkan kajian tersebut, pusat servis ini berkemungkinan besar akan dimulakan dengan kerjasama jenama automotif terkemuka Amerika Syarikat dan Eropah, kerana para responden paling berminat melihat SOCAR menawarkan Tesla Model 3 (72 peratus), BMW i3 Electric (58.9 peratus), Tesla Model Y (57.2 Peratus) dan Volvo XC40 Recharge (56.8 peratus).

Pilihan fleksibel penggunaan EV

Memandangkan ramai rakyat Malaysia masih berusaha untuk berjimat dalam belanjawan mereka hari ini, ini menekankan lagi peranan mobiliti fleksibel dalam memenuhi keperluan orang ramai.

Kajian mendapati seramai 61.8 peratus responden hanya sanggup membelanjakan sehingga RM999 sebulan untuk memiliki sebuah EV.

Jadi, penting untuk menyokong keinginan mereka untuk mendapat akses kepada EV melalui langganan bulanan (53.8 peratus) atau sewaan mengikut jam (49.2 peratus) dan harian (47.9 peratus).

Bagi mereka yang ingin memiliki EV, mobiliti fleksibel turut menyediakan pilihan untuk mengimbangi kos pemilikan dan penyelenggaraan, melalui perkongsian kereta dan akses kepada stesen pengecasan mereka dengan pemandu lain di TREVO bagi meraih pendapatan tambahan.

Penggunaan EV adalah sebahagian daripada masa depan mobiliti dan sememangnya sangat sesuai untuk konsep berteraskan masa depan seperti mobiliti multifleks menjadi faktor utama dalam usaha meluaskan akses kepada EV dan meningkatkan penggunaannya.

SCS hasilkan kenderaan EV mampu milik, sasar golongan pendapatan rendah

SUDAH tiba masa kenderaan elektrik (EV) mampu milik dihasilkan bagi memenuhi permintaan pasaran membabitkan golongan berpendapatan rendah.

Ini kerana kebanyakan kenderaan EV dihasilkan syarikat pengeluar kenderaan mewah termasuk BMW, Porsche, Tesla dan Mercedes-Benz.

Syarikat tempatan, System Consultancy Services (SCS) berkata kebanyakan kenderaan EV terlalu mahal dan tidak mampu dimiliki kebanyakan individu.

Jelas Pengerusi Eksekutif SCS Datuk Khalilur Rahman Ebrahim, syarikat itu sedang berusaha menghasilkan EV mampu milik agar digunakan secara meluas.

“SCS ingin hasilkan EV yang lebih sesuai untuk golongan B40 kerana dengan itu kadar penggunaan EV lebih menyeluruh,” katanya.

Khalilur berkata demikian pada sesi webinar anjuran sektor automotif Eurocham, semalam.

SCS sebelum ini menghasilkan prototaip EV yang boleh dipasangkan di kenderaan berenjin biasa.

Ia bertujuan memudahkan pemilik menukar kenderaan menjadi EV dengan menggunakan kit SCS.

Bagaimanapun, setakat ini SCS masih belum mengumumkan kos bagi kit EV.