Tag Archives: Facelift

Perodua ‘belanja’ imej baru Myvi 2022, stereng macam Ativa, ada Adaptive Cruise Control!

KITA sedang menghitung hari untuk pelancaran Myvi facelift 2022, dan Perodua telah menyiarkan gambar teaser terbaharu untuk model paling laris di Malaysia itu.

Dalam satu siaran di laman Facebook Perodua, imej itu menunjukkan paparan kluster instrumen rekaan baharu, dan stereng baharu yang menarik! Kenapa?

Stereng ini sama seperti pada model Ativa, dengan beberapa butang pelbagai fungsi termasuklah PWR (Power). Butang-butang ini mempunyai ciri canggih yang tidak pernah dilihat pada harga bawah RM60,000 sebelum ini.

Ini termasuklah Adaptive Cruise Control dan Lane Keep Control, yang bermaksud varian tertinggi AV akan menerima Perodua Smart Drive Assist (PSDA) dengan kebolehan pemanduan autonomi Level 2!

Terdapat empat butang di bahagian kiri mungkin untuk mengawal paparan multi-info serta fungsi arahan suara.

Imej teaser sebelum ini pula menunjukkan skrin tengah jenis sesentuh serta kemasan merah pada corong pendingin hawa.

Ciri-ciri ini mungkin antara sebab kenapa harga Myvi 1.5 AV meningkat kira-kira RM6,000 dari model sekarang. Perodua juga berkata PSDA akan turut ditawarkan pada varian asas 1.3 G.

Perodua Myvi facelift 2022 akan ditawarkan dalam dua pilihan enjin iaitu 1.3-liter 1NR-VE dengan 94hp/121Nm dan 1.5-liter 2NR-VE yang berkuasa 102hp/136Nm.

Semua varian akan dipadankan dengan transmisi automatik (tiada lagi manual) dan berkemungkinan besar mendapat unit D-CVT dari Ativa. Ini bermakna Myvi akan menjadi model kedua Perodua dengan transmisi jenis itu.

Selain dari naik taraf ciri keselamatan dan mekanikal, Myvi juga akan menerima pembaharuan dari segi rekaan, berdasarkan imej-imej yang tersiar sebelum ini.

Tempahan telah dibuka dengan harga permulaan RM45,700 untuk 1.3 G hingga RM58,800 untuk 1.5 AV. Pasti ramai yang tak sabar menunggu Myvi facelift baharu ini, kan?

Perodua Myvi facelift dilihat di jalan awam! Sedang jalani penggambaran iklan?

LIHAT apa yang kami terima hari ini, beberapa keping gambar Perodua Myvi facelift 2021! Gambar-gambar ini dikongsi oleh rakan media kami, Funtasticko dari tangkap layar story Instagram @myvitesse, menunjukkan Myvi facelift di tempat awam.

Juga dikenali dengan kod nama D51A, Myvi ini difahamkan berkemungkinan sedang menjalani penggambaran iklan kerana terdapat kain penutup dan SUV Porsche Cayenne dengan kren kamera di atasnya.

Dapat dilihat dengan jelas rupa depan dan belakang Myvi ini yang telah diberikan beberapa perubahan. Di depan, lampu depannya direka semula lebih garang, gril menyerupai Perodua Ativa, cermin sisi hitam, dan bampar rekaan baharu dengan DRL jenis menegak.

Di belakang pula lampu kelihatan tidak berubah, tetapi bahagian luar bampar telah direka semula dengan trim hitam halus menegak menggantikan kemasan seperti rongga udara besar pada Myvi 2017.

Bahagian sisi seperti tiada perubahan, dimana Myvi ini mendapat rim rekaan sama dengan saiz 15-inci.

Dilaporkan sebelum ini bahawa Perodua Myvi facelift bukan sahaja akan mendapat rupa baharu, tetapi juga kemas kini dari aspek mekanikal.

Myvi D51A akan mendapat kotak gear baharu D-CVT seperti pada Ativa, menggantikan kotak gear 4AT automatik 4-kelajuan pada model semasa.

Enjinnya masih sama, tetapi tetap menarik untuk membandingkan perbezaannya dengan Ativa memandangkan Myvi menggunakan enjin 2NR-VE 1.5-liter naturally-aspirated (dan 1NR-VE 1.3-liter), tetapi Ativa dipacu oleh 1.0-liter turbo.

Dijangkakan juga Myvi akan mendapat ciri keselamatan lebih maju iaitu ASA 3.0. Bergantung kepada varian, ia akan merangkumi Lane Departure Warning (LDW), Blind Spot Monitor System (BSM) dan Lane Keep Control (LKC).

Bagaimana rupa akhir King Highway ini nanti? Sama-sama kita nantikan semasa pelancarannya!

“Sawadikap” Nissan Terra facelift, padat ciri keselamatan baharu

KENDERAAN utiliti sukan SUV keluaran Nissan iaitu Nissan Terra mendapat suntikan baharu di pasaran negara jiran, Thailand.

Setelah lebih tiga tahun dipasarkan di negara ‘Gajah Putih’ itu, terdapat beberapa ciri dipertingkatkan bagi model ini.

Ciri-ciri baharu meliputi gril V-motion lebih besar, lampu utama dengan kecerahan sehingga 34 peratus dan corong fender hadapan.

Selain itu, terdapat pembaharuan pada lampu belakang dan bampar yang diletakkan reflektor lebih lebar.

Foto ihsan Nissan

Enjin Nissan Terra baharu

Nissan Terra ini menggunakan enjin unit YS23DDTT 2.3 liter pengecas turbo-berkembar diesel.

Ia dapat menghasilkan kuasa 190 PS pada 3,750 rpm dan tork 450 Nm antara 1,500 dan 2,500 rpm.

Kotak gear automatik tujuh-kelajuan digunakan dengan VL turut ditawarkan dengan pacuan semua-roda dan locking rear differential.

Interior dalaman Nissan Terra

Bahagian kabin telah dipertingkatkan yang mana ia telah diinspirasikan dari model Almera.

Nissan kali ini kali ini juga menampilkan brek parkir elektronik yang menggantikan brek tangan konvensional.

Apa yang menarik, Nissan Terra dilengkapi cermin hadapan diperbuat daripada kaca akustik bagi mengurangkan bunyi bising dalam kabin.

Berikut antara ciri lain terdapat pada Nissan Terra:-

• Skrin sesentuh sembilan-inci dengan sistem NissanConnect
• Sistem bunyi Bose lapan-pembesar suara
• Monitor belakang boleh diterbalikkan ke bawah bersaiz 11-inci dengan HDMI
• Cermin pandang belakang digital
• Pengecas tanpa wayar Qi 15-watt
• Lima port USB termasuk USB-C
• Pintu belakang bebas tangan
• Sistem Nissan 360-Degree Safety Shield
• Sistem pemantauan titik buta
• Sistem kemera 360 darjah dengan Pengesan Objek Bergerak (MOD)
• Enam beg udara

Foto ihsan Nissan

Terdapat empat warna ditawarkan iaitu White Pearl, Brilliant Silver, Black Star dan Twilight Gray.

Varian VL pula mempunyai dua tambahan pilihan warna iaitu Forged Copper dan Coulis Red.

Harga Nissan Terra E2WD bermula 1,199,000 baht (RM152,300) sehingga 1,499,000 baht (RM190,400) bagi varian VL 4WD.

Volkswagen Polo GTI facelift lebih memukau, mampu cecah 240km/j!

SELEPAS memperkenalkan model Polo facelift generasi keenam April lalu, Volkswagen kini mendedahkan pula versi berprestasi tinggi yang menjadi idaman ramai iaitu Polo GTI.

Ia bukan sahaja menampilkan rekaan lebih segar, malah enjin dan sistem keselamatan turut dipertingkatkan.

Jom kita lihat antara kelebihan yang ada pada Polo GTI baharu ini.

Reka Bentuk Luaran

Polo GTI didatangkan dengan reka bentuk luaran menarik dengan bentuk lampu hadapan dan belakang baharu serta corak bermotifkan sarang lebah pada gril.

Lampu hadapan menggunakan teknologi IQ Light LED Matrix, manakala lampu belakang pula adalah daripada jenis diod pemancar cahaya (LED).

Apa yang lebih menarik adalah penggunaan jalur lampu pada bahagian bawah gril dan lampu hadapan.

Menurut Volkswagen, ia diinspirasikan daripada model Golf GTI MK8 dan model elektrik ID.

Lampu itu turut ditemani oleh jalur berwarna merah yang merupakan ‘trademark’ GTI sejak dahulu lagi.

Bahagian belakang pula terdapat lampu brek beranimasi, lampu isyarat membelok dinamik serta ‘diffuser’ yang didatangkan dalam warna sama dengan warna badan.

Rim didatangkan standard dalam saiz 17 inci, namun pelanggan yang ingin tampil lebih agresif boleh mendapatkan unit 18 inci.

Lampu jalur berwarna merah yang merupakan ‘trademark’ GTI sejak dahulu lagi. – Foto ihsan Car Scoops

Ruang Dalaman

Tidak seperti bahagian luaran, perubahan pada ruang dalaman Polo GTI tidak begitu ketara.

Apa yang baharu adalah stereng multifungsi yang menampilkan butang sensitif sentuhan dan logo terkini Volkswagen.

Selain itu, terdapat kluster instrumen digital (Digital Cockpit Pro) berukuran 10.25 inci yang dikuasakan oleh sistem infotainmen generasi baharu MIB3.1.

Kehadiran sistem ini membolehkan Apple CarPlay dan Android Auto digunakan secara tanpa wayar.

Antara elemen lain terdapat pada bahagian dalaman Polo GTI baharu adalah:-

  • Trim Titanium Black pada bahagian tiang dan pelapik bumbung
  • Papan pemuka berwarna merah serta jahitan kontras pada stereng
  • Sistem audio Beats berkapasiti 300 watt dengan enam pembesar suara
Tona warna merah dan hitam menyerlahkan ‘kegarangan’ Polo GTI baharu. – Foto ihsan Car Scoops

Enjin Polo GTI baharu

Seperti sebelum ini, Polo GTI dikuasakan oleh enjin turbo 2.0-liter empat silinder yang dipadankan dengan kotak gear DSG tujuh kelajuan.

Namun, kuasanya telah ditingkatkan dari 200 PS kepada 207 PS.

Jumlah tork bagaimanapun kekal pada 320 Nm.

Prestasinya masih lagi mengagumkan iaitu 6.5 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j dan kelajuan maksimum mencecah 240 km/j.

Buat pertama kalinya, hatchback ini dilengkapi dengan IQ.Drive Travel Assist yang menggunakan sistem Adaptive Cruise Control dan Lane Assist untuk pemanduan separa auto pada kelajuan sehingga 210 km/j.

Perkataan GTI diletak di bawah logo Volkwagen. – Foto ihsan Car Scoops