Tag Archives: Honda Malaysia

Honda Accord generasi ke-11 tidak akan dijual di Malaysia

SEMASA pelancaran Honda City facelift, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia Hironobu Yoshimura mengumumkan bahawa syarikat itu tidak akan menawarkan Honda Accord generasi ke-11.

Dalam erti kata lain, Accord generasi ke-10 yang sedia ada akan menjadi model Accord terakhir yang dijual di pasaran tempatan.

Keputusan Honda Malaysia untuk menghentikan jualan model itu tidak terlalu mengejutkan memandangkan pasaran sedan segmen D yang semakin mengecil dan pelanggan juga dilihat lebih gemar mendapatkan crossover dan SUV.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan Accord masih sempat berbuat demikian kerana model itu akan dijual sehingga stok habis.

Dipasang di kilang Honda Malaysia di Pegoh, Melaka, Accord ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.5 TC (RM187,400) dan 1.5 TC-P (RM197,400).

Kedua-dua varian dikuasakan oleh enjin 1.5-liter VTEC Turbo yang menghasilkan 201 PS dan 260 Nm. Kuasa disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi jenis CVT.

Honda City facelift dilancarkan – varian petrol RS baharu, harga dari RM85k-RM112k

HONDA City facelift secara rasminya telah dilancarkan ke pasaran Malaysia hari ini, membawakan varian petrol baharu serta pelbagai kemas kini dari segi reka bentuk dan juga kelengkapan.

Varian baharu yang dimaksudkan adalah varian RS versi petrol yang diposisikan di antara e:HEV RS dan V. Harga jualan adalah seperti berikut:

  • City e:HEV RS – RM111,900
  • City RS – RM99,900
  • City V – RM94,900
  • City E – RM89,900
  • City S – RM84,900

Dari segi penampilan, sedan segmen-B ini tampil dengan bampar baharu dengan lampu kabus yang direka semula, bar krom lebih nipis di bahagian atas serta kemasan pin pada gril.

Varian RS, sama ada petrol atau hibrid, mendapat ciri-ciri unik seperti gril honeycomb, liang udara pada gril bawah, diffuser belakang dan logo RS yang direka semula. Rim masih berukuran 16 inci namun dengan rekaan yang diubah sedikit.

Dengan bampar baharu tersebut, ukuran panjang City bertambah sebanyak 36 mm (4,589 mm) bagi varian-varian RS dan 27 mm (4,580 mm) bagi varian-varian lain.

Rekaan ruang dalaman secara umumnya tidak berubah. Kedua-dua varian RS didatangkan dengan Apple CarPlay dan Android Auto wayarles, paparan TFT berukuran tujuh inci pada meter. Varian selain RS didatangkan dengan paparan 4.2 inci.

Selain itu, semua varian kecuali S mendapat naik taraf kelengkapan yang merangkumi lapan pembesar suara, antaramuka baharu untuk paparan audio, kamera undur yang diperbaharui dan port USB Type C di belakang.

Sistem Honda Sensing turut ditambah baik dengan penambahan dua ciri baharu iaitu Low Speed Follow (LSF) dan Lead Car Departure Notification (LCDN).

Ciri lain di bawah Honda Sensing merangkumi Forward Collision Warning (FCW), Collision Mitigation Braking System (CMBS), Lane Keep Assist System (LKAS), Road Departure Mitigation (RDM), Lane Departure Warning (LDW) dan Auto High Beam (AHB).

City e:HEV RS masih menggunakan sistem hibrid Honda Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) yang menggunakan motor elektrik berkuasa 109 hp dan 253 Nm untuk memacu roda hadapan. Kuasa elektrik dibekalkan oleh bateri yang dicas oleh motor kedua yang dipadankan dengan enjin 1.5-liter i-VTEC.

Enjin petrol dengan kitaran Atkinson ini menjana 97 hp dan 127 Nm tork, dan disambungkan ke roda depan dengan e-CVT satu kelajuan.

Varian lain kekal dengan enjin 1.5-liter empat silinder DOHC i-VTEC yang mampu menghasilkan 121 hp dan 145 Nm tork, dipadankan dengan CVT.

Pemilik pertama Honda Civic e:HEV RS di Malaysia

HONDA Malaysia baru-baru ini mengadakan majlis penyerahan Civic e:HEV RS kepada pemilik pertamanya bertempat di MH Prestige Auto Sdn. Bhd.

Sebagai pemilik pertama Civic e:HEV RS di Malaysia, Chin Kok Fung turut menerima token penghargaan berbentuk aksesori dan barangan rasmi Honda bernilai RM4,000 daripada Honda Malaysia.

“Kami teruja kerana telah melancarkan varian baharu ini. Ini adalah kali pertama Civic diperkenalkan dengan rangkaian kuasa 2.0L e:HEV,” kata pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura.

Tambah beliau lagi, setakat ini Honda telah menyerahkan lebih 180 unit Civic e:HEV RS kepada rakyat Malaysia.

Honda Malaysia juga sedang melakukan yang terbaik untuk menyampaikan model baharu tepat pada masanya sambil memastikan kualiti tertinggi dalam produk dan perkhidmatan.

Chin Kok Fung pula berkata, “Saya memang peminat kereta prestasi. Apabila Honda memperkenalkan trenkuasa 2.0L e:HEV, saya berasa kagum dengan teknologi dan prestasi yang ditawarkannya.”

Dilancarkan pada November lalu pada harga RM166,500, model itu tampil agresif dengan penggayaan RS, kemasan krom pada lampu depan dan jeriji, kemasan krom separa hitam pada pemegang pintu, rim aloi 18 inci, logo H biru dan lencana e:HEV.

Di dalam, terdapat panel instrumen digital 10.2-inci, paparan infotainmen 9.0-inci, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa-wayar dan Remote Engine Start. Turut disertakan adalah ciri keselamatan Honda Sensing.

Civic e:HEV RS dikuasakan oleh enjin 2.0-liter yang menggabungkan dua motor elektrik berserta e-CVT dan Intelligent Power Unit (IPU). Gandingan ini menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 184 PS dan 315 Nm.

Honda Malaysia buka pusat 3S baharu di Kuching, fasiliti terbesar setakat ini

HONDA Malaysia baru-baru ini melancarkan pusat 3S terbaharunya di Kuching, Sarawak yang dikendalikan oleh Northmont Capital Sdn Bhd.

Terletak di lokasi strategik di Petra Jaya, fasiliti itu dikatakan mudah untuk diakses oleh pelanggan Honda dari kawasan kejiranan di bahagian utara dan selatan Sungai Sarawak.

Dengan pembukaan pusat 3S ini, Honda Malaysia kini mempunyai 14 cawangan pengedar di Malaysia Timur.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura berkata, “Tahun ini Malaysia Timur mencatatkan prestasi jualan memberangsangkan dan telah menyumbang 5 peratus kepada jumlah jualan Honda Malaysia dari Januari hingga September 2022.”

Daripada jumlah tersebut, Sarawak merupakan penyumbang tertinggi dengan 3 peratus. City muncul sebagai model paling laris di negeri itu dengan sumbangan sebanyak 22 peratus kepada jumlah jualan.

Sementara itu, HR-V serba baharu yang dilancarkan pada Julai lalu juga mendapat sambutan yang menggalakkan di Sarawak dengan lebih 200 unit terjual.

Northmont Capital melabur kira-kira RM15 juta untuk pembangunan pusat 3S ini yang terletak di atas tapak berkeluasan 4,711 meter persegi dengan keluasan binaan 2,339 meter persegi. Ini sekaligus menjadikannya pusat 3S Honda terbesar di Kuching.

Pusat itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan peralatan terkini termasuk 12 ruang servis, tiga ruang pembaikan umum dan satu ruang servis tayar, dengan kapasiti untuk menyelenggara sehingga 50 buah kereta setiap hari.

Bukan itu sahaja, Northmont Capital turut menyediakan kemudahan seperti ruang istirahat selesa, Wi-Fi percuma dan sudut bermain kanak-kanak.

Pelanggan juga boleh menggunakan perkhidmatan pembaharuan cukai jalan dan perlindungan insurans, cuci kereta, servis pendingin hawa dan juga servis penjajaran dan pengimbangan tayar.

Untuk membuat janji temu atau untuk mendapatkan maklumat lanjut, pelanggan boleh menghubungi Northmont Capital (Pusat 3S Honda) di talian 082-258 500, 082-258 500 atau 082-251 900.

Pelanggan juga boleh mengunjungi pusat 3S itu yang terletak di Lot 13105, Sec 65, KTLD, Jalan Tun Abdul Rahman Yaakub, 93050 Kuching Sarawak.

Honda Malaysia panggil semula City Hybrid dan Civic – melibatkan 702 unit

HONDA Malaysia hari ini mengumumkan panggilan semula (recall) produk proaktif untuk dua model keluarannya iaitu City Hybrid dan Civic sebagai langkah keselamatan berjaga-jaga.

Kempen panggilan semula ini melibatkan 630 unit City Hybrid model tahun 2021 dan 72 unit Civic model tahun 2022.

Untuk City Hybrid, pihak Honda Malaysia akan menggantikan kamera sistem bantuan pemandu (ADAS) yang dipasang pada cermin penghadang angin depan. Menurut syarikat itu, kamera tersebut mungkin tidak beroperasi dengan betul dan menyebabkan ADAS tidak aktif semasa memandu.

Sementara itu, Civic dipanggil semula untuk membetulkan titik kimpalan pada paras gelongsor tempat duduk pemandu. Ini boleh menyebabkan tempat duduk pemandu tidak berada pada kedudukannya semasa memandu dan boleh menjejaskan perlindungan tali pinggang keledar untuk pemandu.

“Honda Malaysia memohon maaf atas kesulitan yang dialami oleh pelanggan yang terjejas dan memberi jaminan bahawa semua model pengeluaran dan penjualan semasa yang lain tidak terjejas dengan panggilan semula produk ini,” kata Honda dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Honda City Sedan RS

Setakat hari ini, tiada insiden kemalangan atau kecederaan yang disebabkan oleh isu ini dilaporkan di Malaysia.

Menurut syarikat itu lagi, panggilan semula ini perlu kerana keselamatan pengguna adalah keutamaan mereka.

Semua pelanggan terjejas akan dimaklumkan menerusi surat yang akan menyertakan butiran mengenai panggilan semula produk.

Honda Malaysia menggesa semua pelanggan terjejas untuk menghubungi mana-mana pengedar sah Honda untuk membuat janji temu selepas menerima surat pemberitahuan bagi membolehkan kenderaan mereka diperiksa dan dibaiki jika perlu, tertakluk kepada ketersediaan alat ganti.

Pelanggan juga digalakkan untuk memuat turun dan mengemas kini maklumat mereka menerusi aplikasi mudah alih HondaTouch untuk pengesahan lanjut.

Untuk maklumat lanjut, hubungi talian bebas tol Honda Malaysia di 1-800-88-2020 atau layari productrecall.honda.com.my.

Honda CR-V kini boleh didapati dalam warna Ignite Red Metallic dan Meteoroid Gray Metallic

HONDA Malaysia hari ini memperkenalkan dua pilihan warna baharu untuk model CR-V iaitu Ignite Red Metallic dan Meteoroid Gray Metallic. Dengan kehadiran warna-warna baharu ini, warna Passion Red Pearl dan Modern Steel Metallic tidak akan ditawarkan lagi.

Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura, warna Ignite Red Metallic dan Meteoroid Gray Metallic diterima baik di pasaran sejak ia diperkenalkan pada model City, City Hatchback, Civic BR-V dan HR-V. Accord juga ditawarkan dalam warna kelabu gelap itu.

“Kedua-dua warna merupakan pilihan popular dengan Ignite Red Metalic menyumbang purata 18% kepada jualan setiap lima model tersebut, manakala Meteoroid Gray Metallic menyumbang purata 24% kepada jualan kepada setiap enam model berkenaan,” katanya.

“Kami yakin bahawa kedua-dua warna baharu ini akan menyerlahkan lagi penampilan CR-V untuk pelanggan yang mencari SUV dengan luaran yang lebih berani dan ruang dalaman yang moden,” tambah beliau.

Sejak pelancarannya pada 2017, CR-V generasi kelima merekodkan prestasi jualan yang memberangsangkan dengan lebih 63,000 unit berjaya dijual. Model facelift yang dilancarkan pada November 2020 menyumbang lebih 27,000 unit kepada jualan keseluruhan setakat ini.

Bukan itu sahaja, CR-V turut menyumbang 12% kepada jualan keseluruhan Honda Malaysia bagi tempoh Januari hingga Julai 2022.

CR-V dikuasakan ole enjin 1.5-liter VTEC Turbocharged yang mampu menjana kuasa maksimum sebanyak 193 PS dan 243 Nm bagi memberikan pemanduan yang mengujakan. Sebagai tambahan kepada ciri keselamatan standard, ia juga dilengkapi dengan teknologi Honda SENSING untuk ketenangan minda pelanggan.

Model ini boleh didapati dalam empat varian iaitu 2.0L 2WD, 1.5L TC-P 2WD, 1.5L TC-P 4WD dan Black Edition.

Honda Malaysia jual 39,000 kereta dari Januari hingga Jun, tempahan cecah 105,000 unit!

HONDA Malaysia mengumumkan bahawa ia telah berjaya menjual lebih 39,000 unit kenderaan antara Januari dan Jun 2022. Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 60% berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Prestasi memberangsangkan ini meletakkan Honda Malaysia di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran jualan tahun ini iaitu 80,000 unit. Sehingga 30 Jun 2022, syarikat itu menyumbang 12% kepada Jumlah Keseluruhan Industri (TIV).

Daripada jumlah keseluruhan kenderaan yang berjaya dijual pada separuh pertama tahun ini, Honda Malaysia merekodkan jualan tertingginya pada bulan Mac dengan lebih 10,500 unit terjual.

Dari segi prestasi jualan mengikut model, City muncul sebagai model terlaris dengan sumbangan sebanyak 39% kepada jumlah keseluruhan jualan. Ia diikuti oleh City Hatchback dengan sumbangan sebanyak 23% dan Civic dengan 18%.

Selain itu, City, City Hatchback, Civic dan Accord juga merupakan model bukan nasional No.1 dalam segmen masing-masing dari Januari hingga Mei tahun ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura berkata, “Honda Malaysia memulakan tahun 2022 dengan baik dengan pelancaran Civic pada Januari yang mendapat penerimaan yang baik dalam pasaran dengan ciri-ciri yang menarik dan premium.”

“Baru-baru ini pada Julai, kami meneruskan momentum itu dengan pelancaran SUV kompak popular, HR-V serba baharu. Sejak pelancarannya, model serba baharu itu telah mendapat sambutan yang luar biasa,” tambah beliau.

Menurut Yoshimura lagi, syarikat itu juga menyaksikan permintaan yang tinggi sebelum tempoh pengecualian cukai berakhir pada 30 Jun, di mana syarikat itu menerima lebih 105,000 tempahan dari Januari hingga Jun 2022.

Honda HR-V generasi baharu kini di Malaysia – 4 varian, 3 pilihan enjin

Honda Malaysia secara rasminya melancarkan Honda HR-V serba baharu ke pasaran tempatan. Menurut syarikat itu, crossover kompak popular itu telah menerima lebih 20,000 tempahan setakat ini dan tempoh menunggu pula mencecah 12 bulan.

Untuk model generasi baharu ini, HR-V didatangkan dalam empat varian dengan tiga pilihan enjin. Varian S dikuasakan oleh enjin 1.5-liter i-VTEC, manakala varian E dan V mendapat enjin 1.5-liter i-VTEC Turbo. Varian flagship e:HEV RS pula hadir dengan trenkuasa hibrid.

Dari segi kuasa, varian S mempunyai 121PS dan 145Nm, sementara E dan V pula mempunyai 181PS dan 240Nm. Dengan enjin 1.5-liter i-VTEC dan dua buah motor elektrik, varian e:HEV RS tampil dengan 131PS dan 253Nm. Varian ini mempunyai tiga mod pemanduan iaitu EV Drive, Hybrid Drive dan Engine Drive.

Rekaan luaran HR-V diberikan pembaharuan menyeluruh yang menjadikannya lebih bergaya dan premium. Ini boleh dilihat menerusi bentuk keseluruhannya yang sedikit lebih bersegi berbanding model terdahulu, serta rekaan fastback dan lampu LED yang memanjang pada bahagian belakang.

Sebagai varian tertinggi, RS mendapat kit badan RS yang merangkumi kemasan hitam pada bampar depan dan belakang serta skirt sisi, logo RS pada gril dan juga efek ‘smoked’ pada lampu belakang.

Terdapat lima warna untuk dipilih iaitu Ignite Red Metallic, Meteoroid Gray Metallic, Platinum White Pearl, Lunar Silver Metallic dan Ruse Black Metallic.

Ruang dalaman turut menyaksikan perubahan ketara dengan reka bentuk papan pemuka serba baharu yang tidak ubah seperti Civic FE. Cuma, ia tidak mempunyai kemasan honeycomb pada corong pendingin hawa seperti model itu.

Bagaimanapun, HR-V dilengkapi dengan ciri baharu iaitu sistem Air Diffusion yang memberikan kitaran udara sejuk yang lebih baik untuk semua penumpang. Dan buat pertama kalinya juga, ia didatangkan dengan Hill Descent Control yang berfungsi untuk mengawal pendikit dan brek secara automatik ketika menuruni cerun curam.

Selain itu, HR-V RS mendapat ciri Hands-Free Power Tailgate dengan fungsi Walkaway Close. Fungsi ini akan menutup pintu tailgate secara automatik ketika pemandu bergerak menjauhi kenderaan. Ciri-ciri baharu lain yang turut disertakan termasuklah Remote Engine Start dan Walkaway Auto Lock.

Varian RS diberikan ciri-ciri tambahan berupa balutan upholsteri kulit pada tempat duduk, pedal sports, sistem pendingin hawa dwi-zon dan Decelaration Selector Paddle. Paparan kluster meter TFT berukuran tujuh inci dan paparan audio lapan inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto pula tersedia pada varian RS, V dan E.

Apa yang menarik, Honda Sensing disertakan secara standard pada semua varian HR-V. Ia merangkumi ciri-ciri berikut:

– Forward Collision Warning
– Collision Mitigation Braking System
– Lane Keep Assist System
– Road Departure Mitigation
– Lane Departure Warning
– Auto High Beam
– Adaptive Cruise Control
– Low Speed Follow
– Lead Car Departure Notification

Turut tidak ketinggalan adalah sistem Honda CONNECT yang memanfaatkan teknologi telematik pintar untuk menjamin keselamatan, sekuriti dan kemudahan.

Harga HR-V baharu bermula dari RM114,800 untuk varian S, RM129,800 untuk E, RM134,800 untuk V dan RM140,800 untuk e:HEV RS.

 

Covid-19: Honda Malaysia dan HMSC sumbang hampir RM40,000 bantu masyarakat setempat

HONDA Malaysia telah bekerjasama dengan Honda Malaysia Suppliers Club (HMSC) dalam menghulurkan bantuan kepada masyarakat setempat yang memerlukan serta terkesan oleh pandemik Covid-19.

Honda dan HMSC menyumbangkan hampir RM40,000 untuk barangan keperluan kepada enam rumah-rumah kebajikan di Melaka bagi mengurangkan beban dari pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Rumah-rumah kebajikan yang terlibat adalah rumah orang tua, pusat kebajikan dan rumah anak yatim. Pada masa yang sama, inisiatif ini memberikan peluang untuk Honda Malaysia dan HMSC mengeratkan hubungan mereka.

Pengarah Urusan dan CEO Honda Malaysia, Madoka Chujo berkata: “Kami faham situasi mereka dan percaya untuk menghadapi cabaran, kita mesti bergerak ke depan ‘Together As One’ dan bantu sesama kita sebolehnya.”

Enam pusat-pusat kebajikan yang dikenalpasti adalah Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Istimewa Dan Warga Emas Alor Gajah, Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Dan Anak Yatim Victory, Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Harapan, Persatuan Kebajikan Sri Murni Insan Istimewa, Pertubuhan Kebajikan Bhagawan Sri Ramakrishna, dan Pusat Jagaan Pertubuhan Villa Harapan.

Serahan bantuan itu dibuat pada 26 dan 28 Julai 2021, untuk lebih 300 orang. Semua serahan juga dibuat mengikut SOP yang ketat.

Muat turun HondaTouch, elak masa menunggu lama

HONDA Malaysia menutup sementara operasi perniagaan bermula hari ini sehingga 14 Jun nanti.

Keputusan dibuat selaras pelaksanaan sekatan pergerakan penuh atau total lockdown seluruh negara selama 14 hari bagi mengawal penularan pandemik Covid-19.

Penutupan membabitkan operasi pemasangan kenderaan di Pegoh, Melaka.

Selain itu, Honda turut menutup pusat jualan serta pengedar di seluruh Malaysia.

Honda antara jenama pengeluar kenderaan paling berjaya di peringkat global. - Foto ihsan Malay Mail

Bagaimanapun, khidmat selepas jualan tetap akan beroperasi seperti biasa.

Namun, para pelanggan diminta memuat turun aplikasi HondaTouch bagi membuat temu janji dan mengelak menunggu masa yang lama.

Pelanggan turut dinasihati tidak mengunjungi pusat servis tanpa membuat temu janji.

Setakat ini, Honda Malaysia menjangkakan akan memulakan semula operasi pada 15 Jun 2021.