HONDA Integra Type-R antara salah sebuah jentera legenda yang meninggalkan kesan mendalam di kalangan peminat. Ianya dikatakan sebuah kereta pacuan roda-depan (FWD) dengan pengendalian terbaik pada masa itu.
Seorang peminat tegar Integra Type-R, Jordan Rubinstein-Towler yang juga seorang pereka telah melakar semula DC2 untuk tahun 2022. Lakaran itu menggambarkan Integra Type-R dengan nadi 2.4-liter i-VTEC berkuasa 276hp dan mampu rev sehingga 8,600rpm!
Gambar: Instagram – Jordan Rubinstein-Towler
Sebenarnya dalam era janaan turbo masa kini, amat jarang untuk pengeluar menghasilkan enjin dengan kemampuan rev melebihi 8,000rpm. Jika Integra dengan resipi ini menjadi realiti, pasti lazat untuk memerah kuasa enjinnya.
Gambar: Instagram – Jordan Rubinstein-Towler
Rubinstein juga berkongsi perincian lain untuk lakarannya iaitu rim Enkei, tayar semi-slick Bridgestone Potenza, dan paling menarik, kotak gearnya tidak menggunakan DCT atau automatik, sebaliknya manual 6-kelajuan. Tombol gear juga menggunakan rekaan klasik Honda Type-R dengan krom/aluminium berkilat.
Stereng pula tetap dengan rekabentuk yang menjadi identiti Type-R iaitu rekaan ringkas dan sporti. Tetapi dapat dilihat tombol seperti untuk pilihan mod pemanduan, serta butang merah untuk penghidup enjin.
Menarik? Tetapi ini hanyalah lakaran dan Honda buat masa ini belum ada perancangan menghasilkan Integra Type-R generasi baharu. Kereta prestasi yang boleh kita jangkakan dari Honda ialah Civic Type-R serba baharu yang bakal dilancar hujung 2021 atau awal tahun depan.
DALAM menyokong dan mematuhi usaha kerajaan untuk membendung penularan Covid-19 yang semakin membimbangkan, Honda Malaysia telah menutup operasi kilang pemasangannya (CKD) di Pegoh, Melaka sejak Julai.
Dalam tempoh ini, servis lepas jualan seluruh negara dibenarkan beroperasi pada kadar minima dan hanya melalui temujanji. Honda menggunakan aplikasi HondaTouch untuk memudahkan pelanggan membuat urusan sistematik tanpa sentuh (contactless).
Pengarah Urusan dan CEO Honda Malaysia, Madoka Chujo berkata, “Dengan hanya sesetengah khidmat lepas jualan dibenarkan dan produksi dihentikan, tidak hairanlah jualan menurun.”
“Honda Malaysia menyaksikan penurunan 52 peratus jualan dari Mei hingga Julai 2021 berbanding tempoh sama tahun lepas.”
“Kami menjual 5,700 unit kenderaan berbanding hampir 12,000 unit tahun lepas dalam tempoh yang sama semasa negara dalam PKP dan PKPP,” katanya.
“Penutupan perniagaan yang berpanjangan ini turut memberi kesan kepada pengeluaran model-model baharu kerana tiada ujian boleh dibuat di kilang. Rantaian perniagaan juga turut terganggu.”
Menurut Chujo lagi, industri automotif merangkumi rangkaian komponen tempatan yang meluas dan mempunyai banyak tahap pembekal serta vendor.
“Pembekal ini mungkin tidak dapat bertahan dan ini seterusnya akan memberi kesan kepada rantaian bekalan keseluruhan. PKP berterusan yang tidak nampak penghujung ini akan memberi impak,” lanjutnya.
Chujo berkata lagi: “Honda Malaysia memahami kesukaran yang dilalui oleh para pengedar, dan syarikat itu berusaha membantu mereka. Salah satu usaha adalah meletakkan mereka di bawah program PIKAS (Partnership Industrial COVID-19 Immunisation Programme).”
Honda Malaysia berharap sekiranya sektor automotif kembali beroperasi di bawah SOP ketat, tiada kesan jangka masa panjang seperti pembuangan pekerja.
HONDA memberikan ‘suntikan’ baharu kepada model motocross CRF250R 2022.
Pembaharuan itu menjadikan model ini lebih ringan dengan berat keseluruhan 104 kilogram.
Bagi mencapai sasaran itu, Honda berjaya melakukan pengurangan berat pada bahagian kerangka termasuk subframe.
Berdasarkan maklumat di laman sesawang Honda, jentera ini juga memiliki pretasi lebih baik ketika mengambil selekoh selain ketepatan pengendalian lebih sempurna.
Model CRF250R 2022 dikatakan mempunyai pengendalian lebih sempurna. – Foto ihsan Honda
Enjin CRF250R 2022
CRF250R 2022 masih menggunakan enjin unit satu silinder 249.4 cc DOHC.
Bagaimanapun, terdapat perubahan pada bahagian head dan intake.
Secara tidak langsung, kuasa jentera ini berjaya dinaikkan lebih 10 peratus dengan tork meningkat kepada 15 peratus.
Kuasa CRF250R 2022 lebih bertenaga! – Foto ihsan Honda
Terdapat tiga mod kuasa bagi CRF250R 2022 iaitu standard, lebih lembut dan agresif.
Sistem launch control elektronik yang disediakan juga mampu mengekalkan kitaran enjin bermula pada 8,250, 8,000 dan 9,500 rpm sewaktu memulakan pecutan!
Selain itu, tempat duduk jentera ini juga 10mm lebih rendah berbanding model sebelumnya dengan jarak kelegaan dari tanah 333mm.
Antara kelebihan lain adalah penggunaan fork USD 49mm Showa di hadapan termasuk piston baharu yang lebih besar.
Harga di pasaran setakat ini bermula $AS8,000 atau bersamaan RM33,780.
Jentera ini dikatakan lebih ergonamik. – Foto ihsan Honda
HONDA Civic 2022 (generasi ke-11) baru sahaja dilancarkan pada April lepas dan mula dijual pada Jun. Dan seperti dijangka, sudah ada tuner atau penala yang cuba ‘memerah’ lebih kuasa dari enjinnya.
Honda Civic 2022 (nama kod FE) menggunakan enjin sama dari generasi ke-10 (FC), iaitu 1.5-liter turbo 4-silinder dan transmisi CVT.
Gambar: Youtube – Hondata
Hondata – sebuah penala tersohor untuk Honda – telah menaiktaraf enjin itu dengan memprogram semula ECUnya. Talaan ini telah meningkatkan kuasa asal 180hp dan 177Nm kepada 214hp dan 307Nm, iaitu tambahan 34hp dan 67Nm. Boleh tahan, ya? Ini baru program ECU, belum lagi bahagian lain seperti intake atau ekzos.
Hondata pernah juga menala Civic FC dimana mereka memperoleh 205hp dan 260Nm dari enjin sama.
Honda Civic 2022 Hatchback
Honda Civic 2022 FE telah diperkenalkan dengan badan sedan dan hatchback, serta pilihan transmisi CVT dan manual 6-kelajuan. Untuk pasaran Malaysia, kami jangkakan Honda akan menawarkan pakej sama dengan Civic sekarang, iaitu sedan dan CVT.
MALAYSIA dan Indonesia tidak dinafikan berkongsi pelbagai persamaan sebagai dua negara serumpun.
Makanan, budaya, adat dan pelbagai lagi persamaan yang wujud menyebabkan dua negara ini kekal akrab dari masa ke masa.
Namun, bagaimana pula dengan industri automotif? Adakah wujud persamaan terutama melibatkan jenama kereta?
Artikel kali ini Engear kongsi bersama anda lima jenis kenderaan terpopular di Malaysia dan Indonesia!
Kesemua maklumat ini diperoleh daripada Kesatuan Automotif Malaysia (MAA) dan Gabungan Industri Kendaraan Bermotor Indonesia (Gaikindo).
Bagaimanapun, semua data jualan kenderaan ini adalah bagi tahun 2019 memandangkan industri automotif agak perlahan pada 2020 ekoran pandemik Covid-19.
Nombor 5
Model Honda City merupakan kenderaan kelima paling popular di Malaysia dengan penjualan lebih 31,357 unit.
Harga bagi seunit Honda City bermula pada RM73,851 sehingga RM105,610.
Di Indonesia pula, kenderaan kelima paling laris adalah Toyota Calya dengan penjualan lebih 54,549 unit.
Model ini dijual sekitar 249 juta rupiah sehingga 167 juta rupiah.
Ruang dalaman Calya agak luas sekaligus beri keselesaan kepada pemandu dan penumpang. – Foto ihsan Toyota
Nombor 4
Kenderaan keempat paling laris di Malaysia pada 2019 adalah Proton Saga dengan penjualan lebih 38,144 unit.
Harga bagi seunit Proton Saga adalah RM32,800 sehingga RM42,800.
Sementara itu, Toyota Rush merupakan model keempat terlaris di Indonesia dengan penjualan lebih 61,596 unit.
Harganya pula adalah sekitar 249 juta rupiah sehingga 270 juta rupiah (RM71,000 sehingga RM77,000).
Model Saga antara kereta nasional kebanggaan Malaysia. – Foto ihsan Proton
Nombor tiga
Perodua Bezza berada di tempat ketiga dengan jualan lebih 45,656 unit pada 2019.
Harga bagi seunit Bezza bermula pada RM33,000 sehingga RM48,000.
Manakala di Indonesia, Mitsubishi Xpander berada di kedudukan ketiga dengan lebih 62,666 unit telah terjual.
Harganya pula bermula 221 juta rupiah (RM68,000) sehingga 281 juta rupiah (RM80,000).
Nombor dua
Masih lagi keluaran Perodua, Model Axia dinobatkan sebagai kenderaan kedua terlaris di Malaysia pada 2019.
Sebanyak 67,267 unit telah terjual dan harga bagi seunit model ini adalah RM23,367 sehingga RM41,427.
Honda Brio pula menjadi kereta kedua terlaris di Indonesia dengan penjualan lebih 70,344 unit.
Harga bagi Brio sekitar 151 juta rupiah sehingga 205 juta rupiah.
Jika ditukarkan kepada matawang Malaysia, seunit Brio adalah sekitar RM43,000 sehingga RM58,000.
Honda Brio antara kenderaan kompak yang terdapat di pasaran Indonesia. – Foto oleh Honda
Nombor Satu
Perodua Myvi atau “king of the road” merupakan kereta terlaris di Malaysia dengan penjualan lebih 81,966 unit pada 2019.
Pelbagai sebab mengapa Myvi begitu diminati selain faktor harga dan reka bentuk yang menawan.
Bagi Indonesia pula, kenderaan terlaris adalah Toyota Avanza.
Pada 2019, lebih 86,374 unit telah terjual.
Harga bagi seunit Avanza di Indonesia bermula 196 juta (RM55,000) sehingga 243 juta (RM69,000).
Secara keseluruhan, terdapat lebih 604,287 unit kereta terjual pada 2019 di Malaysia. Sementara itu, Indonesia menyaksikan lebih 1.03 juta unit terjual pada tahun sama.
SATU rakaman dashcam tular di media sosial menunjukkan sebuah Honda Civic berwarna putih ‘terbang’ dan merempuh seorang penunggang penghantar makanan Grab.
Dalam kejadian di Kulai, Johor itu, Honda Civic tersebut datang dari arah bertentangan dan hilang kawalan hingga melepasi pembahagi jalan dan terus melanggar rider Grab itu. Difahamkan rider berusia 33 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kulai, Supt Tok Beng Yeow berkata insiden itu berlaku jam 5:50 petang Selasa (20 Julai), apabila pemandu Civic berusia 29 tahun hilang kawalan.
Siasatan mendapati pemandu itu memandu laju di lorong kiri sebelum cuba menukar lorong. Dia kemudiannya terlanggar sebuah kereta di lorong kanan lalu menyebabkannya hilang kawalan dan terus ke lorong bertentangan sebelum melanggar rider Grab itu.
Rider Grab disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perbatan dari Hospital Kulai kerana kecederaan di kepala dan badan. Pemandu Civic pula cedera dan dibawa ke hospital sama untuk rawatan.
Sementara itu, pemandu di lorong kanan tadi tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara merbahaya atau melulu.
SEMALAM tular video sebuah Honda City yang dipandu melulu dan merempuh sebuah motosikal yang sedang berhenti di lampur isyarat merah.
Video rakaman dashcam pengguna jalanraya berdekatan menunjukkan Honda City itu dipandu laju menyelit di antara kereta-kereta di dua lorong yang sedang berhenti sebelum merempuh seorang penunggang motosikal wanita hingga cedera parah.
Gambar oleh: Facebook
Menurut Harian Metro, pemandu tersebut telah melanggar 12 lampu isyarat, tiga sekatan jalan raya dan tiga kenderaan awam sebelum itu.
Polis mengambil masa lebih sejam mengejar kereta dipandu lelaki yang memandu dalam keadaan berbogel, sebelum ditahan di hadapan sebuah rumah di Kampung Batu 18, Kuala Berang, Terengganu.
Pemandu berusia 45 tahun itu dikatakan memecut kenderaannya menghala ke bandar Kuala Terengganu sebaik menyedari kenderaannya dikejar kereta peronda.
Sumpah bodoh kereta tu sumpah. Nak tercabut jantung aku tengok. SELFISH BASTARD EVER!!!!!! pic.twitter.com/IcGk5rNr1c
Dalam satu ciapan di Twitter, mangsa dikatakan mengalami beberapa kecederaan pada tubuh badan sehingga memerlukan bantuan pernafasan oksigen kerana sukar bernafas. Dia dikejarkan ke Hospital Hulu Selangor untuk rawatan.
Mengulas kejadian itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, “Kes disiasat mengikut Seksyen 42 APJ 1987 kerana memandu secara berbahaya dan melulu.
“Semakan rekod mendapati lelaki terbabit menghidap masalah sakit mental iaitu Schizophrenia.
“Ujian air kencing, darah dan ujian saringan Covid-19 turut dilakukan dan keputusannya negatif Covid-19,” tambahnya.
HONDA buat julung kali mengumumkan nama bagi kenderaan elektrik pertamanya.
Model dikenali sebagai Prologue dijangka akan memasuki pasaran Amerika Syarikat (AS) pada awal tahun 2024.
Selain itu, Honda turut bercadang akan membawa masuk kenderaan elektrik pertamanya itu ke Amerika Utara di bawah jenama Acura.
Pembangunan kenderaan elektrik ini adalah hasil kerjasama strategic antara Honda dan General Motors (GM).
Setakat ini, Honda hanya mendedahkan nama model tersebut namun, masih belum memperkenalkan perincian lain terutama membabitkan bahagian enjin dan reka bentuk.
Model Prologue bakal menemui pengguna di Amerika Syarikat (AS) tidak lama lagi. – Foto ihsan Facebook/Oleole Live
Honda x GM
Kerjasama Honda dan GM meliputi dua komponen iaitu bahagian enjin dan interior dalaman.
Memetik laporan media, GM bertanggungjawab membangunkan platform EV modular dan akan menggunakan teknologi bateri ultium.
Bagaimanapun, rekaan luaran dan dalaman dibangunkan oleh Honda.
Menerusi satu kenyataan, Honda menjangkakan akan terus memperkukuh sistem hibrid dalam usaha menarik minat pelanggan untuk mendapatkan kenderaan elektrik keluaran mereka.
Sebelum ini, Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Honda memaklumkan syarikat itu merancang meningkatkan pengeluaran model AV.
Toshihiro Mibe yang berkata demikian pada April lalu turut memaklumkan Honda serius untuk meneroka lebih luas pasaran kenderaan elektrik di AS dan China menjelang 2030.
Jelasnya, menjelang tahun 2040, Honda berharap mampu mengeluarkan 100 peratus kenderaan jenis elektrik di seluruh dunia.
MODEL Honda Super Cub 125 baharu dijangka dipasarkan tahun hadapan.
Meniti usia lebih 64 tahun, tidak terdapat banyak perubahan dilakukan pada bahagian mekanikal model baharu ini.
Berdasarkan maklumat awal diperoleh, Super Cub 125 2022 masih menggunakan enjin unit satu silinder 124cc penyejukan cecair dengan sistem suntikan bahan api.
Ia mampu menghasilkan 9.65hp pada 7,500 rpm dan 10.4 Nm tork pada 6,250 rpm.
Honda Super Cub 125 2020 didatangkan dengan gabungan reka bentuk retro dan moden. – Foto ihsan Facebook/Autoevolution
Berikut antara spesifikasi lain terdapat pada Super 125 baharu.
Menggunakan transmisi empat kelajuan
Fork teleskopik 26mm hadapan
Dua penyerap hentak di belakang
Sistem brek ABS
Cakera tunggal 220mm berserta angkup satu piston
Satu unit ekzos catalytic converter
Lampu diod pemancar cahaya (LED)
Selain itu, Super Cub 125 2022 turut didatangkan dengan rim 17 inci dengan tayar 70/90 (hadapan) dan 80/90 (belakang).
Apa yang menarik, model ini juga menggunakan sistem tanpa kunci.
Anggaran berat Super Cub 125 2022 adalah 110 kilogram dan mempunyai tangki 3.7 liter.
SEJAK diperkenalkan hampir empat tahun lalu, nama Honda BRV bukan suatu yang asing lagi di Malaysia.
Setiap hari, kenderaan utiliti sukan (SUV) ini dapat dilihat menyusur di jalan raya seluruh negara.
Namun, penulis hanya berpeluang memandu uji kenderaan itu baru-baru ini.
Melihat kepada reka bentuk luaran penulis dapat simpulkan secara ringkas Honda BRV sebagai sebuah kenderaan yang unik.
Tergolong dalam kategori SUV, ia menjadi ‘buruan’ bagi golongan bergelar “ibu” atau “bapa”.
Maka, tidak hairan ia antara model SUV Honda terlaris di Malaysia.
Nafas baharu BRV 2020
Honda BRV 2020 menerima beberapa suntikan pembaharuan terutama membabitkan rekaan luaran dan dalaman.
Pada pendapat penulis, sentuhan facelift untuk bumper hadapan dan bumper belakang cukup sekadar sedap mata memandang.
Namun, kewujudan ‘sirip’ antena radio serta kit badan dan rim baharu berjaya menaikkan ‘seri’ SUV ini.
Untuk bahagian dalaman, BRV memiliki sentuhan premium tersendiri yang ditampilkan kemas.
Prestasi i-Vtec BRV
Saat ditunggu telah tiba yang mana penulis ingin memberi beberapa pandangan mengenai kuasa ditampilkan Honda BRV.
Jika anda seorang ‘kaki lumba’ jangan mengharap untuk mendengar ‘ngauman’ Vtec daripada kenderaan ini.
Bagaimanapun, tidak dinafikan ia menjanjikan satu pemanduan yang selesa dengan kawalan memuaskan.
Penulis juga menguji kenderaan ini melalui jalan berbukit dengan membawa tujuh penumpang.
Agak mengecewakan memandangkan kenderaan ini dirasai sedikit ‘letih’ untuk mendaki, mungkin situasi ini tidak berlaku jika bilangan penumpang dikurangkan.
Dalam fikiran penulis BRV boleh diandaikan sebuah kenderaan yang mempunyai gabungan DNA Jazz, City dan Civic (FD).
Justeru, selepas beberapa hari bersama BRV penulis dapat simpulkan ia sebagai sebuah kenderaan yang sangat praktikal untuk keluarga.
Tidak terlalu ‘power’ tetapi sepadan dengan harga ditawarkan sekaligus mampu dimiliki kebanyakan individu.
Tidak hairan setakat artikel ini ditulis, Honda BRV menjadi SUV jenama import terlaris di pasaran selepas Toyota Avanza.
HONDA Malaysia Sdn Bhd mencipta sejarah tersendiri apabila buat julung kali diterajui oleh seorang wanita.
Madako Chujo dilantik sebagai pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif selepas bersama Honda selama lebih 23 tahun.
Honda Malaysia Sdn Bhd dalam satu kenyataan menyambut baik pelantikan Chujo sekaligus yakin dengan kemampuannya untuk membawa syarikat itu ke tahap lebih tinggi.
“Honda Malaysia Sdn Bhd menyambut baik pelantikan Chujo yang juga buat julung kali menyaksikan penglibatan wanita di peringkat pengurusan tertinggi syarikat,” memetik kenyataan itu, hari ini.
Sebelum ini, Chujo pernah memegang pelbagai jawatan melibatkan beberapa wilayah dan negara termasuk China, Sepanyol dan Kanada.
Pelantikan Chujo berkuatkuasa pada 1 April lalu menggantikan penyandangnya, Toichi Ishiyama.