Berita baik buat mereka yang sedang mencari sebuah kenderaan elektrik jenama Jepun.
Honda Malaysia kini membuka tempahan bagi model SUV elektrik pertama mereka, iaitu Honda e:N1 yang bakal dilancarkan secara rasmi pada suku kedua (Q2) 2025.
Dibina berdasarkan platform e:N Architecture F, Honda e:N1 dikuasakan oleh motor elektrik pacuan roda depan 201 hp dan 310 Nm.
Pek bateri lithium-ion 68.8 kWh pula membenarkan jarak pandu sejauh 500 km untuk sekali cas penuh (data NEDC).
Ia membawakan ukuran sepanjang 4,380 mm, tinggi 1,592 mm, dengan jarak antara roda sepanjang 2,610 mm, menyamai saiz HR-V versi petrol.
Antara ciri yang dimuatkan pada e:N1 termasuklah rim aloi dua tona 18 inci, unit lampu LED depan dan belakang, slot pengecasan pada jeriji hadapan, lencana Honda berwarna putih dan emblem perkataan ‘Honda’ di belakang.
Tidak ketinggalan, ciri keselamatan termasuklah informasi titik buta (BSI), sistem pemantauan trafik lintang (CTM), berserta sembilan fungsi keselamatan termaju Honda SENSING.
Para pelanggan Honda boleh membuat tempahan e:N1 di laman web https://prebook.honda.com.my/ atau menerusi aplikasi HondaTouch.
Honda Malaysia turut melantik lapan pusat pengedar sah untuk mengendalikan sebarang urusan berkenaan e:N1 seperti berikut:
Honda Malaysia mengumumkan pelantikan Narushi Yazaki sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif berkuatkuasa 1 April 2025.
Narushi Yazaki menggantikan peranan Hironobu Yoshimura yang telah menerajui Honda Malaysia sejak tiga tahun lepas, di mana beliau kini berkhidmat di ibu pejabat Honda di Tokyo.
Menurut Honda Malaysia, Yazaki mempunyai pengalaman lebih 25 tahun, dengan memegang peranan kepimpinan utama di beberapa buah negara termasuklah Amerika Syarikat, Jepun dan Thailand.
Sebelum berkhidmat di Malaysia, Yazaki telah berkhidmat dengan Operasi Pentadbiran Korporat di Honda Motor Co. Ltd, Tokyo, Jepun.
“Saya amat berbesar hati untuk memikul tanggungjawab ini di Honda Malaysia, pasaran yang terkenal dengan pertumbuhan dinamik serta sumbangan yang penting terhadap jenama Honda di rantau Asia dan Oceania.
“Saya berazam untuk meneruskan asas kukuh yang diletakkan oleh pemimpin terdahulu, dan terus memacu pertumbuhan dan kejayaan Honda Malaysia dalam pasaran berkembang pesat ini,” ujarnya.
Di bawah kepimpinan Yoshimura, beliau memainkan peranan penting dalam mengekalkan kedudukan Honda Malaysia di dalam segmen kenderaan penumpang bukan nasional untuk 11 tahun berturut-turut.
Beliau juga bertanggungjawab memimpin Honda Malaysia mengharungi tempoh mencabar pasca pandemik COVID-19.
Honda Malaysia mensasarkan untuk menjual 83,000 unit pada 2025 dengan pegangan pasaran sebanyak 10.6%.
Menurut syarikat itu, sasaran tahun ini, yang mengatasi jualan 81,600 unit yang direkodkan tahun lalu sebanyak 1,400 unit, dipacu oleh pelancaran tiga model baharu, termasuk Civic facelift pada Januari.
Honda Malaysia berkata dengan permintaan kukuh yang berterusan, ia yakin akan mengekalkan kedudukannya sebagai pendahulu pasaran kenderaan penumpang bukan nasional untuk tahun ke-12 berturut-turut.
Syarikat itu juga yakin bahawa teknologi enjin pembakaran dalaman dan e:HEV akan kekal relevan dalam pasaran, dengan manfaat daripada ketersediaan infrastruktur, keutamaan pengguna dan kemajuan teknologi.
Tahun lalu, model e:HEV mendapat maklum balas positif daripada pasaran, menyumbang hampir 30% daripada jumlah jualan kenderaan hibrid di Malaysia.
Selaras dengan hala tuju perniagaan bagi 2025, Pengarah Urusan dan Ketua Pengarah Urusan Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura berkata syarikat itu akan melancarkan kenderaan elektrik bateri (BEV) pertamanya iaitu e:N1.
“Model ini menunjukkan ciri BEV termaju Honda, dan pada masa yang sama juga juga memperkenalkan teknologi EV awal syarikat kepada pasaran Malaysia,” katanya.
Tambah beliau, pelancaran e:N1 akan membuka jalan kepada pelan Honda Malaysia untuk memperkenalkan tiga model BEV dalam tempoh tiga tahun menjelang 2027.
Selain memperkayakan penawaran produk, Honda Malaysia berkata ia akan menambah baik perkhidmatan jualan dan selepas jualannya. Syarikat itu kini mempunyai 104 pusat pengedaran di seluruh negara.
Honda Malaysia mengumumkan pencapaian impresif di mana model SUV generasi keenam Honda CR-V mencatatkan angka jualan melebihi 11,300 unit sepanjang tahun 2024.
Pencapaian ini sekaligus menobatkan CR-V sebagai model nombor satu di dalam segmen SUV saiz pertengahan dengan penguasaan pasaran sekitar 36 peratus.
Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura berkata, “sejak dilancarkan pada Disember 2023, Honda CR-V telah mendapat permintaan yang cukup tinggi, mengukuhkan lagi kedudukannya yang dominan di dalam pasaran.
Jelasnya lagi, CR-V merupakan model ketiga paling laris terjual sepanjang 2024.
Daripada jumlah keseluruhan jualan CR-V, varian hibrid 2.0L e:HEV RS menyumbang sebanyak 20 peratus, dan memegang 87 peratus di dalam segmen SUV hibrid saiz pertengahan.
Varian petrol juga tidak mengecewakan, di mana varian E menjadi pilihan utama pelanggan dan menyumbang kepada 40 peratus jualan keseluruhan CR-V.
Untuk pasaran Malaysia, Honda CR-V ditawarkan dengan pilihan enjin 1.5 liter turbo berkuasa 193 PS dan 243 Nm, atau enjin hibrid 2.0L e:HEV dengan kuasa 184 PS dan 335 Nm.
Penampilan luaran CR-V disumbangkan oleh unit lampu LED depan dan belakang, jeriji hadapan yang unik, serta fungsi yang khusus untuk varian teratas seperti Active Corning Lights dan Active Shutter Grille.
Selain daripada ruang kabin yang luas dan selesa, CR-V juga menawarkan ruang kargo sebesar 589 liter, dan boleh mencapai sehingga 1,072 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat rata.
Tidak ketinggalan, ciri keselamatan menyeluruh termasuklah Honda CONNECT, Honda SENSING, serta ciri tambahan untuk varian e:HEV seperti Adaptive Driving Beam dan sistem kamera 360 darjah.
Honda Malaysia telah melancarkan Honda Civic generasi ke-11 versi facelift, kira-kira sebulan selepas sedan itu dibuka untuk tempahan.
Seperti sebelum ini, Civic ditawarkan dalam empat varian iaitu E, V, RS dan e:HEV RS. Harga (OTR tanpa insurans) adalah seperti berikut:
E – RM133,900
V – RM144,900
RS – RM149,900
e:HEV RS – RM167,900
Dari segi penampilan, Civic facelift tampil dengan bampar hadapan baharu yang lebih agresif dan gril yang lebih besar. Bampar baharu ini juga menjadikan sedan segmen C ini 3 mm lebih panjang berbanding sebelum ini.
Tiada sebarang perubahan pada bahagian belakang kecuali pada bahagian lampu yang kini menampilkan efek smoked.
Untuk rim, varian e:HEV RS mendapat rim 18 inci rekaan baharu manakala varian-varian lain kekal dengan rim seperti sebelum ini.
Rekaan dan susun atur bahagian dalaman tidak berubah, namun terdapat beberapa kemas kini dari segi kelengkapan.
Sebagai contoh, paparan audio berukuran 9 inci kini disertakan secara standard pada semua varian. Apa yang menarik, ia kini dilengkapi dengan sistem Google yang membolehkan pengguna mengakses perkhidmatan seperti Assistant, Maps dan Play Store.
Selain itu, ciri-ciri seperti Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, port USB Type C depan dan belakang, sistem telematik Honda Connect dan filem solar juga dilengkapkan pada keempat-empat varian Civic. Dua varian teratas iaitu RS dan e:HEV RS turut mendapat pengecas tanpa wayar.
Tiada sebarang perubahan di bawah bonet. Varian-varian petrol iaitu E, V dan RS masih dikuasakan oleh enjin 1.5-liter VTEC Turbo yang menghasilkan 182 PS dan 240 Nm, disalurkan ke roda depan menerusi transmisi jenis CVT.
Civic e:HEV RS pula kekal dengan ‘nadi’ hibrid yang terdiri daripada enjin 2.0-liter kitaran Atkinson dengan 143 PS/184 Nm, dan sebuah motor elektrik yang menjana 184 PS dan 315 Nm.
Di samping mod pemanduan Econ, Normal dan Sport, varian hibrid itu turut mendapat mod baharu iaitu Individual.
Bukan itu sahaja, ia juga menggabungkan Active Noise Control (ANC) dengan Active Sound Control (ASC) untuk mengurangkan bunyi bising dari luar sambil menyerlahkan lagi deruman enjin.
Sistem Honda Sensing, yang disertakan secara standard pada semua varian, menawarkan ciri-ciri seperti Low Speed Follow (LSF), Lead Car Departure Notification System (LCDN), Adaptive Cruise Control (ACC), Forward Collision Warning (FCW), Collision Mitigation Braking System (CMBS), Lane Keep Assist System (LKAS), Road Departure Mitigation (RDM), Lane Departure Warning (LDW) dan Auto High Beam (AHB).
CMBS kini boleh mengesan pejalan kaki dan penunggang basikal, manakala ACC kini beroperasi dengan lebih lancar. Turut ditambah baik adalah LKAS, yang kini memberikan kawalan lebih baik ketika memandu lurus dan membelok.
Honda Malaysia mengumumkan bahawa tempahan untuk Honda Civic versi facelift kini telah pun dibuka. Menurut syarikat itu, model baharu itu akan dilancarkan secara rasmi pada Januari 2025.
Sejak pelancarannya pada 2022, Civic generasi ke-11 atau lebih dikenali sebagai FE mendapat sambutan yang menggalakkan dengan lebih 28,000 unit terjual.
Civic menerajui segmen C bukan nasional selama lapan tahun berturut-turut sejak 2016, memegang 70% bahagian pasaran setakat Oktober tahun ini.
Versi facelift ini akan ditawarkan dalam dua varian RS iaitu e:HEV RS dan Petrol RS. Kedua-dua model memakai kit badan RS namun boleh dibezakan menerusi sambungan gril dan kemasan bawah gril, di mana ia dicat dalam warna badan untuk e:HEV dan warna hitam untuk petrol.
Selain itu, varian hibrid itu juga mendapat rim aloi 18 inci baharu dalam warna kelabu matte.
Civic e:HEV RS dikuasakan oleh enjin 2.0-liter empat silinder kitaran Atkinson yang dipadankan dengan motor elektrik bagi menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 184 PS dan 315 Nm.
Sementara itu, Petrol RS pula kekal dengan enjin 1.5-liter VTEC Turbo yang menjana 182 PS dan 240 Nm.
Civic facelift dilengkapi dengan sistem Honda Sensing yang merangkumi sembilan ciri keselamatan canggih dan juga sistem Honda Connect yang menyediakan keselamatan dan kemudahan menerusi sambungan telefon pintar.
Pelanggan boleh membuat tempahan menerusi prebook.honda.com.my atau aplikasi HondaTouch.
Bertempat di KLIMS 2024, Honda Malaysia bukan sahaja membawakan model konsep coupe Honda Prelude, akan tetapi terdapat juga sebuah SUV berkuasa elektrik – Honda e:N1.
Walaupun membawakan rupa paras yang sama seperti Honda HR-V, e:N1 menggunakan platform e:N Architecture F yang menawarkan struktur badan yang lebih tegar, titik graviti lebih rendah dan bahagian bawah badan aerodinamik.
Ia dikuasakan oleh motor elektrik pacuan roda depan berkuasa 201 hp dan 310 Nm, dipadankan dengan pek bateri berkapasiti 68.8 kWh.
Untuk sekali cas penuh, e:N1 boleh bergerak sejauh 412 km.
Membezakan e:N1 dengan HR-V yang standard ialah kehadiran slot pengecasan yang menggantikan struktur jeriji hadapan, diikuti dengan perkataan Honda menggunakan fon huruf yang lebih moden di belakang.
Susun atur ruang kabin e:N1 juga tampil lebih berbeza berbanding HR-V, di mana ia didatangkan dengan skrin tengah sebesar 15 inci, skrin kluster digital 10.25 inci, serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.
Buat masa ini, Honda Malaysia masih belum mendedahkan secara rasmi perincian spesifikasi bagi e:N1 untuk pasaran tempatan.
Namun begitu, ia bakal menjadi EV pertama yang dibawa masuk secara rasmi oleh Honda Malaysia apabila model tersebut dijadualkan pelancarannya pada tahun hadapan (2025).
Untuk makluman, Honda telah pun memulakan produksi bagi SUV elektrik Honda e:N1 di kilang yang terletak di Rojana Industrial Park, wilayah Prachinburi, Thailand pada penghujung tahun 2023.
Persoalan sebenar, berapakah harga jualan yang bakal diletakkan oleh Honda Malaysia untuk model e:N1 ini? Honda HR-V varian e:HEV yang ada di pasaran Malaysia pada ketika ini dijual pada harga RM140,800.
Bertempat di KLIMS 2024, Honda Prelude Concept serba merah ini akhirnya membuat kemunculan yang pertama di Asia di luar negara Jepun.
Untuk makluman terutama kepada generasi baharu, nama ikonik Prelude ini telah pun wujud dalam lima generasi yang bermula sejak tahun 1978, sebelum produksinya berakhir pada tahun 2001.
Setelah sekian lama menyepi, Honda membuat kejutan dengan memperlihatkan model konsep Prelude di acara pameran Japan Mobility Show 2023.
Honda Prelude Concept ini telah pun disahkan akan muncul dalam versi produksi pada tahun 2025-2026 bagi menggantikan model coupe dari keluarga Civic dan Accord.
Berita penuh berkenaan Honda Prelude anda boleh baca pada pautan di bawah:
Honda Malaysia mengesahkan model konsep coupe hibrid Honda Prelude akan membuat kemunculan rasmi pertama di acara Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) pada 5-11 Disember ini.
Ini sekaligus menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di peringkat Asia selain Jepun yang mempamerkan model coupe hibrid tersebut.
Honda Prelude didedahkan buat kali pertama pada acara Japan Mobility Show 2023, sebelum disahkan akan muncul dalam versi produksi sebenar menjelang pertengahan dekad ini.
Berdasarkan beberapa laporan terdahulu, Honda Prelude generasi baharu ini akan dibangun berdasarkan platform Civic sedia ada, selain mengguna pakai teknologi hibrid e:HEV dengan dua motor elektrik yang mampu menjana kuasa setinggi 208 hp.
Terdapat juga khabar angin di mana jurutera Honda akan memadankan enjin hibrid tersebut dengan transmisi manual enam nisbah kelajuan dan fungsi rev-match daripada Civic RS.
Apa pun berita yang berlegar di alam maya, yang pasti Honda Prelude versi produksi sebenar akan membuat kemunculan rasmi menjelang separuh kedua tahun 2025 bermula di pasaran Eropah terlebih dahulu.
Honda Malaysia telah mengumumkan kemas kini produk proaktif membabitkan kira-kira 36,000 unit Honda Civic, Civic Type R dan CR-V.
Menurut syarikat itu, aktiviti ini adalah untuk mengemaskini kotak gear Electric Power Steering (EPS).
Roda kotak gear (wormwheel) EPS boleh membengkak dan mengurangkan ketebalan filem gris, menyebabkan bunyi stereng yang tidak normal atau melekit.
Model yang terlibat termasuk Civic tahun 2022-2024, Civic Type-R tahun 2023-2024, dan CR-V tahun 2024.
Honda Malaysia berkata ia memohon maaf atas kesulitan yang dialami oleh pelanggan yang terjejas dan memberi jaminan bahawa model pengeluaran dan jualan semasa yang lain tidak terjejas dalam kemas kini produk ini.
“Syarikat percaya kemas kini produk proaktif ini perlu kerana keselamatan pelanggan adalah keutamaan Honda Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Semua pelanggan yang terjejas akan dimaklumkan melalui surat pemberitahuan, yang akan menyertakan butiran mengenai kemas kini produk.
Honda Malaysia menggesa semua pelanggan yang terlibat dalam kemas kini ini untuk menghubungi mana-mana pengedar sah Honda untuk membuat temu janji setelah menerima pemberitahuan. Ini bagi membolehkan kenderaan mereka diperiksa dan/atau dibaiki jika perlu.
Kos pemeriksaan, pembaikan atau penggantian bahagian yang terjejas akan ditanggung oleh Honda Malaysia. Stok gantian akan tersedia secara berperingkat bermula Disember 2024.
HONDA Malaysia telah memperkenalkan Honda Insurance Plus (HiP) yang dinaik taraf, menawarkan pelan insurans automotif dengan nilai terbaik khas untuk pemilik Honda.
Pakej HiP yang dinaik taraf ini menawarkan gabungan tiga faedah termasuk khidmat menunda tanpa had perbatuan, 100% pembayaran sehingga 15 tahun, dan 100% perlindungan ke atas pembaikan kemalangan (tanpa betterment) sehingga 13 tahun.
Pakej HiP ini memfokuskan kepada tiga teras utama iaitu Penyelamatan, Perlindungan dan Penjimatan.
Penyelamatan
Pelanggan akan mendapat faedah tambahan termasuk khidmat tunda tanpa had perbatuan untuk kemalangan, kerosakan dan banjir, manakala perkhidmatan pembaikan tepi jalan menawarkan kos buruh percuma sehingga RM200, tidak termasuk alat ganti.
Pelanggan boleh menghubungi Bantuan Kecemasan HiP 24/7 Honda Malaysia di 1-800-18-1177 untuk perkhidmatan bantuan kerosakan dan kemalangan. Pasukan penyelamat akan bersedia untuk membantu pelanggan dengan insiden yang tidak diduga termasuk tayar pancit.
Perlindungan
Ahli HiP yang keretanya dibaik pulih di pusat Badan & Cat bertauliah Honda akan mendapat manfaat pra-kelulusan tuntutan yang pantas untuk tuntutan bawah RM30,000.
Pelanggan diberi jaminan bahawa semua kerja pembaikan dijalankan menggunakan alat ganti tulen Honda dengan waranti selama enam bulan atau 10,000 km.
Pelanggan juga layak mendapat Perlindungan Kemalangan Diri sehingga RM15,000 sekiranya berlaku Kematian Akibat Kemalangan atau Hilang Upaya Kekal dalam kemalangan kereta yang dinamakan.
Penjimatan
Sekiranya kenderaan dicuri atau tidak boleh dibaiki selepas kemalangan, pelan HiP yang dinaik taraf menjamin pembayaran insurans 100% berdasarkan nilai kereta yang dipersetujui sehingga 15 tahun dari tarikh pendaftaran (sebelum ini 13 tahun).
Selain itu, kenderaan yang dilindungi oleh pelan ini layak menikmati perlindungan 100% selama 13 tahun tanpa yuran betterment, membolehkan penggantian alat ganti lama kenderaan Honda yang rosak akibat kemalangan dengan alat ganti baru dan tulen.
HiP yang dinaik taraf akan dilancarkan bermula 1 Julai 2024, dan semua pelanggan Honda sedia ada dan baru dialu-alukan untuk memperbaharui atau memohon pakej HiP mereka di mana-mana wakil pengedar sah Honda.
HONDA Malaysia hari ini mengumumkan bahawa Honda City Hatchback versi facelift telah dibuka untuk tempahan di semua pengedar Honda seluruh negara. Pengganti kepada Jazz itu akan dilancarkan ke pasaran pada suku kedua tahun ini.
Sejak dilancarkan pada Disember 2021, City Hatchback kekal sebagai salah satu model hatchback terlaris dalam segmen Bukan Nasional dengan 10,300 unit terjual pada 2023, menjadikan jumlah jualan keseluruhan melebihi 28,700 unit setakat ini.
City Hatchback merupakan model kedua Honda Malaysia yang didatangkan dengan teknologi e:HEV. City Hatchback varian e:HEV RS telah menyumbang 16% kepada jumlah jualan hibrid Honda Malaysia setakat ini.
Untuk versi facelift, penampilan City Hatchback dinaik taraf dengan rekaan yang dikatakan lebih anggun dan dinamik berbanding sebelum ini.
Sebagai varian tertinggi, City Hatchback e:HEV RS tampil dengan bahagian luaran yang lebih sporty dengan gril honeycomb baharu, gril bawah hadapan dan rekaan bampar agresif dengan kemasan lampu kabus.
Turut disertakan bagi melengkapkan penampilan model ini adalah kemasan bawah bampar belakang, kemasan sisi dan rim 16 aloi inci dalam warna Berlina Black.
Dari segi trenkuasa, tiada sebarang perubahan. Varian RS kekal dengan gabungan enjin 1.5-liter dan motor elektrik yang menghasilkan 109 PS dan tork tertinggi dalam kelasnya iaitu 253 Nm.
Sementara itu, varian-varian lain akan terus dikuasakan oleh enjin petrol 1.5-liter i-VTEC dengan kuasa sebanyak 121 PS dan 145 Nm. Kuasa disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi jenis CVT.
Jika sebelum ini Honda Sensing hanya tersedia pada varian RS, model facelift ini menyaksikan teknologi bantuan pemandu itu dibekalkan secara standard untuk semua varian dengan tambahan ciri Lead Car Departure Notification (LCDN).
Tidak cukup dengan itu, varian RS turut mendapat satu lagi ciri tambahan iaitu Low Speed Follow (LSF).
HONDA Malaysia mengumumkan ia telah merekodkan jualan lebih daripada 80,000 unit, sekali gus mencapai sasaran jualannya bagi tahun 2023.
Pencapaian ini membolehkan Honda Malaysia mengekalkan kedudukannya sebagai jenama kereta nombor satu dalam segmen kenderaan penumpang bukan nasional selama 10 tahun berturut-turut,
Menurut syarikat itu, tiga model terlaris bagi tahun 2023 adalah City, HR-V dan City Hatchback, masing-masing menyumbang 30 peratus, 25 peratus dan 13 peratus kepada jualan keseluruhan syarikat.
Bukan itu sahaja, WR-V, HR-V, CR-V dan Civic juga muncul sebagai pendahulu dalam segmen masing-masing.
Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura, 2023 terbukti sebagai tahun yang mencabar di mana syarikat itu menghadapi pasaran yang kompetitif.
“Bagaimanapun, Honda Malaysia berjaya mengatasi dan mencapai sasaran jualan kami pada 2023 dengan sokongan padu daripada pengedar kami dan Kerajaan Malaysia,” katanya.
Tambah beliau lagi, pencapaian cemerlang Honda Malaysia sebahagian besarnya disumbangkan oleh pelancaran WR-V pada Julai.
SUV kompak itu mendapat sambutan yang menggalakkan, dengan jualan melebihi 7,800 unit dalam tempoh enam bulan pertama pelancaran. Varian RS merupakan penyumbang terbesar, menyumbang 60 peratus daripada jumlah jualan setakat ini.
Sementara itu, jualan model-model hibrid e:HEV turut meningkat daripada lebih 4,100 unit pada 2022 kepada lebih 7,700 unit pada 2023, menunjukkan pertumbuhan sebanyak 87 peratus.
Model-model e:HEV Honda juga menyumbang 28 peratus kepada jualan keseluruhan hibrid di Malaysia.
SEBELUM ini, kita telah membaca kisah mengenai pemilik Perodua Bezza dan Honda HR-V yang tular apabila kenderaan mereka mengalami kerosakan dalam tempoh yang begitu singkat selepas dibeli.
Kali ini, seorang lagi pengguna media sosial tampil meluahkan rasa tidak hati mengenai Honda CR-V baharu yang baru dibeli oleh bapanya yang didakwa mengeluarkan bunyi pelik hanya beberapa minit selepas dibawa keluar dari sebuah bilik pameran kereta di Melaka Disember tahun lalu.
Menurut seorang pengguna Facebook yang bernama Ahmad Shah, bunyi pelik itu seakan-akan seperti bunyi motosikal bergerak.
“Ayah menghantar kereta tersebut ke cawangan pusat kenderaan berkenaan untuk pemeriksaan. Pihak itu hanya menukar tombol kunci pintu namun kereta masih mengeluarkan bunyi yang sama,” katanya.
SUV itu kemudiannya dibawa sekali lagi ke pusat kenderaan berkenaan untuk pemeriksaan dan dipandu uji kali kedua. Pengurus pusat kenderaan tersebut mengesahkan ada bunyi tidak normal pada kenderaan itu.
“Dia maklumkan bahawa kereta tersebut akan dihantar ke pusat servis utama iaitu Honda Malaysia. Ini kerana dakwanya, cawangan berkenaan tidak dapat membuat apa-apa tanpa pemeriksaan yang lebih teliti daripada Honda Malaysia,” katanya.
Dakwanya, selepas itu SUV berkenaan dihantar ke Honda Malaysia namun tiada langsung khabar berita mengenai statusnya.
“Ayah menghubungi semula pengurus tersebut dan dia maklumkan sentiasa cuba mendapatkan maklumbalas dan perkembangan dari Honda Malaysia namun setakat ini masih tidak diketahui apa puncanya.
“Agak pelik kerana kereta itu belum cecah sebulan lagi usianya namun tempoh jaminan daripada Honda seperti sudah tamat berpuluh tahun.
“Kemudiannya ayah berhubung dengan Ketua Perkhidmatan Pelanggan Honda Malaysia yang memaklumkan kes itu akan dirujuk semula dan diselesaikan oleh pihak cawangan,” luahnya.
Ahmad Shah berkata, selepas disiasat, rupanya mengikut laporan dibuat, tiada langsung dinyatakan mengenai bunyi pelik tersebut sebaliknya pihak itu hanya nyatakan ada isu tayar sahaja.
“Bunyi tersebut hilang apabila kereta berhenti namun akan mengeluarkan bunyi yang sangat kuat apabila kereta sedang bergerak,” katanya.
Dalam satu hantaran lagi, Ahmad Shah berkata pengurus pusat kenderaan berkenaan telah menelefon ayahnya untuk membuat satu sesi pertemuan tentang kereta tersebut. Tarikh pertemuan itu bagaimanapun tidak diberitahu.
MINGGU lalu, tular kisah mengenai seorang wanita yang kurang bernasib baik apabila Perodua Bezza yang dibelinya tidak boleh dipandu akibat rosak hanya 8 jam selepas dibeli.
Kali ini, seorang pengguna media sosial, Noriya Mamat mengalami nasib yang hampir serupa apabila Honda HR-V yang dibelinya pada Ogos tahun lalu rosak selepas hanya dua minggu digunakan.
Dalam satu hantaran di Facebook, Noriya berkata, SUV tersebut mengalami masalah selepas dihantar ke pusat servis Honda di Gong Badak, Terengganu pada 2 September lalu untuk servis 1,000 km.
Dua hari selepas itu, kereta beliau mengalami beberapa kerosakan termasukan lampu depan tidak boleh dilaras, lampu penunjuk berkelip-kelip dan lampu kecemasan menyala.
Dakwa Noriya, keadaan lebih memilukan apabila pusat servis Honda itu memberikan alasan bahawa mereka tidak dapat mengesan punca masalah berkenaan.
Susulan itu, Noriya bertindak untuk menghantar semula keretanya itu ke pusat servis selama seminggu. Bagaimanapun, dia berkata, masalah bersama berulang kembali dan terpaksa menghantar sekali lagi SUV itu untuk diservis.
“Saya terpaksa berulang-alik ke pusat servis dalam keadaan saya sarat mengandung pada ketika itu,” ujar Noriya.
Masalah ini berlanjutan sehingga Disember, di mana ketika itu Noriya telah diberitahu bahawa pegawai teknikal dari ibu pejabat Honda akan datang ke Terengganu untuk melihat masalah kenderaan itu.
Pada 10 Januari lalu, ibu pejabat Honda telah menghubungi Noriya dan memaklumkan bahawa masalah SUV itu tidak dapat diselesaikan.
“Setelah empat bulan berada di pusat servis, kali ini mereka maklumkan bahawa kenderaan akan dibawa ke Honda HQ Kuala Lumpur untuk dipantau lebih lanjut dan tempoh sebulan mencari penyelesaian.
“Berapa lama lagi saya perlu menunggu? Setiap bulan saya perlu membayar RM1,500 untuk SUV yang tidak saya gunakan.
“Mengapa pihak Honda mengambil masa yang lama untuk kes seperti ini. Di mana khidmat lepas jualan yang terbaik seperti dijanjikan Honda?” soalnya.
HONDA Malaysia hari ini mengumumkan harga rasmi Honda CR-V e:HEV RS serba baharu iaitu RM195,900.
Model flagship ini diperkenalkan pada Disember lalu bersama tiga lagi varian iaitu 1.5L S (RM159,900), 1.5L E (RM169,900) dan 1.5L V (RM181,900).
Tidak seperti varian-varian lain, CR-V e:HEV RS menampilkan enjin 2.0-liter empat silinder kitaran Atkinson yang boleh menghasilkan 148 PS pada 6,100 rpm dan 190 Nm pada 4,500 rpm.
Penggerak utama trenkuasa hibird ini merupakan motor elektrik yang menjana 184 PS dan 335 Nm. Kuasa disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi e:CVT.
Dari segi penampilan, varian RS ini boleh dibezakan menerusi lencana RS pada gril dan tailgate, Active Shutter Grille, rel bumbung, kemasan hitam pada antena dan cermin sisi, serta rim aloi 18 inci dalam warna Berlina Black.
Bukan itu sahaja, bahagian bawah bampar depan dan belakangnya juga dicat sama dengan warna badan. Ciri-ciri lain yang turut disertakan termasuk lampu LED depan dan belakang, lampu membelok berjujukan LED, Active Cornering Light dan kemasan krom pada ekzos.
Bahagian dalaman pula menampilkan upholsteri kulit dengan jahitan merah, pelarasan lapan hala dan fungsi memori pada tempat duduk pemandu, head-up display, pengecas wayarles dan dua port USB.
Sistem infohibur merangkumi panel instrumen TFT 10.2 inci, skrin sentuh 9.0 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, serta sistem audio Bose yang mempunyai 12 pembesar suara.
Ciri-ciri keselamatan pula terdiri daripada Honda Sensing dengan sembilan ciri, dua beg udara, Honda LaneWatch dan kamera 360 darjah. Turut disertakan adalah Honda Connect.
HONDA CR-V generasi keenam secara rasminya telah dilancarkan ke pasaran Malaysia hari ini, sebulan selepas ia dibuka untuk tempahan.
Menurut Honda Malaysia, SUV itu telah menerima lebih 2,000 tempahan dalam tempoh tersebut. Syarikat itu mensasarkan untuk menjual 1,000 unit CR-V sebulan.
CR-V ditawarkan dalam empat varian, dengan harga jualan seperti berikut:
1.5L S – RM159,900
1.5L E – RM169,900
1.5L V – RM181,900
2.0L e:HEV RS – harga akan diumumkan kemudian
Varian tertinggi iaitu e:HEV RS hanya akan dilancarkan pada awal tahun hadapan, jadi harganya akan diumumkan lebih dekat dengan tarikh pelancaran.
Sempena dengan ulang tahun Honda yang ke-75 dan 20 tahun CR-V sebagai model pengeluaran pertama dari kilang Honda Malaysia di Melaka, syarikat itu menawarkan harga istimewa RM157,900 untuk CR-V 1.5L S untuk 750 pelanggan terawal.
Jika dibandingkan dengan versi terdahulu, model baharu ini mempunyai ukuran saiz yang lebih besar dengan ukuran panjang 4,691 mm, lebar 1,866 mm, tinggi 1,681 mm dan jarak roda 2,701 mm.
Varian e:HEV RS dikuasakan oleh gabungan enjin 2.0-liter empat silinder dan motor hibrid (Hybrid Traction Motor) yang menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 184 PS dan 335 Nm. Kuasa disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi e:CVT.
Tiga varian lagi menampilkan 1.5 liter VTEC Turbo dengan 193 PS dan 243 Nm tork, serta transmisi jenis CVT. Varian S dan E adalah pacuan roda hadapan (2WD), manakala varian V menggunakan sistem pacuan semua roda Real Time AWD.
Dari segi kelengkapan, semua varian CR-V didatangkan standard dengan lampu hadapan dan belakang LED, dan lampu isyarat membelok berjujukan. Lampu kabus LED pula hanya tersedia dari E ke atas.
Saiz rim aloi pula bermula dari 17 inci untuk S, hingga 18 inci untuk E, V dan RS. Sebagai varian paling sporty, rim RS didatangkan dalam warna hitam.
Di dalam, CR-V (kecuali varian S) didatangkan dengan upholsteri kulit, fungsi memori kerusi pemandu, pelarasan kuasa lapan hala untuk pemandu dan empat hala untuk penumpang, tambahan port USB Type C, pengecas wayarles 15W, paparan audio sembilan inci dan paddle shifter.
Varian V menambah pencahayaan ambien, manakala varian RS pula mendapat kad kunci pintar, meter digital 10.2 inci, Head-Up Display, suis mod pemanduan, Active Sound Control dan sistem audio Bose dengan 12 pembesar suara.
Dari segi keselamatan, Honda Sensing kini tersedia pada semua varian. Ia merangkumi sembilan ciri iaitu:
Adaptive Cruise Control
Forward Collision Warning
Lane Departure Warning
Road Departure Mitigation
Lane Keep Assist System
Collision Mitigation Braking System
Lead Car Departure Notification System
Low Speed Follow
Adaptive Driving Beam (RS sahaja)
Sementara itu, Honda LaneWatch tersedia pada E, V dan RS, manakala kamera 360 darjah tersedia pada V dan RS sahaja.
CR-V boleh didapati dalam lima warna iaitu Canyon River Blue, Platinum White Pearl, Lunar Silver Metallic, Meteroid Gray Metallic dan Ignite Red Metallic.
HONDA Malaysia hari ini mengumumkan bahawa tempahan untuk Honda CR-V generasi keenam sudah pun dibuka secara rasmi. Model SUV itu dijangka bakal dilancarkan ke pasaran tempatan pada Disember ini.
Menurut syarikat itu, varian e:HEV RS tampil lebih premium dengan elemen-elemen seperti corak mesh pada gril, lampu LED penuh hadapan dan belakang, lampu kabus LED hadapan dan lampu membelok berjujukan LED.
Bukan itu sahaja, varian itu juga didatangkan dengan pemegang pintu bergaya dan rim aloi 18 inci dalam warna Berlina Black.
Satu lagi ciri eksklusif adalah Active Shutter Grille yang terletak pada bahagian bawah bampar hadapan. Ia berfungsi untuk meningkatkan aerodinamik dan kecekapan bahan api dengan membuka dan menutup shutter secara automatik berdasarkan kelajuan, suhu enjin dan keperluan penyejukan.
CR-V generasi keenam akan ditawarkan dengan dua pilihan enjin iaitu 2.0L e:HEV dan 1.5L VTEC Turbocharged. Trenkuasa e:HEV menampilkan gabungan motor hibrid (Hybrid Traction Motor) dan transmisi jenis e:CVT yang menghasilkan kuasa sebanyak 184 PS dan 335 Nm.
Sementara itu, varian 1.5L VTEC Turbocharged pula mempunyai 193 PS dan 243 Nm tork, yang disalurkan ke roda menerusi CVT. Menurut Honda Malaysia, model ini juga menampilkan sistem pacuan semua roda Real Time AWD.
Ciri baharu lain yang disertakan pada CR-V adalah tailgate kuasa bebas tangan dengan ciri Walkaway Close, sistem kamera multi-view dengan sudut pandangan 360 darjah dan Honda Connect.
Sistem Honda Sensing pula telah dinaik taraf dengan radar sudut lebar, kamera dan penderia sonar untuk Low Speed Barking Control. Sistem ini kini mempunyai sembilan ciri kesemuanya dengan penambahan Adaptive Driving Beam eksklusif untuk varian e:HEV RS.
Honda CR-V serba baharu boleh ditempah menerusi prebook.honda.com.my, aplikasi HondaTouch atau di mana-mana 101 wakil pengedar sah Honda di seluruh negara.
Model ini akan dipertontonkan secara eksklusif di lokasi-lokasi berikut:
HONDA Malaysia hari ini melancarkan Honda Civic Type R generasi keenam yang juga dikenali dengan kod nama FL5. Ia merupakan jentera Honda yang paling berkuasa pernah dilancarkan di Malaysia dan model Civic Type R ketiga yang tiba di negara ini selepas FD2 pada 2007 dan FK8 pada 2017.
Dari segi penampilan, Civic Type R menggunakan badan Civic hatchback sebagai asas namun ia diberikan elemen-elemen sport dan aerodinamik. Ini termasuk logo ‘H’ merah, logo ‘Type R’, bukaan gril yang lebih luas dan liang-liang udara pada bonet dan sudut bampar.
Rim yang digunakan bersaiz 19 inci berwarna Matte Black dan di belakang, terdapat gabungan spoiler aluminium dan diffuser yang meningkatkan downforce.
Di dalam, semangat Type R diteruskan dengan kerusi semi-bucket dan karpet berwarna merah, tombol gear aluminium dan plak nombor siri pada papan pemuka.
Dari segi kelengkapan, FL5 tampil dengan panel instrumen digital 10.2 inci dan skrin infohibur sembilan inci. Selain Honda Connect dan Honda Sensing, model ini juga didatangkan dengan sistem Log R yang membolehkan pemandu memantau pelbagai parameter prestasi ketika memandu di litar.
Seperti model generasi terdahulu, Civic Type R dikuasakan oleh enjin 2.0-liter VTEC Turbo empat silinder namun kuasanya lebih tinggi iaitu 319 PS dan 420 Nm.
Peningkatan ini dicapai menerusi penggunaan pengecas turbo baharu, dan penambahbaikan pada sistem ambilan udara dan ekzos.
Dengan transmisi manual enam kelajuan yang memacu roda hadapan, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.5 saat.
Terdapat empat mod pemanduan yang disediakan iaitu Comfort, Sport, +R dan yang terbaru Individual.
Mod Individual membolehkan pemandu mengubahsuai respon enjin, pendikit, stereng dan suspensi secara berasing mengikut kesesuaian masing-masing.
Harga jualan Civic Type R FL5 bermula dari RM399,900. Penawaran agak terhad iaitu 19 unit sahaja untuk tahun 2023.
HONDA Malaysia mengumumkan bahawa ia telah berjaya menyerahkan sebanyak 2,200 unit Honda WR-V dalam tempoh sebulan selepas ia dilancarkan pada Julai lalu.
Pada masa yang sama, syarikat itu turut meraikan pelanggan pertama yang berjaya mendaftarkan SUV itu iaitu Nurain binti Mohamad dalam satu majlis penyerahan rasmi di Accord Auto Sdn Bhd di Ampang, Selangor.
Sebagai tanda penghargaan, Nurain turut menerima aksesori Honda, Ultra Glass Body Coating dan barangan rasmi bernilai RM5,000.
Hironobu Yoshimura, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia berkata, “Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pelanggan kami atas kepercayaan mereka terhadap jenama Honda dan sokongan untuk WR-V yang merupakan model serba baharu dalam segmen SUV kecil bukan nasional.”
Menurut beliau lagi, 60 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan WR-V setakat ini disumbangkan oleh varian RS. WR-V juga muncul sebagai model kedua terlaris dalam barisan Honda bagi bulan Julai 2023.
Selain RS, WR-V turut ditawarkan dalam tiga lagi varian iaitu S, E dan V. Sebagai varian tertinggi, WR-V RS tampil dengan gril unik dengan kemasan pin krom, rim aloi dwi tona berukuran 17 inci, lencana ‘RS’ pada gril dan tailgate, serta lampu automatik LED.
Semua varian dikuasakan oleh enjin 1.5-liter DOHC i-VTEC yang sama, menghasilkan 121 PS pada 6,600 rpm dan 145 Nm pada 4,300 rpm. Enjin ini dipadankan dengan transmisi jenis CVT yang ditugaskan untuk memacu roda hadapan.